Khamis, 30 Januari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Gaya hidup pengaruhi cara pemakanan

Posted:

Gaya hidup pengaruhi cara pemakanan

Gaya hidup pengaruhi cara pemakanan

GOLONGAN kanak-kanak tidak terkecuali terbabit dalam masalah obesiti. - Gambar hiasan


MEMPUNYAI tubuh besar dan berat badan mencapai tahap obesiti menjadi igauan ngeri buat Sissi Zhong, 26. Sejak bertahun lamanya, dia mencuba pelbagai kaedah menguruskan badan dan memasuki pusat senaman dengan bayaran tinggi.

Mengimbas cara pemakanannya sewaktu kecil, setiausaha di sebuah syarikat korporat di Shanghai, China itu memberitahu, berat badannya naik mendadak akibat gemar meminum minuman ringan yang dipanggil Jianlibao.

"Setiap kali bapa saya balik dari urusan kerja di luar wilayah, dia sering membawa balik minuman tersebut. Saya akan meminum empat hingga lima tin dalam masa sehari menyebabkan berat naik 64 kilogram ketika berusia 18 tahun," ujarnya dalam satu temu bual bersama media antarabangsa.

Perkembangan dan kemajuan China mengubah struktur ekonomi negara dengan populasi 1.3 bilion tersebut. Dalam kepesatan pembangunan pencakar langit, wujud variasi premis makanan-makanan ringan antarabangsa seperti McDonald's, KFC, Pizza Hut dan TGI Friday.

Dicatatkan, terdapat 3,700 cawangan KFC di bandar-bandar utama, tin-tin minuman mudah didapati di kedai-kedai serbaguna dan kepingan piza menjadi hidangan ringan pada waktu malam. Ia tidak termasuk jumlah makanan ringan buatan tempatan yang membanjiri pasaran.

Situasi itu menyebabkan 38.5 peratus penduduk mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti pada tahun 2010. Ia mencanak naik berbanding peratusan pada tahun 2002 iaitu sebanyak 25 peratus. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), dijangkakan 50 hingga 57 peratus penduduk China akan mengalami obesiti pada tahun 2015.

Tradisi konservatif

Ia juga berkait rapat dengan tradisi konservatif sebilangan penduduk China yang melarang anak-anak mereka tidak menghabiskan lebihan makanan.

"Ibu bapa saya selalu mengingatkan ramai penduduk di luar sana yang tidak mempunyai makanan untuk mengalas perut. Tiada sebab mengapa perlu saya membazir makanan," ujar Zhong. Disebabkan itu, dia tetap mengosongkan pinggan walaupun perut sudah melebihi kapisiti muatan.

Masih segar dalam ingatan kebanyakan warga emas di China yang hidup antara tahun 1958 hingga 1961 apabila hampir 45 juta penduduk negara tembok besar itu mati akibat kelaparan dan penyakit berkait rapat dengan masalah kekurangan nutrisi.

Selama tempoh itu, rakyat hidup dalam kemelaratan dengan sumber makanan yang terhad dan tidak dapat menampung jumlah penduduk yang ramai. Situasi genting itu berkait rapat dengan masalah kemarau, cuaca buruk dan dasar-dasar yang dikeluarkan oleh Parti Komunis China, pemerintah republik tersebut sehingga hari ini.

Obesiti tidak hanya membelenggu republik pimpinan Xi Jinping itu kerana hampir kebanyakan negara-negara membangun berdepan dengan masalah sama.

Institut Perkembangan Luar Negara London (ODI) dalam laporannya, Future Diet mencatatkan peningkatan peratusan penduduk dunia yang mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti. Majoriti pertambahan itu dicatatkan di negara-negara seperti di Mesir, Mexico dan Afrika Selatan.

Sebanyak 904 juta penduduk negara membangun dikelaskan sebagai berat badan berlebihan dan ke atas dengan Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 25 berbanding negara berpendapatan tinggi iaitu seramai 557 juta. Jumlah tersebut meningkat daripada 250 juta pada tahun 1980. Pertambahan ketara juga dilihat di negara-negara Asia Tenggara dengan perubahan peratusan daripada tujuh peratus kepada 22 peratus.

"Peningkatan jumlah penduduk dengan berat badan berlebihan dan obesiti di beberapa negara membangunkan adalah sangat membimbangkan," ujar salah seorang pengkaji ODI, Steve Wiggins.

Penyakit

Dia menambah, trend baharu itu juga membawa kepada peningkatan jumlah pesakit untuk beberapa penyakit berkaitan seperti kanser, diabetes, strok dan serangan jantung. Ia menyebabkan sistem kesihatan orang awam turut terganggu.

Perkara itu didorong oleh perubahan diet dan penukaran jenis makanan asas oleh kebanyakan penduduk di negara membangun. Jika sebelum ini, bijiran dan gandum menjadi makanan asasi, mereka kini lebih gemar mengambil lebih lemak, gula, minyak dan produk-produk berasaskan daging haiwan.

"Penduduk yang mempunyai pendapatan tinggi boleh memilih untuk jenis makanan yang mereka mahukan. Perubahan gaya hidup, perkembangan industri pemprosesan makanan, pengiklanan dan pengaruh media menjadi faktor tambahan kepada masalah obesiti," kata Wiggins yang turut menjadi penulis bersama laporan tersebut.

Ujarnya lagi, perubahan ekonomi membawa kebanyakan penduduk kelas pertengahan negara membangun untuk tinggal di kawasan bandar dan jarang melakukan senaman fizikal. Hasilnya, jumlah obesiti meningkat jika dibandingkan tiga dekad lalu.

Di Afrika Selatan, peratusan besar penduduk negara itu berdepan dengan masalah obesiti yang tinggi. Kebanyakan pesakit merupakan golongan muda lingkungan umur 20-an yang mengalami penyakit diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Tinjauan Pemeriksaan dan Nutrisi Kesihatan Kebangsaan Afrika Selatan mendapati, masalah obesiti lebih tinggi dihadapi oleh kaum wanita dengan catatan 60 peratus.

Masalah sama turut berlaku di Indonesia menerusi data yang dikeluarkan oleh Kajian Kesihatan Asas (Riskesdas) 2010. Dicatatkan 21.7 peratus penduduk mempunyai BMI melebihi 27 bagi pesakit berumur 18 tahun ke atas dan peningkatan 14 peratus daripada 11 peratus untuk pesakit di bawah umur lima tahun.

Dalam pada itu, kadar obesiti dalam negara meningkat kepada 15 peratus pada tahun 2011 berbanding 14 peratus untuk tahun 2006. Ia berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dijalankan terhadap golongan dewasa dengan peratusan obesiti, hipertensi dan diabetes semakin ketara setiap tahun.

Pusat kesihatan

Perkembangan tidak sihat itu perlu dipandang serius oleh pihak berwajib. Wiggins mencadangkan lebih banyak pusat kesihatan awam khusus untuk pesakit obesiti, sama seperti pusat pemulihan rokok di beberapa negara.

"Pada masa sama, pihak kerajaan juga perlu lebih tegas dalam menggesa penduduk untuk lebih prihatin terhadap nutrisi makanan yang diambil," jelasnya.

Pensyarah dari Institusi Kebersihan dan Perubatan Tropika London, England itu berpendapat, arus pemodenan di beberapa bahagian dunia telah mengubah tabiat pemakanan dengan meninggalkan cara tradisional yang lebih sihat dan ideal.

"Dalam kita memberi bantuan kepada penduduk dunia yang berada dalam kebuluran dan kedaifan, kita juga perlu memikirkan kesan jika bantuan tersebut mengandungi kalori berlebihan dan penggunaan bahan mentah secara berlebihan," ujarnya.

Laporan Future Diet itu juga menggalakkan penduduk dunia untuk mengikuti cara pemakanan yang diamalkan oleh masyarakat Korea Selatan. Negara itu masih menggunakan bahan asli dan ramuan tradisional dalam makanan seharian mereka.

Beban emosi, kognitif dan fizikal guru

Posted:

Beban emosi, kognitif dan fizikal guru

Beban emosi, kognitif dan fizikal guru


BEBANAN tugas guru dikatakan terus bertambah. - Gambar hiasan


KERJAYA sebagai guru boleh dianggap antara pekerjaan yang paling mencabar. Ia bukan hanya berhadapan dengan pujian, tetapi sebaliknya yang akan berlaku sekiranya guru tersalah mengambil pendekatan menghukum pelajar.

Itulah yang boleh kita gambarkan ke atas tindakan seorang guru yang dikatakan telah mendenda dua orang murid sekolah rendah yang tidak menyiapkan kerja sekolah mereka di Sungkai, Perak baru-baru ini.

Kanak-kanak itu disuruh makan rumput manakala loceng digantung di leher mereka gara-gara kesalahan yang dilakukan. Hukuman itu menimbulkan kemarahan ibu bapa dan ahli masyarakat yang berasakan anak-anak itu masih kecil dan tidak seharusnya diperlakukan begitu.

Lebih teruk, apabila isu ini kemudiannya digembar-gemburkan dengan nada perkauman seperti yang banyak dibincangkan di laman-laman web. Ia mungkin tidak merungkaikan isu sebenar, sebaliknya hanya akan menimbulkan masalah yang lain.

Walaupun kita tidak akan bersetuju dengan hal seumpama itu, namun sesekali ada baiknya kita melihatnya dari perspektif yang berbeza.

Bukanlah bermakna kita merestui tindakan guru tadi, tapi kita juga sewajarnya tidak membuat sebarang tanggapan negatif terhadap tugas-tugas seorang guru.

Hakikatnya, tidak ada satu pun pekerjaan di dunia ini yang terhindar daripada tekanan tetapi tugas guru dikategorikan sebagai antara yang paling teruk tekanannya.

Ia tidak hanya melibatkan tekanan pekerjaan biasa, tetapi merangkumi tiga elemen utama iaitu beban emosi, beban kognitif dan beban fizikal. Tidak semua pekerjaan akan melalui pengalaman seumpama ini.

Beban emosi berlaku apabila seseorang pekerja terpaksa menyembunyikan perasaannya yang sebenar, tetapi sebaliknya perlu menunjukkan perasaan yang diperlukan oleh orang atau persekitaran yang dilaluinya.

Dalam psikologi, ia dikenali sebagai supresi emosi. Ia merupakan antara bentuk tekanan psikologi yang sangat teruk. Misalnya, sekalipun mereka berasa sangat marah, mereka perlu tersenyum.

Perkara ini sangat kerap terjadi dalam kalangan guru khususnya apabila perlu berhadapan dengan kepelbagaian ragam kanak-kanak.

Beban kognitif pula merupakan beban yang melibatkan keperluan untuk berfikir. Sebagai guru, menjadi tugas mereka untuk berfikir dan memastikan pelajar mencapai tahap kepandaian yang diharapkan.

Beban fizikal pula lebih kepada bebanan tugas seperti jadual pengajaran yang ketat, bilangan pelajar yang ramai, atau tugasan yang bersifat fizikal.

Semua ini antara bentuk beban kerja yang tidak dilalui oleh semua jenis pekerjaan, sedangkan sebagai guru mereka perlu melaluinya setiap hari.


TEKANAN emosi turut menjadi punca guru menghukum murid secara keterlaluan.


Belum matang

Tugas sebagai ahli akademik di universiti mungkin mempunyai persamaan dengan guru. Bagaimanapun, mereka tidak perlu melalui pengalaman teruk menyembunyikan emosi mereka.

Ia lain sifatnya dengan tugas guru yang berhadapan dengan kanak-kanak yang masih belum matang.

Sebab itulah, tidak semua orang mampu menanggung tugas sebagai seorang guru. Apatah lagi untuk menjadi seorang guru yang baik yang bukan sahaja mampu berhadapan dengan kerenah pelajar, tetapi pada masa yang sama berupaya mendidik mereka menjadi manusia berguna.

Tidak ketinggalan, mereka juga diperlukan untuk melakukan tugas pentadbiran yang lain.

Kajian-kajian juga mendapati bahawa hubungan antara pelajar-guru merupakan antara elemen yang paling utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran berbanding aspek lain seperti sukatan pelajaran, jadual waktu dan sebagainya.

Ini seolah-olah menggambarkan betapa proses menyembunyikan emosi adalah antara elemen utama yang sering mengaitkan guru dengan tekanan.

Walaupun kita mungkin menyalahkan seorang dua guru yang telah memilih 'jalan yang salah' dalam mendenda pelajar, tetapi harus diingat dalam kebanyakan simptom psikologi ia tidak berlaku secara mendadak.

Ia biasanya disebabkan oleh proses yang panjang. Guru terbabit mungkin telah mengalami tekanan yang teruk sejak sekian lama. Sepertimana yang diungkapkan dalam teori Hipotesis Kemarahan-Kekecewaan, seseorang itu mungkin melakukan tindakan yang tidak terjangkau akal apabila terpaksa melalui tekanan emosi yang teruk.

Mungkin sudah tiba masanya pihak terbabit meneliti semula keperluan untuk memberikan latihan menangani tekanan dalam kalangan guru.

Walaupun kita berpandangan bahawa aspek seperti keupayaan akademik atau penguasaan kaedah mengajar sangat penting, namun tanpa keupayaan untuk menguruskan emosi di bilik darjah mungkin akan menyebabkan isu salah laku akan terus menjadi episod yang selalu dilaporkan dalam konteks perguruan kita.

Pelajar ialah manusia biasa yang selalu melakukan kesilapan. Apatah lagi fasa kanak-kanak yang seringkali mencabar emosi kita.

Namun, pada masa yang sama, guru juga manusia biasa yang tidak sempurna. Saling memahami emosi dan psikologi sebagai guru mungkin memberikan kita lebih banyak ruang untuk memaafkan mereka sekiranya ada kekurangan di sana sini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Kelar anak sendiri sampai mati

Posted:

Kelar anak sendiri sampai mati

Kelar anak sendiri sampai mati

Oleh NUR AISHAH AMIN dan WAN NOR ZURAIHAH WAN ALI
berita@kosmo.com.my

SALAH seorang mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kajang, Selangor untuk dibedah siasat.


BANGI - Seorang bapa tergamak mengelar hingga mati anak perempuan bongsunya yang berusia tujuh tahun dengan sebilah parang dalam tragedi menyayat hati di sebuah rumah teres dua tingkat di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.15 petang itu, suspek, 44, yang menganggur sejak dua tahun lalu turut mengelar dua lagi anak perempuannya berusia 10 dan 12 tahun di tengkuk dan tangan.

Akibatnya, jari tangan anak mangsa yang berusia 10 tahun terputus. Semasa kejadian isteri mangsa tiada di rumah kerana bekerja di Cyberjaya.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar (gambar kecil) berkata, kejadian itu disedari anak perempuan suspek berusia 15 tahun yang baru pulang dari sekolah menengah agama berdekatan.

Katanya, ketika tiba di rumah, anak perempuan suspek amat terkejut apabila melihat bapanya sedang berdiri dengan sebilah parang di tangannya di dalam rumah.

"Anak suspek itu kemudian bergegas masuk ke rumah dan terkejut mendapati dua adik perempuannya yang berusia 10 dan 12 tahun terlentang berlumuran darah di ruang tamu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Pasukan khas kekang edar dadah

Posted:

Pasukan khas kekang edar dadah

Pasukan khas kekang edar dadah


AHMAD ZAHID bersalaman dengan anggota Sting pada majlis pelancaran Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik PDRM di Pusat Latihan Polis Jalan Semarak, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Pasukan khas antinarkotik polis, Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) diwujudkan bagi mengekang pengedaran dan penyeludupan dadah ke dalam negara, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pasukan itu akan mengenal pasti 'kawasan hitam' pengedaran dadah termasuk melibatkan kongsi gelap untuk 'diputihkan' selain mengambil tindakan ke atas pengedar dadah dan kongsi gelap mengikut undang-undang iaitu Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) (LLPK).

"Pasukan itu juga akan mengesan dan menangkap anggota geng kongsi gelap yang menyeludup dadah dan senjata api ke Malaysia dan akan bertindak membanteras pengedaran dadah di setiap peringkat iaitu negeri dan daerah," katanya semasa melancarkan pasukan elit khas Sting di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Rakyat perlu tolak ugutan, keganasan, sikap ekstrem

Posted:

Rakyat perlu tolak ugutan, keganasan, sikap ekstrem

Rakyat perlu tolak ugutan, keganasan, sikap ekstrem


NAJIB (tengah) mendapat sokongan daripada 40 NGO Melayu dan Islam pada majlis perjumpaan dengan NGO itu di Putrajaya semalam.


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat Malaysia supaya menolak sebarang bentuk ugutan, keganasan atau tindakan ekstrem yang boleh menggugat keharmonian yang dikongsi dan dinikmati pelbagai kaum di negara ini.

Perdana Menteri dalam perutusan Tahun Baru Cina berkata, ketika rakyat bergembira menyambut ketibaan Tahun Kuda, mereka juga haruslah mendukung perpaduan dan keharmonian antara kaum yang telah dinikmati sejak sekian lama.

"Saya pasti kita sepatutnya percaya kepada suara kebenaran. Tergalas di bahu kita untuk bertindak dengan wajar dan sentiasa mendengar pandangan satu sama lain.

"Dalam rumpun kebudayaan Malaysia, kita mestilah menjunjung kedaulatan undang-undang dan sentiasa menghormati sensitiviti anutan lain," katanya dalam blog www.1Malaysia.com.my.

Beliau menarik perhatian bahawa walaupun banyak kemajuan dicapai dalam program transformasi, perjalanannya masih jauh dan banyak lagi yang perlu dicapai.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Permintaan yang keterlaluan

Posted:

Permintaan yang keterlaluan

Permintaan yang keterlaluan

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


TROUSSIER dikatakan meminta keistemewaan yang lebih banyak menguntungkan dirinya sahaja daripada misi membentuk skuad Harimau Malaya.


NAMPAK gayanya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah tidak berminat lagi untuk mendapatkan khidmat jurulatih asing, Phillipe Trousiier.

Ia gara-gara FAM dikatakan enggan lagi meneruskan perbincangan dengan Troussier selepas bekas pengendali Jepun itu dikatakan banyak 'songeh'.

Semalam, menurut sumber wartawan Perancis, Troussier yang ditawarkan kontrak tiga tahun untuk dilantik sebagai jurulatih baharu Harimau Malaya, telah berunding dengan pihak teratas FAM bagi membincangkan hala tuju bola sepak negara di ibu negara.

Begitupun, perbincangan tersebut tidak menemui jalan penyelesaian apabila syarat yang ditetapkan hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja.

"Troussier enggan FAM meletakkan sebarang KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) terhadapnya. Baginya, beliau sendiri yang mahu meletakkan hala tuju bola sepak negara.

"Selain itu, jika beliau tidak berpuas hati dengan permukaan padang, prestasi pemain mahupun pasukan atau mana-mana perkara berbangkit, Troussier mahu kontrak tersebut ditamatkan dengan segera.

"Lebih memeranjatkan, sebagai contoh; jika FAM bersetuju melantiknya dan kemudiannya Trous- sier melepas jawatannya dalam tempoh setahun bersama Harimau Malaya, beliau mahu FAM tetap membayar gaji untuk baki kontrak biarpun Troussier sendiri yang menamatkan kontrak tersebut.

"Kini, apa yang pasti, FAM sudah tidak 'berselera' dengan Troussier apabila perjanjian itu dilihat hanya menguntungkan Troussier sahaja," kata sumber itu kepada Kosmo!, semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, FAM telah hampir pasti telah untuk mendapatkan sentuhan Troussier selepas mengadakan dua pertemuan tidak formal di China (Jun lalu) dan di Singapura pada November lalu.

Selepas itu, FAM hampir pasti untuk mendapatkan khidmat Troussier selepas badan persatuan induk bola sepak negara itu bersetuju untuk memenuhi tuntutan gaji yang dimahukan oleh bekas jurulatih FC Ryukyu sebanyak gaji AS$1.52 juta (RM4.9 juta) setahun menerusi penajaan.

Buat masa ini, Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai jurulatih sementara Harimau Malaya dan FAM enggan membuat keputusan terburu-buru untuk mencari calon pengendali import baharu selepas kesal dengan sikap Troussier.

Selain Troussier, jurulatih AS Roma, Zdenek Zeman; bekas jurulatih Liverpool, Alex Miller; bekas pemain Perancis, Marcel Desailly dan bekas jurulatih China dan Uzbekistan, Bob Houghton dikatakan berada dalam radar FAM.

Kim Swee: Masih ada tugas yang belum selesai

Posted:

Kim Swee: Masih ada tugas yang belum selesai

Kim Swee: Masih ada tugas yang belum selesai

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


KIM SWEE (kiri) menyambut Tahun Baru Cina secara sederhana kerana persiapan pasukan tetap menjadi keutamaannya.


SAMBUTAN Tahun Baru Cina kali ini pastinya ditunggu-tunggu pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee.

Menurut Kim Swee, beliau telah mula bercuti di kampung halamannya di Melaka semalam dan anak-anak buahnya hanya akan kembali menjalani latihan Ahad ini.

"Saya kini sudah bersama keluarga di Melaka dan pemain juga telah dilepaskan bercuti.

"Di kesempatan ini, saya juga mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada kesemua peminat Harimau Muda yang menyokong perjuangan kami selama ini," katanya kepada Kosmo! semalam.

Bagaimanapun jelas Kim Swee, beliau dan anak-anak buahnya tidak akan 'beraya sakan' memandangkan masih ada tugasan getir mengharumkan nama negara di temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September depan.

"Raya pun raya juga, tetapi masih ada tugas yang belum selesai.

"Selain temasya Sukan Asia, kami juga perlu bersedia mengharungi saingan Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland di Brisbane selama lima bulan bermula Mac depan.

"Jadi, saya harap kesemua pemain Harimau Muda A dapat mengekalkan kecergasan masing-masing sebelum kembali menjalani latihan Ahad ini," kata beliau.

Mengulas lanjut, Kim Swee juga ingin melupakan kekecewaan selepas gagal mempertahankan pingat emas temasya Sukan SEA di Myanmar tahun lalu.

"Mana-mana jurulatih pastinya kecewa dengan kegagalan tetapi ia akan dijadikan pembakar semangat untuk melakar kejayaan yang lebih bermakna pada masa depan.

"Saya juga berharap sambutan Tahun Baru Cina kali ini membawa tuah buat skuad Harimau Muda A pada temasya Sukan Asia kelak," katanya yang turut mendapat kepercayaan sebagai pengendali sementara skuad Harimau Malaya ketika ini.

PSM anjur Terbuka Kebangsaan

Posted:

PSM anjur Terbuka Kebangsaan

PSM anjur Terbuka Kebangsaan

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) akan menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Kebangsaan Piala Datuk Ahmad Ismail Siri Kedua bagi menggantikan pusingan akhir Siri Super Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) 2013/14 yang sepatutnya berlangsung pada 12 hingga 16 Februari depan.

Siri kedua Piala Presiden PSM itu akan mengisi kekosongan di venue kejohanan dan akan berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga Februari depan.

Sebanyak tiga kategori akan dipertandingkan namun apa yang lebih menarik ialah penganjuran aksi berpasukan lelaki yang memerlukan setiap pasukan menampilkan dua regu iaitu regu terbuka dan regu bawah 21 tahun (B-21).

Begitupun, kategori itu hanya dikhaskan untuk ahli gabungan PSM yang perlu menyenarai tujuh hingga 10 pemain dalam satu pasukan.

Ketua Seranta PSM, Yusuff Ali berkata, penganjuran kategori berpasukan lelaki itu bagi menjadikan kejohanan 'Piala Tok Mad' lebih menarik sebagaimana sasaran PSM untuk menarik minat peminat sukan tempatan.

"Ini kali pertama kami menganjurkan kategori itu apabila hanya dua regu bagi mewakili satu pasukan dan mengikut peraturan regu terbuka akan menentang regu terbuka dan regu B-21 bertemu B-21.

"Jika perlawanan seri maka setiap pasukan dibenarkan untuk menggandingkan pemain-pemain regu terbuka dan B-21 untuk set ketiga, jadi pemain-pemain boleh bermain dua kali.

"Hadiah yang ditawarkan juga menarik iaitu RM5,000 beserta piala pusingan dan pingat bagi juara kategori berpasukan itu," tambah Yusuff.

Tempat kedua akan meraih RM3,000, manakala dua pasukan yang berkongsi di tangga ketiga akan meraih RM2,000.

Dua lagi kategori yang dipertandingkan ialah Lelaki Terbuka dan Lelaki Veteran yang dibuka penyertaan untuk ahli gabungan dan kelab-kelab sepak takraw dari seluruh negara.

Kelab-kelab sepak takraw yang mahu menyertai kategori Lelaki Terbuka akan dikenakan bayaran RM80, manakala RM 50 untuk regu Veteran.

Pemain-pemain yang mahu beraksi dalam kategori Veteran perlu berumur 40 tahun ke atas dan jumlah bagi ketiga-tiga pemain itu melebihi 130 tahun.

Juara bagi Lelaki Terbuka akan membawa pulang RM4,000, manakala pemenang aksi Veteran bakal meraih RM3,000.

Dalam pada itu, pusingan akhir Siri Super Istaf pula ditunda pada 5 hingga 9 Mac depan.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Dettol hargai peranan ibu

Posted:

Dettol hargai peranan ibu

Dettol hargai peranan ibu

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

GOLONGAN ibu berperanan menanamkan nilai murni menjaga kebersihan kepada si kecil.


PERANAN seorang ibu amat besar dalam mempengaruhi perkembangan anak-anak. Jika baik asuhan yang diterima sejak kecil, maka lebih berakhlak seseorang anak itu dalam menjalani kehidupan mereka.

Begitu juga dalam aspek kebersihan. Jika si ibu sentiasa menitikberatkan hal-hal penjagaan diri, maka si anak juga pasti berdisiplin dalam melaksanakannya.

Menyedari hakikat itu, jenama terkemuka dalam pengeluaran rangkaian antiseptik, Dettol tampil dengan kempen Detik-Detik Kasih bagi menghargai peranan penting yang dimainkan oleh wanita bergelar ibu.

Kempen tersebut juga bertujuan untuk menyebarkan maklumat mengenai penjagaan kebersihan bagi seisi keluarga. Malah, tanggungjawab ibu untuk menyemai tabiat menjaga kebersihan dalam kalangan keluarga, secara tidak langsung mampu melahirkan masyarakat yang pembersih.

Tambahan pula, anak-anak sentiasa terdedah dengan pelbagai jangkitan penyakit disebabkan interaksi dan sentuhan fizikal di sekolah. Oleh itu, pengajaran mengenai teknik membasuh tangan dengan betul dan menggalakkan amalan baik dalam menjaga kebersihan amat penting untuk melindungi kesihatan si manja anda.

Pengurus Pemasaran Dettol Malaysia & Singapura, Tiffany Tang berkata, ibu merupakan tonggak dalam sesebuah rumah yang mengabdikan diri untuk membina keluarga yang bahagia dan sihat sejahtera.

Nilai murni

"Pengorbanan, kasih-sayang dan pendidikan yang diberikan oleh ibu mampu membentuk anak menjadi insan yang sempurna dengan nilai-nilai murni serta amalan menjaga kesihatan yang baik.

"Justeru, kami tampil dengan pendekatan unik untuk berinteraksi dengan para ibu termasuk memilih selebriti yang mempunyai pengaruh positif dalam masyarakat dan berkongsi pengalaman mereka," ujar Tiffany sewaktu majlis penutup kempen Detik-Detik Kasih di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kempen yang bertujuan menghargai wanita di seluruh Malaysia ini bermula dengan forum dalam talian selama enam minggu yang melibatkan perbualan dengan beberapa selebriti bergelar ibu iaitu Wardina Safiyyah, Sazzy Falak, Diana Danielle, Dynas Mokhtar dan Aishah Sinclair.

Melalui kempen yang berlangsung pada 11 November hingga 22 Disember 2013 itu, para ibu berpeluang membincangkan cabaran dan kerumitan yang dihadapi dalam melaksanakan rutin harian masing-masing bersama anak-anak mereka.

Tiga topik yang dibicarakan ialah asuhan yang baik, menegakkan nilai-nilai Melayu dan amalan menjaga kebersihan.

Pada majlis itu, Wardina dan Sazzy yang diundang untuk berkongsi pengalaman mereka, rancak menceritakan bagaimana kehidupan yang dilalui dalam membesarkan si kecil.


PARA pemenang peraduan Dettol Star Mom bergambar bersama selebriti, Sazzy dan Wardina yang berkongsi pengalaman bergelar ibu.


Menurut Wardina yang bergelar ibu kepada tiga cahaya mata, berkomunikasi dengan anak-anak merupakan kaedah utama untuk mendidik mereka mengenai amalan-amalan murni termasuk menjaga kebersihan.

"Pertama sekali, kita perlu menerangkan kepada mereka mengenai konsep sebenar menjaga kebersihan sebelum dipraktikkan. Saya ajar mereka bahawa kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman dan disukai Allah.

"Selain itu, saya juga menasihatkan mereka bahawa kebersihan itu perlu dijaga secara menyeluruh bukan sekadar luaran semata-mata. Sebaliknya, menjaga hati agar sentiasa bersih daripada sebarang perasaan hasad dengki," tuturnya.

Kongsi pengalaman

Bagi Sazzy pula, penyertaan dalam kempen tersebut banyak memberi manfaat kepadanya termasuk berkongsi pengalaman dengan para ibu di luar sana yang disifatkan sebagai satu gedung ilmu yang luas.

"Melalui forum yang dianjurkan, kami yang bergelar ibu teruja apabila dapat berkongsi cerita dalam mendidik anak-anak," katanya.

Dalam pada itu, seramai 10 ibu bertuah telah dipilih sebagai pemenang melalui slogan terbaik yang dihasilkan dalam pertandingan menerusi laman sosial Facebook sekali gus meraih gelaran Dettol Star Mom. Kesemua mereka menerima hamper sumbangan Dettol dan diraikan dalam satu majlis minum petang.

Salah seorang pemenang, Azatulsheeda Mohd. Azman berkata, pengalaman menjadi seorang ibu cukup membahagiakan.

"Namun, tanggungjawab yang perlu ditunaikan juga cukup mencabar. Apa pun, saya amat teruja mendengar cerita bagaimana ibu-ibu selebriti yang sibuk dengan kerjaya mereka, mampu menjadi seorang ibu yang berjaya di rumah," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Obama akan berusaha pulihkan ekonomi AS

Posted:

Obama akan berusaha pulihkan ekonomi AS

Obama akan berusaha pulihkan ekonomi AS

OBAMA memberikan ucapan tahunannya di bangunan Capitol Hill, Washington D.C. kelmarin.


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin berjanji untuk memulihkan ekonomi AS.

Dalam ucapan tahunan kepada Kongres AS, Obama berjanji akan bertindak sendiri tanpa bantuan Kongres untuk memulihkan ekonomi negaranya.

Obama juga meminta usaha untuk memulihkan ekonomi itu dilakukan dalam tempoh setahun.

"AS tidak terhenti (aktiviti ekonomi), begitu juga dengan saya," kata Obama yang merujuk kepada sekatan daripada Parti Republikan di Kongres yang menyebabkan banyak cadangannya tertangguh sejak setahun lalu termasuk pembaharuan imigresen.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Obama cuba menumpukan semula terhadap usaha bagi menangani jurang pendapatan.

Beliau juga berusaha mendesak Kongres AS supaya menaikkan gaji minimum perseketuan selain memperbaharui faedah pengangguran untuk golongan yang sudah lama tidak bekerja.

Beliau meminta Kongres menaikkan gaji minimum daripada AS$7.25 (RM24.20) kepada AS$10.10 (RM33.70) sejam.

"Ia akan membantu banyak keluarga. Tindakan itu juga akan memberi pelanggan perniagaan lebih wang untuk dibelanjakan," kata Obama kepada Kongres AS.

Presiden AS itu meminta majikan menaikkan gaji dan mengupah penganggur tegar sebagai pekerja.

Beliau juga meminta majikan membayar gaji wanita lebih tinggi.

Dalam ucapannya, pemimpin AS itu memuji pemilik sebuah kedai piza di Minnesota, John Soranno kerana menaikkan gaji pekerjanya kepada AS$10 (RM33.70) sejam.

"Saya meminta peneraju perniagaan AS supaya mengikuti langkah Soranno dan lakukan apa yang perlu untuk menaikkan gaji pekerja anda," ujar Obama.

"Dan sebagai ketua eksekutif AS, saya akan memimpin dengan memberikan teladan," tambahnya.

Menurut Obama, beliau akan menggunakan kuasa eksekutifnya untuk menaikkan gaji minimum kepada AS$10.10 sejam kepada pekerja-pekerja persekutuan yang merangkumi pekerja berkemahiran rendah seperti juruwang dan penjaga bangunan.

Beliau turut meminta Kongres menambah faedah untuk 1.6 juta penganggur tegar dengan bayaran mereka dihentikan pada penghujung tahun 2013. - Agensi

218 pasangan berkahwin di Tebing Barat

Posted:

218 pasangan berkahwin di Tebing Barat

218 pasangan berkahwin di Tebing Barat


SERAMAI 218 pasangan berkahwin pada satu majlis di Jericho kelmarin.


JERICHO, Tebing Barat - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menghadiri majlis perkahwinan beramai-ramai melibatkan 218 pasangan pengantin di tempat letak kereta sebuah hotel lima bintang di sini kelmarin.

Para pengantin itu mengambil peluang untuk berkahwin secara percuma pada majlis tersebut dengan segala kos ditanggung pemerintah.

Ramai pasangan di sini yang tidak mampu mengadakan majlis perkahwinan mengikut tradisi ekoran kadar pengangguran dan kos sara hidup yang tinggi.

Pejabat Mahmoud membiayai majlis itu yang menelan belanja lebih AS$1 juta (RM3.3 juta).

Perbelanjaan itu termasuk wang pendahuluan sebanyak AS$4,000 (RM13,346) untuk setiap pasangan.

Pengantin perempuan memakai jubah Palestin yang disulam dan membawa jambangan ros putih.

Pada majlis itu, pengantin lelaki memakai pakaian hitam bersama kemeja putih serta tali leher merah. - AP

Askar Israel tembak mati remaja Palestin di Ofra

Posted:

Askar Israel tembak mati remaja Palestin di Ofra

Askar Israel tembak mati remaja Palestin di Ofra


BEBERAPA askar Israel berhimpun di lokasi seorang remaja Palestin mati ditembak dekat penempatan haram Yahudi di Ofra semalam.


RAMALLAH - Askar-askar Israel menembak mati seorang remaja Palestin yang berusia 19 tahun dekat bandar Ramallah semalam, kata pasukan perubatan dan sumber keselamatan.

Kejadian itu berlaku dekat penempatan haram Yahudi di Ofra dan disahkan tentera Israel menerusi satu kenyataan.

Kenyataan itu mendakwa remaja berkenaan telah melepaskan tembakan ke arah askar-askar regim Zionis yang terpaksa melepaskan tembakan dan mengenai remaja berkenaan.

Sumber Palestin mengesahkan mangsa dikenali sebagai Mohammad Mubarak berusia 19 tahun dan menetap di kem pelarian Jalazun.

Beberapa saksi memberitahu bahawa, Mubarak tidak bersenjata.

Remaja itu turut diseksa oleh askar-askar Israel dan dipaksa membuka pakaiannya.

Sumber Palestin juga memberitahu, Mubarak bekerja sebagai buruh untuk sebuah syarikat pembinaan jalan yang menghubungkan Ramallah dengan Nablus. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Kementerian Kesihatan lulus peruntukan RM1 juta kepada HTAJ

Posted:

Kementerian Kesihatan lulus peruntukan RM1 juta kepada HTAJ

Kementerian Kesihatan lulus peruntukan RM1 juta kepada HTAJ

30/01/2014 11:01pm

SABAK BERNAM - Kementerian Kesihatan meluluskan peruntukan RM1 juta kepada Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) sebagai dana bagi menambah baik serta mempertingkat peralatan perubatan di hospital itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, dana itu adalah sebahagian daripada peruntukan yang diberi kerajaan pada pembentangan Bajet 2014, dan berharap dapat dimanfaat sepenuhnya oleh HTAJ dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat.

"Biarpun hospital ini hanya menampung 93 katil namun turut menghadapi masalah kesesakan tempat mengikut keperluan tertentu sama seperti hospital lain di sekitar negeri Selangor.

"Disebabkan itu, kementerian sedang berusaha membantu memperluas klinik pesakit luar dan jabatan kecemasan di sini berikutan ruang sedia ada tidak cukup bagi menampung kehadiran pesakit untuk rawatan hampir 200 orang pada setiap hari," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke HTAJ hari ini.

Beliau berkata, kementerian juga memandang serius dan akan menyelesaikan masalah bilik rawatan yang kurang selesa serta tidak mencukupi. - Bernama

Polis berkas suspek samun kedai telefon di Hulu Besut

Posted:

Polis berkas suspek samun kedai telefon di Hulu Besut

Polis berkas suspek samun kedai telefon di Hulu Besut

30/01/2014 10:49pm

KUALA TERENGGANU - Polis memberkas seorang pemuda berusia 24 tahun kerana disyaki menyamun sebuah kedai menjual alat komunikasi dengan bersenjatakan pistol di Jalan Seberang Kastam, Kampung Seberang Kastam, Hulu Besut, Besut, 28 Disember lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, suspek itu ditahan 16 Jan lepas di tempat letak kenderaan di Kota Putera, Besut pada 1.45 tengah hari.

"Suspek ditahan bersama sebuah telefon bimbit yang disamun di kedai itu dan kita turut merampas lima telefon bimbit daripada suspek selain kita turut merampas enam lagi telefon bimbit daripada pembeli suspek," katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, dua lelaki bertopi keledar menyamun kedai itu dan seorang daripada mereka bersenjata pistol jenis revolver mengarahkan tiga pekerja kedai itu memasukkan kesemua telefon dipamerkan dalam rak kaca ke dalam sebuah beg.

Dalam kejadian 2.55 petang itu, seorang suspek melepaskan satu das tembakan ke arah seorang pekerja makanan yang ingin menghalang mereka namun mangsa hanya mengalami cedera ringan apabila peluru hanya bergesel di bahagian perut.

Manoharan berkata, berdasarkan siasatan, suspek yang ditahan merupakan orang yang melepaskan tembakan dan pistol berkenaan dipercayai berada dalam simpanan rakan suspek berusia 24 tahun.

"Kita sudah mengenal pasti suspek kedua dan akan menahannya dalam masa terdekat. Kita juga percaya sebahagian daripada 100 telefon bimbit dan tablet yang disamun berada dalam simpanan suspek kedua," katanya. - Bernama

Pakai jaket keselematan, elak tragedi ketika guna pengangkutan air

Posted:

Pakai jaket keselematan, elak tragedi ketika guna pengangkutan air

Pakai jaket keselematan, elak tragedi ketika guna pengangkutan air

30/01/2014 10:37pm

KUCHING - Pengunjung yang bersiar-siar di Tebingan Sungai Kuching yang terletak di selatan Sungai Sarawak hari ini gempar apabila melihat empat lelaki terjatuh daripada sebuah perahu tambang.

Bagaimanapun, mereka bernasib baik kerana memakai jaket keselamatan yang disediakan perahu berkenaan dan terapung selepas insiden berkenaan.

Dua bot, masing-masing satu dari Pasukan Gerakan Marin serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, kemudian tiba untuk menyelamatkan kesemua mangsa.

Adegan mencemaskan itu sebenarnya adalah senario yang digambarkan dalam gimik pelancaran Ops Selamat IV Kempen Pemakaian Jaket Keselamatan berhubung kepentingan memakai jaket keselamatan sebagai antara langkah yang perlu diberi perhatian.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, berdasarkan adegan itu, adalah jelas memakai jaket keselamatan mampu mengurangkan risiko kehilangan nyawa apabila berlaku tragedi. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Marion, keluarga, kerjaya, kekayaan

Posted:

Marion, keluarga, kerjaya, kekayaan

Marion, keluarga, kerjaya, kekayaan

MARION Rose Caunter Abdullah, 34, yang baru tiga bulan melahirkan bayi keduanya, Lana Rose SM Nasaruddin masih sama keletahnya seperti dulu.

Bertemu sekali lagi di Hotel Traders Kuala Lumpur sempena penggambaran sebuah rancangan televisyen terkemuka, Marion ternyata mesra apabila diajak bersembang.

Diulit atmosfera santai petang hari Selasa lalu, Marion membuka bicara. Kali ini, topiknya lebih berkisar tentang kehidupan dan kerjayanya.

Biarpun sedikit penat, tutur Marion, tidak pernah terlintas di hatinya mahu mengakhiri pekerjaan yang sedang dilakukan kini.

Ada ketikanya dia lebih senang meluangkan masa di rumah bersama dua orang puterinya, Lana Rose dan Leia Rose, 2. Itu perasaan yang sama dicurahkan kepada dunia pengacaraan televisyen.

"Andai diberikan pilihan antara menjadi ibu atau wanita berkerjaya, saya pilih kedua-duanya. Saya mahu menjadi seorang ibu yang mencintai kerjanya tapi sudah pasti keluarga adalah keutamaan saya.

"Saya pernah beritahu, mahu bersara dan fokus kepada keluarga sahaja tetapi saya masih gembira bekerja buat masa sekarang. Mungkin akan bersara apabila saya sudah tidak suka atau terlampau sibuk," katanya.

Diimbas kembali kerjaya Marion pada awalnya, selain menjadi pengacara rancangan 8TV Quickie sekitar tahun 2006, bakatnya semakin dikenali menerusi program realiti One In A Million pada tahun sama, sebelum dia kemudian mengembangkan sayap bersama Channel [V].

Sehinggalah pada tahun 2010, Marion disunting oleh E! News Asia dan kontraknya dilanjutkan sehingga kini. Tahun 2010 juga mengubah status dirinya apabila memilih untuk berkahwin dengan Pengerusi Kumpulan Naza, SM Nasaruddin Tan Sri SM Nasimuddin.


SUAMI dan anak-anak merupakan keutamaan buat Marion sekarang ini.


Tilam emas

Memuat naik foto di laman sosial Instagram contohnya, telah mengundang konklusi awal peminat Marion. Ada yang menganggap Marion sentiasa dilimpahi kemewahan, mengembara menggunakan jet peribadi dan seumpamanya.

Melihat situasi 'tidur di atas tilam emas' seperti yang disimpulkan pengikutnya di laman sosial tersebut, kata Marion, itu satu bonus.

"Mana ada saya selalu naik jet peribadi, sekali-sekala adalah. Sebenarnya, saya tidak pernah fikirkan mengenai kemewahan atau kekayaan. Paling utama, saya mahu diri saya dan keluarga kekal sihat dan gembira.

"Semua kemewahan itu bonus! Setiap hari bangkit daripada tidur saya berdoa agar anak-anak saya gembira dan sihat.

"Ya, saya akui saya bertuah tetapi saya pun seperti orang lain yang pernah melalui saat kesedihan dalam hidup. Perlu sedar bahawa ada masa kita di atas dan ada masa berada di bawah.

"Alhamdulillah, saya bersyukur tapi ramai yang tidak tahu saya kehilangan orang yang istimewa dalam hidup saya ketika kecil. Saya sendiri membesar tanpa seorang ayah. Yang penting, terima apa sahaja yang hadir dalam kehidupan kita dan bergembiralah," jelas Marion.

Persefahaman, kepercayaan

Kehidupan yang sentiasa diteropong individu sekeliling ditambah pula memiliki suami yang menjadi idaman setiap wanita pasti tidak terlepas daripada berita sensasi dan skandal yang dikaitkan dengan wanita lain.

Ditanya mengenai perihal itu jawab Marion tenang, dia dan suaminya berpegang pada prinsip asas perhubungan iaitu persefahaman dan kepercayaan.

"Saya percayakan dia dan dia percayakan saya, itu sahaja. Sesiapa pun boleh bercakap apa-apa sahaja mengenai kehidupan kami dan mengaitkan suami saya dengan sesiapa tetapi saya kenal suami saya itu.

"Malah, kami sentiasa berbincang mengenai hal ini. Saya sedar orang luar akan sentiasa cuba mengaitkan suami saya dengan wanita lain tetapi pokoknya adalah kepercayaan," jelasnya.

Adakah Marion terkesan dengan tindakan segelintir individu itu? Jawab Marion: "Saya sebenarnya akan mudah melatah apabila saya tahu seseorang itu berbohong pada saya.

"Sebagai figura umum, saya sudah jangka perkara ini akan terjadi dan saya perlu menerimanya serta menjadi kuat."

PERSONALITI yang meraih tuah bersuamikan lelaki kacak, kaya dan baik hatiini ternyata profesional dan seorang yang sangat mesra dengan pihak media.


Leia, Lana

Bercakap mengenai perkara yang sama di ruang perkongsian maya, alam siber dan media sosial, Marion yang sering berdepan dengan kritikan dan komen negatif daripada peminat, cuba menanganinya secara diplomasi.

"Memang ada komen yang benar-benar menyakitkan hati tetapi kalau saya memilih untuk menjadikan Instagram saya secara terbuka dan boleh dilihat umum, saya tidak boleh merungut dan perlu menerimanya.

"Cuma saya kasihankan segelintir pengguna media sosial yang sentiasa mengkritik dengan komen sedemikian walaupun kadang-kadang saya tidak faham pun ayat mereka.

"Saya sudah terbiasa dengan perkara ini sejak daripada sekolah menengah lagi.

"Walaupun bukan selebriti tetapi orang selalu bercakap perkara merepek mengenai saya. Saya tidak kisah pun tapi saya akan rasa terganggu kalau mereka bercakap mengenai anak-anak saya sekarang.

"Ramai orang gila di luar sana tetapi orang akan tahu siapa anak saya kalau mereka betul-betul mahu cari.

"Jadi, bukan hanya saya seorang, sesiapa saja perlu ada rasa berwaspada terhadap diri sendiri dan keluarga," ujarnya yang kini mengurangkan pendedahan foto anak-anaknya di laman sosial miliknya.

Memiliki dua cahaya mata perempuan, kata Marion, tidak timbul kesukaran buat dirinya kerana baik Leia mahupun Lana, masing-masing tidak cerewet.

"Alhamdulillah, Lana sangat baik. Macam Leia juga walaupun baru tiga bulan, dia akan tidur lapan jam ikut jadual. Kalau terjaga pun pukul 2 atau 3 pagi untuk minum susu kemudian dia akan tidur balik.

"Leia sangat sukakan baby Lana. Awal-awal dulu, dia selalu melekat dengan saya dan Lana tapi sejak akhir-akhir ini dia semakin cemburu dan perlukan lebih perhatian."

Sementara itu, tambah Marion, dia masih mahukan seorang lagi cahaya mata untuk melengkapkan angka tiga.

Katanya: "Seorang anak lelaki mungkin akan melengkapi hidup kami sekeluarga."

Anuar Zain tolak lima tawaran

Posted:

Anuar Zain tolak lima tawaran

Anuar Zain tolak lima tawaran

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my


PERSEMBAHAN Minggu Setiausaha pertama anjuran syarikat milik Anuar Zain menawarkan harga tiket mencecah sehingga RM1,380 seorang.


JARANG sekali bersua dengan penyanyi hebat Anuar Zain. Penantian selama sejam untuk menemu bual penyanyi itu tidak mengundang lelah barang sedikit pun bagi pihak media.

Pelantun lagu Lelaki Ini itu cukup eksklusif untuk dilihat di mana-mana majlis hiburan kecuali pada persembahan berskala besar sahaja.

Disebabkan itulah, berapa nilai yang diletakkan untuk melihat dan mendengar lunak suaranya juga tidak menjadi masalah buat peminat setia penyanyi berusia 44 tahun itu.

Sedar hakikat tersebut, buat pertama kalinya syarikat Anuar iaitu Anuar Zain Network bakal menganjurkan persembahan eksklusif sempena Minggu Setiausaha dan tiket yang dikenakan mencecah sehingga RM1,380.

Bagaimanapun kata Anuar, harga tersebut berpatutan kerana peminat bukan sahaja dapat menyaksikan persembahannya tetapi juga disajikan dengan makanan, hadiah dan juga pas di belakang pentas.

"Penyanyi juga kena beri extra kepada peminat. Bukan sekadar menyanyi tetapi memberi jiwa dan raga ketika membuat persembahan dengan setulus hati. Seterusnya memberi mereka kenangan terindah," luahnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Minggu Setiausaha anjurannya di Restoran Bijan, Kuala Lumpur.

Nama tercalar

Melalui pengalaman mengadakan konsert Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 16 Februari 2013, Anuar mencabar diri untuk mengadakan persembahan Minggu Setiausaha sendiri.

Anuar juga mengakui lebih selesa bekerja sendiri daripada bekerja di bawah orang.

"Saya sudah terfikir lama untuk buat sendiri persembahan Minggu Setiausaha. Cuma sebelum ini belum rasa mampu untuk melaksanakannya kerana kurang pengalaman. Namun, selepas mengadakan konsert tahun lalu saya rasa berkeyakinan untuk melakukannya.

"Saya rasa lebih selesa buat sendiri sebab bila bekerja dengan orang lain, tidak ada kawalan. Saya akui pernah berdepan dengan pengalaman nama tercalar tetapi saya ambil iktibar," ulasnya yang berasa tidak sesuai berkongsi mengenai perkara yang berlaku.

ANUAR bakal bertindak sebagai penerbit bersama untuk album terbaharu kakaknya, Ziana Zain.


Bagaimanapun akui Anuar, pengalaman pahit itu tidak bermakna dia akan menolak undangan melakukan persembahan untuk syarikat lain. Cuma, dia akan lebih berhati-hati dan lebih teliti.

Tidak memikirkan tentang duit, jelas Anuar, dia banyak menerima undangan menyanyi dan untuk tahun ini sahaja dia menerima lima undangan.

Namun, Anuar terpaksa menolaknya kerana ingin memberi persembahan teristimewa buat peminatnya menerusi Minggu Setiausaha anjuran syarikatnya.

Disoal mengenai harga tiket mahal yang dikenakan tidak bersesuaian bagi golongan sederhana, kata Anuar, peminat tahu mengenai persembahan Minggu Setiausahanya dan sudah bersedia daripada awal.

"Setiap tahun saya akan buat persembahan Minggu Setiausaha. Peminat akan simpan duit daripada awal. Macam saya juga, kalau teringin menyaksikan persembahan artis yang diminati, saya akan menyimpan duit," ujarnya.

Mengangkat tema Terindah...Anuar Zain, persembahan Minggu Setiausaha itu akan diadakan pada 8 April depan bermula pukul 12 tengah hari di Hotel One World, Petaling Jaya.

Selain RM1,380, harga lain yang ditawarkan bagi menyaksikan acara itu ialah RM480, RM680 dan RM980.

Pada persembahan selama 45 minit itu nanti, Anuar akan menyanyikan sebanyak lapan buah lagu termasuk lagu Terindah sambil diiringi sembilan pemuzik.

"Selain lagu Terindah dan beberapa lagu popular, kita juga akan buat undian menerusi laman sosial Facebook untuk menentukan lagu mana yang mereka ingin saya nyanyikan," katanya.

Tiket-tiket mula dijual pada 7 Februari depan menerusi www.tiketcharge.com.my manakala tiket untuk VIP boleh diperoleh terus dengan menghubungi Anuar Zain Network di talian 019-3177476 atau 012-4642030.

Untuk maklumat lanjut, layari www.facebook.com/anuarzainnetwork.

Sementara itu, Anuar mengakui tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengadakan persembahan di luar negara.

"Orang kata 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri' tetapi bagi saya peribahasa itu tidak relevan bagi industri muzik.

"Hanya yang bernasib baik sahaja yang dapat ke luar negara dan saya mengucapkan tahniah kepada mereka yang mengharumkan nama Malaysia," katanya lagi.

Hafiz Hamidun tak bosan cari jodoh

Posted:

Hafiz Hamidun tak bosan cari jodoh

Hafiz Hamidun tak bosan cari jodoh

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
ashreen.ismail@kosmo.com.my

HAFIZ HAMIDUN bersikap terbuka tetapi berhati-hati apabila berbicara dengan media tentang hal peribadinya.


BUKAN sekali, namun sudah beberapa kali penyanyi, Hafiz Hamidun bercerita tentang wanita dan jodoh dirinya. Cerita yang terbaharu, Hafiz dikaitkan dengan penyanyi cantik, Heliza Helmi.

Namun, walaupun sudah dinafikan oleh Heliza sendiri, bicara Hafiz, dia tidak pernah kecewa dengan perkara yang terjadi kepadanya.

Baginya, jodoh merupakan sesuatu yang dirinya tidak boleh berputus asa dan berusaha hingga menemui wanita yang terbaik buat dirinya.

Sehubungan itu, Hafiz kini muncul dengan sebuah single terbaharu berjudul, Jodoh Berdua yang merupakan hasil pengalaman dirinya sendiri.

Selain itu juga, ada berita gembira buat peminat Hafiz kerana dia bakal mengadakan konsert yang ketiga di Pulau Pinang.

Ikuti temu bual bersama Hafiz Hamidun yang ditemui pada sidang akhbar majlis pelancaran album dan pengumuman konsertnya di Talent Lounge, Damansara Perdana, Petaling Jaya baru-baru ini.

Kosmo!: Berbicara tentang jodoh, apakah yang membuatkan Hafiz sukar untuk bertemu jodoh dengan wanita pilihan?

HAFIZ: Bukan susah, namun saya sudah banyak bertemu jodoh. Cuma, ada sahaja halangan seperti wanita tersebut sudah ada teman lain, sudah berkahwin atau cinta bertepuk sebelah tangan. Kini, saya mahu cari yang memang mencintai, menerima dan memahami diri saya seadanya.

Adakah keluarga sudah menggesa Hafiz untuk berkahwin? Mungkinkah mereka telah mencari calon untuk anda?

Memang ada tetapi saya beritahu mereka yang saya tidak mahu dijodohkan begitu. Saya ingin cari sendiri jodoh diri saya. Tidak dinafikan perkara itu memang ada terjadi. Kerjaya saya berbeza, jadi saya mahu cari yang betul-betul sesuai dengan diri saya.

Apakah yang Hafiz boleh katakan tentang kisah cinta yang telah anda lalui selama ini?

Saya pernah bercinta dan tidak malu untuk bercakap mengenainya. Selama dua tahun perhubungan itu berlangsung. Namun ketika itu, saya berusia 21 tahun. Saya pernah buat keputusan yang salah kerana gadis itu sudah bersedia seratus peratus untuk bersama saya. Namun, ketika itu saya fikir saya masih muda. Saya tolak dan ia membuatkan saya berfikir semula.

Jadi, adakah Hafiz kini sedang mencari cinta?

Saya memang mempunyai beberapa pilihan. Namun, apa yang saya boleh katakan, dalam jodoh ini, perlu persetujuan kedua-dua belah pihak. Saya boleh buat keputusan untuk berkahwin dengan sesiapa sahaja. Namun, saya hanya berhak 50 peratus sahaja dan selebihnya terpulang kepada pihak wanita itu.

Hafiz telah bercerita kisah cinta dengan ramai gadis. Adakah ia hanya satu propaganda untuk mencipta cerita cinta anda?

Ia sebenarnya kebetulan. Jika saya rasa saya jumpa yang tepat, saya akan beritahu dan juga berterus terang dengan wanita tersebut juga. Dari segi mencipta atau tidak, itu sebenarnya yang terjadi.

Jadi, saya terpaksa hadapi kerana kerja mencari jodoh ini tidak boleh bosan.

Kekurangan saya adalah bergaul. Maka, kini saya mula aktif dalam laman sosial kerana mana tahu, mungkin terjumpa jodoh.

Mungkin kerana Hafiz terlalu terbuka menyebabkan ada yang melihat ia sebagai isu yang disengaja dibangkitkan?

Saya cuma menjawab soalan dan berterus terang. Bagi saya, tiada apa yang perlu disembunyikan. Orang bertanya, saya jawab. Cuma seingat saya, tidak pernah saya dedahkan nama orang kerana dikhuatiri impaknya. Saya pastikan ia dalam keadaan yang selamat.

Boleh ceritakan perkembangan terbaharu Hafiz?

Single terbaharu berjudul Jodoh Berdua yang telah pun ditulis liriknya oleh saya dan digubah oleh Azlan Abu Hasan. Saya cabar diri saya untuk menyanyikan lagu yang digubah oleh orang lain dan ia merupakan genre pop.

Tentang konsert Zikir Terapi Hafiz Hamidun pula, ia bakal berlangsung pada 1 Februari ini di Spice Arena, Pulau Pinang.

Konsert ini mendapat tajaan penuh syarikat Penang International Halal Hub Development Sdn. Bhd. (PIHH).

Tiket adalah percuma dan dibuka sebanyak 7,800 tempat duduk sahaja serta boleh diperoleh pada hari konsert diadakan bermula pukul 6 petang di pintu masuk Spice Arena.

Bersama-sama saya kelak pada konsert tersebut ialah Imam Muda Asyraf, PU Rahmat, Heliza Helmi serta persembahan pembukaan oleh Daqmie dan Halim Ahmad.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved