Jumaat, 5 Ogos 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Tumpuan mak bidan kampung

Posted:

Tumpuan mak bidan kampung

Tumpuan mak bidan kampung

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID



SEWAKTU penulis bersama dengan jurufoto, Amin Farij Hasan melewati Jalan Maharani, Muar, pandangan mata kami tertumpu ke arah sebuah kedai yang dikerumuni ramai orang.

Naluri ingin tahu akhirnya membuatkan kami melintas jalan dan menuju ke lot 126 & 127 milik Syarikat M.R.S. Kasia Pillai. Semakin dekat dengan lokasi, aroma bau rempah begitu menusuk rongga hidung.

"Ya, boleh saya tolong, adik mahu rempah apa, kat sini macam-macam ada," tegur R. Muthu Kumar, 60, yang merupakan orang kuat syarikat yang terletak di tengah-tengah nadi Bandar Maharani itu.

Melihatkan kami yang sedikit canggung, dia mudah mengecam kehadiran kami adalah yang kali pertama ke premis tersebut. ketika itu, pemilik bisnes, V. Subramaniam, 70, tidak berada di kedai. Hanya Muthu menguruskan operasi bersama empat daripada lapan orang pekerjanya.

Daripada pemerhatian gaya para pelanggan ke kedai itu, rata-ratanya seperti sudah biasa ke sana. Seorang wanita yang baru saja tiba terus menuju ke sudut jualan untuk membeli sekilogram (kg) kacang parang.

Di sudut belakang kedai, sepasang suami isteri yang masih mengenakan topi keledar di kepala bertanya berapa harga rempah yang disebut sebagai anya-anya.

"Kedai Kasia Pillai memang jadi pilihan utama kalau nak beli rempah, kadang-kadang saya hantar barang untuk mereka proses," ujar Nadia Sulaiman, 33, kepada Kosmo!.

Sementara itu, seorang lelaki Cina separuh abad umurnya, terus membeli dal putih yang terletak di sebelah kaunter, tempat Muthu menunggu pelanggan pada kebanyakan masa.

"Kawan saya kirim beli dal ini, nak masak kuah dal. Lepas tu boleh saya minta semangkuk," seloroh pembeli itu yang mahu dikenali sebagai Uncle Lim, sambil dia melihat pembantu kedai menimbang bijian tersebut dengan menggunakan penimbang berat lama.


VARIASI rempah-ratus yang sukar ditemui sekarang terdapat di kedai M.R.S. Kasia Pillai.


Pelanggan yang datang semakin bertali arus. Muthu dan para pekerjanya tidak menang tangan melayan setiap daripada mereka dengan penuh hemah.

Lama beroperasi

"Inilah tempat kami berniaga. Daripada berdindingkan papan hinggalah kini ditukarkan kepada batu. Dulu ada satu lot, sekarang sudah dua lot.

"Di sinilah juga orang Muar membeli rempah. Mungkin dulu moyang atau datuk nenek mereka yang beli tapi sekarang yang datang ialah cucu cicit mereka pula," kata Muthu bersungguh sambil memulangkan baki wang kepada seorang wanita yang dilihat membeli rempah beriani.

Barangkali Muthu segan untuk terlalu memuji-muji kedai tempat dia mencari rezeki itu. Begitupun, kebanjiran pelanggan ke kedai berkenaan jelas merumuskan bahawa syarikat yang sudah bertapak di Jalan Maharani lebih daripada seratus tahun itu dipercayai ramai kerana layanan baik dan kualiti produknya.

"Bisnes ini adalah bisnes warisan turun-temurun yang kini sudah masuk generasi kesembilan. Kami rasa gembira kerana dapat jalankan perniagaan sehingga ke hari ini."

Sama seperti kukuhnya struktur kedai yang berada dalam deretan bangunan binaan tahun 1939 itu, riak wajah Muthu juga menunjukkan kesetiaannya terhadap perniagaan tersebut.

Proses rempah sendiri

Apakah tarikan keistimewaan rempah ratus hasil keluaran kedai itu berbanding puluhan kedai lain di Muar?

"Kita proses rempah sendiri, kalau kamu sanggup pergi ke belakang kedai dan tengok macam mana kita proses rempah, silakan," pelawanya.

Namun penulis hanya menjengah dari luar pintu. Sembarangan orang tentu tidak sanggup berada lebih lama lantaran debu-debu rempah bertebaran dan aroma tajam memenuhi ruang udara di bilik proses berkenaan.


KAS-KAS juga antara rempah yang kerap dicari-cari oleh para pelanggan.


Namun, alasan itu bukan halangan bagi dua pekerja yang sibuk mengeringkan rempah yang baru dikisar. Mereka nampak bersahaja dan sempat melemparkan senyuman ke arah kami.

Ujar Muthu, legasi M.R.S Kasia Pillai sedikit pun tidak terpengaruh dengan ledakan teknologi terkini.

"Kami masih proses cara tradisional. Kami sukat, basuh, bersihkan, goreng dan baru masuk ke mesin untuk dikisar dan dibiarkan selama tiga hingga empat jam.

"Kemudian kita jemur, kalau kilang besar mereka ada mesin untuk sejukkan rempah itu tetapi untuk mengekalkan mutunya, kami tidak buat begitu," terang Muthu ketika berkongsi cara pembuatan rempah di premisnya.

Bagaimanapun, lelaki itu berterus terang, dia tidak menggalakkan pengunjung menghantar bijian rempah ke kedainya untuk diproses.

"Kalau seseorang pelanggan hantar sekilogram bahan, dia hanya akan dapat 600 gram saja selepas dikisar. Itu terjadi sebab paip kami mempunyai ruang yang besar dan membuatkan serbuk melekat di bahagian dalamnya. Kami tidak mahu pelanggan rugi," jelasnya.

Pernah satu ketika, beritahunya, mereka menyukat bahan-bahan kisaran dengan tangan tapi proses itu tidak lagi diguna pakai.

Rempah import

Secara ringkasnya, syarikat M.R.S. Kasia Pillai adalah pusat sehenti untuk mendapatkan rempah-ratus dalam bentuk serbuk atau bijian. Masakan tidak, di situ terdapat lebih daripada 100 jenis rempah.

Untuk mengekalkan momentum pasaran, pesanan akan dibuat dua minggu sekali. Ada produk yang diimport dari India, Kanada, Afrika dan beberapa buah negara lain.

"Kita ada macam-macam, yang susah hendak ditemui dalam pasaran pun kita ada jual," katanya.

Ya, memang benar bagai dikata. beberapa nama rempah kedengarannya agak asing seperti buah tandi, ada padas, mercu polon, cabai sirih, daun cina maki, kayas angin, cuci atap, beras bali, kapas angin, pucho, ayarampoo, lilin lebah, kayu sedarang dan lada ekor.


GAYA susunan rempah mengikut jenis di dalam premis kedai.


"Hmm... orang lama tahulah, orang baru memang tak tahu. Di sini bukan sekadar rempah untuk memasak tapi banyak digunakan untuk tujuan kesihatan dan kecantikan," katanya sambil memberitahu kedainya menjadi tumpuan golongan bidan untuk membeli bahan-bahan rempah tertentu.

Muthu sempat menjelaskan, cabai sirih dan cuci atap biasanya dibuat jamu. Sementara air daripada daun cina maki baik untuk membersihkan lemak di dalam tubuh badan.

Sementara beras bali yang dijual RM3.40 sekilogram adalah alternatif bagi mengelak sembelit, kolesterol dan diabetes. Tambah Muthu, kebanyakan pelanggan adalah terdiri daripada kaum Melayu yang rata-ratanya orang Johor, Kelantan dan Melaka.

Sebenarnya, selain Syarikat M.R.S Kasia Pillai, terdapat beberapa buah kedai menjual rempah di lorong yang sama. Bagaimanapun, premis itu menjadi pilihan pelanggan kerana keaslian dan standard produknya.

Ibu beriani

Daripada ratusan rempah-ratus yang dijual, Muthu tidak menafikan bahawa ibu beriani adalah bahan yang paling mendapat sambutan.

Selain berkualiti tinggi, adunan ibu beriani dari Syarikat M.R.S Kasia Pillai katanya, mampu membuatkan nasi ber iani yang dihasilkan lebih enak.

Apa rahsianya? "Kami menggunakan lebih 50 jenis rempah dan salah satunya ialah buah pala yang berharga RM120 sekilogram iaitu bahan yang sangat penting untuk jadikan ibu beriani kami lain daripada yang lain."


SYARIKAT M.R.S. Kasia Pillai ini sudah lebih seabad membekalkan pelbagai rempah ratus kepada para pelanggannya di seluruh negara.


Maka, tidak hairanlah jika sebuah syarikat di Kluang meminta agar disediakan 100 kilogram rempah tersebut dalam satu pesanan. Malah, ada pengusaha lain yang sanggup datang ke Muar menaiki bas untuk mendapatkannya.

"Kami jual RM40 sekilogram. Walau mahal, orang tetap cari. Saya tidak boleh cerita lebih lanjut tentang ramuannya sebab resipi ini hanya diperturunkan dalam keluarga," katanya sambil tertawa kecil.

Selain itu, jelas Muthu, buah pelaga yang dijual pada harga RM100 sekilogram juga antara yang dicari-cari di premisnya.

"Buah ini kalau tak digunakan, daging tidak akan masak dengan betul," katanya menitipkan petua orang dulu-dulu. Dia juga berpesan, jangka hayat baik bagi satu-satu rempah hanya bertahan selama sebulan.

Kepada peminat mi bandung iaitu makanan signatur Muar, premis itu juga tidak ketinggalan dan menjadi medan terbaik untuk mendapatkan perencah mi bandung, soto atau mi rebus.

Selama hampir lebih seabad berniaga, Muthu berkata, keluarga dan sanak saudaranya tidak pernah bercadang untuk beranjak daripada mengusahakan perniagaan lain.

Soal saingan dengan mana-mana perusahaan bukan satu perkara kritikal bagi syarikat itu. Seperti kata Muthu, masing-masing ada kelebihan tersendiri.

"Rempah sudah sebati dengan jiwa kami, kalau awak nak tahu, ketua kami (V. Subramaniam), dia dapat cam jenis rempah yang diproses melalui bau saja," katanya yang menyediakan lebih banyak bekalan menjelang Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang menjelma tidak lama lagi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Konflik buaya dan manusia

Posted:

Konflik buaya dan manusia

Konflik buaya dan manusia

Oleh EDWARD SUBENG STEPHENrencana@kosmo.com.my


SEORANG penduduk kampung Mohd. Faizul Abu Bakar membawa bangkai buaya dengan bot untuk ditanam selepas dipercayai mati ditembak oleh pihak berkuasa di hulu Sungai Seblak.


KETIKA buaya di Sungai Seblak terlepas daripada langkah penakaian yang dibatalkan pada saat-saat akhir, kira-kira 1,000 penduduk Kampung Empelam di Kabong, kira-kira 60 kilometer dari Sarikei, Sarawak masih bimbang tentang keselamatan mereka.

Sejak empat tahun lalu, penduduk kampung itu dihantui ketakutan ekoran serangan maut ke atas dua penduduknya dan bilangan buaya yang terus meningkat di sungai tersebut.

Malah, sejak itu penduduk kampung berasa rimas dan cuba mengelakkan daripada sebarang aktiviti di sungai yang mengalir di belakang rumah mereka dan masalah itu secara tidak langsung menjejaskan kehidupan harian serta sumber pendapatan mereka.

"Sungai ini dipenuhi buaya termasuk ada yang boleh sampai saiz sehingga tujuh meter," kata Ketua Kampung Empelam, Johan Jok, 64.

Ketika ditemui di kediamannya, Johan, bekas kakitangan awam itu berkata, bulan Jun adalah bulan yang sangat berbahaya kerana buaya betina bertindak agresif dan ia adalah musim bertelur.

"Sehubungan itu, pada bulan Jun setiap tahun, saya akan menasihatkan penduduk kampung supaya elakkan menangkap ikan di sungai," kata beliau.

Mangsa reptilia


PENDUDUK kampung dibantu anggota Bomba dan Penyelamat menaiki bot untuk menyeberangi Sungai Seblak di Kampung Mempelam, berikutan operasi memburu buaya giat dijalankan di sungai tersebut.


Mangsa pertama reptilia di kampung itu ialah Khamis Achong yang diserang pada bulan Ogos 2007 dan yang kedua ialah Mankay Goheh yang menjadi mangsa pada bulan Mei lalu.

Beliau berkata, mayat Khamis ditemui di Sungai Nyiar, kira-kira 13 kilometer dari kampung itu.

Walaupun jarang sekali manusia dibaham buaya, ketika air pasang pada sebelah petang reptilia itu sering menyambar ayam dan itik milik penduduk yang berada di bawah rumah, jelas Johan lagi.

"Saya takut untuk memikirkan apa yang akan berlaku jika seekor buaya besar turut terlanggar tiang kaki rumah dalam proses itu," katanya.

Johan berkata, mata pencarian 28 orang penduduk kampung yang rezeki mereka bergantung pada sungai itu terjejas akibat ancaman buaya. Sungai Seblak yang terkenal kerana udang galahnya yang mencecah harga sehingga RM40 sekilogram (kg). Jika rezeki murah, mereka boleh menangkap sehingga 50kg.

Namun, kerana ancaman buaya kebanyakannya tidak berani turun ke sungai.

Johan berkata, tinjauan yang dijalankan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menganggarkan terdapat sekurang-kurangnya 306 ekor buaya di sungai itu dari Roban hingga ke Sessang.

"Kami tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan. Kami tidak boleh menembaknya kerana ia adalah spesies yang dilindungi. Lagipun, kami tidak berminat membunuhnya kerana ada antara kami yang percaya reptilia ini bersifat pendendam.

"Saya tidak yakin penduduk tempatan boleh membunuhnya. Lagipun untuk membunuh seekor buaya yang besar, anda memerlukan senjata khas," katanya.

Pilihan lain ialah mendapatkan khidmat bomoh untuk mengusir reptilia itu tetapi pada hari ini agak sukar kerana bayaran yang dikenakan oleh bomoh mencapai sehingga RM5,000 atau lebih.

Operasi penakaian selama seminggu yang pertama seumpamanya di kawasan itu dicadangkan pada minggu ketiga bulan Julai. Operasi itu membabitkan anggota tentera, polis, Rela, Jabatan Bomba dan Penyelamat, pejabat daerah kecil Roban dan penduduk tempatan.


MAYAT Mankay Goheh, 42, maut dibaham buaya dibawa oleh penduduk Kampung Empelam selepas ditemui di hulu Sungai Nyiar Roban, Kabong, Sarawak baru-baru ini.


Bagaimanapun operasi itu dibatalkan pada saat-saat akhir kerana kekurangan sumber dan kesukaran mengenal pasti buaya-buaya ganas.

Ketua Daerah Polis Saratok, Deputi Supritendan (DSP) Lee Phai Lien berkata, rancangan awal adalah untuk memburu sehingga 60 ekor buaya yang panjangnya tidak kurang daripada 2.5 meter dan berpotensi mengancam manusia. Sementara itu, pengurus besar SFC Wilfred Landong berkata, perbadanan itu sedang mempertimbangkan aktiviti pemburuan komersial untuk mendapatkan kulit dan daging buaya dalam usaha mengawal bilangannya.

Pemburuan komersial

Beliau berkata, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 yang melindungi reptilia harus dipinda bagi membolehkan pemburuan komersial dari semasa ke semasa.

Beliau berkata pada tahun 1961, Sarawak mengeksport 7,245kg kulit buaya yang bernilai RM148,000, sementara pada tahun 1970 ia mengeksport 692kg yang bernilai RM13,000.

"Berdasarkan tinjauan kami yang dilakukan sejak tahun 1995, populasi buaya tembaga (crocodylus porosus) di beberapa batang sungai telah meningkat dengan ketara.

"Kejadian serangan ke atas manusia juga meningkat seiring dengan bilangannya," kata beliau. Wilfred menunjukkan bahawa reptilia itu lazim ditemui di 22 lembangan sungai di negeri Sarawak. SFC sedang memantau lima batang sungai utama khasnya Batang Sadong, Batang Lupar, Sungai Sarawak, Batang Saribas dan Batang Samarahan.

Sungai-sungai itu paling banyak menyaksikan konflik buaya dan manusia dengan catatan 42 kematian manusia dilaporkan dari tahun 1980 hingga tahun 2009.

"Batang Lupar paling banyak menyaksikan insiden serangan buaya dengan catatan 16 kematian disusuli Sungai Sarawak dengan lima kematian dan empat di Sungai Saribas," katanya. - Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved