Rabu, 21 September 2011

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Pantai selut jadi taman indah

Posted:

Pantai selut jadi taman indah

Pantai selut jadi taman indah

Oleh BASIR ABU BAKAR

KIRA-KIRA 21 tahun lalu sesiapapun tidak mengenali Kampung Bagan Lalang sebagai lokasi pelancongan seisi keluarga yang menarik. Pesisiran pantainya sekadar dipenuhi habitat paya bakau yang masih terpelihara.

Pada waktu itu, Bagan Lalang bukan pilihan utama pengunjung untuk menikmati keindahan suasana pantai yang menghadap Selat Melaka. Walaupun Bagan Lalang terletak lebih hampir dengan Kuala Lumpur, orang ramai tetap menuju ke Port Dickson.

Begitupun, Kampung Bagan Lalang dikenali melalui keenakan hidangan ikan bakar dan makanan lautnya.

Pantainya hanya dilitupi pasir, lumpur, pokok bakau dan pokok rhu tanpa pembangunan yang teratur selain pola petempatan kampung nelayan yang saban hari dipenuhi aktiviti desa tanpa sebarang arus kemodenan.

Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Golden Palm Tree Iconic Resort & Spa, Raja Hilmy Raja Idris, 45, berkata, bermula pada tahun 1990, perancangan pembangunan kerajaan negeri Selangor ketika itu telah memberi lembaran baharu kepada Sepang dan Pantai Bagan Lalang khususnya.

Kerajaan negeri mula membuka mata masyarakat negara ini dan dunia dengan mewujudkan destinasi pelancongan baharu iaitu di sekitar Sungai Pelek, Sepang, Selangor.


SELAIN reka bentuknya yang unik Golden Palm Tree turut mempunyai reka letak landskap bumi yang menarik untuk dinikmati seisi keluarga.


Sejak itulah, menurutnya, Kampung Bagan Lalang menempa nama.

"Terdapat kira-kira enam medan ikan bakar yang wujud di pesisiran Pantai Bagan Lalang untuk dikunjungi pengunjung selain di Sepang Gold Coast.

"Selain menyediakan juadah menyelerakan, pengunjung luar juga boleh menikmati pemandangan pantai tatkala senja melabuhkan tirainya," jelas Raja Hilmy yang mengakui lokasi menghadap Selat Melaka mempunyai tarikan tersendiri.

Menyingkap latar belakang Kampung Bagan Lalang, ia sebenarnya merupakan sebuah perkampungan awal persisiran pantai di Daerah Sepang, Selangor.

"Perjalanan ke Kampung Bagan Lalang dari Kuala Lumpur mengambil masa 45 minit melalui Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Selain itu, pengunjung juga perlu melalui kawasan Litar Lumba F1 Antarabangsa Sepang sebelum sampai ke Kampung Bagan Lalang," katanya.

Lokasi strategik


GOLDEN PALM TREE sangat unik dan menjadi salah satu keajaiban seni bina di negara ini selepas Menara Berkembar Petronas.


Tambah Raja Hilmy, masyarakatnya lebih selesa untuk melibatkan diri dalam sektor pelancongan dan perniagaan di sekitar kawasan pantai.

"Kedudukannya yang strategik dan mudah untuk ditemui ia turut menjadi antara lokasi tumpuan anak muda di waktu lapang mereka untuk berkelah di sini," jelasnya.

Pembangunan pesat di daerah itu sekali gus membuatkan Sepang semakin dikenali ramai dan mula meniti di bibir masyarakat dunia selepas pembukaan KLIA Sepang dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Setelah terbinanya Sepang Gold Coast iaitu merupakan projek hartanah mega termasuk rangkaian vila atas air yang membentuk pohon kelapa sawit ia merubah persepsi pelbagai pihak dan landskap Sepang serta sektor pelancongannya.

Golden Palm Tree Iconic Resort & Spa yang diusahakan oleh Sepang Bay Sdn. Bhd. (Sepang Bay) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) terus mewarnai suasana Pantai Bagan Lalang di Sepang.

Struktur ikonik dari pandangan udara itu menyaksikan sejumlah 399 vila terapung disusun menyerupai bentuk pokok palma. Difahamkan, ia telah tersenarai dalam Malaysia Book of Records sebagai resort pokok palma terpanjang di negara ini.


SELAIN aktiviti air, pengunjung juga boleh memilih untuk melakukan aktiviti darat seperti bermain layang-layang dan memanah.


Salah seorang pengunjung, Aishah Ismail, 35, berkata, alam semula jadi merupakan terapi yang baik untuk minda, emosi dan fizikal. Maka, dia memang bersetuju kalau Golden Palm Tree Iconic Resort & SPA menjadi tempat untuk menikmati elemen itu.

Setiap pengunjung berpeluang untuk meneroka dan bermesra dengan alam semula jadi yang terdapat di sekitar kawasan peranginan yang mula beroperasi pada Jun 2010 itu.

"Hembusan angin dan deruan ombak yang sekali-sekala menghempas ke pantai menyuntik rasa tenang dan damai di jiwa. Seketika, perasaan hati begitu melonjak ingin menetap di situ selama-lamanya.

"Ditambah pula dengan pemandangan sekitarnya yang menarik cukup merehatkan minda sekali gus menjadi terapi terbaik untuk menyihatkan tubuh yang penat dan stres kerana kesibukan kerja di bandar," ujarnya.

Tambah Aishah, pusat percutian yang dikenali sebagai Syurga Pesisir Pantai Terpanjang Di Asia itu kini menjadi antara destinasi percutian sekeluarga yang menarik untuk dikunjungi.

Kembara eko


TERDAPAT 393 villa yang dibina terbentang di garis pantai Sepang mengunjur ke lautan terbuka perairan Selat Melaka.


Selain menawarkan kedamaian alam gaya hidup pantai, ia turut menyediakan konsep percutian kembara eko kepada pengunjung.

"Tidak kira sama ada kunjungan bersama teman atau keluarga, di sini pelbagai aktiviti darat dan akuatik yang disukai boleh dicuba mengikut cita rasa masing-masing," jelas Aishah teruja.

Bagi yang meminati acara di pantai dan laut, mereka boleh bergembira di kolam renang hinggalah ke aktiviti yang lebih mencabar seperti menaiki perahu layar dan berkayak.

Di darat pula, tetamu Sepang Gold Coast boleh menyertai aktiviti memanah, bersenam di gim, luncur layar darat dan bersiar-siar di kawasan kampung.

"Untuk anak kecil dan remaja berusia empat hingga 12 tahun, ada banyak aktiviti yang sesuai disediakan iaitu permainan layang-layang, berbasikal dan acara di Kids Club.

"Jadi, ibu bapa bebas melakukan aktiviti yang disukai, manakala anak-anak mereka boleh berseronok dengan kegiatan masing-masing.

"Semua aktiviti di darat dan air yang disediakan di sini adalah percuma untuk tetamu resort," jelasnya.

Pilihan lain ialah menaiki bot dan menyelusuri sungai untuk melihat alam semula jadi paya bakau dan juga meninjau aktiviti seperti menternak ikan serta menangkap lokan.

Setelah puas berkeringat, mereka yang suka memanjakan diri tentunya mahu membelai diri di spa yang menawarkan pelbagai rawatan.

Sementara itu, Pengurus Besarnya, Pascal Prigent, 51, menjelaskan bahawa pada bulan-bulan cuti persekolahan, lebih banyak pilihan aktiviti lasak dan mencabar turut diperkenalkan di pusat pelancongan itu termasuklah memanjat dinding, abseling dan beberapa lagi cabaran ekstrem lain.

Katanya lagi, sebagai tarikan untuk pelancong dari luar negara, beberapa permainan tradisional juga akan diperkenalkan di sekitar kawasan resort. Dengan adanya kepelbagaian aktiviti itu, pengunjung tentu berpuas hati.


SETIAP pengunjung yang hadir di sini pasti teruja melihat kolam renang yang disediakan pihak resort.


"Selain melakukan pelbagai aktiviti, pengunjung boleh menikmati sepuas-puasnya sajian makanan sebanyak lima kali sehari dari menu tempatan serta antarabangsa.

"Bagi yang ingin keluar dari resort dan ingin bersiar-siar ke ibu negara pula, ada pengangkutan percuma disediakan setiap hari. Sememangnya datang ke sini cukup berbaloi sekali," kata Prigent.

Sememangnya, ekologi alam semula jadi hutan bakau yang disuntik pembangunan moden langsung tidak menjejaskan keindahan yang sedia ada.

Menambahkan lagi keistialah pemandangan pusat percutian itu adalah dari udara yang memperlihatkan struktur ikon - 399 vila terapung atas air dan tersusun cantik serta kemas, membentuk pulau pokok palma seperti di Dubai.

Kembara 4x4 selatan Thailand

Posted:

Kembara 4x4 selatan Thailand

Kembara 4x4 selatan Thailand


BEREHAT sebentar di sebuah lokasi mendamaikan sebelum menyambung pemanduan.


PERCUTIAN ke selatan Thailand selama sembilan hari baru-baru ini ternyata memberikan pengalaman manis kepada penulis dan isteri, Zayana Zahira Ahmad Anuar, 29.

Jika orang lain lebih selesa melancong ke Negara Gajah Putih itu dengan menaiki kapal terbang, bas atau kereta api, kami berdua memilih untuk menjelajah dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda (4x4).

Destinasi yang dituju selepas melepasi sempadan Perlis adalah Krabi dan Phuket sebelum berakhir di Hatyai.

Memilih konsep perjalanan santai, kami memulakan perjalanan dari kediaman di Kerteh, Terengganu. Tidak mahu tergesa-gesa untuk terus memasuki pintu sempadan, kami sempat berhenti di beberapa destinasi menarik dalam negara seperti di Bukit Bunga di Tanah Merah, Kelantan dan Hentian Puncak Titiwangsa serta Tasik Belum di Perak.

Kami juga sempat merakamkan kenangan tatkala melawat di sekitar Gua Kelam dan Tasik Timah Tasoh di Perlis.

Perjalanan ke Thailand hanya dimulakan keesokan harinya melalui laluan di Kaki Bukit dan terus memasuki pintu sempadan di Wang Kelian.

Menariknya, kawasan sekitarnya dalam lingkungan satu kilometer meriah dengan kehadiran peniaga khususnya pada hujung minggu. Terdapat pelbagai barangan yang dijual. Antaranya seperti selimut, kelambu, pakaian dan alatan dapur, di samping deretan gerai makan yang menawarkan hidangan lazat dan menyelerakan.

Perjalanan kemudiannya diteruskan ke Pantai Ao Nang yang terletak di wilayah Krabi yang mengambil masa pemanduan kira-kira lapan jam. Sepanjang laluan, kami disajikan pemandangan yang mengasyikkan terutamanya keajaiban landskap bukit-bukit batu.


PATONG terkenal dengan keindahan pantai dan lautnya yang membiru.


Walaupun melalui perjalanan jauh yang meletihkan, namun perasaan itu hilang sebaik sahaja kami melihat pelbagai ragam masyarakat tenpatan.

Keindahan pantai dan pasirnya yang memutih menyebabkan Ao Nang tidak pernah sepi dengan kehadiran pengunjung sama ada dari dalam atau luar negara sekali gus menjadikannya antara tarikan utama di Krabi.

Deretan kedai cenderamata dan bazar membeli-belah memeriahkan kawasan pantai. Antara yang menarik perhatan penulis ialah, kehadiran galeri-galeri lukisan yang menawarkan pelbagai lukisan kotemporari dan tradisional. Setiap satunya mengetengahkan elemen Buddha iaitu agama rasmi Thailand.

Pastinya, pelancong tidak akan berasa bosan sepanjang berada di sini. Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan selain daripada bermandi-manda atau berjemur di pantai. Para pelancong boleh mencuba perkhidmatan bot dan pakej percutian ke beberapa pulau seperti Phi Phi Island yang sememangnya terkenal di serata dunia.

Lawat Phuket

Pada keesokan harinya, kami memulakan perjalanan ke Phuket melalui wilayah Phang Nga. Dihubungkan oleh jambatan sejauh 500 meter dari tanah besar, pulau peranginan itu terkenal dengan keindahan pantai-pantainya seperti Patong, Kamala, Surin dan Cape Panwa selain panorama di tanah tinggi seperti Karon, Prom Thep dan Khao Kad.

Perjalanan sejauh 200 kilometer (km) ke Phuket itu juga membawa kami melihat dengan lebih dekat akan perkampungan nelayan di Thailand. Melihat cara hidup dan survival golongan itu mencari rezeki harian sedikit sebanyak menginsafkan penulis.


PASAR terapung di Khlong Hae adalah antara lokasi pelancongan popular di Hatyai.


Dalam pemerhatian penulis, keadaan jalan raya di bandar itu sentiasa sibuk dengan tuk tuk, pikap dan motosikal yang memecut bersimpang- siur. Namun, jarang sekali penulis mendengar bunyi hon yang memekakkan, malah mereka juga sangat sabar dan bertimbang rasa ketika berada di atas jalan raya.

Di sana, kami memilih untuk menginap di Pantai Patong yang sememangnya terkenal dalam kalangan pelancong asing.

Lokasi yang menjadi tumpuan pastinya, sekitar Bangla Road yang sinonim dengan deretan bar dan kelab malam yang menghuni sepanjang laluan.

Umpama sebuah pesta, situasinya bertambah meriah menjelang tengah malam dengan kehadiran pelancong asing berhibur di samping golongan ladyboy ataupun transeksual yang menari dan menyanyi bersahaja di celah-celah laluan orang ramai.

Kami tidak sukar untuk mendapatkan makanan halal di situ lantaran ramai peniaga Islam yang berniaga di bandar itu. Pastinya, hidangan wajib yang perlu dicuba ialah tom yam asli yang lazat lagi menyelerakan.

Aktiviti kami tidak terhad di kawasan Patong. Kami juga sempat melawat beberapa lokasi menarik di Phuket seperti Karon, Prom Thep, Cape Panwa dan Khao Kad.

Kami juga sempat melawat ke Phuket Aquarium di Cape Panwa. Di situ, kami cukup terpegun melihat pameran pelbagai spesies hidupan laut dan air tawar termasuk yang jarang dijumpai.

Pada hari berikutnya, kami memilih untuk berkanu ke dalam Gua Phung-Chang atau dikenali sebagai Gua Imaginasi yang terkenal dengan keunikan stalagmit dan stalaktit berusia ribuan tahun.

Seterusnya perjalanan diteruskan ke Pulau James Bond yang pernah menjadi lokasi penggambaran filem James Bond: The Man With The Golden Gun. Berbanding beberapa tahun lalu, pulau yang dikenali dengan nama Ko Tapu dalam bahasa tempatan itu kini sudah mula dikomersialkan dengan kewujudan gerai menjual cenderamata dan kemudahan asas seperti tandas awam.

Perjalanan kami diteruskan ke petempatan penduduk Islam, di Pang Yee. Tarikan utama di pulau itu ialah deretan kedai makanan laut segar dibina di atas air.

Rentas wilayah


BANYAK gerai peniaga jalanan boleh ditemui di sepanjang laluan kembara penulis bersama keluarga.


Selepas semalaman berehat, kami merentasi perjalanan selama lapan jam dan sejauh 600km untuk ke Hatyai iaitu bandar utama di wilayah Songkhla.

Untuk ke destinasi tersebut, perjalanan kami merentasi wilayah Phang Nga, Surat Thani, Nakhon Si Thamarat dan Phattalung. Ternyata terlalu banyak pemandangan menarik dapat kami lihat dan diabadikan juga dengan kamera.

Suasana bandar Hatyai boleh dikatakan hampir sama seperti bandar-bandar lain di Malaysia. Disebabkan itu ia begitu popular di kalangan pelancong negara ini yang gemar membeli-belah.

Pada waktu malam, bandar Hatyai menjadi bertambah meriah dengan kehadiran peniaga-peniaga jalanan. Untuk memudahkan pergerakan, pengunjung boleh memilih untuk berjalan kaki atau menaiki tuk tuk dengan kadar yang berpatutan.

Tatkala leka membeli-belah, jangan terkejut, seandainya ada peniaga yang menyapa anda di dalam bahasa Melayu, malah sebahagian daripada mereka juga juga menerima wang ringgit ketika melakukan transaksi jual beli.


PENULIS sempat membeli makanan halal yang dijual peniaga Muslim di Khlong Hae.


Sama seperti di Phuket, sememangnya tidak sukar mencari hidangan halal di Hatyai kerana terdapat puluhan restoran Muslim yang boleh dikunjungi dan menepati selera anda.

Sepanjang berada dalam wilayah Songkhla, kami sempat ke Pantai Samila yang terkenal dengan mercu tanda ikan duyung. Di sana, kami sempat melawat Memorial Tentera Thailand yang menyimpan pelbagai koleksi senjata lama, artifak dan monumen bersejarah untuk tatapan pengunjung.

Lokasi terakhir yang kami lawati ialah di pasar terapung Khlong Hae yang kini menjadi tarikan popular di Hatyai. Biarpun keadaannya tidak semeriah pasar terapung seperti di Bangkok, namun kehadiran peniaga-peniaga yang menjual pelbagai barangan mereka di atas sampan tetap memberi suasana yang unik.

Tanpa dirasai, perjalanan selama sembilan hari di selatan Thailand itu menuju akhir. Tiba masa untuk kami pulang semula ke tanah air.

Perjalanan yang dilalui sejauh 750km bermula dari Bukit Kayu Hitam, Gerik, Jeli dan akhirnya sampai ke Kuala Terengganu mengambil masa hampir 14 jam.

Walaupun memenatkan, perasaan itu seakan hilang tatkala mengimbas memori indah yang dikutip sepanjang kembara kami. Kebebasan memandu dengan kenderaan sendiri sambil menghayati kepelbagaian budaya dan tradisi masyarakat di selatan Thailand menjadikan perjalanan sejauh 3,000km itu berbaloi.

Jelas sekali, detik percutian dengan memandu kenderaan sendiri lebih memberi kepuasan kerana ia mendekatkan kami dengan kehidupan masyarakat. Ia memberikan kami kebebasan untuk melawat dan melakukan pelbagai aktiviti tanpa desakan waktu.

Mabuk laut mencandat sotong

Posted:

Mabuk laut mencandat sotong

Mabuk laut mencandat sotong

Oleh ADZRIEFAIZ ADZLAN


PULAU PERHENTIAN menawarkan percutian indah berlatar belakang samudera membiru.


MINGGU ini krew Makan Angin musim kedua menjelajah pula ke Kuala Besut, Terengganu. Berbeza dengan sebelumnya, misi pertama memerlukan saya mereka sendiri resipi menggunakan lokan.

Perjalanan selama lapan jam dari Kuala Lumpur akhirnya tiba di Pekan Kuala Besut. Pekan yang kecil namun, unik dengan kedudukan bersebelahan jeti untuk ke Pulau Perhentian.

Seperti biasa, cabaran pertama adalah mencari bahan untuk dimasak sebelum ke dapur. Cabaran pertama mencari lokan dan sekali lagi, saya dikehendaki masuk ke dalam selut untuk mendapatkan lokan bersama seorang pengusaha lokan yang saya panggil Pak Long.


WALAUPUN hanya mendapat lima ekor lokan, tetapi ia tetap menggembirakan penulis.


Pak Long memang mahir dalam mencari lokan dan saya ketinggalan ke belakang apabila berdepan dengan selut. Lebih menyedihkan saya hanya mendapat lima ekor lokan sahaja berbanding dengan Pak Long yang mendapat satu plastik penuh lokan.

Seterusnya saya ke Restoran Nasi Ulam Gong Kepas untuk memasak. Apa yang membuatkan saya panik sekejap apabila penerbit meminta saya masak ikut menu sendiri. Risau dan takut mula menular dalam diri apatah lagi, perlu memasak di sebelah Pak Long yang memang berpengalaman. Saya tidak ada menu khas tetapi, main campak sahaja bahan yang ada di depan mata. Alhamdulillah akhirnya bila selesai masak, Pak Long dan tuan punya restoran yang saya panggil, abang Aziz mencuba masakan istimewa saya yang diberi nama lokan ala Faiz.

Pengunjung restoran juga berpeluang merasa masakan saya dan ramai juga yang memberi pujian.


INILAH hidangan masakan lokan ala Faiz.


Macam tak percaya pula! Bertambah seronok apabila Pak Long kata saya boleh buka restoran suatu hari kelak.

Lokasi seterusnya kami di Kampung Pasir Hantu, Pulau Perhentian. Menu kali ini agak pelik tetapi, tidak di Terengganu iaitu ketupat sotong. Rasa makanan itu agak unik kerana sotong disumbat dengan pulut dan dijadikan bubur yang manis daripada gula merah. Bahan utama adalah sotong dan cabaran saya adalah mencandat sotong.

Pancing candat diturunkan dengan penuh semangat dan kedengaran nyanyian yang memeriahkan bot candat pada malam itu.


LOKAN yang berjaya diperoleh selepas meredah selut.


Masa terus berlalu dan jam berganti jam terus berlalu, namun, saya masih tidak memperoleh sotong yang akan digunakan keesokan harinya.

Keadaan ombak yang beralun dan deras menjadikan saya berasa pening. Akhirnya saya tewas di tengah lautan apabila mabuk laut. Saya terbaring dan aktiviti mencandat sotong kali ini gagal!

Dek mabuk laut, saya ditemani ketua Kampung Pasir Hantu menaiki bot ke tengah laut untuk membeli sotong daripada bot nelayan. Setelah memperoleh dua kilogram sotong, saya terus berjumpa dengan seorang penduduk, Rasidah.


PENULIS menunjukkan kepakaran memasak ketupat sotong.


Dia memang pakar masak menu ketupat sotong. Selain daripada sotong, saya kena pula mencari bahan-bahan lain seperti kelapa parut, gula nira dan beras pulut.

Sotong dimasak dengan santan dan dimasukkan gula nira. Rasanya memang unik, manis dan liat, namun rasanya sedap.

Selesai menjadi chef, saya terus bersantai di Coral View Resort, Pulau Perhentian Besar dengan aktiviti snorkeling dan bermain bola tampar pantai.

Pastikan anda semua tidak ketinggalan menyaksikan Makan Angin musim kedua pada esok hari, jam 8.30 malam hanya di TV9.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved