Ahad, 28 Ogos 2011

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Kisah raya Azura, Aida dan Diyana

Posted:

Kisah raya Azura, Aida dan Diyana

Kisah raya Azura, Aida dan Diyana

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
rosmalina.kadir@kosmo.com.my

BERGELAR usahawan pada usia muda sememangnya impian Azura Mazaruddin, 27, apatah lagi impian merealisasikan butik Azura Couture tercapai seiring pendakiannya untuk menjadi salah seorang pereka fesyen ternama di Malaysia.

Tahun ini, Aidilfitri lebih bermakna buat Azura kerana 2011 menjadi tahun pertama Azura Couture memulakan perniagaan pakej perkahwinan selepas berpindah butik ke Jalan Negara, Taman Melawati, Kuala Lumpur. Sebelum ini Azura Couture berlokasi di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Mengakui Ramadan tahun ini amat memenatkan, Azura memberitahu, penat lelahnya berbaloi saat perniagaan hasil usaha kerasnya selama ini semakin berkembang maju.

"Ramadan kali ini saya jarang dapat bersosial bersama teman-teman kerana kekangan waktu akibat kesibukan bekerja terutama pada hari Jumaat dan hujung minggu.

"Ketika inilah pelanggan paling ramai datang ke butik dan perjumpaan dengan klien-klien disusun. Masa saya banyak dihabiskan di butik dan saya dapat berehat pada hari Isnin sahaja. Itu pun jika tidak ada sebarang perjumpaan dengan klien," katanya.

Azura memberitahu, dia juga sibuk menguruskan kelengkapan perkahwinan adiknya yang bakal berlangsung pada hari raya keenam.

"Sebagai perancang perkahwinan untuk adik, saya tidak menang tangan menguruskan majlis perkahwinan, tempahan baju raya serta baju pengantin untuk klien lain yang sudah menempah awal.

"Walaupun agak gementar tetapi saya sentiasa memastikan perjalanan aktiviti saya mengikut jadual yang telah disusun supaya dapat memuaskan hati semua pihak," katanya.

Begitupun, kesibukan bukan alasan buat Azura untuk membiarkan Ramadan berlalu begitu sahaja tanpa pengisian terutama menjalankan ibadah tarawih dan berkumpul bersama keluarga untuk berbuka puasa.

"Di Kuala Lumpur saya tinggal seorang diri, jadi saya akan pastikan saya pulang ke rumah ibu bapa yang terletak di Banting sekurang-kurangnya seminggu sekali.

"Jika berbuka di sini, saya selalunya tidak memilih juadah kerana seringkali hanya sempat menjamah kurma dan minum air sahaja untuk berbuka kerana terlalu sibuk," katanya.

Tambah Azura, Ramadan tidak bermakna jika tidak dapat menunaikan solat tarawih.

"Jika berkesempatan, saya akan menunaikan solat tarawih di masjid Taman Melawati dan sesudah itu saya akan bermain badminton di Sports Planet, Ampang bersama kawan-kawan.


DARI kiri: Azura, Diyana dan Aida sedang membina nama dalam bidang fesyen dan kecantikan.


Lebaran yang bahagia

"Walaupun berada pada bulan puasa, saya tidak jadikan ia alasan untuk tidak beriadah kerana saya mempunyai kecenderungan untuk naik berat badan lebih-lebih lagi sekiranya bersahur dan berbuka dengan masakan emak," katanya.

Bagi jurusolek, Razida Ahmad Senusi, 31 pula, Ramadan dan Aidilfitri tahun ini paling bermakna buatnya kerana kali ini dia dapat beraya berdua bersama anak kecilnya, Insyira yang berusia dua tahun.

"Walaupun tahun ini tahun pertama saya beraya dengan memegang status ibu tunggal tetapi saya sangat bahagia kerana dapat keluar daripada sebuah perkahwinan yang menyedihkan.

"Anak saya juga sudah pandai berlari berbanding Ramadan tahun lalu kerana ketika itu dia masih belum pandai berjalan," katanya yang bakal menyambut Aidilfitri bersama ibu angkatnya di Kuantan, Pahang.

Anak jati Batu Kurau itu memberitahu, kegembiraan berbuka puasa adalah momen yang tidak dapat dilupakan saat melihat gelagat si kecil yang turut sibuk di meja makan.

"Apabila waktu berbuka sudah dekat, dialah yang paling sibuk dan akan duduk di meja makan sebelum orang lain," katanya.

Tidak seperti wanita bekerjaya lain, Aida memperlahankan kerjayanya sepanjang Ramadan untuk memberi lebih tumpuan kepada anak tunggalnya.

"Sepanjang bulan Ramadan, saya hanya mengambil dua tempahan sehari dan bercuti pada hari Sabtu dan Ahad kerana tidak mahu pulang terlalu lewat ke rumah dan ada lebih banyak masa untuk berehat.

"Tambahan pula, saya masih mengajar di sebuah kolej di Melaka sebagai pensyarah kecantikan yang saya hadiri seminggu sekali pada setiap hari Khamis," katanya.

Bercerita mengenai persiapan Aidilfitri pula, katanya, dia tidak kisah mengenai pakaian raya tetapi mengaku teruja membeli-belah kelengkapan raya untuk anak kecilnya itu.

"Saya asyik membeli baju raya untuk anak sampai baju raya sendiri pun saya tidak sempat membelinya," katanya.

Tahun pertama bekerja

Dalam pada itu, dunia fesyen ternyata masih baru buat Ili Diyana Azmi, 23, kerana dia baru sahaja tiga bulan bergelar perunding imej dengan Media Prima selepas menamatkan pengajian dalam bidang fesyen di Universiti Lim Kok Wing.

Tetapi, pengalaman pertama itu amat bermakna buatnya kerana berpeluang menggayakan hos-hos program televisyen seperti rancangan Nasi Lemak Kopi O, Bersamamu dan Berita NTV7.

"Walaupun rakan-rakan seperjuangan ada yang berkecimpung secara serius dalam rekaan fesyen, saya jadikan pengalaman ini sebagai titik mula untuk saya mempelajari dengan lebih mendalam mengenai persekitaran bidang ini.

"Walaupun bukanlah rekaan sendiri, saya seronok melihat baju-baju dan busana yang saya pilih dipakai hos-hos dan selebriti televisyen setiap kali rancangan berkenaan ditayangkan di televisyen," katanya.

Diyana memberitahu, walaupun dia terpaksa bekerja semasa Aidilfitri, dia tidak mengeluh kerana dia telah membuat pilihan terbaik dengan memilih bidang yang digemari itu sebagai kerjaya.

"Pengalaman pertama bekerja memang memenatkan apatah lagi, saya bekerja mengikut syif dan setiap hari bekerja melebihi 12 jam. Tetapi kerja ini menyeronokkan walaupun penat.

"Disebabkan kerjaya ini juga, saya belajar berbuka puasa secara ala kadar terutama apabila perlu bersedia untuk paparan berita pukul 8 malam," katanya.

Katanya lagi, tahun pertama bekerja turut mengajarnya mengenai fasa baru kehidupan apabila dia tidak dapat lagi bersuka ria bersama kawan-kawan seperti ketika pada zaman universiti.

"Rakan-rakan saya kini adalah rakan sepejabat dan kami selalunya bersahur dan berbuka bersama di pejabat sahaja akibat kekangan masa.

"Sepanjang Ramadan ini, walaupun tinggal bersama keluarga di Bangi saya hanya sempat berbuka bersama mereka tiga kali," katanya.

Tambah Diyana, sebagai pekerja baru, dia perlu cepat belajar dan menerima persekitaran baru dan rakan-rakan baru di pejabat.

"Sebagai pekerja baru, sudah tentu banyak kritikan yang saya dapat, tetapi saya tidak menyesal memilih bidang ini kerana minat yang mendalam.

"Justeru, saya mengambil setiap kritikan secara positif dan memperbaiki setiap kekurangan yang ada untuk lebih maju," katanya yang turut menjalankan perniagaan dalam talian di laman web shop-thefashionandi.blogspot.com.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved