Isnin, 23 Mei 2011

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Hari terbaik memiliki kekayaan

Posted:

Hari terbaik memiliki kekayaan

Hari terbaik memiliki kekayaan

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periswamy@kosmo.com.my



BERIKUTAN berita mengenai harga emas yang berkemungkinan naik sehingga RM171 bagi satu gram, orang ramai berpusu-pusu membeli logam mewah itu di Jalan Tengku Kelana, Klang.

Di samping menunggu giliran dengan penuh sabar untuk membeli aksesori emas pilihan, ada juga yang sekadar memilih pantas sekeping syiling emas ber wajah dewa atau dewi untuk memenuhi syarat membeli emas.

Itu gelagat yang dapat disaksikan di beberapa kedai emas sekitar kawasan Little India, Klang bersempena hari yang dianggap bertuah!

Pada 6 dan 7 Mei lalu, beberapa kedai emas yang dimiliki oleh peniaga India di Jalan Tengku Kelana seperti mengadakan promosi jualan penghabisan stok barangan emas.

Apa tidaknya pada kedua-dua hari tersebut bukan sedikit pelanggan yang bersesak-sesak ke kedai mereka. Selain harga emas yang semakin stabil, tanggal 6 dan 7 Mei lalu mengikut mengikut kalendar Vedik agama Hindu adalah hari yang paling bertuah membeli emas atau perak.

Oleh kerana itu, kebanyakan pelanggan yang tinggal di sekitar kawasan Klang, seperti Shah Alam, Pelabuhan Klang, Kapar dan Petaling Jaya sanggup memenuhi kedai emas di Jalan Tengku Kelana dan sekitarnya untuk mendapatkan tuah membeli emas pada hari tersebut.

"Saya tidak tahu hari ini adalah Hari Akshaya Tritiya. Apabila secara tidak sengaja saya memberitahu ibu bahawa akan menghadiahkannya seutas rantai emas, ibu menyuruh saya membelinya pada hari ini," kata S.Litha, 36.

Dia yang ditemui di kedai emas V. Gopal Pather and Sons juga menambah, ibunya yang menyedari ketibaan Akshaya Tritiya pada hari itu turut mendesak dirinya membeli emas untuk diri sendiri supaya mendapat restu dan tuah.

"Apabila ibu suruh saya berbuat demikian, saya pun ikut. Walaupun ini kali pertama kami membeli emas pada hari Akshaya Tritiya, saya berharap pembelian hari ini dapat membawa tuah sepanjang tahun dengan lebih banyak emas," katanya yang mengakui emas sebagai satu pelaburan yang baik.

Tambah ibu Litha, T. Selvi, pula: "Orang India memang suka melabur emas. Ini sahaja yang menjadi pilihan. Saya membeli emas kerana sukakan emas selain satu pelaburan dan spiritual disebabkan emas dianggap satu lagi bayangan Dewi Laxmi iaitu Dewi Kekayaan."


PELANGGAN tetap melakukan aktiviti tawar-menawar untuk mendapatkan harga yang berpatutan.


Menurut kepercayaan agama Hindu, Akshaya Tritiya ialah salah satu hari yang paling bertuah dan ideal untuk membeli logam seperti emas dan perak kerana pembelian pada hari itu akan membawa kesejahteraan dan restu yang berpanjangan.

Menurut kalendar Vedik Hindu, lagenda Tritiya daripada epik Mahabharata, Akshaya dalam bahasa Sanskrit bermaksud sesuatu yang tidak akan berkurangan, mengecil atau lemah. Malahan, seperti kepercayaan penganut Hindu, bintang Akshaya dipercayai akan terus memberikan segala kekayaan dan kesejahteraan material jika diikuti syaratnya.

"Hari Akshaya Tritiya amnya jatuh pada hari ketiga kalendar lunar bulan Chittirai mengikut kalender Hindu iaitu di antara April 14 hingga Mei 14. Tidak ketinggalan ia jatuh pada hari bulan mengambang penuh."

"Pada hari ini, dipercayai dikuasai oleh restu Dewa Vishnu, dewa penjaga daripada Trimuthi Hindu dan dewa pasangan kepada dewi kekayaan, Dewi Laxmi. Ia juga dipercayai sebagai hari kelahiran Parashurama, kelahiran semula keenam Dewa Vishnu."

Demikian penerangan yang diberi oleh pendeta di Persatuan Penganut Sri Ragavendra di Pelabuhan Klang, Swaminathan, 70.

Beliau juga menambah, pada hari tersebut penganut digalakkan menderma dan pembelian emas adalah sebahagian daripadanya.

Walau bagaimanapun, orang ramai lebih memilih membeli emas. Swaminathan percaya, emas sebagai pelaburan, hari tersebut sangat mulia untuk memulakan perniagaan atau usaha baru.

Potongan harga

Di India, sebuah pusat beli-belah Gold Souk di Gurgaun, Delhi melaporkan telah menjual barangan emas bernilai lebih Rs10 juta (RM1 juta) pada hari Akshaya Tritiya, hari Jumaat, 6 Mei lalu.


KEDAI emas V. Gopal Pather and Sons antara kedai emas di Jalan Tengku Kelana yang dipenuhi pelanggan.


Dengan kehadiran lebih 13,000 orang pelanggan ke pusat beli-belah itu, kedai-kedai emas dikatakan dibuka sehingga pukul 3 pagi. Kedai emas di Gold Souk menawarkan diskaun 15 hingga 25 peratus bagi kerja pembuatan serta lebih 15 peratus bagi barangan kemas berlian.

Bagi peniaga tempatan di Jalan Tengku Kelana, mereka turut membekalkan tawaran yang hebat. Kebanyakan peniaga memberi jaminan kepada pelanggan akan menawarkan harga yang paling ideal.

"Kami memberikan tawaran bukan sahaja dari segi caj pembuatan yang rendah, malah RM1 kurang bagi setiap gram. Lebih banyak mereka beli, lebih banyak dapat berjimat. Lebih-lebih lagi pada waktu harga emas yang mahal akhir-akhir ini," kata pemilik kedai emas S.O. Nadarajah Pather & Sons Jewellery & Gems, Sarojini Murugiah, 48.

Beliau menambah, berbanding hari-hari biasa, perniagaan di kedainya meningkat pada hari Akshaya Tritiya. "Lazimnya, pada Akshaya Tritiya perniagaan secara keseluruhan akan meningkat sehingga 80 peratus!" katanya lagi.

"Hari ini, saya terpaksa tolong ibu kerana ramai orang yang akan datang membeli emas. Walaupun ia hari yang sibuk, saya berasa gembira melihat orang ramai yang berpusu-pusu kerana tidak mahu melepaskan peluang memiliki emas pada hari ini," kata anak Sarojini, Lalithaa Subramaniam, 16, sambil membawa sebuah lampu Kuthuvilaku perak untuk pelanggannya, Thanaletchumi Muniandy, 59.

Rahmat Akshaya Tritiya

Risvina Balakrishnan, 34, juga dari Shah Alam mengakui dirinya percaya pada hari tersebut kerana mempunyai pengalaman manis pada tahun lalu.

Katanya, dia pernah membeli emas pada hari Akshaya Tritiya buat kali pertama pada tahun lepas dan hasilnya, dia dapat membeli lebih banyak aksesori mewah itu sepanjang tahun.

"Jadi, saya tidak mahu ketinggalan tahun ini. Saya membeli rantai untuk diri sendiri, tetapi sebelum itu saya akan meletakkannya di tempat pemujaan sebelum memakainya sebagai mendapat restu Tuhan," kata Risvina.

Venessa, bukan beragama Hindu juga mahu mencuba nasib. Wanita yang berusia 56 tahun ditemani seorang rakan berketurunan Cina berkata, tujuan mereka datang membeli pada hari itu adalah kerana mahu mencuba nasib.

"Saya belum bercadang apa jenis emas yang mahu dibeli. Tetapi yang pasti saya akan membeli aksesori. Saya pilih hari ini kerana percaya ia hari yang baik," katanya yang menunggu giliran sejak lebih setengah jam di kedai emas di Jalan Tengku Kelana itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Emosi dan air mata tragedi Hulu Langat

Posted:

Emosi dan air mata tragedi Hulu Langat

Emosi dan air mata tragedi Hulu Langat

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my


PENGHUNI-penghuni di pusat tahfiz ini dikatakan banyak mendiamkan diri setelah peristiwa tragis ini mengorbankan rakan-rakan mereka sekelip mata.


ALUNAN suara-suara gemersik penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa Hulu Langat, Selangor berlatih menyanyi lagu nasyid pada petang Sabtu lalu itu tiba-tiba bertukar nada kepada jeritan yang mengerikan.

Sebilangan penghuni yang dari tadi sibuk menyusun kerusi dan menghias dewan makan juga terkejut bukan kepalang. Tempat pengajian tahfiz yang sebelum ini tenang telah dikejutkan oleh bunyi gegaran yang luar biasa.

Walaupun Bukit Semungkis yang terletak di belakang rumah itu pernah memberi isyarat kecil tanah runtuh, namun tiada siapa yang menyangka ia akan bertukar menjadi seteruk itu. Begitupun, pada 21 Mei lalu, lebih kurang pukul 2.30 petang, tanah merah di bukit itu tidak lagi mampu bertahan.

Runtuhan tanah itu sama sekali telah menimbuskan khemah dan dewan makan hingga meragut 16 nyawa penghuni sementara sembilan yang lain cedera.

Mohd. Awie Abdul Latiff, 12, bersyukur dirinya masih bernyawa. Bagaimanapun, terselit lara di hati si kecil itu yang menangisi pemergian adiknya, Mohd. Riezman, 9. Trauma yang dialami tatkala melihat darah daging sendiri terkambus di dalam runtuhan tanah sememangnya sukar untuk dibuang.

Awie juga seperti diuji keimanannya oleh Yang Maha Esa. Sepupunya yang juga rakan sepermainannya, Mohd. Kamarul Amiezan Johari, 11, atau Boboy turut pergi buat selama-lamanya.

Sungguh pilu mendengar rintihannya. Ujar Awie dengan linangan air mata jernih: "Saya cuba mengorek tanah untuk mencari adik dan sepupu, tapi dihalang oleh anggota polis yang menyuruh saya menjauhi tempat kejadian."

Di wad khas Hospital Ampang pula, Mohd. Alauddin Shafie, 14, nampak tidak bermaya. Dia sukar untuk merungkai kisah di hati. Tangan kirinya patah dan dirinya dilihat seperti ditakluk perasaan serba salah. Wajahnya jelas kelihatan sangat sugul. Dia hanya mampu memberitahu bahawa adiknya, Mohd. Haz, 10, telah menghadap Ilahi.

Barangkali Alauddin tidak berupaya menahan perasaan melihat jenazah tujuh rakannya dikebumikan di dalam satu liang lahad menerusi kaca televisyen.

Mayat berbau wangi

Melihat badai yang melanda pusat pengajian tahfiz yang selama ini tidak diendahkan sesuatu yang begitu menghiris kalbu. Kepada para penyelamat, mungkin mereka lebih merasai emosi itu.


ORANG ramai membanjiri pekarangan masjid bagi memberi penghormatan terakhir kepada mangsa dalam tragedi tanah runtuh yang menggemparkan negara.


Rizan Hassan, 35, merupakan antara puluhan sukarelawan dalam tragedi itu berkata, seumur hidupnya, dia tidak pernah akan dapat melupakan detik-detik cubaan menyelamatkan sepasang adik-beradik yang terkorban dalam kejadian itu.

"Saya antara yang terawal sampai, ketika itu hanya orang kampung yang berkerumun di lokasi itu, suasana sangat kelam-kabut, muram, jeritan di sana sini. Pada saat itu juga saya dan beberapa sukarelawan lain masih lagi dapat mendengar sayup-sayup suara orang minta tolong dari timbunan tanah," katanya yang juga merangkap Setiausaha Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Rakan Muda, Majlis Belia Malaysia (MBM).

Namun kata Rizan, cubaannya untuk mengeluarkan Mohd. Zaim Azahari, 14, dan adiknya Mohd. Azed, 8, telah menyedarkannya tentang betapa hebatnya kuasa dan kebesaran Allah.

"Kami tak mahu memikirkan mereka telah mati, bila mereka dikeluarkan, saya dan rakan-rakan tetap berikan bantuan pernafasan dan akhirnya kami akur, nadi mereka sudah terhenti.

"Namun, selang beberapa ketika, kami dapat mencium bau wangi yang semerbak daripada mayat kedua-dua beradik yang merupakan pelajar tahfiz. Kami saling berpandangan dan akhirnya semua bercucuran air mata," ujarnya.

Rizan juga belajar erti ketabahan daripada waris-waris mangsa. Katanya, keluarga yang terpalit dengan peristiwa hitam itu sedikit pun tidak melenting. Sebaliknya, pasrah dan gema bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang dibacakan sememangnya sangat menginsafkan.

Kejadian tanah runtuh di rumah yang didiami oleh 49 penghuni yang terdiri daripada anak yatim, penuntut, warden dan kakitangan lain bukan kejadian ngeri yang pertama tercetus. Sebelum ini, negara dikejutkan dengan tragedi kondominium Highland Towers runtuh di Hulu Klang, begitu juga kejadian tanah runtuk di Bukit Antarabangsa.

Projek di lereng bukit


ORANG kampung turut bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa-mangsa yang masih hidup.


Sejak dari itu, ramai melontarkan pandangan agar kerajaan mengambil inisiatif mengurangkan projek-projek di lereng berbukit. Namun, adakah itu dilaksanakan?

Kenyataan bahawa semua pembangunan di kawasan berisiko seperti itu tidak akan dihentikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin harus dipertimbangkan semula.

Ya, memang benar, kata Raja Nong Chik, ia boleh diteruskan selagi pemilik tanah dan pemaju mematuhi syarat-syarat teknikal. Namun, persoalannya sekarang, sejauh mana seriusnya pemantauan dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)?

Lihat saja di Rumah Anak Yatim Al-Taqwa itu. Beritahu Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor, kawasan tersebut dipercayai telah beberapa kali mengalami kejadian tanah runtuh, tetapi tidak dilaporkan.

Kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon pula harus dijadikan iktibar. Ujarnya, setiap pembangunan di lereng bukit harus diberi perhatian khusus bagi mengelak berlakunya lagi bencana alam. Kita juga tidak mahu fenomena tuding-menuding jari dan mencongak siapa mencari siapa yang bersalah apabila tragedi berlaku.

Percayalah, wang bukan segalanya tatkala malapetaka menjengah. Sesungguhnya, wang juga tidak mampu mengembalikan sebuah kegembiraan apatah lagi untuk membeli nyawa seorang insan yang dicintai.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Terjemahan Bismillah kelirukan pengunjung

Posted:

Terjemahan Bismillah kelirukan pengunjung

Terjemahan Bismillah kelirukan pengunjung

Oleh FARHANA HANIM MOHD. MYDIN
farhana.mydin@kosmo.com.my


TERJEMAHAN tidak tepat, ayat Bismillah yang ditulis dalam tulisan jawi pada papan tanda sebuah restoran di Kuala Lumpur.


SIKAP segelintir pengguna Islam yang tidak mempedulikan soal halal dan haram menjadi faktor penyumbang banyak premis makanan memandang ringan terhadap isu ini.

Terdapat segelintir premis makanan yang mengaburi pengunjung bukan saja menggantung ayat-ayat al-Quran di premis masing-masing, malah menggunakan pekerja Indonesia yang bertudung untuk membuktikan premis mereka halal.

Berdasarkan aduan orang ramai, Detektif Urban melakukan tinjauan di sebuah restoran yang beroperasi di Medan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur baru-baru ini. Hasil tinjauan mendapati, sebuah restoran yang mengakui menyajikan makanan halal itu diragui statusnya.

Walaupun premis makanan tersebut mendapat pengiktirafan Gred A untuk tahap kebersihannya, namun restoran tersebut tidak memaparkan logo halal.

Seorang pengusaha kuih yang berniaga hampir dua tahun berdekatan restoran tersebut berkongsi maklumat. Tanpa berselindung, pengusaha itu memberitahu, restoran tersebut tidak mendapat pengiktirafan halal kerana pemiliknya bukan penganut agama Islam.

Ditutup pada Deepavali

"Memang saya tahu mengenai hal itu (dimiliki bukan Islam), malah saya juga ada memberitahu kepada orang ramai yang pernah singgah di kedai saya untuk bertanya mengenai restoran mamak yang sedap di sini.

"Para pekerjanya juga kebanyakannya bukan beragama Islam dan bukan India Muslim," katanya yang turut mendakwa restoran tersebut akan ditutup selama beberapa hari ketika perayaan Deepavali.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Maskah, 40, berharap pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dapat segera mengambil tindakan terhadap restoran tersebut yang bijak mengaburi para pengunjung dengan memaparkan papan tanda nama dengan tulisan jawi.

Walaupun tinjauan mendapati tiada kalimah suci al-Quran ataupun gambar seperti Kaabah dipamerkan di dalam restoran tersebut, namun penggunaan ayat Dengan Nama Tuhan Yang Amat Pemurah Lagi Amat Pengasih dalam tulis jawi pada papan tanda restoran tersebut seperti mahu membuktikan bahawa restoran itu diusahakan oleh orang Islam.

Mengakui mengetahui status halalnya diragui, seorang pegawai bank yang hanya mahu dikenali sebagai Rozman, 39, sebaliknya masih memilih untuk makan di restoran tersebut terutama pada waktu makan tengah hari.

"Ya memang saya ada dengar orang bercakap kedai itu tidak halal, tapi saya tengok ramai (orang Islam) yang makan di restoran tersebut, malah wanita yang bertudung pun ramai makan di restoran ini," katanya.

Bagi seorang penghantar surat, Wan Zafarin Wan Samsudin, 25, selepas mengetahui mengenai pemilik restorannya bukan Islam, dia tidak lagi menjamu selera di premis berkenaan.

"Dulu memang saya ada makan di restoran tersebut dan pernah pergi ke cawangannya di beberapa tempat lain, tetapi selepas saya tahu statusnya, saya sudah tidak pergi. Walaupun kedai itu bersih, tapi saya tidak selesa makan di restoran yang diragui status halal," terangnya.


MASYARAKAT Islam bertanggungjawab memilih dan memastikan restoran yang halal sebelum menjamu selera di sesebuah restoran. – Gambar hiasan


Rakannya, Mohamad Hazizi Omar, 23, pula berharap pihak yang berkenaan mengambil tindakan segera terhadap pemilik restoran itu.

"Walaupun kita nampak dengan jelas, restoran tersebut menggunakan ayat Dengan Nama Tuhan menggunakan tulisan jawi pada papan tandanya, tetapi ada juga yang tidak perasan atau kurang peka.

"Justeru itu, diharap pihak-pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera," katanya yang bimbang jika lebih ramai pengunjung Islam menikmati makanan yang diragui status halalnya.

Mengulas mengenai penggunaan perkataan tuhan dan bukannya Allah pada papan tanda nama restoran tersebut, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup mengakui beliau tahu mengenai perkara tersebut.

"Saya sendiri tahu mengenai perkara ini dan pernah melihat papan tanda nama itu. Cuma yang saya boleh kata mengikut syarat-syarat tulisan papan tanda nama kedai, pemilik itu tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Perlesenan DBKL.

"Bagaimanapun, pihak kami tidak bertanggungjawab dalam perkara halal atau tidak, ia bukan di bawah kuasa DBKL, tetapi saya akan membawa perkara ini kepada pihak yang berkenaan kerana ia melibatkan sensitiviti agama Islam," katanya sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai penggunaan terjemahan yang tertera di papan tanda nama restorna tersebut.

Kelirukan pengunjung

Dalam pada itu, pendakwah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah menjelaskan, adalah salah sekiranya Bismillah diterjemah dalam ayat Dengan Nama Tuhan.

"Salah dan tidak patut jika terjemahan Bismillah digunakan oleh orang bukan Islam lebih-lebih terjemahaan Allah ditukar kepada Tuhan.

"Kalau dia bukan Islam, tidak boleh guna terjemahan itu, penggunaan di kedai makan itu adalah tidak wajar kerana dia mengelirukan pengunjung," tegasnya yang turut bimbang mengenai lambakan restoran makanan yang kebanyakkan diragui status halal.

Md. Daud yang nyata kecewa apabila penggunaan ayat al-Quran ataupun terjemahaannya digunakan oleh orang bukan Islam itu adalah tidak lain untuk mengelirukan pengunjung. Pada masa yang sama untuk mengaut keuntungan.

"Sebagai nasihat, saya ingatkan masyarakat Islam supaya lebih peka dalam memilih makanan yang halal, kita tidak boleh menuding jari kepada pemilik kedai itu semata-mata kerana kita juga ada akal, waras untuk berfikir dan memilih premis yang halal untuk kita menjamu selera.

"Sepatutnya pihak yang berkenaan tidak boleh terlepas pandang isu-isu yang serius seperti ini kerana ia melibatkan sensitiviti agama Islam," katanya.

Carian maklumat di laman Portal Rasmi Halal Malaysia di www.halaljakim.gov.my pula mendapati maklumat nama dan alamat restoran berkenaan tiada dalam senarai premis makanan di bawah Semakan Status Halal.

Dalam pada itu, usaha Kosmo! untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak Jakim bagi menghentikan kekeliruan tersebut menemui jalan buntu kerana pihak Jakim enggan memberikan komen dan meminta hal itu dilanjutkan ke pengetahuan menteri yang bertanggungjawab.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved