Khamis, 29 Mei 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Simbol keakraban dua negara

Posted:

Simbol keakraban dua negara

Simbol keakraban dua negara

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

KEHADIRAN beruang panda ini turut menawarkan kelainan kepada Zoo Negara.


KEHADIRAN dua ekor beruang panda yang bernama Fu Wa (jantan) dan Feng Yi (betina) ke Malaysia pada 21 Mei lalu membawa pelbagai pandangan sekali gus mencetuskan polemik dalam negara ini.

Apatah lagi apabila dimaklumkan kos keseluruhan dalam proses peminjaman panda selama sedekad itu mencecah RM60 juta, ia terus disifatkan sebagai satu pembaziran buat negara.

Lantaran itu, terciptalah pelbagai ayat, peribahasa dan kosa kata yang menjadikan panda sebagai sumbernya hasil 'kreativiti' rakyat Malaysia yang melihat perkara itu sebagai sesuatu yang negatif.

Sebaliknya, masyarakat tidak melihat proses itu membawa signifikan terhadap perhubungan diplomatik dua negara antara Malaysia dan China.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, perkara ini yang dinamakan sebagai Diplomasi Panda merupakan satu simbolik sempena sambutan 40 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China yang akan disambut pada 31 Mei 2014.

Hubungan intim

"Hakikatnya, peminjaman dua ekor panda itu mencerminkan keakraban hubungan kedua-dua negara. Ramai yang tidak mengetahui bahawa jarang sekali China ingin meminjamkan beruang panda kepada negara luar kecuali jika negara itu mempunyai hubungan intim dengan China.

"Justeru, selama sedekad panda tersebut berada di Malaysia, ia menggambarkan sedekad keakraban hubungan Malaysia-China. Bagaimanapun, saya fikir lebih baik juga jika Malaysia meminjamkan dua ekor orang hutan kepada China sebagai balasan," ujar Mohd. Azizuddin ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan.

Tambah beliau, kos RM60 juta yang digunakan dalam proses Diplomasi Panda ini akan membazir sekiranya penjagaan panda tidak dilakukan dengan baik dan Malaysia gagal memanfaatkan ketibaan panda ini sebagai tarikan pelancong.

"Namun, sekiranya difikirkan manfaat ekonomi yang akan diperoleh dari hubungan Malaysia-China, sudah tentu berbaloi membawa panda ini. Pada tahun 2012, nilai dagangan Malaysia dengan China berjumlah AS$88 bilion (RM283 bilion)

"Dalam tempoh lima tahun, nilai dagangan itu cuba ditingkatkan sebanyak AS$160 bilion (RM515 bilion). Melalui diplomasi inilah, Malaysia cuba menarik pelaburan China ke dalam negara. Jadi, memikirkan hal ini, maka adalah berbaloi membawa panda ke Malaysia," tegas Mohd. Azizuddin lagi.

Menyentuh tentang kritikan keras dan bertubi-tubi pembangkang, beliau mengakui mereka mempunyai hak dan tidak salah untuk mengkritik. Bagaimanapun, penghujahan bernas perlu dikemukakan oleh kedua-dua pihak yang berasaskan fakta.

"Dalam persoalan Diplomasi Panda ini, ternyata kerajaan bijak menilai manfaat hubungan antara kedua negara. Saya kira langkah kerajaan ini tepat pada masanya yang boleh membawa kemakmuran kepada negara," katanya.


KAKITANGAN Lapangan Terbang Chengdu Shuangliu, China mengangkat panda di dalam sangkar ketika dalam proses penghantaran ke Malaysia.


Perjanjian peminjaman sepasang panda gergasi ini telah dimeterai antara kerajaan Malaysia dengan China Wildlife Conservation Association (CWCA) pada bulan Jun 2012.

Ia merupakan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri ketika menemui Perdana Menteri China, Wen Jiabao sewaktu lawatan beliau ke Nanning, China pada April 2012.

Ironinya, panda adalah haiwan yang sangat dihargai bukan sahaja oleh rakyat China tetapi juga seluruh dunia. Tetapi, pada masa yang sama, hidupan ini turut diancam kepupusan.

Perkara ini diakui oleh Pengarah Treat Every Environment Special (TrEES), Leela Pandikar, iaitu sebuah organisasi bukan kerajaan yang memfokuskan pada aktiviti pemuliharaan alam sekitar.

Jangka hayat

"Seperti hidupan liar di Malaysia, panda juga berhadapan dengan tekanan kehilangan dan perpecahan habitat disebabkan aktiviti pembangunan termasuklah pembinaan jalan, perlombongan, empangan serta penukaran hutan untuk pertanian.

"Aktiviti pemburuan haram dan penuaian buluh juga menjadi satu ancaman besar buat haiwan comel ini," terang Leela melalui e-mel kepada Kosmo!.

Sehubungan itu, antara penyelesaian yang boleh dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini ialah meningkatkan kawasan perlindungan dan kapasiti untuk menguruskan, mencipta koridor hijau untuk menghubungkan habitat panda dan mengehadkan penuaian buluh yang merupakan 99 peratus daripada diet panda.

Sejauh manakah persekitaran di Malaysia sesuai untuk kehidupan panda? Leela menjelaskan, secara umumnya persekitaran semula jadi di negara ini tidak sesuai buat haiwan tersebut.

"Disebabkan itulah, jutaan ringgit telah dibelanjakan untuk membina kompleks panda semata-mata bagi mewujudkan persekitaran yang selesa dan berhawa dingin buat pasangan panda gergasi itu," katanya.

Tambah Leela, panda boleh hidup sehingga mencecah usia 30 tahun dalam kurungan manakala jika hidup di hutan, ia mungkin hidup antara 14 hingga 20 tahun.

"Terdapat banyak faktor yang menentukan jangka hayat panda. Dengan penjagaan habitat dan kesihatan yang baik, saya yakin panda boleh hidup di Malaysia selama 10 tahun lagi.

"Kami berharap, melalui program pendidikan panda di Zoo Negara, Malaysia akan menjadi lebih sensitif terhadap nasib hidupan liar di seluruh dunia dan menjadi lebih aktif dalam pemuliharaan hidupan liar.

"Sama seperti hidupan liar yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan 'kesihatan' hutan, kita juga memainkan peranan yang amat penting dalam memulihara habitat mereka," ungkapnya penuh makna.

Emosi terpendam jururawat

Posted:

Emosi terpendam jururawat

Emosi terpendam jururawat


MASIH ramai golongan muda yang berminat untuk menceburi bidang kejururawatan walaupun tahu liku-liku yang bakal ditempuhi sewaktu bertugas. - Gambar Hiasan


WALAUPUN sambutan Hari Jururawat yang diraikan pada 12 Mei setiap tahun telah berlalu, namun masih belum terlambat untuk kita mengucapkan terima kasih kepada mereka.

Jururawat mungkin bukan pekerjaan yang glamor jika dibandingkan dengan kerjaya doktor atau pramugari. Apabila membayangkan kerjaya ini, ramai yang terlebih dulu membayangkan imej jururawat yang garang.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa mereka perlu bertugas dan berjaga sepanjang malam ketika orang lain sedang tidur nyenyak.

Tatkala orang lain melayan kerenah manusia normal yang gembira, jururawat pula perlu melayan kerenah manusia yang sakit.

Malah, kisah jururawat berhadapan dengan pesakit yang garang dengan bertindak mengherdik dan memarahi mereka mungkin jarang diperkatakan dan disiarkan di media massa.

Perkara tersebut pastinya melibatkan emosi yang teruk. Mereka perlu sentiasa tersenyum sekalipun mungkin tidak menyukai sesetengah perkara. Mereka perlu menahan sebak sekalipun bersedih.

Demi tugasan yang diamanahkan, mereka perlu melakukan yang terbaik kerana ia merupakan satu-satunya cara memulih dan menyelamatkan nyawa orang lain.

Tugas jururawat juga adakalanya sangat sukar untuk dibayangkan. Di sesetengah negara, terdapat jururawat yang perlu bertugas di medan perang. Mereka juga perlu melakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja sekalipun kepada seorang penjenayah.

Ia merupakan salah satu contoh tugasan yang bermain dengan emosi saban hari. Mereka mungkin tidak sempat menjaga keluarga sendiri di rumah tetapi perlu menjaga orang lain di hospital.

Emosi

Sebab itu, tidak adil apabila ada satu gelaran atau label yang tidak baik dikaitkan dengan tugas jururawat. Mereka juga manusia biasa.

Sesekali sekiranya mereka mungkin garang, kemungkinan perkara itu hanyalah dalam sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan.

Kajian-kajian yang dilakukan setakat ini menunjukkan tugas jururawat saban waktu terdedah dengan emosi terpendam. Selain itu, mereka berhadapan dengan kematian orang lain setiap hari.

Sebagai manusia biasa, mereka bersedih apabila ada pesakit yang meninggal dunia dalam penjagaan di hospital.

Ada yang membayangkan diri mereka berada pada tempat keluarga pesakit. Bagaimanapun, pada masa yang sama, mereka juga bertindak sebagai seorang profesional. Menyembunyikan perasaan sebenar yang dialami adalah sebahagian daripada punca tekanan kerja yang teruk.

Kita seharusnya bersikap adil terhadap golongan ini sungguhpun sesekali mendengar berita yang tidak enak berkenaan mereka.

Kajian ahli psikologi Barat, Profesor Sharon Glazer di beberapa buah negara seperti Israel, Itali, United Kingdom, Hungary dan Amerika Syarikat menunjukkan bahawa jururawat menghadapi semua simptom tekanan pekerjaan.

Mereka terdedah dengan beban tugas yang berat, pesakit yang ramai, persekitaran kerja yang tidak menyenangkan dan kebimbangan melakukan kesilapan.

Bahkan mereka juga perlu menahan emosi melihat manusia yang sakit dan berhadapan dengan kematian.

Risiko

Ia bukan pekerjaan yang mampu dilakukan oleh setiap individu. Kajian juga mendapati bidang kejururawatan adalah antara kerja yang terdedah dengan risiko kelesuan, keletihan dan kebimbangan.

Ia merupakan risiko psikologi yang mendedahkan seseorang dengan penyakit fizikal seperti penyakit jantung, darah tinggi dan beberapa penyakit berisiko yang lain.

Jururawat juga dikatakan terdedah dengan pemindahan emosi daripada pesakit. Misalnya, apabila pesakit mengadu mereka mengalami kesakitan, jururawat terlibat juga mungkin akan mengalami kesan yang sama.

Dalam bidang psikologi, ini dinamakan sebagai Kesan Jangkitan (çontagion effect). Sekiranya ia hanya dialami sehari dua, ia mungkin tidak mengapa.

Bayangkan, sekiranya kesan psikologi negatif seperti ini perlu dilalui setiap hari selama sepanjang kerjaya seorang jururawat. Ia merupakan antara kisah hidup yang mungkin jarang diketahui oleh kebanyakan masyarakat.

Jururawat bukan sekadar cuba merawat, menyembuh dan menyelamatkan kita. Adakalanya mereka juga terkorban dalam situasi pekerjaan yang penuh emosi.

Semua ini adalah antara cerita kurang indah yang mungkin jarang dibincangkan. Terima kasih kepada semua jururawat dan kasih sayang yang telah berikan kepada kami.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved