Khamis, 8 September 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Tiket AS kekal polis dunia

Posted:

Tiket AS kekal polis dunia

Tiket AS kekal polis dunia

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

SALAH seorang penulis laman rasmi blog bual bicara NPR, Talk of the Nation pernah mengungkapkan kata-kata berikut: "Memang tidak dapat dinafikan bahawa tragedi 11 September 2001 telah mengubah Amerika Syarikat (AS). Dalam apa cara dan sejauh mana ia berubah bergantung di mana anda pada hari itu (kejadian)."

Apa yang dinukilkan penulis bernama Scott Cameron itu ada kebenarannya. Tragedi serangan pengganas ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York menyebabkan kedua-dua bangunan berkembar yang menjadi kebanggaan rakyat negara Uncle Sam itu runtuh menyembah bumi.

Malah, dunia langsung tidak menyangka negara sekuat AS bakal berdepan dengan tragedi yang mencatat sejarah hitam dalam kalendar antarabangsa.

Rempuhan pesawat Boeing 767 American Airlines Flight 11 di Menara Utara WTC pada pukul 8.46 pagi waktu tempatan dan pesawat United Airlines Flight 175 di Menara Selatan WTC pada pukul 9.03 pagi itu dikatakan didalangi oleh sekumpulan pengganas yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian Al-Qaeda.


ASAP dan debu panas memenuhi ruang angkasa bandar raya New York sejurus serangan berlaku.


Ironinya, kejadian yang mengorbankan lebih 3,000 nyawa itu menyebabkan AS bertekad melancarkan perang menangani keganasan secara besar-besaran dan menuduh Osama bin Laden sebagai ketua pengganas yang bertanggungjawab terhadap tragedi tersebut.

Malah, kerajaan AS di bawah pimpinan Presiden George W. Bush ketika itu menjadikan insiden 11 September 2001 sebagai alasan kuat untuk mengebom Afghanistan dalam usaha mereka memburu Osama dan pengikutnya hingga membunuh ramai orang awam termasuk wanita serta kanak-kanak yang tidak berdosa. Situasi itu juga menyebabkan umat Islam di AS diselubungi kebimbangan terutamanya pada tanggal 11 September itu sendiri.

"Meskipun masa berlalu begitu pantas, saya sentiasa berasa susah hati apabila munculnya tarikh keramat itu. Pada tarikh 11 September, apabila saya keluar rumah sambil memakai tudung, masyarakat akan memandang serong dan menyalahkan saya kerana kejadian yang berlaku," kata Nancy Rokayak dari Charlotte, North Carolina sewaktu ulang tahun kelapan tragedi serangan itu.

Wanita kelahiran AS yang memeluk Islam dan mempunyai empat cahaya mata dengan suaminya yang berasal dari Mesir itu akan memastikan dia memakai pin bendera AS pada setiap 11 September dan mengakui berasa lebih selamat berada di rumahnya pada waktu berkenaan.


PARA petugas keselamatan bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa kejadian runtuhan WTC.


Tapak Ground Zero

Dalam pada itu, tapak WTC yang dikenali sebagai Ground Zero kini sedang rancak dibangunkan semula sejak tahun 2008. Menurut pemilik tapak itu, memorial WTC akan dibuka secara rasmi kepada umum pada tarikh 11 September 2011 sempena ulang tahun ke-10 tragedi serangan pengganas ke atas bangunan tersebut.

Proses pembinaan semula Ground Zero yang akan dijadikan hab pengangkutan kereta api itu menelan belanja sebanyak AS$3.2 bilion (RM11.09 bilion). Ia dijangka siap menjelang tahun 2014.

Selain itu, pembinaan sebuah masjid dan pusat Islam yang diilhamkan pemimpin Cordoba Initiative, Feisal Abdul Rauf di sebelah tapak WTC turut mengundang kontroversi dan provokasi daripada pelbagai pihak.

Bagi yang menentang, mereka merasakan rancangan membina masjid itu dianggap sebagai 'monumen kejayaan Islam' dalam membunuh lebih 3,000 mangsa yang berada di bawah runtuhan tersebut.


GAMBAR lakaran artis bagi projek pembangunan semula di tapak WTC atau Ground Zero.


Sebaliknya kumpulan penyokong pula menuduh Barat sengaja tidak mahu memahami kesucian Islam dan hanya melihat agama syumul itu sebagai pengganas seperti Al-Qaeda, Taliban dan Parti Baath di Iraq sebelum kejatuhan Saddam Hussein.

Impak Osama

Sementara itu, pada awal Mei lalu beribu-ribu rakyat AS membanjiri tapak Ground Zero tersebut semata-mata untuk meraikan kematian Osama yang terbunuh dalam satu serangan di lokasi persembunyiannya di sebuah rumah agam di Abbotabad, Pakistan.

Kejayaan AS membunuh ketua pengganas paling dikehendaki negara Uncle Sam itu disifatkan oleh Presiden Barack Obama sebagai satu pencapaian yang paling signifikan dalam usaha negaranya memerangi rangkaian Al-Qaeda.

Namun Pengerusi Nahdatul Ulama (NU), sebuah pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Said Aqil Siradj berkata, kematian Osama masih belum cukup untuk terus menghapuskan fahaman radikal dari muka bumi.


SELEPAS hampir sedekad tragedi 11 September, barulah AS berjaya membunuh Osama yang dituduh menjadi perancang utama serangan tersebut.


"Kita perlu sentiasa berwaspada kerana fahaman radikal sudah lama wujud dan tidak akan hilang. Justeru, komitmen kita yang berterusan untuk bertindak memerangi fahaman radikal tidak boleh luntur," tegasnya terhadap reaksi kematian Osama.

Perkara itu turut diakui oleh Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Politik, Kementerian Luar Negara dan Integrasi Eropah Republik Crotia, Dr. Mario Nobilo di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar beliau, kematian pemimpin Al-Qaeda itu tidak menjamin masalah keganasan antarabangsa akan turut berakhir.

"Walaupun Osama terbunuh dalam operasi yang digerakkan oleh tentera AS itu, namun kumpulan berkenaan tetap wujud walaupun tidak sekukuh dahulu," katanya.

TUKAR survival kedai runcit

Posted:

TUKAR survival kedai runcit

TUKAR survival kedai runcit


MAZNAH HUSSIN menyusun barangan yang dijual di kedai runcit miliknya, Maznah Gemilang Enterprise di bawah Program TUKAR di Merlimau Utara, Jasin, Melaka.


MINAT pelanggan membeli barangan secara berulang di sesebuah kedai kebiasaannya banyak dipengaruhi oleh keadaan kedai yang selesa dan bersih, layanan mesra dan pilihan barangan.

Faktor-faktor itu menjadi asas yang akan membawa kepada kejayaan sesebuah kedai di samping membina hubungan yang baik antara pelanggan dan pekedai.

Walaupun hari ini, pasar raya hiper kekal popular dalam masyarakat berikutan pelbagai produk dan keselesaan yang disediakan, tetapi kedai runcit tradisional masih diperlukan.

Kedai-kedai berkenaan menyediakan keselesaan kepada penduduk yang tinggal berhampiran dan melahirkan suasana kehidupan kepada pengendalinya.

Namun, oleh kerana terdapat saingan daripada pembelian secara pukal menyebabkan pekedai runcit terpaksa mengubah model perniagaan jika ingin terus kekal.

Selaras dengan itu, Program Transformasi Kedai Runcit yang juga dikenali sebagai Program TUKAR diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Program TUKAR adalah Projek-Projek Permulaan (EPP) yang bertujuan untuk memodenkan operasi kedai runcit tradisional bagi meningkatkan tahap daya saingan dalam persekitaran perniagaan peruncitan yang kompetitif.

Program itu bertujuan untuk memodenkan kedai runcit tradisional. Dengan memodenkan premis peruncit yang sedia ada, ia akan menjurus kepada penaiktarafan premis itu.

Malah, dengan pemodenan itu ia dapat menggalakkan penyertaan koperasi dalam peruncitan dan mewujudkan pusat pengedaran setempat.

Program TUKAR dengan peruntukan RM30 juta daripada kerajaan itu diwujudkan selepas mendengar luahan hati serta masalah yang dihadapi peniaga kedai runcit yang sukar bersaing dengan pasar raya.

TUKAR tingkatkan jumlah pelanggan

Fatimah Bibi, 40, telah mengusahakan kedai runcit selama lapan tahun, tetapi pelanggan yang datang ke kedainya membeli barang dengan cepat dan meninggalkan kedai dengan kadar yang segera.


MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) melawat kedai runcit TUKAR di Desa Murni, Temerloh, Pahang.


Beliau bimbang jika keadaan itu berterusan, bilangan pelanggan akan berkurangan.

Tidak lama kemudian, Fatimah telah dihubungi oleh pihak KPDNKK dan dia ditawarkan untuk memodenkan premis perniagaannya.

"Setelah kedai runcit saya dimodenkan di bawah program TUKAR, saya mendapati pelanggan yang datang ke kedai semakin meningkat dan pelanggan akan mengambil masa untuk membeli barang keperluan mereka," kata Fatimah.

"Setakat ini sebanyak 175 buah kedai dapat dimodenkan di bawah TUKAR," kata pengurus Program TUKAR, Zahari Md. Afandi.

Pemodenan kedai runcit akan meningkatkan tahap daya saing dalam persekitaran perniagaan peruncitan secara kompetitif.

Dengan peningkatan itu, ia juga mampu meningkatkan keupayaan perkhidmatan pelanggan dan menyelarikan kualiti proses perniagaan secara menyeluruh, kata Zahari.

"Hasilnya, promosi rantaian penawaran yang berkos efektif dan efisien dan menjurus kepada penggalakan jualan produk berkualiti melalui pelbagai langkah. Malah, program TUKAR akan dapat menyediakan peruncit untuk pelaksanaan Good Service Tax (GST)," katanya kepada Bernama.

Di bawah program TUKAR, bukan sahaja kedai runcit dimodenkan malah, ia merangkumi aspek modal insan, mesin dan peralatan, kemahiran dan prosedur operasi standard (SOP) termasuk susun atur barangan dan inventori.

Kriteria pemodenan tukar

Menurut Zahari, kriteria pemodenan TUKAR memberi fokus kepada pembangunan modal insan iaitu pengusaha perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang keusahawanan khususnya dalam bidang peruncitan.

Pengusaha perlulah menghadiri kursus keusahawanan dalam bidang peruncitan yang akan dikendalikan oleh konsultan.

Dalam proses pemodenan itu, mesin dan peralatan diberi keutamaan untuk ditukarkan. Antaranya ialah Point Of Sale (POS), Counter Terminal (GST ready) yang meliputi sistem kod bar dan pangkalan data inventori, susun atur gondola, pencahayaan, papan tanda berlogo TUKAR dan capaian internet.

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) akan menyediakan peruntukan sebanyak RM20,000 hingga RM60,000 dengan caj perkhidmatan tiga peratus setahun sebagai pinjaman kepada pemilik kedai yang menyertai program TUKAR.

Pinjaman yang diperuntukkan tidak akan diberikan dalam bentuk tunai kepada peniaga tetapi, akan dibayar terus kepada kontraktor bagi kos peralatan dan perkhidmatan pengubahsuaian.

"Setakat ini kita ada 11 konsultan untuk program ini yang terdiri daripada Giant, Carrefour, Tesco dan hypermarket tempatan seperti Mydin dan Econsafe. Mereka berperanan sebagai penasihat terutamanya dalam sistem POS," kata Zahari.

Sistem POS penting bagi membantu seseorang peruncit dalam mengetahui margin keuntungan, bilangan stok yang terjual dan bilangan stok yang masih ada kerana maklumat seumpama itu amat penting bagi seseorang peruncit menjalankan perniagaan dengan lebih berkesan. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved