Jumaat, 28 Februari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Keberanian Askar Melayu

Posted:

Keberanian Askar Melayu

Keberanian Askar Melayu


REJIMEN Askar Melayu Diraja bergambar di Kem Tentera Port Dickson, Negeri Sembilan beberapa bulan sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua.


KAWASAN belukar menghijau di kiri kanan jalan masuk ke kaki Bukit Chandu, Singapura tidak banyak berbeza dengan persekitaran yang sama kira-kira 72 tahun lalu.

Tanah tinggi yang terletak di selatan Singapura ini telah menjadi saksi keberanian perajurit Kompeni C Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu (Askar Melayu) menentang tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Pertempuran Bukit Chandu di Permatang Pasir Panjang turut mencatatkan nama wira negara, Leftenan Muda Adnan Saidi yang ketika itu berusia 27 tahun.

Permatang Pasir Panjang sejauh kira-kira lima kilometer itu menjadi medan pertempuran Askar Melayu dan tentera Jepun pada 10 hingga 14 Februari 1942.

Di bukit ini jugalah Adnan bersama 42 anggota Platun 7, Kompeni C bersemadi tanpa kubur.

Sambil berdiri menghadap ke arah Lebuh Raya Pasir Panjang iaitu sebahagian daripada Lebuh Raya Pantai Barat Singapura, seolah-olah pertempuran Bukit Chandu terpampang di depan mata.

Sayup-sayup teriakan 'Banzai!, Banzai!' kendengaran dari arah kiri dan kanan bukit diselangi rentetan tembakan dan letupan silih berganti.

Walau Bukit Chandu dikelilingi hutan konkrit, namun kesan-kesan pertempuran yang pernah berlaku masih kekal.

Sebuah banglo kolonial dua tingkat di puncak bukit ini dibaik pulih oleh Lembaga Warisan Singapura (NHS) pada tahun 2002 dan dijadikan memorial Renungan di Bukit Chandu atau juga dikenali sebagai Reflections at Bukit Chandu.

Persekitaran bukit ini juga terpelihara baik. Menyusuri jalan kecil menaiki anak tangga untuk ke memorial sambil diiringi kicauan burung pantas membawa bersama ingatan terhadap pertempuran berdarah itu.


BAHAN-BAHAN sejarah di galeri Reflections yang memaparkan perjuangan Askar Melayu menentang Jepun.


Pertempuran

Tugu gangsa tiga kru mortar Askar Melayu yang dibina oleh pihak NHS diletak menghadap ke arah barat seolah-olah sentiasa bersedia mempertahankan kedudukan bukit ini.

Paparan peta pertempuran tiga dimensi, rakaman audio saksi perang, foto-foto pameran bersama dokumentari perang dapat memberi gambaran terperinci kepada pengunjung tentang peristiwa Bukit Chandu.

"Memorial ini mengabadikan sejarah Perang Dunia Kedua di Singapura, khasnya perjuangan Leftenan Muda Adnan dan Askar Melayu," ujar pengurus memorial, Vincent Gabriel, 73.

Katanya, banglo berusia lebih 100 tahun dengan seni bina Mock Tudor ini adalah satu-satunya banglo warisan British yang kekal di pulau ini.

"Banglo ini pernah digunakan sebagai stor simpanan peluru dan bekalan makanan Askar Melayu semasa perang.

"Tiga lagi banglo sama di sini bagaimanapun diruntuhkan pada tahun 1987 bagi tujuan pembangunan," ujarnya.

Dia memberitahu, pertempuran Bukit Chandu dan keberanian Leftenan Muda Adnan amat penting dalam sejarah moden kota Singa itu.

Tarikh 15 Februari setiap tahun diingati di Singapura sebagai Hari Pertahanan Menyeluruh bagi memperingati kejatuhan pulau itu ke tangan tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Pada tarikh itu, tepat pukul 12.05 tengah hari siren dibunyikan selama seminit sebagai simbolik peringatan.

Mengikut catatan sejarah, pertempuran antara Askar Melayu dengan tentera Jepun bermula sebaik musuh mendarat di Tanjung Penjuru, Jurong pada 8 Februari 1942.

Pada masa itu Batalion Pertama dan Kedua dikerah mengekang kemaraan musuh di situ.

Bagaimanapun, mereka terpaksa berundur ke Pasir Laba dan akhirnya ke Pasir Panjang berikutan serangan hebat tentera Jepun.

Pertempuran sengit antara kedua-dua belah pihak hanya bermula pada 13 Februari apabila Askar Melayu mengukuhkan pertahanan mereka di benteng terakhir tersebut.

Menurut Vincent, keberanian Askar Melayu dalam pertempuran itu membuka mata tentera British yang selama ini menganggap anak-anak tempatan tidak layak memegang senjata.

Kata beliau, pertempuran Pasir Panjang pada 10 dan 14 Februari itu merupakan pertempuran besar yang terakhir sebelum Singapura tewas.

"Briged Infantri Pertama Malaya yang terdiri daripada Batalion Pertama dan Kedua Kedua Askar Melayu diarah mempertahankan sektor barat dan selatan pesisir pantai.

"Bagaimanapun, kemaran pantas 13,000 tentera Jepun sehingga ke Jurong selepas berjaya mendarat di Kranji dan Sarimbun pada 8 Februari menyebabkan tentera British kucar-kacir.

"Menjelang 13 Februari, tentera Jepun memulakan serangan habis-habisan ke atas Pasir Panjang sehingga memaksa Askar Melayu berundur ke Bukit Chandu," ujar beliau.

Ketika inilah, Adnan bersama platunnya bergerak ke barisan pertahanan baharu sebelah timur Pasir Panjang iaitu Bukit Chandu.

Kompeni beliau terpisah dengan kompeni D di sebelahnya oleh sebuah parit yang dipenuhi minyak terbakar yang mengalir dari Kem Normanton. Keadaan itu menyulitkan mereka untuk berundur ke selatan jika terdesak.


MOHD. HASRUL HALIM (empat dari kanan) bersama warga 1 Rejimen Askar Melayu Diraja pada ulang tahun batalion itu di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Dibedil

Kedudukan pertahanan mereka di atas tanah tinggi yang agak sederhana menggunakan guni-guni pasir dan dilaporkan masih ada beberapa kubu yang tidak sempat disiapkan ketika mereka digempur tentera Jepun.

Pertahanan platun Adnan dibedil pasukan mortar Jepun tanpa henti pada pagi Sabtu 14 Februari 1942.

Cubaan tentera Jepun yang diketuai komandernya, Kolonel Saburo mengasak pertahanan Askar Melayu dengan menyamar sebagai tentera Punjab pada tengah hari itu gagal lalu menimbulkan dendam.

Ketika ini, kedudukan kompeni ini semakin meruncing apabila ramai anggotanya terkorban dan tercedera, manakala bekalan peluru dan bom kehabisan.

Tan Sri Abdul Samad Idris dalam buku Askar Melayu 50 Tahun menulis: "...Adnan bertahan berhampiran pokok ceri yang rendah telah menjangka musuh akan membuat serangan balas.

"Tentera Jepun merapati kedudukan pertahanan Askar Melayu sambil dilindungi dengan tembakan mesingan dan mortar walau pun mendapat tentangan hebat.

"Sedikit demi sedikit tentera Jepun terus mengasak dan akhirnya berjaya mengepung kedudukan Askar Melayu yang bertahan.

"Dengan menghunus benet, tentera Jepun terpaksa bertempur secara berhadapan sebelum memaksa kemenangan di pihak mereka. Adnan yang cedera parah akhirnya tewas dalam pertarungan terakhir ini..."

Tidak sampai 24 jam selepas pertempuran ini, Pemerintah Tertinggi Tentera British, Leftenan Jeneral A.E Percival menyerah kalah tanpa syarat kepada Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita.

McDonalds bertapak di Vietnam

Posted:

McDonalds bertapak di Vietnam

McDonalds bertapak di Vietnam


PENDUDUK Bandar Ho Chi Minh membanjiri pekarangan restoran McDonald's pada hari pembukaannya awal bulan lalu.


SELEPAS empat dekad Perang Vietnam berakhir, jenama gergasi makanan segera dari Amerika Syarikat (AS), McDonald's mula beroperasi awal bulan ini di Vietnam.

Kehadirannya disambut dengan penuh kemeriahan di Bandar Ho Chi Minh. Malah, beratus-ratus penduduk bandar raya itu termasuk pelajar, golongan berkeluarga dan yang menaiki motosikal dan skuter beratur dengan penuh sabar pada hari bersejarah itu.


NGUYEN merupakan pemegang utama francais McDonald's di Vietnam.


Terletak di Jalan Dien Bien Phu, Daerah 1 yang merupakan pusat komersial Vietnam, cawangan sulung itu yang setinggi dua tingkat dengan kapasiti 350 buah tempat duduk itu menyediakan perkhidmatan pandu-lalu 24 jam, akses WiFi secara percuma dan kemudahan mesra keluarga seperti tempat permainan kanak-kanak dan bilik parti.


KETERUJAAN dua kanak-kanak lelaki sewaktu mendapat hidangan makanan mereka jelas terserlah.


Selain hidangan-hidangan popular jenama makanan segera itu, cawangan itu turut menyediakan beberapa hidangan bagi memenuhi cita rasa tempatan seperti rangkaian burger McPork yang memaparkan daging babi.

Pemulihan nasib

Dengan penambahan cawangan terbaharu yang dimiliki oleh Henry Nguyen iaitu menantu Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung itu, McDonald's kini beroperasi di 119 buah negara di seluruh dunia.


KEHADIRAN maskot McDonald's, Ronald McDonald menggamatkan lagi suasana pada hari pembukaan.


Rangkaian itu menyertai rangkaian makanan segera Barat lain yang telah hadir di negara itu seperti Subway, Burger King and KFC, sekali gus menarik golongan pertengahan yang semakin bertambah dan amat peka terhadap kepentingan jenama di negara berkenaan.


KAUNTER pandu-lalu McDonald's Vietnam turut menyediakan layanan kepada mereka yang menaiki motosikal atau skuter.


Ketibaan simbol kapitalisme AS itu juga merupakan salah satu langkah pemulihan nasib jenama AS di negara bekas musuh mereka itu. Sebelum ini jenama ikonik seperti Coca-Cola telah bertindak keluar dari Vietnam selepas kemenangan pihak komunis yang membuka jalan kepada penyatuan negara itu pada tahun 1975.

Pakej istiadat perkahwinan SACC

Posted:

Pakej istiadat perkahwinan SACC

Pakej istiadat perkahwinan SACC

Pusat Konvensyen Shah Alam menyediakan pelbagai perkhidmatan yang menjanjikan suatu majlis perkahwinan menjadi satu kenangan indah seumur hidup.


PENGANJUR menawarkan harga berpatutan kepada pasangan pengantin yang mengambil pakej-pakej perkahwinan SACC.


IKATAN perkahwinan merupakan satu peristiwa yang penting dan bersejarah dalam kehidupan seseorang apatah lagi masyarakat Melayu yang begitu berpegang teguh dengan adat resam.

Kukuhnya adat dalam masyarakat Melayu ini boleh diterjemahkan dalam pantun seperti ini :

Manis sungguh gula Melaka,

Jangan dibancuh dibuat serbat,

Sungguh teguh adat pusaka,

Biar mati anak jangan mati adat.

Disebabkan itu, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) mengambil inisiatif untuk memelihara dan melaksanakan upacara perkahwinan dengan penuh adat istiadat menerusi pakej istimewa yang diperkenalkan bermula tahun ini.

Pengarah Jualan dan Pemasaran SACC, Mohd. Rawi Abu Bakar berkata, meskipun zaman telah melangkaui kemajuan hari demi hari, namun masyarakat Melayu yang bercadang untuk berumahtangga masih mahu perkahwinan mereka dilangsungkan dengan penuh adat.

"Untuk meneruskan tradisi masyarakat Melayu ini, kami mengorak langkah dengan menyediakan majlis perkahwinan yang dikehendaki menerusi pakej Perkahwinan Kasih.

"Menerusi pakej ini, SACC menawarkan pengalaman unik yang pasti akan menjadi kenangan sempurna untuk pasangan pengantin dan tetamu mereka," katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Mohd. Rawi memberitahu, pihaknya mempunyai sebuah pasukan yang berpengalaman dan bertaraf antarabangsa sebagai jururunding dalam mengurus serta memastikan majlis perkahwinan tersebut berjalan lancar, meriah dan beradat.

Katanya, pakej yang disediakan juga memberi peluang kepada pasangan pengantin untuk memilih tema persandingan masing-masing berdasarkan kreativiti mereka sambil dibantu oleh pasukan profesional SACC.


PAKEJ Perkahwinan Impian SACC menyediakan perkhidmatan komprehensif termasuk berbulan madu di bilik suite di Hotel Concorde dan Hotel Bluewave di Shah Alam.


Idea

"Apa yang penting, idea pasangan tersebut akan dilaksanakan dan kami sebagai penganjur akan membantu mengembangkan dan merealisasikan impian tersebut.

"Pakej Perkahwinan Kasih meliputi seperti pelbagai pilihan makanan dan minuman, sistem bunyi dan cahaya, karpet, pentas, bilik untuk pasangan pengantin, acara potong kek, perkhidmatan video dan foto, buah tangan dan kad jemputan," ujarnya yang menegaskan pakej itu direka untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Menyedari bahawa perbelanjaan merupakan salah satu elemen penting dan sering menjadi kegusaran pasangan yang ingin meraikan hari bahagia mereka, Mohd. Rawi memaklumkan bahawa pihaknya menawarkan harga berpatutan kepada pasangan yang memilih pakej tersebut malah bersedia mengatur majlis mengikut kesesuaian bajet mereka.

Ini kerana, jelasnya, SACC tidak mahu terlalu menekankan kepada harga tetapi mahu menghidupkan sebuah majlis yang kreatif selain memberi pengalaman menarik kepada pasangan pengantin pada majlis di pusat konvensyen terbabit.

"Salah satu kelebihan pakej ini ialah kami menyediakan keperluan-keperluan yang jarang diperoleh di mana-mana hotel di sini," ujarnya.

Jika majlis moden yang ingin diketengahkan pasangan pengantin, pihak SACC menyediakan pakej Perkahwinan Impian. Seperti pakej Perkahwinan Kasih, ia menyediakan perkhidmatan yang komprehensif kepada pasangan pengantin di samping penyediaan penginapan bulan madu semalam di bilik suite untuk pengantin di Hotel Concorde dan Hotel Bluwave di Shah Alam serta persembahan pentas.

"Bukan hanya memberi tumpuan kepada majlis-majlis perkahwinan, pihak kami juga menawarkan pakej-pakej untuk majlis seperti pertunangan, berinai, perasmian, cukur jambul, makan malam gala, pelancaran produk, sambutan hari jadi dan ulang tahun.

"Kami mahu SACC bukan hanya menjadi sebuah organisasi yang menyediakan tempat untuk majlis sebaliknya merupakan sebuah badan yang mampu menyelaras serta menganjurkan pelbagai acara atau majlis demi memastikan kepuasan pelanggan," katanya.

Menurutnya, kami juga menyediakan perkhidmatan katering mengikut lokasi dan keperluan pelanggan.

Pakej Perkahwinan Kasih SACC dan Perkahwinan Impian masing-masing ditawarkan pada harga serendah RM80 dan RM160 seorang dengan minimum tetamu seramai 500 jemputan.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Infiniti

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Basuh, kering dan lipat sendiri

Posted:

Basuh, kering dan lipat sendiri

Basuh, kering dan lipat sendiri

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI

KIRA-KIRA sedekad lalu, Khairul Ikhsan Shah Kamal Bashah, 27, terpaksa menyental baju dan seluar sebaik tamat sesi latihan sukan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Biarpun keletihan, dia tetap meneruskan rutin tersebut kerana tiada pilihan lain dan masih menetap di asrama pada waktu itu.

Setahun kemudian, dia menerima risalah mengenai dobi layan diri yang diletakkan dalam peti surat rumah bujangnya yang terletak di Bukit Jalil. Tawaran istimewa yang tertera pada risalah tersebut menarik minat jejaka yang berasal dari Perak itu untuk mencubanya buat kali pertama.

Kini, walaupun sudah lama menamatkan pengajian dan telah bekerja di sektor swasta, dia masih membasuh dan mengeringkan pakaian di kedai dobi layan diri.

"Saya lebih yakin dengan kebersihan pakaian berbanding jika dihantar ke kedai dobi biasa. Jika di dobi biasa, ada antara pengusaha dobi yang suka mencampurkan pakaian pelanggan lain dalam satu cucian bagi mengaut keuntungan lebih.

"Kebanyakan dobi layan diri ada menjual sabun dan pelembut pakaian bagi memudahkan pelanggan yang mungkin terlupa untuk membawa 'barang wajib' itu bersama," katanya sambil berseloroh ketika ditemui di Kedai Dobi 96 di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Khairul Ikhsan Shah akan mencuci pakaian di kedai dobi pada setiap hujung minggu. Luahnya, terdapat kekurangan yang masih boleh dibaiki oleh pemilik-pemilik dobi iaitu keperluan menyediakan ruang menunggu yang selesa dan secukupnya kepada pelanggan.


PELANGGAN wanita ini memasukkan cecair pencuci ke bekas yang disediakan.


Mutakhir ini, dobi berkonsep layan diri sudah semakin banyak dibuka. Ia tidak terhad kepada bandar-bandar besar sahaja malah terdapat permintaan terhadap perkhidmatan tersebut di kawasan luar bandar.

Sejarah

Seawal tahun 1949, dobi layan diri atau dobi syiling sudah mula diperkenalkan di England. Ia adalah satu kemudahan pelanggan mencuci dan mengeringkan pakaian mereka sendiri. Di England, perkhidmatan tersebut dikenali sebagai launderettes manakala di Amerika Syarikat, Kanada dan Australia pula digelar laundromats.

Di Malaysia, kebanyakan premis dobi layan diri beroperasi selama 24 jam sehari dan menawarkan harga yang berpatutan. Sekali cucian bermula pada harga RM4 dan RM4 lagi dikenakan untuk proses pengeringan.

Operasi dobi yang menggunakan syiling terdiri daripada tiga perkara asas iaitu penjagaan, penyelenggaraan dan pengurusan kutipan bayaran.

Dalam pada itu, seorang guru di Terengganu, Munirah Mohamad, 24, mengakui pernah menggunakan dobi layan diri ketika masih bergelar pelajar di Maktab Perguruan Teknik, Kuala Lumpur. Baginya, dobi layan diri lebih menjimatkan masa dan wang.

"Saya hanya memperuntukkan masa lebih kurang 45 minit bagi mencuci dan mengeringkan pakaian. Tambah menarik, dobi yang dikunjungi beroperasi selama 24 jam memudahkan pengguna untuk datang mencuci pakaian pada bila-bila masa.

"Harga pula jauh lebih murah. Jika dobi biasa mengenakan RM2.50 hingga RM3.50 untuk setiap kilogram pakaian, dobi layan diri hanya menelan belanja RM11 untuk kos cucian dan pengeringan. Bagi pengguna yang menggunakannya buat kali pertama, arahan penggunaan mesin ditampal dengan jelas dan memudahkan pengguna," ujarnya.


KHAIRUL IKHSAN SHAH melipat kain di ruang yang disediakan di Kedai Dobi 96 selepas pakaian siap dikeringkan.


Memandangkan mesin basuh di dobi tersebut memerlukan duit syiling untuk beroperasi, Munirah berharap pemilik dobi di negara ini dapat menyediakan mesin pertukaran wang syiling kepada pengguna pada masa akan datang.

Antara dobi layan diri yang popular dalam kalangan pengguna ialah Clean Pro Express, Dobi Papa, My Laundry, Wash & Save dan Dobi JJ.

Pakaian hilang

Menurut seorang pekerja swasta, Mohd. Aiyuha Sulaiman, 25, pakaiannya kerap hilang dan kadangkala cucian tidak begitu bersih selepas menghantarnya ke dobi biasa.

"Saya masih menghantar pakaian ke dobi biasa kerana hanya perlu hantar dan mengambil semula pada keesokan harinya.

"Bagi saya, perkhidmatan sebegini lebih memudahkan kerana tidak perlu fikir untuk basuh, bilas, jemur dan lipat. Segala-galanya pekerja dobi yang lakukan," ujar bekas atlet lompat galah kebangsaan tersebut.

Biarpun dobi biasa menawarkan perkhidmatan yang lebih mahal iaitu antara RM8 hingga RM12 bagi sekali cucian kerana bergantung pada berat pakaian, Mohd. Aiyuha ada sebabnya tersendiri.

Jalan penyelesaian

Masalah baju berbau menjadi faktor utama bagi pemuda yang berasal dari Negeri Sembilan itu untuk memilih dobi sebagai jalan penyelesaian. Tambahnya, menetap di pangsapuri menyukarkannya untuk menjemur pakaian disebabkan ruang yang terhad.

Trend perkhidmatan dobi di Malaysia semakin berkembang dan memberi pilihan kepada pengguna untuk menguruskan kerja rumah dan kewangan dengan lebih bijak.

TERDAPAT beberapa dobi layan diri yang menyediakan kemudahan mesin tukaran duit syiling.


Sementara itu, seorang suri rumah, Hanum Mokhtar, 35, berkata, bil elektrik dan air di rumahnya dapat dijimatkan daripada RM600 kepada RM300 sebulan selepas menghantar pakaian ke dobi layan diri pada setiap minggu.

"Sudah banyak kedai dobi layan diri yang saya kunjungi dan saya paling suka mencuci pakaian di Kedai Dobi 96 kerana harganya lebih murah. Sekali cucian baru RM4 berbanding tempat lain yang mengenakan harga berdasarkan berat muatan.

"Walaupun saya tinggal di Taman Shamelin, Cheras, Kuala Lumpur yang terletak kira-kira enam kilometer dari dobi ini, saya lebih selesa ke sini pada setiap minggu kerana ia dilengkapi dengan mesin tukaran syiling, sabun, peluntur dan air minuman," katanya.

Pembenihan awan 'penyelamat' musim kering

Posted:

Pembenihan awan 'penyelamat' musim kering

Pembenihan awan 'penyelamat' musim kering

Oleh HAFIZ AHMAD


KAPAL terbang ini sedang melakukan pembenihan awan bagi menghasilkan hujan.


KRISIS air yang melanda beberapa negeri ketika ini menjejaskan kehidupan harian orang ramai termasuk merencatkan pembangunan negara.

Ia lanjutan cuaca panas dan kering berikutan kadar hujan di kawasan terbabit amat sedikit terutamanya di utara Semenanjung Malaysia sejak awal Januari lepas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi menyatakan fenomena itu akan berterusan sehingga penghujung bulan ini memandangkan kutipan hujan mula bertambah sekitar awal dan pertengahan Mac depan.

Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, catatan tertinggi direkodkan ialah 36 darjah Celsius di negeri-negeri seperti Perlis, Pulau Pinang dan Kedah.

"Walaupun wujud kelompok-kelompok awan di beberapa kawasan tetapi jumlahnya tidak banyak," ujarnya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Cuaca panas menyebabkan empangan di negeri-negeri terlibat menghadapi pengurangan drastik. Mengikut catatan Empangan Sungai Selangor minggu lalu, baki air hanya 58 peratus manakala Empangan Klang Gate cuma 57 peratus.

Sehubungan itu, bagi mengatasi kekurangan air kepada penduduk setempat, cadangan melakukan pembenihan awan dilihat sebagai langkah terakhir bagi mengembalikan jumlah takungan air.

Pembenihan awan dilakukan di kawasan takungan air memandangkan ia menjadi sumber utama orang awam mendapatkan air bersih.

Teknik itu dilakukan untuk meningkatkan penghasilan awan pada satu kawasan tertentu. Awan yang terkumpul akan menurunkan hujan pada kawasan yang diinginkan.

"Selain itu, kawasan tersebut juga perlu ada awan kerana jika tiada awan berdekatan, proses pembenihan tidak dapat dilakukan," ujar Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail.

Beliau menambah, awan yang bersesuaian juga memainkan peranan penting dalam proses tersebut. Kebiasaannya, awan yang digunakan daripada jenis Towering Cumulus (kumulus menjulang).


Pembenihan awan di China semakin giat dijalankan bagi membantu negara itu yang berdepan pencemaran udara.


Bagi membolehkan ia dilakukan dengan berkesan, ketidakstabilan angin memainkan peranan penting agar pembentukan awan yang sesuai untuk proses pembenihan.

"Angin tidak boleh terlalu kuat kerana ia boleh menyebabkan pembentukan awan tidak berada pada kawasan yang dimahukan," jelasnya.

Jenis pembenihan awan

Terdapat dua jenis pembenihan awan yang biasa dilakukan di Malaysia iaitu Dry Seeding (pembenihan kering) dan Wet Seeding (pembenihan basah).

Melalui Dry Seeding, juruterbang akan membakar katrij yang mengandungi bahan garam berbentuk solid ke awan. Ia akan menyebarkan garam ke kawasan sekitar bagi membentuk awan.

Teknik Wet Seeding menggunakan larutan garam dan air yang dimasukkan dalam satu tangki. Apabila sampai ke kawasan pembenihan, larutan tersebut akan disebarkan oleh juruterbang.

"Nukleus-nukleus garam tersebut akan menarik wap air bagi menghasilkan awan," kata Che Gayah.

Beliau menjelaskan, bahan kimia yang terdapat dalam sebatian garam tidak menjejaskan kesihatan orang awam kerana ia digunakan dalam kuantiti yang sedikit.

"Malah, bahan kimia yang dipanggil silver iodide itu juga digunakan dalam kebanyakan perubatan komersial. Maka, ia tidak menjejaskan keselamatan individu," terang Che Gayah.

Kaedah pembenihan juga dilakukan di beberapa negara yang dilanda musim kemarau. Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), ia telah digunakan sejak 10 tahun yang lalu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, negara tersebut semakin giat melakukan teknik penghujanan segera itu disebabkan kadar penurunan hujan yang sedikit.

Tahun lalu, UAE telah melakukan lebih 200 misi pembenihan awan untuk membantu penduduk yang berdepan krisis air.

Di China, pembenihan awam dilakukan untuk mengatasi masalah pencemaran. Negara Tembok Besar itu membelanjakan RM494 juta pada tahun 2011 bagi program pembenihan awan.

Menurut Ketua Pentadbiran Meteorologi China (CMA), proses itu akan digiatkan melalui "program pengubahsuaian cuaca". Ia akan menggunakan lebih 280 bilion tan bagi membantu sektor pertanian dan pengindustrian di negara itu.

Jadual rentang daripada kayu

Posted:

Jadual rentang daripada kayu

Jadual rentang daripada kayu


KAJIAN yang dilakukan akan membantu industri pembinaan dan perkayuan negara.


MAJLIS Perkayuan Malaysia (MTC) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bekerjasama untuk menghasilkan jadual rentang (span table) pertama untuk kayu lapis berperekat (glulam) yang diperbuat daripada kayu-kayan Malaysia.

Jadual rentang lazimnya dihasilkan oleh jurutera struktur bagi menentukan beban maksimum yang mampu ditanggung oleh rasuk atau alang kayu yang diperbuat daripada glulam pada panjang yang tertentu.

Sebelum menyediakan span table daripada spesies kayu tertentu, pelbagai ujian harus dijalankan terlebih dahulu ke atas glulam berkenaan mengikut dimensi atau ukuran yang berbeza.

Spesies kayu Mengkulang (Heritiera spp.) dipilih bagi ujian rintis ini. Baru-baru ini, glulam yang diperbuat daripada kayu Mengkulang telah siap diuji di Makmal Struktur Berat di Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM.

Ujian yang julung-julung kali dijalankan ke atas glulam Mengkulang itu, melibatkan penggunaan daya tekanan tinggi ke atas glulam sepanjang 12 meter untuk menentukan beban maksimum yang mampu ditanggung.

"Ujian tersebut dapat memberi petunjuk berkenaan keupayaan glulam Mengkulang dalam menanggung tekanan fizikal yang tinggi," kata Pengarah Institut Kejuruteraan Infrastruktur dan Pengurusan Mampan UiTM dan Pengarah Projek, Dr. Zakiah Ahmad.

"Ujian tersebut turut menghasilkan data penting dalam mengenal pasti lokasi optimum tanggam jejari untuk kayu Mengkulang pada kepanjangan yang berbeza-beza," ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Datuk Yeo Heng Hau berkata, proses lapisan yang digunakan dalam pembuatan glulam membolehkan struktur glulam yang lebih panjang mampu menampung beban yang lebih berat berbanding kayu yang tidak berlapis.


GLULAM berukuran 12 meter digunakan dalam uji kaji yang dijalankan oleh UiTM dan MTC.


Tiada ujian

"Pada masa ini, tiada ujian yang telah dijalankan ke atas glulam yang diperbuat daripada kayu Mengkulang. Selain itu, tiada sebarang jadual rentang yang boleh diguna pakai oleh arkitek atau pereka bagi membantu mengenal pasti kegunaan spesies ini sebagai bahan struktur yang mampu menampung beban.

"Tanpa jadual tersebut sebagai bahan rujukan, kegunaan kayu Mengkulang dan spesies kayu Malaysia yang lain mungkin terhad kepada aplikasi tanpa-beban sahaja," jelas Heng Hau.

Lanjutan daripada ujian tersebut, Prof. Dr. Zakiah dan pasukan kaji selidiknya akan terus menjalankan ujian untuk memastikan kekukuhan perekat yang digunakan dalam proses laminasi glulam. Uji kaji ini dijangka siap dalam masa tiga bulan.

Pokok mengkulang berasal dari Asia Tenggara dan banyak didapati di Malaysia. Kayu mengkulang biasanya diproses untuk dijadikan lantai, tangga, panel serta bingkai pintu dan tingkap.

Ujian tekanan fizikal ke atas glulam Mengkulang ini akan dapat meluaskan lagi aplikasinya sebagai bahan struktur binaan.

Glulam merupakan kayu berperekat yang diperbuat daripada beberapa lapisan kayu. Glulam memiliki nisbah kekuatan berbanding berat yang lebih baik berbanding besi dan ia boleh dibentuk untuk dijadikan rasuk atau alang yang lurus mahupun melengkung.

Walaupun baru diperkenalkan di Malaysia, ia berpotensi untuk digunakan secara lebih meluas dalam industri binaan dan landskap seni bina negara, terutamanya dengan usaha MTC yang berterusan dalam menggalakkan penggunaan glulam.

Glulam telah digunakan secara meluas di beberapa negara maju sebagai komponen struktur, terutamanya bagi mencapai rentang yang panjang dan tidak bertiang, contohnya dalam pembinaan stadium sukan dan jambatan.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved