Ahad, 18 Disember 2011

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Ekspresi Sara Ali

Posted:

Ekspresi Sara Ali

Ekspresi Sara Ali

SARA mengaku sangat berdebar menunggu reaksi khalayak terhadap Songlap.


JALUR lakonan Sara Ali bermula dengan pengesanan wajahnya di Facebook. Kalau namanya rezeki, satu pesanan di laman sosial itu oleh pengarah filem Sesuatu Yang Tertinggal sudah memadai untuk mengubah status gadis berusia 21 tahun itu.

"Pengarah filem itu, Asrulhisyam Ahmad tanya sama ada saya minat berlakon.

"Pada awalnya saya risau tetapi memandangkan dia minta saya datang uji bakat di pejabat Grand Brilliance, saya jadi yakin. Saya pergi ke sana dengan ditemani ibu.

"Selepas uji bakat pertama, saya ditawarkan watak sebagai Mona," Sara mengimbas kembali tuahnya.

Untuk tahun ini nama seorang Sara Ali pasti disebut-sebut selepas tarikh 15 Disember.

Sebelum ini bukan dia tidak pernah berlakon tetapi selepas penayangan filem Songlap, nama bunga ini semakin bermain di bibir penonton filem arahan Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak itu. Untaian nama ini pasti berawal dengan tanda tanya dan jawapannya ada dalam Songlap.

Ekspresi wajah Sara dalam filem lakonan bersama Sam Shaheizy dan Syafie Naswip itu meletakkan Sara pada satu aras lain dalam bidang seni yang diceburinya secara tidak sengaja ini.

Tuah wajah lagi

Cuma berkata-kata sebaris dua pada penghujung cerita, untuk seorang anak muda yang masih baru dalam dunia lakonan, ia bukan tugas mudah.

Angguk Sara, perjalanan Songlap membolehkan dia merasa erti penat tetapi dibayar dengan hati yang puas.

"Saya banyak berfikir dan ini membuatkan saya letih sedikit. Bukan mengeluh tapi itu yang dirasai kerana saya sentiasa kena berfikir apakah ekspresi yang akan saya beri.

"Perlu lebih banyak gunakan otak daripada fizikal," ujar gadis ini yang baru selesai kuliah jurusan seni bina dari Universiti Limkokwing.

Akui Sara, Songlap memberinya satu dimensi tepat definisi pelakon. Katanya, berlakon itu kerja sukar namun dia selalu memikirkan bagaimana untuk melakukan yang terbaik pada masa hadapan.

Membawakan watak Hawa, gadis hamil yang terjebak dalam sindiket pemerdagangan manusia bukanlah satu hal yang mudah.

"Melalui Songlap saya menimba banyak pengalaman. Berlakon itu sukar, begitu juga di bahagian teknikal. Skrip sangat penting.

"Walaupun dalam filem itu saya tidak banyak dialog tetapi saya perlu baca dan faham dialog orang lain kerana saya akan memberi respons menerusi mimik wajah.

"Yang penting, mesej 1Malaysia dalam filem ini dilakonkan secara bersahaja tanpa kelihatan ditonjolkan dengan bersunguh-sungguh," ujarnya.

Begitu besar harapan diletakkan oleh Sara pada filem kedua lakonannya itu. Sesudah filem Nur Kasih, kini dia cuba melukis bakatnya di kanvas Songlap.

"Jujurnya saya memang letak harapan. Kalau diterima, saya sangat bersyukur. Bohong jika saya tidak takut kalau ia ditolak. Titik perjalanan seni saya ditentukan oleh penerimaan penonton terhadap Songlap," ikhlas dia bercerita.

Tambah Sara: "Saya mahu penonton peka dengan jalan cerita Songlap. Mereka mesti datang untuk tonton kekuatan jalan cerita itu, bukan disebabkan barisan pelakonnya semata-mata," akuinya yang kagum dengan semua pelakon filem ini kerana mereka bagus-bagus belaka.

Mencuit sedikit skeptikal umum terhadap senario kehadiran pelakon baharu di tengah-tengah aktor yang sudah lama menapak, Sara tidak terkecuali dihimpit ungkapan 'tumpang glamor'. Nama Sam dan Syafie menjadi tunjang kepada 'penumpangan' itu.

Hakikatnya jika melihat pembawaan karakter mereka, baik Sam, Syafie mahupun Sara semuanya berada pada garisan permulaan yang sama di dunia Songlap.

Sam seakan-akan bebas daripada watak kelakar yang sudah stereotaip untuk pelakon sebagusnya.

Bagi Syafie pula inilah filem perdananya yang bukan di bawah payung arwah Yasmin Ahmad.

Manakala Sara, filem ini mempamerkan kredibiliti lakonannya dengan adegan yang banyak. Secara teknikalnya, mereka bermula pada garisan perlumbaan yang sama.

"Saya tahu orang cakap saya tumpang populariti Sam dan Syafie. Hakikatnya, ini tuah saya kerana dapat bersama mereka. Saya boleh belajar daripada orang yang bagus.

"Perlu diketahui juga bahawa saya tidak tahu kedua-dua pelakon itu akan berlakon dalam filem ini kerana ramai yang hadir ke sesi uji bakat," katanya laju tentang keberuntungan hidupnya.

Bosan watak kelam

Bercakap mengenai karakter, Sara yang telah berlakon dalam lima buah filem mengaku dia tidak tercari-cari watak utama.

Sebaliknya jika dia dapat memangku watak pembantu tetapi dijayakan dengan baik, itu sudah memberi kepuasan.

"Saya mencari warna dalam karakter. Sebenarnya saya teringin untuk mencuba watak aksi. Itu bagi saya satu cabaran.

"Satu perkara yang mungkin 'kekurangan' bagi saya adalah tubuh saya yang kecil dan kurus. Ada yang melontarkan persepsi saya terlalu budak untuk diberikan watak.

"Akhirnya saya diberikan watak budak kolej atau remaja sahaja. Ini yang susah nak dipecahkan," luahnya yang telah berlakon filem Klip 3GP, Penunggu Istana dan Jangan Pandang-Pandang...

Begitu juga watak kelam bagaikan sudah lekat pada dirinya. Bermula daripada filem Nur Kasih, drama Wasiat dan bersambungan dalam Songlap, karakter tanpa senyum ini dibawanya dengan jaya dan seperti bersambung-sambung.

"Tidak sukar untuk membawa watak kelam tetapi saya akui sudah bosan kerana mahukan kelainan," jujur dia berbicara.

Ternyata seorang lagi anak seni sedang memulakan langkah. Ini satu permulaan buat Sara.

Walau watak kelam yang sering diberikan kepadanya, namun impaknya sudah diterima ramai. Sara Ali punya pelangi yang menanti di hadapannya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tak senyum, Projek Pistol kena singkir

Posted:

Tak senyum, Projek Pistol kena singkir

Tak senyum, Projek Pistol kena singkir


PROJEK PISTOL yang terdiri daripada Zam (bass), Edrie (gitar), Boy (vokalis) dan Pa'e (dram) disingkirkan daripada konsert Fenomena 30 Tahun Search.


'OH, wanita seluruh dunia kuingin kau tahu, yang aku cinta kamu semua, wahai permaisuriku'... Diva percaya lirik lagu nyanyian Boy kumpulan Projek Pistol ini boleh buat ramai wanita terawang-awang.

Sebab itulah Diva senyum saja bila nama Projek Pistol masuk senarai dalam Konsert Fenomena Search yang berlangsung malam tadi di Pusat Konvensyen The Mines di Seri Kembangan, Selangor.

Ia memang bagus untuk grup baharu yang dianggotai orang lama macam Edrie Hashim.

Tapi bila dengar kes vokalisnya, Boy, yang tidak memberikan senyuman kepada salah seorang penganjur berkenaan hingga menyebabkan nama Projek Pistol dipadamkan, Diva terkejut.

Ikut perancangan asal, Projek Pistol akan menjadi band pembuka tirai untuk konsert semalam.

Pelik juga sebab umum tahu yang Boy itu walaupun nampak kasar, wajahnya yang iras-iras Shahrukh Khan memang pemurah dengan senyuman. Tak tahulah kalau benar bagai dikata.

Diva: Semua artis kena senyum lebih sekarang, maklumlah penamaan calon untuk 'pilihan raya' mencari artis paling popular sudah kembali lagi di mahkamah.

Full content generated by Get Full RSS.

Padah jadi penjamin

Posted:

Padah jadi penjamin

Padah jadi penjamin


FIZO bersama peguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat dalam sidang media, Selalu lalu.


MENIPU atau menjadi mangsa penipuan melibatkan jumlah berjuta-juta ringgit bukan perkara pelik malah itulah risiko dunia pelaburan atau perniagaan.

Apa yang terjadi kepada pelakon muda, Fizo Omar juga bukan sesuatu yang luar biasa kepada pemerhati industri hiburan.

Sebelum ini, nama seperti Amy Search, Hattan dan Eddrie Hashim telah melalui fasa teraniaya, cuma dalam situasi berbeza.

Fizo Omar atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 26, menjadi contoh terbaharu betapa mudahnya nama atau profil seseorang itu dipergunakan untuk kepentingan pihak lain.

Tiga tahun lalu, Fizo mengizinkan namanya digunakan sebagai Pengarah Urusan dan ahli lembaga pengarah sebuah syarikat percetakan.

Walaupun aktif sekadar beberapa bulan sebelum mengundur diri untuk fokus kepada lakonan, langkahnya dulu itu memberi impak yang cukup besar.

Pertengahan minggu ini semuanya dibongkarkan. Fizo membuka masalahnya yang kemas disimpan sejak setahun lalu. Terbeban oleh hutang lebih RM2 juta bukan satu pukulan yang kecil buat artis yang sedang membina nama seperti Fizo.

Biarpun dilihat berada di kandang mangsa yang teraniaya, jawatan Pengarah Urusan serta ahli lembaga pengarah yang menggunakan nama itu mengheret Fizo ke dalam belenggu hutang yang besar.

Silap hari bulan, dia yang bertindak sebagai penjamin bagi kesemua hutang syarikat yang sudah tidak wujud itu boleh diisytiharkan muflis.

"Saya tidak pernah menerima sebarang dokumen berkaitan pinjaman itu.

"Saya terkejut apabila tiba-tiba dihubungi pihak bank yang memaklumkan perkara itu," cerita pelakon berasal dari Pasir Putih, Kelantan itu berhubung masalah yang memerangkapnya sekarang.

Pujian juga buat Fizo kerana bertindak dan mengadu kepada pihak yang tepat. Ketika ini Sukarelawan Peguam (SukaGuam) sedang mengendalikan 100 kes serupa seperti mana dihadapi oleh Fizo dalam tempoh enam bulan lalu.

Manakala Fizo menjadi kes pertama membabitkan selebriti yang diterima pihak SukaGuam.

Dakwa Fizo, tanpa pengetahuan namanya dipergunakan oleh syarikat berkenaan sebagai penjamin untuk membuat pinjaman berjumlah RM8 juta tetapi pihak bank hanya meluluskan sebanyak RM2 juta.

"Dalam tempoh dua minggu ini, saya sudah berbincang dengan peguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat, untuk berjumpa dengan pihak bank dan cuba meminta segala dokumen berkaitan permohonan pinjaman tersebut," kata Fizo dalam sidang media bersama Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Selasa lalu.

Untuk bebas daripada cengkaman hutang yang tidak dilakukan sendiri, Fizo harus mendapatkan bukti serta dokumen yang sah untuk perbicaraan di mahkamah.

Apa yang terjadi kepada Fizo ini mungkin boleh dijadikan teladan. Pelakon itu sendiri menyesal kerana terjebak dalam situasi yang padahnya memakan diri sendiri.

"Ini satu pengajaran buat saya agar lebih berhati-hati.

"Buat rakan-rakan artis, kita jangan mudah menerima tawaran menjadi rakan kongsi dalam sesebuah syarikat," ujarnya yang mendiamkan diri daripada sebarang temu bual selepas sidang media Selasa lalu.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved