Sabtu, 1 Mac 2014

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Avril, tentang hidup dan karier

Posted:

Avril, tentang hidup dan karier

Avril, tentang hidup dan karier


TERUJA. Avril melahirkan rasa terujanya untuk kembali bertemu peminatnya di Malaysia pada 14 Mac ini bersempena dengan konsert jelajah Asia miliknya.


SEKITAR pukul 5.10 minit petang, telefon pintar penulis berbunyi. Petang itu penulis menerima panggilan dari seseorang yang tidak pernah penulis fikir akan menelefon saya. Dia, Avril Lavigne. Penulis ulangi, Avril Lavigne atau nama sebenarnya, Avril Ramona Lavigne, penyanyi terkenal dunia.

Panggilan tersebut dibuat atas alasan bersempena dengan kedatangan kali keduanya ke Malaysia sempena siri Konsert Siri Jelajah Asia Avril Lavigne.

Sesekali talian kami tenggelam timbul, yang ironi, pada kebanyakan masa penyanyi kelahiran Kanada itu lebih banyak berdiam berbanding memanjangkan jawapan pada setiap persoalan yang diajukan.

Namun, masa selama 10 minit perbualan dimanfaatkan sepenuhnya.

Bertanya kepada penyanyi itu tentang kehidupannya selepas berkahwin dengan vokalis Nickleback, Chad Kroeger, yang baru menjadi pasangannya kurang setahun, Avril pantas memberitahu dia bahagia hidup bersama suami baharunya itu.

Dalam nada gembira, dia yang bakal hadir ke Malaysia ditemani Chad memberitahu: "Dia (suami) kerap bersama saya mengikuti konsert jelajah saya. Kami gembira."

Saat ditanya tentang perancangan mempunyai cahaya mata, Avril mengatakan: "Ada, kami ada perancangan untuk mempunyai anak dalam masa terdekat ini."

Avril dan Chad telah berkahwin pada tahun lalu di sebuah istana lama di Selatan Perancis selepas bertunang pada Ogos 2012.

Ia merupakan perkahwinan kedua wanita itu selepas perkahwinan pertamanya dengan Deryck Whibley berakhir secara rasmi pada tahun 2010.

Penceraian mereka dilaporkan berpunca daripada sikap mantan suaminya yang gagal meninggalkan tabiat menghisap dadah.

Dalam satu temu bual bersama media antarabangsa, Avril menyimpulkan dia tidak pernah menyesali tentang kehidupan rumah tangganya yang terpaksa berakhir.

Katanya: "Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menikmati masa bersama dia. Saya juga bersyukur walaupun kami telah berpisah, tetapi hubungan kami kekal baik."

Matang

Seiring dengan peningkatan umurnya, Avril kini dilihat semakin matang sama ada dalam kehidupan mahupun karier muziknya.

Tidak seperti album terdahulunya, pemerhati muzik menyatakan terdapat perubahan drastik pada susunan lagu dan lirik ratu punk rock tersebut dalam lagu-lagu terbaharunya.

Perubahan tersebut dapat dilihat melalui perubahan album terbaharunya berjudul Avril Lavigne.

Berbanding empat album sebelum ini iaitu Let Go (2002), My World (2003), Under My Skin (2004), The Best Damn Thing ( 2007) dan Goodbye Lullaby (2011), pengisian lirik yang ditulisnya sendiri itu lebih ke arah kedewasaan.

Perubahan lagu yang lebih berentak perlahan dan pengisian yang lebih berat dan matang dapat dilihat dalam lagu baharu yang disampaikan Avril.

Pada masa yang sama, penampilan terbaharu penyanyi tersebut juga berubah daripada fesyen berseluar seperti lelaki kepada fesyen yang lebih feminin.

Avril yang dahulunya lebih selesa berpakaian selamba seperti baju-T, seluar dan but kini mula mengenakan gaun dan baju perempuan.

"Saya pernah terfikir bahawa penampilan saya tidak akan berubah. Namun ternyata kini tidak lagi," katanya merujuk kepada selera berfesyennya sekarang.

Yayasan

Selain membina nama sebagai penyanyi, Avril menggunakan pengaruhnya untuk tujuan memberi semula kepada masyarakat.

Tiada siapa pernah menyangka walaupun berjiwa rock dan tampak ganas, Avril mempunyai yayasan kebajikan yang ditubuhkan di atas namanya sendiri.

Menggunakan tema Respect, Opportunity, Choices, Knowledge, and Strength (R.O.C.K.S) yayasan tersebut bertujuan untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik dan golongan kelainan upaya (OKU).

Mula ditubuhkan pada tahun 2010, yayasan tersebut aktif membantu golongan tersebut dalam bentuk dana dan kempen yang berkaitan kesedaran sivik.

Dalam satu kem musim panas yang dianjurkan yayasannya Avril berkata, dia sangat suka meluangkan masa bersama kanak-kanak dan lakukan sesuatu yang memberi makna dalam kehidupan mereka.

"Saya ingin memberi peluang kepada mereka untuk merasai keseronokan kem musim panas. Melalui program ini saya dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan menikmati kebahagian itu," ujarnya.

Yayasan tersebut kini telah berkembang ke seluruh pelosok Amerika Syarikat termasuk bandar besar seperti Los Angeles, California, Houston, Texas, Hawaii, Las Vegas, Miami, Florida dan Kanada.

Avril juga banyak terlibat dalam badan amal di seluruh dunia termasuk kempen kanak-kanak di Burma, Vietnam.

Cinta Makrifat satukan Awie, Erra

Posted:

Cinta Makrifat satukan Awie, Erra

Cinta Makrifat satukan Awie, Erra

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


ERMA FATIMA (kiri) selaku pengarah menyusun 26 buah lagu hit tiga bintang popular ini termasuk sedutan lakonan daripada lima filem terkenal mereka seperti Sembilu.


KONSERT Teaterikal Suara Kita yang akan berlangsung di Istana Budaya pada 3 hingga 9 Mac ini menerusi gandingan hebat artis popular Awie, Erra dan Ziana Zain bakal menyajikan kelainan buat penonton.

Istimewanya, penonton bukan sahaja akan dihiburkan dengan persembahan nyanyian ketiga-tiga artis berkenaan, malah terdapat lakonan semula yang ditampilkan menerusi babak lima buah filem yang pernah mencatatkan kutipan pecah panggung seperti Sembilu, Sembilu 2, Tragedi Oktober, Merah dan Maria Mariana.

Berkesempatan bertemu dengan Erma Fatima selaku pengarah sewaktu sesi latihan pada minggu lalu, dia menjelaskan, semua persiapan berjalan lancar dan sebanyak 26 buah lagu akan dipersembahkan sepanjang konsert berlangsung.

"Semua lagu yang dipersembahkan nanti merupakan lagu-lagu popular yang menjadi runut bunyi untuk kelima-lima filem berkenaan, kecuali sebuah lagu baharu yang berjudul Cinta Makrifat.

"Lagu ini akan dipersembahkan secara duet oleh Awie dan Erra dan ia sesuatu yang cukup menarik memandangkan mereka tidak pernah berduet sebelum ini," jelasnya tentang persiapan untuk konsert berkenaan.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai Cinta Makrifat, Erma memberitahu, lagu berkenaan merupakan ciptaannya sendiri yang sudah dihasilkan sekitar lima tahun yang lalu.

Ujarnya, ketika memberikan lagu berkenaan kepada Awie, pelakon dan penyanyi popular itu tidak mengetahui langsung bahawa dia merupakan pencipta lagu berkenaan sehingga sesi rakaman dibuat.

"Memandangkan ini merupakan sebuah gabungan yang bakal mengimbas semula kenangan tentang filem-filem hebat lakonan mereka, saya merasakan perlu ada satu elemen lain sebagai daya tarikan.

"Kemudian saya mengambil keputusan menggandingkan Awie dan Erra untuk berduet menerusi lagu Cinta Makrifat ini kerana ia merupakan julung-julung kalinya mereka berduet bersama," jelasnya.

Sementara itu, Awie yang ditemui semasa sesi latihan berkenaan mengakui, lagu berkenaan sedap didengar dan dia seperti tidak percaya apabila diberitahu ia merupakan lagu ciptaan Erma sendiri.

Menurutnya, pendekatan yang dilakukan oleh pengarah tersebut untuk menggandingkan dia dan Erra menerusi lagu itu dalam salah satu segmen persembahan nanti pastinya memberikan keunikan yang tersendiri.

"Sebelum ini saya dan Erra tidak pernah berduet dalam mana-mana lagu dan pastinya ini merupakan satu pembaharuan yang akan dapat disaksikan oleh peminat yang datang nanti.

"Harapan saya juga pastinya sangat tinggi agar ramai yang datang menyaksikan konsert ini kerana saya percaya ia mampu mengimbas semula zaman kegemilangan filem-filem lakonan kami dahulu," ujarnya selaku penerbit konsert berkenaan di bawah syarikatnya iaitu Awie Entertainment Sdn. Bhd.

Selain itu, Awie memberitahu, dia turut mengundang seorang gitaris wanita yang dikenali sebagai Mira Fana untuk mengiringi persembahannya ketika menyanyikan lagu berjudul Bujang Senang.

"Saya mengenali Mira menerusi aksinya bermain gitar yang dipaparkan di laman YouTube setelah diberitahu oleh seorang rakan. Melihat aksinya itu saya sangat kagum dan terus membuat keputusan untuk mengundangnya sebagai pemuzik undangan.

"Tujuan saya berbuat demikian kerana mahu menonjolkan bakat yang dimilikinya dan ia merupakan salah satu bukti yang dunia muzik tempatan juga tidak ketandusan dengan pemain gitar wanita yang hebat," jelasnya.

Jadual padat

Bagi Erra, pembabitannya dalam Konsert Teaterikal Suara Kita ini ternyata memberi cabaran tersendiri buat dirinya, lantaran masa yang terlalu singkat untuk membuat persiapan.

Mengakui jadual kerja yang sangat padat sejak kebelakangan ini membuatkan dia berasa sedikit tertekan, namun bantuan yang diberikan Erma serta sokongan daripada Awie dan Ziana banyak membantunya.

"Walaupun sudah beberapa kali berlakon teater, konsert ini suatu yang sangat berlainan kerana perlu menyanyi dan melakonkan semula babak-babak filem lakonan saya dahulu.

"Lagipun bukan mudah untuk mengingat semula babak-babak berkenaan, malah dialog yang dituturkan juga tidak ada perubahan. Secara ikhlasnya, saya berasa tidak puas dengan persediaan yang dibuat, tetapi akan terus cuba memberikan yang terbaik," jelasnya.

Penyanyi Ziana Zain yang ditemui pula berkata, antara faktor paling utama dia menerima tawaran terbabit dalam konsert berkenaan kerana perasaan rindu untuk bergandingan semula dengan rakan-rakan lama.

Menurutnya, tawaran yang diterima itu datang tepat pada masanya dan peluang yang ada untuk bergandingan dengan Awie dan Erra seperti yang pernah dilalui suatu masa dahulu tidak datang selalu lantaran kesibukan masing-masing.

"Memandangkan kebanyakan lagu-lagu nyanyian saya bernada tinggi, sudah tentu persiapan dari segi stamina perlu diutamakan. Cuma, yang agak memberikan cabaran apabila perlu mengingat kembali babak-babak lakonan dahulu.

"Kepada mereka yang pernah membesar dengan filem-filem yang pernah dilakonkan kami dahulu, inilah masa terbaik untuk mengimbas semula nostalgia dan jangan lepaskan peluang yang ada ini," ujarnya.

Tiket untuk menyaksikan konsert tersebut yang berharga RM79, RM149, RM199, RM249, RM299, RM349, RM399 dan RM499 boleh didapati di kaunter tiket Istana Budaya atau melayari laman web www.ticket2u.biz.

Potongan sebanyak 15 peratus turut dikenakan khusus kepada warga emas, pelajar, warga OKU dan pembelian berkumpulan (minimum 15 orang).

Selain itu, acara post party bersama Awie, Erra dan Ziana akan dibuka kepada semua pemilik tiket persembahan dengan bayaran tambahan sebanyak RM150 selepas konsert yang berlangsung sebelah malam pada 9 Mac ini.

Nama Ustaz Hafiz disalahguna

Posted:

Nama Ustaz Hafiz disalahguna

Nama Ustaz Hafiz disalahguna

Oleh HARYATI KARIM

HAFIZ bimbang jika pemilik akaun palsu yang menggunakan namanya memberi jawapan atau panduan yang akan memesongkan akidah umat Islam.


BARU-BARU ini juara Pencetus Ummah musim pertama, Muhammad Hafiz Mohd Haneefa, 32, menimbulkan kontroversi apabila dia mengkategorikan rancangan televisyen berteras gosip, Melodi dan MeleTOP sebagai haram menerusi akaun Twitter di bawah nama Pencetus Ummah Hafiz.

Kosmo! turut mengeluarkan keratan status itu di ruangan laman sosial keluaran 15 Februari lalu. Nama Pencetus Ummah Hafiz atau dikenali sebagai Ustaz Hafiz hangat seketika kerana status itu.

Bagaimanapun, ketika Ustaz Hafiz dihubungi Kosmo! untuk mendapatkan kenyataan berhubung kontroversi terbabit, beliau begitu terkejut kerana selama ini beliau tidak pernah memiliki sebarang akaun di laman sosial Twitter.

Sedar namanya disalahguna oleh pihak tertentu, kata Ustaz Hafiz dia bersedia mengambil tindakan tegas jika pemilik akaun palsu itu masih berani menggunakan namanya untuk tujuan yang salah.

Ikuti temu bual Kosmo! bersamanya.

Kosmo!: Adakah benar baru-baru ini Ustaz Hafiz ada memuat naik status di Twitter bahawa rancangan televisyen Melodi dan MeleTOP adalah haram?

USTAZ HAFIZ: Pertama saya ingin katakan saya tidak pernah ada sebarang akaun Twitter. Saya hanya ada dua akaun dalam laman sosial iaitu di Facebook dengan nama Ustaz Hafiz - Pencetus Ummah (fan page) dan Hafiz Haneefa Pencetus Ummah (akaun peribadi). Jadi, secara jelas bukan saya yang memuat naik status tersebut.

Ini bermakna ada pihak lain yang mempergunakan nama Ustaz Hafiz?

Ya, memang benar, apabila benda ini sedang kecoh, saya sendiri melihat akaun palsu itu dan memang benar, dia mempunyai ramai pengikut. Mereka semua percaya akaun di Twitter itu adalah saya. Sejujurnya, saya tidak kisah jika ada peminat membuka akaun untuk saya tetapi apabila dia membuka soal jawab tentang agama untuk peminat bertanya, bagi saya itu sudah melampau. Saya bimbang jika dia tersalah bagi jawapan atau hukum, seperti menjual agama, itu boleh memudaratkan mereka yang bertanya dan percaya bulat-bulat kepada jawapan yang diberikan dalam akaun Twitter tersebut.

Adakah pihak anda akan mengambil sebarang tindakan bagi pemilik akaun Twitter palsu tersebut?

Setakat ini belum lagi, pihak pengurusan meminta saya membuat hebahan perkara sebenar di akhbar terlebih dulu. Saya sendiri tidak tahu siapakah dia sebalik nama Pencetus Ummah Hafiz di akaun Twitter itu. Jika pemilik akaun palsu itu masih berdegil dan masih menggunakan nama saya untuk soal jawab agama, saya akan mengambil tindakan seperti membuat laporan polis dan menyamannya jika terpaksa. Namun, jika boleh saya tidak mahu sampai ke tahap itu, kita boleh berbincang perkara ini dengan baik.

Jadi bagaimanakah pandangan Ustaz tentang program hiburan?

Secara peribadi saya tidak mahu menuding kepada mana-mana program hiburan, tetapi saya percaya penonton boleh menilai tentang sesuatu perkara yang baik atau tidak. Sejujurnya, saya sedang berusaha untuk menarik minat anak muda terhadap dakwah. Jadi saya tidak boleh terlalu lantang dalam memberi pendapat.

Bagaimanakah reaksi anda apabila nama anda popular dan tiba-tiba digunakan pihak lain?

Sejujurnya saya terkejut dan tidak sangka. Bagaimanapun, sebagai pendakwah zaman moden mahu tidak mahu saya terpaksa hadapi cabaran dunia tanpa sempadan iaitu internet. Tujuan saya ikhlas untuk berdakwah dan berharap selepas ini tiada lagi orang mengambil kesempatan.

Selepas bergelar juara Pencetus Ummah bagaimana dengan kehidupan anda?

Alhamdulillah, selepas bergelar juara kehidupan saya bertambah sibuk. Sebelum masuk program Pencetus Ummah saya sibuk juga tetapi kesibukan di skala kecil, cuma di negeri Selangor sahaja. Sekarang, saya berdakwah dari utara ke selatan untuk semua peringkat, dari orang biasa sehingga kerabat diraja. Syukur Allah memberi saya peluang yang sangat bernilai.

Apakah program terbaharu anda?

Selain sibuk berdakwah secara solo, saya dan semua peserta program Mimbar Pencetus Ummah akan mengadakan reunion. Kami akan membuat dakwah jelajah ke seluruh negara pada penghujung Mac ini. Jika ada yang berminat untuk menghadirinya, saya akan kemas kini tarikh dan lokasi program dakwah tersebut di akaun Facebook.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Kesihatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Kesihatan


Sindrom manusia batu

Posted:

Sindrom manusia batu

Sindrom manusia batu

GEJALA penyakit yang dihidap Pratt tidak dapat dikesan sewaktu dia masih kecil.


SETIAP langkah dan pergerakan dalam kehidupan harian Lucy Pratt perlu sentiasa dilakukan secara berhati-hati.

Luka kecil akibat terhantuk atau terjatuh boleh bertukar menjadi igauan ngeri kepada gadis berambut perang ini.

Manakan tidak, wanita yang berasal dari Stourbridge, West Midlands, England ini menghidap sindrom pelik yang menyebabkan dagingnya mengeras menjadi tulang.

Pratt langsung tidak boleh terluka kerana setiap kecederaan yang dialami walaupun sedikit sudah cukup untuk mempercepatkan pembekuan daging menjadi keras.

Cerita Pratt, dia mula mengalami gejala tersebut ketika berusia 15 tahun.

Katanya, seperti kanak-kanak lain, dia menjalani kehidupan normal sehinggalah pada suatu hari, dia terjatuh semasa sedang bermain.

Tanpa disangka, satu benjolan besar timbul pada belakang badannya dan semakin membengkak setiap hari sehingga dia berasa sangat sakit.

"Benjolan itu sebesar tapak tangan dan berwarna kemerah-merahan. Saya tidak boleh baring atau meletakkan sebarang beban di kawasan yang tercedera kerana terlalu sakit," tuturnya seperti dipetik portal Daily Mail.

Bimbang dengan keadaan kesihatan Pratt, ibu bapanya, Nick dan Sheryll Hadley membawa anak gadis mereka ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Keputusan ujian biopsi pada mulanya mendapati dia menghidap penyakit nekrosis miositis proliferatif yang mana gentian otot dan kulit menjadi bengkak serta kemerah-merahan.

PRATT tetap positif menjalani kehidupan walaupun tahu masih belum ada penawar terhadap penyakitnya.


Aktiviti lasak

Bagaimanapun, dia disahkan menghidap fibrodisplasia osfikans progresiva (FOP) apabila salah seorang doktor mendapati ibu jari kaki kanannya lebih kecil berbanding kaki kiri yang mana keadaan itu merupakan gejala umum pesakit FOP.

Ujian X-ray serta beberapa pemeriksaan lain turut mengesahkan bahawa Pratt menghidap penyakit tersebut.

Dalam usia yang baru menjangkau 27 tahun, wanita ini sudah tidak mampu menggerakkan sebahagian tubuh termasuk leher kerana kesan kecederaan yang berlaku sebelum ini.

Dia tidak lagi dibenarkan melakukan aktiviti lasak dan sukan kerana dikhuatiri akan ditimpa kecederaan serius.

"Saya tidak mampu memandu kereta, memakai baju serta menyikat rambut," katanya sambil memberitahu, semua itu terpaksa dilakukan dengan bantuan ibunya.

Walaupun masih dapat berjalan, pergerakannya sangat terbatas. Dia juga tidak boleh mengangkat tangan melepasi paras kepala.

Keadaan itu dikatakan akan terus merebak ke bahagian lain tubuh dan menjadi lebih teruk pada masa akan datang.

Dalam kata lain, wanita ini sedang bertarung dengan masa sebelum seluruh badannya menjadi kaku seperti batu dan terperangkap dalam tubuh sendiri.

Meskipun kesihatan fizikalnya tidak seperti manusia normal, gadis ini berjaya menghabiskan sesi persekolahan dan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

KECEDERAAN menyebabkan tisu serta sendi menjadi keras.


Mutasi tisu

Malah, lulusan Universiti Oxford dalam bidang Sains Fisiologikal itu kini bekerja sepenuh masa dengan sebuah syarikat penerbitan sains bioperubatan di London.

Menurut pakar perubatan dari Universiti Oxford, Prof. Dr. Paul Wordsworth, kecederaan juga boleh membuatkan sendi-sendi pesakit menjadi keras kerana pertumbuhan tulang berlaku tanpa henti.

Jelasnya, pertumbuhan tulang berkembang dari atas ke bawah sama seperti pertumbuhan tulang ketika di peringkat janin.

Kebiasaannya, keadaan ini akan bermula pada leher dan seterusnya merebak ke bahu, lengan, dada dan kaki.

Namun, dalam sesetengah kes, penyakit ini juga bermula pada bahagian punggung, perut dan akhir sekali kepala.

Wordsworth memberitahu, setakat ini, masih belum ada penawar untuk merawat penyakit berkenaan.

"Apa yang boleh dilakukan hanya proses melewatkannya supaya tidak merebak dengan cepat selain menjalankan pembedahan pengasingan gen yang menyebabkan daging menjadi keras.

"Tulang yang terus tumbuh tanpa henti juga perlu dipotong bagi melambatkan proses ini," ujarnya.

Kekacang boleh kurangkan risiko kanser

Posted:

Kekacang boleh kurangkan risiko kanser

Kekacang boleh kurangkan risiko kanser

KEKACANG mampu mengawal paras gula dalam tubuh manusia.


AMALAN memakan segenggam kekacang dua kali seminggu dikatakan dapat mengurangkan risiko untuk menghidap penyakit barah pankreas.

Kajian terbaharu mendapati amalan memakan 28 gram kekacang sebagai snek dalam tempoh tujuh hari boleh merendahkan risiko mendapat tumor sehingga 35 peratus.

Penyelidikan yang dijalankan ke atas 75,000 responden wanita itu dibuat di Fakulti Kesihatan Awam Harvard di Boston, Amerika Syarikat (AS) dan disiarkan secara online menerusi jurnal British Journal of Cancer.

Hasil kajian mendapati penemuan tersebut boleh memberi idea baharu dalam mencari kaedah mengurangkan penghidap penyakit kanser.

"Kekacang berupaya menghasilkan enzim yang membantu untuk memecahkan makanan dan membebaskan insulin bagi mengawal paras gula dalam darah," katanya.

Kajian yang dilakukan di Hospital Barnes-Jewish dan Sekolah Perubatan Universiti Washington sebelum ini mendapati bahawa individu yang mengambil makanan berasaskan kekacang kurang berisiko menghidap barah payu dara.

Bekerja ikut giliran syif buat pekerja jadi gila

Posted:

Bekerja ikut giliran syif buat pekerja jadi gila

Bekerja ikut giliran syif buat pekerja jadi gila


KERJA pada syif malam meningkatkan risiko menghidap penyakit jantung.


KAJIAN mendapati individu yang bekerja mengikut giliran syif berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan termasuk kanser, diabetes, strok serta masalah mental.

Kajian itu juga menunjukkan bekerja pada syif malam meningkatkan risiko penyakit jantung sehingga tiga kali ganda.

Pakar penyelidik dari Pusat Penyelidikan Tidur di University of Surrey, England, Profesor Derk-Jan Dijk berkata, bekerja secara syif dikatakan dapat memusnahkan sehingga 1,500 gen dalam tubuh manusia. Tubuh manusia mempunyai kira-kira 24,000 gen.

Menurutnya, gangguan terhadap kitaran 24 jam semula jadi badan akan secara tidak langsung mengubah pola irama gen.

Untuk menilai kesan ke atas tubuh, penyelidik menempatkan 22 orang responden mengikut jadual 28 jam sehari tanpa kitaran cahaya gelap semula jadi.

Hasil kajian mendapati, kitaran tidur-jaga mereka tertangguh sehingga empat jam setiap hari menyebabkan mereka tidur 12 jam berbeza daripada hari normal.

Sampel darah juga menunjukkan pengurangan enam kali ganda dalam bilangan gen dalam tempoh kira-kira 24 jam.

Pengurangan gen itu dipercayai mempengaruhi kitaran tubuh dalam jangka masa panjang sekali gus mengakibatkan masalah kesihatan.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved