Selasa, 28 Januari 2014

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Perjuangan Hafiz, Hyper Act, Awi Rafael dan Altimet

Posted:

Perjuangan Hafiz, Hyper Act, Awi Rafael dan Altimet

Perjuangan Hafiz, Hyper Act, Awi Rafael dan Altimet

GEGAK-GEMPITA sorakan penonton saat pengacara mengumumkan lagu Bahagiamu Deritaku sebagai lagu terbaik Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL 28) sudah cukup untuk menggamatkan lagi suasana Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam kelmarin.

Lagu ciptaan LY dan Baiduri yang dilantunkan oleh Hafiz Suip, 24, itu bukan sahaja berjaya menewaskan 11 lagu yang turut bertanding.

Karya tersebut turut meraih beberapa kemenangan menerusi dua kategori lain iaitu Persembahan Terbaik dan Anugerah Juara Mobile kepada penyanyi yang berasal dari Kuching, Sarawak itu.

Ternyata, menerusi kemenangan keduanya dalam penganjuran AJL ini selepas menjuarai AJL 26 menerusi lagu Awan Nano, Hafiz mengaku, dia tidak pernah lari daripada dikejar rasa gemuruh dan gementar saat diumumkan juara walaupun telah acapkali disuakan dengan puluhan anugerah dan pengiktirafan.

"Sejujurnya, walaupun saya telah memenangi banyak pertandingan dan anugerah, rasa gementar dan gemuruh itu masih tidak lekang dalam diri saya.

"Mungkin rasa itu datang apabila ekspektasi peminat dan penonton mula menggunung saat saya memenangi anugerah demi anugerah.

"Bagaimanapun, saya ingin mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana diberi peluang untuk menunjukkan bakat yang saya miliki.

Hafiz ternyata sangat bersyukur dikurniakan para peminat yang tidak pernah berhenti mendukung kerjayanya sejak dia tamat mengikuti program pertandingan nyanyian Akademi Fantasia musim ketujuh.

Ujarnya: "Saya akan gunakan pemberian ini sebagai satu cabaran untuk memberikan yang lebih baik kepada para peminat pada masa akan datang."

Seorang peminat penyanyi itu mendapat tweet semula (retweet) oleh penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza yang berbunyi: "Hafiz is the male version of @CTNurhaliza11".

HAFIZ memonopoli AJL 28 dengan menang dua anugerah.


Mengulas mengenai tweet semula itu, Hafiz berkata, jauh lagi perjalanan karier yang harus ditempuhinya untuk selesa menerima gelaran 'Siti Nurhaliza versi lelaki'.

Katanya, kejayaan yang diraihnya kini tidak setanding dengan kejayaan-kejayaan yang pernah dirangkul oleh penyanyi nombor satu negara itu.

"Saya akui, apa yang ada pada saya hari ini belum setanding jika mahu disamakan dengan Datuk Siti Nurhaliza. Dia mengecapi kejayaan pertama di pentas AJL sejak berumur 18 tahun menerusi lagu Jerat Percintaan.

Jika dikira jumlah pencapaiannya, terlalu banyak yang perlu saya tempuhi sebelum boleh disamakan dengannya," ujar Hafiz yang ingin sekali mengikuti jejak langkah penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu.

Langkah mula

Hyper Act menerusi lagu Hanya Aku yang selesa di tangga kedua pula berkata, lagu ciptaan mereka dan lirik oleh Frozen itu dijadikan sebagai penanda aras buat kumpulan tersebut untuk terus melakar nama sebagai penggiat seni muzik tanah air.

Vokalis kumpulan tersebut, Ronnie atau nama sebenarnya, Shahron Hussein berkata, walaupun anugerah yang diterima dianggap sebagai kemuncak karier mereka, namun, ia turut bertindak sebagai satu permulaan bagi mengembangkan kerjaya nyanyian ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

"Saya sungguh terharu kerana lagu Hanya Aku berjaya mendapat tempat bukan sahaja di hati para pendengar tetapi turut dipilih oleh juri profesional.

"Bagi kami, lagu ini mempunyai kekuatan yang tersendiri dan begitu diminati oleh pendengar di Malaysia.

"Justeru, untuk perancangan seterusnya, kami akan melancarkan sebuah lagu baharu berjudul Ku Ikat Setia.

"Konsep balada sedih (mellow) masih dikekalkan kerana itu merupakan signatur kumpulan kami," jelasnya optimis.

HYPER ACT kini menyerlah dengan lagu Hanya Aku.


Buka pintu hip hop

Sementara itu, menurut pemenang tempat ketiga, Awi Rafael dan Altimet, lagu Kalau Aku Kaya karya Omar K dan Audi Mok serta lirik oleh Altimet sendiri mampu menjadi sebuah pintu untuk banyak lagi lagu yang mengandungi irama hip hop untuk menerima pengiktirafan pada masa akan datang.

"Saya pernah berbincang dengan Joe Flizzow suatu ketika dahulu bahawa kami mahu membuka pintu kepada penggiat irama hip hop untuk dikenali kerana karya mereka.

"Pintunya sudah terbuka, jadi terpulang kepada penulis lirik dan lagu hip hop untuk melayakkan diri ke pentas yang berprestij ini," katanya yang menyifatkan AJL sebagai pentas pertempuran yang bukan calang-calang boleh disertai oleh penyanyi tanah air.

Bagi Awi pula, jika kolaborasi antara dua penyanyi itu serasi, maka paduan tersebut akan membuahkan hasil.

"Saya lihat diri saya sebagai penyanyi dan penulis lagu muda. Dalam lagu ini, saya memberikan nuansa baharu terhadap korus sehingga boleh melekat di minda pendengar.

"Jadi pada pendapat saya, jika gabungan antara dua penyanyi itu betul-betul unik dan strategi yang digunakan betul, maka insya-Allah ia akan diterima ramai," ujarnya.

Untuk kategori Vokal Terbaik, pemenang Malaysian Idol musim pertama, Jaclyn Victor berjaya merampas takhta yang dipegang oleh Hafiz setelah berjaya mempertahankan anugerah itu selama tiga tahun berturut-turut.

Kelas tersendiri

Penganjuran AJL 28 dilihat seimbang dari segi kekuatan produksi dan kelancaran sepanjang majlis tersebut berlangsung.

Sistem bunyi dan lampu diatur kemas manakala susunan muzik lagu-lagu yang dipertandingkan turut diberi nafas baharu.

Menariknya, ada sebilangan penyanyi yang menggunakan tema Game On! yang diketengahkan oleh pihak penganjur untuk disuntik ke dalam persembahan mereka.

Sebagai contoh, Stacy yang terkenal dengan kelincahannya menari di atas pentas menyuntik elemen zombi ke dalam lagunya Bosan.

ALTIMET (kanan) dan Awi Rafael teruja meraih tempat ketiga dengan lagu Aku Kaya.


Hazama menerusi lagu Penglipur Lara pula menjadikan permainan video era 80-an sebagai latar utama ketika mempersembahkan lagunya itu.

Selain itu, persembahan penutup yang dibarisi oleh Waris, Zaidi (One Nation Emcees), Ziana Zain, Filsuf, Datuk M. Daud Kilau dan Amy Search turut mendapat sambutan yang hebat daripada para penonton.

Bagaimanapun, ketika pentas AJL dibuka menerusi persembahan konsep perlawanan vokal oleh Shila Amzah dan Mus May, lagu yang dibawa iaitu Mahakarya Cinta nyanyian asal Faizal Tahir seperti tidak selari dengan kekuatan vokal dua penyanyi itu.

Secara keseluruhan, penganjuran AJL 28 berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Tipu jika tiada sebarang cacat mahupun cela sepanjang majlis berlangsung, namun, setelah 28 tahun dianjurkan, apa yang jelas kelihatan adalah peningkatan yang sangat memberangsangkan.

Tak sangka menang vokal terbaik - Jac

Posted:

Tak sangka menang vokal terbaik - Jac

Tak sangka menang vokal terbaik - Jac

Oleh IZWAN MOHD. ISA
izwan.mohdisa@kosmo.com.my

JAC mengakui lebih sukar menyanyi lagu rentak perlahan berbanding rancak.


SEWAKTU berlangsungnya Anugerah Juara Lagu Ke-28 (AJL 28), ramai yang menelah Hafiz Suip bakal menyambung legasinya sebagai penerima Anugerah Vokal Terbaik untuk kali yang keempat.

Namun, takhta penyanyi berusia 24 tahun itu akhirnya dikembalikan kepada Jaclyn Victor yang sebelum ini pernah menerima anugerah itu ketika mendendangkan lagu Ceritera Cinta bersama Lah VE pada AJL 22 beberapa tahun lalu.

Ternyata terkejut dengan anugerah tersebut, Jaclyn yang mesra disapa Jac begitu bersyukur dengan pengiktirafan yang diterimanya itu. Ikuti temu bual bersama Jac sejurus selepas tamat AJL 28 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam kelmarin.

Kosmo!: Tahniah Jac atas kemenangan anda menerusi anugerah Vokal Terbaik dalam AJL 28. Apakah perasaan anda apabila berjaya memecahkan legasi Hafiz setelah empat tahun dia menerima anugerah ini?

JAC: Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada juri-juri yang telah memilih saya sebagai penerimaan Anugerah Vokal Terbaik. Sejujurnya, saya langsung tidak menyangka bakal membawa pulang anugerah ini kerana peminat mengenali saya sebagai penyanyi yang gemar membawakan lagu-lagu balada. Justeru, apabila dipilih, saya begitu bersyukur.

Bagaimanakah anda membuat persiapan dari segi vokal menjelang AJL 28?

Saya tidak meletakkan apa-apa harapan terhadap anugerah ini, jadi persiapan yang dilakukan sama sahaja dengan persiapan-persiapan saya apabila memasuki pertandingan sebelum ini. Saya dan kawan-kawan yang lain cuma mahu bergembira di atas pentas dan menyanyi untuk peminat-peminat saya.

Bercakap mengenai penyertaan rakan-rakan anda di atas pentas, boleh ceritakan bagaimana tercetusnya idea membawa lima penyanyi untuk mengiringi lagu Ikut Rentakku?

Idea untuk membawa Salamiah Hassan, Dina Nadzir, Adibah Noor, Atilia dan Elvira Arul datang apabila saya dan komposer lagu, Edry Abdul Halim berbincang untuk menghasilkan klip video bagi lagu ini. Saya mahukan elemen yang ringan dan menghiburkan. Jadi, cadangan untuk membawa mereka menyanyi pun tercetus.

Apakah perbezaan menyanyikan lagu berentak rancak berbanding lagu perlahan?

Saya akui, menyanyikan lagu berentak perlahan lebih sukar berbanding lagu rancak, tetapi, lagu Ikut Rentakku ini menuntut saya menggunakan pelbagai teknik vokal yang sedikit berbeza. Jadi, saya gembira kerana ia dapat dilihat menerusi anugerah yang diberikan ini.

Adakah anda merancang untuk menyanyikan lagu-lagu berentak rancak selepas ini?

Saya bermula sebagai penyanyi kelab dan lounge, jadi saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyanyikan apa jenis lagu. Buat masa ini, saya menyerahkan segalanya kepada pihak pengurusan untuk menentukan hala tuju perjalanan album saya yang seterusnya.

Blues Buat Teman dedikasi Ramli

Posted:

Blues Buat Teman dedikasi Ramli

Blues Buat Teman dedikasi Ramli


PERSEMBAHAN hebat Ramli Sarip di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.


SEPANJANG tempoh 40 tahun Datuk Ramli Sarip bergelumang dalam dunia seni suara, album Alive yang diterbitkan pada tahun 2000 diakui adalah yang terbaik.

Lanjutan daripada itu, album sama diterbitkan sekali lagi pada tahun 2013 menggunakan judul Ramli Sarip Live 2000 dan sejajar itu juga konsert jelajah Blues Buat Teman telah memulakan langkah pada tanggal 23 Februari lalu.

Blues Buat Teman kata Ramli, 62, adalah satu penghargaan kepada pemuzik yang pernah terbabit dalam rakaman album Alive (2000) di Synchrosound Studio, Petaling Jaya, Selangor.

"Malah, konsert jelajah Blues Buat Teman juga satu dedikasi kepada gitaris Allahyarham Samad Mian, pemain drum kumpulan Search, Yazit Ahmat dan pemain bass Black Dog Bone, Hamid yang kini berdepan dengan masalah kesihatan.

"Banyak perkara yang ingin saya lakukan untuk membantu mangsa banjir, bekas penagih dadah dan pesakit kanser tapi keluarga artis yang telah saya sebutkan adalah sangat personal bagi saya.

"Saya reda kalau tidak dapat satu sen pun sepanjang konsert ini," katanya yang ditemui selepas showcase pertama di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Ramli, sebahagian daripada jualan tiket konsert jelajah itu akan disalurkan kepada keluarga Samad Mian, Yazit dan Hamid menjelang penghujung siri jelajah di Johor Bahru, Johor pada 28 Mac depan.

PEJUANG kental muzik rock ini mengalunkan sebanyak 18 buah lagu pada showcase di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.


Sepanjang showcase selama hampir dua jam itu, Ramli menghiburkan pengunjung dengan 18 buah lagu antaranya Doa, Kenyataan, Musibah, Keliru, Teratai, Batu, Zakia dan Kamelia.

Katanya pemilihan lagu berbeza-beza mengikut lokasi dan tema persembahan. Akan ada antara lagu yang belum pernah dinyanyikan bersama band sebelum ini akan dipersembahkan nanti.

"Kalau persembahan makan malam biasanya saya akan memperbanyakkan lagu bersifat etnik misalnya Nyanyian Serambi dan Jangan Tunggu Lama-Lama dan kurangkan rock n' roll.

"Tapi untuk showcase kali ini saya perlu memilih yang betul-betul bertepatan dengan lokasi, memandangkan kami bermula di Hard Rock Cafe maka lagu yang dipilih juga lebih banyak daripada genre rock," tambahnya.

Ramli bagaimanapun menyangkal dakwaan konsert jelajah Blues Buat Teman menelan kos besar memandangkan perjalanan acara turut membabitkan lokasi di Sabah dan Sarawak.

"Boleh saya katakan konsert ini bukan berskala besar dan tidak menelan kos tinggi kerana bukan membabitkan tenaga teknikal yang banyak.

"Saya tidak mahu meminta-minta untuk menjayakan konsert jelajah ini tapi mengalu-alukan sumbangan ikhlas untuk meringankan beban kawan-kawan artis yang sedang sakit," kata Ramli.

Konsert jelajah Blues Buat Teman seterusnya akan ke Kuching dan Miri, Sarawak pada 1 dan 2 Mac, kemudiannya ke Tawau dan Kota Kinabalu, Sabah pada 4 dan 5 Mac. Lokasi seterusnya di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu (7 Mac), Kelantan (8 Mac), Melaka (15 Mac), Perak (22 Mac), Johor (28 Mac) dan Dewan Utusan Melayu, Kuala Lumpur (4 April). Keterangan lanjut hubungi 013-2633938. - KHAIRUL AMRI HASSAN.

Kredit: www.kosmo.com.my

Isnin, 27 Januari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Warisan dunia tertua negara

Posted:

Warisan dunia tertua negara

Warisan dunia tertua negara

PERCUTIAN bersama keluarga selama tiga hari dua malam di Taman Negara, Pahang pada bulan November lalu memberi satu pengalaman yang cukup berharga kepada Ahmad Taufeq Ismadi Ahmad Zakki, 14.

Kepada pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Hussein Onn, Cheras itu hutan hujan tertua di dunia itu begitu istimewa di hatinya.

Meneroka keindahan flora dan fauna hutan yang berkeluasan 4,343 kilometer persegi itu meninggalkan memori yang cukup indah kepada anak sulung daripada tiga beradik itu.

"Saya rasa cukup bertuah kerana bukan saja dapat mengenali kepelbagaian flora dan fauna dengan lebih dekat, bahkan berpeluang melihat lebih dekat kehidupan masyarakat Orang Asli suku Batek," katanya yang pertama kali mengunjungi hutan terbesar di Semenanjung itu.

Sebagai pelajar, Ahmad Taufeq Ismadi berpendapat, pelajar sekolah sepatutnya membuat lawatan sambil belajar ke Taman Negara memandangkan subjek Sains mendedahkan pelajar tentang hidupan di hutan.

Malangnya kata remaja ini, banyak hidupan yang dinyatakan di dalam buku teks sekolah tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Bahkan, dia agak cemburu dengan rombongan pelajar dari Singpura dan Indonesia yang datang ke Taman Negara setahun sekali untuk meneroka khazanah hutan tersebut.

Tanah, air dan udara merupakan tiga sumber yang bersatu membentuk bumi sekali gus alam untuk didiami penghuninya.


RESTORAN terapung yang menghiasi landskap malam di Taman Negara.


Tanah sudah pasti ada hidupannya tersendiri seperti pokok dan haiwan, begitu juga air, juga mempunyai penghuninya.

Tanpa udara, manusia yang menjadi penghuni alam tidak dapat bernafas di muka bumi ini.

Kehijauan alam

Justeru, untuk meneruskan falsafah kehidupan, kesemua hidupan sudah tentu wajar berkomunikasi melalui bahasa faham memahami. Taman Negara, harta tidak ternilai yang dimiliki negara.

Malah, Taman Negara merupakan tapak warisan dunia yang memelihara dan menjaga hidupan liar, hidupan tumbuh-tumbuhan.

Selain itu, taman negara juga digunakan untuk pendidikan, kesihatan dan tempat rekreasi orang awam.

Bermula dengan aktiviti meneroka hutan, berjalan pada waktu malam, menaiki jambatan gantung terpanjang di dunia, meneroka kehidupan Orang Asli suku Batek dan melihat keindahan air terjun Lata Berkoh serta anak-anak sungai di kawasan sekitar.

Falsafah semasa menghayatinya cukup dalam. Keindahan dan kehijauan alam semula jadi yang disajikan cukup mempesona lagi menakjubkan.

TUKAS atau pinang lagun antara spesies tumbuhan yang boleh didapati di Taman Negara Pahang.


Sepanjang perjalanan meneroka hutan, terdapat tumbuhan yang kecil daunnya baru menjalar lambang kehidupan baru sahaja bermula. Mendongak ke atas, ada dedaun gugur, gambaran apabila tiba waktu, manusia seperti juga tumbuhan, bakal pulang kepada pencipta-Nya.

Hidupan dan habitatnya yang tersendiri dapat dilihat dengan jelas melalui Menara Tinjau yang dibina.

Taman Negara Kuala Tahan mempunyai banyak haiwan mamalia yang jarang ditemui dan semakin pupus seperti harimau, tenuk, gajah, rusa, pelanduk dan seladang.

Begitu juga kelawar yang keluar pada malam hari untuk menjamah buah-buahan di hutan semula jadi itu.

Melalui sungai, pokok-pokok bakau dan akarnya menawarkan pemandangan indah. Secara saintifiknya, akar jangkang pokok bakau melindungi telur ikan dan udang daripada ombak kuat dan pemangsa.

Tidak hairanlah apabila terdapat pelbagai jenis ikan dan udang bertelur di celah-celah akar pokok di dalam air hutan paya air masin dan hutan paya air tawar di Taman Negara.

Antara sungai-sungai itu termasuk Nusa, Dua, Abai, Teras, Dedari, Panjang dan Terenggan.

Salah seorang pelancong warga Jerman, Mariana Peer mengakui bahawa Malaysia cukup bertuah kerana memiliki kekayaan semula jadi flora dan fauna.

"Terus terang saya katakan, saya amat kagum dengan khazanah yang dimiliki Malaysia. Saya ada terdengar mengenai haiwan-haiwan yang hampir pupus tetapi mereka ada di sini, itulah yang saya cari dan saya harap dapat bertemu dengan haiwan-haiwan tersebut," kata pencinta haiwan invertebrata ini yang pertama kali ke Taman Negara.


TAPIR antara spesies haiwan yang hampir pupus namun ia dapat dilihat pada malam hari.


Dekat dengan alam bukan satu momen atau pengalaman yang digemari oleh sesetengah pihak, tetapi ia begitu berharga kepada sesetengah individu.

Pepohon menghijau dan bunga pelbagai warna yang mekar bukan sahaja mengindahkan pemandangan di Taman Negara bahkan ia iberguna sebagai herba dan ubat-ubatan selain habitat hidupan.

Tumbuh-tumbuhan hijau ini juga berfungsi sebagai membekalkan sumber tenaga kepada manusia dan haiwan yang memakannya. Ia membantu dalam meningkatkan kualiti udara di samping mengekalkan keseimbangan kitaran gas oksigen karbon dioksida dan nitrogen.

Kepada manusia, hutan bukan sahaja memberi hasil tetapi turut bertindak sebagai penutup semula jadi serta melindungi tanah tanih daripada hakisan air. Maka, kita dan belantara saling memerlukan untuk terus hidup.

Bagi haiwan pula, ia menjadikan hutan sebagai tempat tinggal dan perlindungannya selain menjadi habitat untuk hidupan liar.

Sinar baharu pesakit katarak

Posted:

Sinar baharu pesakit katarak

Sinar baharu pesakit katarak


PESAKIT menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan mata.


WARGA emas, Jonin Nohe, 65, yang mengalami masalah katarak hampir berputus asa untuk merawat mata kanannya apabila memikirkan kos yang perlu ditanggung untuk melakukan pembedahan katarak.

Lelaki yang berasal dari Kampung Grogo di daerah Bau, Sarawak itu telah bertemu dua pakar mata di Kuching yang menganggarkan kos rawatan untuk kedua-dua belah matanya mencecah RM2,000. Jumlah itu agak besar bagi warga emas yang berpendapatan kecil sepertinya.

Walaupun masalah katarak tidak mengganggu aktiviti hariannya, namun bapa kepada tujuh anak itu berharap masih ada harapan bagi memulihkan deria penglihatannya yang merosot sejak hampir setahun lalu.

Pelancaran Klinik Katarak 1Malaysia (KK1M) peringkat zon Sarawak pada 1 September tahun lalu membawa harapan baharu kepada Jonin untuk memulihkan penglihatannya.

Jalani saringan

Ketika perkhidmatan klinik bergerak KK1M di Hospital Bau bermula pada 11 November lalu, lelaki Bidayuh itu telah berada di hospital tersebut seawal pukul 7 pagi bagi menjalani saringan dan pemeriksaan percuma.

Hospital Bau mengadakan perkhidmatan itu selepas Hospital Lundu, ia diikuti Hospital Serian, Hospital Sri Aman, Hospital Betong dan Hospital Saratok.

Dalam bilik saringan dan pemeriksaan, Jonin berasa yakin dan selesa dengan peralatan rawatan katarak yang dikendalikan oleh kakitangan terlatih.

Jonin merupakan antara 441 pesakit yang menerima perkhidmatan KK1M di Hospital Bau. Apa yang lebih menggembirakan ialah dia antara individu yang layak menerima rawatan selanjutnya dengan kos pembedahan hanya RM540.

"Seronok saya hari ini, kos pembedahan klinik swasta caj tinggi, KK1M hanya dibayar RM540 (kos kanta), banyak-banyak terima kasih kepada kerajaan," kata Jonin.


JONIN berasa cukup gembira kerana dia antara pesakit katarak yang layak mendapat rawatan pada caj yang minimum.


Turut menikmati kemudahan itu ialah seorang pesara Limber Nyuai, 74, dari Kampung Sibuluh yang mengalami masalah katarak pada kedua-dua belah matanya.

Pada tahun 2001, mata kiri pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) itu tertusuk serpihan kayu ketika menghalau penyengat yang bersarang di sebatang pokok.

Setahun selepas itu mata kanannya pula cedera selepas seekor ikan lampam Jawa yang sedang ditangkapnya melompat dan menerjah matanya.

"Kalau bayaran di KK1M macam doktor swasta, saya pun tidak mahu, tapi kerajaan dah beri murah macam ini, rugi lah kalau kita tidak gunakan peluang ini sebaik mungkin," kata lelaki warga emas itu sambil berharap penglihatannya yang kabur dapat dipulihkan melalui perkhidmatan KK1M.

Seorang lagi warga emas dari Bau, Ijon Kedi, 71, yang mengalami masalah katarak sejak tahun 1985 dan pernah menjalani pembedahan sebanyak dua kali pada tahun 1986 berharap KK1M dapat menyelesaikan masalahnya.

Beliau pernah menjalani pembedahan katarak sebanyak dua kali pada tahun 1986 di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Namun setahun kemudian, matanya kembali bermasalah.

Ijon menyifatkan alatan moden yang disusun kemas, seakan memberi suntikan semangat kepadanya selepas pengalaman pertama pembedahan katarak kira-kira 27 tahun lalu.

"Sekarang alat dah canggih, perkhidmatan disediakan pula murah, beri semangat tambahan untuk dapatkan rawatan dan harap kembali mempunyai penglihatan yang baik," kata lelaki itu.

Caj minimum

Koordinator program KK1M Zon Sarawak, Dr. Mohamad Aziz Salowi berkata, klinik bergerak itu menawarkan kemudahan pemeriksaan mata dan pembedahan katarak yang lebih menyeluruh kepada penduduk di negeri itu.

"Rakyat menikmati rawatan katarak daripada pakar-pakar mata yang sangat komited dan berpengalaman. Dengan caj rawatan minimum untuk perkhidmatan terbaik, KK1M Zon Sarawak dapat mengurangkan beban pesakit," katanya ketika ditemui.

Katarak merupakan sejenis masalah mata yang diakibatkan oleh selaput yang menutupi kanta sekali gus menyebabkan penglihatan terganggu.

Kebanyakan katarak dikaitkan dengan faktor penuaan. Katarak boleh berlaku sama ada di salah satu atau kedua-dua belah mata.

Katarak juga terbahagi kepada beberapa jenis iaitu konginetal, sekunder atau kecederaan.


SEORANG pesakit menjalani pemeriksaan mata percuma semasa jelajah Klinik Katarak 1Malaysia (KK1M) di Hospital Bau, Sarawak.


Menurut beliau, pegawai sosial perubatan akan menilai semua pesakit yang disenaraikan untuk pembedahan katarak sama ada mereka layak untuk menerima kanta dan kos pembedahan percuma.

"Jika didapati tidak layak, mereka dikehendaki membayar kos minimum antara RM500 hingga RM800 untuk membeli kanta yang sesuai di samping kos minimum pembedahan sebanyak RM103," katanya.

Kos itu jauh lebih murah berbanding kos pembedahan katarak di hospital swasta.

Optometris Hospital Umum Sarawak (HUS), Ku Hazemie Ku Ismail, yang terbabit secara langsung melakukan pemeriksaan mata bagi perkhidmatan KK1M itu berkata, perkhidmatan tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan.

Menurut beliau, kebanyakan pesakit yang menerima perkhidmatan KK1M berusia lebih 50 tahun.

Ku Hazemie berpendapat, perkhidmatan KK1M di Sarawak telah mencapai sasaran perkhidmatannya berdasarkan sambutan yang menggalakkan itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, pembedahan katarak di seluruh negara pada tahun 2011 berjumlah 31,658 atau meningkat hampir tiga kali ganda berbanding tahun 2002 iaitu 12,798.

Bagi negeri Sarawak, jumlah pembedahan katarak sepanjang tahun lalu adalah sebanyak 3,664 berbanding 2,082 pada tahun 2008.

Projek KK1M Zon Sarawak menelan belanja RM1.1 juta termasuk perkhidmatan klinik bergerak yang beroperasi di semua hospital negeri ini secara bergilir. - Bernama

Pelabuhan Perang Dunia Kedua bakal lenyap

Posted:

Pelabuhan Perang Dunia Kedua bakal lenyap

Pelabuhan Perang Dunia Kedua bakal lenyap


ANTARA sisa-sisa peninggalan pelabuhan yang masih kelihatan dari pantai Normandy, Perancis.


PEMANDANGAN selat dari pantai-pantai Normandy, Perancis, tidak banyak mengingatkan tentang pelabuhan yang dibina selepas pendaratan D-Day itu. Pelabuhan itu dibina melibatkan puluhan ribuan Tentera Bersekutu yang menyerang Jerman secara mengejut pada tahun 1944.

Kini, hanya tinggal beberapa blok konkrit besar yang merupakan hasil kejayaan kejuruteraan pihak Tentera Bersekutu itu. Pembinaan itu merupakan sokongan logistik terpenting yang membawa kemenangan Tentera Bersekutu di Normandy.

Blok-blok konkrit berkenaan merupakan sebahagian daripada sebuah pelabuhan buatan yang telah dibina bersama di pesisir laut Perancis dalam tempoh dua minggu. Ia membolehkan bekalan dan pasukan tentera sokongan untuk mendarat memandangkan ketiadaan pelabuhan yang dikawal Tentera Bersekutu pada masa itu.

Sungguhpun Perancis sedang bersiap sedia untuk menyambut ulang tahun ke-70 pendaratan perang itu, kesan sejarah di kawasan itu semakin pudar akibat dihakis air laut.

"Setiap kali ribut, ia hilang sedikit demi sedikit. Jika tiada tindakan diambil, tiada apa yang akan tinggal dalam masa 10 tahun akan datang.

"Daripada peti yang digunakan sebagai bongkah besi dan bekas simpanan barangan militari (kaison) besar yang pernah dibina, hanya beberapa sahaja dapat dilihat semasa air surut," kata Datuk Bandar Arromanches, Patrick Jardin.

Menurut jurupandu Muzium D-Day, Erick Leplanquais, sesetengah daripada 115 kaison yang juga dikenali sebagai Phoenix bersama-sama dengan bangkai kapal lama yang tenggelam telah membentuk sebuah pemecah ombak sepanjang kira-kira lapan kilometer yang menyediakan keadaan air tenang untuk pembinaan sebuah pelabuhan berkeluasan kira-kira 500 hektar atau bersamaan dengan 1,000 buah padang bola sepak.


PEMBINAAN awal pelabuhan ini dilakukan dalam tempoh yang sangat singkat.


Bekalkan tentera

Selepas 130,000 orang tentera menyeberangi Selat Inggeris dan mendarat di Normandy pada 6 Jun 1944, pihak Bersekutu sedar bahawa mereka perlu terus membekalkan tentera dengan segala keperluan dan bantuan sebagai usaha untuk menghadapi serangan balas pihak Jerman.

Bagaimanapun, mereka tidak mempunyai pelabuhan di pinggir pantai Perancis.

Bagi menyelesaikan masalah itu, mereka mengambil keputusan untuk membina sebuah pelabuhan dari England yang boleh dipasang di luar pantai Perancis.

Lebih 250 buah kapal pukat tunda telah digunakan untuk mengangkut bahagian-bahagian pelabuhan yang akhirnya membentuk sebuah pelabuhan yang dinamakan Mulberry. Kerja-kerja pemasangan bermula dua hari selepas D-Day. Menjelang 14 Jun 1944, ia mula beroperasi dan menjadi tulang belakang logistik Tentera Bersekutu.

Hampir tujuh dekad, sisa-sisa terakhir kejayaan kejuruteraan itu mula dimamah zaman.

"Secara amnya, kita kehilangan sebuah kaison setahun," kata Pengarah Muzium D-Day, Frederic Sommier sambil memaklumkan hanya terdapat kira-kira 20 buah struktur besar itu yang masih boleh dilihat pada waktu air pasang dan surut.

Namun demikian, hampir kesemua kaison yang tinggal telah retak.

Jardin mahu mencuri sedikit masa sebelum dapat mencari penyelesaian kekal untuk memulihara baki pelabuhan itu.

"Kita hanya perlu mengekalkannya untuk tempoh 20, 30 atau 40 tahun. Selepas itu, kami pasti memori itu akan disimpan dalam bentuk teknologi yang lain," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pembinaan sebuah penghadang untuk menahan hempasan ombak terhadap struktur bersejarah itu.

"Namun demikian, usaha itu dianggarkan menelan belanja jutaan euro," kata pemimpin bandar yang dihuni kira-kira 600 orang penduduk itu.

HAKISAN menghilangkan hampir kesemua struktur pelabuhan ini.


Peristiwa D-Day

Ternyata ia melibatkan kos yang jauh lebih tinggi berbanding 4.8 juta euro (RM22 juta) yang dilaburkan oleh Monumen Pertempuran Amerika pada tahun 2010 bagi pemuliharaan Pointe du Hoc, sebuah tebing yang menghadap Selat Inggeris kira-kira 30 kilometer dari tapak pelabuhan Mulberry.

Dana tersebut digunakan untuk memperkukuhkan tebing berkenaan yang terhakis, seterusnya melewatkan kesan hakisan pada kubu dan sebuah monumen yang dibina bagi memperingati 225 anggota renjer yang telah memanjat tebing setinggi 30 meter itu pada D-Day dan merampas meriam tentera Jerman selama antara 20 hingga 30 tahun.

Datuk Bandar Arromanches menyatakan, ia akan mengambil sedikit masa sebelum satu penyelesaian yang sempurna dapat dicapai untuk kaison itu sambil mendakwa bahawa tidak ada mana-mana kementerian yang tampil untuk menangani isu tersebut.

Bagaimanapun, Presiden Majlis Serantau Lower Normandy, Laurent Beauvais yang bersikap lebih optimistik memberitahu, bahawa terdapat 'konsensus sebenar' untuk mengekalkan saki-baki pelabuhan berkenaan.

"Pelabuhan Mulberry adalah salah satu sebab penduduk setempat terus mengasak Perancis untuk mendapatkan status perlindungan warisan dunia untuk pantai Lower Normandy," katanya.

Permintaan secara rasmi telah dikemukakan kepada kerajaan Perancis pada pertengahan Disember tahun lalu dan wilayah itu berharap agar pihak kerajaan akan menghantar permohonan kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebelum sambutan ulang tahun ke-70 pada bulan Jun ini. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


52 murid terima bantuan kelengkapan sekolah

Posted:

52 murid terima bantuan kelengkapan sekolah

52 murid terima bantuan kelengkapan sekolah

ABDUL KASSIM (belakang tiga dari kanan) bersama sebahagian daripada ibu bapa dan murid-murid yang menerima sumbangan kelengkapan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Felda Kota Gelanggi 1, Jerantut, Pahang baru-baru ini.


PRIHATIN. Seramai 52 murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi 1, Jerantut, Pahang menerima sumbangan kelengkapan persekolahan dari Yayasan Felda baru-baru ini.

Pengurus tanah rancangan berkenaan, Abdul Kassim Abdul Rahman berkata, sumbangan tersebut merupakan program tahunan Yayasan Felda.

"Setiap murid menerima sebuah beg sekolah, sepasang kasut, dua pasang uniform sekolah, sepasang pakaian sukan dan satu set alat tulis.

"Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan perbelanjaan ibu bapa," katanya.

500 meriahkan Pesta Ponggal di Jalan Masjid India

Posted:

500 meriahkan Pesta Ponggal di Jalan Masjid India

500 meriahkan Pesta Ponggal di Jalan Masjid India


KAYVEAS (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan sempena Pesta Ponggal kepada seorang penerima kelainan upaya pada majlis Pesta Ponggal di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur baru-baru ini.


MERIAH. Kira-kira 500 masyarakat pelbagai kaum menyertai Pesta Ponggal 1Malaysia di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pesta anjuran Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan dan Persatuan Penjaja Kecil Jalan Masid India itu dimeriahkan dengan acara memasak susu bersama beras di samping pelbagai persembahan menarik seperti nyanyian dan tarian.

Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan dan Presiden PPP, Datuk Seri M. Kayveas.

Pada sambutan itu juga, 100 orang keluarga terdiri daripada golongan kurang upaya dan warga emas dari sekitar Kuala Lumpur menerima bantuan wang tunai.

200 penduduk Kampung Tanjung Belit sambut Maulidur Rasul

Posted:

200 penduduk Kampung Tanjung Belit sambut Maulidur Rasul

200 penduduk Kampung Tanjung Belit sambut Maulidur Rasul


SEBAHAGIAN daripada 200 penduduk yang berarak pada Sambulan Maulidur Rasul di Kampung Tanjung Belit, Padang Serai, Kulim, Kedah baru-baru ini.


MERIAH. Lebih 200 penduduk Kampung Tanjung Belit, Padang Serai, Kulim,

Kedah berjalan kaki hampir satu kilometer sambil melaungkan selawat

memuji Nabi Muhammad SAW sempena Sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini.

Setiausaha program, Rosdi Zainol berkata, selain berarak, sambutan Maulidur Rasul turut dimeriahkan dengan jamuan nasi kawah dan penyembelihan seekor lembu.

"Program ini diadakan untuk menyemarakkan lagi kecintaan kepada Rasulullah terutamanya dalam kalangan generasi muda," katanya.

Ujar Rosdi, jika aktiviti tersebut tidak diperkenalkan kepada generasi muda kemungkinan mereka tidak lagi mengambil berat tentang sambutan itu pada masa akan datang.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Murid dihukum makan rumput tetap bersemangat ke sekolah walaupun diejek

Posted:

Murid dihukum makan rumput tetap bersemangat ke sekolah walaupun diejek

Murid dihukum makan rumput tetap bersemangat ke sekolah walaupun diejek

Oleh FIRDAUS HASSAN
firdaus.hassan@kosmo.com.my

DUA murid yang dihukum secara keterlaluan oleh guru Bahasa Inggerisnya kembali ke sekolah di Sungkai, Perak semalam.


SUNGKAI - Dua pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Meng di sini yang diperlakukan seperti lembu oleh seorang guru lelaki akibat gagal menyiapkan kerja rumah tidak patah semangat untuk kembali ke sekolah walaupun mereka diejek dengan panggilan lembu oleh segelintir pelajar lain semalam.

Salah seorang mangsa berkata, dia ada terdengar beberapa rakan sekelas memanggilnya dengan gelaran lembu sewaktu memasuki kelas pada awal pagi semalam.

"Pagi tadi semasa saya masuk ke kelas, tiga orang rakan sekelas memanggil saya dengan gelaran lembu tetapi bukan semua mengejek.

"Ada juga beberapa rakan lain yang bergurau meminta autograf kerana mereka kata saya seperti artis sebab kisah saya keluar di televisyen dan surat khabar," katanya ketika ditemui selepas tamat sesi persekolahan semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

SPRM tahan bekas setiausaha politik, pengarah yayasan

Posted:

SPRM tahan bekas setiausaha politik, pengarah yayasan

SPRM tahan bekas setiausaha politik, pengarah yayasan


DI bangunan Akademi SPRM di Jalan Duta, Kuala Lumpur inilah tempat seorang bekas setiausaha politik ditahan semalam.


PUTRAJAYA - Dua orang termasuk seorang bekas setiausaha politik bergelar Datuk ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berhubung penyelewengan dana lebih RM1.1 juta melibatkan tiga yayasan.

Seorang lagi yang ditahan itu merupakan pengarah yayasan yang diketuai bekas setiausaha politik terbabit.

Kedua-dua yang ditahan itu diambil keterangan untuk membantu siasatan kes itu.

Pengarah Siasatan SPRM, Pesuruhjaya Datuk Mustafar Ali berkata, kedua-dua individu yang berusia pertengahan 30-an dan awal 50-an itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Ingat hilang rupanya jatuh gaung

Posted:

Ingat hilang rupanya jatuh gaung

Ingat hilang rupanya jatuh gaung


IDRIS (kanan) ditemui seorang pekerja ladang dalam keadaan tidak bermaya di satu kawasan berbukit di Kilometer 24, Jalan Mat Lagam-Cheneh, Kemaman semalam.


KEMAMAN - Seorang peneroka Felda yang hilang kira-kira 17 jam selepas menjalani rawatan dialisis ditemui selamat dalam gaung sedalam tujuh meter di Kilometer 24, Jalan Mat Lagam-Cheneh di sini semalam.

Idris Ibrahim, 58, berada di dalam gaung itu selepas kereta yang dipandunya terbabas lalu menjunam ke dalam gaung itu pukul 4 petang kelmarin.

Warga emas itu yang cedera teruk di muka ditemui pada pukul 9.50 pagi semalam oleh seorang pekerja ladang sebelum dia kemudian dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Makan besar di Renaissance KB

Posted:

Makan besar di Renaissance KB

Makan besar di Renaissance KB

Oleh ADHAM SHADAN

TAWARAN sajian Prosperity Chinese New Year akan disediakan sehingga hari ke-15 sambutan Tahun Baru Cina.


SAMBUTAN Tahun Baru Cina tidak akan lengkap tanpa acara tradisi makan beramai-ramai bersama keluarga mahupun rakan taulan dengan bersajikan hidangan yang bukan sahaja enak dan penuh cita rasa etnik bahkan memiliki simbolik kesejahteraan.

Sehubungan itu, Restoran Dynasty, Hotel Renaissance Kota Bharu, Kelantan tidak ketinggalan menawarkan sajian istimewa Prosperity Chinese New Year untuk dinikmati secara berkumpulan pada Tahun Baru Cina ini sehingga Capgome nanti.

Bagi mereka yang berada di negeri Cik Siti Wan Kembang khususnya kaum Tionghua, promosi ini tentunya sesuatu yang tidak wajar dilepaskan demi mengeratkan hubungan sesama keluarga dan rakan sambil menjamu selera dalam aroma oriental.

Pengarah Bahagian Pemasaran dan Jualan Hotel Renaissance, Fadzil Ibrahim berkata, set menu yang ditawarkan untuk 10 orang semeja itu boleh didapati pada harga RM718++, RM899++ dan RM999++ dengan menu asasnya, crispy shirauo yee sang serta kombinasi panas dan sejuk Renaissance.

Kombinasi panas dan sejuk tersebut antaranya, hidangan sotong kecil ala Jepun yang diganding bersama salad dan dumpling ayam.

Bagi set berharga RM718++, ia disajikan bersama ayam tanpa tulang dua variasi, ikan kerapu stim stail Qi Ling, udang goreng wok dan sayur-sayuran manakala set menu RM899++ disaji bersama hidangan istimewa, Prosperity Poon Choy.


HOTEL Renaissance tidak mahu ketinggalan dalam menyediakan hidangan istimewa pada Tahun Baru Cina.


"Bagi set menu berharga RM999++, antara menu yang disajikan ialah stew itik 'Pak Poh' tanpa tulang, ikan bawal putih yang dimasak cara Hong Kong, udang harimau bakar dengan sos soya serta kaki angsa yang ditumis dengan asparagus laut dan brokoli.

"Itik Pak Poh yang menggunakan lapan ramuan herba ini dibuang tulangnya dengan disumbat pulut dan sayur di dalamnya,"katanya kepada wartawan pada program prarasa sajian promosi di hotel tersebut baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Besar, Ezudin Merican dan Chef Eksekutif, Othman Baker.

Membuat salad

Dalam promosi itu, pelanggan juga boleh membuat salad sendiri dari kaunter bufet dan menunya termasuklah sup mi Szechuan yang disajikan secara unik dengan mi dibentuk seperti pulau yang dikelilingi sup.

"Hotel ini juga akan menawarkan tiga seleksi yee sang untuk pilihan pelanggan. Selain jenis shiraou yee sang (ikan bilis segar yang digoreng garing), pengunjung boleh juga membuat pilihan yee sang yang lain seperti shishamo (ikan yang sedang bertelur) dan salmon," katanya.

Sajian diakhiri dengan hidangan pencuci mulut dumpling bersama puri kacang merah.

Istimewa pada malam menjelang Tahun Baru Cina juga iaitu pada pukul 10 malam akan diadakan persembahan tarian singa di dewan utama hotel berkenaan.

Tidak semestinya menikmati sajian promsoi itu secara berkumpulan di dalam restoran tersebut, pihak hotel juga bersedia untuk menyediakan ruang makan di bilik-bilik mesyuarat hotel tersebut.

Lukisan kuda terpanjang di Malaysia

Posted:

Lukisan kuda terpanjang di Malaysia

Lukisan kuda terpanjang di Malaysia


JAMES mengambil masa 30 minit bagi menyempurnakan lukisan kuda ini menggunakan 60 liter cat.


PELUKIS tanah air, James Phua mencipta sejarah peribadi apabila berjaya menghasilkan lukisan kuda terpanjang di Malaysia. Karya yang dihasilkan di Esplanade KLCC itu turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai lukisan terpanjang pernah dihasilkan di negara ini.

Dihasilkan di atas kanvas berukuran 12 meter (m) panjang dan 6m lebar, James hanya mengambil masa selama 30 minit bagi menyiapkan hasil kerjanya menggunakan berus khas dan cat sebanyak 60 liter.

Penciptaan lukisan tersebut adalah sejajar dengan kedatangan tahun kuda yang disambut kaum Cina di seluruh negara pada 31 Januari ini.

"Pada tahun ini, kami mahu memberikan sedikit kelainan melalui kerjasama dengan pelukis berbakat seperti James. Seperti yang kita tahu, masyarakat Cina mempercayai bahawa tahun kuda membawa kekuatan," ujar Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC, Andrew Brien.

Selain memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan sendiri lukisan mengagumkan itu, pusat beli-belah terkemuka tersebut turut meraikan 50 orang kanak-kanak dari House of Joy, Puchong, Selangor dan Rumah Charis di Taman Yarl, Kuala Lumpur bersempena dengan kehadiran perayaan tersebut. Kedua-dua badan itu merupakan organisasi kebajikan untuk kanak-kanak miskin, bermasalah, terbiar dan yang berdepan risiko penderaan.

JAMES bersama sijil pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records bagi rekod lukisan kuda terpanjang di Malaysia.


Setiap kanak-kanak dibawa membeli barangan persiapan sambutan Tahun Baru Cina di gedung Isetan dengan nilai RM150 sambil dipimpin kakitangan Suria KLCC.

Mereka turut dihiburkan dengan pertunjukan Shaolin yang didatangkan khas dari China. Kungfu berpedang, 'drunken master' dan kala jengking adalah antara seni pertahanan diri yang diselitkan dalam persembahan tersebut. Tidak ketinggalan persembahan gendang Cina dan tarian singa akrobatik yang tidak hanya memukau kanak-kanak tersebut malah pengunjung yang berada di kawasan sekitar.

Tambah Andrew, setiap kali menjelang musim perayaan, Suria KLCC pasti melunaskan tanggungjawab sosial mereka dengan membantu golongan kurang berkemampuan terutama anak-anak yatim.

Katanya: "Semoga kanak-kanak ini diberi kekuatan bagi meneruskan kehidupan walaupun tanpa ibu dan bapa di sisi."

Orang awam yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah menghubungi House of Joy di talian 03-8070 4497 atau e-mel kepada hoj92@yahoo.com dan Rumah Charis menerusi talian 03-7781 5977 atau e-mel kepada rumahcharis@yahoo.com.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


'Tunggu masa pengesahan'

Posted:

'Tunggu masa pengesahan'

'Tunggu masa pengesahan'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

TROUSSIER calon pilihan untuk menerajui skuad Harimau Malaya selepas perbincangan antara dia dengan FAM dilaporkan berjalan lancar.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dikhabarkan hanya 'menghitung hari' sebelum mendapatkan tanda tangan pengendali kelahiran Perancis, Phillipe Troussier sebagai jurulatih baharu Harimau Malaya.

Sumber memberitahu Kosmo!, buat masa ini perbincangan antara FAM dan Troussier berjalan dengan baik.

Sekiranya tiada sebarang masalah katanya, Troussier bakal menerajui Harimau Malaya selewat-lewatnya pertengahan bulan depan.

Selain itu katanya, Troussier juga dikatakan bersedia menerima gaji yang lebih rendah berbanding AS$1.52 juta (RM4.9 juta) setahun yang dilaporkan sebelum ini.

"Jika tiada perubahan pada saat-saat akhir sama ada daripada FAM atau Troussier, perjanjian itu dijangka dimeterai dalam masa terdekat.

"Beliau juga dikatakan bersedia menerima gaji lebih rendah dengan syarat beliau turut membawa masuk 'orang-orang kanan' seperti pakar fisioterapi, pembantu jurulatih dan sebagainya bersama skuad Harimau Malaya," kata sumber itu yang enggan namanya didedahkan kepada Kosmo! semalam.

Sebelum ini, Troussier disebut-sebut menyandang 'kerusi panas itu' selepas dikatakan telah mendapat persetujuan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan Ivory Coast, Nigeria, Burkina Faso, Afrika Selatan, Jepun, Qatar dan Maghribi itu juga dikatakan lebih cenderung membimbing Harimau Malaya biarpun dikatakan turut mendapat tawaran lumayan daripada Persatuan Bola Sepak Tunisia.

Bagaimanapun, sumber itu enggan mengulas lanjut mengenai tarikh sebenar perjanjian itu akan dimeterai.

"Dalam mesyuarat Exco FAM sebelum ini, Tuanku Presiden dan Ahli Majlis juga telah bersetuju untuk melantik Troussier dan tiada nama lain dibangkitkan.

"Sekarang duit bukan masalah bagi FAM kerana mereka akan berusaha mendapatkan tajaan.

"Troussier telah menyatakan minatnya untuk datang ke Malaysia kerana percaya pengalaman bersama pasukan di Asia akan membantu meningkatkan lagi karier kejurulatihannya," jelas sumber berkenaan.

Difahamkan, Troussier dikatakan bersedia menerima gaji mencecah AS$800,000 (RM2.7 juta) setahun daripada FAM.

Selain Troussier, jurulatih AS Roma, Zdenek Zeman; bekas jurulatih Liverpool, Alex Miller; bekas pemain Perancis, Marcel Desailly dan bekas jurulatih China dan Uzbekistan, Bob Houghton juga dikatakan berada dalam radar FAM.

Untuk rekod, mendiang Bertalan Bicskei dari Hungary merupakan warga asing terakhir yang dilantik FAM untuk mengendalikan skuad Malaysia dari 2004 hingga 2005.

Antara jurulatih asing yang pernah membimbing skuad Harimau Malaya sebelum ini termasuklah Alan John Harris (England), Hatem Souissi (Tunisia) dan seorang lagi warga Perancis, Claude Le Roy.

Ketika ini, pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee menggalas tanggungjawab selaku pengendali sementara Harimau Malaya selepas kontrak Datuk K. Rajagobal yang tamat 31 Disember tahun lalu tidak lagi disambung oleh FAM.

Skuad kebangsaan yang sekadar mengutip empat mata dalam aksi Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 bakal berdepan Yemen dalam aksi terakhir kumpulan di tempat lawan pada 5 Mac depan.

Terengganu tekad tebus kekecewaan

Posted:

Terengganu tekad tebus kekecewaan

Terengganu tekad tebus kekecewaan

Oleh NADZARUL
AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my

PASUKAN Terengganu ingin menebus kekecewaan tewas ke atas Perak 0-1 pada saingan Liga Super di Ipoh, Sabtu lalu dengan melakar kemenangan menentang T-Team malam ini.

Kapten pasukan Terengganu, Zairo Anuar Zailani berharap agar rakan-rakan sepasukan kembali fokus dalam perlawanan menentang pasukan 'adik', T-Team sekali gus melakarkan kemenangan pada aksi yang akan berlangsung di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu.

"Saya berharap kami dapat bangkit dalam perlawanan malam esok (malam ini) dengan mengalahkan skuad The Titans. Bagi saya, hanya kemenangan sahaja dapat memadam kekecewaan kami setelah tewas di tangan Perak Sabtu lalu.

"Selain itu, kemenangan ke atas T-Team juga penting bagi kami untuk meningkatkan moral pasukan dalam menghadapi pusingan kedua Piala FA bertemu PKNS FC nanti," katanya.

Bekas tonggak utama pasukan Kelantan itu berkata, mereka sudah menampilkan persembahan terbaik ketika bertemu skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim itu, tetapi perlawanan itu tidak memihak kepada Terengganu.

Katanya, secara keseluruhan pasukan Terengganu berjaya menguasai perlawanan itu dan memiliki peluang untuk menjaringkan gol, namun tindakan cemerlang penjaga gawang Perak, Razi Effendi Suhit turut menjadi penghalang utama buat skuad Penyu merobek gawang lawan.

"Saya tahu moral pemain T-Team ketika ini tengah membara selepas mengejutkan pasukan Johor Darul Takzim (JDT).

"Bagaimanapun, saya berharap rakan sepasukan melupakan kekecewaan sebaliknya turun dengan misi meraih kemenangan ke atas T-Team malam esok (malam ini)."

Sarawak mahu akhiri rentak sumbang

Posted:

Sarawak mahu akhiri rentak sumbang

Sarawak mahu akhiri rentak sumbang

Oleh MULLER ASEN
muller.asen@kosmo.com.my

SELEPAS dijinakkan Kelantan minggu lalu, skuad Bujang Senang berazam mengutip tiga mata berharga apabila melayan kunjungan pasukan Sime Darby dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching malam ini.

Kapten Sarawak, Joseph Kalang Tie, optimis pasukan bimbingan Robert Alberts itu mampu melakar kemenangan sekali gus mengubati kekecewaan selepas gagal mengutip sebarang mata dalam dua perlawanan sebelum ini.

Joseph mengakui, kemenangan bergaya 1-0 anak-anak buah Ismail Zakaria ke atas juara Piala Malaysia, Pahang, Sabtu lalu, memberi isyarat jelas kepada rakan-rakannya untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada dalam pasukan.

Katanya, perlawanan malam ini dijangka sengit memandang kedua-dua pasukan bertekad mencatatkan kemenangan bagi mencari kedudukan terbaik dalam carta Liga Super.

"Perkara penting sekarang adalah misi memperoleh tiga mata penuh di laman sendiri kerana keputusan positif pasti membantu kita terus bersemangat mengharungi perlawanan berikutnya.

"Pemain perlu menyempurnakan setiap peluang yang ada. Jika kita menang dalam perlawanan ini, ia pasti memberi suntikan moral dan keyakinan membara kepada pasukan ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuching semalam.

Mengulas persediaan pasukan, pemain sayap itu memberitahu, dia menjangkakan jurulatih kemungkinan melakukan rombakan dalam kesebelasan utama yang akan diturunkan nanti.

Bagaimanapun jelasnya, ia bergantung dengan prestasi pemain itu sendiri bagi memastikan sama ada rombakan kecil itu akan dilaksanakan atau sebaliknya.

"Kini, jurulatih amat memberi penumpuan kepada jentera serangan kerana dalam perlawanan sebelum ini posisi itu agak goyah," katanya.

Selepas mengharungi dua perlawanan, skuad Bujang Senang kini menghuni tangga tercorot liga tanpa sebarang mata.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Stailo

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Jalan kaki 11 kilometer ke pertunjukan fesyen

Posted:

Jalan kaki 11 kilometer ke pertunjukan fesyen

Jalan kaki 11 kilometer ke pertunjukan fesyen

Oleh ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my

DI sebalik rentetan kejayaan peragawati terkenal, Amber Chia, tersimpan episod kesusahan, kedaifan dan kekecewaan yang amat menyentuh hati untuk dikongsi bersama.

Pelajaran setakat tingkatan tiga mengheret ikon berusia 32 tahun itu menjadi dewasa pada zaman remaja.

Setiap hari Amber membantu bapanya menjual ikan di sebuah pasar di Tawau, Sabah. Pada sebelah malam pula, dia menjadi juruwang di pasar raya tempatan.

Membesar sebagai anak ketiga daripada enam adik-beradik, zaman kanak-kanak Amber tidak semewah kini. Dulu, pakaian baharu hanya diperoleh setahun sekali, itupun apabila Tahun Baru Cina menjelang.

"Sebab itu Tahun Baru Cina terlalu istimewa untuk saya dan adik-beradik. Kami tahu, ibu akan membawa kami ke pasar raya untuk membeli baju baharu," kongsi wanita ini sambil memutar memori termanisnya itu tatkala bergelar kanak-kanak kepada Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketika kecil juga Amber menanam hasrat untuk bergelar seorang peragawati. Sejak menonton rancangan fesyen di televisyen dan membelek majalah yang menghimpunkan model-model anggun, beliau sudah tahu arah tuju masa depannya.

Berbekalkan cita-cita itu bersama wang tunai RM300, Amber terbang ke Kuala Lumpur pada umur 17 tahun. Tanpa seorang pun kenalan di bandar raya itu, beliau memberanikan diri mencongak tuahnya dalam bidang peragaan.

Teksi

Iklan uji bakat dalam surat khabar menjadi teman akrab wanita ini. Malah, dia tidak ralat menyewa sebuah bilik bersama beberapa orang gadis tidak dikenali di Kuchai Lama dengan kadar sewa RM50 sebulan.

Duit simpanan yang kian surut hampir mencemaskan Amber. Namun, ketabahannya berbayar apabila dia diterima sebuah agensi model bebas.

Pada awalnya, dia diminta untuk membayar yuran bagi mengikuti kursus latihan tetapi memandangkan masalah kewangan yang dihadapi sangat kritikal, Amber dibenarkan untuk membayar kos tersebut menerusi potongan wang daripada setiap pertunjukan fesyen.

AMBER mengembangkan lagi kerjayanya menerusi kerjasama bersama pereka fesyen Melinda Looi dengan mengeluarkan koleksi pakaian di bawah nama MLxAC.


Fasa awal memang menguji kesabaran Amber. Dia perlu belajar berjalan dengan kasut tinggi yang sebelum itu langsung tidak pernah membaluti kakinya. Malah sepatah perkataan bahasa Inggeris pun tidak diketahui wanita tersebut, sekali gus menyulitkan komunikasi.

Enggan patah semangat, Amber berjanji kepada diri sendiri untuk meningkatkan prestasi agar tapak yang dibina akan terus utuh.

"Pernah sekali, saya menaiki teksi untuk menjayakan satu pertunjukan fesyen. Bila saya tengok meter tambang mencecah RM2.30, saya minta pemandu teksi itu berhenti kerana banyak itu sahaja wang yang saya ada.

"Saya meminta arah ke lokasi pertunjukan daripada pemandu tersebut dan berjalan kaki kira-kira 11 kilometer. Saya tiba di tempat pertunjukan dua jam awal dan terpaksa menumpang orang selepas kerja selesai," imbas ibu kepada seorang anak lelaki itu.

Apa sahaja kepayahan hidup yang tidak pernah dilalui Amber pada permulaan kerjayanya? Setiap keperitan termasuk berlapar seharian juga direntasi tanpa rungutan. Bak katanya, ketika muda, semua cabaran dapat diatasi kerana semangat mengatasi segala-galanya.

Selepas setahun mencuba nasib sebagai model peragaan, Amber disunting sebuah agensi model ternama tanah air, Andrewsmodels.

Dua tahun berpayung di bawah agensi tersebut, kerjaya Amber mula berkembang apabila khidmatnya ditagih hampir setiap pertunjukan fesyen.

Wajah Amber memenuhi majoriti majalah fesyen. Meskipun tempoh dua tahun pertama kerjayanya tidak direstui penuh ibu bapanya, namun kesungguhan dan keikhlasan membantu keluarga keluar daripada takuk kemiskinan membenarkan dia meneruskan cita-citanya.

Kerja keras Amber dalam tempoh melebihi satu dekad juga melayakkannya digelar supermodel negara. Sampai satu tahap, orang mula muak atau mengelaskan beliau sebagai wajah terlebih promosi dalam industri fesyen tanah air.

Tenang dengan kenyataan tersebut, Amber menyifatkan bahawa dia tidak boleh memuaskan hati semua pihak. Dia sedar, tidak semua komen yang diterima adalah positif tetapi setiap kritikan diterima untuk memperbaiki diri.

RAMBUT pendek menjadi imej baharu Amber selepas 25 tahun selesa berambut panjang.


"Kalau saya tak promosikan diri, tidak mungkin orang kenal Amber Chia hari ini. Komen negatif orang ramai terutama di laman sosial memang kadang-kadang buat kita geram tetapi saya tidak ambil serius," bersahaja Amber meluncur kata.

Potong rambut

Transformasi Amber tidak hanya terlihat pada peningkatan kariernya. Malah baru-baru ini, model terkemuka itu mengambil langkah berani memotong pendek rambutnya yang telah disimpan selama 25 tahun.

Dedah Amber, kali terakhir dia berambut pendek adalah ketika berumur lima tahun dan selepas itu dia selesa berambut panjang.

Katanya: "Paling pendek pun saya potong setakat paras bahu."

Keputusan Amber itu dibuat selepas dipelawa jenama penjagaan rambut antarabangsa, Vidal Sassoon (VS) bagi menjayakan kempen #GetSassooned.

Menerusi gerakan tersebut, rambut Amber diberi gaya potongan five point yang moden.

Bagi Amber, memotong rambut pendek adalah suatu ketakutan kepadanya. Dia bimbang gaya tersebut tidak bersesuaian dengan bentuk wajah, tambahan pula rambutnya jenis leper.

"Dulu kena sikat, ikat dan gunakan banyak produk rambut seperti gel dan penyembur. Paling kurang pun ambil masa satu jam setengah untuk siapkan solekan dan dandanan rambut.

"Bila berambut pendek, ia banyak menjimatkan masa solekan dan mendandan rambut. Kini saya hanya memerlukan 45 minit. Saya juga tampak lebih muda, segar dan bergaya. Siapa tahu, mungkin saya tidak akan menyimpan rambut panjang lagi," berderai tawa Amber menyerlahkan keramahan bersahaja dalam dirinya.

Keluarga

Sementara itu, menyentuh rutin perayaan Tahun Baru Cina, Amber memberitahu, dia akan pulang ke rumah keluarga suami, Adrian Wong pada hari pertama sambutan seperti yang telah ditetapkan dalam tradisi kaum Cina.

Hanya pada hari ketiga, dia sekeluarga akan pulang ke Tawau untuk makan malam beramai-ramai. Detik itu sahaja Amber dapat berkumpul bersama semua adik-beradik dan anak-anak buahnya tanpa ada seorang pun tercicir.

AMBER akan pulang ke Sabah pada hari ketiga Tahun Baru Cina untuk berkumpul bersama-sama ahli keluarganya.


Tambahnya, setiap kali perayaan, dia akan berdoa agar keluarganya diberikan kesihatan. Kesenangan lain baginya akan datang kemudian.

Meskipun sibuk mengurus kerjaya, Amber sentiasa memastikan akan pulang ke kampung halaman sekurang-kurangnya dua atau tiga kali setahun.

Bagaimanapun, ibu bapanya juga kerap turun ke Kuala Lumpur untuk melawatnya sekeluarga.

"Bapa saya masih bekerja walaupun perniagaan menjual ikan telah diambil alih abang saya," kongsi Amber.

Mendambakan seorang anak perempuan, ibu kepada Ashton Wong, 3, itu menikmati setiap momen bergelar ibu.

Setiap apa yang dimiliki kini dihargai penuh syukur. Tiada sasaran tinggi untuk dicapai, sebaliknya mahu meneruskan langkah di atas pentas peragaan selagi terdaya.

Ceongsam kontemporari Tahun Kuda

Posted:

Ceongsam kontemporari Tahun Kuda

Ceongsam kontemporari Tahun Kuda

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periaswamy@kosmo.com.my

BAJU ceongsam dan kemeja rona biru ungu motif flora, pilihan generasi muda.


TAHUN Baru Lunar cukup sinonim dengan pakaian tradisional Cina, ceongsam dan kemeja yang bermotif tradisi.

Menjadikan ceongsam sebagai pakaian pilihan Tahun Baru Cina pada tahun ini, Kompleks Kraf di Jalan Conlay, Kuala Lumpur mengetengahkan beberapa koleksi segar ceongsam dan kemeja lelaki yang bercirikan elemen Malaysia.

Selain mengekalkan elemen ceongsam tradisional seperti baju paras lutut, potongan pada bahagian sisi dan rekaan corak tradisional pada bahagian tengkuk ceongsam, elemen tempatan turut disuntik untuk memberikan pilihan yang unik.

Pembantu jualan di Karyaneka, Amiruddin Awang memberitahu, semua koleksi Tahun Baru Cina menggunakan kain kapas dengan motif batik sama ada yang dicetak atau diwarnakan bagi koleksi wanita dan dilukis tangan bagi koleksi lelaki.

Menariknya, baju ceongsam yang diperaga menampilkan motif flora, sama seperti kain batik sarung dan motif abstrak warna pelangi juga tidak terlepas daripada motif batik kontemporari.

Bagi motif batik sarung misalnya, elemen corak flora tradisional menekankan warna rona sama atau padanan beberapa warna. Semua baju ceongsam dihasilkan dengan corak dan warna yang berbeza. Bahagian kepala sarung pula dipaparkan di hadapan supaya ia memberi efek menonjol pada helaian ceongsam yang dipakai.

Dalam pada itu, Amiruddin juga mengakui, pihak Karyaneka tidak banyak mengubah rekaan dan potongan asli ceongsam tetapi banyak melakukan pembaharuan dan kelainan pada motif dan warna.

CEONGSAM jingga dengan motif batik yang menyerlahkan keayuan si pemakai.


Kain kapas

"Walaupun warna merah dan oren merupakan warna wajib untuk Tahun Baru Cina, kami juga mendapati warna pelangi seperti biru dan ungu turut menjadi perhatian. Sehubungan itu, sebagai memenuhi permintaan pelanggan muda, kami menampilkan warna-warna kontemporari dengan rona abstrak dan kombinasi yang berani," ujar Amiruddin.

Baju ceongsam material kapas daripada Karyaneka dijual pada harga bermula RM100. Selain pilihan kain kapas, pihaknya turut memperkenalkan material sutera dalam masa terdekat dengan harga jualan bermula RM500.

Bagi kemeja lelaki pula, ia didatangkan secara berpasangan agar memudahkan pelanggan mencari tema yang sesuai. Semua kemeja lelaki daripada Karyaneka yang dihasilkan khas sempena Tahun Baru Cina menggunakan warna-warna terang dan berani agar ia berpadanan dengan mod festival.

"Pereka fesyen di Karyaneka bertanggungjawab menghasilkan semua rekaan dan kami memastikan ia mengikut trend semasa. Kombinasi warnanya juga dalam pelbagai rona," tambah Amiruddin.

Kebanyakan pakaian kemeja lelaki mempunyai imej abstrak dan pelbagai warna di samping mengekalkan potongan standard. Sama seperti baju ceongsam, kemeja juga didatangkan dalam satu rekaan sahaja setiap satu.

Kemeja lelaki ini boleh diperoleh pada harga bermula RM90 ke atas bagi kain kapas serta RM300 ke atas bagi kain sutera yang juga akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Semua baju ini juga boleh dibeli di butik Karyaneka di seluruh negara antaranya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Langkawi, Kuantan dan Seremban selain Karyaneka di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Rozita kongsi rahsia awet muda

Posted:

Rozita kongsi rahsia awet muda

Rozita kongsi rahsia awet muda

SEMUA produk Safi Rania Gold ini mampu memberikan kesan positif terhadap kulit.


MENGAMBIL kira elemen cantik secara menyeluruh dan berterusan, wanita harus senantiasa peka terhadap rejim penjagaan wajah, khususnya antipenuaan seiring dengan aspek peningkatan usia dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kelak.

Safi Rania Gold, formulasi nano emas 24 karat (k) diperkaya dengan manfaat Amino Peptida bersama aktres, usahawan dan ibu, Rozita Che Wan berkongsi rahsia awet muda dengan produk berasas pupur emas.

"Disiplin adalah kunci kecantikan. Lahir dalam keluarga yang menitikberatkan penjagaan penampilan diri, saya memulakan rejim penjagaan kulit wajah seawal usia belasan tahun. Saya bersihkan muka daripada bekas solekan dan mengamalkan rawatan wajah asas sebagai penjagaan wajib seharian," kata Rozita.

Mengakui faktor persekitaran dan tekanan seharian menjadi sebab utama kulit wajah mengalami proses penuaan dengan lebih cepat, Rozita percaya, manfaat nano emas 24k diperkaya amino peptida daripada Safi Rania Gold sebagai solusi yang boleh dipertimbangkan.

Jelasnya, penggunaan berterusan produk tersebut berjaya mengurangkan kedutan dan garisan halus sehingga 55 peratus serta mengembalikan keanjalan kulit. Ia juga membaiki tona kulit lebih sekata dari dalam sebanyak dua kali ganda lebih pantas dalam masa tiga minggu digunakan.

ROZITA memilih untuk menggunakan Safi Rania Gold untuk awet muda.


Produk wajib

Pembersih wajah lembapan mendalam, serum dan Krim BB SPF30PA ++ daripada Safi Rania Gold menjadi produk wajib penjagaan kecantikan Rozita.

Menerangkan secara lebih lanjut, Rozita berkata, pembersih wajah lembapan mendalam membersihkan kotoran pada muka, terutamanya solekan dengan amat berkesan. Struktur cecair produk yang pekat meresap merawat kulit dan kotoran pada wajah hilang dengan sekali cucian.

Selain itu, serum daripada Safi Rania Gold dengan formulasi partikel nano emas 24k dengan amino peptida berfungsi merawat dan menganjalkan sel kulit dari dalam.

"Kali pertama saya menggunakan produk ini, dalam masa tiga minggu sahaja saya sudah mula merasai perubahan serta mengurangkan kedutan dan garisan halus," kata Rozita dalam satu kenyataan akhbar.

Terbaharu dalam koleksi penjagaan kecantikan Safi Rania gold ialah Krim BB dengan perlindungan SPF30PA++. Ia berfungsi sebagai pelembap dan asas solekan, sekali gus menghalus, menganjalkan dan menyamaratakan tona kulit. Tekstur krim amat ringan dan sesuai untuk solekan natural.

Lebih menarik, krim BB tersebut juga didatangkan dengan manfaat pelindung kulit daripada sinar ultra ungu.

Semua produk Sari Rania Gold boleh didapati di pasar raya besar, pasar raya dan farmasi pada harga yang berpatutan. Produk Safi Rania Gold juga dijamin halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved