Jumaat, 26 Ogos 2011

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Harapan Fid pada Aidilfitri

Posted:

Harapan Fid pada Aidilfitri

Harapan Fid pada Aidilfitri

FID sentiasa mengharapkan takdir hidupnya akan menjadi lebih indah selepas ini.


FID tidak pernah minta dirinya menjadi sedemikian rupa. Katanya, sejak zaman kanak-kanaknya, dia memang seorang yang lembut.

"Sejak kecil saya memang lembut, saya suka buat hal sendiri dan sememangnya saya tak suka keluar, lebih gemar menghabiskan masa di rumah saja," kata Fid atau nama glamornya, Firsya.

Namun tersemat rasa kecewanya dengan tanggapan negatif sesetengah masyarakat terhadap golongan mak nyah atau pondan sepertinya.

Katanya dengan kenyataan bernas: "Janganlah hin++a kami, kami tak pernah menyakiti hati orang lain tetapi sebenarnya orang yang banyak menyakiti hati kami."

Menyorot bagaimana dia memutuskan untuk mentransformasikan dirinya menjadi seorang wanita, Fid memberitahu, itu semua atas kehendak dirinya sendiri.

"Ia bukan kerana bapa saya, tapi atas pilihan saya sendiri," ujarnya yang menginap di sebuah bilik di rumah kedai di sekitar Lorong Haji Taib, Chow Kit, Kuala Lumpur.

Berpeluang menemubualnya secara eksklusif, penulis berkesempatan melontarkan pertanyaan sama ada dia secara total melakukan sebarang perubahan fizikal terhadap dirinya.

Pertanyaan itu disambut dengan pengakuan jujur dan ikhlas daripadanya.

Lantas ujarnya : "Saya tak buat sebarang perubahan fizikal dan saya hanya mengambil vitamin C untuk menjaga kecantikan kulit."

Sememangnya, penulis harus akui kebenaran itu. Selain mengenakan mekap pada skala sederhana, Fid tampak ayu dan penuh pesona. Ia sukar dinafikan oleh sesiapa pun saat pertama kali bersua dengannya.

Persepsi masyarakat

Bahang Aidilfitri yang kian terasa mendorong penulis bertanya tentang sambutan Aidilftrinya pada tahun ini.

"Saya beraya di rumah famili saya, macam biasa dan macam orang lain juga," jawabnya.


SUKAR untuk menebak hati golongan mak nyah kerana mereka lebih suka menyendiri dan mengasingkan diri daripada masyarakat yang tidak memahami mereka.


Meskipun persepsi masyarakat melihat pada sisi negatif tentang mereka yang tinggal di kawasan yang didiaminya, Fid menegaskan, dia menjalani ibadah puasa seperti yang dituntut oleh agama.

"Saya berpuasa macam biasa," ujarnya bersungguh-sungguh kepada penulis ketika ditemui baru-baru ini.

Sampai bila Fid harus melalui titian hidupnya di Lorong Haji Taib itu?

Adakah dia akan berubah dan kembali kepada jati dirinya yang asal?

Persoalan-persoalan itu ditujukan kepadanya. Dia tidak menolak untuk menjawabnya sebaliknya berkata dengan penuh iltizam.

"Ya, pada satu masa, saya akan keluar juga dari Chow Kit, saya menyimpan cita-cita untuk membuka satu bisnes dan mahu membina satu kehidupan yang baru.

"Insya-Allah, mana tahu satu hari nanti Tuhan akan buka pintu hati saya untuk berubah, insya-Allah saya akan berubah," ujar Fid yang menyerahkan segala-galanya kepada Maha Pencipta.

Kisah-kisah sebegini membuatkan kita merenung sejenak. Sesungguhnya, tatkala Allah menciptakan seseorang manusia itu, Dia telah menganugerahkan setiap insannya dengan keunikan dan fungsi masing-masing.

Ada yang diciptakan-Nya memiliki kelebihan luar biasa. Tidak kurang juga yang dianugerahkan dengan kelemahan yang begitu ketara. Sebagai makhluk-Nya, kita tidak boleh mengeluh apatah lagi memburuk-burukan kejadian Allah.

Justeru, tidak seharusnya masyarakat terus menghukum sebaliknya harus memberi ruang kepada insan seperti Fid mencari solusi hidup.

Berpanduan

Seperti kata Fid dengan penuh harapan: "Walaupun kami mak nyah, kami hamba Tuhan juga, Dia tidak pernah membeza-bezakan hamba-Nya, Tuhan Maha Adil dan Dia punya pertimbangan-Nya sendiri."


KAWASAN Chow Kit yang hiruk-pikuk pada waktu siang akan berubah wajah pada malam hari.


Memetik kenyataan Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid yang mengulas mengenai isu anak muda yang melibatkan diri dalam kancah mak nyah, beliau berkata:

"Mereka ni macam orang sesat dan perlu diberi panduan, bila orang beri arah jalan yang salah, jadi salahlah haluan mereka, jika diberi laluan yang betul, maka sampailah mereka ke destinasi yang hendak ditujui," katanya.

Pendakwah bebas, Hashim Awaludin turut sependapat dengan Mahmood Zuhdi.

Sambil mengakui hakikat kelemahan institusi kekeluargaan, Hashim menambah, masyarakat sekeliling telah menambah lagi tekanan yang dihadapi oleh golongan bermasalah itu.

"Kenapa orang kita perlu menyalahkan mereka dan kenapa mereka tidak bertindak mendekati dan memahami mereka? Tidak keterlaluan saya katakan bahawa golongan itu adalah mangsa kepada keburukan masyarakat itu sendiri.

"Sudah tiba masanya kita membantu mereka yang sudah tergelincir kerana memarahi dan mempersendakan mereka bukan cara yang betul," katanya.

Aidilfitri bersama Godiva

Posted:

Aidilfitri bersama Godiva

Aidilfitri bersama Godiva


HAMPER Jubilee, Impression dan Jewel De Nile pasti menceriakan Aidilfitri anda.


SEMPENA Aidilfitri, coklat terkemuka Godiva menyediakan tiga hamper yang dipenuhi pelbagai jenis coklat.

Tiga hamper tersebut ialah Jubilee, Impression dan Jewel De Nile.

Bagi pembeli hamper Jubilee, anda akan memperoleh 16 bar coklat susu Carre, coklat susu Pretzel, 10 biji coklat Gem dalam tin dan 18 biji coklat Gem dalam balang.

Pada harga RM499, anda juga akan mendapat satu bar coklat susu bersama Praline Nougatine serta pes coklat dengan kacang hazel.

Hamper Impression pula menawarkan 16 bar coklat susu Carre, satu kotak coklat susu Pretzel, 10 biji coklat Gem dalam tin, 18 biji coklat Gem dalam balang dan 36 keping biskut dalam satu kotak.

Selain itu, pes coklat dengan tiga rasa iaitu kacang hazel, buah-buahan dan kacang gajus serta coklat gelap berperisa raspberi berbentuk tablet akan turut digabungkan dalam Impression.

Dijual pada harga RM699, ia turut mengandungi satu bar coklat gelap serta satu bar coklat susu bersama Praline Nougatine.

Melengkapi hamper Ramadan tahun ini, anda juga boleh memilih untuk membeli Jewel De Nile yang diisi dengan 11 jenis coklat berbeza oleh Godiva.

Jewel De Nile menawarkan 36 bar coklat Carre pelbagai jenis, satu kotak coklat susu Pretzel, 10 biji coklat Gem dalam tin, 18 biji coklat Gem dalam balang dan 36 keping biskut dalam satu kotak.

Pes coklat juga didatangkan dengan perisa berbeza terdiri daripada kacang hazel, buah-buahan dan badam serta buah-buahan dan kacang gajus.

Pada harga RM999, anda juga akan mendapat coklat gelap berperisa rasberi berbentuk keping, bar coklat pelbagai jenis serta satu bar coklat susu bersama Praline Nougatine.

Persiapan awal sambut Syawal

Posted:

Persiapan awal sambut Syawal

Persiapan awal sambut Syawal

PERSIAPAN awal untuk menyambut Aidilfitri dapat mengelakkan kekecewaan.


BENARKAH ada orang yang suka bertangguh untuk melakukan sesuatu dan menunggu hingga saat-saat akhir kerana seronok berdepan dengan cabaran? Itulah sikap orang kita terutama ketika mahu membayar saman trafik atau menukar kad pengenalan mahupun memulangkan buku di perpustakaan.

Tetapi lain pula ceritanya apabila membuat persiapan menyambut perayaan kerana ramai yang membuat persiapan awal mungkin kerana kesibukan tugas, kesuntukan masa terluang atau faktor wang.

Keadaan itu jelas dilihat di pusat bandar Kuala Lumpur kira-kira seminggu sebelum Ramadan. Berpusu-pusu individu dan mereka yang berkeluarga memenuhi kedai kecil dan pusat perniagaan di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di Kuala Lumpur.

Kebanyakan barang yang dijual menawarkan potongan harga yang tinggi sehingga mencecah 70 peratus.

"Inilah yang menguntungkan, barang baharu dan harganya murah. Lebih murah daripada barang-barang yang dijual di Seremban dan banyak pilihan," jelas seorang ibu yang baru saja selesai berbelanja hampir RM500 untuk membeli pakaian hari raya anak lelaki tunggal dan anak saudaranya.

Faktor harga


ORANG RAMAI membanjiri Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk mencari keperluan Aidilfitri.


Rohanee Longluwa, 42, warga Thailand yang telah lama bekerja di Malaysia dan berkahwin dengan warga tempatan serta mempunyai keluarga di sini berkata, keluarganya membuat persiapan awal untuk Aidilfitri tahun ini.

Rohanee dan keluarganya menetap di Seremban, Negeri Sembilan. Beliau berniaga makanan Thai setiap hari bermula dari pukul 2 petang hingga lewat malam.

Rohanee menutup perniagaannya sehari bagi memastikan beliau dapat berbelanja sehari suntuk di Kuala Lumpur.

Bila ditanya kenapa membuat persediaan Syawal sebelum puasa bermula, beliau menjawab: "Tak larat saya hendak datang membeli-belah dalam keadaan berpuasa nanti. Sudahlah penat berpuasa, anak lelaki kecil saya pula akan sibuk mengajak makan dan minum, susah saya dibuatnya."

Rohanee yang berasal dari Yala, Thailand akan menyambut Aidilfitri di Malaysia kali ini.

Sementara itu Mazlina Mohd. dari Terengganu bersama suami dan anak perempuannya turut ditemui membeli-belah di Kuala Lumpur.

"Kami datang dari Terengganu, ambil bas ikut rombongan ke Kuala Lumpur untuk berbelanja. Kami tinggal dua hari di Kuala Lumpur. Lepas beli barang untuk hari raya, kami akan pulang ke Terengganu," kata Mazlina.

Bila ditanya sama ada beliau biasa berjalan sejauh itu untuk berbelanja, Mazlina sambil tersenyum mengakui beliau kerap melakukannya sebelum ini.

"Kami lebih suka membeli-belah di Kuala Lumpur kerana lebih banyak pilihan. Kami biasanya mengambil cuti sebelum bulan puasa bermula untuk membeli keperluan hari raya bersama," katanya.

Antara sebab barang keperluan yang dijual di Jalan TAR diminati ialah faktor harga.

"Di sini harga barang-barang kecil macam pin, sepit rambut dan tudung pun lebih murah. Ada yang dijual secara pukal, pasal itulah ia lebih murah," kata Kamilah Hussin dari selatan Thailand.

Beliau datang dari Seremban menaiki KTM Komuter bersama sepupunya.


KEBANYAKAN barang yang dijual di Jalan Tuanku Abdul Rahman menawarkan potongan sehingga 70 peratus. - Gambar hiasan


"Nampaknya ramai yang membeli hari ini. Semasa kami turun di stesen Bank Negara, ramai yang turun dan berjalan bersama-sama ke Jalan TAR," katanya.

Koc balik ke Seremban juga agak sesak. "Kalau balik pejabat pun, tak sesak macam minggu sebelum Ramadan," katanya.

Persiapan awal untuk sambutan lebaran memang selalu dibuat oleh kaum ibu memandangkan ada yang bimbang kesuntukan masa, bajet tidak mencukupi atau kecewa tempahan tidak diterima, terutama apabila melibatkan penempahan sama ada baju ataupun kuih-muih.

Tengku Elisa Bustaman yang baru pulang ke Malaysia selepas bertugas dalam tempoh yang lama di luar negara berkata, beliau sudah siap menempah baju dan mengambilnya sebelum pulang ke Malaysia.

"Saya sudah mengambil baju-baju saya sebelum meninggalkan Dubai, beberapa minggu lepas. Saya dah tahu mesti tak sempat nak membeli mahupun menempah bila dah balik ke Malaysia. Persediaan lain saya belum fikirkan lagi kerana penat mengemas kotak-kotak yang dibawa balik pun belum hilang," kata ibu kepada empat anak itu yang sudah beberapa tahun merantau.

Tengku Elisa berkata, juadah kering untuk Aidilfitri nanti hanya akan dibeli setelah menjamah contohnya.

Kedai bakeri

"Kalau sedap dan memadai dengan keperluan keluarga, saya akan membelinya di dalam kuantiti yang lebih besar kemudian. Saya membeli biskut yang sudah siap dijual di kedai-kedai bakeri saja," katanya.

Pembekal kuih raya, Nurani Awa berkata, beliau hanya menerima tempahan sehingga hujung minggu pertama Ramadan.

"Saya bimbang tak sempat hendak menyiapkan kuih jika lewat mengambil tempahan. Kalau pelanggan dah tempah, takkan tak siap pula untuk hari raya. Di mana mereka hendak cari alternatifnya," katanya.

Membuat persediaan awal sememangnya sesuatu yang baik, selain dapat mengelakkan seseorang itu daripada kehampaan kerana keinginannya tidak kesampaian, sambutan Aidilfitri yang dirancang akan lebih menjimatkan.

Perancangan yang baik dan sistematik sememangnya dituntut dalam kehidupan agar segala yang ingin dilakukan berjalan lancar tanpa sebarang unsur negatif. Sebaiknya, berbelanjalah mengikut kemampuan dan tanpa pembaziran. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved