Rabu, 28 Disember 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Penentangan polisi satu anak

Posted:

Penentangan polisi satu anak

Penentangan polisi satu anak

WU WEIPING, yang hamil tujuh bulan keluar pada awal pagi membawa beg galas yang diisi beberapa helai pakaian, komputer riba dan pisau. "Nasib saya sangat baik, jika tidak pasti saya ditangkap," kata Weiping, 35, yang ketakutan. Jika ditangkap, pegawai-pegawai perancang keluarga akan mengheretnya ke hospital untuk melakukan pengguguran secara paksaan.

"Saya akan berjuang sampai mati jika mereka menangkap saya." Selepas melarikan diri, Weiping menyertai komuniti ibu bapa yang ingkar mematuhi polisi di China yang menetapkan hanya seorang anak sahaja dibenarkan bagi setiap pasangan. Kepada yang ingkar, mereka bakal berdepan dengan risiko hilang pekerjaan, wang simpanan dan keselamatan.

Walaupun bilangan agak kecil, mereka mewakili pencetus idea mengubah hak-hak individu. Sungguhpun penentangan itu dilihat lebih cenderung berlaku dalam kalangan keluarga di luar bandar yang kabur terhadap peraturan tersebut, kini ramai ibu bapa dari kawasan bandar seperti Weiping juga terlibat.

Weiping tampil dengan alasan bahawa kerajaan tidak mempunyai hak untuk menetapkan bilangan anak-anak yang boleh mereka miliki.

Menggunakan ruang sembang siber internet dan blog, ramai ibu bapa menyiarkan tuntutan-tuntutan mereka bagi perancangan dasar keluarga yang lebih liberal dan berharap orang lain akan mengikut jejak langkah tersebut. Malah, beberapa ibu bapa yang berjaya menyelitkan cerita-cerita mereka ke dalam media yang dikawal ketat, menandakan perspektif mereka telah mula dinilai oleh orang ramai.

Selepas mendapat tahu isterinya bakal melahirkan anak kedua, Liu Lianwen menubuhkan forum perbincangan dalam talian yang dipanggil Kelahiran Percuma. Ia bertujuan untuk menukar maklumat tentang dasar satu anak dan cara-cara untuk berdepan dengannya.

Dalam masa kurang daripada enam bulan, ia telah menarik hampir 200 ahli. "Kami idealis," kata jurutera berusia 37 tahun dari pusat bandar China itu. Anak sulung perempuannya dilahirkan pada 18 Oktober lalu. "Kami mahu mengubah sikap orang ramai di sekeliling kita dengan mengubah diri kita sendiri."

Kesan kebebasan kawalan sosial yang dilaksanakan semasa era doktrin di bawah pemerintahan Komunis, rakyat China diberi kebebasan memilih tempat tinggal, pekerjaan dan status perkahwinan. Bagaimanapun, negara itu menetapkan satu undang-undang iaitu rakyatnya dibenarkan memiliki seorang anak sahaja.


WEIPING antara ibu di China yang sanggup melakukan apa saja demi mempertahankan kelahiran anak keduanya. Wang Yile, 4 (kiri) dan anak lelaki Weiping, Wu Yixiao, 2, di kediaman mereka di Zhuji, wilayah Zhejiang.


Jika ingkar, mereka akan dikenakan hukuman yang berat seperti dicabul status dan tekanan ekonomi.

Tidak dirancang

Adalah sesuatu yang mustahil untuk mengetahui jumlah kanak-kanak yang dilahirkan sebagai anak kedua di negara tersebut. Bagaimanapun, Pengarah Sekolah Renmin, Universiti Sosiologi dan Penduduk di Beijing, Zhai Zhenwu meng anggarkan kurang daripada satu peratus bayi yang dilahirkan daripada 16 juta kelahiran setiap tahun adalah kelahiran yang tidak dirancang.

Liu berpendapat, warga negaranya itu telah dipengaruhi. "Mereka semua merasa selamat dari segi kekayaan apabila memiliki sebuah keluarga yang kecil," katanya. "Namun, propaganda perancangan keluarga selama tiga dekad itu akhirnya telah mengubah cara majoriti ibu bapa di China berfikir tentang melahirkan anak kedua."

Keengganan untuk menjadi ayah juga menjadi salah satu isu kebimbangan bagi demografi. Dasar yang digabungkan dengan kos sara hidup telah membawa kadar kesuburan menurun terlalu mendadak dan terlalu cepat. Walaupun masih memegang status sebagai negara yang mempunyai populasi terpadat di dunia iaitu 1.3 bilion, hakikatnya pertumbuhan penduduk China amat perlahan.

"Kebimbangan China sekarang ialah ketiadaan pertumbuhan penduduk. Ia berhadapan dengan penuaan penduduk yang pesat manakala orang muda tidak mahu memiliki anak," kata pengarah Pusat Brookings-Tsinghua untuk Dasar Awam, satu badan kerjasama akademik penyelidikan AS-China yang berpusat di Beijing, Wang Feng.

Wang melihat bencana yang lebih buruk akan dihadapi apabila generasi bayi tahun 1960-an kini dalam persaraan dan usia tua.

Tenaga buruh China, berkurangan secara mendadak akibat dasar satu anak dan masalah itu terus berlanjutan. Beliau berhujah bahawa pihak pemerintah perlu memberi peluang kepada semua orang untuk memiliki sekurang-kurangnya dua orang anak.

Wang berpendapat, masih ramai orang China yang memilih untuk mempunyai seorang anak kerana bimbang kemampuan mereka membesarkan anak lebih daripada seorang. Penalti yang dikenakan ke atas mereka yang ingkar juga sangat berat.

Sesiapa yang ditangkap perlu membayar yuran pampasan sosial. Pampasan itu boleh mencecah di antara empat hingga sembilan kali pendapatan tahunan keluarga, bergantung kepada wilayah dan pilihan biro perancang keluarga di sesebuah kawasan.


KOS sara hidup yang tinggi di China menyebabkan kadar kesuburan di negara itu semakin merudum.


Hilang hak

Ibu bapa yang terikat dengan pekerjaan dengan pihak pemerintah boleh kehilangan jawatan atau diturunkan pangkat. Pada masa yang sama, anak yang lahir 'di luar rancangan' itu pula akan dinafikan faedah pendidikan dan kesihatannya.

Mereka yang tidak bekerja dengan pihak pemerintah China mungkin tidak begitu bimbang berbanding mereka yang bekerja dengan pihak pemerintah. Jika mereka mampu membayar yuran yang tinggi dan tidak kisah kehilangan faedah, masih terdapat perkara-perkara lain yang menghalang mereka daripada mempunyai anak tambahan.

Terdapat kemarahan yang membuak-buak apabila polisi ini dilihat lebih memihak kepada golongan kaya, tetapi orang biasa tidak dapat melakukan apa-apa memandangkan dasar ini adalah dasar tertutup sejak kepimpinan komunis di Beijing.

Pada tahun 2007, pegawai-pegawai di pantai Zhejiang pernah mengugut mahu memalukan keluarga yang mempunyai lebih daripada seorang anak, tetapi kempen itu tidak pernah mendapat kelulusan. Kemungkin kerana ia akan mencemarkan reputasi pihak atasan di negara itu.

Golongan yang paling teruk menerima ugutan ini ialah ibu bapa di bandar, kelas menengah dan berjawatan dalam Parti Komunis, berkedudukan dalam bidang pendidikan atau pekerjaan dalam industri yang dikendalikan oleh pemerintah negeri.

Li Yongan misalnya, dia diperintah membayar 240,000 yuan (RM119,830) selepas anaknya dilahirkan pada tahun 2007 kerana dia sudah pun mempunyai seorang anak perempuan yang berusia 13 tahun. Selepas enggan membayar yuran, Li dinafikan pendaftaran permit isi rumah untuk anaknya sekali gus memaksanya untuk membayar yuran pendaftaran tadika sebanyak tiga kali ganda.

Beliau juga dihalang daripada mengajar fizik di sebuah universiti di Beijing. "Saya tidak pernah menyesal kerana memiliki anak kedua, tetapi saya mengalami kemurungan dan penuh kemarahan bertahun-tahun lamanya," kata Li yang kini terpaksa berjuang untuk melangsungkan hidupnya sebagai seorang guru catur bebas.

Dalam diam-diam, ramai yang mencari jalan untuk mengelak daripada dihukum. Antaranya membayar rasuah atau memalsukan dokumen. Sebagai contoh, anak kedua didaftarkan sebagai kembar adik-beradik yang lebih tua. Kadang-kadang bayi kedua didaftar kepada saudara-mara yang tidak mempunyai anak atau keluarga luar bandar yang dibenarkan untuk memiliki anak kedua tetapi tidak berbuat demikian.

Weiping, mengakui dia tidak pernah berniat melanggar peraturan satu anak itu. Dia menjalani rawatan kesuburan untuk hamil anak pertamanya, iaitu seorang bayi perempuan yang dinamakan Le Le atau kegembiraan apabila diterjemah. Jadi, dia terkejut apabila doktor memberitahu Weiping hamil sekali lagi pada Ogos 2008.

Menurut Weiping, pada awalnya, berita itu mencetuskan perang dingin antara dia dan suaminya. Selepas beberapa minggu, suaminya dapat menerima hakikat tersebut. Namun, pegawai-pegawai perancang keluarga tetap mendesak pengguguran. Begitu juga dengan pengetua sekolah Wu.


CHINA berdepan dengan masalah penuaan penduduknya kerana pertumbuhan kelahiran yang semakin perlahan.


Di rumahnya di pinggir Zhuji, hab tekstil yang mengambil masa beberapa jam dari selatan Shanghai, bekas guru sekolah tinggi itu menceritakan dia terpaksa menceraikan suaminya, kemudian berkahwin dengan sepupunya keesokan hari.

Selamatkan bayi

Weiping berkahwin dengan sepupu yang pernah dijaga dan dibesarkannya. Sepupunya berusia 25 tahun iaitu 10 tahun lebih muda daripadanya. Perkahwinan itu bertujuan menyelamatkan bayi. Perceraian itu berlaku pada 27 September 2008 melibatkan tandatangan dokumen dan bergambar.

Ia berlaku hanya dalam beberapa minit. Perkahwinan pada hari berikutnya juga sesuatu yang pantas.

"Saya masih ingat dan amat gembira pada hari itu," kata Weiping memegang sijil perkahwinan keduanya. "Saya lakukan semua ini kerana saya fikir saya menemui satu cara terbaik untuk menyelamatkan bayi saya."

Tetapi masalah itu tidak selesai. Apabila pasangan pengantin memohon untuk mendapatkan permit kelahiran, pegawai-pegawai memaklumkan kepada mereka kehamilan sepatutnya berlaku selepas perkahwinan kedua.

Full content generated by Get Full RSS.

Internet lubuk kaut keuntungan

Posted:

Internet lubuk kaut keuntungan

Internet lubuk kaut keuntungan

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM


BERBILION sudah berjaya dibolot penjenayah siber hanya dengan penipuan melalui alam siber.


DUNIA tanpa sempadan. Ia cukup sinonim dengan perkembangan teknologi alam siber yang semakin serba canggih hari ini.

Dengan hanya satu klik sahaja, pelbagai maklumat, kemudahan, perkhidmatan dan banyak lagi dapat diakses di mana-mana sahaja tanpa perlu mengerah keringat sehingga titisan peluh jatuh ke bumi.

Bagaimanapun, kecanggihan teknologi ini disalah guna sesetengah pihak untuk mengaut keuntungan melalui alam siber sehingga menyebabkan kerugian mencecah berbilion ringgit.

Bahkan, penjenayah siber ini akan mencari pelbagai taktik dalam mencari kemewahan melalui jalan pintas.

Modus Operandi

Menurut Penolong Pengarah Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Komisioner Kamarudin Md. Din, terdapat pelbagai taktik yang diguna pakai penjenayah siber dalam memerangkap mangsa untuk kepentingan mereka.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, antara modus operandi tertinggi dicatatkan dalam kes-kes jenayah siber adalah belian barangan, penyamaran sebagai pegawai bank atau polis, mesin pengeluaran wang automatik (ATM), bungkusan dan phishing.

"Belian barangan mencatatkan kes tertinggi apabila suspek akan mengiklankan penjualan barangan di internet dan meminta mangsa membuat bayaran membeli barangan tersebut.

"Mangsa hanya akan menyedari ditipu setelah membuat pembayaran dan tidak menerima barangan dijanjikan seperti di dalam laman berkenaan," katanya.

Kamarudin menambah, penyamaran sebagai pegawai bank atau polis menyaksikan sindiket membuat panggilan atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) secara rambang kepada mangsa.

"Selepas itu, ahli sindiket akan menyamar sebagai pegawai bank atau polis dengan menjawab panggilan mangsa lalu meminta mendedahkan butiran akaun.

"Mangsa akan diarahkan mengunjungi mesin ATM dan melaksanakan arahan diberikan melalui perbualan telefon sehingga wang mangsa dipindahkan ke akaun lain," katanya.

Suspek turut akan menggunakan maklumat perbankan pemegang akaun untuk pengeluaran wang melalui mesin ATM

Satu lagi taktik yang biasa digunakan adalah mangsa akan berkenalan dengan suspek melalui laman sosial dan diyakinkan suspek ikhlas untuk bersahabat.


PENGGUNAAN telefon pintar mendedahkan lagi pengguna dengan penjenayah siber.


"Mangsa kemudian akan dijanjikan menerima satu bungkusan dikirim dari luar negara. Kebiasaannya bungkusan tersebut mengandungi barangan berharga seperti wang atau barangan kemas.

"Mereka akan dimaklumkan bahawa barangan tersebut telah ditahan kastam dan perlu membuat bayaran untuk pelepasan barangan tersebut," ujarnya lagi.

Beliau menambah, kaedah phishing pula digunakan untuk mencuri maklumat secara dalam talian.

Katanya, suspek akan mewujudkan laman web palsu bagi mendapatkan maklumat peribadi atau pun perbankan mangsa.

Pilih Alam Siber

Pensyarah Kriminologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sundramoorthy pula berkata, terdapat beberapa faktor yang mendorong penjenayah siber memilih alam maya dalam melakukan jenayah.

"Di alam siber penjenayah biasanya lebih bersikap meyakinkan kerana mereka tidak perlu berkonfrantasi dengan mangsa malah, boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

"Selain daripada itu, mereka juga mempunyai persepsi bahawa alam siber selamat daripada dikesan pihak berkuasa," ujarnya.

Sundramoorthy berkata, ia disebabkan identiti mereka tidak boleh dicam dan atau boleh dipalsukan.

Menyentuh mengenai mengapa mangsa mudah diperdaya penjenayah siber, beliau menjelaskan, antara penyebab ia berlaku adalah cinta itu buta.

"Akibat penangan cinta dan beranggapan telah menemui teman hidup, mereka mudah percaya kepada orang tidak dikenali.

"Kebiasaannya, kes-kes sebegini disebabkan mangsa jatuh cinta dan mempercayai suspek sehingga ditipu. Ada juga di antara mereka tidak pernah menemui suspek," katanya.

Ujarnya lagi, sikap tamak turut memainkan peranan apabila mangsa ingin menjadi kaya dengan jalan pintas.

Menyedari pelbagai amaran dan pendedahan telah dilakukan pihak berkuasa serta media, mereka masih yakin dengan iklan atau pun skim cepat kaya ini.

"Bagaimanapun, majoriti mangsa-mangsa jenayah siber tidak mengetahui mereka adalah mangsa.

"Ia boleh dikatakan kecuaian apabila memberi atau pun mendedahkan maklumat kritikal kepada penjenayah siber," katanya.

Pencegahan

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt. Kol. (Bersara) Prof. Datuk Husin Jazri berkata, orang ramai perlu sentiasa mempunyai sikap berwaspada dan berhati-hati apabila berada di alam siber.


CYBERSECURITY antara badan yang menyediaka pelbagai info dam tip mengenai jenayah siber.


"Jangan mudah percaya dengan orang yang baru dikenali terutama melalui laman web sosial kerana kita tidak mengetahui identiti sebenar mereka serta tujuan mereka menjalinkan persahabatan dengan kita.

"Dalam pada itu, mereka juga dinasihatkan agar tidak mendedahkan maklumat diri serta keluarga kepada orang yang baru dikenali kerana mereka mungkin mempunyai niat tidak baik. Bahkan, akhirnya anda akan terdedah kepada anasir-anasir negatif serta berniat jahat,"katanya.

Husin menegaskan, pengguna alam siber tidak perlu memuatnaik (upload) atau berkongsi gambar-gambar serta video yang berbentuk peribadi.

Katanya, mereka perlu memastikan mewujudkan tetapan privasi untuk melindungi maklumat peribadi daripada mereka yang bukan berada di kelompok rakan-rakan.

"Orang ramai boleh mengunjungi laman web kami iaitu www.cybersecurity.my kerana daripada laman web ini, mereka boleh masuk ke laman CyberSAFE (www.cybersafe.my) yang terdapat pelbagai tip serta nasihat berhubung keselamatan siber di situ," katanya lagi.

Sekiranya jenayah siber tidak diambil perhatian dengan serius, potensi kerugian dalam beberapa sektor ekonomi di Malaysia dalam jangka masa lima tahun dianggarkan boleh mencecah sehingga RM2.73 bilion.

Jenayah siber boleh memberi kesan negatif kepada imej negara dan menjejaskan peluang pelaburan dari luar negara kerana kurangnya keyakinan serta kepercayaan terhadap tahap keselamatan siber negara.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved