Sabtu, 26 April 2014

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Hampir 3,000 terjerat cinta palsu

Posted:

Hampir 3,000 terjerat cinta palsu

Hampir 3,000 terjerat cinta palsu

Oleh NORAINI HASSAN BASRI

RAKYAT Malaysia perlu berhati-hati ketika berkenalan di internet untuk mengelak ditipu. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Impian segelintir rakyat Malaysia untuk mencari nikmat bercinta dengan lelaki kaya dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah berakhir dengan mereka dijerat sindiket warga Afrika yang menjual cinta mereka menerusi alam siber.

Lebih menakutkan, dalam tempoh tiga tahun, sebanyak 2,785 rakyat Malaysia ditipu oleh sindiket tersebut membabitkan kerugian kira-kira RM103 juta.

Bukan wanita sahaja yang menjadi mangsa iaitu membabitkan 1,794 orang malah seramai 991 lelaki tempatan turut diperbodohkan sindiket tersebut.

Rata-rata rakyat tempatan yang menjadi mangsa begitu mudah tergoda dan cair hati mereka dengan ayat-ayat manis sindiket berkenaan.

Antara ayat manis sindiket tersebut yang ditulis dalam bahasa Inggeris ialah 'Sayang, awak nampak sangat cantik dalam gambar', atau 'Kalau awak menjadi kekasih saya, saya akan berikan segalanya asalkan awak setia'.

Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Superintendan Mohd. Syafik Jinuin Abdullah berkata, sebanyak 1,095 kes dicatatkan pada tahun lalu dan hampir 100 peratus kes membabitkan warga Afrika.

Beliau berkata, tahun lalu sahaja, rakyat Malaysia kerugian lebih RM35.7 juta berbanding RM33.6 juta pada 2012 gara-gara terjerat dengan cinta siber berkenaan.

Menurutnya, mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes penipuan cinta siber meningkat 34 peratus pada tahun 2013 iaitu sebanyak 1,095 kes berbanding 814 kes pada 2012.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Raja sehari tak sempat bersanding

Posted:

Raja sehari tak sempat bersanding

Raja sehari tak sempat bersanding


SAAT bahagia Junaida (kanan) dan suaminya, Muhammad Danial selepas majlis akad nikah di rumahnya di SS3, Petaling Jaya, Selangor kelmarin.


PETALING JAYA - Kegembiraan pasangan pengantin untuk meraikan hari bahagia bertukar pilu apabila pengantin perempuan ditemui mati kira-kira tiga jam sebelum majlis persandingan mereka semalam.

Mangsa, Junaida Jamaludin, 29, yang selamat dinikahkan dengan Muhammad Danial Zainal Abidin, 30, ditemui meninggal dunia dengan keadaan hidung dan mulut berdarah di dalam bilik pengantin di rumahnya di SS3 di sini kira-kira pukul 8.30 pagi.

Abang mangsa, Kamarul Affendi Jamaludin, 38 memberitahu, majlis akad nikah berlangsung sehari sebelumnya di rumah mereka kira-kira pukul 5.45 petang kelmarin dan majlis persandingan dijadualkan berlangsung di Dewan Gemilang Yayasan Felda, Kelana Jaya kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

"Pagi tadi (semalam) saya ingat Junaida telah pergi ke dewan lebih awal tetapi sangkaan kami meleset sebab dia tiada di situ.

"Kami cuba menghubunginya tetapi gagal. Saya cuba memeriksa dia di bilik dan ketika itu saya nampak dia masih berada di atas katil," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.


PELAMIN di Dewan Gemilang Yayasan Felda, Kelana Jaya yang kosong berikutan pengantin perempuan, Junaida, meninggal dunia kira-kira tiga jam sebelum majlis persandingannya semalam.


Jelasnya, dia menyangka Junaida masih tidur kerana kepenatan tetapi terkejut apabila mendapati hidung dan mulut anak bongsu daripada empat beradik itu berdarah.

"Kami terus membawa Junaida ke hospital berhampiran tetapi dia disahkan meninggal dunia akibat masalah pendarahan dalaman," katanya sedih.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Obama tiba di Malaysia untuk lawatan bersejarah

Posted:

Obama tiba di Malaysia untuk lawatan bersejarah

Obama tiba di Malaysia untuk lawatan bersejarah


TUANKU Abdul Halim (dua kiri) dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah Hamidun berkenan bergambar bersama Obama (dua kanan) dan Najib sebelum majlis Jamuan Negara di Istana Negara, Kuala Lumpur malam tadi.


SUBANG - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama tiba di negara ini semalam untuk mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadual berlangsung di Putrajaya hari ini.

Pesawat Air Force One yang membawa Obama mendarat di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini pada pukul 4.50 petang selepas enam jam penerbangan dari Korea Selatan, disifatkan sebagai lawatan bersejarah ke Malaysia.

Lawatan tiga hari itu adalah sebahagian daripada lawatan Obama ke empat negara di Asia, julung kali oleh Presiden AS yang memegang jawatan dalam tempoh 48 tahun selepas lawatan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Malaysia congak langkah kanan berdepan Perancis

Posted:

Malaysia congak langkah kanan berdepan Perancis

Malaysia congak langkah kanan berdepan Perancis

DHAARMA RAJ (kanan) memberi arahan kepada dua pemain negara pada sesi latihan
di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan baru-baru ini.


"KITA perlu menang dalam perlawanan pembukaan menentang Perancis."

Demikian jelas ketua jurulatih skuad hoki senior negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dalam memastikan laluan anak-anak buahnya pada Cabaran Juara-Juara 1 menjadi lebih mudah.

Biarpun Perancis dianggap antara pasukan pilihan pada kejohanan kali ini, Dhaarma Raj tetap yakin dengan kemampuan barisan kendaliannya untuk melakar kejutan pada aksi pembukaan malam ini.

Justeru, Dhaarma Raj menuntut kesemua anak buahnya mempamerkan prestasi terbaik dalam setiap perlawanan peringkat Kumpulan B yang turut dibarisi oleh Korea Selatan dan Kanada.

Menurutnya, apa yang lebih penting, skuad negara harus mengelak daripada bertemu dengan pasukan lebih kuat pada peringkat suku akhir nanti seperti New Zealand yang berada dalam Kumpulan A.

Berdasarkan format pertandingan, mana-mana pasukan tetap layak untuk beraksi di pentas suku akhir walaupun kalah dalam kesemua perlawanan peringkat kumpulan.

"Kita perlu faham format kejohanan ini kerana kesemua pasukan berpeluang untuk bertemu sesama sendiri meskipun berada dalam kumpulan yang berbeza.

"Kita perlu jadi juara kumpulan atau mungkin berada di tangga ketiga untuk elak jumpa pasukan yang kuat tetapi kita tidak mahu perkara itu menghantui skuad yang turun kali ini.

"Jadi, apa yang lebih penting adalah beraksi dengan baik, tampil dengan prestasi maksimum untuk menang dalam setiap perlawanan peringkat kumpulan," ujarnya.

Bagi aksi pembukaan menentang Perancis, beliau mahu setiap pemain memberi fokus tinggi bagi mengelakkan sebarang kesilapan yang boleh mengundang padah sehingga menyebabkan kekalahan.

Tambah baik mutu pengadilan

Posted:

Tambah baik mutu pengadilan

Tambah baik mutu pengadilan


Astaman (kanan) melihat Subkhiddin memakaikan alat komunikasi baharu kepada seorang pegawai selepas merasmikan kursus penolong pengadil tambahan anjuran FAM di Shah Alam semalam.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal melaksanakan sistem penolong pengadil tambahan (AAR) bermula peringkat suku akhir kempen Piala Malaysia musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata, sistem itu yang diterima pakai daripada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) akan dilaksanakan sepenuhnya dalam Liga Malaysia (Liga M) awal tahun depan.

"Kita akan memperkenalkan sistem itu bermula pertengahan tahun ini secara berperingkat-peringkat bermula dengan beberapa perlawanan persahabatan dan digunakan secara sepenuhnya bermula 2015," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus penolong pengadil tambahan anjuran FAM di Shah Alam semalam.

Menerusi sistem itu, beliau berkata, terdapat dua penolong pengadil tambahan bagi menyertai seorang pengadil dan dua pembantu pengadil.

"Mereka akan ditempatkan di sepanjang garisan gol di setiap gawang untuk melihat insiden di kawasan penalti dan membantu pengadil membuat keputusan.

"Dengan kos setiap set Radio Communication System dan Electronic Flag yang dianggarkan mencecah RM15,000, kita memerlukan 15 set peralatan sedemikian bagi memastikan sistem ini dapat dilaksanakan dalam Liga Malaysia," kata Astaman.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Jawatankuasa Pengadil FAM menerima enam aduan mengenai mutu pengadilan yang lemah melibatkan 415 perlawanan Liga M setakat ini.

"Dua daripadanya mempunyai asas untuk mengambil tindakan terhadap pengadil.

"Selain itu, seramai tujuh pengadil dan penolong pengadil telah diambil tindakan berdasarkan laporan penilaian pengadil," katanya.

Sebanyak 33 pengadil menyertai kursus dua hari itu yang bermula semalam di bawah kendalian Hugh Dallas, Werner Helsen, kedua-duanya daripada jawatankuasa pengadil UEFA selain empat pengajar tempatan - Subkhidin Mohd. Salleh, Mohammad Radzali Yaacob, Nasaruddin Ishak dan Ahmad Khalidi Supian.

Masih belum ada jurulatih tetap

Posted:

Masih belum ada jurulatih tetap

Masih belum ada jurulatih tetap

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan) menyampaikan trofi kepada Khairulnizam selaku Olahragawan UiTM di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) minggu lalu.


ATLET perahu layar negara, Khairulnizam Mohd. Afendy tidak menolak kemungkinan untuk terus menjalani latihan di Croatia jika masih belum memiliki jurulatih tetap.

Khairulnizam berkata, dia akan menjalani latihan bersama-sama jurulatih berpengalaman, Aron Lolic di Croatia dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, persiapan menghadapi temasya Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan September depan jelas terbantut gara-gara masih tidak mempunyai jurulatih tetap sejak 2012.

"Saya akan kembali menjalani latihan bersama Lolic, beliau pernah melatih saya sebelum temasya Sukan Olimpik 2012 di London.

"Saya dimaklumkan sudah ada usaha mendapatkan jurulatih baharu dari New Zealand, namun sampai sekarang tidak nampak apa lagi.

"Jika lambat sangat, saya akan terus menjalani latihan di Croatia dan hanya terus bertemu jurulatih baharu di Incheon kelak," katanya kepada pemberita semalam.

Khairulnizam berkata, dia terpaksa menjalani latihan di Croatia kerana Lolic tidak boleh mengajar pelayar negara lain gara-gara tidak mendapat kebenaran kelabnya kecuali jika Khairulnizam sendiri pergi berlatih di negara itu.

"Ini bukan perkara baharu, saya memang enggan masuk campur urusan pihak pengurusan.

"Saya difahamkan, MSN (Majlis Sukan Negara) sudah cari (jurulatih baharu) dan proses itu memakan masa.

"Namun, saya tetap sedih dan kecewa apabila asyik mendengar alasan yang sama sejak sekian lama," kata pemenang pingat emas Sukan SEA 2013 di Myanmar bagi acara Laser Standard itu.

Mengulas lanjut, Khairulnizam juga sekadar menyasarkan kelompok tiga pelayar terbaik pada temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.

"Saya lebih mementingkan kelayakan ke temasya Olimpik 2016 di Brazil berbanding Sukan Asia, jadi saya khuatir telah mencapai kemuncak lebih awal pada Kejohanan Pelayaran Dunia 2014 di Sepanyol sebelum ke Incheon," katanya.

Khairulnizam menamatkan saingan di tempat keempat pada temasya Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Ahmad Zahid sahkan berlaku kecurian di rumah anak sulungnya

Posted:

Ahmad Zahid sahkan berlaku kecurian di rumah anak sulungnya

Ahmad Zahid sahkan berlaku kecurian di rumah anak sulungnya

26/04/2014 10:00pm

KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan bahawa berlaku kecurian di rumah anak sulungnya, Nurul Hidayah, di Country Heights Kajang dekat sini.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada sebarang kesan pecah masuk dalam kejadian itu.

"Ya (ada kecurian), barang sahaja yang hilang, tapi pintu tak pecah, tingkap juga tak pecah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab ketika dihubungi Bernama turut mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan, dan berkata antara barang yang hilang ialah dua utas jam tangan serta wang tunai RM1,000.

Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan. - Bernama

Penganjur diminta pindah lokasi perhimpunan bantah GST pada 1 Mei ini

Posted:

Penganjur diminta pindah lokasi perhimpunan bantah GST pada 1 Mei ini

Penganjur diminta pindah lokasi perhimpunan bantah GST pada 1 Mei ini

26/04/2014 8:54pm

KUALA LUMPUR - Polis meminta penganjur perhimpunan bagi bantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dirancang diadakan di Dataran Merdeka pada 1 Mei ini, dipindah ke lokasi baharu yang lebih sesuai.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, penganjur perlu mengambil kira banyak isu keselamatan dan ketenteraman awam di bandar raya ini sebelum meneruskan perhimpunan itu di Dataran Merdeka.

"Kita khuatir jika diteruskan di situ, ia akan mendatangkan ketegangan dan mengganggu keselesaan orang awam.

"Lagi pula buat masa ini, Dataran Merdeka tidak boleh digunakan kerana masih menjalani proses menaik taraf padang dan tidak sesuai digunakan untuk sebarang aktiviti memandangkan terdapat mesin dan bahan binaan seperti besi dan kayu-kayan di sekeliling padang," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Setakat ini, polis menerima 31 laporan membantah cadangan mengadakan perhimpunan itu, katanya. - Bernama

VCD dan DVD cetak rompak bernilai RM368,471 dirampas sejak Isnin lepas - Hasan

Posted:

VCD dan DVD cetak rompak bernilai RM368,471 dirampas sejak Isnin lepas - Hasan

VCD dan DVD cetak rompak bernilai RM368,471 dirampas sejak Isnin lepas - Hasan

26/04/2014 8:43pm

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berjaya merampas cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) lagu cetak rompak bernilai RM368,471 dalam 'Operasi Cetak Rompak' di seluruh negara sejak Isnin lepas.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, operasi selama enam hari itu melibatkan 1,850 pegawai penguat kuasa kementeriannya.

"Sebanyak 1,264 premis diperiksa dalam operasi itu dan daripada jumlah itu, sebanyak 81 premis disiasat di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan 31 kes di bawah Peraturan-peraturan Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Bersatu Membanteras Cetak Rompak, di sini hari ini.

Tambahnya, bagi tempoh Januari hingga Mac lepas pula, pihaknya berjaya membuat rampasan barangan sama bernilai RM877,922 hasil pemeriksaan di 11,704 premis seluruh negara.

"Daripada jumlah premis yang diperiksa itu, sebanyak 235 kertas siasatan telah dibuka," katanya. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Pesawat beri isyarat dirampas

Posted:

Pesawat beri isyarat dirampas

Pesawat beri isyarat dirampas


REUTERS
BEBERAPA anggota tentera udara mengawal pesawat Virgin Australia yang membawa seorang penumpang mabuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali semalam.


JAKARTA - Gelagat seorang penumpang yang mabuk dan berkelakuan kasar menyebabkan sebuah pesawat Virgin Australia memberikan isyarat cemas bagi memberitahu rampasan sedang berlaku sebelum ia mendarat di sebuah lapangan terbang di Denpasar, Bali semalam.

Penumpang tersebut dilaporkan cuba memasuki kokpit menyebabkan juruterbang terpaksa memberi isyarat insiden itu sebagai rampasan kepada pengawal trafik udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai.

Pengurus syarikat penerbangan Virgin Australia di Ngurah Rai, Heru Djatmiko seperti dipetik stesen televisyen, Metro TV sebagai berkata, pesawat berkenaan yang berlepas dari Brisbane, Australia sebenarnya tidak dirampas.

Sebaliknya, beliau berkata, juruterbang terpaksa menggunakan isyarat menyatakan pesawat yang membawa 137 penumpang dan tujuh kru dirampas untuk 'menangani' penumpang yang mabuk itu.


AFP
LOCKLEY (tengah) dikawal beberapa anggota tentera udara selepas dia dibawa keluar dari pesawat tersebut.


"Saya tidak pasti apa sebenarnya berlaku ketika juruterbang berkomunikasi dengan pengawal trafik udara di Ngurah Rai tetapi ia hanyalah salah faham.

"Bagaimana salah faham itu boleh terjadi, saya tidak dapat menjawab. Tetapi, adalah tidak benar jika menyatakan pesawat itu dirampas," katanya.

Heru berkata, beliau telah berkomunikasi dengan pengurus besar Angkasa Pura yang menyelia lapangan terbang di Indonesia, dan beliau menyatakan tiada rampasan yang berlaku.

Penumpang mabuk berusia 28 tahun itu, Matt Christopher Lockley kemudian ditahan kru dan tangannya digari semasa dia berada di dalam pesawat.

Lockley tidak cuba untuk melawan ketika dia ditangkap kru pesawat Boeing 737-800 itu.

Dia kemudian dibawa turun dan ditahan pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Penerbangan Awam Indonesia, Herry Bakti Gumay berkata, Kawalan Trafik Udara di lapangan terbang berkenaan mula menerima laporan dan isyarat daripada juruterbang menyatakan pesawat itu dirampas, pada pukul 1.05 tengah hari iaitu satu jam sebelum ia mendarat.

Menurut jurucakap Tentera Nasional Indonesia, pesawat itu mendarat di Bali pada pukul 2.10 petang waktu tempatan.

Ketua Polis Bali, Benny Mokalu berkata, seorang kru pesawat menyatakan, Lockley meminta ubat-ubatan dan mula mengetuk pintu kokpit.

Lockley memakai seluar putih dan baju-T dikawal oleh anggota-anggota tentera udara Indonesia ketika dia turun dari pesawat. - Agensi

Helikopter Apache terhempas di atas bangunan

Posted:

Helikopter Apache terhempas di atas bangunan

Helikopter Apache terhempas di atas bangunan


AFP
BEBERAPA orang pekerja memindahkan bangkai sebuah
helikopter Apache AH-64E di atas bumbung bangunan
di Taoyuan, Taiwan semalam.


TAIPEI - Dua juruterbang cedera semalam apabila helikopter Apache AH-64E yang dinaiki mereka terhempas di atas sebuah bangunan tiga tingkat di daerah Taoyuan, utara Taiwan.

Menurut seorang pegawai tentera, ketika kejadian, dua juruterbang tersebut sedang mengikuti latihan penerbangan.

kedua-dua juruterbang itu dihantar ke sebuah hospital tentera untuk mendapatkan rawatan kerana mendapat kecederaan ringan.


AFP
BENTUK bahagian depan helikopter itu yang remuk.


"Nahas berlaku ketika latihan asas penerbangan dilakukan untuk tujuan yang tidak diketahui manakala sebuah pasukan kahas sedang menyiasat punca kejadian," kata seorang pegawai tentera kepada pemberita.

Pada bulan November tahun lalu, Taiwan menerima enam buah helikopter Apache AH-64E yang dibeli dari Amerika Syarikat. - AFP

Kakitangan Mas ditahan lebih 10 jam

Posted:

Kakitangan Mas ditahan lebih 10 jam

Kakitangan Mas ditahan lebih 10 jam


AP
BEBERAPA orang saudara-mara penumpang menunggu di luar Kedutaan Malaysia untuk memperoleh maklumat terbaharu misi
pencarian pesawat MH370 di Beijing
semalam.


KUALA LUMPUR - Sebahagian saudara-mara penumpang sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu menahan beberapa kakitangan MAS lebih 10 jam di sebuah hotel di Beijing, China, kata MAS semalam.

Sebanyak 153 dari 227 penumpang dan 12 kru yang menaiki pesawat itu merupakan warga China.

Pesawat itu hilang semasa dalam penerbangan ke Beijing, China.

Menurut kenyataan MAS, lebih 200 keluarga menahan 10 kakitangan MAS dan mereka dibebaskan awal semalam.

"Penerbangan Malaysia mengesahkan kakitangannya ditahan di Hotel Lido di Beijing oleh anggota keluarga penumpang MH370 yang menyuarakan perasaan tidak puas hati kerana gagal untuk memperoleh maklumat tentang pesawat yang hilang itu," kata MAS.

Operasi mencari pesawat itu di selatan Lautan Hindi yang melibatkan beberapa buah negara termasuk Australia gagal menemui sebarang serpihan.

Menurut beberapa pegawai Australia, kawasan pencarian yang menggunakan kenderaan dalam air autonomi yang dikenali Bluefin-21 akan diperluaskan selepas ia gagal mengesan pesawat itu di dalam laut di kawasan pencarian yang ditetapkan sebelum ini. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Kisah dongeng keluarga BCL

Posted:

Kisah dongeng keluarga BCL

Kisah dongeng keluarga BCL

ASHRAF dan Bunga memberitahu, kunci utama hubungan harmoni mereka ialah sering berkomunikasi dalam semua hal.


KELOPAK yang makin mekar mengharum, dalam taman cinta yang sarat rasa kasih dan sayang. Itu perumpamaan hubungan Bunga Cinta Lestari yang sedang leka menganyam impian dan harapan bersama dua arjuna hatinya, si suami Ashraf Sinclair dan anak mereka, Noah.

Noah, si putera sulung yang usianya mencecah tiga setengah tahun hasil perkongsian hidup enam tahun bersama Ashraf sudah tidak terkejar jika diajak bermain.

"Kalau diajak bermain memang dia tidak akan berhenti, kerana itu kami sendiri sebagai ibu bapa perlu pandai mencuri masa," demikian Bunga membuka cerita ketika diajak bersembang usai majlis pelancaran wangian terbaharu, Lux di Sunway Resort Hotel & Spa, Bandar Sunway, baru-baru ini.

Duduk bersebelahan, adakalanya berdakapan mesra, nescaya pasangan itu masih dilimpahi kurnia rasa cinta yang membuak-buak.

Cinta dan keluarga

Percaya atau tidak, jelas Bunga, 31, rahsia untuk menyuburkan rasa cinta saban hari berteraskan usaha yang tidak berbelah-bahagi dan meletakkan posisi diri sebagai pasangan, bukannya peranan ibu dan bapa semata-mata.

"Orang selalu tanya saya kelihatan seperti tinggal dalam dunia dongeng, dapat saja apa yang dimahukan. Tapi percayalah, semuanya yang indah tidak datang bergolek.

"Saya perlu letakkan banyak usaha untuk mendapatkan apa yang saya perolehi sekarang. Saya bertuah dianugerahi seorang suami seperti Ashraf.

"Untuk membina hubungan selama enam tahun dan masih subur rasa cinta perlu ada banyak pengorbanan dan kebetulan pula karakter kami hampir serupa.

"Kami berkongsi minat yang sama, suka mengembara dan berjalan-jalan, cita rasa makanan yang sama malah fikiran untuk mendidik anak pun sama. Kadang-kadang apabila menjadi ibu bapa kita lupa peranan asal sebagai pasangan," singkapnya.

Hujah itu disokong kuat Ashraf, 35. Katanya setiap kisah dongeng itu perlu ada usaha dan penerimaan terhadap diri sendiri yang dilihatnya sebagai satu proses untuk berkembang.

"Kami menjadi pasangan bercinta dulu sebelum bergelar ibu dan bapa. Sudah pasti kami juga mahukan anak kami hidup dikelilingi keluarga yang harmoni, bahagia dan cinta satu sama lain," ceritanya lanjut.

Gosip, kontroversi

Magis cinta pasangan itu dikongsikan lebih mendalam. Perkara paling romantis yang pernah dilakukan Bunga kepada Ashraf adalah menyediakan sarapan pagi di atas katil sebelum pasangan itu keluar bekerja.

Pernahkah meletakkan sebarang syarat untuk salah seorang sesama pasangan? Jawab Ashraf, tiada syarat khusus melainkan mempraktik undang-undang komunikasi.

"Kami selalu berbincang dan meluangkan masa bersama. Paling penting adalah menjaga diri sendiri. Saya selalu berpesan pada Bunga, dia perlu menjaga diri sebab sekiranya dia sakit atau penat, bagaimana pula dia mahu menjaga kami berdua?

"Kami tidak pernah bergaduh kerana gosip tidak berasas. Percaya satu sama lain dan kami berkomunikasi. Saya ada Bunga untuk mempertahankan saya dan begitulah sebaliknya jika diancam gosip atau kontroversi," jelas Ashraf.

Bunga mencelah, baik dia mahupun suaminya, masing-masing tidak gusar untuk berkongsi kisah peribadi dan keluarga kepada masyarakat menerusi media sosial contohnya Instagram.

PASANGAN ini menjadi duta produk kecantikan Lux Indonesia untuk kempen keluaran terkini, Lux Reignite The Spark Couple sejak Februari tahun ini.


Kata Bunga, jika kehidupannya sebagai pasangan selebriti boleh memberikan inspirasi kepada orang ramai apa salahnya untuk dia bersifat terbuka.

Seperti mana orang kebanyakan, wanita itu mengakui adakalanya timbul juga perselisihan pendapat antara mereka, tetapi ditangani dengan berhemah.

"Kadang-kadang ada juga rasa tertekan dengan populariti, tapi Alhamdulillah itu bermakna karier kami berkembang baik. Orang pun selalu mahu tahu perkembangan kami, jadi kenapa perlu sorok-sorok," katanya.

Anak kedua

Populariti tidak terhad kepada Bunga dan Ashraf semata-mata. Turut terkesan, putera sulung pasangan itu, Noah.

"Mula-mula kami sangat defensif, terutamanya Ashraf. Seboleh-boleh kami mahu Noah tidak disimbah populariti tapi ini hidup kami dan dia sebahagian daripada kami.

"Mahu atau tidak, dia juga akan dikejar dan ke mana saja dia pergi, dia turut diburu media. Daripada kami menyembunyikan dia lebih baik kami mendidik dia tentang dunia kami," jelasnya.

Selepas Noah mencecah usia tiga tahun setengah, adakah mungkin Bunga dan Ashraf merancang untuk mendapatkan anak kedua pula?

"Tekanan untuk mendapatkan sosok tubuh seperti sebelum hamil itu sebenarnya yang selalu menghalang saya.

"Dek kerana terlalu sibuk kami tidak terfikir untuk mendapatkan anak kedua dalam tempoh terdekat. Tapi selepas kami melawat Aishah Sinclair (adik ipar Bunga) yang baru bersalin baru-baru ini, saya merindui perasaan dan momen mendukung bayi," jelasnya.

Tambah Ashraf: "Insya-Allah kalau ada rezeki kami terima. Selama ini pun kami tidak merancang."

Habibie & Ainun

Kejayaan filem Habibie & Ainun telah meletakkan Bunga pada satu peringkat lebih tinggi dan melonjakkan sahamnya sebagai salah seorang ikon pelakon berwibawa di Indonesia.

Habibie & Ainun telah berjaya merangkul Anugerah Filem Terbaik dan Runut Bunyi Terbaik sempena Indonesian Movie Awards (IMA Awards) 2013. Sementelah, Bunga juga menjadi pelakon wanita yang paling mahal di negaranya ketika ini.

"Saya pun tidak tahu, mungkin orang yang meletakkan tanggapan sedemikian. Mereka pun tidak tahu berapa saya dibayar bukan?

"Industri hiburan sukar diduga, adakalanya hari ini kita dipuja tapi kemudiannya kita dikeji pula. Bagi saya, itu cuma khabar angin dan saya tidak terjejas pun.

"Mungkin kerana filem itu yang menjadi filem nombor satu di Indonesia jadi orang lebih memandang serius. Kalau benar saya bersyukur," katanya.

Bunga yang baru usai melancarkan album ketiganya, Best Of BCL baru-baru ini memberitahu, dia bakal melancarkan album keempatnya tidak lama lagi di Indonesia.

"Album Best Of BCL mengandungi lagu terbaik saya daripada album pertama dan kedua selain single terbaharu Cinta Sejati, Tiga Salahmu, Jangan Gila dan Jangan Salahkan Dia.

"Untuk karier lakonan, saya belum bersedia lagi kerana mahu memberikan tumpuan sepenuhnya dalam bidang nyanyian terlebih dulu.

"Lagipun belum ada skrip atau watak yang ditawarkan mampu menandingi kekuatan filem Habibie & Ainun. Mungkin kalau tawarannya berbeza dan orang sudah berhenti memanggil saya Ainun saya akan terima berlakon drama pula," katanya yang menantikan tawaran berbentuk muzikal.

Alif Satar kahwin September

Posted:

Alif Satar kahwin September

Alif Satar kahwin September

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


ALIF bersama rakan artis dari Singapura iaitu Sezairi dan Judika dari Indonesia bergabung dengan artis terkenal dunia, Ricky Martin dalam lagu tema Piala Dunia FIFA 2014, Vida.


PENYANYI Alif Satar, 24, telah mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, Sha Dila Halid, 30, pada 14 Januari lalu di kediaman keluarga Sha Dila di Rembau, Negeri Sembilan.

Bakal melangsungkan perkahwinan pada bulan September ini, pelantun Lelaki Seperti Aku itu sudah mempunyai tarikh kahwin.

Namun, enggan mendedahkannya kepada umum dalam masa terdekat ini demi menghormati permintaan ibunya.

Alif juga berkongsi perasaan terujanya dapat berkolaborasi dengan penyanyi terkenal antarabangsa, Ricky Martin, menerusi lagu Piala Dunia FIFA 2014, Vida.

Mereka sempat berbual menerusi Skype ketika mengikuti lawatan bersama Sony Music ke Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Alif selanjutnya.

Kosmo!: Difahamkan Alif bakal mendirikan rumah tangga pada bulan September ini sempena sambutan ulang tahun anda dan Sha Dila? Sudah mempunyai tarikh?

ALIF: Sudah ada tarikh tetapi maaf saya tidak dapat dedahkan ia buat masa ini demi menghormati permintaan ibu.

Sudahkah anda bersedia berumah tangga pada usia yang baru mencecah 24 tahun?

Walaupun agak gementar tetapi saya sudah bersedia. Saya sudah ada rumah dan kereta sendiri. Apa lagi yang saya mahukan kalau bukan seorang isteri. Saya juga sudah bertemu dengan keluarga bakal mertua.

Ada yang beranggapan anda berkahwin pada usia muda kerana ingin menjaga hati Sha Dila yang enam tahun lebih berusia daripada anda? Benarkah?

Saya sememangnya sudah bersedia memperisterikan dia. Bukan sebab hendak menjaga hati. Lagipun, saya sudah usung dia ke hulu ke hilir. Lebih elok sekiranya berkahwin.

Bagaimanakah penerimaan keluarga terutama ibu pada mulanya apabila anda mengambil keputusan untuk berkahwin?

Mama (panggilan pada ibunya) dan peminat sangat menyokong. Saya akui dalam perhubungan kami selama empat tahun memang banyak cabaran. Cabaran sebab saya sibuk dengan karier nyanyian. Kadang-kadang sampai tiga minggu kami tidak berjumpa.

Bagaimana pula penerimaan kawan-kawan apabila anda menyuarakan hasrat ingin berkahwin?

Ada seorang kawan saya cakap tak takut ke selepas kahwin kerjaya jatuh. Saya sebenarnya tidak suka bila dia cakap macam itu. Bagi saya perkahwinan merupakan permulaan dalam hidup saya. Adakah dia tidak percaya pada rezeki Allah? Saya ambil contoh Faizal Tahir dan Aaron Aziz, walaupun mereka sudah berkahwin, mereka tetap dapat membina kerjaya.

Bagaimanakah persiapan perkahwinan, sudah selesai?

Sudah selesai semuanya. Lokasi pun sudah ada. Kami akan bernikah dan melangsungkan perkahwinan di Kuala Lumpur.

Ada dapat sebarang tajaan untuk perkahwinan anda?

Ada, tetapi saya tidak mahu menerimanya. Bukan sombong, sebaliknya saya mahu menggunakan duit saya sendiri.

Apakah keistimewaan Sha Dila sehingga dapat menambat hati anda?

Saya suka tengok dia ketawa. Dia juga pandai bawa diri dan pandai menjaga hati kanak-kanak serta orang tua.

Boleh kongsikan pula perasaan dapat berbual dan berkolaborasi dengan Ricky Martin menerusi lagu Vida?

Sebenarnya saya berharap sangat dapat bertemu dengan dia (Ricky). Saya bangga dapat berbual dengannya menerusi Skype. Malah, dapat turut sama berkolaborasi menerusi lagu Vida ini dengannya. Selain Ricky, saya juga teruja dapat bekerja sama dengan penyanyi popular Indonesia, Judika dan penyanyi Singapura iaitu Sezairi.

Selain daripada kolaborasi tersebut, apakah perkembangan terbaharu anda dalam bidang muzik?

November tahun lalu saya ada keluarkan album baharu berjudul Definisi. Album ketiga ini lain dengan album terdahulu saya seperti Nakal (2009) dan Lelaki Seperti Aku (2011). Album ini menunjukkan sisi matang saya. Sebanyak 90 peratus gaya lagu Bruno Mars dan Justin Timberlake ada dalam album baharu saya ini.

Lagu anda seperti Jangan Nakal dan Lelaki Seperti Aku cukup popular dan diminati ramai. Tetapi kenapa nama anda belum cukup popular dan kukuh dalam industri?

Saya sedar hakikat itu. Bagaimanapun, falsafah saya, saya lebih rela berada dalam situasi konsisten daripada popular dan nama merudum. Kalau boleh saya mahu menyanyi lama seperti Amy (Search) dan Zamani (Slam).

Lagu Biar jadi pilihan pendengar Hot FM

Posted:

Lagu Biar jadi pilihan pendengar Hot FM

Lagu Biar jadi pilihan pendengar Hot FM

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

LAGU duet berjudul Biar ternyata membawa tuah kepada Hanisah (kiri) dan Zuliana apabila menjadi pilihan pendengar Hot FM.


PROJEK EP Hot FM yang buat julung-julung kalinya dianjurkan oleh stesen radio Hot FM telah menobatkan lagu berjudul Biar hasil ciptaan Hanisah Hasan dan Zuliana Eusoff sebagai pemenang.

Merupakan sebuah pertandingan yang memberi peluang kepada pencipta lagu amatur untuk mempertandingkan hasil ciptaan masing-masing, ternyata ia mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada pendengar stesen tersebut.

Pengurus Besar Kumpulan Rangkaian Radio Media Prima, Anida Tahrim berkata, sejak pertandingan tersebut dimulakan pada bulan Februari lalu, pihak Hot FM telah menerima sebanyak 1,052 penyertaan.

"Penyertaan pada peringkat pertama telah bermula pada 10 hingga 23 Februari yang lalu. Menerusi kesemua lagu yang dihantar itu, hanya enam lagu sahaja yang terpilih ke peringkat akhir.

"Keenam-enam lagu tersebut telah dimuat naik ke dalam laman web Hot FM bermula pada 1 Mac. Kemudian pendengar akan memilih lagu yang terbaik menerusi undian di laman web dalam tempoh selama seminggu," ujarnya dalam satu majlis pengumuman pemenang yang berlangsung di Talent Lounge, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menurut Anida, pemilihan peringkat pertama dibuat oleh pihak Hot FM bersama komposer berbakat, AG Coco yang juga bertindak selaku penasihat, manakala pemenang utama pula dipilih 100 peratus menerusi undian pendengar.

Ujarnya, sepanjang tempoh seminggu undian dibuka, sebanyak 13,000 undian yang telah diterima dan lagu Biarlah dipilih sebagai pemenang setelah mendapat undi tertinggi iaitu 4,418.

"Pada mulanya kami mahu memilih lima lagu terbaik sahaja untuk ke peringkat akhir. Bagaimanapun, berdasarkan sambutan yang cukup menggalakkan akhirnya kami mengambil keputusan untuk menambah lagi sebuah lagu.

"Selain itu, Projek EP Hot FM akan berlangsung dalam dua pusingan lagi. Pusingan yang kedua akan bermula pada 28 April ini dan pusingan ketiga dijangka berlangsung selepas Hari Raya Aidilfitri," jelasnya.

Menurutnya, hadiah kepada pemenang pertandingan tersebut akan menerima penajaan sepenuhnya daripada Hot FM untuk menerbitkan single serta proses rakaman dan klip video.

Sementara itu, AG Coco yang turut terlibat secara langsung menyatakan bahawa lagu Biar itu sememangnya menjadi pilihan berdasarkan kepada susunan muzik dan liriknya yang memenuhi cita rasa pendengar.

Namun begitu, dia mengakui berhadapan dengan cabaran memandangkan penyertaan yang diterima agak banyak dan memang sukar buat dirinya dan pihak Hot FM membuat pilihan bagi mencari enam lagu terbaik untuk ke peringkat akhir.

"Bagi saya pendekatan yang dilakukan oleh Hot FM ini sesuatu yang sangat positif kerana kita sebenarnya memiliki ramai pencipta lagu yang berbakat. Jadi, pertandingan sebegini dapat menjadi platform kepada sesiapa sahaja yang mahu berkarya," ujarnya.

Ciptaan bersama

Berkenaan dengan kemenangan yang diraih oleh lagu Biar setelah mendapat undian yang tertinggi, Hanisah, 20, yang mencipta lagu tersebut bersama rakannya, Zuliana, 20, meluahkan rasa gembira dan tidak menyangka lagu berkenaan digemari ramai.

Ujar Hanisah, lagu tersebut telah dihasilkan oleh mereka berdua sejak masing-masing berusia 16 tahun, tetapi ia tidak siap sepenuhnya sehinggalah mereka kembali menyambungnya pada awal tahun ini.

"Penyertaan kami dalam Projek EP Hot FM berlaku secara kebetulan apabila ada rakan yang menyarankan supaya menyertainya apabila mengetahui yang kami baru sahaja menyiapkan lagu ini.

"Walaupun sudah agak lama lagu ini terperap setelah mula dihasilkan empat tahun lalu, kami berpuas hati kerana ia menjadi pilihan ramai," ungkapnya yang turut menyanyikan lagu berkenaan secara duet bersama Zuliana.

Atas kemenangan tersebut, Hanisah menyatakan bahawa dia dan Zuliana berminat mencipta lagu untuk penyanyi lain, namun mahu meraih lebih banyak pengalaman dalam bidang penciptaan lagu terlebih dahulu.

Kredit: www.kosmo.com.my

Jumaat, 25 April 2014

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Layanan kelas kedua seni bina landskap

Posted:

Layanan kelas kedua seni bina landskap

Layanan kelas kedua seni bina landskap

KERJAYA arkitek landskap sudah lebih 30 tahun bertapak di Malaysia.


SEWAKTU bergelar arkitek landskap kira-kira tiga tahun lalu, penulis masih teringat pengalaman bekerja selama 18 jam sehari terutama menjelang tempoh penawaran tender dan tarikh akhir penyerahan dokumen kepada pihak berkuasa tempatan.

Beberapa arkitek landskap dan pelukis pelan yang terlibat akan mula bekerja seawal pukul 9 pagi sehingga 3 pagi keesokan hari. Kadangkala rutin tersebut berlarutan sehingga sebulan dan amalan berkampung di syarikat sudah menjadi kelaziman kepada mereka yang bekerja dalam bidang ini.

Beban kerja yang terlalu banyak pada satu-satu masa menjadi punca ramai graduan muda seni bina landskap tidak mampu bertahan lama dengan kerjaya tersebut. Rata-rata berpendapat pendapatan bulanan yang diterima tidak setimpal dengan pengorbanan masa yang diberikan.

Baru bergelar arkitek landskap selama tujuh bulan, Seri Rahayu Puteri Ghazalli, 24, berkongsi pengalamannya menggalas tanggungjawab tersebut bagi merancakkan industri landskap negara.

"Bekerja dalam bidang ini memang tertekan terutama apabila tarikh akhir semakin dekat. Berada di pejabat sehingga larut malam itu sudah menjadi kebiasaan bagi kami. Namun, saya dan rakan sekerja akan balik awal jika beban kerja tidak terlalu banyak.

"Kadang-kadang kami bekerja secara berkumpulan dan saling membantu bagi meringankan kerja. Bila difikirkan balik, apa-apa pekerjaan pun ada tekanan. Begitulah kehidupan," ujarnya yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Landskap dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ketika ditanya sama ada bayaran yang diberikan kepada arkitek landskap setimpal dengan bidang tugas dan kepakaran mereka, Seri Rahayu Puteri mengakui rasa terkilan.

"Secara jujurnya ia tidak setimpal kerana seni bina landskap merupakan bidang profesional dan amat disanjungi di luar negara. Jika dibandingkan dengan bidang kepakaran lain seperti kejuruteraan dan seni bina, saya lihat gaji arkitek landskap agak rendah.

"Mungkin sebab itu ramai arkitek landskap yang beralih bidang kerana mereka tidak yakin dengan bidang ini yang pada saya amat menarik untuk diteroka. Selain itu, saya berpendapat mungkin mereka takut dengan tekanan," jelasnya ketika ditemui.


ROSLY (kiri) menerangkan kepada wakil pemaju tentang konsep rekaan landskap yang dihasilkannya.


Syarat majikan

Di Malaysia, gaji permulaan bagi seorang arkitek landskap lepasan ijazah sarjana muda sekitar RM1,600 hingga RM2,000. Bagaimanapun, terdapat syarikat yang sudah kukuh dan mempunyai kewangan stabil menggaji graduan muda sebanyak RM2,300 sebulan.

Isu ini bukan sekadar tertumpu kepada gaji rendah tetapi terdapat syarikat yang tidak bertanggungjawab memanipulasi pekerja tanpa mengendahkan kebajikan mereka. Memandangkan arkitek landskap tergolong dalam bidang kerjaya profesional atau bertaraf eksekutif, mereka tidak dibayar untuk kerja lebih masa.

Ada juga majikan yang meletakkan syarat jika arkitek landskap itu bekerja lebih lapan jam baru berhak untuk mendapatkan satu hari cuti ganti. Ini bermakna, jika anda hanya bekerja lebih masa selama tujuh jam, anggap sahaja kerja yang dilakukan itu sebagai perkhidmatan percuma kepada syarikat. Penindasan sebegitu sudah lama berlaku.

Graduan seni bina landskap yang kini bergelar Ketua Pegawai Eksekutif bagi Jootawan Group Sdn. Bhd., Ammar Zaharudin, 27, berkata, beliau membuka perniagaan lain selepas melihat bidang seni bina landskap sering mendapat layanan kelas kedua daripada pihak pemaju.

"Seni bina landskap sering dipinggirkan dalam satu-satu projek walhal kerjaya tersebut setaraf dengan arkitek. Jururunding landskap sukar untuk cari makan kerana bajet yang diperuntukkan untuk mereka jadi pilihan terakhir dalam sesebuah projek.

"Katakan jurutera atau arkitek memerlukan bajet yang lebih, maka bajet yang pada asalnya diberikan kepada arkitek landskap akan dipotong supaya kos keseluruhan projek tidak terjejas," katanya yang menyedari dunia sebenar arkitek landskap semasa menjalani latihan industri.

Ammar yang memiliki tiga syarikat di bawah pengurusannya menjalankan perniagaan berasaskan pemasaran internet, pengurusan majlis korporat, penerbitan buku, kewangan islam dan akademi latihan.

Pada masa sama, beliau menangkis tanggapan segelintir masyarakat yang berpendapat graduan yang beralih kepada bidang lain sebagai tidak berdaya saing. Baginya, golongan tersebut lebih kental kerana dapat bekerja lebih pantas dan serba boleh apabila diberikan tugasan.

"Saya mempunyai pekerja daripada kedua-dua golongan iaitu yang beralih bidang dan yang memegang jawatan berdasarkan kelayakan mereka.

"Pekerja daripada latar belakang yang berkaitan dengan pekerjaan mereka selalu meletakkan batas dalam sesuatu perkara kerana terlalu terikat dengan apa yang dipelajari di universiti," jelasnya.


TUGAS arkitek landskap penting sebagai pelengkap sesebuah projek hartanah kerana merupakan pihak yang pakar dalam bidang tersebut.


Persaingan

Seni bina landskap mula bertapak di Malaysia pada akhir tahun 1970-an. Ia lebih tertumpu kepada pengindahan kawasan kediaman rasmi, jalan, bangunan awam, taman rekreasi dan istana. Namun, sehingga kini masih belum ada akta khas yang diperuntukkan terhadap bidang tersebut biar pun sudah menjangkau tempoh lebih tiga dekad.

Sementara itu, arkitek landskap kanan, Rosly Shariff, berkata, persaingan yang tinggi membuatkan banyak syarikat merendahkan kadar bayaran perkhidmatan bagi merebut projek landskap.

"Apabila syarikat menerima bayaran perkhidmatan yang rendah, mereka terpaksa membayar gaji rendah dan tiada bonus untuk pekerja. Melainkan jika syarikat tersebut benar-benar bagus kerana mereka boleh meletakkan bayaran tinggi daripada klien dan bersikap selektif terhadap projek.

"Keadaan pasaran pula tidak mencukupi jika dibandingkan dengan jumlah pelajar yang bergraduat pada setiap tahun," ujarnya yang sudah berpengalaman 25 tahun dalam bidang tersebut.

Pada tahun 1997, beliau berhijrah dari Kuala Lumpur ke Ipoh, Perak bagi membuka syarikat sendiri kerana permintaan terhadap projek landskap yang tinggi pada waktu itu. Namun, kegawatan ekonomi yang berlarutan sehingga tahun 2000 membuatkan syarikatnya tidak dapat bertahan.

Pada waktu genting tersebut, syarikat landskap yang menawarkan perkhidmatan jururunding tidak mampu menstabilkan syarikat manakala kontraktor landskap masih boleh bertahan dengan menurunkan harga pokok tanaman untuk meneruskan perniagaan.

"Tiada penguatkuasaan daripada pihak kerajaan dan akta khas bagi seni bina landskap membuatkan sesetengah pemaju memilih jururunding landskap dengan bayaran paling rendah.

"Jika bidang ini sudah ada satu akta yang melindunginya, yuran perkhidmatan dijangka akan naik dan dapat diselaraskan. Ia akan memberi pulangan yang setimpal kepada jururunding," jelas graduan daripada Arizona State University ini.

Pukul bantal sedunia

Posted:

Pukul bantal sedunia

Pukul bantal sedunia

Acara pukul bantal diharap dapat mengurangkan tekanan mereka yang tinggal di bandar-bandar besar di seluruh dunia sambil berseronok.


KECERIAAN jelas terpancar pada wajah salah seorang peserta.


BERATUS-RATUS orang berkumpul di lebih 100 bandar raya di seluruh dunia pada awal bulan ini bagi meraikan Hari Lawan Bantal Sedunia.

Sambutan tahun ini merupakan kali kelapan diadakan secara berturut-turut yang disambut pada 5 April. Dalam acara ini, para peserta akan memenuhi ruang awam untuk bertarung antara satu sama lain menggunakan bantal.

Di Washington, sekumpulan profesional muda yang dikenali sebagai Capitol Improv menggunakan laman sosial untuk mengelola satu acara lawan bantal secara besar-besaran di National Mall.


PARA peserta diwajibkan memukul bantal ke arah lawan masing-masing.


Acara yang berlangsung tepat pada pukul 2 petang itu, disertai berpuluh-puluh ahli kumpulan tersebut. Mereka berlari secara bertentangan di antara Monumen Washington dan Memorial Nasional Perang Dunia Kedua sambil membawa bantal dan menjerit-jerit kegembiraan.

Pertempuran yang berlangsung itu berjaya menarik perhatian orang ramai yang berada di taman tersebut. Bantal-bantal dipukul ke arah lawan masing-masing, manakala isi kekabu atau bulu-bulu ayam berterbangan.

Pada hari itu sahaja beratus-ratus biji batal telah pecah akibat pertempuran hebat ahli-ahli Capitol Improv.

Tarikan

Ketua pengelola acara tersebut, Oscar Soto berkata, acara itu telah berjaya menarik lebih 500 pelajar dari dalam dan luar negara, golongan profesional serta kanak-kanak.


KANAK-KANAK tidak melepaskan peluang untuk sama-sama memeriahkan acara dengan berpakaian seperti adi wira Spider-Man.


Menurut Soto, tarikan sejagat terhadap acara lawan bantal telah menjadi kunci kepada mereka untuk menjadikannya sebagai acara tahunan.

"Semua orang mengingati detik seperti ini ketika bergelar kanak-kanak.

"Kini, setelah dewasa dan menetap di kawasan bandar seperti Washington diharap acara ini dapat mengurangkan tekanan sekeliling," kata Soto.

Adegan yang sama turut berlaku di berpuluh-puluh lagi bandar lain di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia. Pihak penganjur menjadikan taman permainan sebagai lokasi acara tersebut.

"Jika anda mahu acara lawan bantal di bandar anda, sila layari laman web, pillowfightday.com.

"Acara ini berlaku di seluruh dunia dan anda perlu menjadi sebahagian daripadanya," ujar Soto.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Saiful Apek didenda RM2,500

Posted:

Saiful Apek didenda RM2,500

Saiful Apek didenda RM2,500

Oleh NORHAYATI YAHAYA
norhayati.yahaya@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Pelakon dan pelawak komedi terkenal, Saiful Apek didenda RM2,500 oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam setelah mahkamah berkenaan mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskannya daripada tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan empat tahun lalu.

Tiga lagi tertuduh, Shah Zainatul Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 30, Shaiful Baharom, 26, dan Noremy Mohamad, 30, yang merupakan pekerja di syarikatnya, Gitu-Gitu Production turut dijatuhi hukuman sama.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 30 September tahun lalu yang melepas dan membebaskan Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohd. Saifulazam Mohamed Yusoff, 45, dan tiga rakannya itu.

Nurchaya turut memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya mereka gagal membayar denda tersebut.

Kesemua tertuduh yang hadir ke mahkamah semalam membayar denda berkenaan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

30 penipu cinta Afrika diberkas

Posted:

30 penipu cinta Afrika diberkas

30 penipu cinta Afrika diberkas

Oleh MOHD SHARKAWI LONDING
sharkawi.londing@kosmo.com.my


SEBAHAGIAN warga asing termasuk wanita yang ditahan dalam Ops Tiong bagi membanteras penipuan cinta internet di Taman Connaught, Cheras semalam.


KUALA LUMPUR – Sebanyak 30 termasuk empat wanita warga Afrika ditahan bagi disiasat mengenai pembabitan mereka dalam kes penipuan cinta internet menerusi Ops Tiong di Sri Cendikia Kondominium dan Coolge Cyber Cafe Taman Connaught, Cheras di sini semalam.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 22 lelaki Nigeria, dua lelaki Zimbabwe, masing-masing seorang lelaki warga Cameroon dan Sudan.

"Empat wanita tersebut merupakan warga Nigeria, Mauritius, Cameroon dan Tanzania," kata beliau kepada pemberita selepas operasi selama lapan jam bermula pukul 11 malam kelmarin.

Menurut beliau, semua yang ditangkap berusia 20 hingga 40 tahun dengan lapan tidak memiliki apa-apa dokumen manakala bakinya memasuki negara ini menggunakan pas pelajar.

Abdul Jalil memberitahu, mereka ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung 239 laporan polis yang membabitkan kerugian RM10 juta kebanyakannya dibuat oleh wanita yang mendakwa tertipu dengan cinta palsu warga asing sehingga April tahun ini.

Bersama tangkapan itu, beliau berkata, polis merampas enam buah komputer riba yang dipercayai digunakan oleh warga asing itu untuk melakukan godaan cinta palsu atau jenayah penipuan lain.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Ejen wanita warga Indonesia ditahan

Posted:

Ejen wanita warga Indonesia ditahan

Ejen wanita warga Indonesia ditahan


KERATAN Kosmo! semalam.


SEREMBAN - Seorang wanita warga Indonesia dipercayai ejen pembantu rumah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes mengurung gadis rakan senegaranya yang diselamatkan imigresen di Taman Seri Rahang di sini kelmarin.

Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, wanita berusia 37 tahun itu ditahan dalam operasi selama lapan jam bermula pukul 8 malam kelmarin di sebuah rumah di Kapar dekat Klang, Selangor.

"Pemeriksaan awal mendapati wanita berkenaan yang berada di negara ini sejak tahun 2012 tidak dokumen perjalanan yang sah.

"Dalam operasi itu, kita turut menahan empat wanita warga negara sama yang dipercayai sedang menunggu untuk bekerja sebagai pembantu rumah," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved