Jumaat, 7 September 2012

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Kanak-kanak ditemui di bawah mayat

Posted:

Kanak-kanak ditemui di bawah mayat

BEBERAPA anggota polis mengawal lokasi kanak-kanak perempuan bersembunyi dalam sebuah kereta BMW di kawasan perkhemahan terpencil dekat Kampung Chevaline, Perancis semalam.


PARIS – Seorang kanak-kanak perempuan warga Britain berusia empat tahun bersembunyi selama lapan jam di bawah dua mayat ahli keluarganya yang mati ditembak di tempat duduk belakang sebuah kereta BMW di kawasan pergunungan Alps di Perancis kelmarin.

Kejadian itu berlaku di tempat letak kereta sebuah kawasan perkhemahan terpencil dekat Kampung Chevaline.

Pendakwa raya bandar Annecy, Eric Maillaud berkata, kanak-kanak itu ditemui oleh beberapa anggota polis.

Mayat seorang lelaki yang merupakan bapa kanak-kanak berkenaan ditemui di tempat duduk depan kereta tersebut.

Seorang penunggang basikal warga tempatan turut ditemui mati berhampiran tempat kejadian.

Turut ditemui berhampiran lokasi kejadian adalah seorang lagi budak perempuan berusia sekitar tujuh tahun yang merupakan kakak budak kanak-kanak tersebut.

Budak itu kini dirawat di sebuah hospital tempatan kerana cedera ditembak manakala tengkoraknya retak.

Menurut Maillaud, kereta BMW berkenaan milik sebuah keluarga Britain yang bercuti di kem perkhemahan di tepi Tasik Annecy.

Tasik itu yang terletak di banjaran Alps merupakan kawasan percutian popular di Perancis.

Pemilik kem perkhemahan tersebut memberitahu pihak berkuasa bahawa mereka yang maut terdiri daripada ibu, bapa dan nenek kanak-kanak itu.

Seorang individu yang lalu di lokasi kejadian menghubungi polis sekitar pukul 4 petang waktu tempatan kelmarin selepas dia menemui penunggang basikal dan kakak kanak-kanak tersebut.

Kereta itu dikawal hingga tengah malam apabila beberapa penyiasat khas dari sini tiba di lokasi kejadian.

Stesen televisyen tempatan, BFM-TV memetik seorang pegawai polis, Leftenan Kolonel Benoit Vinnemann sebagai berkata, kanak-kanak perempuan yang selamat itu bersembunyi di bawah kaki ibunya.

Maillaud pula memberitahu, sebaik sahaja pasukan penyiasat membuka pintu kenderaan, budak perempuan itu muncul sambil tersenyum dan mendepakan tangannya.

Dia bertutur dalam bahasa Inggeris tetapi tidak dapat menceritakan apa yang berlaku.

Kanak-kanak itu kini diletakkan di bawah penjagaan polis.

Penunggang basikal tempatan yang ditemui berhampiran kereta berkenaan pula didapati tidak mempunyai hubungan dengan keluarga Britain itu.

Identiti lelaki tersebut hanya dikenal pasti selepas kehilangannya dilaporkan oleh isterinya.

Kata Maillaud, sekitar 15 kelongsong peluru turut ditemui berdekatan kereta tersebut.

Polis masih belum mengetahui punca kejadian itu. – Agensi

Cucu pengasas Red Bull didakwa mabuk ketika memandu

Posted:

Cucu pengasas Red Bull didakwa mabuk ketika memandu

GAMBAR yang dirakamkan pada 3 September lalu menunjukkan kereta Ferrari yang dipandu Vorayuth dan motosikal yang terlibat dalam kejadian langgar lari di Bangkok.


BANGKOK – Polis Thailand semalam menyatakan, pihaknya telah mendakwa pewaris empayar minuman tenaga Red Bull kerana memandu dalam keadaan mabuk selepas dia dituduh membunuh seorang anggota polis semasa memecut kereta Ferrarinya dari lokasi kejadian.

Seorang pegawai polis, Leftenan Kolonel Wiradon Tubtimdee berkata, ujian yang dilakukan beberapa jam selepas kemalangan pada Isnin lalu menunjukkan kandungan alkohol dalam darah pewaris berusia 27 tahun itu, Vorayuth Yoovidhya berjumlah 0.063 peratus.

Menurutnya, kandungan alkohol tersebut melebihi had yang dibenarkan iaitu 0.05 peratus.

Vorayuth diperintahkan hadir untuk mendengar dakwaan baharu itu dengan dia boleh dikenakan hukuman lebih berat jika didapati bersalah.

Pemuda itu telah didakwa kerana memandu dalam keadaan berbahaya dan mengelakkan diri daripada ditangkap.

Menurut Wiradon, lelaki itu belum melaporkan diri kepada polis untuk mendengar tuduhan baharu tersebut.

Peguam Vorayuth bagaimanapun mendakwa, anak guamnya tidak minum arak sebelum kemalangan itu berlaku.

Polis menyatakan, Vorayuth mengaku dia memandu kereta Ferrari yang melanggar motosikal anggota polis berkenaan tetapi memberitahu bahawa anggota polis terbabit membelok di hadapan keretanya.

Beberapa saksi memberitahu, anggota polis itu diseret kereta Ferrari itu sebelum kenderaan tersebut meninggalkan lokasi kejadian dengan dipandu laju.

Namun, polis mengekori tumpahan minyak di lokasi kemalangan menuju ke rumah yang menjadi tempat tinggal Vorayuth.

Rumah itu milik pengasas Red Bull, mendiang Chaleo Yoovidhya.

Chaleo yang merupakan antara orang terkaya di Thailand, meninggal dunia pada tahun ini. – AP

Wanita berbogel bersama Putera Harry ditangkap

Posted:

Wanita berbogel bersama Putera Harry ditangkap

NEW YORK - Seorang wanita yang mendakwa telah berbogel bersama pewaris ketiga takhta Britain, Putera Harry telah ditangkap pada 24 Ogos lalu, lapor akhbar New York Daily News kelmarin.

Wanita itu, Carrie Lynn Reichert yang berusia 40 tahun ditangkap di San Diego, Amerika Syarikat ketika dia cuba untuk menaiki sebuah pesawat ke Mexico.

Menurut sumber penguat kuasa undang-undang, Reichert dikehendaki di daerah Harrison, Mississippi kerana menulis cek tendang bernilai AS$21,672 (RM67,474.0) bermula pada Ogos 2003.

"Pegawai-pegawai kastam mengesannya di lapangan terbang. Dia bercadang mahu keluar negara tetapi kami dapat menangkapnya," kata sumber tersebut.

Sumber itu memberitahu, dia boleh dikenakan hukuman penjara lebih setahun jika disabitkan kesalahan melakukan penipuan.

"Kenapa anda boleh menjadi terlalu bodoh?Anda mengetahui kami mempunyai waran berhubung cek tendang yang ada tulis.

"Selepas 9/11 (serangan pengganas di New York pada 11 September 2001), anda tahu kami memeriksa setiap orang di dalam pesawat," kata sumber berkenaan.

Reichert kini ditahan di sebuah pusat tahanan di Santee, California.

Pada bulan lalu, Reichert memberitahu majalah People bahawa dia bercium dan berbogel dengan Putera Harry semasa parti diadakan di sebuah hotel di Las Vegas pada bulan lalu.

Gambar bogel putera itu turut disiarkan di muka depan akhbar The Sun di Britain pada 24 Ogos lalu.

Putera Harry merupakan cucu pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II.

Beliau merupakan anak Putera Charles dengan mendiang Lady Diana.

Putera Charles merupakan pewaris pertama takhta Britain diikuti Putera William yang juga abang Putera Harry. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Khamis, 6 September 2012

Kosmo Online - Horizon

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Redah laluan sesak demi pilihan terbaik

Posted:

Redah laluan sesak demi pilihan terbaik

Oleh NASRI JAMALUDIN

JALAN Tuanku Abdul Rahman (TAR) di Kuala Lumpur bukanlah suatu nama asing di negara ini. Jalan tersebut merupakan antara syurga beli-belah di ibu negara yang meningkat dari segi 'pemasaran' dan 'penjenamaan' saban tahun terutamanya setiap kali tiba musim perayaan.

Bukan itu sahaja, kepesatan pembangunan di sepanjang jalan tersebut dan sekitarnya secara tidak langsung membawa nilai tambah dalam agenda pelancongan di ibu negara.

Orang ramai boleh mendapati pelbagai produk atau perkhidmatan yang ditawarkan para peniaga di Jalan TAR atau nama lamanya, Batu Road, daripada yang berharga murah hinggalah kepada rangkaian mewah.

Variasi barangan seperti kain baju, cenderamata, barangan kulit, barangan perhiasan diri dan kelengkapan rumah sedia untuk dimiliki mengikut kemampuan masing-masing.

Antara pusat beli-belah tumpuan orang ramai adalah Sogo, Kompleks Pertama dan Maju Junction. Tidak ketinggalan kedai-kedai yang banyak terdapat di sepanjang jalan tersebut antaranya G. S. Gill, P. Lal dan P. H. Henry.

Bagi kaum Hawa, Jalan TAR juga 'menggoda' dengan koleksi pakaian dan aksesori wanita yang dijual pada harga yang berpatutan.

Bagi mereka yang mencari sesuatu yang istimewa untuk kegunaan peribadi ataupun sebagai hadiah kepada orang istimewa, mungkin boleh membeli barangan kulit.


SUASANA beli-belah turut dimeriahkan dengan jualan di lorong-lorong dan jalan kecil yang terhubung dengan rentangan utama Jalan TAR.


Cenderamata

Di pusat membeli-belah Kompleks Pertama terdapat peniaga barangan kulit buatan tangan iaitu milik T. Sundararaj, 38.

Kedainya, ESTS Leather beroperasi di pusat beli-belah itu sejak lapan tahun lalu, dibuka setiap hari mulai 11.30 pagi hingga 8.30 malam.

"Perniagaan saya di sini agak bagus kerana mempunyai pelanggan dari dalam dan luar negara. Selain mereka datang ke kedai ini, ada juga yang membeli produk kulit menerusi laman web www.estsleather.com.

"Kualiti barangan yang dihasilkan adalah terjamin. Selain menjual produk yang dihasilkan di kilang saya di Gombak, ada juga produk yang diimport dari luar negara," katanya yang memberitahu harga kasut kulit yang ditawarkan antara RM120 hingga RM300 sepasang.

Antara produk kulit yang dijual di kedai adalah beg, kasut, tali pinggang, topi, beg wanita dan dompet.

Selain barangan kualiti, Jalan TAR juga terkenal kerana terdapat banyak pilihan kedai dan perusahaan yang menjual tekstil, permaidani, dekorasi kediaman, gubahan bunga serta hantaran perkahwinan.

Nama-nama seperti Gulati's, Kamdar, Euro Moda, SSF Home Deco Mart, Alinas, kedai Sayang You di Semua House dan Syarikat Bunga Reben tidak pernah mengecewakan pelanggan yang hadir dengan pelbagai cita rasa.


SUNDARARAJ menunjukkan salah satu daripada koleksi kasut material kulit yang dijual di kedainya.


Menjamu selera

Setelah puas membeli-belah, apa kata anda meluangkan masa untuk menjamu selera atau berhenti seketika bagi menghilangkan dahaga dan penat. Pengalaman meredah kesesakan di Jalan TAR tentunya membiarkan seseorang berasa dahaga mahupun lapar.

Bagi mereka yang tidak biasa dengan Jalan TAR, tidak perlu bimbang kerana pelbagai restoran atau kedai minum banyak terdapat di sekitar jalan tersebut atau di dalam pusat beli-belah.

Jika teringin menikmati hidangan nasi kandar Pulau Pinang, singgahlah di Restoran Kudu Bin Abdul.

Anda pasti tidak kecewa terutamanya ketika menikmati hidangan nasi kandar bersama ayam masak bawang.

Jadi tidak hairanlah, jika pengunjung beratur panjang untuk membeli makanan tersebut terutamanya dari pukul 12 tengah hari hingga 5 petang setiap hari.


JALAN TAR sememangnya digemari kaum wanita kerana menawarkan variasi pilihan tekstil dan busana sedia pakai.


Restoran berkenaan dibuka setiap hari dari pukul 7.30 pagi hingga 8.30 malam manakala Sabtu dan Ahad, ia ditutup pada pukul 7 pagi dan 6 petang.

Pemilik restoran berkenaan, Kamernisa Bibi Budu, 43, berkata, restoran tersebut diasaskan oleh arwah bapanya 44 tahun lalu.

Restoran tersebut pernah menyaksikan seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menjadi pengunjung tetapnya suatu masa dahulu.

Ini berikutan Pawagam P. Ramlee terletak di belakang restoran tersebut.

"Lauk-lauk lain yang boleh didapati termasuk udang masak kari, ketam, telur ikan, sayur dan lain-lain dengan kadar harga yang berpatutan," katanya.

Selain Restoran Kudu Bin Abdul, mereka yang lazim ke Jalan TAR tentu bersetuju dengan beberapa lagi tempat makan popular seperti Restoran Insaf nasi Briyani, Restoran Zam Zam dan Coliseum Cafe.

Tidak lupa juga, bagi yang meminati minuman kopi ais kisar yang menyegarkan, sebuah trak yang berfungsi sebagai kios minuman berhampiran gedung Semua House iaitu Kopi Satu boleh dikunjungi.


DARIPADA warung jalanan, kios minuman hinggalah kepada restoran di dalam premis hotel, masing-masing menawarkan menu serta harga yang menarik.


Beristirehat

Tempoh beberapa jam atau separuh hari mungkin tidak cukup bagi yang mempunyai senarai pembelian yang panjang atau agenda pelancongan seterusnya. Untuk itu, Kawasan sekitar Jalan TAR turut menawarkan kemudahan bermalam di beberapa hotel bajet yang selesa.

Salah satunya ialah Hotel Selesa Inn yang terletak berhadapan dengan Maju Junction. Ia menawarkan beberapa jenis bilik seperti Family Deluxe, Family, Superior dan Standard yang berharga antara RM105 hingga 170 semalam. Harga yang ditawarkan termasuk sarapan untuk dua atau empat orang bergantung kepada bilik yang dipilih.

Restorannya yang menyediakan hidangan ala carte dan bufet masakan Melayu mempunyai sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pengurus Operasinya, Mohd. Taha Mohd. Noor berkata, sebanyak 45 unit bilik sedia untuk ditempah oleh para pengunjung. Terdapat juga kemudahan WiFi serta dewan seminar.

"80 peratus daripada pelanggan kami adalah dari Sabah dan Sarawak yang ke sini untuk membeli barangan dalam kuantiti banyak untuk diniagakan negeri masing-masing," ujarnya.

Pengunjung Jalan TAR juga boleh menginap di beberapa hotel lain seperti Hotel Noble (hotelnoble.com), Hotel Coliseum (03-2692 6270) dan Frenz Hotel (frenzhotel.com.my).

Damai ditemani alam semula jadi

Posted:

Damai ditemani alam semula jadi

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA


MENYEGARKAN badan di dalam arus jeram yang cetek seperti ini tentunya memberi ketenangan fikiran.


TERLETAK di antara dua pergunungan di Semenanjung Malaysia, iaitu Banjaran Titiwangsa dan Banjaran Bintang, Lenggong menawarkan kepelbagaian tarikan pelancongan yang tidak kurang hebatnya.

Sejak penemuan rangka Perak Man pada 2001 dan Perak Woman pada 2004, daerah yang terletak di di Hulu Perak itu terus menjadi tumpuan para penyelidik dari seluruh dunia yang mahu meneroka khazanah yang tersimpan di dalamnya.

Pelbagai usaha pasukan penyelidik tempatan sejak dua dekad lalu berjaya menjelmakan artifak penting yang sangat signifikan dalam pemahaman arkeologi Asia Tenggara dan sekitarnya.

Diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), daerah itu juga kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna yang masih terpelihara sehingga kini.


BAGI penggemar sains hutan dan keindahan alam, pelbagai spesies flora dan fauna boleh ditemui.


Riadah istimewa

Salah satu lokasi libur yang wajib diterokai di situ ialah Hutan Lipur Lata Kekabu. Mempunyai keluasan lebih 10 hektar, ia merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Bintang Hijau.

Kedudukan yang strategik di tengah-tengah laluan dari Ipoh ke Grik menjadikannya lokasi riadah popular kepada pengunjung yang mahu berehat pada hujung minggu.

Sebaik sahaja tiba, mata tentu terpesona melihat kehijauan suasana hutan jenis dipterokarp bukit. Ia menjadi habitat pelbagai spesies pokok seperti meranti, kempas, jelutong dan keruing.

Tarikan utama di situ, pastinya air terjun setinggi 50 meter yang mengalir jernih dari puncak bukit.

Udara segar yang menyapa dan diselang-selikan dengan suara unggas berkicauan tentu saja memberikan ketenangan yang diinginkan.

Pengunjung boleh memilih untuk bermandi-manda dan berkelah berhampiran sungai yang mengalir di kawasan lapang yang disediakan. Jika mahu meneroka keindahan air terjunnya pula, boleh menyusuri tebing melalui trek hutan yang disediakan.

Bagi yang mahukan lebih cabaran, pengunjung boleh menjelajah lebih jauh ke dalam hutan. Pengalaman melihat kepelbagaian bentuk muka buminya yang tidak sekata, dipenuhi cerun mencabar dan bonjolan berbatu pastinya mengujakan.


AKTIVITI merentas hutan begitu menarik untuk diikuti kerana ia bersifat kembara akademik.


Nilai sejarah

Selain kaya dengan khazanah alam semula jadi, lokasi itu juga mempunyai nilai sejarah tersendiri khususnya ketika era komunis satu ketika dahulu.

Diselia oleh Jabatan Perhutanan Perak, hutan lipur itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam. Antaranya, tandas awam, wakaf, tempat meletak kenderaan, bilik persalinan, surau serta dewan yang boleh memuatkan kira-kira 50 orang.

Sementara itu, kemudahan tapak khemah juga turut disediakan bagi pengunjung yang ingin bermalam pula di samping melakukan pelbagai aktiviti pendidikan, rekreasi dan riadah.

Untuk menjamu selera, usah risau kerana terdapat beberapa gerai jualan yang menawarkan aneka minuman dan makanan kepada pengunjung.

Setelah puas berkelah dan bermandi-manda, jangan lupa singgah seketika Muzium Arkeologi Lenggong yang terletak kira-kira dua kilometer dari situ.

Ia menempatkan replika rangka Perak Man dan pelbagai bukti tinggalan sejarah di Lembah Lenggong seperti alat-alat batu, tembikar dan barang perhiasan serta peralatan Orang Asli.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Ajaran sesat manusia sakit

Posted:

Ajaran sesat manusia sakit

Biasanya, pengasas sesuatu agama yang baharu bukanlah mereka yang terdidik dalam bidang agama, tetapi hanya menggunakan kefahaman agama sesuai dengan apa yang mereka hajati.

ATAS: SEBUAH premis di Sri Gombak, Kuala Lumpur diserbu oleh pihak berkuasa kerana disyaki menyebarkan ajaran sesat pada 15 Disember 2010.


SELAMAT Hari Raya Aidilfitri untuk semua pembaca. Semoga Ramadan yang baru kita lalui akan meningkatkan lagi keimanan kita kepada agama dan mampu menjadi benteng kepada kita semua dalam menghadapi kehidupan beragama yang semakin mencabar.

Tatkala seluruh umat Islam sedang bersiap sedia untuk menyambut Ramadan, kita dikejutkan apabila ada lagi manusia yang sanggup melakukan sesuatu yang di luar logik pemikiran manusia.

Seorang lelaki yang membawa dua bilah pedang samurai yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahadi telah menceroboh dan mengamuk di sebuah agensi kerajaan. Ia tentulah perbuatan yang bertentangan dengan ajaran agama itu sendiri.

Tidak lama selepas itu, kita dikejutkan pula dengan berita seorang bekas kapten kapal yang didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di Melaka kerana mendakwa dirinya sebagai nabi akhir zaman.

Luar logik

Semua ini merupakan berita yang pelik. Masih ada lagi manusia yang berbuat sesuatu yang sangat janggal di luar logik pemikiran manusia. Sejarah telah merekodkan begitu banyak kejanggalan manusia yang menggunakan agama untuk mencari pengaruh.

Biasanya, pengasas kefahaman agama yang baharu ini bukanlah mereka yang terdidik dalam bidang agama, tetapi hanya menggunakan kefahaman agama sesuai dengan apa yang mereka hajati. Dua orang yang sangat terkenal dalam hal ini ialah Jim Jones dan Shoko Asahara.


LELAKI ini didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka kerana mendakwa dirinya sebagai nabi akhir zaman.


Penghujung 1970-an, seramai 913 pengikut The People Temple yang diketuai oleh Jim Jones telah mati membunuh diri kerana meminum wain yang diletakkan racun.

Jones telah menubuhkan aliran agamanya itu di San Francisco, tetapi kemudiannya mengasingkan diri ke sebuah hutan di Guyana. Walaupun berpindah ke Guyana, ratusan pengikutnya di San Francisco sanggup mengikutnya.

Mereka memilih membunuh diri sendiri setelah rundingan dengan wakil kerajaan Amerika yang mahu mengajak pengikutnya pulang ke pangkal jalan menemui jalan buntu, malah wakil kerajaan itu juga telah dibunuh.

Ilusi syurga Jones sangat menakutkan. Dia memanipulasi manusia lain. Dia menjanjikan syurga, tetapi kehidupan beragamanya seolah-olah di neraka.

Tidak hanya di AS, di Jepun sekitar pertengahan tahun 1990-an ada juga kejadian yang serupa. Shoko Asahara, seorang lelaki yang buta sebelah mata dan hanya mempunyai penglihatan kabur di sebelah mata yang lagi satu, telah menubuhkan agama baharu yang mampu menarik ribuan pengikut.

Klimaks kepada kepercayaannya ialah mendapatkan syurga dengan membunuh orang awam yang menurutnya sebagai tidak adil. Dia telah mengarahkan pengikutnya melepaskan gas sarin yang beracun di sebuah stesen kereta api bawah tanah di Tokyo hingga menyebabkan 13 terbunuh dan ratusan lain cedera.

Konsep ketidakadilan itu muncul berasas daripada pemahaman Asahara yang melihat dirinya sebagai cacat penglihatan sedangkan orang lain tidak.


RAMADAN lalu, seluruh negara kecoh dengan peristiwa seorang lelaki yang mendakwa dirinya Imam Mahadi membawa pedang samurai menceroboh dan mengamuk di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.


Kisah kedua-dua manusia itu mengingatkan kita akan apa yang sedang kita lalui di negara kita juga. Munculnya Kerajaan Langit yang dilambangkan oleh monumen yang dibangunkan sendiri, membuatkan kita terfikir, mengapa mudah sangat manusia kita mempercayai ketua agama baharu ini?

Ada pula yang percaya dengan rasul baharu yang kononnya berketurunan Melayu yang kononnya boleh menjanjikan syurga kepada pengikutnya.

Tunaikan permintaan

Sebenarnya, berdasarkan temu bual dengan pengikut Jones, seorang ahli psikologi menemui bahawa mereka terpesona dengan kehebatan Jones, yang dianggap sebagai 'Tuhan'.

Bukan 'Tuhan' dalam konteks sebenarnya, tetapi tuhan yang mampu menunaikan permintaan mereka. Asahara pula memberitahu pengikutnya bahawa beliau ialah wakil Tuhan yang paling dekat di muka bumi ini.

Mereka (pemimpin agama sesat) kononnya ada kelebihan mengubat manusia yang sakit atau kelebihan mistik yang lain.

Ramai ketua ajaran sesat di negara kita juga nampaknya mengakui memiliki kelebihan mengubat dan mistik. Ramai yang terpedaya dengan mereka kerana 'personaliti' unik yang mereka miliki dan bukan kerana ajarannya.

Sebab itu, masyarakat mestilah berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan banyak kefahaman baharu itu. Mereka bukanlah manusia yang hebat, sebaliknya secara psikologinya ialah manusia sakit. Sangat malang, kalau masih ada yang terpengaruh dengan mereka.

Cawangan bertambah seiring mutu

Posted:

Cawangan bertambah seiring mutu

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

ANEKA pilihan roti, kek dan pastri yang enak serta segar menggamit pengunjung ke cawangan The Loaf.


THE LOAF, kedai bakeri dan pastri berkonsepkan Jepun terus melebarkan sayapnya di negara ini. Bermula dengan hanya sebuah premis di Marina Telaga Harbour, Langkawi, Kedah pada tahun 2006, The Loaf terus gah melalui pembukaan cawangan yang kesembilan di Paradigm Mall, Kelana Jaya, Petaling Jaya.

Pengarah Urusan M&M Consolidated Resources Sdn. Bhd., Jiro Suzuki berkata, pembukaan cawangan terbaharu itu adalah bagi memenuhi permintaan banyak pihak yang menggemari kualiti roti jenama itu.

"Ketika pembukaan cawangan pertama di Langkawi kira-kira enam tahun lalu, kami menerima sekitar 7,300 pengunjung sahaja.

"Kini dengan sembilan cawangan, kedai kami dikunjungi purata 2,400 pelanggan sehari dengan jualan mencecah RM1.2 juta sebulan," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah mantan Perdana Menteri dan juga Pengerusi M&M Consolidated Resources Sdn. Bhd., Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Tambah Jiro, syarikat itu akan membuka tiga buah cawangan baharu menjelang hujung tahun ini dengan salah satunya terletak di Pantai Chenang, Langkawi.

DR. MAHATHIR (tengah) dan Jiro (kiri) menunjukkan kebolehan membuat roti sebagai gimik pelancaran pembukaan The Loaf di Paradigm Mall, Kelana Jaya, baru-baru ini. Aksi kedua-duanya turut disaksikan oleh Dr. Siti Hasmah.


"Pada tahun 2013, kami turut merancang untuk membuka dua buah cawangan lagi bagi menjadikan jumlah keseluruhannya 14 cawangan termasuk sebuah dapur utama.

"Kami menyasarkan untuk membuka cawangan di kediaman ekspatriat kerana permintaan bagi roti-roti berkualiti tinggi begitu tinggi dalam kalangan mereka," ujarnya.

Jelasnya, antara kunci kejayaan The Loaf ialah sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan oleh Dr. Mahathir, selaku 'orang kuat' di sebalik jenama roti dan pastri itu.

"Dr. Mahathir seorang yang penuh dengan aspirasi dan inspirasi serta wawasan untuk membawa The Loaf ke satu peringkat terbaik dalam industri makanan dan minuman (F&B) di Malaysia.

"Beliau sentiasa berpandangan jauh dan tidak pernah kering dengan idea yang inovatif demi memastikan The Loaf terus berkembang pada masa hadapan," katanya lagi.

Selain itu, Jiro berkata, roti yang dihasilkan di The Loaf mengekalkan ciri-ciri pembuatan roti secara tradisional di Jepun iaitu tidak menggunakan bahan-bahan awet dan kimia.

Lebih daripada itu, bahan-bahan utamanya juga diimport khas dari luar negara seperti gandum dari Kanada, mentega dari Belgium dan garam dari Pergunungan Himalaya.

"Kami amat menitikberatkan soal kualiti dan bahan-bahan yang digunakan demi kepuasan pelanggan," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Kurangkan cukai

Posted:

Kurangkan cukai

AHMAD SHABERY berharap kerajaan pertimbangkan syor untuk mengurangkan cukai peralatan berkaitan sukan.


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memohon agar kerajaan mempertimbangkan pengurangan cukai untuk beberapa peralatan dan perkhidmatan berkaitan sukan dalam pembentangan Bajet 2013 pada 28 September ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata memandangkan masyarakat masa kini semakin sedar kepentingan bersukan dan pihak swasta pula semakin aktif membina infrastruktur sukan, adalah wajar kerajaan memberi ganjaran kepada mereka.

"Ramai ibu bapa mula menghantar anak mereka ke kelas atau klinik seperti klinik golf, badminton atau bola sepak. Adakalanya kosnya tinggi. Mungkin kerajaan boleh berikan rebat cukai pendapatan daripada kos yang ditanggung ibu bapa," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri kementeriannya di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala

Lumpur semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya harapan kementeriannya terhadap Bajet 2013 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hujung bulan ini.

Ahmad Shabery berkata, bersesuaian dengan slogan 'Sukan Sebagai Satu Industri', semakin banyak pihak swasta yang membina infrastruktur sukan seperti akademi bola sepak dan badminton serta memberikan biasiswa dan penajaan kepada atlet negara.

Sehubungan itu, katanya, KBS memohon mereka diberikan rebat cukai pendapatan bagi menggalakkan usaha pihak swasta dan menyemarakkan arena sukan negara.

Ahmad Shabery berkata, beliau juga sedia berbincang dengan persatuan sukan mengenai peralatan yang perlu diberi potongan cukai bagi mempopularkan sukan tersebut.

"Kalau bukan dalam Bajet 2013, mungkin pada bajet seterusnya," katanya.

Beliau memberikan contoh, suatu ketika dulu sukan golf sering dikaitkan dengan golongan kaya.

"Ketika itu peralatan golf mahal malah kereta bugey golf yang mahal membuatkan kelab golf terpaksa mengenakan bayaran yang mahal kepada pemain.

"Selepas kerajaan mengurangkan cukai terhadap peralatan golf termasuk bugey, harga untuk bermain golf semakin murah. Sukan itu kini terbuka kepada semua golongan dan bukan lagi dilabel sebagai sukan orang kaya," katanya.

Dipanggil jika khidmat diperlukan

Posted:

Dipanggil jika khidmat diperlukan

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal mene- gaskan, beliau akan menyenaraikan Mohamad Muslim Ahmad dan Mohd. Sharbinee Allawee Ramli sekiranya khidmat dua pemain Terengganu ini diperlukan oleh sku- ad kebangsaan.

Rajogobal turut mendedahkan beliau tidak teragak-agak untuk menyenaraikan Muslim dan Sharbinee sekiranya mana-mana pemain utama mengalami kecederaan.

Namun, Rajagobal menjelaskan bahawa peluang mereka bergantung kepada persembahan semasa bersama pasukan negeri sebelum membuat keputusan untuk memanggil Muslim dan Sharbinee dalam senarai 35 pemain ke kejo- hanan Piala AFF Suzuki.

Jelasnya, beliau akan menilai kembali sama ada memerlukan khidmat Muslim dan Sharbinee dalam perancangannya.

"Nama mereka ada (Muslim dan Sharbinee) selain (pemain Kedah), Baddrol Bakhtiar dalam senarai pemain yang diminta untuk bersedia menjalani latihan dan pemi- lihan skuad kebangsaan.

"Keputusan (itu terletak) kepada kita untuk (menilai sama ada) kita perlu panggil atau tidak. Itu sahaja, saya mahu melihat perkembangan mereka dalam pasukan masing-masing.

"Mana-mana pemain pun kita akan mengikuti perkembangan mereka dan kalau kita perlu (khidmat mereka), kita akan panggil.

"Saya sudah lama tidak menyenaraikan Sharbinee tetapi sekira- nya dia memiliki masalah disiplin, kami akan fikir balik (untuk menyenaraikannya dalam skuad kebangsaan)," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan skuad kebangsaan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Terdahulu, Muslim bersama rakan sepasukan, Ismail Faruqi didakwa melanggar disiplin pasukan Terengganu kerana pulang kira- kira pukul 3 pagi ke hotel pengi- napan mereka iaitu beberapa jam selepas perlawanan menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 28 Ogos lalu.

Kedua-dua pemain itu turut didakwa membawa balik wanita ke hotel penginapan mereka.

Sementara itu, Sharbinee pula didakwa melepaskan gol mudah ketika Terengganu menerima kunjungan Kedah di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Ekoran insiden itu, Sharbinee dikatakan menjadi punca kegagalan Terengganu mengutip tiga mata penuh apabila sekadar seri 1-1 dengan skuad Kenari.

Dalam perkembangan lain, Rajagobal turut membayangkan beliau akan berusaha untuk mengadakan satu lagi perlawanan persa- habatan selepas aksi menentang Vietnam di Stadium Shah Alam pada Selasa depan.

"Selepas menentang Vietnam nanti, kami akan berkunjung ke Hong Kong untuk satu aksi persa- habatan (16 Oktober) sebelum sekali lagi berdepan Vietnam di Hanoi pada 3 November depan.

"Kemudian, kami akan melayan kunjungan Hong Kong di Stadium Shah Alam pada 14 November depan.

"Tetapi, saya akan cuba menda- patkan dua lagi perlawanan seba- gai persiapan terakhir sebelum ke- johanan Piala AFF Suzuki bermula yang mana kami akan menentang Singapura pada aksi pertama Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 25 Novem- ber depan," ujarnya.

LTAM tetap optimis

Posted:

LTAM tetap optimis

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

IBRAHIM (kiri) bersama pengarah kejohanan, Nick Freyer (kanan) pada majlis taklimat Kejohanan Tenis ATP Terbuka Kuala Lumpur 2012 di ibu negara semalam.


BIARPUN peluang meraih kemenangan pada Kejohanan Tenis ATP Terbuka Kuala Lumpur 2012 dilihat sukar, namun Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) tetap optimis mampu memberi cabaran terutama dalam kategori beregu.

Bagi menggalas cabaran tersebut, empat pemain pilihan negara dipilih menerusi tiket kelayakan wildcard pada kejohanan yang akan berlangsung pada 24 hingga 30 September ini.

"Kami lebih optimis dalam aksi beregu berbanding individu kerana berdasarkan pengalaman pada beberapa perlawanan lalu, pemain kita lebih cemerlang dalam kategori tersebut.

"Bukan itu sahaja, melihat daripada senarai pemain yang bakal berentap pada kejohanan tahun ini, kita tahu peluang dalam kategori individu amat tipis. Untuk itu, kita perlu lebih realistik dalam meletakkan sasaran," ujar Setiausaha Kehormat LTAM, Ibrahim Abu Bakar.

"Untuk itu, kami membariskan Mohd. Asri Marzuki dan Si Yew Ming dalam acara beregu manakala Ariez Elyaas Hesham dan Syed Agil Syed Naguib dipilih membawa cabaran dalam acara individu.

"Asri juga akan beraksi dalam acara individu," tambah Ibrahim ketika ditemui pada majlis taklimat media mengenai kejohanan tersebut di Hotel Doubletree, Kuala Lumpur semalam.

Jelas beliau, standard pemain negara yang terpilih, berada pada tahap terbaik dan kini mereka giat menjalani latihan di luar negara seperti Amerika Syarikat (AS).

"Pendedahan dengan menyertai kejohanan di Vietnam, AS, Turki serta pelba- gai sirkit berjaya meningkatkan tahap permainan para pemain. Di samping itu, program elit yang dijalankan juga memberi hasil yang diharapkan," katanya.

Mengakui bakal berdepan dengan saingan hebat, Ibrahim tetap yakin dan me- nganggap kemasukan empat pemain menerusi tiket wildcard dalam acara beregu sebagai satu kelebihan.

"Tahun lalu yang hanya dua pemain dipilih beraksi dalam acara individu," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Sebahagian Jalan Loke Yew ditutup malam esok

Posted:

Sebahagian Jalan Loke Yew ditutup malam esok

06/09/2012 6:21pm

KUALA LUMPUR — Sebahagian lorong Jalan Loke Yew di sini akan ditutup selama tiga hari bermula esok untuk kerja-kerja penurapan, kata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

DBKL dalam satu kenyataan berkata, penutupan bermula pukul 10 malam hingga 5 pagi.

Pengguna jalan itu dinasihatkan supaya berhati-hati dan mematuhi papan tanda arahan lalu lintas yang disediakan.—BERNAMA

Menipu: Warga Indonesia dipenjara setahun, disebat

Posted:

Menipu: Warga Indonesia dipenjara setahun, disebat

06/09/2012 5:48pm

IPOH — Seorang warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara setahun, denda RM5,000 dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu sebuah syarikat membabitkan pembelian minyak diesel.

Abdul Muis, 42, yang memakai baju berwarna ungu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Haslinda A. Raof.

Abdul Muis didakwa menipu Syarikat Perwira Jutawan Sdn. Bhd. milik Woo Kok Woon dengan memperdaya mangsa untuk berurusniaga dengan syarikatnya yang tidak wujud iaitu P.T Ocean Centro Energy bagi pembekalan 100,000 tan metrik minyak diesel dengan cara memberikan jaminan bank palsu dari Bank Mandiri Indonesia bernombor 008-A 180743.

Tertuduh mendorong Kok Woon menyerahkan wang tunai RM900,025 (US$300,000) dengan cara mendepositkan wang itu melalui pemindahan telegraf ke dalam akaun Mandiri Bank Indonesia No 126.000.6243/10, milik syarikatnya— BERNAMA

Bayi ditemui mati dalam mangkuk tandas hospital

Posted:

Bayi ditemui mati dalam mangkuk tandas hospital

06/09/2012 5:30pm

KUANTAN — Seorang bayi lelaki yang dipercayai baharu dilahirkan dijumpai mati dalam mangkuk tandas di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini kira-kira 4.45 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd. Jasmani Yusof berkata, berikutan itu seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun yang dipercayai melahirkan bayi tersebut telah ditahan di hospital berkenaan.

"Bayi lelaki berkenaan telah dijumpai mati di dalam sebuah mangkuk tandas di Wad Teratai 2C dengan keadaan kepala bayi itu terperosok ke dalam mangkuk tandas.

"Anggota bomba terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan bayi yang tersepit di dalam mangkuk tandas itu," katanya.

Beliau berkata, sebelum itu pihaknya menerima panggilan dari pihak hospital tentang perkara tersebut setelah dimaklumkan oleh petugasnya.— BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Rabu, 5 September 2012

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Majlis Riang Ria Mengimbau Kenangan meriah

Posted:

Majlis Riang Ria Mengimbau Kenangan meriah

ANTARA aksi bekas pelajar SMMT pada majlis Riang Ria Mengimbau Kenangan diTanjung Kling, Melaka.


KENANGAN. Kira-kira 200 bekas pelajar Sekolah Menengah Masjid Tanah (SMMT) hadir pada majlis Riang Ria Mengimbau Kenangan anjuran Persatuan Alumni SMMT yang diadakan di Resort Everly, Tanjung Kling, Melaka baru-baru ini.

Majlis yang berlangsung dua hari satu malam itu bertujuan mengeratkan silaturahim antara pelajar dan guru-guru tahun 1977 hingga 1982 sekolah berkenaan.

Menurut pengerusinya, Baharuddin Kassim, majlis tersebut juga diadakan untuk mengutip dana bagi membantu anak-anak ahli alumni dan bekas guru sekolah berkenaan.

"Melalui majlis seumpama ini, ia mampu mengeratkan silaturahim serta mengukuhkan lagi hubungan antara guru dan pelajar yang telah lama tidak bersua," katanya.

Pertandingan permainan tradisional dapat sambutan

Posted:

Pertandingan permainan tradisional dapat sambutan

PESERTA bermain permainan Campak Lubang l di Rumah Komuniti Teratak Desa Gong Baru, Kampung Gong Tok Nasek, Terengganu baru-baru ini.


TRADISIONAL. Suasana sekitar Rumah Komuniti Teratak Desa Gong Baru, Kampung Gong Tok Nasek di Kuala Terengganu, Terengganu meriah dengan kehadiran penduduk baru-baru ini.

Permainan tradisional itu antara lain mengetengahkan permainan seperti Tiup Getah, Bola Kaki Empat atau Tuju Kasut, Baling Selipar dan Bola Cetong atau Lempar Bola.

Begitu juga dengan permainan Tinting Bulu Ayam, Panah Daun Nyiur, Jet Mengkuang, Petik Mata dan Selambut.

Pengerusi Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga Kampung Gong Tok Nasek, Mohd. Hanafiah Ismail berkata, program julung-julung kali diperkenalkan itu mendapat sambutan yang menggalakkan khususnya generasi muda.

"Apa yang penting golongan muda didedahkan permainan tradisional yang pernah dimainkan oleh datuk nenek moyang mereka suatu masa dahulu dan wajar diwarisi," katanya.

Warga Kota Raja serah Jalur Gemilang

Posted:

Warga Kota Raja serah Jalur Gemilang

KAMARUZZAMAN (duduk,tengah) bersama pimpinan UMNO Bahagian Kota Raja pada majlis penyerahan Jalur Gemilang di Klang, Selangor baru-baru ini.


SEMARAK MERDEKA. UMNO Bahagian Kota Raja, Klang, Selangor mengambil inisiatif bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 dengan menyerahkan Jalur Gemilang kepada 75 cawangan parti itu di Klang, Selangor baru-baru ini.

Ketua UMNO bahagian itu, Kamaruzzaman Johari berkata, sambutan kemerdekaan perlu disemarakkan dalam setiap diri warganegara Malaysia supaya rasa permuafakatan rakyat berbilang kaum akan dapat terus dikekalkan.

Menurutnya, semangat kemerdekaan akan lebih terserlah sekiranya setiap rakyat berbangga untuk mengibarkan Jalur Gemilang kerana ia merupakan lambang kemegahan negara sejak merdeka lagi.

"Pengibaran Jalur Gemilang juga menunjukkan rasa penghormatan rakyat kepada negara dan tanda kebanggaan serta kemegahan kita sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 ini," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Tan Sri Hamzah meninggal dunia

Posted:

Tan Sri Hamzah meninggal dunia

IMBAS...Hamzah (kiri) ketika menghantar kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Munich pada tahun 1972.


MALAYSIA kehilangan tokoh sukan tersohor, Tan Sri Hamzah Abu Samah (gambar kecil) yang banyak mewarnai arena sukan tempatan serta membawa nama negara ke persada antarabangsa.

Berikutan penglibatan aktifnya dalam arena sukan tempatan dan antarabangsa, Allahyarham semasa hayatnya telah dilantik menjadi presiden bagi beberapa persatuan sukan tempatan dan pernah dipilih menjadi naib presiden Persekutuan Bola Sepak Antara- bangsa (FIFA).

Hamzah, 88, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Staffield Country Resort, Mantin, Negeri Sembilan pada kira-kira 3.30 petang semalam akibat sakit tua.

Adik ipar kepada Perdana Menteri Malaysia Kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan bapa saudara kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu meninggalkan isteri, Toh Puan Sri Zainun, adik kepada Abdul Razak, serta tujuh orang anak.

Presiden seumur hidup Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu, anak kelahiran Pekan, Pahang dan merupakan bekas anggota Parlimen Raub (1967-1978) dan Temerloh (1978-1980), adalah bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Gray's Inn, England pada 1953.

Bekas menteri kabinet sejak 1960-an hingga meletakkan jawatan sebagai menteri pada tahun 1980 selepas menjalani pembedahan 'pintasan koronari', dan pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan daripada 1971-1973, Menteri Pertahanan (Ogos 1973), Menteri Perdagangan dan Industri (September 1974) dan jawatan terakhir sebagai Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara.

Sebelum itu, Allahyarham pernah bertugas sebagai Penolong Penyelia Pilihan Raya Pahang, hakim di Alor Setar, Kedah, Timbalan Pendakwa Raya Awam di Johor dan Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor serta Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Semasa lawatan Ratu Elizabeth ke Malaysia pada 1972, Allahyarham telah dilantik sebagai Menteri Pengiring kepada Ratu England itu.

Allahyarham yang juga bekas Ketua Perhubungan UMNO Pahang dan anggota Majlis Tertinggi UMNO bukan sahaja seorang pemimpin politik tetapi juga pemimpin pelbagai badan sukan di dalam negara serta peringkat antarabangsa.

Allahyarham pernah menjawat jawatan sebagai Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) pada tahun 1978 sehingga 1994 dan menjadi Presiden Kehormat AFC selepas itu.

Piala SCTV: Medan uji skuad Harimau Muda

Posted:

Piala SCTV: Medan uji skuad Harimau Muda

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


ROZAIMI turut disenaraikan dalam skuad Harimau Muda bagi menghadapi Piala SCTV hujung minggu ini.


TIADA sasaran khusus ditetapkan pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee (gambar kecil) menjelang kejohanan jemputan Piala SCTV yang berlangsung di Jakarta, Indonesia, Ahad ini.

Sebaliknya, pengendali berusia 42 tahun itu mahu meman- faatkan peluang menguji 'ketahanan mental' barisan pemain mudanya ketika dijadualkan berdepan skuad bawah 22 tahun (B-22) Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno kelak.

Biarpun majoriti anak-anak buah beliau telah pun menyelami 'gelora' beraksi di stadium keramat itu termasuk menaiki 'Barracuda' semasa mempertahankan emas temasya Sukan SEA tahun lalu, Kim Swee menyifatkan pengalaman sekali lagi beraksi di stadium berkenaan tidak wajar dilepaskan sebegitu sahaja.

"Saya tidak meletakkan sebarang sasaran pada kejohanan itu nanti, cuma saya mahu menilai mana-mana pemain baharu yang tidak tersenarai dalam skuad Sukan SEA sebelum ini sama ada mereka mampu beraksi di bawah teka- nan di depan ribuan penyokong lawan ataupun tidak.

"Kejohanan ini merupakan sebahagian daripada perancangan awal mempertahankan emas Sukan SEA 2013 di Myanmar, jadi sudah tentu saya harap pemain-pemain saya dapat meraih pengalaman berguna beraksi di Gelora Bung Karno nanti," katanya kepada Kosmo! semalam.

Pada kejohanan itu nanti, aksi skuad Harimau Muda dengan B-22 Indonesia dijadualkan bermula pukul 7.30 malam (8.30 malam waktu Malaysia).

Ia merupakan aksi tunggal anak-anak buah Kim Swee pada kejohanan itu, dan mereka dijangka 'terbang' ke Indonesia esok.

Selain perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan, satu lagi aksi melibatkan antara skuad kebangsaan Indonesia dan Korea Utara juga dijadualkan berlangsung di stadium yang sama sehari kemudian.

Mengulas lanjut, Kim Swee menjelaskan bahawa ketiadaan beberapa pemain Harimau Muda seperti Mahalli Jasuli, Mohd. Fadhli Mohd. Shas, Gary Steven Robbat dan Wan Zack Haikal Wan Noor yang dipanggil memperkuatkan skuad kebangsaan menjelang aksi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Vietnam di Stadium Shah Alam pada 11 September ini juga memberikan peluang kepada beliau menguji beberapa pemain selain daripada skuad Harimau Muda.

Antara yang mendapat kepercayaan beliau mengharungi Piala SCTV nanti termasuklah peledak berbisa Sabah, Rozaimi Abdul Rahman, Nik Mohd. Shahrul Azim (Kelantan).

K. Reuben (Angkatan Tentera Malaysia), Saiful Izuan (UiTM) dan dua pemain PKNS, Aminuddin Mohd. Nor dan Azrif Nasrulhaq.

"Saya harap pemain dapat mengekalkan momentum sebelum kembali menyambung aksi Liga Singapura (Liga S) selepas ini," kata- nya.

Skuad Harimau Muda yang kini di tangga keempat Liga S dengan 32 mata selepas 17 perlawanan hanya akan kembali meneruskan perjuangan menentang pasukan di tangga kelima liga, Home United di Stadium Yishun, Singapura pada 15 September ini.

Kesibukan jadual Harimau Muda juga tidak berakhir di situ sahaja apabila mereka bakal menyertai satu lagi kejohanan jemputan iaitu Newspaper Cup di Vietnam pada Oktober depan.

Transformasi beregu badminton negara

Posted:

Transformasi beregu badminton negara

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

BARISAN pemain beregu lelaki, wanita dan campuran bakal mengalami transformasi apabila ada dalam kala- ngan mereka dipilih untuk beraksi dalam dua acara pada mana-mana kejohanan yang akan disertai.

Ketua jurulatih beregu lelaki, Tan Kim Her berkata, keputusan itu adalah hasil persetujuan menerusi perbincangan dengan ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak; jurulatih beregu lelaki, Pang Cheh Chang dan jurulatih beregu campuran, Jeremy Gan.

Katanya, beliau akan mencadangkan perkara tersebut ketika mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Sabtu ini.

"Bagi program ini, pemain beregu lelaki akan beraksi dalam acara beregu campuran dan begitu juga dengan wanita iaitu secara tetap mana- kala pemain beregu campuran pula akan diberi peluang beraksi dalam acara beregu lelaki atau wanita.

"Saya sudah ada enam calon pemain di bawah kendalian saya (lelaki) untuk beraksi dalam acara beregu campuran. Namun, saya tidak boleh dedahkan nama mereka dahulu kerana perlu tunggu sehingga mesyuarat CTC, Sabtu ini.

"Untuk calon pemain beregu wanita dan beregu campuran, saya serahkan kepada jurulatih mereka membuat keputusan.

"Ini merupakan salah satu program yang dirangka bagi mempersiapkan para pemain menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil yang mana acara beregu campuran turut disenaraikan pada temasya itu.

"Sebenarnya kita mahu memulakan program ini lebih awal tetapi di- sebabkan kesibukan bagi melakukan persiapan Sukan Olimpik 2012, kita tangguhkan dahulu. Sekarang, Sukan Olimpik sudah tamat dan ia adalah masa yang sesuai untuk memulakan program tersebut.

"Saya tidak fikir program ini akan mendatangkan masalah kepada CTC untuk meluluskannya kerana ia dibuat demi kebaikan para pemain beregu negara," kata Kim Her ketika ditemui Kosmo! sejurus tamat sesi latihan skuad badminton negara di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Ditanya sama ada program itu hanya akan memberi tekanan kepada para pemain, Kim Her berkata: "Untuk beraksi dalam dua acara, sudah pasti jurulatih akan memilih pemain yang benar-benar layak sahaja.

"Pemain akan dipilih berdasarkan kekuatan fizikal dan kualiti yang dimiliki mereka. Jika mereka tidak tidak ada kriteria itu, tidak mungkin mereka akan dipilih."

Jelas beliau, menerusi program tersebut ia akan memberi banyak kebaikan kepada para pemain yang terlibat.

"Pemain beregu lelaki dan wanita yang beraksi dalam acara beregu campuran akan dapat belajar dan me- ningkatkan kemahiran mereka tentang teknik mengawal gelanggang dengan lebih baik.

"Pemain beregu campuran yang beraksi dalam acara beregu lelaki atau wanita pula akan meningkatkan tahap kepantasan dan kekuatan kaki mereka," jelas Kim Her.

Ketika ini, skuad negara memiliki empat pasangan beregu elit lelaki, tiga beregu wanita dan empat beregu campuran.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved