Selasa, 25 Oktober 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pesta cahaya keluarga estet

Posted:

Pesta cahaya keluarga estet

Pesta cahaya keluarga estet

EMPAT tahun lalu, kehidupan Lengesvary Muniandy, 33, berubah mendadak. Hari-hari yang dilaluinya penuh ceria sebelum itu berganti berlinangan air mata serta kesedihan yang tiada penghujungnya berikutan pemergian suami tercinta.

Kanser otak yang meragut nyawa suaminya dahulu kini kembali menghantui diri Lengesvary apabila satu-satu anaknya pula disahkan menghidap penyakit itu.

Walaupun kondisi anak lelakinya yang berusia 11 tahun itu masih terkawal, namun keresahan Lengesvary memang tidak dapat disembunyikan kerana setiap kali anaknya itu mengadu sakit kepala, dia akan membawa anaknya terus ke hospital bagi menjalani pemeriksaan.

Hidup dalam serba sederhana di Ladang Elmina, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, Lengesvary tidak dinafikan seorang ibu tunggal yang tabah serta tidak pernah sekali menghampakan kehendak anak kesayangannya itu.

"Selepas suami saya meninggal, saya memang tidak ada hati untuk menyambut Deepavali lagi kerana kebiasaannya selepas kematian salah seorang ahli keluarga, kami tidak akan menyambut perayaan itu untuk tahun berikutnya.


KEAKRABAN keluarga (dari kiri) Melinishwaran, Gunasegar, Lengesvary dan Mageswary begitu kuat biarpun hidup dalam serba sederhana di Ladang Elmina, Sungai Buluh.


"Tetapi saya memilih untuk tidak menyambut Deepavali selama empat tahun. Tiada persediaan dilakukan, rumah tidak dihias, tiada kuih dibuat dan saya hanya membelikan anak saya baju baharu," luah Lengesvary yang sudah 12 tahun mendiami ladang kendalian Sime Darby itu.

Melihatkan anak yang semakin membesar, Lengesvary tidak sampai hati mengecewakan putera kesayangannya itu dan membuat keputusan untuk menolak rasa sedih itu ke tepi dan memenuhi permintaan anaknya bagi menyambut Deepavali tahun ini.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Melinishwaran Ponarsan, 11, enggan makan selama dua hari dan mahu ibunya membuktikan janji yang dibuat bagi merayakan Deepavali.

Kepulangan ibunya bersama barangan persediaan perayaan seperti pakaian baharu buat dirinya dan bahan membuat kuih lantas mengembalikan senyuman Melinishwaran. Akhirnya dia dapat merasai kemeriahan Deepavali di rumah sendiri.

"Tahun-tahun sebelum ini, saya hanya beraya di rumah kawan-kawan di sekitar ladang ini dan tiada sambutan istimewa di rumah.

"Setiap kali melihat rumah kawan-kawan meriah dan cantik berhias menjelang Deepavali, saya rasa sedih kerana rumah saya tidak begitu," tutur Melinishwaran yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Bukit Darah.

Raya gaya estet

Meskipun dikelilingi pohon-pohon kelapa sawit, ia tidak langsung menimbulkan rasa bosan dalam diri 14 keluarga India di ladang itu malah, ia lebih meriah jika dibandingkan dengan sambutan Deepavali di bandar-bandar besar.


EMPAT tahun Lengesvary dan Melinishwaran tidak menyambut Deepavali kerana kematian suami tercinta akibat kanser otak.


Adik kepada Lengesvary, Mageswary Muniandy, 26, menyatakan, saban tahun penduduk di ladang itu akan menyambut apa jua perayaan bersama-sama tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

"Semua orang sama di sini, kami seperti sebuah keluarga besar dan kami selesa dan tenang hidup di ladang ini.

"Kebiasaannya dua atau tiga hari sebelum Deepavali, semua penduduk di sini berpeluang menonton wayang yang dipasang menggunakan layar putih di dewan.

"Malam Deepavali pula kami semua akan berkumpul dan bersama-sama melakukan persediaan untuk keesokan harinya," ujar Mageswary yang bekerja di sebuah kilang berhampiran.

Bukan itu sahaja, dewan serbaguna yang menjadi pusat aktiviti penduduk di situ juga akan bergema dengan paluan gendang-gendang buatan sendiri kanak-kanak India ladang itu.

Melinishwaran merupakan salah seorang kanak-kanak yang terlibat dengan persembahan yang hanya menggunakan tin-tin kosong itu.

"Tin-tin mereka akan diubah suai agar kelihatan seperti dhol (gendang India) sebenar dan diwarnakan agar kelihatan menarik.

"Lampu pelita akan diletakkan di bawah tin-tin ini sepanjang mereka mengalunkan muzik mereka menjadikan ia satu persembahan serba ringkas namun, penuh makna," kata Mageswary.

Gabung bangsa


KESEDERHANAAN menjadi tunjang warga estet dalam melakukan persiapan Deepavali.


Seperti kaum India lain, warga ladang juga akan mandi minyak pada pagi hari yang dipercayai mampu membuang rasa panas dalam badan di samping memberikan penglihatan yang lebih cerah pada hari Deepavali.

Mereka kemudiannya akan mengunjungi kuil yang juga terletak di ladang itu bagi upacara sembahyang dan seterusnya pulang ke rumah untuk makan tose bersama ahli keluarga.

Bagi Lengesvary, walaupun rumahnya hanya didiami dirinya dan Melinishwaran, tetapi hidup mereka tidak pernah sunyi dengan kehadiran saudara-mara serta ahli keluarga lain.

Gunasegar Gurupatam, 18, merupakan wajah wajib yang menyambut Deepavali bersama-sama keluarga Lengesvary meskipun memiliki keluarga di Kuala Lumpur.

"Sejak kecil saya rapat dengan keluarga Lengesvary, jadi saya lebih selesa menyambut perayaan ini bersama mereka dan penduduk di sini.

"Suasana di ladang ini cukup istimewa tambahan lagi apabila orang yang berkunjung ke rumah pada hari raya terdiri daripada pelbagai kaum.

"Di sini kita dapat melihat bagaimana utuhnya perpaduan serta semangat mereka dalam menjayakan sesuatu majlis atau perayaan dan situasi sebegini sukar ditemui di bandar," jelas Gunasegar yang merupakan adik ipar kepada Lengesvary.

Kuih-kuih tradisional kaum India seperti muruku dan ladu pula kebiasaannya menjadi juadah wajib di atas meja setiap rumah di ladang itu dan keistimewaannya ia akan dibuat sendiri.

Gadai rantai


KAWASAN perumahan Ladang Elmina mengandungi 74 buah rumah terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.


Berbalik kepada kisah Lengesvary, jika orang lain tidak perlu gusar tentang beban kewangan bagi membuat persiapan perayaan, ibu tunggal itu pula terpaksa menggadaikan rantai emas miliknya semata-mata mahu memenuhi keinginan anaknya.

Tambah Lengesvary yang bertugas sebagai penyelia di ladang itu, segala perhiasan di rumah untuk Deepavali tahun ini merupakan perhiasan lama yang diguna kembali.

Ujarnya, walaupun telah menggadai rantai, dia perlu berhati-hati dalam berbelanja bagi simpanan kecemasan dan belanja rawatan Melinishwaran yang memerlukan pemeriksaan berkala di hospital.

"Memandangkan Melinishwaran masih kecil, saya tidak mahu dia menjalani pembedahan atau mengambil apa-apa ubat kerana bimbang dia akan mempersoalkan penyakit yang dihidapinya.

"Saya hanya mahukan dia hidup normal seperti kanak-kanak lain tanpa perlu risau akan kesihatan dirinya dan tidak dinafikan dia memang sangat aktif," tutur Lengesvary yang memberitahu bahawa anaknya itu langsung tidak tahu-menahu akan penyakit dalam tubuh badannya itu.

Setiap pagi, Lengesvary akan keluar bekerja pada pukul 6.15 pagi dan ketika itu juga Melinishwaran akan ke sekolah dan hanya bertemu ibunya itu menjelang lewat petang.

Terkenang suami

Memori bersama suaminya masih kuat dalam diri Lengesvary membuatkan dia tidak mahu keluar dari ladang itu walaupun pada hari Deepavali.

"Memang saya masih mempunyai saudara-mara di luar sana tetapi ladang ini banyak memberi kebahagiaan pada diri saya terutama sekali apabila mengenang kembali saat-saat menjaga suami saya ketika dia mula jatuh sakit.

"Dia seorang suami dan ayah yang baik serta sangat menyayangi Melinishwaran. Setiap hari selepas dia pulang bekerja, dia akan membawa anaknya itu bersiar-siar dengan motosikal.

"Ketika dia baru sahaja meninggal dunia, setiap malam Melinishwaran akan tidur bertemankan gambar ayahnya dan perkara itu membuatkan saya sukar melupakannya," cerita Lengesvary.

Kini, hidupnya hanya tertumpu pada anak dan kerja sahaja. Baginya, perkara lain sudah tidak menjadi keutamaan termasuk mencari pengganti suaminya.

Namun terkadang, Lengesvary meluahkan bahawa setiap kali melihat pasangan suami isteri ceria pada hari Deepavali, secara automatik dia akan teringat kepada suaminya.

"Hanya air mata menjadi penawar, tetapi kini saya tidak mahu kesedihan menyekat kegembiraan Melinishwaran menyambut Deepavali.

"Semoga pesta cahaya kali ini membuka lembaran baharu buat kami dua beranak," tutur Lengesvary.

Full content generated by Get Full RSS.

Kali pertama mewah membeli-belah

Posted:

Kali pertama mewah membeli-belah

Kali pertama mewah membeli-belah


KANAK-KANAK ini amat gembira apabila diberi peluang membeli-belah sempena Deepavali.


SAAT menyaksikan seorang kanak-kanak lelaki mengambil sisa-sisa makanan daripada tong sampah untuk dijamah sebagai makan malam di Banting, Selangor satu ketika dulu, Praveendran Balasamy, 27, lantas mendekati kanak-kanak itu dan memberinya wang untuk membeli makanan.

Walaupun Praveendran baru sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun itu, sifat kemanusiaan dan tanggungjawab terhadap masyarakat terpinggir, begitu kuat dalam dirinya.

Tidak sanggup melihatkan kanak-kanak itu yang tidak berkeluarga dan hanya berumah di kaki lima, Praveendran membawa kanak-kanak itu pulang dan bermula detik itu tertubuhlah rumah kebajikan Sinthamani Divine Life Ashram.

Pengorbanan usia muda Praveendran membela nasib golongan kurang bernasib baik itu sememangnya berbaloi terutama sekali apabila melihat kanak-kanak yang dahulunya makan sisa daripada tong sampah kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Rusia.

Beroperasi di Jinjang Utara, Kuala Lumpur, rumah itu menjadi kediaman kepada 45 orang yang terdiri daripada tiga kategori iaitu golongan miskin, keluarga bermasalah dan yatim piatu.

"Tiada peringkat umur dihadkan kerana kami akan membawa pulang individu-individu yang dirasakan perlu bantuan kami termasuk warga emas dan ibu tunggal.

"Mengendalikan rumah kebajikan ini tidak mudah kerana kami perlu mendapatkan sumbangan sendiri dan sukar untuk menerima sumbangan hari ini jika tiada usaha mencarinya," luah isteri Praveendran, Satthiah Ponnusamy, 26.


WALAUPUN tidak dibesarkan dalam keluarga sempurna, namun kanak-kanak ini amat berdisiplin.


Bagi menguruskan rumah kebajikan yang telah berusia 10 tahun itu, 15 sukarelawan mengambil giliran masing-masing dalam memastikan kemudahan serta kelengkapan penghuni rumah tersebut dipenuhi dan disediakan seadanya.

Majoriti penghuni rumah itu merupakan kanak-kanak yang masih bersekolah dan disebabkan tidak mahu kanak-kanak itu ketinggalan, kesemua mereka dihantar ke sekolah dan yuran serta perbelanjaan harian mereka bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai.

Seorang sukarelawan yang ditemui, Rajasegar Thangamani, 23, menyatakan pihak sekolah turut bekerjasama dengan mereka dengan memberikan potongan yuran dan pinjaman buku teks memandangkan status mereka sebagai golongan kurang bernasib baik.

"Bagi memastikan pendidikan mereka terjamin, sekumpulan pelajar dari Taylor's College akan hadir setiap Sabtu dan Ahad bagi memberikan tuisyen percuma buat penghuni rumah ini.

"Mereka akan dipecahkan mengikut umur dan diajar mata pelajaran asas selama dua hingga lima jam," jelas Rajasegar.

Walaupun hidup mereka tidak mewah seperti orang lain, namun kesederhanaan yang diterapkan dalam diri mereka menjadikan penghuni rumah itu begitu berdisiplin dan amat menghormati orang sekeliling.

Sewaktu sekumpulan penghuni rumah itu dibawa membeli-belah dan menjamu selera di Suria KLCC, penulis begitu kagum dengan karakter serta cara anak-anak itu membawa diri masing-masing.

Mereka tidak banyak kerenah dan ragam, walaupun agak pemalu namun mereka tidak pula menolak untuk dirapati dan berkongsi keseronokan yang dijayakan Suria KLCC, Isetan, Bata dan Restoran Spice of India itu.

Mendekati kanak-kanak lelaki bernama Indran Parsuraman, 9, membuatkan hati penulis sedikit tersentuh. "Pernah datang beli-belah macam hari ini tak?" soal penulis kepada Indran yang sedang menghabiskan makan malamnya.


PENDIDIKAN menjadi keutamaan di rumah kebajikan Sinthmani Divine Life Ashram agar masa depan mereka lebih cerah.


Pendek sahaja jawapannya, "Tak pernah dan saya rasa sangat seronok," lantas kembali berbisik dengan rakan sebelahnya.

Indran tidak banyak bercakap tetapi, dia kelihatan teruja apabila disoal tentang pakaian dan kasut baharu yang diterimanya untuk Deepavali.

Bagi kanak-kanak yang masih memiliki ibu bapa, Deepavali mereka akan dirayakan bersama keluarga masing-masing untuk beberapa hari sebelum dihantar kembali ke rumah itu.

"Banyak ibu bapa tidak mampu menyediakan kemudahan untuk anak-anak mereka tetapi, tidak bermakna mereka tidak boleh merayakannya bersama-sama," ujar Satthiah lagi.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan atau sumbangan untuk rumah kebajikan Sinthamani Divine Life Ashram bolehlah menghubungi Praveendran di talian 016-904 6358.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved