Rabu, 4 September 2013

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Cerita Farhan, Fizo, Fahrin, Fizz

Posted:

Cerita Farhan, Fizo, Fahrin, Fizz

Cerita Farhan, Fizo, Fahrin, Fizz

FIZO OMAR, Fizz Fairuz, Fahrin Ahmad dan Farhan Azizan atau lebih dikenali sebagai Farhan AF4 bukan sahaja berkongsi huruf awalan nama masing-masing.

Namun, mereka juga berkongsi pendapat yang sama bahawa sebagai artis mereka harus mempunyai variasi dalam dunia hiburan dan bukan bergantung kepada satu cabang sahaja.

Keempat-empat mereka berjaya disatukan ketika sama-sama menghadiri majlis Aidilfitri yang dianjurkan Hotel Perdana, Kota Bharu Kelantan baru-baru ini.

Ternyata, keempat-empat mereka mempunyai satu sisi berbeza daripada kegiatan seni masing-masing bagi memastikan kepelbagaian dalam meneruskan kelangsungan pendapatan dalam kehidupan.

Farhan Cookies

Bagi satu-satunya bunga dalam kalangan kumbang, Farhan memberitahu, selain daripada memenuhi undangan nyanyian pada majlis-majlis rasmi dan korporat, dia mempunyai syarikatnya sendiri yang menguruskan acara dan juga menghasilkan beberapa jenis produk di atas namanya.

"Saya mengeluarkan beberapa produk di atas nama saya antaranya adalah biskut yang diberi nama Farhan Cookies. Farhan Cookies ini bukanlah perniagaan yang bermusim kerana saya menghasilkannya sepanjang tahun.

"Tempahan meningkat terutama pada musim perayaan dan selepas musim perayaan saya menerima tempahan untuk majlis-majlis rasmi, hamper dan sebagainya," katanya.

Ujar Farhan lagi, walaupun dia kini sudah terjun dalam bidang perniagaan, namun tidak bermakna dirinya sudah tidak aktif dalam dunia hiburan.

GELAGAT lucu dan ceria Fizz, Farhan, Fizo dan Fahrin yang diundang ke Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.


Walaupun ramai yang menyangka kehadirannya dalam industri hiburan sudah suam-suam kuku, namun, undangan yang diterimanya menunjukkan sebaliknya.

"Saya banyak mendapat undangan korporat, majlis makan malam, majlis rasmi dan juga majlis diraja.

"Memang saya agak kurang tampil di televisyen atau menyanyi dalam khalayak audiens yang lebih terbuka tetapi itu tidak bermakna saya sudah tidak aktif dalam industri hiburan tanah air.

"Mungkin rezeki saya di sini dan saya bersyukur. Undangan nanyian saya lebih kepada majlis tertutup dan saya terima dengan hati terbuka. Saya bersyukur kepada Tuhan di atas rezeki yang diberi," ujarnya yang juga memberitahu, dia kini dalam proses menghasilkan single terbaharunya yang akan muncul tidak lama lagi.

Fizo bantu wanita Kelantan

Beralih kepada Fizo Omar pula, kisah dia menceburkan diri dalam dunia perniagaan bukan sesuatu cerita yang baharu. Malah, baru-baru ini, Fizo menjalankan perniagaan serunding ketika bulan Ramadan yang lalu.

Terbaharu, Fizo sedang dalam perancangan untuk membuka 20 gerai francais burger miliknya iaitu Hot Burger di Kota Bharu.

"Saya sedang dalam perancangan untuk membawa Hot Burger ke Kelantan dan membuka 20 gerai di negeri ini.

"Saya menetapkan kuota 10 peserta lelaki dan juga 10 peserta wanita untuk menyertai francais ini. Saya akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk mencari peserta wanita.

"Saya ingin membantu wanita di negeri ini dan juga membuka peluang kepada mereka yang berminat.

"Saya juga ingin menukar persepsi orang ramai terhadap perniagaan burger yang menganggap ia tidak boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan," tegasnya.


DARI KIRI: Fizz, Iqram, Fizo, Farhan dan Fahrin memeriahkan majlis Aidilfitri anjuran Hotel Perdana di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.


Perjalanan seni Fizo pula kini lebih dalam bidang pengacaraan dan terkini, dia sedang dalam penggambaran travelog masakan yang merupakan rancangan masakan berasaskan koko.

Rancangan tersebut akan disiarkan di saluran TV9 akan menampilkan Fizo mengembara sambil memasak. Dia juga muncul dengan sebuah buku masakan yang mempunyai 50 resipi berjudul, Air Tangan Fizo.

"Buat masa ini, penggambaran filem atau drama sudah saya kurangkan. Lagi pun, ada lagi empat buah filem lakonan saya yang masih belum ditayangkan, jadi saya rasa cukup sehingga awal tahun depan.

"Saya juga sibuk dengan bisnes pengiklanan yang lebih menumpu kepada pengiklanan di media sosial. Perniagaan itu perlu ada sebagai jaminan dalam kerjaya," katanya.

Kredibiliti Fizz dipertikai

Perjalanan seninya memasuki satu fasa yang berbeza apabila dia ditawarkan sebagai tenaga pengajar untuk Akademi Fantasia musim terbaharu sebagai guru lakonan.

Menganggap ia adalah rezeki kurniaan Tuhan, Fizz Fairuz mengakui banyak pihak mempertikaikan kredibilitinya untuk menjadi guru di dalam Akademi Fantasia dan membandingkannya dengan nama-nama yang pernah mendukung posisi tersebut sebelum ini.

"Sebelum ini tenaga pengajar bagi lakonan di Akademi Fantasia menampilkan nama-nama besar seperti Fatimah Abu Bakar, Fauziah Nawi dan sebagainya.

"Pada awalnya, saya juga tidak percaya tetapi setelah berkali-kali Astro membuat tawaran tersebut akhirnya saya terima. Soalan mengapa Astro memilih saya bukanlah satu soalan yang saya boleh jawab. Kenalah tanya Astro sendiri.

"Tawaran datang daripada pihak sana, bukannya saya merayu kepada mereka untuk memilih saya. Jadi saya anggap ini adalah rezeki kepada saya yang tuhan berikan. Saya akan lakukan yang terbaik dan berkongsi segala ilmu yang saya ada dengan semua pelajar," katanya.

Kisah percintaan Fizz yang sebelum ini bertunang dengan seorang wanita yang memegang status isteri orang menggemparkan peminat seni tanah air semakin hilang daripada bualan mulut ramai. Malah bagi Fizz juga, kesan akibat kejadian itu juga sudah dilupakan.

"Dua minggu selepas kejadian itu memang saya akui saya jadi tak tentu arah tetapi sekarang saya sudah tak rasa apa-apa pun.

"Seperti tak ada apa yang berlaku dan saya meneruskan kehidupan saya seperti biasa. Mungkin nanti saya akan ada pengganti," tuturnya sambil melemparkan senyuman nakal.

Fahrin ke Bangkok

Bagi jejaka sasa Fahrin Ahmad pula, dia kini aktif dalam bidang pengacaraan dan banyak memenuhi undangan pengacara daripada syarikat-syarikat luar dan juga majlis-majlis peribadi. Malah, dia juga mendapat undangan pengacaraan bagi majlis perkahwinan.

Dia juga sibuk dengan aktivitinya sebagai duta bagi beberapa produk yang menggunakan khidmatnya sebagai jurucakap.

"Bulan depan saya akan ke Bangkok, Thailand untuk penggambaran iklan terbaharu bagi produk Garnier Man.

"Saya akan terlibat dalam siri jelajah produk Ali Café dan juga sebagai duta Shell Fuel Safe. Saya juga akan ke Terengganu bagi menjayakan Futsal Amal Hari AIDS Sedunia yang mana saya juga dipilih sebagai duta," tuturnya.

Menukar tajuk kepada jodoh dirinya yang dilihat agak lewat tiba, Fahrin memberitahu, perkataan lewat itu tidak patut dipertikaikan. Dia juga sudah lali dengan persoalan jodoh dan persoalan itu sudah tidak lagi mengguris hatinya.

"Saya sudah berusaha ke arah itu tetapi jodoh belum sampai dan ini adalah kerja Tuhan. Saya menganggap pengalaman yang dilalui sebagai mematangkan saya dalam menempuh hari muka," luahnya.

Stewart separuh bogel

Posted:

Stewart separuh bogel

Stewart separuh bogel

KRISTEN STEWART muncul sebagai duta kempen terbaharu produk wangian Balenciaga.


AKTRES Kristen Stewart sebelum ini memang pernah memberitahu bahawa dia tidak kisah untuk beraksi separuh bogel di dalam filem atau pun iklan.

Selepas membuktikan 'keberaniannya' menerusi filem On The Road, kini Stewart melakukan aksi separuh bogel menerusi kempen terbaharu produk wangian Balenciaga.

Menerusi sekeping gambar publisiti yang diedarkan, Stewart dilihat tidak memakai baju untuk wangian yang diberi nama Florabotanica.

Dia dirakamkan dalam potret hitam putih, manakala terdapat bunga-bungaan melingkar pada tubuhnya dalam gambar berwarna yang menaikkan mood seksi pada gambar tersebut.

Orang salah anggap mengenai kami - Awi Rafael

Posted:

Orang salah anggap mengenai kami - Awi Rafael

Orang salah anggap mengenai kami - Awi Rafael

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
ashreen.ismail@kosmo.com.my

AWI hanya menganggap Sasha sebagai seorang teman yang baik.


MUNGKIN kini ramai peminat telah sedia maklum bahawa hubungan cinta Awi Rafael dan aktres Hanez Suraya sudah terputus di tengah jalan. Setelah beberapa bulan menjalinkan hubungan, akhirnya hajat untuk bercinta hingga ke jenjang pelamin tidak kesampaian.

Kedua-duanya mengakui hubungan mereka putus bukan disebabkan oleh pihak ketiga namun, kerana masing-masing ingin berikan fokus terhadap karier yang sedang dibina.

Namun, setelah tidak bersama, wujud pula kisah ikatan cinta baharu Awi.

Awi kini dikatakan sedang bercinta dengan aktres tinggi lampai iaitu Sasha Saidin. Baru-baru ini juga, menerusi temu ramah pihak media bersama Sasha, wanita tersebut seperti tidak menolak jika bertemu jodoh dengan Awi.

Bagi Awi pula ketika dihubungi Kosmo!, dia menafikan gosip yang sedang panas berlegar dalam kalangan peminat industri hiburan tempatan.

Ikuti jawapan penyanyi kelahiran Singapura tentang kontroversi baharu tentang dirinya.

Kosmo!: Bolehkah anda ceritakan tentang perkembangan karier anda kini?

AWI: Sekarang, saya masih sibuk mempromosi single yang berjudul Kalau Aku Kaya. Alhamdulillah, lagu tersebut diterima ramai dan di laman YouTube pula telah pun mencapai sebanyak satu juta penonton.

SASHA SAIDIN sebelum ini tidak menolak jodohnya bersama Awi Rafael jika ia berlaku kelak.


Selain promosi single ini, apa lagi perancangan anda?

Memang banyak sebenarnya perancangan bagi karier saya. Saya juga ingin meluaskan karier saya ke Indonesia kelak, Insya-Allah. Lagu Pulanglah saya telah pun menjadi hit di sana dan ia dinyanyikan oleh kumpulan Mikheila dan diubah sedikit mengikut cara wanita menyanyi.

Selepas putus dengan Hanez, kini anda digosipkan bercinta dengan Sasha Saidin. Boleh komen?

Tidak benar gosip tersebut kerana kami hanya kawan biasa sahaja. Bagaimanapun, dia ada telefon Awi dan terangkan tentang kenyataan tentang jodoh yang dibuat olehnya sebelum ini. Tapi sejujurnya saya akui, sebagai kawan, dia memang seorang yang baik. Jadi, saya tidak mahu terlalu memberi komen tentang perkara ini.

Jadi, kini memang anda ingin memberi fokus terhadap karier sahaja atau memang sudah ada pengganti?

Saya memang ingin memberi fokus lebih terhadap karier kini. Kami berdua (bersama Hanez) juga sebelum ini sibuk dengan kerja, kerana itu kami tiada masa bersama. Saya tidak terfikir untuk bercinta buat masa ini.

Jika sebelum ini, anda terbuka berbicara tentang kisah cinta, adakah selepas ini akan kurang berbuat demikian?

Sebenarnya, jika ikutkan hati saya memang tidak terlalu ingin berbicara tentang kisah cinta. Tapi kerana ingin menjaga hati beberapa pihak, saya tidak kisah untuk cerita. Saya tidak ingin orang fikir bicara saya tentang kisah cinta adalah untuk mengejar populariti serta untuk dikenali. Jadi, sejujurnya, saya dan Sasha tidak bercinta dan harap orang yang membaca jangan salah anggap kerana tiada apa-apa yang berlaku antara kami.

Kredit: www.kosmo.com.my

Selasa, 3 September 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pedas hingga telinga berdesing

Posted:

Pedas hingga telinga berdesing

Pedas hingga telinga berdesing

SEBUT sahaja sambal tahun, pasti kecur tunas rasa dan pantas sahaja memori menyingkap kepedasannya.

Bagi yang tidak tahan pedas, pasti 'menangis' dan tidak kurang berdesing telinga menahan kepedasan cili padi sebagai salah satu ramuan wajib menu tersebut.

Masih segar dalam ingatan Mohamad Fauzi Rosly, 26, ketika pertama kali mencicip sambal tahun di kampung ibunya di Parit Baru, Sabak Bernam, Selangor.

"Seingat saya, pada waktu itu saya bersekolah dalam darjah empat. Apabila beraya rumah pak cik, kami dihidangkan dengan pelbagai menu raya termasuk sambal tahun.

"Dek kerana suka makan kerang dan kebetulan pula ia menjadi rencah utama sambal tahun, saya terus menjamahnya. Saat habis mengunyah, air mata mula keluar dan telinga berdesing, saya kelam-kabut mencari air untuk menghilangkan rasa pedas," katanya yang mengimbas saat pertama menikmati hidangan masyarakat Jawa itu pada sambutan Aidilfitri.

Tambahnya, walaupun mengetahui mengenai tahap kepedasannya, setiap kali beraya ke Sabak Bernam, Mohammad Fauzi akan terus meluru ke dapur mencari sambal tahun.

"Ia bukan sahaja sedap, malah boleh tambah nasi berkali-kali jika menu tersebut yang dihidangkan.

"Ada juga yang cuba-cuba untuk membuatnya sendiri, tetapi rasanya langsung tidak sama dengan yang dimakan di kampung," ujarnya.

Penulis meredah perjalanan selama dua jam ke Parit Baru, Sabak Bernam bertemu seorang warga emas yang mahir menyediakan menu tersebut.

Menu wajib

Saliah Kastolani, 75, mula belajar memasak sambal tahun sejak zaman gadisnya memberitahu, dia akan masak sambal tahun setiap kali musim perayaan.

KERANG dan cili burung merupakan bahan utama untuk menyediakan sambal tahun.


Sebanyak 20 kilogram (kg) kerang, sekilogram cili padi, satu kg setengah lengkuas dan sekilogram bawang merah bagi menyediakan menu itu untuk tetamu dan keluarganya.

"Ia merupakan menu wajib setiap kali raya kerana semua anak menantu dan cucu serta sanak saudara amat menyukainya. Setiap kali musim perayaan, pasti ada yang bertanya mengenai sambal tahun.

"Rasanya sangat pedas. Namun, ia tetap menjadi kegemaran cucu-cucu saya yang masih kecil," kata ibu kepada sembilan anak itu.

Nenek kepada 35 cucu dan tiga orang cicit itu memberitahu, selain anak perempuan, anak-anak lelakinya juga turut mempelajari cara-cara membuat sambal tahun kerana Saliah akan memanggil semua anak-anaknya membantu.

Menurut Saliah atau lebih mesra dipanggil Wak Yah, memasak sambal tahun tidak sukar dan ia mudah dipelajari.

"Cuma cara memasaknya sahaja yang berbeza kerana ada sesetengah orang menggunakan santan untuk menyediakan hidangan tersebut tetapi dia tidak," jelasnya.

Bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak sambal tahun ialah lengkuas, halia, bawang kecil, bawang putih, cili burung, ikan bilis, belacan, gula, garam, sos tiram, taucu, asam jawa, gula kabung.

"Ada bahan yang dihiris dan ada yang ditumbuk. Sebahagian bawang merah, bawang putih dan lengkuas dihiris halus dan selebihnya ditumbuk bersama sedikit halia, belacan, cili burung, ikan bilis.

"Tumis bawang merah dan bawang putih yang dihiris sehingga kekuningan dan masukkan bahan-bahan yang ditumbuk lumat. Apabila bahan tumisan garing sedikit, masukkan taucu bersama sos tiram," ujarnya bahan-bahan yang digunakan disukat mengikut cita rasa masing-masing.


SELAIN sambal tahun, nasi ambang juga merupakan salah satu masakan Jawa yang semakin popular.


Apabila sudah sebati, masukkan cili padi diikuti dengan hirisan lengkuas. Masukkan dua mangkuk air dan gula kabung secukup rasa, biarkan seketika hingga mereneh.

Akhir sekali, masukkan isi kerang yang telah direbus bersama air asam jawa dan sedikit serbuk perasa. Biarkan beberapa minit hingga kerang mesra dengan kuah.

Lengkuas dan taucu merupakan bahan yang wajib ada dalam pembuatan sambal tahun. Jika tiada, sambal tahun tidak menjadi.

Sambal tahun enak dimakan bersama nasi putih panas tanpa digandingkan dengan lauk-pauk yang lain.

"Gula kabung dimasukkan bagi memberikan rasa manis untuk mengimbangi rasa pedas pada sambal selain memekatkan kuah.

"Sambal tahun versi original tanpa santan. Jika dicampur santan, ia akan memberikan rasa pedas sahaja dan hilang rasa bahan-bahan yang lain. Jika dipanaskan selalu, ia akan pecah minyak," katanya sambil memberitahu kerang yang digunakan boleh digantikan dengan kulit lembu.

Bagaimanapun, jika menggunakan kulit lembu, lama-kelamaan kuah sambal tahun akan berlendir dan kulit lembu menjadi lembik.

Ada juga yang menyediakan sambal ini dengan menggunakan ikan bilis semata-mata sebagai ramuan utama, namun untuk menghasilkan sambal tahun yang sedap ialah menggunakan kerang.

"Sambal ini semakin dipanaskan, semakin sedap dan semakin pedas kerana cilinya pecah. Ia mampu bertahan sehingga dua minggu jika sentiasa dipanaskan.

"Kalau malas nak panaskan, ia boleh disimpan di dalam peti sejuk dan boleh tahan sehingga dua bulan," ujarnya sambil memberitahu nama sambal tahun diberi kerana ia dibuat setahun sekali.

Dalam pada itu, menantu Wak Yah, Siti Hajar Jalil, 30, yang menunjukkan demonstrasi memasak sambal tahun hanya mengetahui mengenai menu itu selepas berkahwin dengan suaminya, Mohd. Salahuddin Imam Ahmad, 30.

Menu kegemaran

Anak keenam daripada tujuh beradik yang berasal dari Kampung Sungai Tengar, Sabak Bernam itu hanya pandai makan sambal tahun sejak berumahtangga dan mempelajarinya daripada ibu mertua dan suami.


ANTARA bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan sambal tahun.


Sudah namanya pun 1Malaysia, pasti masyarakat berbilang kaum di negara ini mempunyai selera yang pelbagai.

Di sebalik kepelbagaian makanan yang ada, mungkin tidak semua orang boleh bertolak ansur terhadap kepedasan sambal tahun.

Penggunaan cili padi yang banyak menyebabkan seseorang yang menikmati menu tersebut menangis menahan kepedasan, kepada sesetengah yang lain terpaksa bersedia kemungkinan perut meragam.

Namun ibu kepada empat cahaya mata, A. Tanggam, 48, kepedasan sambal tahun yang melampau itu bukan penghalang baginya menikmati makanan tersebut.

"Walaupun saya orang India, saya amat menggemari masakan Jawa selain nasi himpit dan rendang," katanya ketika dihubungi.

Segala-galanya bermula tahun lalu apabila rakan sekerja Tanggam, Siti Hajar Jalil, 30, membawa sambal tahun ke pejabat untuk menjamu rakan-rakan sepejabat yang lain.

Tambah Tanggam, hidangan tersebut sudah tersenarai sebagai makanan kegemarannya.

Sungguhpun sebelum ini ada rakan-rakan lain membawa sambal tahun, tetapi rasanya berbeza sekali.

"Sambal tahun yang dibawa Siti Hajar sangat lazat. Cukup rasa dan memang mantap. Pedas bukan masalah besar kerana saya seorang yang suka makan pedas.

"Memandangkan saya hanya akan dapat menikmatinya setahun sekali, saya mahu meminta resipi daripada rakan supaya boleh membuatnya sendiri untuk dihidangkan kepada keluarga," ujar kakitangan Pejabat Daerah Sabak Bernam itu sambil memberitahu, dia akan makan nasi berulang kali jika ada sambal tahun.

Pameran memperingati warisan seni Pablo Picasso

Posted:

Pameran memperingati warisan seni Pablo Picasso

Pameran memperingati warisan seni Pablo Picasso


ANTARA lukisan seni milik Picasso yang dipamerkan di Pusat d'art La Malmaison sehingga 27 Oktober ini.


CUCU Pablo Picasso, Marina Picasso, mendapati dirinya diselubungi dengan kemewahan di Villa La Californie. Hampir empat dekad selepas kematian pelukis tersohor itu, Marina mewarisi beribu-ribu hasil seninya yang kemudian dipamerkan kepada orang ramai.

"Tinggal di dalam rumah ini menyebabkan saya merebut kembali masa yang hilang di tempat yang pernah kami dikecualikan," kata Marina yang mengambil masa bertahun-tahun untuk menerima harta pusaka tanpa rasa kasih sayang itu.

Bagi memperingati ulang tahun kematian Picasso yang ke-40 pada tahun ini, Marina membuka koleksi peribadi beliau yang turut menerokai karya-karya bogel artis hebat berbangsa Sepanyol itu.

Terdapat 120 hasil karya Picasso yang dipaparkan pada pameran Picasso, Kebogelan set bebas. Daripada jumlah itu, 90 buah hasil artis agung itu merupakan koleksi Marina yang tidak pernah dipamerkan kepada orang awam.

Zaman kanak-kanak

Marina yang berusia 20 ketika datuknya meninggal dunia menerima kematian berkenaan tanpa berasa sedih.

"Hasil-hasil ini merupakan sebahagian daripada pewarisan saya. Saya tidak merasakan apa-apa yang istimewa mengenainya," kata wanita ini.

Zaman kanak-kanak, Marina dan abangnya, Pablito, sentiasa dipenuhi rasa kesedihan terutamanya setiap kali membuat kunjungan terhadap datuk mereka yang menghabiskan sebahagian besar hidupnya di Perancis.

"Kunjungan itu sentiasa melibatkan waktu menunggu yang lama sementara 'Tuan Rumah' terjaga daripada tidurnya.

"Isteri kedua Picasso, Jacqueline, sering mengarahkan kami menunggu. Dia menolak sebarang perkara yang mengganggu datuk kami,"ujar Marina.


MARINA kini memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan hasil karya datuknya yang tidak pernah dipamerkan sebelum ini.


Dilahirkan pada tahun 1950, Marina merupakan anak Paulo Picasso iaitu anak lelaki Picasso bersama isteri pertamanya, Olga Khokhlova, yang merupakan seorang penari balet berbangsa Rusia.

Hakikatnya, Marina membesar dalam kemiskinan walaupun lahir dalam keluarga yang mempunyai keturunan mulia. Paulo yang merupakan seorang kaki minum meninggal dunia pada usia 52 tahun.

"Dia tidak memainkan peranan sebagai seorang bapa dan tidak mampu membesarkan anak-anaknya," kata wanita yang berusia 63 tahun itu.

Apabila dewasa, Marina menjalani terapi selama bertahun-tahun bagi melupakan keperitan zaman kanak-kanaknya. Pengalamannya itu telah diluahkan menerusi sebuah autobiografi berjudul Picasso: My Grandfather yang telah diterbitkan pada tahun 2001.

"Pada mulanya, saya tidak sanggup melihat lukisan beliau. Saya mengambil masa yang lama untuk membuat perbezaan di antara pelukis dan datuk," ujarnya.

Kehidupan tragik

Berikutan kematian Picasso pada usia 91 pada bulan April 1973, Pablito menelan bahan peluntur selepas Jacqueline tidak membenarkan untuk melihat dan menerima datuknya buat kali terakhir. Akhirnya, dia meninggal dunia selepas tiga bulan menelan bahan kimia itu.


MARINA bergambar di hadapan Villa La California.


Jika cucu-cucu Picasso mempunyai hubungan yang renggang dengan artis itu, nasib wanita-wanita yang menjadi sumber ilhamnya, yang lukisan-lukisan badan menghiasi vila tersebut, juga penuh tragis.

Marie-Therese Walter telah menggantung dirinya, manakala Jacqueline pula menembak diri sendiri dan Dora Maar mengalami kemurungan.

Lembaran baharu

Rumah Cannes dipulihkan dan dinamakan semula sebagai Pavillon de Flore. Kini ia dipenuhi dengan hasil lukisan, ukiran dan seramik Picasso serta artis-artis lain.

Marina yang mempunyai lima orang cahaya mata kini bergiat aktif menjalankan kerja-kerja amal dengan membiayai projek rumah anak yatim di Vietnam dan tidak lama lagi di Perancis.

"Lebih banyak yang dapat kita bantu semasa mereka kecil, lebih baik kehidupan mereka kelak," katanya.

Pameran Picasso, Kebogelan set bebas berlangsung di Pusat d'art La Malmaison di Cannes sehingga 27 Oktober ini. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Infiniti

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


MyKifayah urus jenazah tanpa tunai

Posted:

MyKifayah urus jenazah tanpa tunai

MyKifayah urus jenazah tanpa tunai

Oleh SUHANA VERU
suhana.veru@kosmo.com.my

SEBAGAI anak tunggal, Muhammad Azlan Nasir Ali, 38, menggalas tanggungjawab besar terhadap kedua-dua ibu bapanya. Dua tahun lalu, bapanya meninggal dunia akibat serangan jantung.

"Ketika itu, saya rasa tertekan kerana tidak tahu bagaimana untuk menguruskan jenazah. Tambahan pula, arwah meninggal dunia di rumah.

"Saya dan ibu tidak tahu di mana untuk membeli kelengkapan dan cara-cara menguruskan jenazah," katanya ketika ditemui di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menurut anak jati Ipoh, Perak itu mujurlah jiran-jiran yang dihubunginya banyak membantu menguruskan jenazah arwah bapanya.

Bertitik tolak daripada episod hitam itu, kakitangan swasta berkenaan mula mencari maklumat mengenai perkhidmatan pengurusan jenazah.

"Saya dapati banyak maklumat mengenai pengurusan jenazah tetapi saya tertarik dengan tawaran syarikat telekomunikasi, Clixster Mobile Sdn. Bhd. (Clixster) melalui pakej MyKifayah.

"Dengan potongan kredit RM2.50 sebulan, apabila meninggal kelak, saya tidak bimbang kerana segala urusan pengurusan jenazah akan diuruskan oleh Clixster," katanya yang sanggup menukar talian telefonnya kepada Cilxster.

MyKifayah merupakan pakej perkhidmatan pengurusan jenazah bersepadu tanpa tunai pertama di dunia. Ia bukan sahaja terbuka kepada umat Islam malah membabitkan semua kaum.

Pengerusi Eksekutif Clixster, Datuk Megat Radzman Megat Khairuddin berkata, orang ramai yang berminat dengan perkhidmatan itu hanya perlu membeli kad SIM berharga RM8.90.


MENGURUSKAN jenazah adalah satu perkara yang tidak boleh dielakkan, malah ia merupakan fardu kifayah kepada umat Islam. - Gambar hiasan


"Selepas itu, langgan perkhidmatan MyKifayah dengan menaip ON MYK dan hantar ke nombor 7766. Pengguna akan mendapat mesej Saya dengan ini bersetuju menyertai program MyKifayah yang ditawarkan mengikut terma dan syarat. Taip YA dan hantar ke 7766," katanya selepas melancarkan pakej MyKifayah di ibu negara baru-baru ini.

Jelasnya, jika berjaya melanggan perkhidmatan itu, pengguna perlu menaip MYK WARIS

"Buat langganan pertama, kredit akan ditolak sebanyak RM3.50 tetapi pada setiap bulan, hanya RM2.50 akan dipotong," jelasnya lagi.

Clixster merupakan jenama talian telefon mudah alih 3G dan 4G terbaharu di Malaysia yang berada di pasaran sejak Julai 2012.

Kembangkan operasi

Syarikat telekomunikasi itu turut menjalin kerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) manakala bagi pakej MyKifayah, ia mendapat sokongan daripada Islamic Risk Holdings Sdn. Bhd.

Menurut Megat Radzman lagi, sejak diperkenalkan, seramai 20,000 pelanggan berminat untuk menyertai pakej tersebut.

Ekoran sambutan yang menggalakkan, pihaknya bakal menggembangkan operasi ke luar negara seperti United Kingdom pada hujung tahun ini dan Indonesia pada suku kedua tahun depan.

Menurut Pengasas MyKifayah, Mohd. Yusni Ismail, pihaknya turut menawarkan perkhidmatan pengangkutan jenazah dari hospital, surau, rumah dan tanah perkuburan.

Jasri (kanan) mengusahakan perniagaan pengurusan jenazah.


"Kami mempunyai van jenazah yang beroperasi 24 jam sehari untuk menghantar jenazah, namun ia hanya untuk Semenanjung Malaysia," katanya.

Lain-lain perkhidmatan termasuk memandi dan mengkafankan jenayah yang diurus oleh golongan profesional, namun ahli keluarga digalakkan untuk memandikan serta mengkafankan waris mereka.

Turut disediakan perkhidmatan imam bagi menunaikan solat jenazah dan pembayaran lot tanah perkuburan termasuk upah menggali kubur.

"Pihak pengurusan juga membantu pihak waris untuk mendapatkan sijil kematian daripada Jabatan Pendaftaran Negara selain bacaan talkin dan bacaan 30 juzuk al-Quran ke atas nama si mati.

"Khidmat pengurusan jenazah ini berlandaskan syariah Islam dan dilakukan lebih 3,000 ahli masjid yang bertauliah di seluruh negara," katanya.

Bagi bukan Islam, pihaknya tidak melakukan pengurusan kematian namun diganti dengan bayaran saguhati.

Mohd. Yusni berkata, pihaknya juga turut menawarkan perkhidmatan mengeksport jenazah melalui kargo udara ke Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun, pengguna perlu membuat pembayaran tambahan untuk menampung tambang kargo.

Malah, MyKifayah juga menyediakan pembinaan batu nisan mengikut hukum syarak.

Sistematik

"Kami juga menjalankan ibadah badal bagi jenazah yang belum sempat melaksanakan rukun haji. Namun demikian, waris yang berminat akan dikenakan bayaran tambahan," ujarnya.

Urusan ibadah badal itu dilaksanakan oleh ejen yang dilantik pihak Tabung Haji.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, layari laman web MyKifayah di www.clixster.net/mykifayah.

Sementara itu, Pengurus Besar Dunia Kifayah, Jasri Jamil, berkata, pihaknya membangunkan kit lengkap pengurusan jenazah untuk memudahkan umat Islam menguruskan jenazah dengan sistematik.

"Kit ini mengandungi kira-kira 22 peralatan yang mengandungi bahan asas seperti kain kapan, kain kemban, tudung, baju, sarung bantal, tali, kapas, air mawar, akar sintok, putik kapas dan kapur barus.

"Selain itu, terdapat juga minyak atar, sabun, serbuk cendana, apron plastik, plastik sampah, sarung tangan getah dan topeng muka," katanya ia dijual antara RM150 hingga RM170.

Tambahnya, dengan adanya kit tersebut, ia membantu sesiapa sahaja untuk menguruskan jenazah di mana saja mereka berada.

Syarikat Dunia Kifayah ditubuhkan pada September 2009. Syarikat berkenaan membangunkan produk kit jenazah yang mengandungi kesemua bahan dan peralatan untuk menguruskan jenazah. Sehubungan itu, bagi yang berminat untuk membeli kit berkenaan boleh menghubungi Jasri di 013-720 4050

Kamera kompak langsing

Posted:

Kamera kompak langsing

Kamera kompak langsing


KAMERA NX2000 mampu menghasilkan gambar setanding rakaman yang dilakukan jurugambar profesional.


SAMSUNG memperkenalkan kamera terbaharunya, NX2000, yang dilengkapi dengan teknologi kamera pintar terkini.

Model yang direka langsing itu turut memiliki penderia 20.3MP APS-C CMOS binaan dalam yang mampu menghasilkan imej terang serta lebih jelas pada tahap tinggi.

Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai kebolehan merakam lapan rangka sesaat (fps) sekali gus memastikan pengguna tidak terlepas saat-saat penting.

Selain itu, kamera kompak itu turut dimuatkan dengan kebolehan merakam video serta imej tiga dimensi (3D) yang perlu digandingkan bersama lensa Samsung 45 milimeter (mm).

Ciri Mod SMART pula menyediakan 14 mod rakaman yang memudahkan pengguna merakamkan gambar-gambar menarik.

Kamera terbaharu itu kini boleh didapati di semua pengedar sah Samsung di seluruh negara.

Fungsi pintar televisyen android

Posted:

Fungsi pintar televisyen android

Fungsi pintar televisyen android

Oleh KHAIRUL ANUAR ABDUL RAHMAN


TELEVISYEN generasi kini sudah boleh digunakan untuk melayari internet.


PERKEMBANGAN internet pada hari ini membolehkan jalinan komunikasi dilakukan dengan lebih berkesan. Jika dahulu, internet hanya digunakan menerusi komputer, hari ini ia boleh disambungkan dengan mana-mana gajet.

Antaranya adalah tablet, telefon pintar, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), televisyen dan terbaharu, televisyen pintar.

Televisyen pintar mempunyai capaian internet dan dilengkapi pelbagai aplikasi termasuk hiburan, berita dan pendidikan.

Lazimnya, ia mempunyai perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar WiFi atau sekurang-kurangnya Local Area Network (LAN) untuk disambungkan kepada internet.

Bagaimanapun, terdapat sesetengah model yang menawarkan ciri tambahan seperti kamera web yang membolehkan pengguna membuat panggilan video menerusi aplikasi seperti Skype.

Aplikasi pada televisyen pintar juga membolehkan pengguna menonton siaran tambahan menerusi teknologi streaming yang mungkin tidak terdapat pada siaran televisyen percuma.

Antara siaran yang boleh ditonton secara streaming ialah program berita agensi berita antarabangsa, dokumentari dan drama bersiri.


PENGGUNAAN internet dan gajet pintar membolehkan bahan dicapai pada apa sahaja peralatan.


Walau bagaimanapun, bagi yang mempunyai bajet yang terhad, kini terdapat alternatif gajet yang mempunyai ciri-ciri televisyen pintar.

Ia merupakan televisyen android atau lebih dikenali sebagai kotak televisyen android. Produk itu dilihat menjadi pilihan buat pengguna yang mempunyai TV tanpa ciri pintar.

Ia hanya perlu disambungkan kepada kotak televisyen android menggunakan sambungan Antaramuka Multimedia Definisi Tinggi (HDMI) manakala akses internetnya sama ada melalui sambungan WiFi atau kabel LAN.

Satu lagi ciri tambahan ialah ia menyokong modem USB 3G yang membolehkan akses internet secara terus tanpa memerlukan WiFi atau sambungan rangkaian kawasan setempat.

Jenama android

Geniatech merupakan salah satu jenama kotak televisyen android yang mendapat perhatian pengguna di seluruh dunia pada masa kini.


JIKA tidak berpuas hati dengan melayari internet pada skrin telefon pintar yang kecil, kini terdapat pilihan untuk mendapatkan skrin yang lebih lebar.


Ia dilengkapi dengan unit pemproses termaju ARM Cortex A9 dengan kombinasi unit pemproses grafik Open GL 3D dan digandingkan dengan RAM DDR3 berkapisiti 1GB (gigabit) sekali gus menjanjikan tontonan yang lancar.

Malah, ia juga dilengkapi dengan unit kawalan jauh QWERTY. Set Android TV ini dilengkapi dengan capaian WiFi dan juga RJ45 untuk sambungan ke modem internet.

Selain itu, ia juga menyokong cakera keras mudah alih atau thumbdrive disambungkan pada sambungan USB bagi memainkan fail media seperti video dan muzik. Lebih menarik, ia turut mempunyai slot untuk cakera keras SATA yang boleh dipasangkan secara terus.

Ciri-ciri lain ialah sokongan Adobe Flash, HTML5, aplikasi Digital Living Network Alliance (DLNA) serta perkongsian fail melalui aplikasi.

Ia khusus bagi membolehkan perkongsian fail media dengan telefon pintar, komputer tablet dan gajet yang bersambung pada rangkaian kawasan setempat.

Berharga dalam lingkungan antara RM200 hingga RM400 bagi satu set, televisyen android merupakan alternatif terbaik bagi mereka yang inginkan fungsi pintar pada televisyen dengan pelaburan minimum.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


3,000 hadiri Rumah Terbuka Pekap

Posted:

3,000 hadiri Rumah Terbuka Pekap

3,000 hadiri Rumah Terbuka Pekap


SULAIMAN (kanan) bersama Ahmad (dua dari kanan) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Pekap di Kuala Lumpur baru-baru ini.


MERIAH. Kira-kira 3,000 orang pengunjung hadir ke majlis Rumah Terbuka Hari Raya Persatuan Kebajikan Anak-anak Pahang di Ibu Kota (Pekap) yang diadakan di pekarangan Istana Budaya, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Setiausaha Agung Pekap, Kamarul Bahrin Abdul Hamid berkata, majlis yang diadakan setiap tahun itu bertujuan menghimpunkan anak kelahiran Pahang yang berada di ibu negara.

Pada majlis itu, tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah tradisional Pahang mengikut daerah termasuk ikan patin masak asam dari daerah Temerloh, opor daging (Lipis) dan puding raja (Pekan).

Turut Hadir pada majlis itu, Yang Dipertua Pekap, Datuk Sulaiman Ibrahim dan timbalannya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zainuddin.

10,000 hadiri program cinta Rasul di Dataran MBI, Ipoh

Posted:

10,000 hadiri program cinta Rasul di Dataran MBI, Ipoh

10,000 hadiri program cinta Rasul di Dataran MBI, Ipoh


SEBAHAGIAN orang ramai yang menyertai program Malam Cinta Rasul bersama tokoh qasidah terkenal Indonesia, Habib Syech As Seggaf di Ipoh, Perak baru-baru ini.


BERQASIDAH. Lebih 10,000 penduduk sekitar bandar raya Ipoh menghadiri program Malam Cinta Rasul di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Ipoh, Perak baru-baru ini.

Program anjuran Yayasan Pembangunan Islam Darul Ridzuan (Kadir) yang menampilkan tokoh qasidah terkenal dari Indonesia, Habib Syech Aas Seggaf itu turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Pada majlis yang bermula pada pukul 9 malam itu, Habib Syech telah mengalunkan 30 nyanyian qasidah dan selawat ke atas Nabi Muhammad.

Antara qasidah dan selawat yang dilagukan adalah Ya Hanana, Busyra Lana, Ya Rasulullah Ya Nabi, Solatullah Salamullah, Subhanallah, Solatun Bis Salamil Mubin dan Ya Rabbi Bil Mustafha.

Puteri UMNO sokong tayangan filem Tanda Putera

Posted:

Puteri UMNO sokong tayangan filem Tanda Putera

Puteri UMNO sokong tayangan filem Tanda Putera


EFFARIDUN (tengah) bersama ahli Puteri UMNO bergambar sebelum menonton filem Tanda Putera di Kota Kinabalu baru-baru ini.


JOM PANGGUNG. Lebih 100 ahli Puteri UMNO termasuk keluarga mereka menyertai Program Ke Panggung bagi menyokong filem Tanda Putera baru-baru ini.

Program yang julung-julung kali diadakan itu merupakan anjuran bersama Puteri UMNO Tuaran bersama UMNO cawangan Pekan Berungis di pawagan Golden Screen Cinema, kompleks beli-belah 1 Borneo, Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut Ketua Puteri UMNO Tuaran, Effaridun Ismail, pengisahan yang dipapar dalam filem tersebut mampu memberikan kefahaman mengenai kebijaksanaan pemimpin negara terdahulu dalam memastikan keamanan negara sentiasa terjamin.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


RON 92 mungkin kembali dijual

Posted:

RON 92 mungkin kembali dijual

RON 92 mungkin kembali dijual

Oleh IKHWAN HAZWAN HAMIDUN
ikhwan.hamidun@kosmo.com.my

KERAJAAN mungkin memperkenal kembali petrol RON92 bagi mengurangkan beban kewangan rakyat. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan memperkenalkan kembali minyak petrol RON92 bagi menawarkan alternatif sumber bahan api yang jauh lebih murah kepada para pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek (gambar), bagaimanapun berkata, cadangan tersebut masih di peringkat awal dan pengumuman selanjutnya akan dilakukan selepas menerima maklum balas daripada pelbagai pihak.

"Kita akan mengambil kira pendapat daripada semua pihak terutamanya rakyat sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

"Oleh itu, orang ramai boleh menyuarakan pendapat dan cadangan mereka kepada kerajaan bagi membantu menghadapi kenaikan harga petrol RON95 dan diesel," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Penilai Harta Intelek kepada tujuh penerima di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Penjimatan RM3.3 bilion kembali kepada rakyat

Posted:

Penjimatan RM3.3 bilion kembali kepada rakyat

Penjimatan RM3.3 bilion kembali kepada rakyat

PETALING JAYA – Penjimatan RM3.3 bilion menerusi pengurangan subsidi bahan api akan digunakan semula untuk kepentingan rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan projek-projek infrastruktur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, ia merupakan pendekatan menyeluruh dalam mengurus defisit fiskal dan agihan subsidi kepada kumpulan sasar.

"Daripada memberi subsidi kepada mereka yang tidak memerlukan serta warga asing, kami memberikannya terus kepada mereka yang berhak ke atas subsidi itu," katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Bapa tetap enggan kebumi anak

Posted:

Bapa tetap enggan kebumi anak

Bapa tetap enggan kebumi anak


MOHD. DAMANHURI bersama isterinya, Zaiton Hassan semasa hadir di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak semalam.


IPOH – Mayat pemuda yang mati tersepit di celah palang besi tingkap dapur sebuah rumah di Taman Saz di sini 20 Julai lalu tidak akan dikebumikan dan dijangka terus berada di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

Semalam, bapa kepada Allahyarham Sherul Aizam (gambar kecil), Mohd. Damanhuri Mohd. Fuat, 50, kekal dengan pendiriannya untuk tidak mengebumikan jenazah anaknya selagi bedah siasat kedua tidak dilakukan.

Katanya, dia sedar tindakannya itu kurang disenangi banyak pihak termasuk Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan masyarakat yang mahu jenazah Sherul Aizam segera dikebumikan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Bale sah milik Real

Posted:

Bale sah milik Real

Bale sah milik Real

BALE (kiri) dan Perez memegang jersi No. 11 yang akan dipakai pemain itu pada majlis pengenalan di Stadium Santiago Bernabeu semalam.


MADRID - Pemain sayap Wales, Gareth Bale diperkenalkan secara rasminya sebagai pemain baharu Real Madrid di Stadium Santiago Bernabeu semalam.

Bale, 24, bersetuju untuk menandatangani kontrak selama enam tahun dengan skuad The Galaticos yang dipercayai berjumlah £93.6 juta (RM478.72 juta).

Real mendakwa bahawa mereka tidak memecahkan rekod perpindahan dunia yang sebelum ini menjadi milik Cristiano Ronaldo yang dibeli dengan harga £80 juta (RM409.16 juta) daripada Manchester United pada 2009.

Meskipun Real mendakwa mereka hanya membayar £77 juta (RM393 juta), Spurs mendedahkan nilai yuran perpindahan tersebut melebihi rekod, £84 juta (RM429 juta).

Real berharap kedua-dua pemain termahal di dunia itu dapat menyesuaikan diri dengan cepat bagi membentuk jentera serangan yang mantap bagi menghadapi saingan Liga Sepanyol musim ini.

Bekas pemain Southampton itu menjalani ujian kesihatan di Madrid semalam sebelum diperkenalkan kepada para penyokong Real yang membanjiri Stadium Santiago Bernabeu oleh Presiden Real, Florentino Perez.

"Saya berharap untuk membantu kelab ini mencapai kejayaan dan memenangi Piala Eropah buat kali ke-10," kata Bale.

Real memperkenalkan Bale yang memegang jersi No. 11 dengan Perez berlatarbelakangkan Stadium Santiago Bernabeu yang kosong.

"Saya rasa hebat kerana dapat berdiri di sini. Ia merupakan impian saya untuk beraksi dengan Madrid. Terima kasih untuk majlis pengenalan yang hebat ini," katanya.

Bale menggamatkan suasana apabila menyebut perkataan Sepanyol pertama Hala Madrid! di hadapan para peminat Real.

"Kami memiliki seorang pemain bola sepak yang hebat dan pemain terbaik Liga Perdana England musim lalu. Impian seorang budak lelaki dari Wales telah menjadi kenyataan.

"Bale seorang pemain muda yang gemar bermain bola sepak. Kini, dia telah memenuhi salah satu impiannya dengan menjadi pemain Real," kata Perez.

Teliti latar belakang 'baju hitam'

Posted:

Teliti latar belakang 'baju hitam'

Teliti latar belakang 'baju hitam'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


PEMAIN Negeri Sembilan menyerbu Muhammad Nazmi (kanan) selepas tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil itu ketika aksi Liga Super menentang Selangor PKNS di Stadium Shah Alam pada 19 Februari lalu. - Gambar hiasan


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) digesa supaya meneliti terlebih dahulu latar belakang mana-mana pengadil sebelum dilantik mengadili sesuatu perlawanan.

Seorang pemerhati bola sepak yang enggan namanya didedahkan berkata, sebarang sentimen peribadi dikhuatiri akan menjejaskan pertimbangan mana-mana pegawai perlawanan ketika mengadili sesuatu perlawanan.

Menurut beliau, tempoh rehat lebih dua minggu sebelum kempen Piala Malaysia kembali bersambung pada 17 September ini, wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh FAM bagi menilai semula kemampuan mana-mana pengadil.

"Saya memuji keprihatinan FAM yang akan mengambil tindakan serta-merta terhadap mana-mana pengadil sebelum saingan Piala Malaysia berakhir.

"Cuma pendapat saya, latar belakang mana-mana pegawai perlawanan yang dilantik perlu diambil kira bagi mengelak sebarang perkara berbangkit di kemudian hari," katanya kepada Kosmo! semalam.

Semalam, Kosmo! melaporkan jaminan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Astaman Aziz yang akan mengambil tindakan segera terhadap mana-mana pengadil yang gagal mengadili perlawanan dengan baik sebelum kempen Piala Malaysia berakhir.

Ia rentetan kontroversi jaringan penyerang import Perak, Paulo Rangel yang tidak disahkan pengadil perlawanan, Nafeez Wahab ketika skuad Kejor Yob Kejor itu tewas 1-2 kepada Lions XII dalam aksi Kumpulan D kempen Piala Malaysia di Stadium Jalan Besar, Sabtu lalu.

Insiden itu dipercayai berlaku selepas penjaga garisan, Hanif Rahman dikatakan tidak menyedari bola telah melepasi garisan gol sebelum ia dikeluarkan penjaga gol Lions XII, Izwan Mahbud.

Difahamkan, ia bukan kesilapan pertama Hanif yang didakwa turut terlibat dengan kontroversi ketika pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh pada 25 Jun lalu.

Disebabkan itu, Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) akan mengemukakan bantahan rasmi kepada FAM dalam masa terdekat.

Pemerhati berkenaan turut mengulas mengenai tindakan segelintir penyokong yang tidak bertanggungjawab membuat kekacauan di stadium gara-gara tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil perlawanan.

Beliau mendakwa, masih ramai dalam kalangan penonton yang 'terlepas masuk' ke dalam stadium biarpun membawa barangan larangan seperti mercun, vuvezela, suar dan sebagainya.

"Apa yang saya perhatikan, pemeriksaan terhadap penonton hanya dilakukan pihak berkuasa di dalam stadium selepas pintu masuk setelah tiket telah diperiksa.

"Apabila penyokong mengamuk gara-gara keputusan pengadil, habis semua barang dicampakkan ke padang sehingga menjejaskan keselamatan.

"Jadi, saya harap isu keselamatan ini tidak dipinggirkan sebegitu sahaja biarpun sedikit sebanyak ia berpunca daripada keputusan pengadil yang boleh dipertikai," jelas beliau.

Fokus tidak berubah

Posted:

Fokus tidak berubah

Fokus tidak berubah

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
dan NOR AZIRAN YUNUS
sukan@kosmo.com.my


RAJAGOBAL (kanan) memberi arahan kepada anak-anak buahnya pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


DATUK K. Rajagobal tetap fokus membimbing Harimau Malaya memburu slot Piala Asia 2015 meskipun menyedari beliau harus berundur 'secara terhormat' pada penghujung tahun ini.

Ini kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilapor sedang sibuk mengintai calon-calon sesuai untuk menggantikan Rajagobal yang dilantik sebagai jurulatih Harimau Malaya sejak 2009.

Biarpun menyedari beliau dijangka tidak dapat mempertahankan statusnya sebagai jurulatih Harimau Malaya sebaik kontraknya berakhir pada Disember depan, Rajagobal enggan memikirkan situasi tersebut.

Sebaliknya, pengendali berusia 57 tahun itu lebih minat untuk memberikan tumpuan kepada skuad bimbingannya bagi mengharungi baki kempen kelayakan Piala Asia, bermula aksi menentang Bahrain pada 15 Oktober depan.

"Saya sudah beritahu sejak awal-awal lagi, fokus saya adalah untuk pasukan negara.

"Saya tidak lari daripada fokus itu dan sebelum ini, macam-macam (perkara) dah berlaku . Saya tidak mahu cerita lagi mengenai perkara ini.

"Saya hanya mahu bercerita mengenai impian pemain-pemain yang sedang mencuba untuk layak ke Piala Asia 2015.

"Itulah sasaran dan usaha kami untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi," kata Rajagobal kepada pemberita ketika sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan kedudukan Rajagobal semakin tergugat selepas beliau gagal mengemudi Harimau Malaya menampilkan aksi terpuji dalam aksi kelayakan Piala Asia mahupun persahabatan.

Selepas 'diserang' pelbagai pihak ekoran prestasi hambar Harimau Malaya, FAM mengesahkan bahawa kontrak Rajagobal yang akan tamat penghujung tahun ini tidak akan disambung.

Dalam perkembangan lain, Rajagobal mengesahkan Harimau Malaya

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Masa depan bisnes dalam talian

Posted:

Masa depan bisnes dalam talian

Masa depan bisnes dalam talian

PENGURUS Google Malaysia, Sajith Sivanandan ketika ditemui media pada sidang akhbar di pejabat Google Malaysia, KL Sentral.


PENGGUNAAN telefon pintar yang semakin tinggi di negara ini membuka peluang perniagaan yang luas kepada syarikat tempatan. Ia berdasarkan kajian terbaharu Google Malaysia bersama IPSOS MediaCT menunjukkan kadar penembusan telefon pintar di Malaysia meningkat hampir 300 peratus sejak tahun 2011.

Kajian itu mendedahkan, seorang daripada tiga rakyat Malaysia kini memiliki telefon pintar berbanding seorang daripada 10 orang dalam masa dua tahun lalu. Peratus pengguna telefon pintar dalam negara juga lebih tinggi berbanding Amerika Syarikat dan England.

Industri pengiklanan

Walaupun telefon pintar semakin penting dalam kehidupan rakyat Malaysia, majoriti pengiklan besar tempatan masih belum mempunyai laman web khas untuk gajet berkenaan.

"Pengguna di Malaysia menerima baik penggunaan telefon pintar, tetapi kebanyakan syarikat di Malaysia masih belum meneroka bidang tersebut.

"Mereka perlu memahami suasana baharu industri pengiklanan. Mempunyai laman web biasa sahaja tidak mencukupi kerana peratusan pengguna mencari maklumat melalui laman web versi mudah alih lebih ramai pada hari ini," ujar Pengurus Negara Google Malaysia, Sajith Sivanandan pada satu sidang media mengenai kajian penggunaan telefon pintar di 48 buah negara seluruh dunia baru-baru ini.


MAKLUMAT berkenaan produk menjadi antara pencarian tertinggi dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi telefon pintar. - Gambar hiasan


Selain itu, data tersebut menunjukkan sebanyak 94 peratus pemilik telefon pintar mencari informasi tempatan manakala sembilan daripada 10 pengguna mengambil tindakan lanjut dengan menghubungi perniagaan berkenaan, melayarinya secara peribadi, membeli atau menempah sesuatu secara dalam talian.

Kekerapannya juga tinggi iaitu dua daripada lima rakyat Malaysia mencari maklumat-maklumat tempatan setiap hari.

Selain itu, sebanyak sembilan daripada 10 pemilik telefon pintar di Malaysia didapati mengkaji produk atau perkhidmatan melalui peranti mereka. Tiga daripada lima orang pula memulakan carian pada telefon pintar dan melengkapkan pembelian di komputer peribadi manakala seorang dalam dua orang membuat pembelian mereka di luar talian.

Pencarian maklumat mengenai produk antara carian tertinggi penduduk Malaysia iaitu sebanyak 69 peratus. Carian popular lain termasuk perjalanan (57 peratus), restoran dan bar (53 peratus) serta tawaran kerja (49 peratus). - HAFIZ AHMAD

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved