Isnin, 15 Ogos 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Cabaran berdepan waris si mati

Posted:

Cabaran berdepan waris si mati

Cabaran berdepan waris si mati

Oleh ALIF ABU BAKAR

BERDEPAN dengan mayat setiap hari bukan satu perkara yang mudah apatah lagi bukan semua individu mampu berteman dengan orang mati dalam tugasan harian.

Namun, kerja-kerja pengurusan mayat sudah lali ditempuh oleh seorang Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK), Roesmal Azwan Abd. Malik, 33, yang hampir setahun berkhidmat dengan Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Rutin harian Roesmal bukan hanya memindahkan mayat dari wad ke bilik mayat sahaja tetapi sebagai PPK, lelaki yang berasal dari Kelantan itu juga membantu doktor dan pegawai perubatan melakukan bedah siasat.

Kerja-kerja bedah siasat seringkali divisualkan sebagai berbahaya dan memerlukan ketelitian, apatah lagi jasad yang dibedah siasat itu kebanyakannya berada dalam keadaan menyedihkan.

"Forensik HKL banyak menguruskan kes-kes kematian melibatkan perundangan (medico legal) seperti jenayah ataupun kemalangan.

"Jadi membedah siasat mayat yang tidak lengkap anggota badan, fizikal hancur dan sebagainya sudah sebati dalam tugasan kami," jelasnya yang memberitahu sekurang-kurangnya tujuh mayat perlu dibedah siasat setiap hari.


AUTOPSI mayat akan dilaksanakan mengikut kalendar mahkamah.


Mayat akibat nahas jalan raya seringkali berada dalam keadaan fizikal yang meruntun jiwa sehingga ada yang tidak menyerupai bentuk manusia langsung.

Menyedari kesukaran berdepan dengan waris mangsa yang menuntut mayat tersebut, forensik HKL mengambil langkah proaktif dengan menyempurnakan mayat itu.

Anggota-anggota tubuh yang tercerai akan dijahit sebaik mungkin bagi mengelakkan penderaan emosi terlampau dalam kalangan waris si mati.

Momen paling diingati Roesmal adalah saat menjalankan autopsi ke atas mayat yang telah lama disimpan kerana bau busuk mayat tersebut ternyata menganggu konsentrasi kerjanya.

"Bau mayat tersebut memang tidak dapat ditahan dan saya rasa boleh membuatkan orang muntah walaupun memakai topeng mulut.

"Bayangkan selama dua jam bedah siasat dijalankan, saya cuba menghilangkan rasa tidak selesa itu tetapi lama-kelamaan bau tersebut hilang begitu sahaja," ujarnya.

Momokan kisah mistik

Logik di sebalik kisah spiritual pula dirasakan tidak boleh boleh diguna pakai memandangkan tiada gangguan melampau diterima oleh pekerja-pekerja rumah mayat tersebut.

"Gangguan makhluk halus ada di mana-mana, jadi tidak wajar orang menganggap rumah mayat penuh dengan kisah-kisah mistik.

"Persepsi orang ramai terhadap pekerja rumah mayat juga sebenarnya meleset kerana wajah-wajah kami tidaklah pucat seperti mayat seperti diperkatakan ramai orang.

"Setakat ini kesemua petugas di sini tidak berdepan masalah besar dengan mayat tetapi selalunya masalah melibatkan waris si mati," jelasnya.

Bercerita tentang jenis-jenis mayat di forensik HKL, Penolong Pegawai Perubatan jabatan tersebut, Zainorden Tamat, 41, menjelaskan mayat-mayat diterima mereka terdiri daripada medico legal dan mayat biasa.


HKL tidak menggunakan bahan pengawet ke atas mayat sebaliknya mayat hanya disimpan di dalam peti ais.


Menurut Zainorden, jenazah medico legal dibahagikan kepada dua kategori iaitu membabitkan jenayah seperti bunuh dan bukan jenayah seperti kemalangan, kebakaran dan lain-lain.

"Kita juga mengendalikan mayat-mayat pesakit yang mati di wad iaitu selepas satu jam dari waktu kematian, mayat akan dibawa PPK ke bilik mayat.

"Waris akan dihubungi dan mayat tersebut akan dituntut selepas proses pengecaman dijalankan.

"Bagi mayat yang tidak berwaris, kita akan tunggu sehingga tiga hari bagi mereka beragama Islam dan 14 hari bagi agama lain sebelum ia diuruskan pihak kami," ujar Zainorden yang berkhidmat di HKL selama 16 tahun.

Mayat Islam yang tidak dituntut itu akan diserahkan kepada pejabat khas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di HKL bagi menguruskan kes-kes tersebut.

Mayat Medico Legal

Si mati yang diuruskan tidak hanya sendirian tanpa waris, malah ada juga yang tidak diketahui identiti menyebabkan pengkebumian mereka dilakukan di kawasan lapang seperti di tanah perkuburan Jalan Karak.

Begitu juga dengan mayat agama lain. Selepas usaha mengesan waris menemui kegagalan, mayat tersebut akan diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum dibakar di tempat pembakaran di Cheras.

Menyelak kes-kes medico legal, Zainorden merungkaikan bahawa majoriti mayat membabitkan urusan polis dan urusan mahkamah perlu menjalani proses bedah siasat.

Rasional bedah siasat dijalankan bertujuan mencari punca kematian si mati sama ada melibatkan jenayah atau sebaliknya, tetapi ia hanya dijalankan jika surat arahan daripada pihak polis dikeluarkan.

"Jabatan kami akan menjalankan bedah siasat mengikut kalendar mahkamah bagi kes-kes jenayah seperti pembunuhan.

"Disebabkan kematian individu tersebut melibatkan perundangan, maka mayatnya terpaksa disimpan sehingga surat kebenaran untuk melupuskan mayat dikeluarkan," ujar Zainorden lagi.


HKL pernah menyimpan mayat sehingga enam bulan bagi kes medico legal.


Pihaknya juga pernah menyimpan mayat membabitkan kes medico legal selama enam bulan.

Suhu peti ais menyimpan mayat adalah di antara 2 darjah Celcius hingga 8 darjah Celsius tanpa menggunakan bahan pengawet.

Menurut Zainorden, mengawet mayat di HKL bagi mengekalkan ciri-ciri fizikal mayat adalah ditegah dan mereka tidak mampu untuk menyekat proses pereputan sekiranya mayat disimpan terlalu lama.

Kematian ahli keluarga merupakan detik paling tidak ingin dihadapi oleh semua orang, namun ia adalah ketentuan yang tidak dapat dielakkan.

Petugas bilik mayat jabatan itu tidak hanya berhadapan cabaran autopsi dan pengurusan mayat, malah turut diduga dengan reaksi waris si mati.

Seorang lagi Penolong Pegawai Perubatan HKL, Zaidun Che Mat, 47, menyatakan, berdepan dengan keluarga si mati antara situasi paling sukar memandangkan kes-kes kematian medico legal adalah mengejut dan keadaan mayat yang tidak sempurna.

"Tidak semua autopsi dapat melengkapkan semula fizikal mayat kerana ada jasad yang memang langsung tidak dapat diselamatkan.

"Waris yang melihat si mati yang dalam keadaan menyayat hati sukar menerima kenyataan dan menyebabkan mereka meraung hingga pihak kami terpaksa menenangkan keadaan.

"Sehubungan itu, kami menyediakan bilik khusus yang dipanggil Bilik Menangis untuk waris mangsa bertenang sehingga mereka berkeupayaan meneruskan proses tuntutan mayat," ceritanya yang telah 13 tahun menyaksikan pelbagai situasi menyedihkan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Isu tahlil jenazah yang belum dikebumi

Posted:

Isu tahlil jenazah yang belum dikebumi

Isu tahlil jenazah yang belum dikebumi

SEPERTI yang diketahui, mayat tidak wajar disimpan untuk tempoh yang panjang bagi menghormati roh si mati.

Kebanyakan agama menggalakkan upacara pengebumian dijalankan sesegera mungkin supaya roh tidak terseksa dan menempuh alam ghaib dengan tenang.

Sehubungan itu, timbul persoalan bagaimana pula dengan mayat-mayat yang perlu disimpan untuk tempoh tertentu bagi tujuan siasatan kes yang melibatkan bedah siasat?

Menyentuh kekeliruan tersebut, juara program realiti, Imam Muda musim kedua, Mohd. Hassan Adli Yahaya@Yahuza, 26, meletakkan situasi tersebut sebagai perkara yang tidak dapat dielakkan.

"Apabila terjadi hal sedemikian, tidak mengapa mayat itu disimpan untuk tempoh yang diperlukan asalkan mayat itu diletakkan dalam keadaan baik.

"Begitu juga dengan mayat yang tidak dituntut waris. Tempoh yang diberikan adalah bagi memberi ruang kepada waris menuntut jenazah dan disempurnakan sendiri ahli keluarga,"jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Apabila mayat itu belum dikebumikan, timbul pula spekulasi bahawa roh si mati akan berlegar-legar di atas bumi kerana masih belum mengecap ketenangan dan tersekat antara duniawi dan alam abadi.

Hassan memberitahu, terdapat pelbagai pendapat berhubung perkara tersebut. Antaranya mayat yang belum dikebumikan itu hanya jasad kepada roh, jadi ia tidak mengganggu urusan roh si mati menuju ke alam ghaib.

"Itu semua rahsia Allah, jadi kita pun tidak mampu untuk meletak andaian apa akan terjadi kepada roh tersebut," jelas Hassan.

Bagi yang beragama Islam, majlis tahlil selepas pengebumian si mati perlu dilakukan. Persoalannya, adakah majlis tahlil perlu dilakukan sekiranya mayat masih ditahan untuk siasatan kes? Atau adakah tahlil perlu ditangguhkan sehingga waris dibenarkan menuntut mayat si mati?

Berdasarkan penerangan Hassan, bermula dari tarikh kematian si mati, maka secara automatik tercerainya jasad daripada roh. Justeru, roh akan bertemu Tuhan manakala jasad akan hancur dimamah bumi.

"Walaupun jenazah masih belum boleh dikebumi, tahlil tetap boleh dijalankan seperti biasa kerana yang menjadi keutamaan adalah iringan doa buat roh si mati dan bukan jasadnya.

"Selepas mayat si mati bebas daripada siasatan, upacara pengebumian juga dijalankan seperti biasa dan waris boleh menyambung tahlil mengikut tempoh yang serupa dari tarikh kematian," jelas Hassan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Meninjau penghuni Laluan Emas

Posted:

Meninjau penghuni Laluan Emas

Meninjau penghuni Laluan Emas


PERALATAN yang digunakan oleh tukang emas di Laluan Emas dipamerkan kepada pelancong.


KVETA ZRUSTOVA, 91, masih ingat dengan jelas kenangan pada musim bunga tahun 1938 ketika dia memasuki sebuah rumah kecil di Laluan Emas terkenal di Prague untuk meminta nasihat daripada seorang tukang tilik, Madame de Thebes.

"Saya benar-benar takut ketika itu. Dia duduk di satu sudut dengan seekor kucing di atas bahunya," kata Zrustova yang ketika itu berusia 18 tahun dan mahu meramal nasib mengenai peperiksaan sekolahnya.

Madame de Thebes, yang kemudian mati semasa disoal siasat Nazi selepas meramalkan kejatuhan Adolf Hitler adalah salah seorang daripada warna-warni kehidupan di jalan bersejarah tersebut.

Ditutup sejak awal tahun lalu, lorong yang telah diubah suai di Istana Prague dan merupakan salah satu tarikan utama pelancongan di bandar itu dibuka semula pada awal bulan ini untuk memberi peluang kepada pengunjung untuk mengintai kehidupan mereka yang pernah tinggal di situ.

Kebanyakan daripada 20 rumah kecil di sepanjang jalan tersebut telah berubah menjadi muzium kecil, dengan setiap perincian kepada penghuninya satu ketika dulu.

Hidup sederhana

"Tujuannya adalah untuk menunjukkan pelawat mengenai hidup orang biasa yang tinggal dan bekerja di sini, seolah-olah mereka baru saja meninggalkannya," kata ahli sejarah, Pavel Jiras yang bertanggungjawab atas perubahan yang dilakukan.


SEBAHAGIAN besar rumah di Laluan Emas diubah suai menjadi muzium kecil.


Rumah-rumah tersebut dibina sebagai pengukuhan kubu berasaskan dekri yang dikeluarkan oleh Maharaja Jerman dan Raja Czech, Rudolph II (1552-1612).

"Tukang jahit, tabib herba dan tukang emas. Setiap rumah ada sejarah tersendiri.

"Terdapat keindahan dalam kehidupan mereka yang serba sederhana. Magis misteri yang nyata berbeza dengan era agresif dan kejam kita," kata Jiras.

Tidak seperti yang diceritakan dalam legenda dan sering diuar-uarkan berterusan oleh pemandu pelancong, jalan itu tidak pernah menempatkan ahli kimia yang diupah Rudolph II untuk cuba menukarkan plumbum kepada emas.

Penghuni Laluan Emas termasuklah Franz Kafka (1883-1924), penulis Yahudi kelahiran Prague yang mencari inspirasi di situ dari tahun 1916 hingga 1917.

"Di rumah nombor 22, Kafka menulis naratif yang muncul dalam cerita ringkas berjudul A Country Doctor.

"Apa yang tidak diketahui oleh ramai orang ialah Kafka juga sebenarnya adalah seorang ilustrator," kata pengurus kedai buku yang ditempatkan di situ, Gabriela Cinkova, sambil menunjukkan sebuah buku kecil dengan lukisan penulis di sebelah novel terkenalnya Amerika: The Missing Person, The Trial dan The Castle.

Ribuan filem

Rumah nombor 12 pernah dihuni oleh sejarawan Josef Kazda yang berjaya menyelamatkan ribuan filem Czech daripada dimusnahkan oleh Nazi.

Sementara rumah nombor 15 diubah suai menjadi rumah tukang emas sebagai memori kepada sejumlah mereka yang mencari rezeki dengan profesion tersebut selama berkurun lamanya sehingga ia turut digelar Laluan Tukang Emas.


HIASAN dalaman rumah dijaga baik seolah-olah penghuninya baru sahaja meninggalkan rumah tersebut.


"Anda dapat melihat bengkel tukang emas sebenar dengan kesemua peralatan yang diperlukan," kata Pengarah Jabatan Pelancongan di Istana Prague, Frantisek Kadlec.

Katanya, peralatan tersebut dihadiahkan oleh sebuah keluarga Czech yang mendengar laporan radio mengenai pengubahsuaian tersebut dan memutuskan untuk menyumbangkannya selepas ia diwarisi daripada seorang anggota keluarga yang meninggal pada tahun 2009.

Di rumah nombor 26 yang pernah didiami oleh tukang jahit turut memaparkan gambar kekasihnya dalam pakaian seragam tentera Austria yang dirakamkan sebelum dia terbunuh dalam Perang Dunia Pertama.

Perangkap komersial

Penghuni terakhir terpaksa meninggalkan Laluan Emas tidak lama selepas komunis mula berkuasa di negara bekas Czechoslovakia itu pada tahun 1948.

Rejim totalitarian digulingkan pada tahun 1989. Empat tahun kemudian negara itu berpecah kepada Republik Czech dan Slovakia.

Dengan berkembangnya kapitalisme, pengkritik mendakwa laluan itu menjadi perangkap komersial secara melampau.

Namun bagi Pengarah Pejabat Pentadbiran di Istana Prague, Ivo Velisek menegaskan, Laluan Emas kini adalah lebih baik selepas menjalani pengubahsuaian paling besar yang pernah dibuat.

"Untuk satu jangka masa yang panjang kita pernah mempunyai penghuni tetap iaitu sepasang burung hantu. Ia meninggalkan kawasan ini lima tahun lalu, mungkin kerana merasakan tempat ini sudah tidak sesuai didiami.

"Tetapi kedua-duanya datang semula pada musim bunga seolah-olah untuk memberitahu kami yang Laluan Emas sudah kembali hidup," katanya. - AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved