Isnin, 1 Ogos 2011

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Bazaria ubah imej Pantai Dalam

Posted:

Bazaria ubah imej Pantai Dalam

Bazaria ubah imej Pantai Dalam

Oleh NIZHA PERIASWAMY



PANTAI DALAM berlokasi di barat daya Kuala Lumpur, dengan demografi penduduk kebanyakannya terdiri daripada pekerja kolar biru, penuntut universiti dan anggota polis. Dengan pembangunan yang semakin ketara di kawasan berhampirannya seperti Bangsar South, Pantai Dalam juga tidak ketinggalan merasa tempiasnya. Pengenalan gerai-gerai makanan di bawah label Bazaria, adalah antara pelan mengindahkan wajah Pantai Dalam.

Menyedari ada kelainan baharu yang wujud di sekitar kawasan Bazaria yang terletak beberapa meter sahaja dari simpang bertentangan menghala ke Pantai Hillpark atau lebih tepat di separuh jalan menghala ke lebuh raya Pantai Baru, Kosmo! cuba mendekati pembangunan kawasan tersebut.


SUDAH ada pengusaha gerai di tepi jalan sekitar Pantai Dalam berpindah ke Bazaria yang lebih tersusun, bersih dan selesa.


Dibina secara berteres, Bazaria dipercayai bakal menghimpun kesemua peniaga di tepi jalan kawasan Pantai Dalam dalam usaha menjadikan kawasan itu bebas kesesakan.

"Saya sedang menanti-nantikan tempat baharu. Ia lengkap dengan fasiliti air, elektrik, tandas dan surau untuk mereka yang beragama Islam. Berniaga di tepi jalan mempunyai pendapatan yang baik tetapi, kita perlu fikir isu kesesakan yang melanda tiap pagi dan petang," kata Cecilia Arlandoo, 58.

Berniaga menjual makanan India di tepi jalan sejak 20 tahun, Cecilia sedikit pun tidak berasa kecewa. "Di sini, air dan elektrik kena ambil bekalan dari kedai atau tempat lain. Kesesakan pula semakin menjadi-jadi. Bazaria lebih dekat dengan rumah saya dan kelihatan selesa," katanya yang yakin akan mendapat surat tawaran dalam beberapa bulan dan akan diarah berpindah hujung tahun ini.

Menyokong kenyataan yang sama ialah peniaga Rahim Lan @ Alan, 52. Berniaga di tepi jalan di Pantai Dalam, Rahim mengakui tempat baharunya itu, cantik dipandang, lebih tersusun dan dapat membantu mengurangkan kesesakan jalan.


PENIAGA di Bazaria bimbang, jumlah parkir yang sedikit akan menyusahkan pelanggan bertandang ke sana.


Tetapi, Rahim meluahkan rasa bimbangnya dengan kemudahan parkir yang sedikit di hadapan gerai kerana ia mungkin menyebabkan pelanggan akan memarkir kereta di bahu jalan sehingga mengganggu lalu lintas.

Selain itu, jumlah meja yang terhad iaitu hanya tiga meja makan untuk setiap gerai boleh menyebabkan peniaga memilih untuk meletakkan meja tambahan di tempat parkir.

"Selagi tempat ini kosong, tidak mengapa. Bila sudah penuh, mesti ada masalah lain, khususnya kesempitan ruang, ketiadaan parkir dan sebagainya."

Walaupun peniaga di sini percaya langkah yang cuba diambil pihak berkuasa tempatan, iaitu pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai satu usaha murni demi penjenamaan semula kawasan Pantai Dalam, mereka masih kurang selesa.

"Bukan nak mengeluh tetapi, lihatlah sendiri keluasan gerai. Pintu belakang pun tiada. Letak dapur dan periuk, ruang sudah tiada. Bagaimana hendak memasak, mencuci pinggan mangkuk, simpan peti ais dan peralatan lain?" tanya Kassim Salleh seorang pesara tentera yang sudah 30 tahun berniaga makanan di kawasan itu.

Kedai sempit


SEBUAH butik pakaian yang sudah mula dibuka di Bazaria.


Jika dulu, mereka membina sendiri gerai mengikut keselesaan, kemudahan gerai yang ditawarkan DBKL itu dikatakan sangat sempit iaitu 9 kaki x 9 kaki (2.7 meter x 2.7 meter) sahaja. Kedudukan gerai bersebelahan terlalu sempit sehingga peniaga terpaksa mencari jalan sendiri untuk menempatkan peralatan mereka kelak.

Kassim yang berusia 65 tahun, menjual nasi campur dan air dibantu enam orang pekerja di gerainya yang sempit itu. "Sekarang kami gunakan gerai bersebelahan. Bila mereka semua masuk, memang susah," katanya.

Sementara itu, Rahim juga memberikan pandangan yang sama merujuk kepada saiz. "Jika kami tempatkan rak warung di hadapan gerai, ia seolah-olah menutup gerai kami. Jika berlaku apa-apa kecemasan, memang susah kerana tiada pintu belakang," katanya lagi.

Bagi dua orang pelanggan yang ditemui sedang menikmati makan tengah hari, mereka menyokong rintihan peniaga itu. Ruslan Abu Latiff, 51 dan Rashidah Hassan, 40 berkata, mereka melihat Bazaria sebagai satu tempat yang cantik dan terurus tetapi apabila dilihat daripada perspektif peniagai, ia agak tidak selesa.

"Pelanggan mempunyai kemudahan tandas yang baik, surau dan persekitaran perniagaan yang cukup kondusif. Ini satu lokasi yang baik dan landskap pembinaan juga menarik," katanya lagi.

"Mungkin bagi gerai makanan dan gerai basah, ia agak sempit tetapi bagi gerai kering seperti gerai menjual pakaian saya, tiada masalah. Cuma saya harap papan tanda akan ditambah kerana ia agak jauh dari gerai saya," kata Nurhafizah Alis, 29, yang berniaga di kawasan itu sejak 10 tahun.

Kebanyakan mereka baru sahaja berpindah ke Bazaria sejak sebulan lalu dan ada yang baru hari pertama berniaga. Kira-kira 10 gerai dilihat sudah memasang papan tanda dan lima lagi sudah mula beroperasi di situ.


BAZARIA menyediakan fasiliti yang lebih selesa untuk pengunjung.


Bazaria adalah salah satu projek komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak pemaju Kumpulan Amona. Dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Datuk Raja Zainal Abidin pada 4 November tahun lalu, Bazaria menempatkan 157 gerai basah dan kering.

Sasaran utama Bazaria adalah untuk penempatan semula peniaga berdaftar yang berniaga di tepi jalan sekitar Jalan Bukit Angkasa untuk mengurangkan kesesakan kawasan itu. Projek fasa pertama telah pun disiapkan pada Julai 2011 dan fasa kedua pula dijangka akan siap pada hujung tahun ini.

Buat masa kini, seramai 117 peniaga ditempatkan dan kebanyakan dijangka akan berpindah selepas hari raya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Amona bangunkan Pantai Dalam

Posted:

Amona bangunkan Pantai Dalam

Amona bangunkan Pantai Dalam

PIHAK pemaju Bazaria Amona, sudah lama terlibat dalam bidang hartanah, iaitu sejak tahun 1998 lagi. Penglibatan mereka bermula apabila diamanah untuk membaik pulih projek terbengkalai yang melibatkan penempatan pegawai polis, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kami memulakan pembangunan semasa Pantai Dalam sinonim dengan gelaran sebagai setinggan. Ketika membina penempatan PDRM, kami diarah membina 360 unit kediaman pegawai polis dan 60 unit teres di Desa Aman 1.

"Berikutan kejayaan itu, kami diamanah membangunkan Fasa 2, iaitu 452 unit apartmen pegawai kanan dan 116 rumah teres dan pusat komersial," kata Pengerusi Kumpulan Amona, Datuk Othman Ahmad.

Seterusnya, Amona melibatkan diri dalam pelbagai projek pembangunan di Pantai Dalam dan luar termasuk yang terbaru dan bakal dibangunkan pada November dan Disember 2011 iaitu 18 unit vila dan 408 unit kondominium bersebelahan Pantai Hillpark.

"Kami juga menjalankan tanggungjawab korporat sosial dengan memperuntukkan sejumlah RM3.3 juta untuk membina bazaria di kawasan Pantai Dalam kepada penggerai di tepi jalan. Projek tersebut yang dijangka akan habis hujung tahun ini," katanya merujuk kepada projek baharu mereka.

Pihaknya baru-baru ini diberi tanggungjawab membangunkan kawasan berdekatan taman simpanan Pantai Dalam yang akan dikenali sebagai Taman Pantai Dalam.

"Kami akan membina sebuah kawasan yang lengkap dengan kawasan komersial, taman dan sebagainya untuk mewujudkan satu penempatan yang serba lengkap. Mengikut pelan asal, kawasan itu terdiri daripada 115.3 hektar (285 ekar) tetapi 58.7 hektar (145 ekar) telah digazetkan sebagai hutan simpanan. Kami juga memulangkan 6.9 hektar (17 ekar) lagi untuk Taman Rekreasi Rakyat.

"Selain masjid dan tanah perkuburan, baki tanah akan digunakan untuk menjadikan kawasan itu sebuah bandar yang berkonsep hijau dan dalam masa yang sama penempatan idaman semua," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved