Ahad, 4 Disember 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Biodiesel sawit melestari bumi

Posted:

Biodiesel sawit melestari bumi

Biodiesel sawit melestari bumi

PERUBAHAN iklim dan pemanasan global yang melanda dunia mencetuskan kebimbangan banyak pihak tentang bahaya fenomena itu baik kepada bumi dan kehidupannya. Peningkatan paras air laut, gelombang haba, banjir, taufan, glasier yang cepat mencair, gempa bumi dan gangguan sistem ekologi antara simptom bahawa bumi dalam bahaya.

Di peringkat nasional, menyedari langkah drastik perlu diambil, kerajaan telah mengumumkan komitmen pengurangan secara sukarela pelepasan intensiti gas rumah hijau (GHG) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 40 peratus menjelang tahun 2020 berdasarkan kadar pelepasan GHG pada tahun 2005.

Komitmen tersebut telah dilakukan sempena Persidangan mengenai Perubahan Iklim anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Copenhagen, Denmark pada tahun 2009.

Salah satu inisiatif yang giat dilaksanakan untuk mencapai pengurangan gas rumah hijau adalah dengan memperkenalkan program B5 dalam penggunaan minyak sawit sebagai bahan bakar alternatif bagi mengurangkan dan seterusnya menggantikan diesel petroleum.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah diberi tanggungjawab menjalankan kajian merealisasikan impian penggunaan B5 dalam menyumbang kepada persekitaran lebih bersih untuk generasi akan datang.

B5 merupakan adunan lima peratus biodiesel sawit (metil ester sawit) dan 95 peratus lagi adalah diesel petroleum.

Lebih bersih

"Penggunaan adunan biodiesel yang dihasilkan daripada minyak sawit ini adalah daripada sumber boleh diperbaharui dan menyumbang kepada pengurangan lebih 50 peratus pelepasan GHG ke udara berbanding bahan api diesel petroleum.

"Dengan pengurangan pelepasan gas rumah hijau ini, ia sekali gus dapat mengurangkan impak terhadap persekitaran dan menjadikannya lebih bersih," kata Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Choo Yuen May ketika ditemui Kosmo! baru-baru.

Ia amat bertepatan dengan visi Dasar BioBahan Api Negara menggalakkan penggunaan sumber tenaga alternatif yang mesra alam, mampan dan berdaya maju bagi mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil yang semakin menyusut.

Beliau menambah, industri sangat komited terhadap usaha mengurangkan gas rumah hijau dan ia akan mempertingkatkan lagi imej minyak sawit sebagai produk mesra alam di mata dunia.

Katanya lagi, pengenalan program B5 adalah inisiatif kerajaan ke arah penggunaan teknologi hijau bagi mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau (GHG).

"Sebenarnya, kajian penghasilan dan penggunaan biodiesel daripada minyak sawit bagi kenderaan diesel telah dilakukan sejak tahun 1980-an lagi yang membawa kepada pengkomersialan teknologi pengeluaran biodiesel.

"Bahkan, pada tahun 1990 sehingga 1994 kajian bersama syarikat permotoran gergasi Jerman, Mercedes Benz membuktikan penggunaan biodiesel sawit sesuai digunakan untuk enjin diesel," katanya.


DARI kiri: Penolong Pegawai Penyelidik MPOB, Nor Najwa Mustapa Kamal, 26, dan Pembantu Penyelidik institusi tersebut, Nur Syahwela Md. Ahee, 24, menunjukkan perbezaan antara diesel petroleum dan ester metil sawit.


Sebagai langkah percubaan, program B5 telah diperkenalkan di peringkat agensi kerajaan sejak tahun 2009 yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Dalam projek perintis tersebut, lebih 3,900 kenderaan diesel dijana menggunakan bahan api B5 dan tidak berdepan sebarang masalah enjin.

"Biodiesel mengandungi cetane number yang boleh meningkatkan prestasi enjin dan mengeluarkan asap lebih bersih," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal DBKL, Peter Ong Hai Lim berkata, boleh dikatakan hampir keseluruhan kenderaan diesel dimiliki DBKL telah beralih menggunakan bahan api baharu itu sejak bulan Februari 2009 atas permintaan MPOB.

"Sehingga kini, terdapat kira-kira 900 kenderaan seperti lori, jentera, pacuan empat roda dan banyak lagi menggunakan bahan api biodiesel B5.

"Pada tahun 2010, kita mengadakan kaji selidik mengenai penggunaan bahan api biodiesel B5 dan mendapati ia tidak mendatangkan masalah kepada enjin kenderaan. Rata-rata pengguna berpuas hati dengan prestasi bahan api berkenaan," katanya.

Pemandu kenderaan ringan DBKL, Gunasekaran Kattagan, 47, pula memberitahu, perbezaan ketara dapat dirasai ketika memandu menggunakan bahan api baharu biodiesel B5 dari aspek pengurangan asap daripada kenderaan.

"Sebelum ini, asap yang dikeluarkan kenderaan lebih tebal tetapi apabila penggunaan biodiesel B5 diguna pakai pengeluaran asap kelihatan berkurangan menunjukkan ia lebih mesra alam.

"Saya juga tidak berdepan dengan sebarang masalah kerosakan enjin apabila menggunakan bahan api B5 ini malah kenderaan yang dipandu lebih lancar. Secara peribadi saya berpuas hati dengan bahan api baharu tersebut kerana mendatangkan kebaikan kepada alam sekitar," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Mohd. Ali Mohd. Salleh, 43, yang merupakan pemandu jentera berat DBKL menambah, dia dapat merasai kuasa enjin lebih pikap berbanding menggunakan diesel terdahulu.

"Bagaimanapun, ketika memandu kenderaan berat, saya perlu memastikan kelajuan berada pada tahap 80 kilometer sejam untuk merasai pikap enjin berkenaan.

"Dengan pembakaran bahan api yang lebih lancar dan baik ia tentu dapat menjimatkan penggunaan diesel sekali gus mengurangkan kos operasi," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Penggunaan adunan biodiesel dalam sektor pengangkutan dapat mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau (GHG) yang merupakan antara punca perubahan iklim dunia hari ini.

Timbalan Pengarah Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Ahmad Ainuddin Nuruddin berkata, pembakaran bahan api biodiesel lebih efisien berbanding diesel petroleum.

"Dengan pembakaran enjin lebih lancar dan efisien ia tentu sekali dapat membantu mengurangkan GHG di udara berbanding kenderaan yang tidak mempunyai pembakaran efisien.

"Apabila terdapat banyak GHG di udara matahari akan menyerapnya dan mengeluarkan tenaga sekali gus meningkatkan pemanasan," jelasnya.

Ahmad Ainuddin menambah kepentingan pengurangan GHG ini dapat memberi impak kepada pemanasan global dan perubahan iklim.


PEGAWAI Penyelidik Kanan MPOB, Dr. Harrison Lau Lik Nang menunjukkan loji pemprosesan biodiesel MPOB.


Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Pembangunan Teknologi dan Alam Sekitar (Cetdem), Anthony Tan Kee Huat berkata, jumlah gas rumah hijau yang dihasilkan oleh manusia telah menyebabkan pemanasan global. Ia telah meningkat dari 0.7 kepada 1 darjah Celsius sejak tahun 1800.

"Permulaan Revolusi Perindustrian yang berlaku sekitar tahun 1800 adalah pemangkin kepada peningkatan pembakaran bahan api fosil apabila merupakan kedatangan enjin pembakaran dalam. Ia telah menghasilkan 65 peratus jumlah GHG buatan manusia.

"Dalam pada itu, pemanasan global telah menyumbang kepada perubahan iklim dan kita dapat melihat kesan-kesannya apabila berlaku perubahan cuaca melampau kebelakangan ini di seluruh dunia," jelasnya mengenai kesan GHG.

Beliau memberi Thailand sebagai contoh, ribuan kehidupan penduduk terjejas akibat banjir dan kerosakan disebabkan air banjir malah banyak kilang-kilang terpaksa berpindah dari negara berkenaan.

Katanya, ini menunjukkan pemanasan global dan perubahan iklim boleh mengganggu eko sistem dan kehidupan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


10 warga emas dapat kerusi roda

Posted:

10 warga emas dapat kerusi roda

10 warga emas dapat kerusi roda

SHARIFAH SALMAH (berdiri lima dari kiri) dan ahli jawatankuasa UMNO bergambar bersama penerima bantuan di Taman Greenwood, Gombak baru-baru ini.


BANTUAN. Seramai 10 orang warga emas dari Taman Greenwood, Gombak menerima sumbangan kerusi roda pada satu majlis yang diadakan di taman itu baru-baru ini.

Majlis anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Parlimen Gombak itu bertujuan membantu warga emas yang kurang berkemampuan termasuk golongan Orang Kelainan Upaya.

Bantuan tersebut disampaikan oleh Ketua Wanita UMNO Bahagian Gombak, Datin Sharifah Salmah Syed Agil.

Menurut Sharifah Salmah, MPWK sentiasa mengambil berat dan membantu golongan warga emas dan ibu tunggal yang kurang berkemampuan melalui pelbagai jenis bantuan.

Turut hadir Ketua Wanita Cawangan Taman Greenwood, Shariffah Sharidah Syed Yusoff Abas dan ahli jawatankuasa UMNO Taman Greenwood.

Full content generated by Get Full RSS.

Majlis Ihtifal Tadika Annur

Posted:

Majlis Ihtifal Tadika Annur

Majlis Ihtifal Tadika Annur


SEBAHAGIAN murid-murid yang mengambil bahagian pada acara pakaian beragam pada majlis Ihtifal dan Sukan Tadika Annur 2011 di Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves baru-baru ini.


MERIAH. Seramai 56 murid menerima sijil tamat pengajian masing-masing pada majlis Ihtifal dan Sukan Tadika Annur 2011 di Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Majlis disempurnakan oleh Nazir Masjid Annur merangkap penasihat tadika berkenaan, Wan Jabarudin Wan Hassan.

Pengerusi majlis, Siti Noor Khairunnisa Samsul Anuar memberitahu, pada majlis itu, murid-murid yang berumur enam tahun menerima sijil masing-masing daripada Wan Jabarudin.

Katanya, selain penyampaian sijil, majlis turut dimeriahkan dengan acara sukaneka dan cabutan bertuah.

Full content generated by Get Full RSS.

Suri rumah juara pertandingan memasak nasi kerabu

Posted:

Suri rumah juara pertandingan memasak nasi kerabu

Suri rumah juara pertandingan memasak nasi kerabu


MASHITAH (tengah) menyampaikan hadiah kepada Rahmah sambil diperhatikan Rogayah (dua dari kanan) dan Halijah (kanan) pada pertandingan membuat nasi kerabu di Baling baru-baru ini.


BERJAYA. Seorang suri rumah, Rahmah Abdullah dari Kampung Kuala Kijang, Kedah memenangi pertandingan memasak nasi kerabu setelah mengalahkan 20 peserta lain di Baling, Kedah baru-baru ini.

Tempat kedua dimenangi oleh Rogayah Ismail dari Kampung Mengkuang dan ketiga, Halijah Md. Aroff dari Kampung Lubuk Batu.

Urus setia pertandingan, Che Siah Che Hamid berkata, pertandingan itu dianjurkan oleh UMNO Cawangan Kampung Ambing dengan kerjasama Badan Jalinan Rakyat Daerah Baling.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Terkulai selepas mengamuk

Posted:

Terkulai selepas mengamuk

Terkulai selepas mengamuk

Oleh NOR SHAFAWATI YUP
shafawati.yup@kosmo.com.my

SUSPEK ditembak mati selepas mengamuk dan menyerang polis di dalam Wad 18 HKL kelmarin.


KUALA LUMPUR - Suasana tenang di Wad 18 Hospital Kuala Lumpur (HKL) kelmarin bertukar cemas apabila seorang lelaki Nigeria berbadan sasa yang ditahan selepas dipercayai menelan 46 ketulan syabu mengamuk dan menyerang anggota polis sebelum suspek mati ditembak di situ.

Kejadian yang tidak diduga itu berlaku pukul 9.45 malam apabila suspek berusia 31 tahun tersebut dapat memutuskan gari yang dikenakan pada tangan dan besi katil sebelum mengamuk dengan memecahkan cermin tingkap dan lampu syiling.

Difahamkan, ketika kejadian terdapat kira-kira lapan pesakit pada bahagian tempat suspek diletakkan dan lebih 20 lagi berada di dalam wad tersebut. Suspek ditahan di katil nombor 10, Wad 18, Tingkat 4 hospital itu.

Seorang penjaga pesakit yang enggan dikenali memberitahu, kejadian berlaku begitu pantas hingga dia sendiri tidak sempat untuk menyembunyikan diri dan hanya melindungi suaminya yang terlantar dari melihat insiden tersebut.

Katanya, dia dapat melihat bagaimana suspek merentap gari yang dipasang beberapa kali hingga besi itu terputus dan tercampak sebelum memecahkan lampu syiling.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Ribut, hujan lebat landa KL

Posted:

Ribut, hujan lebat landa KL

Ribut, hujan lebat landa KL

Oleh FIRDAUS HASSAN
firdaus.hassan@kosmo.com.my


BEGINILAH keadaan sebuah papan tanda gergasi yang tumbang semasa ribut dan hujan lebat di Kepong semalam.


KUALA LUMPUR - Beberapa pengguna jalan raya cemas apabila sebuah papan iklan gergasi di persimpangan berhampiran Kompleks Desa Kepong di sini tumbang menyembah bumi ketika hujan lebat dan ribut kencang yang melanda ibu negara hampir sejam petang semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, tiang papan iklan itu patah lalu tumbang ke arah jalan raya semasa warga kota mula berpusu-pusu untuk pulang ke rumah.

Bagaimanapun, semua pengguna jalan raya di laluan itu menarik nafas lega apabila papan iklan itu tumbang ke bahagian bahu jalan.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan daripada kejadian tersebut.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, sehingga pukul 8 malam pihaknya menerima lebih daripada 10 laporan berhubung kejadian pokok tumbang termasuk tiga buah kenderaan yang dihempap pokok di Kepong.

"Pokok tersebut dikatakan tumbang selepas hujan lebat yang disusuli angin kencang selama hampir sejam sejak pukul 6 petang hari ini (semalam).

"Selain Kepong, kita turut menerima laporan di Wangsa Maju, Jelatek, Kampung Baru, Mont Kiara serta Taman Koperasi Polis di sini," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Katanya, hujan lebat itu juga telah menyebabkan beberapa jalan di Kepong dinaiki air, namun masih boleh dilalui kenderaan.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Panjat macam orang muda

Posted:

Panjat macam orang muda

Panjat macam orang muda

Oleh MANIRAH OTHMAN
manirah.othman@kosmo.com.my


SENIK (tiga dari kiri) diiringi anggota keselamatan selepas ditemui dalam keadaan lemah dan berselimutkan ranting di puncak Bukit Jong, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Misteri menyelubungi sebuah keluarga apabila bapa mereka yang nyanyuk dan dikatakan hilang sejak Rabu lalu ditemui terbaring di kawasan cerun dengan berselimutkan ranting di puncak Bukit Jong dekat sini semalam.

Senik Mamat, 87, ditemui pada pukul 10 pagi oleh seorang pencari madu, Mohd. Azam Ismail, 31, kira-kira 13 kilometer dari rumah mangsa di Kampung Lerek, Tepoh di sini.

Beberapa hari sebelum dijumpai, keluarga, penduduk dan pihak berkuasa telah mencarinya di situ namun tidak menemuinya.

Anak mangsa, Abdullah, 49, memberitahu, bapanya disedari hilang ketika dia hendak menghantar nasi kepada lelaki itu pada pukul 4 petang Rabu lalu. Abdullah tinggal di Kampung Jeram Banggol Peradong di sini iaitu kira-kira lima kilometer dari rumah bapanya.

Katanya, dia pulang semula ke rumah sebelum kembali sejam kemudian dan mendapati bapanya masih belum pulang. Dia bersama ahli keluarga lain kemudian mencari di kawasan sekitar tetapi gagal menemuinya.

"Esoknya, kami mencari lagi di beberapa buah kampung lain sebelum membuat laporan polis pada Jumaat lalu. Kami juga mencarinya di sekitar kawasan Bukit Jong tetapi tidak habis sebab keadaan bukit yang curam dan cuaca tidak mengizinkan.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Stailo

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


MIFW platform pereka muda

Posted:

MIFW platform pereka muda

MIFW platform pereka muda

MELABUHKAN tirainya dengan persembahan gala yang menggegarkan, acara penutup Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (MIFW) 2011 yang berlangsung Sabtu lalu di Zebra Square, Kuala Lumpur membuktikan bahawa fesyen merupakan produk yang sememangnya menuntut perhatian ramai khususnya fashionista di sekitar Kuala Lumpur.

Malaysia International Fashion Alliance (MIFA) sebagai penganjur acara tersebut secara tidak langsung juga membuktikan bahawa dunia fesyen bukan sekadar memenuhi cita rasa dan gaya hidup khususnya masyarakat urban.

Namun, ia penting dari sudut ekonomi masyarakatnya dan sebagai penjana ekonomi negara seperti yang disebutkan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz dalam ucapannya pada malam Gala BDA/MIFA yang dianjurkan oleh Bumiputra Designers Association (BDA).

Pertanyaan dan minat yang ditunjukkan oleh para pembeli dari luar negara yang dibawa masuk oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sepanjang minggu tersebut juga menggalakkan.

Ini satu pernyataan bahawa adanya minat dari luar untuk menjengah apa yang mampu disediakan oleh komuniti fesyen di negara ini untuk permintaan antarabangsa.

Sepanjang minggu itu, pentas peragaan MIFW 2011 menyaksikan beberapa slot panas yang dipersembahkan oleh Asia Magic Gala, GLAM Lelaki, Snips Hair Show dan beberapa pertubuhan fesyen lain.

Pereka muda


REKAAN unik pelajar PJ College of Arts & Design ini menggamit perhatian hadirin.


Antaranya termasuklah persembahan fesyen memukau daripada Arena Pereka Muda (Yoda), Bumiputra Designers Association (BDA), Islamic Fashion Festival (IFF) dan jenama-jenama gah milik ratu empayar fesyen tempatan seperti Datuk Farah Khan.

Selain itu, individu dan penggiat fesyen serta pereka solo dengan jenama masing-masing seperti Carven Ong, Bernard Chan dan JKhan juga tidak ketinggalan. Terdapat juga jenama luar negara dan antarabangsa seperti jam tangan Itali Vebene, Raoul, Roxy & Quicksilver, Parkson dan Harley Davison Ladies Lifestyle membuat persembahan rekaan terbaharu mereka.

MIFW dimulakan dengan pertunjukan puluhan pereka muda dan baharu daripada Yoda. Aksi pembuka tirai tersebut ternyata mendapat sambutan hangat dengan kemunculan muka-muka baharu. Idea bernas dan segar anak-anak muda yang mengimpikan pentas peragaan glamor apabila bergelar pereka fesyen pada masa akan datang, terpancar di wajah masing-masing.

Namun, itu tidak penting. Sebaliknya, hasil kerja komuniti fesyen yang menakjubkan dan semangat kental mereka.

Antara pereka di bawah payung Yoda yang mengambil bahagian ialah Haszerwan, Daniel Arif, Wong Ser U, Shannar, Azfar, Raymond Goh, Fiza Zulkarnain, Fizi Woo, Sane of Molly Shoreditch dan Sharikim Wanderlust.

Pelajar-pelajar fesyen dari institusi pengajian tinggi tempatan juga turut diberikan peluang berkongsi pentas peragaan. Antaranya ialah MIA, TAR College dan Raffles International College.

Menurut Presiden Yoda, Baizura Tazri, persatuannya menjadi platform penting kepada pereka-pereka muda khususnya mereka yang masih menuntut jurusan fesyen di pusat-pusat pengajian tinggi itu mengetengahkan lebih ramai pereka iaitu hampir tiga kali ganda berbanding tahun lalu.


ZAINAL RAHMAN mengekalkan ciri klasik kebaya menerusi koleksi Glory of Kebaya.


Lebih matang

"Ini membuktikan bahawa industri fesyen sedang berkembang pesat di negara ini dan minat masyarakat khususnya anak muda untuk menjadi pereka dan memilih kerjaya berkaitan fesyen sangat luas," katanya ketika ditemui.

Walaupun Yoda baru dua tahun ditubuhkan, menurut Baizura penyertaan daripada pereka menunjukkan kematangan yang agak luar biasa.

Kehangatan pada hari kedua disambut pula oleh BDA yang mengetengahkan 50 pereka. Mereka terdiri daripada barisan pereka bumiputera terkemuka negara seperti Datuk Radzuan Radziwill, Bon Zainal, Salikin Sidek, Rahman Saif, Faizal Hamid dan Iszal Citra.

Sementara barisan pereka muda yang sedang memuncak nama mereka di persada fesyen tanah air hari ini seperti Amir Luqman, Jasmi Rejab, Hazree Wahid, WanPa, Azmeer Versatile, Nazreen Idris, Khairi Sufi, Anizam Yusoff dan ramai lagi tidak menghampakan untuk memukau penonton dengan koleksi segar mereka.

Pereka jemputan, Jovian Mandagie pula memusatkan idea dan kreativiti beliau dengan memberi penghormatan kepada fabrik batik melalui himpunan beliau yang diberikan nama Batik Is My Soul.

Antara yang menjadi tumpuan pada tahun ini dan sepanjang hari tersebut ialah lapan pereka wanita yang mengambil bahagian. Mereka ialah Bella untuk Bella La Belle, Azura Couture, I Luv Wirda, Noni Reynders, Pretty Lulu iaitu jenama mengkhusus kepada perhiasan kepala dan tas tangan malam hasil perekanya Nurulhuda Khairuddin, Sasha Rowena dan Tengku Nadia (SAKU).

Masing-masing kini sedang mengukir nama sebagai pereka beg tangan yang digemari ramai, sementara dua pereka kasut iaitu Zetty untuk Sepatu London.

Jenama kasut tersebut kini sedang rancak dipromosikan dan berpusat di London dan Nelissa Hilman dengan jenama Nelissa Hilman Fine Shoes.

Kayu ukur


ZAMRI (dua dari kiri) wakil daripada akhbar Kosmo! menerima Anugerah Media Terbaik daripada Maglin Dennis D'Cruz.


Bagi memberi peluang kepada mereka yang masih hijau dan pelajar jurusan fesyen di institusi pengajian tinggi, BDA turut membariskan beberapa pelajar jurusan fesyen dari pusat-pusat pengajian tinggi fesyen seperti Akademi Fesyen dan Rekaan Antarabangsa (IFTC), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Politeknik Johor, LimKokWing dan Raffles International College, SML Fashion Academy, Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU) dan Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR College).

lFF yang memilih slot pagi pada hari ketiga turut mempesonakan penonton dengan himpunan busana muslim daripada barisan perekanya seperti Tas Iman, Adnan Hassan, Pink Jambu, RR by Radzuan Radziwill dan Rico Rnaldi. Pada pagi tersebut pusat pengajian fesyen SCCA Fashion Academy turut mempertontonkan beberapa rekaan terkini daripada para pelajar mereka.

Ketua Pegawai Operasi MIFA, Andrew Tan yang berkecimpung dalam arena fesyen melalui agensi peragawati dan pengurus acaranya lebih dua dekad lalu berkata, beliau pada mulanya bimbang mengenai sambutan MIFW 2011 di Zebra Square, Kuala Lumpur.

Namun, menjelang hari pertama MIFW dilancarkan kebimbangannya bertukar menjadi mengujakan kerana sambutan yang amat menggalakkan hampir pada setiap pertunjukan.

"Saya menganggap ini kayu pengukur kepada kekuatan industri fesyen dan semangat masyarakat fesyen dan orang awam terhadap produk fesyen kita. Kalau diperhatikan, lebih seratus pereka tempatan yang terdiri daripada nama-nama besar hinggalah yang baru mengukir nama menyertainya.

"Hanya lebih kurang sepuluh peratus sahaja barangan dari luar. Ini penting untuk memberikan semangat antarabangsa kepada acara tersebut," pintas Andrew yang pernah berkhidmat dengan pelanggan berjenama seperti Chanel, Dior, Valentino, Versace, Ellie Saab, Escada dan pernah berkhidmat dengan Kumpulan Melium seperti YSL, Hugo Boss, Pucci, Tod's, Stuart Weitzman dan Farah Khan.


SELAIN busana, beg tangan turut menjadi perhatian pencinta fesyen yang hadir pada malam MIFW.


Meneruskan tradisi dua tahun lalu, malam gala BDA MIFW 2011 baru-baru ini turut diselitkan dengan penghargaan buat media.

Anugerah Media Terbaik tahun ini berjaya disandang sisipan Stailo daripada akhbar Kosmo! berikutan sokongannya tidak berbelah-bahagi terhadap pereka-pereka tempatan menerusi artikel-artikel yang diterbitkan.

Penolong Pengarang Rencana Kosmo!, Zamri Rambli, mewakili Stailo Kosmo! menerima anugerah penghargaan tersebut yang pertama kali dimenangi sebuah kumpulan akhbar.

Full content generated by Get Full RSS.

Eksperimen berani Balenciaga

Posted:

Eksperimen berani Balenciaga

Eksperimen berani Balenciaga

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR


TAMPAK gagah di luar namun padanan dres rona lembut memberikan aura kelembutan pada diri pemakainya.


KOLEKSI musim luruh dan sejuk Balenciaga rekaan Nicolas Ghesquiere memberikan satu gaya unik dengan imej futuristik tetapi lembut apabila mendapat sentuhan rona siluet dan potongan fabrik berlapis.

Tatkala si gadis berjaket kulit rona hitamnya menghayun langkah maskulin, gabungan skirt berombak lembut sekali gus mencetus emosi luar biasa terhadap signatur rekaan kali ini.

Rekaan terbaharu itu diinspirasikan daripada jaket kait bomber yang mempunyai volum dan bentuk seakan-akan kepompong. Tampak gagah, fabrik tradisional itu digantikan dengan kulit yang dilapisi dres sutera di dalamnya.

Cetakan-cetakan rekaan itu dibuat dengan mengambil inspirasi haiwan dan ton bumi. Kelihatan telus, rekaan berjalur untuk fabrik kait serta fabrik nilon menampakkan sedikit dres yang dipakai di dalamnya.

Refleks siluet dalam Ghesquiere pula memainkan variasi skala dan lapisan-lapisan. Jaket bomber bersaiz besar dan potongan leher kura-kura dan V tampak longgar seperti lazim busana untuk si jejaka.

Tetapi, blaus rona terang dan skirt yang dipadankan memberi kontras nyata kepada rekaan kali ini, lebih-lebih lagi panel jaket yang tampil dalam rona gelap dengan siluet monokromatik yang dihiasi perincian rantaian bagi memberi suntikan misteri.

Ciri feminin

Kot lelaki yang besar dipakai bersama dres feminin dan elegan atau seluar yang mempunyai gabungan fabrik satin seakan-akan kulit. Seluar ini juga dipakai dengan pakaian yang bersifat feminin. Semua gaya ini merupakan legasi dan signatur Ghesquiere.

Rekaan jaluran itu juga tampil dengan rekaan-rekaan lain yang lebih ringkas tetapi bersifat geomatrik bagi mencerminkan tema keagamaan mengikut terjemahan pereka ini.

Lipatan dan potongan merupakan elemen penting rekaan-rekaan sebegini yang menggunakan fabrik metalik. Kemudian, ia dilengkapi dengan rekaan seluar yang diberikan perincian seperti tenunan dan manik-manik.


BLAUS rona terang dan rantaian yang memberikan imej misteri kepada rekaan ini.


Selain itu, top yang longgar dan membungkus dalam siluet blok warna dipadankan dengan seluar atau skirt berona monokromatik bagi memberikan gaya yang bersifat grafik dan emosi rahib.

Penampilan itu kelihatan seperti kot edisi Pliage yang suci dan ringkas iaitu koleksi tahun 1965.

Material dalam koleksi ini meskipun memberi sentuhan moden dengan knit nilon dan fabrik seakan-akan kulit, masih kelihatan klasik dan kemas hasil penggunaan fabrik krep dan satin.

Ton warnanya kelihatan klasik, bersama palet rona hitam, plum, kelabu dan ivori yang memainkan peranan penting bagi koleksi musim ini. Ia mencerminkan emosi yang diterangi kilauan warna, tampak segar dan bertenaga.

Beg genggam yang diperbuat daripada kulit, fabrik kulit tiruan atau kait antara aksesori yang dipadankan untuk himpunan musim luruh/sejuk ini. Begitu juga dengan kasut tumit tinggi stiletto yang boleh didapati dalam dua rona iaitu metalik dan kulit eksotik seperti iguana dan tilapia.

Himpunan koleksi aksesori ini juga memberikan efek kontras ke atas koleksi busana musim luruh dan sejuk Balenciaga. Ia turut memberikan dimensi mewah ke atas koleksi ini secara keseluruhan.

Butik Balenciaga dibuka pada bulan September lalu di tingkat bawah, Suria KLCC.

Full content generated by Get Full RSS.

Aksesori ikut acara

Posted:

Aksesori ikut acara

Aksesori ikut acara


MODEL menggayakan pilihan-pilihan aksesori yang sesuai digayakan ke pejabat.


SETIAP wanita mahu tampil cantik dan bergaya dalam setiap acara, namun kesilapan memilih aksesori yang bersesuaian kemungkinan menyebabkan seseorang itu terperangkap dengan imej yang salah.

Masalah itu wujud kerana wanita mungkin kurang memilih aksesori mengikut kesesuaian acara. Justeru, jenama aksesori wanita Bonita memperkenalkan lima tema gaya hidup untuk membantu wanita meningkatkan kecantikan dan keyakinan mereka.

Melalui perunding gaya Datin Sharifah Shawati Syed Mohd., Bonita memperkenalkan aksesori pilihan gaya asas untuk setiap hari, ke tempat kerja, aktiviti berlibur, acara petang glamor dan gemerlapan malam.

Menurut Sharifah Shawati, aksesori asas setiap hari mestilah ringkas tetapi mencerminkan sisi feminin dan kelihatan versatil.

"Aksesori yang sesuai digayakan antaranya ialah aksesori yang dibuat daripada metal tetapi tidak terlalu berat dan keterlaluan serta tampak ceria.

"Sekiranya fokus wanita adalah kepada aksesori kepala seperti headband, pilih subang yang ringkas dan lebih kecil atau gelang yang disuaipadankan dengan dua material berbeza tetapi sepadan," katanya pada bengkel kecantikan Bonita di Ampwalk, Ampang Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berbeza dengan aksesori untuk ke tempat kerja, Sharifah Shawati memberitahu, wanita perlu tampil dengan lebih ringkas iaitu pemilihan subang, cincin dan gelang yang lebih kecil.

"Pilih sama ada mahu gayakan cincin atau gelang dan cukuplah seutas rantai yang ringkas serta subang yang kecil bagi mereka yang tampil dengan pakaian formal.

"Berbeza dengan mereka yang bekerja dalam persekitaran yang lebih ceria seperti bidang penyiaran dan pengiklanan kerana mereka boleh menggayakan aksesori lebih santai dan berwarna-warni sesuai dengan penampilan semi formal," katanya.


ACARA petang membenarkan suai padan aksesori tetapi mestilah tidak lebih daripada tiga material berbeza.


Suai padan tiga jenis aksesori berlainan material pula sesuai untuk aktiviti berlibur. Menurut Sharifah Shawati, penampilan sebegitu memberikan imej ceria tetapi aksesori yang dipilih mestilah padan dengan aksesori lain.

"Kadangkala logam dan mutiara sesuai dipadankan begitu juga aksesori yang mempunyai warna yang padan dengan pakaian yang digayakan.

"Mereka yang menggayakan aksesori yang pelbagai harus menitik beratkan pemilihan pakaian terutama pakaian yang mempunyai cetakan agar tidak terlalu serabut," jelas beliau.

Dalam pada itu, pemilihan aksesori untuk acara petang yang glamor mestilah berciri elegan dan bergemerlapan seperti mutiara dan berlian tetapi tidaklah terlalu sarat.

"Penggunaan dua jenis aksesori berlainan warna juga sesuai terutama hitam putih atau gabungan dua material berbeza iaitu berlian dan mutiara.

"Sekiranya anda memilih untuk memakan cincin di jari tangan kanan, hiasi tangan kiri dengan gelang yang sepadan," katanya. - ROSMALINA ABD. KADIR

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Fatehah hampiri Olimpik 2012

Posted:

Fatehah hampiri Olimpik 2012

Fatehah hampiri Olimpik 2012

FATEHAH Mustapha kini semakin hampir untuk menjadi pelumba basikal wanita pertama negara layak beraksi pada temasya sukan terbesar dunia - Sukan Olimpik 2012 di London yang akan bermula Julai tahun depan.

Berdasarkan prestasi semasa, Fatehah ketika ini berada pada landasan tepat untuk merealisasikan impian tersebut.

Buktinya, dia kini muncul satu-satunya pelumba wanita dari Asia yang berjaya mengumpul mata bagi melayakkannya beraksi pada temasya berprestij dunia itu berbanding pencabar terdekatnya dari Hong Kong, Jepun dan China.

Semalam, pelumba kelahiran Terengganu itu tampil bergaya apabila berjaya menamatkan saingan di tempat keenam dalam acara keirin pada aksi final Kejohanan Lumba Basikal Piala Dunia Klasik Siri 2

di Cali, Columbia.

Kejayaan itu sekali gus membolehkan Fatehah mengutip lima mata dalam misinya beraksi

di bumi London kelak.

Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, sekiranya Fatehah mampu mengekalkan rentak kecemerlangan tersebut tidak mustahil dia mampu menjadi pelumba wanita pertama negara beraksi pada Sukan Olimpik.

"Mengikut peraturan yang ditetapkan, hanya dua pelumba yang mengutip mata tertinggi dalam satu-satu acara dari Asia layak beraksi pada Sukan Olimpik nanti.

"Setakat ini, hanya Fatehah sahaja yang berjaya mengutip mata. Pencabar-pencabarnya dari Hong Kong, Jepun dan China masih belum memperoleh sebarang mata. Jadi, saya lihat peluang Fatehah kini sangat cerah.

"Apa yang saya harapkan adalah Fatehah perlu bekerja keras selepas ini agar dia dapat memastikan prestasinya sentiasa berada pada tahap terbaik dalam setiap kejohanan yang menawarkan mata bagi membolehkan dia layak ke Sukan Olimpik," kata Naim ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain Fatehah, jaguh acara trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang turut mengumpul tujuh mata manakala seorang lagi pelumba, Josiah Ng (sembilan mata).

Peluang buat pelumba-pelumba negara untuk terus mengumpul mata bakal hadir pada Kejohanan Lumba Basikal Piala Dunia Klasik Siri 3

di Beijing, China, Januari tahun depan dan Siri 4 di London sebulan kemudian.

Percubaan terakhir buat semua pelumba untuk mengumpul mata bagi layak ke Sukan Olimpik ialah pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Dunia di Melbourne, Australia pada April tahun depan.

Full content generated by Get Full RSS.

United kehilangan Hernandez

Posted:

United kehilangan Hernandez

United kehilangan Hernandez


JAVIER HERNANDEZ


BIRMINGHAM - Manchester United terpaksa membayar harga yang tinggi biarpun berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Aston Villa dalam saingan Liga Perdana England di Villa Park awal pagi semalam.

Ini kerana, penyerang utama skuad The Red Devils, Javier Hernandez terpaksa diketepikan untuk tempoh selama sebulan selepas mengalami kecederaan di bahagian buku lalinya.

Bintang muda Mexico itu terpaksa diusung keluar padang pada pertengahan babak pertama perlawanan selepas terbaring kesakitan akibat kakinya terseliuh.

Ferguson berkata, Hernandez, 23, berkemungkinan tidak boleh diturunkan sepanjang bulan ini.

"Hernandez mengalami koyak di bahagian buku lalinya dan terpaksa berehat untuk tempoh tiga atau empat minggu bagi menjalani rawatan pemulihan.

"Ia merupakan satu berita buruk buat kami (United) tetapi kami masih memiliki skuad yang mantap biarpun tanpa Hernandez," kata Ferguson.

Situasi itu sekali gus menyaksikan Hernandez tidak boleh diturunkan menjelang pertemuan menentang FC Basel pada aksi terakhir Kumpulan C kempen Liga Juara-Juara awal pagi pada Khamis ini.

Selain Hernandez, Ferguson turut kehilangan khidmat perancang tengah, Michael Carrick yang dikenakan hukuman penggantungan perlawanan.

Terdahulu, pada aksi menentang Villa itu, tonggak pertahanan United, Phil Jones muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-20 sekali gus memastikan tiga mata penuh menjadi milik skuad The Red Devils.

Kemenangan itu juga menyaksikan anak-anak buah Ferguson terus mengekori rapat pendahulu carta liga, Manchester City.

Ketika ini, United berada pada kedudukan kedua dengan mengumpul 33 mata, lima mata dibelakang City.

"Kami memang berhak untuk menang pada pertemuan dengan Villa ini biarpun tidak dinafikan beraksi di Villa Park bukanlah satu tugas yang mudah buat kami.

"Kami mengawal pergerakan bola dengan baik. Namun, pada babak kedua, ketumpulan jentera serangan telah mensia-siakan banyak peluang bagi menambah jaringan.

"Jones merupakan tonggak pertahanan tengah yang hebat dan dia boleh beraksi di mana-mana posisi sekalipun," jelas Ferguson. - AFP

Full content generated by Get Full RSS.

Keputusan tak penting

Posted:

Keputusan tak penting

Keputusan tak penting

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


KHAIRUL FAHMI antara tonggak penting dalam skuad Harimau Muda.


SEANDAINYA ada kata-kata 'sumbang' yang berhasrat mahu mengkritik pasukan Harimau Muda jika mereka tersungkur ketika 'berguru' di bumi Australia tidak lama lagi, lebih baik lupakan sahaja niat itu.

Ini kerana pengendalinya, Ong Kim Swee langsung tidak peduli dengan apa juga keputusan yang bakal dicatatkan anak buahnya ketika berdepan cabaran tiga buah kelab elit di sana nanti sebagai persediaan mengharungi Liga Singapura (Liga-S) pada Februari tahun depan.

Jika menang sudah tentu dianggap bonus, namun pada masa sama Kim Swee lebih teruja menjadikan aksi di sana sebagai medan terbaik menguji pemain baharunya seperti Sharil Saari (Terengganu), Syazwan Yusof (Kelantan) dan Nik Mohd. Syahrul Azim Nik Abd. Halim (Kelantan) termasuk pemain-pemain yang jarang diturunkan tidak kira sama ada ketika temasya Sukan SEA mahupun saingan kelayakan kempen Olimpik sebelum ini.

"Apa juga keputusan tidak mustahak. Sudah tentu, peluang berdepan dengan tiga buah kelab elit di Australia akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh saya menguji pemain baharu dan juga pemain yang jarang diturunkan sebelum ini.

"Bagi saya, pengalaman yang diraih pemain ketika di sana adalah jauh lebih penting terutamanya bagi perancangan masa panjang menghadapi Sukan SEA 2013 (Myanmar) dan Sukan Asia 2014 (Korea Selatan), tambahan pula pemain saya masih muda dan perlu didedahkan dengan perlawanan-perlawanan antarabangsa yang bagus seperti ini," katanya kepada Kosmo!

Kesemua senarai 30 pemain akan mula berlatih di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini sebelum dijadualkan berlepas ke bumi Kanggaru pada 10 Disember depan.

Difahamkan, tiga buah kelab elit yang bakal ditentang Harimau Muda sepanjang 12 hari berada di Australia nanti ialah Mariners FC, Newcastle Jets FC dan Sydney FC.

Untuk rekod, Mariners FC merupakan naib juara Liga Australia (Liga-A) pada musim lalu, sementara Newcastle Jets FC pula pernah layak ke suku akhir Liga-Juara-Juara Asia pada 2009.

Reputasi Sydney FC juga dikhabarkan tidak kurang hebat apabila pernah mendapat sentuhan bekas tonggak Manchester United, Dwight Yorke, Juninho (Brazil) dan Kazuyoshi Miura dari Jepun yang pernah menyarung jersi The Sky Blues itu tidak lama dahulu.

Kim Swee begitupun enggan mengesahkan ketiga-tiga kelab elit tersebut kerana masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, ada khabar gembira menyelubungi harapan dua tonggak yang digugurkan sebelum ini iaitu Nazirul Naim Che Hashim dan Mohd. Ferris Danial Mat Nasir yang masih berpeluang 'terbang' ke Australia apabila Kim Swee memberitahu masih belum menetapkan senarai akhir 30 pemain yang akan dibawa ke sana.

"Saya akan menilai semula senarai akhir pemain selewat-lewatnya esok (hari ini) sebelum membuat keputusan memandangkan hanya akan menyisihkan pemain yang tercedera ataupun tidak berada di prestasi yang terbaik," katanya.

Pasukan Harimau Muda yang berjaya mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Jakarta baru-baru ini begitupun mengalami 'detik suram' di pentas kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia apabila tewas dalam ketiga-tiga perlawanan menentang Jepun, Syria dan Bahrain sebelum ini. Mereka kini terperosok di tangga tercorot Kumpulan C tanpa sebarang mata.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Kuatkan integriti generasi muda

Posted:

Kuatkan integriti generasi muda

Kuatkan integriti generasi muda

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

BAGI membudayakan integriti sebagai cara hidup masyarakat Malaysia, tarikh 5 November setiap tahun diraikan sebagai Hari Integriti Nasional.

Sejak tahun 2005, tarikh itu dipilih sempena penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Penggubalan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang diumumkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai landasan ke arah pemantapan etika dan integriti masyarakat.

Pada tahun ini, IIM telah melaksanakan program dan acara sempena sambutan Hari Integriti Nasional yang diadakan sepanjang bulan November lalu untuk meningkatkan kesedaran, kefahaman serta penghayatan integriti dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Presiden IIM, Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh berkata, pada tahun ini tema Integriti Menjana Transformasi dipilih sebagai tema sambutan Hari Integriti Nasional 2011 bagi melambangkan semangat, azam dan komitmen bersama-sama rakyat Malaysia dalam merealisasikan hasrat negara ke arah transformasi.

Ujar Mohd. Tap, seperti tahun lalu, pihaknya menyasarkan golongan muda dan belia dalam kempen yang diadakan untuk menerapkan nilai-nilai murni dan integriti dalam diri mereka.

"Statistik Jabatan Perangkaan Negara pada 2010 menunjukkan rata-rata penduduk negara ini yang berusia 40 tahun ke bawah ialah sebanyak 42.1 peratus berbanding 40.4 peratus pada tahun 2008.

"Ia jelas menunjukkan golongan muda dan belia bukan sahaja menjadi aset negara yang bakal menjadi pemimpin suatu hari nanti malah, memainkan peranan penting dalam menjadi penjana utama pencapaian misi nasional pada masa hadapan," katanya.

Kongsi ilmu

Tambah beliau, kemuncak kepada sambutan Hari Integriti Nasional 2011 ialah Konvensyen Integriti Nasional yang telah berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya (PICC) pada 10 November lalu.


KEHADIRAN selebriti Linda Onn (tengah) dan Noor Irfan (kanan) berkongsi rahsia kejayaan mereka sebagai usahawan kepada para peserta.


Katanya, sambutan itu telah menghimpunkan lebih 1,000 orang aktivis, penggerak dan kepimpinan belia, pegawai-pegawai kerajaan, pensyarah, ahli akademik dan profesional muda dari seluruh negara serta dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Pengisian majlis itu turut diserikan dengan sesi perkongsian ilmu dan bual bicara melibatkan beberapa pemimpin, usahawan muda dan tokoh akademik terkemuka. Antaranya ialah usahawan Internet, Noor Irfan Khairi Noor Azmi, selebriti radio dan usahawan, Linda Onn; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian," jelasnya.

Tambah Mohd. Tap lagi, pelbagai acara lain yang turut diadakan sepanjang sambutan hari tersebut yang berlangsung sepanjang bulan lalu.

Antaranya ialah Program Integriti Alam Sekitar Bersama Pelajar Sekolah di IIM, Forum Perdana Ehwal Islam Universiti Teknologi Mara, Lendu, Integriti Politik Bersama Pemuda MIC di IIM, Forum Transformasi Perkhidmatan Awam di IIM dan Forum Rakyat: Jenayah, Anda dan Integriti di Pulau Pinang.

Ujarnya, beliau berharap semua pihak dapat memanfaatkan program yang diadakan di samping berharap sambutan Hari Integriti yang diadakan sebagai satu titik mula untuk meningkatkan tahap integriti pada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

"Semua jentera masyarakat mempunyai tugas dan peranan masing-masing bagi melaksanakan misi nasional ini.

"Saya percaya pembudayaan integriti seharusnya disemai sejak dari kecil. Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai masyarakat untuk memperkasakan nilai integriti dalam kehidupan generasi muda," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Dua sahabat maut

Posted:

Dua sahabat maut

Dua sahabat maut

04/12/2011 6:22pm

SEREMBAN — Dua wanita maut selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori treler di Kilometer 285, Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, di Nilai, dekat sini awal pagi ini.

Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 5.55 pagi semasa Khow Kim Lan, 29, dan Lau Wong Yee, 27, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Senawang dari Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kedua-dua sahabat itu maut selepas kereta Perodua Kelisa yang dinaiki mereka merempuh bahagian belakang lori treler yang sedang berhenti di lorong kecemasan.

"Pemandu kereta itu dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu merempuh bahagian belakang lori treler yang sedang mengalami kerosakan tayar itu," katanya. - Bernama

Full content generated by Get Full RSS.

361,661 tong sampah baharu

Posted:

361,661 tong sampah baharu

361,661 tong sampah baharu

04/12/2011 5:37pm

KUALA LUMPUR — Alam Flora Sdn Bhd akan membahagi-bahagikan 361,661 tong sampah baharu percuma kepada penduduk yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya, Kuantan dan Pekan mulai Dis ini sehingga penghujung April tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Zain Hassan berkata, jumlah tong yang akan dibahagikan di Kuala Lumpur adalah 254,220 unit, Putrajaya (15,543), Kuantan (85,915) dan Pekan (5,983).

"Tong-tong baharu ini diperbuat daripada bahan yang boleh kekal lama, tahan cuaca dikenali sebagai polyethylene padat (HDPE), dan setiap tong boleh diisi sehingga 50 kg sisa pepejal.

"Kami akan pastikan tong digantikan setiap lima tahun sekali, walaupun ia tahan sehingga tujuh tahun, namun bagi kemudahan penduduk kami akan menggantikannya dengan yang baharu," katanya kepada pemberita di satu sidang akhbar di Kompleks Sukan Bangsar di sini hari ini. - Bernama

Full content generated by Get Full RSS.

Gempa sederhana gegar New Zealand

Posted:

Gempa sederhana gegar New Zealand

Gempa sederhana gegar New Zealand

04/12/2011 5:34pm

PUTRAJAYA 4 Dis. - Gempa bumi berukuran 5.7 pada skala Richter menggegarkan Wellington, Marlborough, sebahagian Pulau Utara serta Pulau Selatan New Zealand, semalam.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata, tiada kematian dilaporkan setakat ini, meskipun gempa bumi tersebut adalah yang terbesar melanda Wellington sejak tahun 1966.

Kesemua rakyat Malaysia termasuk para pelajar dilaporkan selamat dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington akan terus memantau serta berhubung dengan pelajar-pelajar yang berada di kawasan terjejas. - Bernama

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved