Rabu, 27 Julai 2011

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Misra paling cemerlang di MSU

Posted:

Misra paling cemerlang di MSU

Misra paling cemerlang di MSU

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM


MISRA menunjukkan pingat yang diterima sebagai pelajar terbaik MSU kepada ibu bapanya, Firdaus Sajab dan Asmawati M. Yunus.


WALAUPUN menolak tawaran melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Indonesia mungkin dilihat satu kerugian, Misra Helma Firdaus, 28, membuktikan keputusannya itu tepat apabila memilih institusi pengajian swasta tempatan.

Minggu lalu, anak kepada seorang pemandu lori itu membahagiakan kedua-dua orang tuanya apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Canselor pada majlis Konvokesyen Kesembilan Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) di Shah Alam, Selangor.

"Bergelar anak pemandu lori bukan masalah ataupun beban dalam mengejar cita-cita kerana ibu bapa saya sentiasa berdiri teguh memberi galakan dalam pembelajaran malah, akan memberikan yang terbaik agar anak-anak dapat berjaya dalam kehidupan mereka.

"Walaupun pernah menolak tawaran melanjutkan pengajian ke universiti di Indonesia akibat masalah kewangan saya tetap optimis mampu menggapai cita-cita sehingga ke menara gading dengan mencari peluang di MSU," kata anak sulung yang bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan.

Dia yang berasal dari Kuala Lumpur bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi, menunjukkan bakat dan aktif dalam kokurikulum dengan menyertai Persatuan Silat Seni Gayung Patani Malaysia.

Komitmen Misra dalam Persatuan Silat Seni Gayung Patani banyak membuka peluang dalam menyertai pelbagai pertandingan termasuk di Perancis malah, pernah bergelar juara pertandingan Silat Melayu Kebangsaan 2008.

Dalam majlis konvokesyen itu, seramai 537 graduan diraikan selepas menamatkan pengajian pada peringkat diploma dan ijazah dalam 33 bidang pengajian.

Seramai 26 pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum telah dipilih menerima anugerah khas berdasarkan pencapaian dalam bidang pengajian masing-masing.

Sementara itu, penerima Anugerah Akademik, Karamwant Kaur Gill Harbhajan Singh Gill, 25, berkata, dia sentiasa mendisiplinkan diri dengan memberi perhatian dalam kuliah dan bertanya kepada pensyarah apabila tidak memahami sesuatu perkara.


MOHD. SHUKRI (tengah) dikelilingi graduan MSU yang menamatkan pengajian di universiti itu.


Graduan Sarjana Muda Sains Bio Perubatan itu, yang kehilangan bapanya akibat strok beberapa hari sebelum peperiksaan akhir turut terpaksa menguatkan semangat untuk memastikan dapat menumpukan perhatian agar dapat mencapai kejayaan.

Dalam pada itu, Presiden MSU, Prof. Datuk Wira Mohd. Shukri Ab. Yajid berkata, pembangunan modal insan berkualiti menjadi intipati penting dalam memastikan universiti itu menjadi pilihan pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pengajian mereka.

"Kita sentiasa menekankan kecemerlangan akademik dan kokurikulum untuk memastikan graduan yang dilahirkan berkualiti serta mampu memenuhi permintaan pasaran.

"Tiga perkara yang menjadi keutamaan adalah akademik, personaliti dan serba boleh agar mudah diambil bekerja selepas menamatkan pengajian," katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen itu.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Sultanah Kedah selaku Canselor MSU, Tuanku Hamimah Hamidun. Turut hadir ialah Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Noordin.

Semenjak konvokesyen pertama, lebih 95 peratus graduan MSU telah mendapat pekerjaan dalam pelbagai organisasi dalam tempoh enam bulan selepas tamat majlis konvokesyen.

Antara faktor utama yang menyumbang dalam perkembangan itu adalah penawaran kursus MSU dan input berkenaan industri merentasi semua disiplin pengajian.

MSU menawarkan program pengajian pada peringkat pra-universiti, diploma, ijazah dan pasca siswazah melalui Fakulti Kesihatan dan Sains Kehidupan, Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Profesional serta Fakulti Sains Informasi dan Kejuruteraan.

Tidak ketinggalan juga Sekolah Perubatan Antarabangsa, Sekolah Farmasi, Pusat Pengajian Asasi, Sekolah Pengajian Graduan dan Pusat Pengurusan Graduan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Bengkel bantu ibu tunggal

Posted:

Bengkel bantu ibu tunggal

Bengkel bantu ibu tunggal


CHEF ZAM (empat dari kiri) dan Wan Rusli (lima dari kanan) bergambar bersama para peserta sebaik sahaja tamat sesi memasak.


SUASANA pagi hujung minggu di Silverspoon International College, Puchong, Selangor sangat berlainan pada awal bulan Julai lalu. Tempat menuntut ilmu anak-anak muda sebelum menerima segulung diploma dan ijazah itu menerima kehadiran 10 orang pelajar yang sedikit berusia tetapi mempunyai minat yang tinggi dalam bidang masakan.

Mereka adalah sekumpulan ibu tunggal yang mengikuti Bengkel Kulinari Ibu Tunggal anjuran Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia dengan kerjasama chef selebriti, Chef Zam.

Bengkel dimulakan dengan penerangan ringkas mengenai bagaimana berniaga makanan mampu menjana pendapatan serta pengkongsian tip oleh Chef Zam atau nama penuhnya Zamzani Abdul Wahab.

Antara tip yang diberikan adalah cara penyimpanan produk acar buah supaya mampu bertahan lama sehingga berbulan-bulan.

Para peserta yang rata-rata berumur antara 40 hingga 50 tahun itu dibahagi kepada tiga kumpulan terdiri daripada tiga hingga empat orang.

Sebanyak lima jenis lauk yang dipilih untuk demonstrasi masakan iaitu acar buah, nasi minyak hujan panas, daging kerutuk, ayam goreng berempah dan wajik durian.

Tukar kerjaya

Salah seorang peserta, Zurita Ghazali, 47, berkata, tujuan dia mengikuti bengkel itu adalah untuk mencari suatu bidang yang boleh bergantung harap.

"Saya bercita-cita untuk membuka sebuah kafe bagi menampung hidup bersama-sama empat anak saya," ujar Zurita yang sudah tiga tahun hidup sebagai ibu tunggal.

Lain pula kisahnya dengan Rahimah Teh. Menurut wanita berusia 46 tahun itu, dia mengikuti bengkel itu untuk menukar profesion.

"Sudah enam tahun saya hidup sendirian dan sepanjang tempoh masa tersebut saya melakukan pelbagai kerja-kerja yang berat.

"Saya sekarang bekerja sebagai pemandu teksi. Dulu jangan kata bas sekolah malah, lori pun saya pernah pandu," cerita wanita yang menetap di Rawang itu.


IBU tunggal terpilih boleh mendalami kemahiran memasak melalui Bengkel Kulinari Bersama Chef Zam.


Hajat di hati, dengan mengikuti bengkel tersebut, dia mampu membuka sebuah syarikat katering kecil-kecilan dan dapat meninggalkan pekerjaannya sekarang.

Secara keseluruhan, komen Chef Zam terhadap pelajar seharinya adalah memuaskan cuma perlu menambahkan kemahiran mereka.

"Daripada pemerhatian saya, mereka sudah pun memiliki pengetahuan dalam bidang masakan tetapi, bagi menjadi seorang usahawan dalam bidang ini mereka perlu memenuhi beberapa kriteria.

"Mereka hanya perlu didedahkan bagaimana cara-cara untuk menjaga tahap kualiti dan rasa supaya sentiasa seragam," terang Chef Zam yang mendapat pendidikan dari Universiti West London.

Harapan

Penglibatan Chef Zam dalam kerja amal itu bukan untuk mencari untung tetapi, sudah menjadi impiannya membantu golongan ibu tunggal.

"Saya sendiri dibesarkan oleh seorang ibu tunggal dan telah melihat sendiri betapa susahnya membesarkan anak-anak dalam suasana itu," katanya.

Harapannya kepada ibu-ibu tunggal yang mengikuti bengkel tersebut, mereka dapat membuka jalan baharu untuk meneruskan hidup nanti.

Peserta program itu tidak dibiarkan begitu sahaja, pihak yayasan akan memantau mereka dari semasa ke semasa sehingga mampu membuka dan menguruskan perniagaan sendiri.

Selepas ini, akan ada perancangan untuk membuat sebuah bengkel perniagaan selain program-program lain berunsur kemahiran seperti kelas menjahit.

"Namun, semua itu bergantung kepada keperluan dan situasi kewangan kami. Jadi, kami amat mengalu-alukan pihak swasta dapat memberi tajaan," ujar Pengurus Pembangunan Program Muslim Aid, Muhammad Kamarulazizi.

Bengkel diakhiri dengan pemberian sijil penyertaan dan buah tangan kepada para peserta oleh Pengarah Muslim Aid, Wan Rusli Wan Muda dan Chef Zam.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved