Rabu, 20 Julai 2011

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Taman rekreasi hijau di tengah kota

Posted:

Taman rekreasi hijau di tengah kota

Taman rekreasi hijau di tengah kota

Oleh BASIR ABU BAKAR
basir.abubakar@kosmo.com.my



TAMAN Tasik Perdana yang berusia 122 tahun dan terletak di tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur kini diberi nafas baru. Selepas dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, ia dikenali sebagai Taman Botani Perdana.

Tidak lagi menjadikan tasik sebagai identiti taman itu, pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertanggungjawab menguruskannya telah menghiasi taman berkenaan dengan pelbagai spesies flora sekali gus menjadikan ia taman botani bertaraf dunia.

Taman yang telah wujud sejak tahun 1888 itu telah selesai menjalani fasa pengubahsuaian pertama awal tahun ini sekali gus menawarkan suasana baharu buat penduduk di sekitar Kuala Lumpur untuk beriadah dan bersiar-siar.

Suasana taman yang mendamaikan termasuk beberapa lokasi menarik yang dinaik taraf di sekitarnya dilihat mampu menggandakan kehadiran pengunjung.

Taman Botani Perdana yang seluas 101.12 hektar itu merupakan salah satu di antara 14 buah taman rekreasi awam paling aktif di sekitar Kuala Lumpur.

Antara taman lain yang terdapat di Kuala Lumpur ialah Tasik Titiwangsa, Tasik Permaisuri, Tasik Bukit Jalil, Tasik Manjalara, Tasik Metropolitan Batu, Tasik Metropolitan Kepong, Rimba Kiara, Datuk Keramat, Arboretum Bukit Kiara, Pudu Ulu dan Alam Damai.

Bukan sekadar lawatan ke taman yang penuh dengan tumbuh-tumbuhan subur, di sekeliling taman itu terdapat beberapa lagi tarikan menarik untuk dikunjungi. Ternyata, tempoh satu hari bagaikan tidak cukup untuk menghabiskan pusingan ke semua lokasi itu.

Antara tempat yang boleh dituju di kawasan berdekatan adalah Pustaka Perkhidmatan Awam Malaysia, Taman Rama-Rama, Taman Bunga Raya, Taman Orkid, Taman Herba dan Konservatori, Taman Rusa dan Kancil, Memorial Tun Abdul Razak, Planetarium Negara, Muzium Polis dan Muzium Kesenian Islam.

Selepas dirasmikan dengan nama Taman Botani Perdana, ternyata sambutan yang diterima daripada orang ramai amat positif. Rata-rata pengunjung yang ditemui menghargai suasana taman riadah dan rekreasi tersebut.


RUSA-RUSA ini pasti mencuit hati pengunjung lantaran ia jinak dan manja.


Selain landskap taman flora yang menyejukkan pandangan mata, ia turut mengambil kira kemudahan tambahan buat para pengunjung. Penyediaan surau, tandas, gerai, kawasan permainan kanak-kanak, bangku duduk dan peralatan senaman individu amat tepat dengan konsep taman awam bertaraf tinggi.

Seorang pengunjung, Nor Azura Hashim, 30, berkata, setiap minggu dia dan suami akan datang ke taman itu bersama dua orang anak mereka untuk bersiar-siar.

"Persekitaran taman ini sangat menarik. Ia memang sesuai dijadikan destinasi riadah untuk keluarga. Cuma buat masa ini, beberapa taman kecil masih dalam proses dinaik taraf.

"Ekoran itu kita dapat lihat kerja-kerja pembinaan dan baik pulih sedang giat dilakukan kontraktor binaan di beberapa kawasan sekitar taman di sini," katanya.

Tambah Nor Azura, beberapa taman seperti Taman Bunga Raya, Taman Herba dan Taman Rusa perlu diberi perhatian yang lebih oleh pihak pengurusan agar kemudahan serta penampilannya lebih terjaga.

Tarikan rama-rama

Lokasi menarik lain untuk dikunjungi di Taman Botani Perdana ialah Taman Rama-Rama Kuala Lumpur yang menempatkan kira-kira 5,000 ekor rama-rama selain beberapa spesies haiwan eksotik lain.

Terletak di Jalan Cenderasari, kawasan seluas 0.8 hektar itu menjadi tarikan ribuan pengunjung yang mahu mendekati kitaran hidup serangga itu dan beberapa jenis haiwan lain.

Dengan bayaran RM9 bagi dewasa, RM4 untuk kanak-kanak berusia dua hingga 11 tahun dan RM26 bagi pakej keluarga (dua dewasa dan tiga kanak-kanak), pengunjung boleh meluangkan masa lebih satu jam untuk bersiar-siar di dalam taman itu.

Menurut Pegawai Perhubungan Awamnya, Roslyn Gina, 42, antara spesies rama-rama paling popular dan terancam yang menghuni taman itu termasuklah Indian Leaf (Kallima Paralekta), Great Moment dan Rajah Brooke.

"Terdapat 120 jenis rama-rama di dalam taman ini. Selain itu, taman ini juga mempunyai 10 jenis kura-kura, 16 jenis kumbang, dua jenis katak dan pelbagai spesies ikan untuk tontonan pengunjung selain rama-rama," terangnya.

Tambah Roslyn, taman tersebut turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pelawat kanak-kanak. Spesies rama-rama dan serangga boleh didekati melalui pameran dan bahan maklumat yang bersifat akademik.

Meskipun taman itu sudah berusia 17 tahun, kunjungan pelancong yang tidak putus-putus ke situ membuktikan destinasi percutian tersebut masih bertahan dalam diari percutian negara.


Roslyn melihat 'telatah' kura-kura yang banyak di salah sebuah kolam di Taman Rama-Rama.


Horizon juga berkesempatan bertemu Penolong Pegawai Pertanian, Taman Botani Perdana, Suhaila Mohd. Sani yang bertanggungjawab menguruskan Taman Herba dan Konservatori, Taman Bunga Raya, Taman Orkid dan Taman Rusa dan Kancil.

"Taman Herba dan Konservatori masing-masing seluas 0.3 hektar. Sementara Taman Herba menempatkan kira-kira 100 jenis pokok herba, Taman Konservatori pula mempunyai 30 kategori pokok yang setiap satunya ditanam sebanyak 20 batang," katanya.

Para penggemar haiwan tentunya tidak mahu melepaskan peluang untuk mengisi masa dengan membelai, bergambar dan memberi makan hidupan dan ternakan jinak itu dengan tangan.

Taman Rusa dan Kancil yang dibuka pada 2 September 1987 kini menjadi habitat untuk 56 ekor rusa, 11 ekor kambing, 15 ekor kancil, 25 ekor itik, lima ekor ayam dan enam ekor angsa.

"Di sini terdapat dua jenis rusa yang terdiri daripada baka Holland dan Morses (tempatan) serta baka kacukan kedua-duanya," kata petugas taman, Abdul Patah Zainul, 54.

Bunga kebangsaan

Suhaila turut memberitahu bahawa Taman Bunga Raya yang dirasmikan oleh Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali pada tahun 1990 menawarkan pelbagai spesies bunga raya di atas tanah seluas 0.9 hektar.

Terdapat lebih 200 jenis kacukan bunga raya pelbagai warna dan corak hidup subur di sepanjang lorong siar kaki dan permukaan teres yang menghiasi landskap taman tersebut.

Selain itu, Taman Orkid yang terletak di Jalan Cenderawasih menambat pesona pengunjung dengan dua kategori orkid iaitu dari spesies pokok asal dan kacukan.

Bagaikan taburan perca berwarna-warni, terdapat lebih 1,000 jenis bunga orkid dapat dilihat menyerikan taman itu.

Setelah puas berjalan di taman itu, pengunjung disyorkan untuk singgah ke Bazar Orkid yang terletak di tengah-tengah taman itu kerana pelbagai spesies bunga orkid dijual pada harga yang murah.

Sepasu bunga orkid dijual pada harga antara RM5 dan RM200, bergantung kepada saiz dan jenis bunga orkid tersebut.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Satu hari membeli-belah di Benh Thanh

Posted:

Satu hari membeli-belah di Benh Thanh

Satu hari membeli-belah di Benh Thanh


SAIGON OPERA HOUSE merupakan antara destinasi tarikan utamapelancong untuk dilawati.


PENGALAMAN percutian bersama empat sahabat karib merupakan suatu peristiwa yang paling sukar untuk dilupakan oleh penulis yang berpeluang berkunjung ke Vietnam pada 2 hingga 4 Julai lalu.

Bandar Raya Ho Chi Minh merupakan bandar raya terbesar di Vietnam. Bandar ini pernah dikenali sebagai Prey Nokor dan merupakan pelabuhan utama Kemboja sebelum dikuasai oleh Vietnam pada abad ke-17.

Semasa dikenali sebagai Saigon, bandar ini menjadi ibu kota Cochinchina Perancis dan kemudian Vietnam Selatan dari 1954 hingga 1975 dalam Perang Vietnam sebelum dinamakan semula dengan Bandar Raya Ho Chi Minh.

Pusat bandar itu terletak di tebing Sungai Saigon dan berdekatan dengan Delta Sungai Mekong. Bandar Raya Ho Chi Minh terletak 1,760 kilometer di selatan ibu negara, Hanoi.

Kawasan metropolitannya didiami seramai 9 juta penduduk dan merupakan kawasan perbandaran terbesar di Indochina. Nama Saigon masih digunakan dengan meluas dalam kalangan penduduk tempatan dan ia menjadi pusat perniagaan, kewangan, budaya dan pelancongan di Vietnam.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat, badan sudah mula terasa penat dan letih disebabkan perjalanan dan penerbangan yang mengambil masa kira-kira empat jam. Penulis dan rakan-rakan memutuskan untuk mendaftar terus masuk hotel terlebih dahulu.

Dari lapangan terbang kami menaiki teksi untuk ke hotel yang terletak di kawasan District One yang merupakan pusat pembangunan bandar Vietnam.

Kami menginap di Hotel Boss, yang dicadangkan oleh kawan kami yang pernah datang ke Vietnam. Hotel tersebut mempunyai kedudukan yang sangat strategik kerana terletak di tengah pusat bandar Vietnam selain memudahkan kami untuk menunaikan hajat sebenar kami ke sini iaitu untuk membeli-belah.

Harga penginapan untuk satu malam hanya memakan belanja sebanyak RM100 sahaja termasuk sarapan pagi untuk penulis dan rakan-rakan.


PENULIS (dua dari kanan) dan rakan-rakan turut tidak melepaskan peluang bergambar dihadapan Hard Rock Cafe Vietnam.


Selepas selesai pendaftaran masuk hotel dan berehat seketika penulis memutuskan untuk keluar bersiar-siar di sekitar Ho Chi Minh.

Di sini penulis dan rakan-rakan berpeluang melawati beberapa tempat menarik seperti Notre Dame Cathedral dan Pusat Pejabat Pos Saigon, Dewan Bandar dan China Town.

Jika anda berpeluang ke sini, tidak sah kalau tidak singgah ke Pasar Benh Thanh yang hanya mengambil masa beberapa minit dari tempat penginapan kami.

Pasar Benh Thanh merupakan pasar rakyat yang menghimpunkan pelbagai kelengkapan dan barangan tempatan yang dijual pada harga rendah.

Pengunjung yang datang ke sini pasti akan rambang mata dengan pelbagai pilihan barangan.

Habis masa satu hari kami di Pasar Benh Thanh.

Tapi awas kalau anda ke sini perlu beringat kerana jika anda tidak pandai mengawal diri, mungkin akan habis gaji sebulan anda kerana asyik membeli barangan di sini.

Harga bagi barangan yang dijual amat murah berbanding harga di tempat lain.

Bayangkan barangan seperti kain pasang boleh didapati pada harga RM30 bagi empat meter sedangkan harganya boleh mencecah hingga ratusan ringgit di tempat lain.

Di Vietnam, hampir 50 peratus daripada rakyatnya fasih berbahasa Melayu, jadi mudah untuk kami berkomunikasi dengan penduduk di situ.

Walau bagaimanapun, penulis tetap menasihatkan mereka yang mahu ke Vietnam perlu berhati-hati dengan penjual jalanan kerana mereka akan meletakkan harga yang tidak munasabah untuk barangan yang dijual.


PENULIS memilih kain yang dijual murah sekitar RM30 untuk empat meter.


Selain itu, satu lagi keunikan di Ho Chi Minh yang tidak dapat kami lupakan adalah kebolehan penjahit di sana menyiapkan baju yang ditempah dalam masa satu hari sahaja. Salah sebuah kedai tersebut terletak di hadapan hotel, Phi Phi Fashion dimana pengunjung boleh menempah baju pada sebelah pagi dan mengambilnya petang itu juga.

Paling memeranjatkan adalah harga yang dikenakan amat berpatutan. Jika di Malaysia harga upah menjahit baju mungkin mencecah ratusan ringgit namun, di sini anda hanya perlu membayar RM30 sahaja. Bahkan, kualiti pakaian yang dihasilkan juga amat memuaskan.

Terowong Cu Chi juga merupakan destinasi pelancongan yang wajib dikunjungi jika ke Vietnam, orang ramai boleh mempelajari pelbagai sejarah mengenai askar gerila Vietnam sewaktu zaman peperangan pada tahun 1968.

Terowong Cu Chi, salah satu jaringan bawah tanah yang mengagumkan dibina oleh pahlawan Vietnam semasa zaman menuntut kemerdekakaan.

Terowong tersebut terdiri daripada hospital, penginapan dan sekolah, yang digunakan sebagai tapak ketenteraan Vietcong semasa perang menentang Amerika Syarikat.

Di sini, pengunjung berpeluang menyelusuri terowong tersebut yang pernah digunakan oleh askar Vietnam sewaktu perang dahulu. Malah, terdapat pelbagai informasi menarik dan pameran bersejarah era perang Vietnam di sini.

Bagi yang meminati aktiviti lasak, terdapat juga lapangan sasar yang dibuka kepada umum dengan sedikit bayaran.

Bagi yang berminat, pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan teksi yang mengambil masa satu jam dari Ho Chi Minh. Sebanyak RM12 bayaran masuk akan dikenakan bagi setiap pengunjung.

Akhir sekali, di Vietnam terdapat banyak kedai makanan halal. Jika mahu, pihak hotel juga akan memberikan tunjuk arah ke kedai makanan halal terdekat.

Antaranya ialah, VN Halal yang terletak berhampiran hotel kami. Makanan di sini amat menyelerakan dengan harga yang berpatutan.

Bagi yang mahu merasa makanan tempatan Vietnam halal, Restoran Shamsudin adalah tempat yang disyorkan kerana di sini terdapat sup daging Vietnam yang lazat dan murah.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Lima yang bahaya

Posted:

Lima yang bahaya

Lima yang bahaya

APABILA bertanya kepada ramai kenalan jetsetter (pelancong mewah) mahupun backpacker dari kalangan komuniti pengembara dunia, masing-masing mempunyai tekad untuk melawat seberapa banyak destinasi eksotik di serata dunia.

Walaupun mereka punya maklumat, semangat dan sumber yang cukup untuk memenuhi impian tersebut, masih ada sebahagian besar daripada mereka yang tidak mahu menggadaikan keseronokan kepada risiko.

Peringatan ini bukan merangkumi negara yang diselubungi duka peperangan dan kawalan ketat militari seperti Iraq, Sudan dan Korea Utara. Sebaliknya, ini adalah senarai destinasi yang tercalar reputasi pelancongannya gara-gara kelemahan kawalan awam dan ketiadaan jaminan keselamatan.

Laporan tinjauan blog kembara HotelClub.com telah menyenaraikan lima destinasi ini yang semakin luntur dalam peta pelancongan dunia.

Brazil

SIA-SIA selama ini dicanang sebagai negara yang kaya dengan pantai dan belantara indah serta warisan budaya yang berwarna-warni, Brazil kini diancam masalah sosial yang tercetus daripada kerancakan pertumbuhan ekonominya sendiri.

Jurang sosioekonomi telah mencambahkan isu kemiskinan teruk hinggakan sejumlah besar populasi yang mendiami kawasan setinggannya sanggup melakukan apa sahaja untuk meneruskan survival hidup.

Malang sekali, sudah banyak laporan tentang pelancong yang menjadi mangsa samun bersenjata, daripada ancaman pisau di leher hinggalah kepada pistol yang diacu ke kepala. Semuanya gara-gara kelompok penjenayah terdesak yang tertarik pada beg duit, kamera dan barangan berharga lain yang dibawa oleh pelancong dan mangsa yang naif.

Raja-raja dadah dan kumpulan kongsi gelap juga berleluasa hinggakan orang awam yang tidak bersalah sering terperangkap dalam dendam, sengketa di jalanan dan juga tembakan rambang.

Sri Lanka

SYURGA eksotik yang dianugerahkan pesona semula jadi dan resort pantai ini membuatkan ramai pengembara terpanggil untuk menjejakkan kaki ke pulau ini.

Namun, bagi mereka yang sentiasa mengikuti laporan berita antarabangsa tentu mengetahui betapa Sri Lanka ibarat sebuah 'sarang' untuk keganasan terjadi pada bila-bila masa. Sejak konflik memuncak antara pihak pemerintah dan serpihan pejuang revolusi Harimau Tamil pada tahun 1983, lebih 70,000 orang telah terkorban. Walaupun orang luar bukan termasuk dalam isu yang dikecohkan kedua-dua pihak, risiko tetap boleh berlaku.

Afrika Selatan

DI sebalik usaha hebat melobi menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2010 dan urusan perdagangan di Cape Town, Afrika Selatan sebenarnya masih sukar untuk mengikis tanggapan global mengenai 'penyakit' sosialnya.

Bukan sekadar menjadi destinasi dengan kadar kematian akibat kes bunuh yang tinggi, ia juga telah dimomokkan dengan panggilan 'ibu kota rogol' berdasarkan siri kes pemerkosaan gadis dan wanita yang sukar dibendung. Lebih menggusarkan, semua pelaku jenayah itu berkemungkinan terdiri daripada kalangan lebih 10 juta rakyatnya yang positif HIV.

Colombia

PANORAMA unik pesisiran pantai, pemandangan pergunungan dan wanita-wanitanya yang cantik mungkin menjadikan republik itu sebuah percutian sempurna.

Itupun sekiranya seseorang pengembara tidak peduli tentang statistik Colombia sebagai pembekal 80 peratus kokain dunia selain ancaman penyamun di setiap penjuru jalanannya.

Masih mahu datang ke Columbia? Kalau ya, bersedialah juga untuk terserempak dengan anggota gerila Pasukan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC) yang terkenal dengan modus operandi menculik, dan kemudiannya membunuh apabila penculikan itu tidak memulangkan ganjaran kepada mereka.

Haiti

Tempat lahir amalan voodoo ini turut dikenali sebagai bumi yang paling tidak berperaturan, miskin dan paling bahaya. Rusuhan, pembunuhan dan penculikan dahulunya terjadi setiap hari. Keadaan itu sedikit terkawal hanya selepas pasukan keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditugaskan menjaga keselamatan awam dan kestabilan politik di sana.

Begitupun, keberkesanan pasukan polis dan sistem keadilan masih belum mengembalikan sepenuhnya keamanan di Haiti. Situasi itu bertambah buruk dengan kecenderungan aspek geografinya yang sering dilanda bencana alam seperti taufan dan gempa bumi. Rentetan daripada malapetaka itu, krisis kebuluran, sebaran penyakit dan keresahan awam mudah tercetus sekali gus mengembalikan Haiti kepada suasana tidak tenteram seperti sebelumnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved