Fasa darah manis FaralynaFasa darah manis Faralyna
PETIR dan guruh yang sedang bertingkah di langit langsung tidak mengganggu ketenangan emosi Faralyna Idris.
Dia memberikan sepenuh fokusnya kepada setiap bidikan lensa yang dihalakan ke mukanya. Hujan lebat pada petang Rabu lalu seperti mengizinkan kami untuk bercerita lebih lama.
Dia mesra membahasakan dirinya sebagai Fa. Dramatis yang sedang muncul menerusi drama bersiri Fajar Aiman itu tidak perlu dibelai-belai dengan ayat pemanis mulut.
Terus-terang pertemuan itu diatur untuk mengajak bintang filem Gila-Gila Remaja 2 itu bercerita tentang lamaran yang sedang didakapnya.
Fotografi ini pula berlangsung tiga hari sebelum bunga kelahiran Taiping, Perak itu disunting sebagai tunangan si kumbang pilihan.
Bertempat di kediamannya di Ampang, Selangor, malam tadi Faralyna selamat bergelar tunangan kepada Ahmaf Fikri Abdullah, 24.
Langkah pertama sedang diatur. Wanita yang baru berusia 23 tahun ini sedang mengikut intuisi.
Selangkah lagi sebelum memasuki tangga usia ke-24 pada pertengahan Disember nanti, zaman anak daranya bakal berakhir.
"Berkahwin tahun ini atau tunggu lagi beberapa tahun pun, hidup saya tetap begini. Saya tetap berlakon dan bekerja untuk keluarga," itu penegasan yang meluncur keluar daripada bibir si wanita berdarah manis, Faralyna.
Persoalan kahwin muda biasa kedengaran. Buat Faralyna sendiri, seruan itu seperti angin semilir yang menyapanya tenang.
Persiapan tanpa ibu
"Saya tidak merancang atau menetapkan sebarang tempoh usia untuk berkahwin. Saya dengan Fikri bukan jenis yang beria-ria bercinta. Kami berkawan dan perhubungan itu dapat dihidu oleh arwah ibunya," beritahu Faralyna.
Sambil jari-jemarinya mengelus anak rambut di pipi, anak kedua daripada tiga beradik itu menyambung kisah.
 FARALYNA IDRIS sedang mempersiapkan dirinya untuk naik pelamin pada pertengahan Disember nanti.
|
Kata Faralyna, dia tidak menyangka usikan arwah ibu tunangnya sekitar akhir tahun lalu menjadi nyata.
"Arwah ibu Fikri dimasukkan ke hospital, saya beberapa kali pergi melawat arwah.
"Suatu hati dia mengusik saya, mengatakan mungkin sayalah 'orangnya' pilihan Fikri. Dia kata, selepas keluar dari hospital nanti, dia akan masuk meminang.
"Perkara itu habis di situ sahaja. Kemudian, saya ikut lagi Fikri melawat ibunya, ketika ibu saudara Fikri juga ada di hospital, saya diusik lagi oleh saudara Fikri pula. Tiga hari kemudian, saya dapat panggilan daripada adik Fikri bahawa ibu mereka sudah meninggal.
"Saya terkejut padadal ketika melawatnya, keadaan arwah stabil dan hanya menunggu waktu untuk dibenarkan pulang ke rumah," cerita Faralyna terkenangkan bibit sayu itu.
Selang dua bulan selepas pemergian ibu tersayang, Fikri meluahkan hasrat untuk meminang kekasih hati.
"Sekitar bulan Februari lalu Fikri ajak saya berkahwin. Mulanya saya terkejut. Apabila fikir masak-masak, mungkin inilah namanya jodoh.
"Saya senang berkawan dan dialah lelaki paling rapat dengan saya selain bapa. Sudah sampai masa agaknya. Saya setuju dan keluarga juga setuju," tuturnya lembut.
Sedia berdepan perkahwinan pada usia muda, Faralyna mengiakan langkah itu bukan sebuah perjudian 'cuba-cuba'.
"Ini benda baik, buat apa saya mahu tunggu lama-lama. Saya sudah bersedia untuk menempuh fasa hidup yang seterusnya. Memang usia saya baru 23 tahun, tetapi saya melalui banyak perkara sejak remaja.
"Saya bekerja sejak belasan tahun. Ibu saya juga sudah meninggal enam tahun lepas. Hidup saya memang untuk keluarga dan tidak salah untuk saya juga memulakan sebuah keluarga," katanya penuh harapan.
 BERKAHWIN muda bukan satu isu besar buat Faralyna.
|
Tiada perubahan drastik
Hampir dua tahun mengenali hati budi, Faralyna juga berharap tempoh tujuh bulan mendatang akan dijadikan sebagai tempoh persediaan.
"Saya harap tempoh ini menguatkan lagi kepercayaan dan meneguhkan perhubungan kami.
"Memanglah, orang gelarkan pasangan yang bertunang sebagai darah manis, tapi selagi kita mahukan yang terbaik, insya-Allah," ujarnya yang hanya menjemput sekitar 200 tetamu semasa majlis pertunangannya malam tadi.
Berkongsi keterujaan, kegembiraan, debaran dan kepenatan menguruskan majlis tanpa insan penting yang melahirkannya ke dunia, ada embun jernih terpancar di mata.
"Mujurlah saya ada ibu saudara dan adik-beradik yang boleh tolong. Fikri lagilah kasihan, arwah ibunya dari Medan, Indonesia dan tiada sesiapa yang boleh uruskan hal seperti barang-barang hantaran.
"Kami sepakat untuk agar semua persiapan barang hantaran saya yang uruskan. Huru-hara juga hidup saya sebab jadual kerja juga tak menentu.
"Terfikir juga, kalaulah ibu masih ada, mesti dia yang paling sibuk. Tapi Tuhan lebih sayangkan mereka," ucapnya sambil tersenyum menghapus sayu.
Bintang drama Bio-Nik itu sudah lama bergelar pelakon namun ketika namanya sedang meningkat naik, dia pula memilih untuk naik pelamin.
"Seperti yang saya katakan tadi, berkahwin sekarang atau tunggu entah sampai bila, rasanya saya tetap berlakon macam biasa.
"Berkahwin atau tidak, hidup saya tidak akan berubah 360 darjah. Tidak akan ada apa-apa yang berubah," katanya.
Dalam karier lakonannya, Faralyna cukup faham permainan populariti, jatuh dan bangunnya seseorang artis. Lambat atau cepat popular bukanlah satu isu buat bekas kekasih pelakon Hairul Azreen itu.
"Saya pun faham, saya bukanlah artis popular. Lakonan ialah pekerjaan dan rasanya saya okey dengan peluang saya setakat ini.
"Kalau ada yang kata, sekarang zaman pelakon baharu dapat perhatian, saya okey. Selagi saya ada kerja dan tidak kacau orang, saya tidak pernah cemburu kerana tidak menjadi sebahagian daripada nama-nama yang sedang popular.
"Lagipun, saya masih muda. Bayangkan kalau saya tengah meletup-letup popular ketika ini, bagaimana saya mahu terus mengekalkan populariti itu untuk lima hingga 10 tahun lagi?" tutupnya optimis.