Jumaat, 25 November 2011

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Mesej kanser warga desa

Posted:

Mesej kanser warga desa

Mesej kanser warga desa

Oleh SYALMIZI HAMID

MAKNA turut memainkan peranannya dalam memberi maklumat dan kesedaran kepada warga desa melalui siri pameran serta ceramah.


ADELLA BAKHTIAR, 43, seperti ramai wanita desa lain sebelum ini kurang mengambil berat soal risiko penyakit kanser. Namun begitu, dia tetap sedar bahawa penyakit itu boleh menyerang sesiapa sahaja.

Berada di zon selesa, ibu tunggal yang memiliki tiga orang cahaya mata itu tidak pernah menjangkakan kehadiran penyakit pembunuh tersebut dalam hidupnya sehinggalah dia disahkan menghidap kanser pangkal rahim pada April lalu.

"Walaupun terdapat tanda-tanda saya mendapat penyakit itu seperti keluar cecair yang seakan air ketuban daripada bahagian sulit, haid yang panjang dan kesakitan bahagian belakang, tetapi saya masih tidak menganggapnya bahaya.

"Selepas lima bulan menunjukkan ciri-ciri itu barulah saya diberitahu bahawa saya disahkan menghidap kanser pangkal rahim," katanya yang turut memerlukan wang sebanyak RM40,000 untuk rawatan.

Dia yang selesai menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi sebanyak 27 kali itu telah mengalami penurunan berat badan yang serius, daripada 62 kilogram (kg) menjadi 37kg dalam tempoh yang singkat.

Adella berkongsi kisahnya bersama peserta ceramah Kesedaran Kanser Pangkal Rahim dan Pap Smear di Klinik Kesihatan Senawang, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Program tersebut merupakan anjuran bersama di antara Panel Penasihat Klinik Kesihatan Senawang, pelatih jururawat kesihatan awam dan Majlis Kanser Nasional (Makna).

Ceramah disampaikan oleh Fasilitator Outreach Program Makna, Habibah Abdul Rahman.

Biarpun sedih dengan dugaan tersebut, Adella tidak mahu rakan-rakan wanitanya yang lain menjadi mangsa kepada penyakit itu.

Seorang penduduk di sekitar pusat rawatan itu, Noor Latifah Abdul Rahman, 47, menjelaskan bahawa pihak berkaitan perlu mendekatkan diri dengan penduduk desa agar ramai yang diberi kesedaran tersebut.

"Rakan-rakan suri rumah lain perlu didedahkan dengan maklumat berkaitan dengan penyakit ini. Pihak terbabit perlulah mengambil perhatian untuk datang dan bermesra dengan mereka," katanya.

Peserta ceramah tersebut, Halimah Mohd. Yassin, 47, menjelaskan bahawa masyarakat desa kini mula sedar tentang penyakit yang popular dalam kalangan wanita itu biarpun pendedahan mengenainya masih tidak menyeluruh.

Perasaan malu dan stigma masyarakat di luar bandar terhadap kepentingan melakukan pemeriksaan di bahagian organ sulit itu masih lagi rendah.


PESERTA ceramah turut didedahkan dengan amalan pemakanan sihat yang boleh membantu mengurangkan risiko kanser.


"Kesedaran ada, cuma masih ramai yang malu-malu untuk berjumpa doktor," terangnya bagi mewakili masyarakat desa.

Dalam pada itu, Eksekutif Senior, Majlis Kanser Nasional (Makna), Mohd. Tarmizi Abdul Rahman menjelaskan bahawa pihaknya turut memainkan peranan dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat luar bandar.

Melalui sebuah lori kontena yang diubah suai, Makna menjadikan kemudahan itu sebagai medium untuk menyampaikan mesej kesedaran kepada mereka.

Medium jelajah

"Sebuah lori kontena diubah suai menjadi sebuah Unit Saringan Kanser Payudara Bergerak Makna untuk menjelajah di kawasan-kawasan bandar dan luar bandar di seluruh negara.

"Buat masa ini Makna hanya mempunyai sebuah kenderaan tersebut yang dilengkapi kemudahan alatan memografi digital terkini," katanya mengenai program yang mula diperkenalkan pada 30 Mac lalu itu.

Sehingga kini, kenderaan tersebut telah menemui penduduk luar bandar di beberapa kawasan antaranya seperti Kuala Selangor, Selangor; Alor Gajah, Melaka; Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Pagoh, Johor.

Melaluinya, penduduk luar bandar berpeluang untuk melakukan pemeriksaan dan saringan kanser dengan kemudahan terkini.

Pengerusi Panel Penasihat, Pusat Perubatan Senawang, Datuk Rohani Shariff menjelaskan, program kesedaran kanser tersebut bakal diadakan lebih kerap untuk menyedarkan seluruh penduduk di Senawang, Negeri Sembilan.

"Apa yang penting wanita perlu sedar bahawa mereka harus sentiasa menjalani ujian pap smear atau ujian mikroskopik kanser dan memberi rawatan awal sekiranya menghadapi masalah berkaitan kanser payudara atau kanser pangkal rahim.

"Untuk mengajak mereka datang bagi melakukan ujian saringan adalah amat sukar. Sekurang-kurangnya dengan melakukan program seperti ini mereka akan datang dalam suasana gembira," kata Rohani.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved