Rabu, 14 September 2011

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Kemewahan di banjaran Himalaya

Posted:

Kemewahan di banjaran Himalaya

Kemewahan di banjaran Himalaya

Biarpun dianggap terpinggir dari peta pelancongan dunia, Bhutan tetap mempunyai tarikan tersendiri yang sukar diperoleh di mana-mana negara lain di dunia.

BHUTAN yang terletak di barat dan hujung Himalaya merupakan salah satu destinasi percutian termahal di dunia. Tidak hairanlah ia dianggap syurga dalam kalangan golongan berada dan selebriti terkenal. Atas tarikan dan status tetamunya itu, kosnya juga dijangka bertambah mahal pada tahun hadapan.

Pelancong asing yang berkunjung ke sini perlu membuat tempahan awal melalui operator pelancongan yang berdaftar. Lazimnya, mereka mengenakan kadar minimum pada waktu puncak sekitar AS$200 (RM600) sehari merangkumi pakej seperti penginapan, makanan dan pengangkutan.

Keaslian banjaran Himalaya yang dilitupi gunung salji dan sungai-sungai dari gunung yang sentiasa mengalir meneruskan polisi 'pelancongan mewah, berimpak rendah' yang sengaja diperkenalkan bagi memelihara persekitarannya yang masih belum terusik daripada gangguan pelancongan komersial.

Bermula tahun hadapan, kadar caj pada waktu puncak akan meningkat kepada AS$250 (RM750) sehari per musim. Ini bermakna, pasangan pelancong yang menginap di hotel-hotel yang menawarkan pakej tersebut terpaksa membayar harga AS$500 (RM1,500) semalam.


VILA mewah ini disukai ramai pelancong yang sanggup membayar harga tinggi kerana mahu merasai keindahan dan ciri privasinya.


"Percutian mewah ini mungkin nampak seperti tidak berbaloi dari sudut ekonomi, namun ia bertujuan memastikan keaslian alam semula jadi Bhutan terus kekal untuk tatapan para pelancong dan generasi akan datang," kata Pengarah Urusan Lembaga Pelancongan, Kesang Wang.

"Jika kami membuka negara ini seluas-luasnya, pendapatan kami mungkin meningkat mendadak, tetapi apakah harga yang perlu dibayar?

"Kami menahan diri daripada merosakkannya dalam mengejar pembangunan ekonomi tanpa mengambil kira impak sosial dana alam sekitar," ujarnya.

Walaubagaimanapun, pada tahun hadapan, lembaga itu berharap dapat meningkatkan jumlah pelancong kepada lebih 50 peratus iaitu sejumlah 100,000 orang dengan menawarkan pakej percutian.

Laluan penerbangan juga mahu ditambah di beberapa bandar utama seperti Hong Kong dan Singapura.

Selama ini, Bhutan dikenali melalui doktrin pembangunan ekonomi yang dikenali sebagai 'Kebahagiaan Kebangsaan Kasar' yang mengambil kira kesejahteraan mental hampir 700,000 rakyatnya berbanding mengukur keuntungan kewangan semata-mata.

Negara yang terasing dan tidak pernah dijajah biarpun kedudukannya terletak di antara India dan China itu menjadikan hal perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar sebagai salah satu polisi yang mendasari budaya uniknya.

Pakaian tradisional


RUANG restoran di Hotel Uma, Paro memberi ketenangan buat para penginapnya.


Rakyat Bhutan diwajibkan memakai pakaian tradisional ketika melawat pejabat-pejabat kerajaan dan memakai pakaian elegan yang ditenun setiap hari sebagai mezahirkan kebanggaan mereka pada negara.

Keputusan Bhutan untuk mengelakkan kebanjiran pelancong luar terutamanya golongan pengembara backpackers yang mencari percutian murah di Himalaya dan jirannya Nepal, sekali gus menjadikannya sebagai destinasi yang menarik kepada sesiapa yang mahu menikmati percutian mengagumkan.

Beberapa bintang Hollywood seperti Leonardo di Caprio dan Kiera Knightley sebelum ini pernah menginap di resort di Uma Paro, salah satu daripada rangkaian hotel mewah dan eksklusif yang ditawarkan kepada para pelancong di negara itu.


BINAAN unik ini begitu menyerlah di atas landskap semula jadi.


Menginap di hotel-hotel sedemikian memerlukan pelancong membayar kos tambahan berbanding pakej lawatan asas yang berharga AS$200 (RM600) untuk lawatan sehari. Ini bermakna, bermalam di suite Uma Paro memerlukan mereka membayar sehingga AS1,000 (RM3,000) semalam.

Ravi Nischal dari Kumpulan Taj, pemilik berbangsa India yang memiliki rangkaian hotel-hotel mewah seperti di Thimpu, berkata, Bhutan mempunyai kelas tersendiri kerana ia kurang dikunjungi dan kebanyakan pelancong hanya mampu mengimpikan untuk melawatnya.

"Setiap destinasi yang ditawarkan di sini disertai konotasi mewah," ujarnya.

"Terdapat juga banyak misteri yang mendasari Bhutan. Ia dikenali sebagai Shangri-La Terakhir," katanya, merujuk kepada syurga Himalaya yang dinyatakan dalam novel terbitan 1933, Lost Horizon karya James Hilton.


SUASANA hebat di pinggir gunung dekat Paro ini dapat disaksikan pelancong yang mahu melawat biara Taktsang yang digelar Tiger's Nest.


Ia juga pernah digelar Tanah Naga Kilat sebelum ini kerana ketiadaan jalan raya dan mata wang sehinggalah tahun 1960-an. Rangkaian televisyen pula hanya dinikmati pada 1999 sebagai salah satu cara menarik perhatian pelancong asing.

Percutian mahal

Seorang ahli terapi, Nicole Feerbrucker, 56, yang berasal dari Belanda memberitahu bahawa dia mahu melawat ke negara itu sejak melihat gambar-gambar yang menunjukkan bekas raja negara itu melalui majalah National Geographic pada tahun 1974.


LELAKI tempatan ini berjalan melewati ruang siar kaki Memorial Choeden yang dibina bagi mengingati Raja Jigme Dorji Wangchuk.


Wanita itu berkata, tarif harian dan caj penerbangan tinggi yang dikenakan oleh satu-satunya syarikat penerbangan milik negara itu, Druk Air, bagi menghubungkan Bhutan ke dunia luar, menjadikan percutian kali itu agak mahal untuk dia dan keluarganya.

"Namun, berkunjung ke Bhutan dengan membayar jumlah yang agak besar untuk bercuti dapat memastikan kelangsungan negara ini seperti sebelumnya. Secara tidak langsung, ia dapat menghindari pengaruh luar," kata Feerbrucker.

Sasaran 100,000 pelancong tahun hadapan menimbulkan perasaan kurang senang segolongan rakyatnya yang bimbang kesan kemasukan pelancong secara tiba-tiba itu.

Menurut Karma Tshiteem, ketua yang berpengaruh dalam Suruhanjaya Kebahagiaan Kebangsaan Kasar iaitu sebuah agensi penggubal polisi kerajaan, peningkatan pelancong mampu diserap dengan risiko kerosakan yang minimum.


PATUNG Buddha Dordemnma sedang dibina di salah sebuah puncak panorama di Thimphu.


"Kunci dalam strategi kami ialah mencapai jumlah 100,000 pelancong tanpa sebarang kesan negatif dan angka itu kini semakin meningkat sepanjang tahun di seluruh negara," katanya.

Ketika ini, sebahagian besar pelancong tiba pada musim bunga dan musim luruh untuk menikmati percutian sepanjang minggu di tiga lembah yang mudah dikunjungi dari bandar Paro, yang menempatkan lapangan terbang antarabangsa di negara itu.

Lembaga Pelancongan Bhutan mahu menarik kehadiran para pelancong yang mahu menikmati pakej percutian mewah, menghadiri persidangan dan pelancongan kembara. Begitupun, Bhutan tidak menawarkan aktiviti penjelajahan di kawasan pergunungan kerana ia dianggap tempat suci bagi penduduk negara itu.

Melalui pelan pemasaran berterusan di luar negara dan peningkatan jumlah penerbangan, pihak pelancongan berharap dapat meningkatkan kehadiran pelancong tanpa menjejaskan alam sekitar dan keaslian di negara yang paling terpencil di dunia itu. - AFP

Ikon kemegahan Washington

Posted:

Ikon kemegahan Washington

Ikon kemegahan Washington

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA


DIHUNI buat kali pertama pada tahun 1800, nama rasmi White House diberikan oleh Presiden Theodore Roosevelt pada 1901.


BANGUNAN berwarna putih yang terletak di tengah-tengah Washington, Amerika Syarikat (AS) itu bukan sekadar bangunan biasa. Selama lebih 200 tahun, White House atau Rumah Putih telah berdiri sebagai simbol Presiden, pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dan kemegahan rakyatnya.

Sejarah pembinaannya bermula apabila Presiden AS yang pertama, George Washington menandatangani Akta Kongres pada bulan Disember 1790 yang mengisytiharkan pusat pentadbiran baru kerajaan persekutuan yang 'tidak melebihi sepuluh batu persegi dari sungai Patomac'.

Presiden Washington, bersama-sama dengan perancang bandar Pierre L'Enfant telah memilih lokasi itu yang kini dikenali sebagai 1600 Pennsylvania Avenue, sebagai tapak kediaman rasmi Presiden.

Satu pertandingan telah diadakan bagi mereka bentuk kediaman Presiden. Daripada sembilan cadangan yang dikemukakan, rekaan arkitek kelahiran Ireland, James Hoban telah dipilih secara rasminya.

Batu pasir


SALAH sebuah bilik utama yang dihias dengan gaya sarat dan mewah.


Pada Oktober 1792, pembinaan White House dimulakan. Secara keseluruhan, struktur bangunan itu menggunakan batu pasir Aquia yang dicat putih mengikut gaya seni bina neoklasik.

Walaupun, Presiden Washington menyelia pembinaannya daripada mula sehingga akhir, namun beliau tidak pernah berkesempatan menetap di dalamnya.

Sebaliknya, Presiden AS kedua, John Adams menjadi individu pertama menghuninya secara rasmi pada tahun 1800 sebaik sahaja ia siap dibina.

Sejak era pentadbiran Adams sehinggalah Presiden AS ke-44, Barack Hussien Obama Jr., White House telah menjadi lambang kemegahan negara kuasa besar itu. Selain menjadi kediaman eksklusif Presiden, ia juga dikunjungi jutaan pengunjung dan tetamu kenamaan dari seluruh dunia.

Setiap Presiden yang dilantik bebas mengubah suai kediaman itu dan mengubah cita rasa luaran dan dalamannya.

Semasa pemerintahan Presiden Harry S. Truman, beliau telah mengarahkan kerja-kerja pengubahsuian ruang dalaman White House secara besar-besaran.

Lebih eksklusif


RIAS dalaman Rumah Putih diberi sentuhan peribadi oleh beberapa Presiden dan isteri Presiden sepanjang kewujudannya.


Sementara itu, Jaqueline, isteri Presiden John F. Kennedy turut mengarahkan kerja-kerja pengindahannya. Pelbagai artifak, koleksi antik dan lukisan yang bernilai tinggi telah mengubah imej White House menjadi lebih eksklusif berbanding sebelumnya.

Pada tahun 1990-an pula, Presiden Clinton telah memperbaharui beberapa buah bilik di White House dengan bantuan penghias Arkansas, Kaki Hockersmith termasuk di Oval Office, East Room, Blue Room, State Dining Room dan Lincoln Bedroom.

Secara umumnya, White House yang dibina setinggi enam tingkat secara keseluruhan mempunyai beberapa bahagian utama. Antaranya ialah Executive Residence, West Wing, Cabinet Room, Roosevelt Room, East Wing dan The Eisenhower Executive Office Building yang juga menempatkan pejabat Presiden dan Naib Presiden.

Namun bahagian paling popular ialah West Wing yang menempatkan Oval Office iaitu pejabat Presiden serta beberapa staf senior, selain mempunyai bilik untuk 50 orang pekerja.

Di sini juga terdapat Cabinet Room iaitu tempat Presiden mengadakan mesyuarat penting melibatkan angota Kabinet, selain White House Situation Room, James S. Brady Press Briefing Room dan Roosevelt Room.

Sepanjang kewujudannya, White House tidak pernah sunyi daripada pelbagai malapetaka.

Antaranya, serangan tentera British dalam peperangan tahun 1941 yang telah memusnahkan sebahagian struktur luaran dan dalamannya.

Pada 1929 pula, bahagian West Wing pernah musnah akibat kebakaran, tetapi ia dibina semula sewaktu pentadbiran Herbert Hoover.

Mengocak keli di sungai

Posted:

Mengocak keli di sungai

Mengocak keli di sungai

Oleh ADZRIEFAIZ ADZLAN


PENULIS memasak sendiri dua sajian asli Negeri Sembilan pindang dan lembap.


SETELAH puas menjelajah ke Borneo, kini Makan Angin musim kedua menyusur pula ke Negeri Sembilan Darul Khusus. Masak lemak cili padi, itulah makanan terkenal di Negeri Sembilan. Untuk menyahut cabaran kali ini, saya akan memasak sendiri dua jenis lauk istimewa iaitu masak pindang dan lempap.

Makanan mereka sangat sedap walaupun kurang menggunakan bawang. Perjalanan saya bermula dari Bandar Seremban dan seterusnya terus ke penginapan kami iaitu di Homestay Kampung Lonek, Batu Kikir di daerah Jempol.


LEMPAP adalah sajian yang mudah dan cepat disediakan.


Sebelum itu, kami sempat singgah ke Jelita Ostrich Farm dan mencuba sate ostrich atau burung unta. Inilah pertama kali saya makan sate burung unta dan paling seronok bila berpeluang menunggangnya.

Terasa macam dalam filem Prince of Persia pula! Kini barulah saya tahu yang burung unta ni tak banyak gigi. Ada juga yang tak ada gigi langsung.

Sebab itulah mereka makan batu kerikil yang berfungsi sebagai gastrolith untuk menghancurkan makanan mereka di dalam perut. Wah! Pelik tapi benar.

Memancing di sawah


PINDANG yang dimasak dengan daun gelugur.


Akhirnya kami tiba di destinasi yang dituju dan terus mencari seorang wanita bernama Badariah berdasarkan alamat yang diberi. Resipi pertama iaitu masak pindang memerlukan ikan sebagai bahan utama.

Apa lagi, saya diminta untuk mencari ikan puyu di dalam sawah. Ia pelik bagi saya tetapi, tidak bagi penduduk kampung kerana memancing di sawah adalah aktiviti mereka pada waktu lapang. Saya berasa amat kecewa kerana sehingga ke akhirnya saya tidak dapat menangkap ikan tersebut.

Memandangkan tidak berjaya untuk mendapatkan ikan, saya kena masuk dalam sungai kecil di tepi sawah dan mengocak.

Ini pengalaman paling menarik kerana saya perlu mengeruhkan air di anak sungai tersebut. Cara ini akan menjadikan ikan mula mabuk dan timbul di permukaan. Usaha saya berhasil apabila berjaya mendapat beberapa ekor ikan keli hasil mengocak. Walaupun terkena sengatan ikan keli, namun hasil yang diperoleh memang berbaloi.

Seterusnya, Badariah memberi senarai bahan-bahan lain yang diperlukan. Setiap bahan tersebut ditanam di sekitar rumah sahaja. Jadi, saya harus mengenal sendiri rupa daun gelugur yang tidak pernah saya lihat sebelum ini.


BAGI menghasilkan lempap yang lebih sedap kuahnya boleh dipekatkan.


Cabaran paling menguji adalah mematikan ikan keli dengan menabur garam kemudian menyiang ikan tersebut. Ikan keli dikenali sebagai ikan yang memiliki nyawa panjang. Menu pindang tidak menggunakan minyak di dalam masakannya.

Bagi menu kedua pula ialah lempap dan bahan utama ialah daging segar. Masakan lempap daging merupakan versi Negeri Sembilan dan setiap negeri memiliki versi lempap yang tersendiri. Nama lempap diperoleh kerana cara masakan yang cepat iaitu bahan dimasukkan secara 'pap.. pap.. pap…' lalu tercetuslah nama lempap. Pelik, bukan?

Masakannya sama macam masak daging lemak cili api. Selepas kuah santan kering dan meresap ke dalam daging, maka lempap boleh dihidangkan.

Lempap merupakan makanan popular di Negeri Sembilan. Di akhir sesi memasak, Badariah memberi markah kepada saya. Walaupun berjaya masak dan mendapat markah tinggi, namun saya tetap mendapat teguran atas kesalahan meletakkan minyak di dalam menu pindang dan menu lempap saya itu pula agak cair kuahnya. Tapi saya tetap berpuas hati.

Setelah penat kami dihiburkan pula dengan persembahan bongai iaitu majlis berbalas pantun secara melagukannya dengan kadangkala diiringi alat muzik.

Sebelum pulang, saya sempat singgah di Restoran D'Pantai untuk mencuba menu air akar kayu yang terkenal dengan rasa yang asli.

Air kesihatan yang menggunakan akar kayu asli dan direbus tanpa bahan campuran itu memang sangat pahit. Walaupun pahit, saya dapat mengembalikan tenaga yang hilang dan bertenaga untuk misi episod akan datang.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved