Rabu, 28 September 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Mencari chef tempatan terbaik

Posted:

Mencari chef tempatan terbaik

Mencari chef tempatan terbaik

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

SEMENJAK rancangan Akademi Fantasia atau lebih dikenali sebagai AF mula disiarkan pada tahun 2003 di saluran Astro Ria, ternyata rancangan yang menggunakan format realiti televisyen telah mendapat tempat di kalangan penonton televisyen di Malaysia.

Merupakan rancangan realiti TV pertama di negara ini yang diadaptasi daripada sebuah rancangan di Mexico iaitu La Academia, Malaysia juga menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang memiliki versi sendiri dan diikuti Thailand dan Indonesia.

Boleh dikatakan rancangan yang sudah ke udara sebanyak sembilan musim itu menjadi satu fenomena baharu dalam industri hiburan tempatan serta menjadi kegilaan ramai terutamanya golongan muda.

Atas kejayaan yang ditempa oleh rancangan AF yang sememangnya mendapat sambutan luar biasa, maka lahirlah pelbagai lagi rancangan hiburan yang turut menggunakan format sama.

Malah, kewujudan pelbagai rancangan realiti TV ini juga dilihat semakin menyemarakkan lagi dunia hiburan tanah air dengan kemunculan begitu ramai artis yang berbakat besar.

Jika sebelum ini kebanyakan rancangan yang dihasilkan adalah bertujuan untuk mencari pelapis kepada penyanyi, pelakon ataupun komposer tempatan, kini telah lahir pula sebuah rancangan yang agak unik.


SERONOK. Barangkali inilah wajah-wajah peserta yang layak menyertai MasterChef Malaysia.


Dikenali sebagai MasterChef Malaysia, ia merupakan sebuah rancangan realiti TV yang berbentuk masakan dan bertujuan untuk mencari jurumasak atau lebih sinonim dengan panggilan chef yang diterbitkan oleh Astro.

Ia merupakan sebuah rancangan yang telah bermula di Australia pada tahun 2009 dan telah mengukir sejarah yang tersendiri apabila mencatatkan jumlah penonton tertinggi di negara tersebut untuk rancangan bukan sukan dengan jumlah empat juta penonton.

Melihat kepada sambutan penonton yang diraih di negara berkenaan, fenomena hebat tersebut diteruskan lagi MasterChef UK yang telah disiarkan di 145 buah negara. Turut menjadi perhatian adalah MasterChef US dan MasterChef France.

Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata sebagai sebuah saluran hiburan yang unggul, Astro Ria sangat bangga dan berbesar hati kerana bakal menayangkan sebuah rancangan yang sememangnya sangat dinantikan oleh rakyat Malaysia.

Ketika berucap di majlis pengenalan lima orang juri MasterChef Malaysia baru-baru ini, Khairul menjelaskan menerusi rancangan terkini ini akan memberi peluang kepada orang ramai untuk mencungkil bakat mereka dalam bidang masakan.

"Setelah sekian lama kita hanya menonton kehebatan peserta dari negara lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia, kini sudah tiba masanya untuk kita tonjolkan bakat anak tempatan.

"Untuk pertandingan ini kesemua peserta akan dilatih oleh mereka yang berpengalaman dalam dunia masakan dan salah seorang daripada peserta akan dinobatkan sebagai MasterChef Malaysia yang pertama," ujarnya.

Menurut Khairul, walaupun rancangan MasterChef ini baru kali pertama diperkenalkan di Malaysia, namun sambutan yang diterima ternyata sangat menggalakkan terutamanya pada sesi uji bakat yang diadakan sebelum ini.

Ujarnya lagi, sesi uji bakat pada bulan Mac yang lalu telah dilakukan di beberapa buah negeri di Malaysia seperti Pulau Pinang, Sabah, Johor, Terengganu dan Kuala Lumpur.


BARISAN juri. Dari kiri: Priya Menon (Chef Priya), Mohd. Nadzri Redzuawan (Chef Riz), Yahaya Hassan (Chef Yahaya), Zubir Md. Zain (Chef Zubir) dan Mohd. Johari Edrus (Chef Jo).


"Apa yang boleh saya katakan memang ramai yang berkeinginan untuk menonjolkan bakat dalam bidang masakan. Sepanjang sesi ujibakat yang dilakukan pihak kami telah menerima penyertaan yang banyak termasuk dari kaum Cina dan India.

"Bagaimanapun, seramai 40 peserta sahaja yang dipilih untuk menyertai rancangan ini bagi merebut gelaran juara selepas saringan yang cukup ketat dilakukan," jelasnya.

Tambah Khairul, kesemua peserta yang akan bersaing itu akan diletakkan di sebuah tempat yang diberi nama Bootcamp dan mereka terpaksa mengharungi beberapa siri rintangan dan penyingkiran.

Ujarnya lagi, selepas beberapa sesi penyingkiran dilakukan, hanya 24 peserta terbaik yang akan berjaya meneruskan perjalanan mereka dan cuma seorang peserta yang akan dinobatkan sebagai MasterChef Malaysia.

"Lebih menarik lagi, kesemua peserta yang akan bersaing nanti adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang seperti pelakon, doktor gigi, pereka fesyen, pelajar universiti dan penoreh getah," ujarnya.

Sementara itu, Khairul turut memberitahu bahawa peserta yang akan muncul juara juga tidak ketinggalan untuk membawa pulang hadiah yang cukup lumayan daripada pihak Astro.

Jelasnya, juara MasterChef Malaysia akan meraih hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 serta bakal mempunyai sebuah rancangan memasak yang akan dikelolakan sendiri oleh pemenang.

Akan memulakan siaran pada 22 Oktober ini di saluran Astro Ria, rancangan MasterChef Malaysia bakal bersiaran sebanyak 60 episod selama 10 minggu pada setiap hari Isnin, Selasa, Rabu, Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Juri profesional

Memandangkan rancangan MasterChef Malaysia buat julung-julung kalinya diadakan di Malaysia, maka pihak Astro telah melantik lima orang juri profesional yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang masakan.

Khairul menjelaskan, kelima-lima orang juri tersebut bukan sahaja akan menilai keupayaan dan perkembangan peserta, malah mereka turut bertindak untuk mengemudi rancangan tersebut.

"Dengan melantik lima orang juri profesional ini, setiap peserta pastinya akan lebih berpeluang untuk menimba lebih banyak ilmu dan teknik-teknik tentang cara memasak yang lebih baik.

"Saya juga percaya dengan kehadiran barisan juri yang disegani ini akan memberi impak yang terbaik bukan sahaja kepada para peserta, malah kepada penonton yang akan menonton rancangan ini nanti," ujarnya.

Antara juri profesional yang dilantik adalah seperti Mohd. Johari Edrus (Chef Jo), Priya Menon (Chef Priya), Yahaya Hassan (Chef Yahaya), Zubir Md. Zain (Chef Zubir) dan Mohd. Nadzri Redzuawan (Chef Riz).

Salah seorang juri iaitu Chef Jo berkata, rancangan MasterChef ini sememangnya sangat sesuai untuk diadaptasikan di negara ini memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai jenis masakan.

Bekas Presiden Persatuan Chef Malaysia itu turut meluahkan rasa kagumnya terhadap kesungguhan dan keazaman yang telah ditunjukkan oleh mereka yang telah menghadiri sesi ujibakat sebelum ini.

"Boleh dikatakan para peserta yang terpilih untuk menyertai rancangan ini adalah bertaraf amatur dan sememangnya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang masakan.

"Bagaimanapun, saya yakin mereka mampu untuk menjadi seorang chef yang baik pada masa akan datang dengan tunjuk ajar, bimbingan dan dorongan yang akan diberikan oleh kami nanti," ujarnya.

Menurutnya lagi, kesemua peserta yang bersaing juga turut berdepan dengan beberapa cabaran tertentu yang harus ditempuhi sebelum salah seorang layak untuk digelar sebagai MasterChef Malaysia yang pertama.

"Selain diberi had masa tertentu untuk menyiapkan sesuatu makanan, para peserta juga akan diuji untuk memasak makanan antarabangsa. Ia bertujuan untuk membuktikan yang para peserta tempatan juga mampu untuk menyediakan pelbagai jenis hidangan termasuk masakan negara lain," ujarnya.

Sementara itu, juri termuda dalam rancangan ini iaitu Chef Riz yang berusia 29 tahun berkata, dia sendiri tidak menyangka apabila diberi peluang oleh pihak Astro untuk menjadi juri.

Mengakui seorang peminat setia rancangan MasterChef, peluang untuk menjadi salah seorang juri adalah satu peluang yang sangat baharu buat dirinya dan berhasrat untuk berkongsi segala ilmu dan pengalaman yang diperolehi kepada peserta.

"Sebenarnya bidang masakan ini bukan hanya kepada mereka yang bergelar chef kerana semua orang sebenarnya boleh memasak. Namun, menerusi rancangan ini para peserta akan diberi tunjuk ajar tentang cara dan teknik masakan yang lebih baik.

"Pada masa yang sama, saya juga ingin membuktikan kepada orang ramai bahawa bidang masakan ini boleh dijadikan kerjaya profesional dan boleh memperoleh pendapatan yang lumayan," ujar anak kepada chef terkenal Malaysia iaitu Chef Wan.


PESERTA turut diuji dengan kepakaran memasak masakan Barat.


Kolaborasi

Selain saluran Astro Ria yang akan menjadi penyiar rasmi untuk rancangan MasterChef Malaysia yang akan berlangsung selama 10 minggu, pihak Astro juga telah menjalinkan kolaborasi dengan Fox International Channels.

Pada majlis tersebut, Khairul memberitahu bahawa dengan kolaborasi yang terjalin di antara kedua-dua pihak, ia bermakna rancangan tersebut juga akan turut disiarkan di saluran STAR World (Astro 711).

"Pihak kami sudah tentu sangat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Fox International Channels memandangkan rancangan ini akan dapat disaksikan oleh penonton luar negara.

"Ini bermakna rancangan Masterchef Malaysia sudah tentu akan dapat ditonton oleh penggemar rancangan masakan di beberapa buah negara Asia yang lain seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Hong Kong," ujarnya.

Jelasnya lagi, dengan kolaborasi tersebut juga dilihat sebagai satu langkah yang cukup positif terutamanya untuk pihak luar dapat mengetahui dengan lebih mendalam tentang keunikan budaya yang ada di negara ini termasuklah melalui masakan.

Wajah baharu Moscow

Posted:

Wajah baharu Moscow

Wajah baharu Moscow


WARGA Moscow kini terpaksa berhadapan dengan debu dan bunyi bising hampir setiap hari berikutan kerja-kerja pembinaan yang dilaksanakan.


LONGGOKAN batu-bata memenuhi jalan raya, bunyi gerudi yang memeningkan tanpa henti dan suku daripada kaki-kaki lima di Moscow telah bertukar menjadi serpihan.

Ia merupakan musim panas yang paling trauma kepada warga Moscow yang tidak dapat melarikan diri dari bandar raya itu dan keluar bercuti seperti lazimnya.

Kerja-kerja pembinaan kini giat dilakukan secara besar-besaran di seluruh bandar raya itu. Ia bertujuan menggantikan turapan di laluan kaki lima berwarna kelabu kepada warna kelabu lembut dan merah sekali gus menjadikannya mirip kepada sebuah kota moden di Eropah berbanding sebuah metropolis yang berusia lebih 11 juta tahun.

Kerja-kerja yang dilakukan merupakan perubahan paling ketara yang dicetuskan oleh Datuk Bandar Moscow yang baharu, Sergei Sobyanin. Beliau kini dalam misi untuk mengubah wajah keseluruhan bandar raya itu yang sebelum ini berhadapan dengan pelbagai masalah.

Sejak menjawat jawatan baharu itu, Sobyani juga berusaha untuk mengatasi salah satu masalah yang berakar umbi di bandar raya itu iaitu kesesakan lalu lintas, kemusnahan bangunan bersejarah dan memperbaiki perkhidmatan seiring pertambahan mendadak penduduknya.

Peningkatan populasi

Malah beliau juga bercita-cita tinggi, termasuk merancang untuk memperluaskan sempadan Moscow 2.5 kali ganda daripada saiz asalnya iaitu merangkumi pertambahan lebih 160,00 hektar di kawasan sekitarnya.

"Kami mempunyai sebab berbuat demikian memandangkan populasi penduduk di Moscow 1.5 kali ganda daripada penduduk di Hong Kong," kata perancang bandar, Vyacheslav Glazychev yang terlibat di dalam strategi berkenaan.

"Ia merupakan proses panjang, tetapi seseorang perlu memulakannya. Sayang sekali, apa yang saya ingin lihat itu berlaku hanya selepas 15 tahun," katanya.

Dilantik oleh Kremlin pada Oktober selepas penjawat terdahulu, Yury Luzhkov dipecat akibat skandal rasuah, Sobyanin merupakan bekas pegawai tertinggi Perdana Menteri, Vladimir Putin selepas berkhidmat sebagai gabenor di wilayah Siberian, Tyumen.

Beliau sangat menjaga pergerakannya dan jarang tersenyum, bercakap dengan nada seorang pegawai berbeza dengan penjawat terdahulu, Luzhov. Salah satu hobinya ialah berburu.

Sebagai penyelesaian untuk jangka masa panjang, dewan bandaraya Moscow mahu membina Moscow yang lebih hebat atau Big Moscow iaitu perkembangan pertamanya sejak tahun 1961. Peta kasar mengenainya dan pembekuan jualan tanah telah dilakukan di kawasan yang disasarkan bagi tujuan itu.

Apa yang pasti, pelan itu jelas menunjukkan ia telah dinaungi pemimpin peringkat tertinggi.

"Moscow tidak boleh membangun melebihi had yang ditetapkan," kata Putin.

Dramatiknya, Presiden Dmitry Medvedev telah memanggil institusi-institusi kerajaan untuk mengeluarkan bandar raya itu daripada had yang telah ditetapkan.

Kawasan di tengah-tengah bandar raya itu akan dijadikan kawasan pelancongan bersejarah, kata seorang pakar yang terlibat dalam strategi itu, Alexander Savchenko kepada majalah Ogonyok.

"Kami berpendapat bangunan pejabat baharu tidak perlu dibina di dalam kawasan Garden Ring, malah bangunan-bangunan bersejarah juga tidak perlu dimusnahkan."

Bagaimanapun, cadangan itu telah mengundang pelbagai kontroversi daripada beberapa pihak.

Warga Moscow langsung tidak berasa kagum dengan kerja-kerja turapan yang dilakukan. Malah sepanjang tempoh itu mereka terpaksa mengharungi debu dan kesesakan lalu lintas apabila laluan-laluan di kaki lima tidak boleh digunakan selama beberapa hari.

Biarpun idea itu tampak menarik, namun pakar-pakar pendapat ia dilakukan secara tergesa-gesa dan tidak diselia dengan baik.

"Ia melibatkan kemahiran yang tinggi dan mereka yang melakukannya kurang berpengalaman," kata Glazychev.

"Saya bimbang sekiranya terdapat bahagian-bahagian penting dalam projek ini yang perlu dilakukan semula."

Malah terdapat satu cerita lucu yang berkisar tentangnya: "Apabila Luzhkov pergi, dia menanam seluruh hartanya di bawah laluan kaki lima dan Sobyanin pula cuba mencarinya."

Pelan yang dicadangkan itu telah merebak ke seluruh Moscow dan ia telah menimbulkan rasa curiga dalam kalangan penduduk yang terlibat.

"Sehingga kini belum ada perancangan bagi meminta pendapat penduduk setempat sama ada mereka bersetuju untuk menyerahkan daerah-daerah yang terlibat di Moscow melalui bajet serantau," kata ketua parti liberal Yabloko, Sergei Mitrokhin dalam satu kenyataan.

Sementara itu, banyak pihak yang ragu-ragu dengan kenyataan Sobyanin sebelum ini untuk menghentikan aktiviti merobohkan bangunan sebaliknya beliau berjanji mahu memastikan aspek pemuliharaan dititikberatkan dalam proses pembuatan keputusan.

Kumpulan arkitek pemuliharaan Arkhnadzor, Konstantin Mikhailov berkata, beliau tidak melihat sebarang dokumen mengenainya termasuk menghentikan aktiviti merobohkan bangunan dan hanya selepas arahan itu dikuatkuasakan selama beberapa bulan, ia kini telah dilaksanakan semula.


TRANSFORMASI yang sedang dilaksanakan bakal mengubah Moscow kepada salah sebuah bandar raya yang moden di Eropah.


Kesesakan lalu lintas

"Secara jelas ia menunjukkan pihak berkuasa tidak bermaksud untuk berkordinasi dengan aspek pemuliharaan. Mereka cenderung untuk membuat keputusan bersendirian," katanya, sambil memberi amaran keputusan itu akan menimbulkan keraguan dan kekaburan berhubung pelan yang dilaksanakan.

Sebelum ini, Sobyanin pernah memberitahu, beliau mahu berdiri di atas bangunan untuk melihat kesesakan lalu lintas sebaik dilantik menjadi Datuk Bandar.

"Namun selepas hampir setahun, tiada apa yang telah dilakukannya," kata Alexander Shumsky, yang mengetuai Pusat Moscow bagi Menangani Trafik dan Kesesakan Lalu Lintas iaitu sebuah kumpulan pendesak.

Secara purata, kadar kelajuan trafik di Moscow menurun kepada 16 kilometer sejam tahun lalu.

"Ketika Sobyanin membina lebih banyak tempat meletak kenderaan, beliau gagal di atas percubaanya memperkenalkan lorong-lorong bas," ujar Shumsky.

Di Moscow, dakwaan terhadap rasuah tidak pernah surut. Sebaik sahaja kempen membaik pulih kaki lima bermula, terdapat khabar angin mengenai penglibatan isteri Sobyanin, Irina Rubinchik dalam perniagaan batu-batu turap itu, seperti juga isteri Luzhkov yang pernah mengetuai sebuah syarikat pembinaan.

"Isteri saya merupakan seorang pengasuh di tadika. Dia tidak mempunyai kaitan dengan sebarang perniagaan," tegas Sobyanin menafikan tuduhan tersebut seperti yang disiarkan dalam akhbar.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved