Ahad, 6 April 2014

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Persembahan pertama di Malaysia

Posted:

Persembahan pertama di Malaysia

Persembahan pertama di Malaysia

PALUAN gendang yang memecah kesunyian di dewan itu mengingatkan Hon Suet Yi, 22, memori zaman kanak-kanak yang dilalui setiap kali menghadiri majlis rumah terbuka sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Kelincahan kumpulan pemain gendang yang turut menggabungkan tarian dan seni mempertahankan diri Wushu dalam persembahan itu memberi impak yang begitu mengujakan kepada gadis yang berasal dari Ipoh, Perak itu.

Teater bertajuk Meeting with Bodhisattva anjuran Kumpulan Purple Cane dan Hands Percussion Malaysia yang julung-julung kali dipersembahkan di Malaysia oleh U-Theatre itu memang dinanti-nantikan oleh Suet Yi semenjak kumpulan itu ditubuhkan 26 tahun lalu.

Dia begitu teruja kerana kumpulan teater yang diminati selama ini akhirnya muncul di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan membawa naskhah yang dihasilkan sejak tahun 2002.

"Saya mengenali kumpulan ini ketika berusia belasan tahun selepas menyertai kelab gendang di peringkat sekolah menengah.

"Memang menjadi impian saya untuk menyaksikan persembahan mereka, namun disebabkan faktor ekonomi, hasrat tersebut tidak kesampaian sehinggalah mereka membuat persembahan di sini," ujarnya.

Kata Suet Yi, kumpulan U-Theatre merupakan inspirasi dan penyuntik semangat kepadanya setiap kali membuat persembahan sama ada di sekolah atau di luar sekolah.

Inspirasi

Kelabnya sering kali membuat persembahan sempena sambutan hari perayaan, ulang tahun sekolah dan pada hari-hari istimewa berdasarkan undangan yang diterima.

"Pada saat-saat berada di atas pentas, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya ialah melakukan yang terbaik bagi menghiburkan para penonton.

"Semangat yang ada pada kumpulan yang berasal dari Taiwan itu menjadi inspirasi kepada saya untuk membuktikan kemampuan yang ada kepada para pengunjung," jelasnya.

Dalam pada itu, seorang lagi penonton, Trace Loo, 25, memberitahu, kumpulan U-Theatre yang menggabungkan gendang, tarian dan Wushu dalam teater berjaya 'membuka mata' warga asing selain mengujakan masyarakat Tionghua sendiri.


SEBAHAGIAN daripada 40 peserta yang terlibat dalam teater Meeting with Bodhisattva.


"Siapa sangka aktiviti tradisional masyarakat Cina tersebut boleh digabung menjadi satu teater yang mampu menyampaikan mesej yang begitu mendalam dan kreatif.

"Memang biasa apabila kita melihat orang bermain gendang, Wushu atau tarian tradisional, namun saya tidak pernah menyaksikan persembahan yang menggabungkan ketiga-tiga aktiviti tersebut.

"U-Theatre merupakan kebanggaan masyarakat Cina, saya berharap usaha mereka dapat diteruskan dengan menghasilkan lebih banyak teater baharu dan dibawa ke seluruh dunia," tambahnya yang tinggal di Puchong, Selangor.

Para peminat dari Malaysia mengenali asal usul dan latar belakang kumpulan bertaraf antarabangsa itu, namun tidak ramai yang mengetahui bahawa pengarah muziknya, Chih-Chun Huang, 49, sebenarnya anak kelahiran Ipoh, Perak.

Mula melibatkan diri dalam aktiviti bermain gendang ketika berusia enam tahun dan Wushu pada usia 10 tahun, Chih-Chun mempraktikkan konsep meditasi sebelum bermain gendang.

Meditasi

"Menerusi meditasi, seseorang individu itu akan lebih mengenali dan memahami diri sendiri dan dalam keadaan yang tenang dan sunyi, kita akan mengetahui dan fokus terhadap apa yang dilakukan.

"Memang wajib bagi setiap ahli kumpulan, termasuk diri saya untuk meluangkan masa beberapa jam untuk menjalankan aktiviti meditasi sebelum memulakan latihan," jelas bapa kepada dua orang anak itu.

Beliau yang berkahwin pada tahun 1994 bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sam Tet dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet di Ipoh sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Tinggi Persendirian Cina Yuk Choy, Ipoh.

Selepas tamat pengajian, anak keempat daripada lima beradik ini kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Pendidikan Jasmani Nasional Taiwan dan menetap di negara tersebut.


AKSI Chih-Chun (tengah) berjaya memukau penonton.


Menceritakan pembabitan beliau dalam aktiviti meditasi, tambah Chih-Chun, segala-galanya bermula ketika dia melancong ke India sekitar tahun 90-an iaitu sebelum menyertai kumpulan U-Theatre.

"Ketika berada di India, saya bertemu dengan seorang guru. Beliau memberi banyak tunjuk ajar seperti asas hidup seorang manusia dan antaranya ialah meditasi.

"Dalam tempoh enam bulan berada di sana, saya memahami banyak perkara menerusi meditasi dan belajar untuk 'hidup semula' sebagai seorang manusia.

"Menerusi proses itu, saya berjaya mengubah diri dan mengambil keputusan untuk berkongsi pengalaman berkenaan dengan ahli kumpulan U-Theatre bagi menghasilkan naskhah teater yang lebih sempurna," ujarnya.

Chih-Chun merupakan ahli kumpulan Taipei Folk Dance Theatre dan Cloud Gate Dance Company sebelum menyertai U-Theatre yang ditubuhkan oleh Pengarah Artistik U-Theatre, Ruo-Yu Liu pada tahun 1993 sebagai Drumming Master.

Tambahnya, persembahan pertama di tanah air amat bermakna baginya kerana hasrat untuk berkongsi pencapaiannya dengan rakyat Malaysia tercapai.

"Sebelum ini saya memang mahu membuat persembahan di negara kelahiran saya, namun disebabkan kekangan dari segi dana, rancangan tersebut terpaksa dibatalkan.

"Saya amat berterima kasih kepada penganjur dan semua pihak yang menjayakan persembahan ini dan berharap dapat pulang dengan lebih banyak hasil teater pada masa hadapan," tambahnya.

Penubuhan

Bercerita mengenai sejarah penubuhan kumpulan U-Theatre, isteri kepada Chih-Chun, Ruo-Yu, 58, memberitahu idea untuk menubuhkan kumpulan itu terlintas dalam fikiran apabila beliau kembali ke Taiwan selepas mengikuti kursus Pengarah Teater dari Poland, Jerzy Grotowski.

"Saya mengambil jurusan Kesenian Teater di Universiti New York pada tahun 1983 dan amat bertuah kerana terpilih untuk mengikuti kelas Jerzy yang terkenal dalam bidang teater pada tahun 1984.


KUMPULAN U-Theatre menggabungkan tarian tradisional, gendang dan Wushu dalam satu persembahan.


"Ketika itu saya mengikut Jerzy untuk menjalani latihan dan bekerja di California selama setahun.

"Dalam tempoh tersebut, saya mempelajari kepentingan penguasaan mentaliti untuk menyampaikan persembahan dan mengenali kemampuan diri yang sebenar selain menyedari tentang kepentingan kebudayaan sendiri.

"Justeru, apabila kembali ke tanah air, saya nekad mahu membangunkan tradisi dan budaya tempatan dengan mempelajari aktiviti berkenaan dan selepas tiga tahun berusaha, akhirnya kumpulan U-Theatre ditubuhkan," katanya yang menubuhkan kumpulan itu pada 1988.

Ruo-Yu yang berasal dari Hsin-chu, Taiwan memegang watak utama dalam persembahan teater ketika menyertai kumpulan Lan Ling Theatre Workshop pada tahun 80-an.

Pada tahun 2008, beliau memenangi anugerah Penghibur Seni Terbaik dalam Anugerah Kesenian Tahunan Kebangsaan Taiwan Ke-12.

Kumpulan U-Theatre yang kini mempunyai lebih 100 ahli termasuk pelajar pernah mengadakan persembahan di Brazil, Amerika Syarikat, Rusia, New Zealand dan Perancis dan bakal mengadakan persembahan bertajuk Lover yang dihasilkan tahun ini di Berlin, Jerman pada April 2014.

Baghdad bandar raya paling teruk

Posted:

Baghdad bandar raya paling teruk

Baghdad bandar raya paling teruk


KEKURANGAN bekalan elektrik memaksa penduduk Baghdad menggunakan generator.


PADA awal tahun 1970-an, bandar Baghdad telah diangkat sebagai bandar model kepada dunia Arab. Namun kini, selepas sedekad tercetusnya konflik yang tidak berkesudahan, bandar tersebut digelar sebagai bandar paling teruk di dunia.

Menurut kaji selidik terbaharu oleh kumpulan perunding Mercer, Baghdad berada pada kedudukan terakhir daripada 239 buah bandar utama dunia.

Kajian agensi itu melibatkan penilai terhadap faktor kestabilan politik, jenayah dan pencemaran.

Ibu kota Iraq itu disamakan dengan Bangui di Republik Afrika Tengah dan ibu negara Haiti, Port-au- Prince. Kedudukan terbaharu bandar raya berusia 1,250 tahun itu menyebabkan ia tidak lagi dianggap sebagai pusat intelektual, politik dan ekonomi global.

Setiap hari penduduknya berdepan dengan insiden serangan bersenjata, kekurangan bekalan elektrik dan air bersih, sistem pembetungan dan perparitan yang lemah, rasuah berleluasa, kesesakan lalu lintas dan pengangguran.

"Kami seperti tinggal di berek tentera," keluh seorang jurujual kertas, Hamid al-Daraji.

Katanya, penduduk terpaksa berhadapan dengan pemeriksaan ketat tentera dan polis selain kesan psikologi akibat serangan bom.

"Orang kaya dan miskin berkongsi penderitaan sama. Mereka juga berisiko menjadi mangsa letupan, penculikan atau pembunuhan.

"Nyawa kami boleh hilang pada bila-bila masa sahaja," katanya yang berusia 48 tahun.

Peranan penting

Pembinaan bandar pertama di Sungai Tigris bermula pada tahun 762 Masihi ketika pemerintahan Abbasiyah iaitu Khalifah Abu Jaafar al-Mansur. Sejak itu, ia telah memainkan peranan penting dalam masyarakat Arab dan dunia Islam.

Pada abad ke-20, Baghdad diiktiraf sebagai bandar contoh Arab moden dengan kewujudan beberapa universiti dan muzium terbaik, golongan elit berpendidikan tinggi, pusat kebudayaan dan kesihatan terbaik.

Para pegawainya sentiasa dijadikan rujukan di rantau itu. Gergasi gabungan minyak negara-negara Islam iaitu Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) juga ditubuhkan di ibu kota Iraq itu.


SIRI pengeboman yang berlaku di Baghdad menjadikannya bandar paling sengsara di dunia.


Baghdad menjadi kediaman kepada penduduk beragama Islam, Kristian, Yahudi dan lain-lain etnik.

Profesor sejarah politik di Universiti Mustansiriyah, Issam al-Faili berkata, Baghdad mewakili pusat ekonomi negara Abbasiyah.

Universiti Mustansiriyah katanya merupakan institusi bersejarah yang berusia hampir 800 tahun.

Ujar beliau, Baghdad telah dijadikan tempat asas mengawal negara jiran bagi mengukuhkan pengaruh Islam."

"Dahulu bandar ini dijadikan rujukan dunia namun kini, ia menjadi salah satu bandar paling sengsara di dunia," kata Faili.

Sepanjang bulan Februari sahaja, sebanyak 57 insiden keganasan telah berlaku termasuk 31 serangan bom kereta.

Pengeboman

Pada 5 Mac sahaja, sebanyak 12 insiden tembakan dan pengeboman dilaporkan yang membunuh 20 orang. Keesokan harinya, empat lagi pengeboman berlaku menyebabkan 11 maut.

Pasukan keselamatan biasanya bertindak balas dengan mengadakan sekatan jalan raya di sekitar Baghdad dan menyekat pergerakan keluar masuk.

Dinding konkrit pula telah dibina bagi menahan impak letupan di beberapa lokasi penting sehingga membahagikan kawasan kejiranan.

Bangunan kerajaan misalnya berada di Zon Hijau yang turut menempatkan kediaman ahli-ahli parlimen, pejabat kedutaan Amerika Syarikat dan Britain. Ia merupakan kawasan larangan kepada penduduk.

Walaupun kadar pertumbuhan ekonomi negara masih pesat kerana aktiviti pengeluaran minyak tetapi kadar pengangguran masih tinggi disebabkan industri tersebut tidak berintensifkan buruh.

Faktor geopolitik dan ketenteraman awam telah menyukarkan usaha untuk memulihkan wajah bandar Baghdad. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Aktiviti berkuda tarikan hari terbuka SMK Batu 5

Posted:

Aktiviti berkuda tarikan hari terbuka SMK Batu 5

Aktiviti berkuda tarikan hari terbuka SMK Batu 5


ABDULLAH THANI tidak ketinggalan cuba menunggang kuda selepas merasmikan Hari Terbuka dan Hari Kokurikulum 2014 di SMK Batu 5, Jalan Jeniang, Gurun, Kedah baru-baru ini.


SERONOK. Kira-kira 500 pengunjung dari beberapa buah kampung sekitar Gurun, Kedah tidak melepaskan peluang menunggang kuda sempena Hari Terbuka dan Hari Kokurikulum 2014 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 5, Jalan Jeniang, Gurun baru-baru ini.

Urusetia program, Fauziah Md. Hassan berkata, sebanyak tiga ekor kuda disediakan dan aktiviti itu menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang hadir.

"Selain keseronokan menunggang kuda, pengunjung juga berpeluang menyertai beberapa aktiviti menarik seperti pertandingan futsal, bola jaring, wau dan permainan kereta kawalan jauh," katanya.

Sementara itu, mantan Penyelia Kanan Jabatan Pelajaran Kedah, Abdullah Thani Ibrahim ketika merasmikan program itu berkata, aktiviti yang diadakan berjaya merapatkan hubungan baik antara guru, ibu bapa dan murid-murid sekolah itu.

Yang Dipertua Negeri Sarawak terima kunjungan DMDI

Posted:

Yang Dipertua Negeri Sarawak terima kunjungan DMDI

Yang Dipertua Negeri Sarawak terima kunjungan DMDI


ABDUL TAIB (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Mohd. Ali (tiga dari kiri) selepas menerima kunjungan hormat rombongan DMDI dan PUNB di Astana Negeri, Kuching, Sarawak baru-baru ini.


KUNJUNGAN. Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Senator Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri, Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Mohd. Ali yang juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berkata, selain mengeratkan silaturahim, kunjungan itu bertujuan menjemput Yang Dipertua Negeri untuk menghadiri majlis makan malam sempena Seminar Keusahawan DMDI yang berlangsung pada 15 hingga 17 Jun depan.

"Dalam pertemuan ini pelbagai perkara telah dibincangkan termasuk aktiviti serta program yang dijalankan DMDI dan PUNB," katanya.

Pelajar cemerlang SPKAL terima anugerah dekan

Posted:

Pelajar cemerlang SPKAL terima anugerah dekan

Pelajar cemerlang SPKAL terima anugerah dekan


GEOFFREY (duduk barisan kedua tiga dari kanan) bergambar bersama sebahagian daripada 150 pelajar SPKAL yang menerima anugerah dekan di Hotel Billion Pavillion, Labuan, Sabah baru-baru ini.


DIHARGAI. Seramai 150 penuntut Sekolah Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (SPKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) menerima anugerah pada Majlis Anugerah Dekan Semester I Sesi 2013/2014 di Hotel Billion Pavillion, Labuan, Sabah baru-baru ini.

Majlis dirasmikan Timbalan Pengarah UMSKAL, Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal manakala anugerah disampaikan oleh Dekan SPKAL, Prof. Madya Syed Nasirin Syed Zainol Abidin.

"Pelajar dinasihatkan agar menggunakan peluang belajar di menara gading untuk meneroka pelbagai ilmu bagi tujuan masa hadapan.

"Setiap ilmu yang diperoleh sangat penting untuk diaplikasikan di alam pekerjaan dan kehidupan seharian kelak," kata Geoffrey.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Petunjuk baharu lokasi MH370

Posted:

Petunjuk baharu lokasi MH370

Petunjuk baharu lokasi MH370

SEBUAH alat 'towed pinger locator' yang digunakan oleh kapal Ocean Shield.


PERTH - Misi mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di Lautan Hindi sejak 8 Mac lalu mendapat petunjuk baharu apabila sebuah kapal China dan Australia mengesan isyarat dipercayai dari kotak hitam pesawat MH370.

Sebuah kapal China, Haixun 01 mengesan isyarat elektronik tersebut yang dipanggil ping di 25 darjah latitud selatan dan 101 latitud timur di selatan Lautan Hindi.

Isyarat itu dikesan pada Jumaat lalu dan sekali lagi dikesan tengah hari kelmarin.

Sebuah pesawat China turut mengesan beberapa objek putih di satu lokasi kira-kira 90 kilometer dari isyarat dikesan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

37.5 kHz frekuensi untuk kotak hitam

Posted:

37.5 kHz frekuensi untuk kotak hitam

37.5 kHz frekuensi untuk kotak hitam

KUALA LUMPUR - Isyarat detik pada frekuensi 37.5 kilohertz (kHz) sesaat di perairan selatan Lautan Hindi mungkin menjadi petunjuk terbesar kepada kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 kerana ia merupakan frekuensi untuk sebuah kotak hitam pesawat.

Pensyarah Kejuruteraan Aeroangkasa dan Penyelidikan Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Kamarul Arifin Ahmad berkata, isyarat detik frekuensi itu turut meningkatkan peluang penemuan kotak hitam milik pesawat Boeing 777-200 MAS yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Tikam mati ibu, remaja direman

Posted:

Tikam mati ibu, remaja direman

Tikam mati ibu, remaja direman

Oleh MULLER ASEN
muller.asen@kosmo.com.my

MIRI – Seorang remaja lelaki yang disyaki membunuh ibunya dengan menikam dan mengelar wanita itu direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes tersebut yang berlaku di hadapan Kompleks Tenis, Jalan Sukan di sini kelmarin.

Perintah tahanan reman sehingga 13 April ke atas remaja itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di sini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


'Tidak bolehkah saya bersuara?'

Posted:

'Tidak bolehkah saya bersuara?'

'Tidak bolehkah saya bersuara?'

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (gambar) menegaskan bahawa beliau berhak menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cara pengendalian Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkaitan insiden 'Terowong Larkin'.

Beliau berkata, sebagai Menteri Besar Terengganu, beliau tidak boleh berdiam diri demi pembangunan sukan bola sepak negeri itu.

"Ini kerana kerajaan negeri bertanggungjawab mengeluarkan peruntukan bagi menanggung keperluan pengurusan persatuan dan pemain bola sepak di Terengganu.

"Yang tanggung belanja pasukan bola sepak negeri ialah kerajaan negeri. Jadi, bila kerajaan negeri keluar belanja, saya bertindak bagi pihak kerajaan dan adakah saya tak berhak berkata-kata?" tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan program Projek Perintis Terengganu Open Wi-fi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu semalam.

Beliau turut mempersoalkan: "Adakah FAM mampu beri sumbangan mencukupi kepada persatuan bola sepak (FA) negeri? Apakah demokrasi diamalkan FAM sampai orang tak boleh tegur?

"FAM juga milik rakyat Malaysia. Apa yang saya buat ini adalah hak rakyat dan ramai nak tahu apa perkembangan dan kebaikan.

"Ini yang tegur tak boleh dan apa pun tak boleh, bukan eksklusif dia pun. Kalau tak nak orang tegur, jadi macam inilah bola sepak Malaysia, masih terkial-kial lagi berbanding Korea dan Jepun yang pernah setaraf dengan kita dulu."

Ahmad memberitahu, beliau tetap tidak berganjak daripada kenyataan awalnya sebelum ini dan masih mempersoalkan kredibiliti jawatankuasa berkenaan dalam membuat keputusan berhubung isu tersebut.

"Sekarang kenyataannya bercanggah, dulu kata bukan alasan keselamatan sebab berdasarkan peruntukan Perkara 16 Undang-Undang FAM iaitu memutuskan perlawanan oleh pengadil atau komisioner pertandingan apabila masalah berlaku di padang.

"Tapi ini (insiden 'Terowong Larkin') berlaku di luar padang, pengadil perlawanan dan komisioner tak ada ketika itu, sebab itulah saya sebut dulu, takkan kita bodoh sangat nak tarik diri," ujarnya.

Menurut Ahmad, beliau mengeluarkan kenyataannya sebelum ini setelah mendapat laporan lengkap daripada pihak pengurusan T-Team mengenai apa yang berlaku di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor pada 1 Februari lalu.

"Kita serah pada FAM buat keputusan dan rakyat akan menilai, sekarang baru dia orang bising, mentang-mentang saya tak tahu. Kalau saya pegang jawatan (Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu - PBSNT), saya tak boleh bercakap, kena pecat dan gantung pula.

"Sebab itulah saya duduk di luar (bukan Presiden PBSNT), senang dan boleh bercakap, takkan nak pecat dan gantung saya. Bila orang cakap tak boleh dan tak ada hak, (sedangkan) rakyat ada hak," ujarnya.

'Tiba masa Abu Bakar berehat'

Posted:

'Tiba masa Abu Bakar berehat'

'Tiba masa Abu Bakar berehat'

Oleh SAHLIZAH MOHAMED
sahlizah.mohamed@kosmo.com.my

"KALAU beliau bertanggungjawab, dia perlu berundur." Itu reaksi penyelaras kepada salah satu laman sesawang penyokong pasukan Perak, yob- 4ever.com, Syed Hishamudin Syed Hisham ketika diminta mengulas sentuhan ketua juru- latih Perak, Abu Bakar Fadzim yang dilihat kurang berpengalaman membimbing The Bos Gaurus.

Menurut Syed Hishamudin, pada awal pelantikan Abu Bakar, ramai yang tertanya-tanya akan kebolehan jurulatih berusia 43 tahun, sama ada mampu atau tidak untuk menjulang Perak musim ini.

"Apabila orang sudah bertanya, ini bermakna mereka tidak berapa yakin dengan kebolehan Abu Bakar. Ia terbukti apabila sehingga kini sudah sampai ke separuh musim, masih belum ada apa-apa tindakan.

"Peminat sudah mula mempersoalkan perkara itu dan nampak Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) tidak menjalankan tugas.

"Contohnya pada perlawanan menentang Selangor, Perak tiada pencapaian. Bagi saya, PAFA peru bersedia untuk berdepan dengan semua ini," kata Syed Hishamudin ketika ditemui di pejabat Kosmo! di Ipoh semalam.

Tambahnya, PAFA seharusnya menetapkan satu tempoh masa untuk mengukur sejauh mana pencapaian yang direkodkan Abu Bakar berbanding menyerahkan tanggungjawab kepadanya untuk tempoh satu musim.

"Bila beri tempoh sampai satu musim, risikonya kita akan turun liga dan bila sudah jadi demikian, sukar untuk kita mendaki semula.

"Tolonglah, beliau harus direhatkan. Pasukan Kedah dulu pernah berbuat demikian bila melihat tiada sebarang pencapaian yang positif.

"Rehatkan beliau bukan bermaksud pecat. Cuba beri peluang kepada orang lain untuk ambil alih," ujarnya.

Menurut Syed Hishamudin, selepas mengharungi 11 perlawanan liga, Abu Bakar dilihat seolah-olah sudah kering idea terutama membabitkan taktikal.

"Beliau daripada (jurulatih skuad) Piala Presiden Perak). Dua tahun lepas, beliau berjaya melonjakkan Perak sebagai juara dan pada tahun lalu sebagai naib juara sebelum diberi kepercayaan untuk membimbing skuad Liga Super tahun ini.

"Kalau kita lihat, Liga Super dan Piala Presiden jauh berbeza. Apabila jurulatih daripada skuad Piala Presiden menjadi jurulatih untuk Liga Super, caranya sudah berbeza.

Syed Hishamudin turut berpendapat bahawa jawatan penaung PAFA yang kini digalas oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir perlu diambil alih oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

"Untuk tempoh terdekat, rombakan presiden (PAFA) tidak perlu tetapi jurulatih amat perlu. Saya bercakap untuk kebaikan pembangunan bola sepak Perak.

"Apa yang dilakukan oleh penyokong bukan untuk merosakkan atau memburukkan PAFA tetapi sebab kami sayangkan Perak.

"Penyokong sudah tidak tahan melihat prestasi Perak dan daripada pengamatan pihak luar, mereka melihat seolah- olah pengurusan PAFA gagal," katanya.

Wan Zack tetap milik Kelantan

Posted:

Wan Zack tetap milik Kelantan

Wan Zack tetap milik Kelantan

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my


WAN ZACK (kiri) hadir pada sesi latihan skuad Kelantan di Kota Bharu minggu lalu.


"TEMPOH pendaftaran pemain masih panjang dan akan berakhir 23 April ini, jadi tidak timbul soal mengapa Kelantan belum mendaftarkan Wan Zack Haikal (Wan Noor)."

Demikian tegas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Azman Ibrahim ketika diminta mengulas mengenai isu melibatkan pendaftaran Wan Zack yang menjadi topik perbualan utama dalam kalangan pemerhati bola sepak tempatan terutama peminat serta penyokong setia The Red Warriors.

Azman berkata, Wan Zack sudah sah menjadi milik Kelantan selepas mengikat kontrak selama tiga tahun.

Menurutnya, KAFA tidak mahu mengambil risiko dengan membuat keputusan mendaftarkan Wan Zack memandangkan dia masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

"Kami perlu meneliti pelbagai aspek sebelum membuat keputusan berhubung perkara ini. Lagipun jadual perpindahan pemain untuk kali kedua ini masih belum tamat.

"Pada saya, tiada apa yang perlu disensasikan, Kita baru saja mendaftarkan dua pemain untuk kuota tempatan iaitu Mohd. Fitri Omar serta Brenden Gan dan mengikut syarat, hanya tiga pemain dibenarkan.

"Kita ada satu lagi slot untuk diisi, namun KAFA perlu mengeluarkan seorang pemain yang sedia ada dalam pasukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus tamat perlawanan Liga Super antara Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.

Terdahulu, keputusan KAFA untuk tidak mendaftarkan Wan Zack telah mencetuskan pelbagai persoalan, sama ada dia akan menyarung jersi Kelantan atau sebaliknya.

Semuanya bermula apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa KAFA hanya mendaftarkan Brendan yang baru mendapat kerakyatan Malaysia serta Fitri yang berhijrah daripada ATM.

Dalam perkembangan lain, Azman turut mengesahkan bahawa dua pemain Kelantan, Famirul Asyraf Sayuti dan Muhammad Aizat Jaini sedang menjalani sesi pemilihan bersama Perak.

"Jika Perak berminat dengan salah seorang daripada pemain terbabit, KAFA bersedia melepaskan mereka," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Menteri Besar berhak mencampuri bola sepak

Posted:

Menteri Besar berhak mencampuri bola sepak

Menteri Besar berhak mencampuri bola sepak

06/04/2014 10:43pm

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyatakan bahawa beliau berhak mencampuri urusan bola sepak kerana kerajaan negeri mengeluarkan dana besar untuk menanggung perbelanjaan pasukan Terengganu dan T-Team dalam pertandingan Liga Super.

"Semua Menteri Besar berhak ke atas pasukan negeri masing-masing kerana dana terbesar untuk perbelanjaan setiap pasukan adalah daripada kerajaan negeri dan bukan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak yang menyatakan Menteri Besar itu tidak kena mengena dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dalam isu 'insiden terowong'.

Ahmad membidas jawatankuasa itu berhubung keputusan mengenakan denda RM30,000 ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) atas 'insiden terowong' di Stadium Larkin Johor, pada 1 Febuari lepas.

Menurut Ahmad, jawatankuasa itu membuat keputusan terpilih atau 'pilih bulu' kerana hanya menjatuhkan hukuman denda terhadap JDT kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan di stadium sehingga mencetuskan insiden itu. - Bernama

Demam denggi menurun kepada 1,300 kes minggu lepas

Posted:

Demam denggi menurun kepada 1,300 kes minggu lepas

Demam denggi menurun kepada 1,300 kes minggu lepas

06/04/2014 10:00pm

MELAKA - Demam denggi menurun kepada kira-kira 1,300 kes di seluruh negara minggu lepas berbanding 2,500 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, penurunan sebanyak 1,200 kes itu berikutan pelbagai usaha Kementerian Kesihatan dalam mengawal pembiakan nyamuk Aedes terutama di kawasan berisiko.

Namun, katanya, wabak denggi masih belum dapat ditangani sepenuhnya masa ini kerana sikap rakyat terhadap isu itu masih di tahap rendah.

"Kesedaran rakyat tentang wabak ini amat tinggi tetapi mereka tidak ubah sikap (untuk mencegah wabak itu).

"Ia memerlukan usaha yang jitu daripada pelbagai pihak terutama masyarakat," katanya selepas melancarkan cakera padat 'Tirupugal' yang mengandungi 22 lagu keagamaan Hindu di sini, hari ini.

Menurut Subramaniam, sehingga kini, sebanyak 25,000 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara dengan 63 kematian dicatatkan sejak Januari lepas. - Bernama

Dua maut, 23 lagi cedera akibat empat letupan bom di Yala

Posted:

Dua maut, 23 lagi cedera akibat empat letupan bom di Yala

Dua maut, 23 lagi cedera akibat empat letupan bom di Yala

06/04/2014 8:51pm

YALA - Empat letupan bom menggegarkan bandar Yala di selatan Thailand petang tadi menyebabkan dua orang maut manakala 23 lagi cedera.

Seorang yang terkorban dalam kejadian 3.50 petang waktu tempatan itu meninggal dunia di hospital manakala seorang lagi ditemui rentung dalam sebuah kereta.

Letupan di bandar itu berlaku akibat bom dipercayai diletakkan di kereta, motosikal, mesin juruwang automatik dan di hadapan.

Menurut saksi kejadian, lokasi letupan adalah di persimpangan kawasan beli

belah.

Jurucakap Tentera Bahagian Keempat, Kolonel Pramoth Prom-in berkata, semua mangsa adalah orang awam dan sasaran kali ini berada di luar kawasan selamat yang dikawal rapi pihak keselamatan. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Operasi terbesar cari kotak hitam

Posted:

Operasi terbesar cari kotak hitam

Operasi terbesar cari kotak hitam

GAMBAR yang dirakam kelmarin menunjukkan kapal HMAS Ocean Shield yang menunda peranti pengesan kotak hitam TPL.


PERTH - Empat minggu selepas kehilangan Penerbangan Malaysia MH370, para pencari melancarkan operasi terbesar di selatan Lautan Hindi semalam untuk cuba mencari kotak hitam pesawat sebelum baterinya kehabisan kuasa.

Sejumlah 10 pesawat tentera, tiga jet awam dan 11 kapal meronda kawasan seluas 217,000 kilometer (km) persegi di lokasi yang terletak sekitar 1,700 km ke barat daya bandar raya ini.

Pihak berkuasa percaya pesawat tersebut jatuh di lokasi tersebut pada 8 Mac lalu bersama 239 penumpang dan anak kapal.

"Walaupun kami belum menemui apa-apa dalam tempoh empat minggu ini, kami akan meneruskan pencarian kerana banyak objek dalam pesawat itu akan terapung," kata ketua agensi Australia yang menyelaras operasi tersebut, Ketua Marshal Udara (Bersara) Angus Houston.

"Pada akhirnya saya berpendapat sesuatu akan ditemui yang akan dapat membantu kami mengecilkan kawasan mencari," tambahnya.

Setakat ini, pihak berkuasa tidak menolak masalah mekanikal sebagai punca tragedi tetapi bukti-bukti termasuk kegagalan komunikasi menunjukkan haluan Penerbangan MH370 telah sengaja diubah sejauh beribu-ribu kilometer dari laluan asalnya.

Pada hari kejadian, penerbangan tersebut berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke kota raya Beijing di China.

Berpuluh-puluh penerbangan oleh pasukan bertindak antarabangsa setakat ini gagal mengesan pesawat tersebut manakala para penyiasat mengakui operasi mencari MH370 sukar kerana kekurangan data.

Pesawat Boeing 777 itu dikesan seketika oleh radar tentera ketika berada di perairan Malaysia manakala para penyiasat membuat rumusan MH370 terhempas di selatan Lautan Hindi berdasarkan isyarat elektronik atau ping pesawat yang dikesan satelit beberapa jam kemudian.

Dalam pada itu, peranti sonar yang dibawa oleh dua buah kapal dalam operasi mencari tersebut mungkin dapat membantu mencari kotak hitam dan perakam data yang menjadi kunci bagi merungkai misteri kehilangan penerbangan itu.

Kotak hitam pesawat dilengkapi isyarat lokasi yang memancarkan gelombang ping apabila berada di bawah air tetapi baterinya hanya dapat bertahan selama 30 hari.

Pihak berkuasa Australia menyatakan, peranti yang dinamakan Towed Pinger Locator (TPL) ditunda di belakang kapal perang HMAS Ocean Shield akan meninjau kawasan seluas 240 km bersama kapal kaji selidik Britain, HMS Echo.

Sebelum itu, pakar-pakar memberi amaran bahawa peranti TPL itu kurang berguna melainkan pasukan penyiasat dapat mengetahui dengan tepat lokasi pesawat tersebut terjatuh ke dalam laut.

Menurut mereka, TPL mempunyai jarak pengesanan terhad manakala ia ditunda secara perlahan oleh kapal Ocean Shield menyebabkan ia tidak dapat meliputi kawasan luas di laut dengan cepat.

"Apa yang kami lakukan adalah mencari berdasarkan anggaran terbaik mengenai laluan pesawat MH370," kata pegawai tentera laut Amerika Syarikat, Kapten Mark Matthews.

Britain turut menghantar kapal selam nuklear HMS Tireless yang memiliki keupayaan sonar manakala sebuah kapal frigat Malaysia turut dijangka tiba di lokasi pencarian semalam.

Dalam pada itu, kerajaan Malaysia berdepan kritikan terutamanya dari China yang tidak berpuas hati berhubung operasi mencari tersebut.

Kebanyakan daripada 227 penumpang pesawat Boeing 777 yang hilang itu merupakan warga China. - Reuters

Baju Merah enggan Yingluck disingkir

Posted:

Baju Merah enggan Yingluck disingkir

Baju Merah enggan Yingluck disingkir


ANGGOTA-ANGGOTA kumpulan penyokong kerajaan Baju Merah berkumpul dalam satu perhimpunan di Bangkok semalam.


BANGKOK - Beribu-ribu anggota kumpulan Baju Merah yang menyokong kerajaan berhimpun untuk memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri Yingluck Shinawatra (gambar kecil) semalam.

Mereka yang berkumpul di pinggir barat bandar raya ini memberi amaran akan menentang keras percubaan untuk menumbangkan Yingluck melalui proses mahkamah.

Perhimpunan besar-besaran itu mendorong pihak berkuasa mengerahkan lebih 3,000 anggota polis dan askar untuk mengawal ketenteraman.

Kehadiran pasukan keselamatan tersebut juga bagi mengekang keganasan politik yang meragut 24 nyawa dan mencederakan ratusan yang lain sejak beberapa bulan lalu.

Mengulas perkembangan itu, penasihat keselamatan perdana menteri, Paradorn Pattanatabut berkata, kira-kira 20,000 penyokong Baju Merah telah berkumpul di lokasi tersebut pagi semalam.

"Mereka berhimpun beberapa jam lebih awal sebelum perhimpunan selama dua hari itu bermula secara rasmi," kata Pattanatabut.

"Pihak berkuasa menjangka lebih 200,000 anggota Baju Merah akan menyertai rapat umum ini," tambahnya .

Para penyokong kerajaan tersebut katanya, tiba dari utara dan timur laut Thailand dengan menaiki bas, trak dan kereta api.

Menurut Paradorn, pihak berkuasa percaya tiada pertempuran melibatkan kumpulan Baju Merah itu dengan penunjuk perasaan antikerajaan akan berlaku.

"Penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di sebuah taman di pusat bandar raya ini dan jauh dari lokasi rapat umum Baju Merah," ujarnya.

"Apa yang kami bimbang ialah pihak ketiga," jelas Paradorn.

Beliau merujuk kepada penyerang-penyerang tidak dikenali yang melancarkan beberapa serangan senjata api dan bom tangan di sekitar kota raya ini sejak beberapa bulan lalu.

Dalam pada itu, pengerusi pergerakan Baju Merah, Jatuporn Prompan memberitahu, mereka akan memberikan tentangan keras jika seteru-seteru Yingluck berkeras melantik seorang perdana menteri baharu atau melakukan rampasan kuasa.

Yingluck kini berdepan dakwaan cuai melakukan tanggungjawab berkaitan skim subsidi pembelian beras oleh kerajaan dan menyalah guna kuasa berhubung pertukaran seorang pegawai kanan kerajaan. - AFP

Tiga maut kereta api tergelincir di Tasikmalaya

Posted:

Tiga maut kereta api tergelincir di Tasikmalaya

Tiga maut kereta api tergelincir di Tasikmalaya


PEKERJA-PEKERJA bersedia memindahkan beberapa gerabak kereta api yang tergelincir di Tasikmalaya, Jawa Barat semalam.


JAKARTA - Sekurang-kurangnya tiga orang mati dan tujuh cedera apabila sebuah kereta api penumpang tergelincir di tengah Indonesia, kata seorang pegawai semalam.

Tren itu terbabas selepas melanggar timbunan lumpur di landasan yang berpunca daripada satu kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat.

Seorang jurucakap Syarikat Landasan Kereta Api Indonesia, Junerfin berkata, nahas berlaku lewat kelmarin di daerah Tasikmalaya, Pulau Jawa.

"Dua lelaki dan seorang kakitangan wanita maut dalam kemalangan ini," kata Junerfin.

"Tujuh lagi dimasukkan ke hospital termasuk dua mangsa yang parah," tambahnya.

Menurut jurucakap itu, tiga buah gerabak terhumban ke dalam gaung sedalam 10 meter manakala ratusan penumpang yang panik cuba menyelamatkan diri.

Kemalangan kereta api biasa berlaku di Indonesia ekoran rangkaian landasan yang uzur di samping kelemahan infrastruktur.

- Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Darah muda Miera Liyana

Posted:

Darah muda Miera Liyana

Darah muda Miera Liyana

MEMECAH masuk ke arus lakonan menerusi drama arahan Aziz M. Osman bertajuk Luna Fantasiku, ketika itu umurnya belum mencecah 16 tahun. Jiwa rangup yang dibuai emosi mentah itu terus mengalir secara laju apabila menyambut kepercayaan pengarah hebat, Mamat Khalid untuk beraksi dalam naskhah filem Apokalips X.

Populariti segera disemarakkan dengan imej seksi serta percintaan dari lokasi ke lokasi menjadikan Miera Liyana terkenal dengan nada negatif. Tahun-tahun pertama kemunculannya, Miera dilabel gadis sensasi.

Tergelak dan ketawa mengingatkan zaman remaja yang semakin ditinggalkan, Miera mahu menyelak halaman baharu. Di sebalik sifat gila-gila yang sarat dalam jiwanya, Miera punyai matlamat sementelah angka 21 sudah tertulis pada kotak usianya.

"Saya bukan lagi budak perempuan tetapi sedang menjadi wanita. Saya belum matang tetapi sedang berjalan ke arah itu," katanya sambil mengakui zaman remajanya tidak seperti gadis remaja yang lain.

Sambil mengambil posisi membetulkan duduknya, Miera menambah: "Masa remaja, saya tidak banyak masa dengan rakan-rakan sebaya kerana banyak waktu di lokasi penggambaran dan acara hiburan. Dahulu saya sedikit terkejut dengan dunia glamor. Saya ingat jadi pelakon itu kerja yang suka-suka.

"Waktu itu masih sekolah, cikgu-cikgu dan kawan-kawan pandang saya lain macam. Tapi sekarang saya mula sedar, berlakon itu kerja yang serius. Saya mahu jadi pelakon. Maksudnya saya, pelakon yang tahu apa itu lakonan dan bekerja dengan serius."

Pelakon hingusan

PERNAH terpalit banyak kontroversi, Miera Liyana mengakui, dahulu dia terlalu mentah menilai percaturan populariti. Kini, Miera semakin matang dan serius untuk menjadi seorang pelakon sejati.


Melihat perjalanan karier lakonannya sedang di landasan yang ada hala tuju, trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik kategori filem yang dimenangi menerusi Anugerah Skrin 2013 jadi titik permulaan kepada metamorfosis Miera.

"Mula-mula orang nampak saya sebagai pelakon hingusan. Asyik jaja kisah cinta, seksi dan kontroversi tetapi saya okey sahaja sampailah saya dinilai dengan sebuah trofi anugerah. Dari situ saya mula sedar yang saya harus buktikan sesuatu. Setakat ini saya masih bukan lagi pelakon yang sebenar tetapi saya mahu jadi pelakon yang bagus," katanya yang kini muncul dapa filem Apokalips X di pawagam tanah air.

Apokalips X sepatutnya menjadi pemula kepada kemunculan Miera Liyana namun filem pertama yang dilakonkan empat tahun lalu itu bagaimanapun harus akur untuk menjadi penerus kredibiliti Miera sebagai anak seni.

"Saya memang mahu khalayak menonton filem Apokalips X. Itu filem saya. Saya tak tahu kenapa saya dipilih masuk ke dalam filem itu tetapi saya yakin Apokalips X sebuah filem unik. Rasanya tidak ada filem Mamat Khalid yang seserius filem Apokalips X," ujar Miera yang melakonkan watak Qi Qi dalam filem yang sudah ditayangkan sejak 3 April lalu.

Sedikit terkilan namun pasrah mengenai nasib filemnya yang terpaksa menangguhkan pratonton media serta tiada ruang promosi yang agresif disebabkan tragedi MH370, Miera akui, Apokalips X sebuah filem pertama seumpamanya yang dihasilkan pengarah tempatan.

"Saya hanya bawa watak kecil. Seorang gadis yang dihalang hubungan cinta dengan pemuda daripada kelompok yang lain, bagaimanapun watak itu penting dalam menggerakkan konflik dan plot keseluruhan.

"Ya, filem ini sepatutnya jadi pemula kepada kemampuan Miera Liyana, tetapi seronok juga dapat melihat hasil kerja yang dilakukan ketika masih mentah," katanya riang.

Tutup cerita cinta

Silir cinta Miera Liyana seperti mahu bertiup semula apabila ada desas-desus mengatakan dia kini sedang mengulit hubungan istimewa bersama pelumba kereta drift.

Sengaja mengusiknya yang sudah agak lama tidak disensasikan episod cinta, Miera ditebak tentang kebenaran dakwaan itu. Jika sewaktu bercinta dengan Lash Mokhtar dan Shahrizal Jaszle, mudahnya sahaja dia mengiakan isi hati namun, Miera kini sedikit berbeza.

"Betul juga, kenapa saya macam sudah tak seronok bercakap pasal cinta. Mungkin sebab tak ada hubungan yang benar-benar istimewa dengan mana-mana lelaki. Mungkin sebab umur pun sudah meningkat. Dahulu, ada teman lelaki sahaja sudah mula cakap pasal kahwin, kelakar.

"Sekarang, saya mahu fokus kerja. Kalau nak cari teman lelaki yang betul-betul, saya tak mahu lelaki pengongkong tapi pada masa yang sama, saya juga tak suka lelaki yang boleh saya kongkong. Biar sama-sama saling memahami, itu yang susah.

"Sekarang ini, nak kata saya cuba mengelak kontroversi, tidak juga tapi nak kurangkan memang ada. Sekarang saya memilih untuk berkawan sahaja," ujar Miera yang bagaimanapun mengakui sedang jatuh cinta terhadap sukan berlumba drift.

Banyak berkongsi kegilaan baharunya itu, pelakon yang sedang sibuk di lokasi drama bersiri 60 episod, Kusinero Cinta itu menjadikan drift sebagai hobi yang memberi kepuasan kepadanya.

"Saya anak kedua, sejak kecil saya mahu jadi seperti abang. Saya lasak dan tidak begitu menggemari permainan budak perempuan. Selama ini minat dengan kereta itu ada tetapi tidak mendalam seperti sekarang," katanya mula belajar drift secara profesional sejak lapan bulan lalu.

SEPI daripada sensasi kisah cinta, Miera kini mempunyai kecintaan baharu. Dia sudah lapan bulan menjadi fanatik sukan drift. Gara-gara drift, Miera dikatakan sedang menjalin hubungan dengan seorang pelumba kereta, namun cerita itu dakwanya sekadar gosip.


Pelantikannya sebagai salah seorang duta Drive M juga membuka laluan untuk Miera untuk beraksi sebagai drifter.

"Mana tahu suatu masa nanti saya boleh jadi pelumba drift pula," katanya berseloroh namun sempat berkongsi impian untuk mempunyai sebuah rumah produksi sendiri pada masa hadapan.

Lahir daripada golongan berada bukan satu alasan untuk Miera secara mudah memperoleh setiap kemahuannya. Tanpa lakonan, Miera sebenarnya sudah boleh meneruskan bisnes keluarga.

"Saya kena berusaha sendiri juga. Hajat nak ada rumah produksi itu memang disokong oleh keluarga tetapi saya kena tahu selok-beloknya dulu, kena kuatkan nama dulu.

"Sekarang ibu saya menjadi orang yang selalu ada di sisi. Dia orang paling layak saya percaya, dan dia juga sedang menyokong impian saya satu itu," optimis bunyinya kehendak Miera kali ini.

Otak saya rosak, otak Ayu segar - Radhi OAG

Posted:

Otak saya rosak, otak Ayu segar - Radhi OAG

Otak saya rosak, otak Ayu segar - Radhi OAG


RADHI dan Ayu bergambar bersama Mohd. Rifdhi usai majlis akad nikah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Jumaat lalu.


PERBEZAAN usia sebanyak 17 tahun bukan satu alasan untuk Radhi, 37, dan Nur Shahira Ayu Zahiri, 20, bersatu sebagai suami isteri.

Mereka selamat bernikah pada pagi Jumaat lalu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.

Ringkas dan sederhana, namun majlis bertemakan serba putih yang hanya dihadiri kira-kira 100 tetamu daripada keluarga serta rakan terdekat itu cukup bererti buat Radhi dan isterinya yang mesra disapa Ayu.

Mereka menyulam cinta selama empat tahun dan dalam tempoh itu, Radhi banyak menghabiskan masa untuk membebaskan diri daripada ketagihan dadah di Rumah Pengasih, Kuala Lumpur.

"Saya bersyukur sangat kerana perancangan kami berjalan lancar. Selepas ini kami tidak akan ditanya lagi tentang perkahwinan. Saya harap pernikahan kedua saya ini akan berkekalan. Ayu ialah tulang belakang saya selama ini.

"Otak saya sudah banyak yang rosak akibat dadah tetapi Ayu, otaknya masih segar dan muda. Dia seorang yang tenang dan boleh mendamaikan saya apabila saya berada dalam tekanan.

"Kadang-kadang saya rasa, sikapnya yang tenang dan matang itulah yang jadi penyelamat hidup saya selama beberapa tahun ini," jelas Radhi.

Tiga tahun 'bersih' sepenuhnya daripada ketagihan dadah, Radhi mulanya berdepan kesukaran untuk meyakinkan keluarga Ayu bahawa dia mampu menjadi suami terbaik buat wanita muda itu.

"Prosesnya agak lama juga tetapi sejak mula berkenalan, perkara utama yang saya lakukan ialah bertemu ibu dan ayah Ayu. Kali pertama bertemu tiga tahun lalu, saya sudah menyatakan hasrat itu.

"Lama-lama mereka boleh terima saya bahkan saya pernah berubat untuk bersihkan diri daripada dadah daripada ayah Ayu," cerita Radhi yang merancang mengadakan majlis resepsi mereka selewat-lewatnya Disember nanti.

Tersenyum dan manis dalam busana rekaan Shawn Sinar Sutra, Ayu tentunya cukup mengenali siapa Radhi sebelum bulat hati menerima penyanyi yang popular dengan lagu Generasiku itu.

"Sebenarnya saya mula-mula kenal Radhi sewaktu saya berumur 15 tahun. Ketika itu saya masih bersekolah. Setiap hari jalan kaki ke sekolah dan ke kelas tuisyen, setiap hari juga ibu berpesan supaya hati-hati, jangan nakal dan jangan bercampur dengan budak dadah.

"Akhirnya saya jumpa juga dengan Radhi yang ambil dadah, tetapi masa itu dia sudah mahu berubah. Saya banyak belajar daripada Radhi.

"Dia cerita zaman mudanya yang hampir musnahkan dirinya. Dari situ, dengan sendiri saya rasa tak guna saya habiskan zaman remaja saya untuk bersosial semata-mata.

"Saya senang dengan dia, dia teladan yang baik untuk saya," jelas Ayu yang mengakui sifat penyayang dan ambil berat Radhi membuatkan dia sedikit demi sedikit jatuh cinta terhadap lelaki itu.

"Kata-kata Ayu buat saya tekad masuk Rumah Pengasih. Dia kata, saya hanya bercakap tetapi buatnya tidak," celah Radhi.

Bagi Ayu, anak bongsu daripada tujuh beradik menyifatkan sikap Radhi yang gila-gila dan simple salah satu punca dia tidak pernah menimbulkan jurang komunikasi mereka sebagai kekasih mahupun kini selepas bergelar suami isteri.

"Rasanya karakter Radhi tidak menampakkan beza usianya dengan saya.

"Memang saya muda tetapi saya bukan jenis yang gila-gila sangat, harap kami boleh saling memperbaiki diri antara satu sama lain," kata Ayu yang kini berjinak-jinak untuk menguruskan karier dan bisnes kecil-kecilan bersama Radhi.

Radhi OAG atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, pernah bernikah dengan Shazlin Sharif pada Januari 2005 namun bercerai pada Jun 2010. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohd. Rifdhi Muslim, 8.

Hanez Suraya pasang bodyguard

Posted:

Hanez Suraya pasang bodyguard

Hanez Suraya pasang bodyguard


TENAGA penting teater Projek Kahwin bersama Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Juhari Shaarani (barisan belakang, dua dari kanan).


KONTROVERSI cinta dengan suami orang begitu besar impaknya terhadap Hanez Suraya. Kata-kata cacian, sumpah-seranah, cemuhan dan pandangan jelik sudah menjadi makanan buat pelakon yang popular dengan watak-watak antagonis itu. Sepintas lalu, ada yang mudah mengagak, karier lakonan Hanez sudah sampai ke penghujung usia.

Namanya digugurkan daripada terus menjadi jurucakap produk kecantikan AuraWhite. Tidak mahu memburukkan keadaan, Hanez sendiri mengundur diri daripada terlibat dalam acara Anugerah Bintang Popular. Tidak habis di situ, situasi yang sama jugalah membuatkan pelakon Love You Mr Arrogant itu berkira-kira untuk menarik diri daripada terlibat dalam teater Projek Kahwin yang bakal dipentaskan pada Jun nanti.

Namun, selepas perbincangan dan kata sepakat yang dibuat, pihak produksi tetap mahukan Hanez sebagai peneraju utama dalam pementasan itu nanti.

"Memang pada mulanya, saya ada cakap dengan pihak produksi yang saya mahu tarik diri. Bukan apa, saya tak mahu pihak lain juga terkena tempiasnya.

"Saya sendiri maklum yang teater ini melibatkan banyak pihak sebab itu saya mahu tarik diri, tetapi pihak produksi bagi semangat kepada saya dan tidak membenarkan saya undur diri," luah pelakon berumur 29 tahun itu.

Mengambil kata-kata positif yang diberikan kepadanya, Hanez kemudian bersetuju untuk berlakon dalam teater itu nanti.

"Pihak penganjur dan Istana Budaya mahu beri peluang kepada saya untuk capai impian saya beraksi di pentas besar itu nanti.

"Lagi pun, mereka kata saya sudah terlibat dalam mempromosi teater ini sejak tahun lepas lagi, jadi sebab itu mereka mahu saya beraksi sama untuk asah bakat saya dalam bidang teater," ceritanya.

Biarpun Hanez hanya akan muncul dalam empat pementasan daripada 10 persembahan yang dipertontonkan, sekurang-kurangnya peminatnya yang menyokong Hanez selama ini berpeluang melihat aksinya di pentas Istana Budaya.

Hanez yang berkongsi watak bersama pelakon Kilafairy dalam teater itu nanti bakal tampil pada pementasan yang diadakan dari 12 hingga 14 Jun.

Tegas Hanez, tidak pernah terlintas dalam fikirannya bahawa kontroversi cinta akan mengubah putaran hidupnya secara mendadak.

Dibenci sehingga menimbulkan kemarahan ramai terutamanya wanita, Hanez juga berasa bimbang dengan kecaman bersifat ancaman yang diterimanya.

Lantaran risiko bahaya itu, Hanez mengakui dia terpaksa menggunakan khidmat pengawal peribadi bagi menjaga keselamatan dirinya sewaktu berada di luar rumah.

"Sebenarnya, keluarga saya risaukan keselamatan saya. Mereka bimbang jika saya keluar bersendirian memandangkan keadaan saya yang banyak menerima ugutan dan ancaman.

"Jadi atas faktor itulah, saya gunakan khidmat pengawal peribadi," katanya sewaktu ditemui pada majlis sidang akhbar pengumuman pelakon teater Projek Kahwin di Istana Budaya baru-baru ini.

Pelakon drama Sedetik Cinta bagaimanapun mengakui janggal kerana perlu berdampingan dengan pengawal peribadi.

"Saya seorang yang jenis bersahaja. Kalau keluar pun selalu dengan orang yang saya kenal. Jadi, apabila ada orang yang sentiasa mengikut, agak kurang selesa. Tapi atas permintaan keluarga yang bimbang dengan saya, saya akur dan turutkan," tuturnya.

Jelas Hanez, khidmat pengawal peribadi yang digunakan itu juga hanyalah bersifat sementara sahaja sehingga isu yang melanda dirinya itu reda.

"Bodyguard (pengawal peribadi) tidak ikut kesemua tempat. Dia hanya akan teman saya untuk ke majlis-majlis atau ke tempat-tempat tertentu sahaja," tambahnya.

Pihak Istana Budaya juga bersedia untuk meminta khidmat anggota polis dan memperketatkan kawalan keselamatan bagi melindungi Hanez serta pengunjung Istana Budaya daripada perkara yang tidak diingini.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved