Jumaat, 9 Mei 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Sabah bikin PDRM ‘mandi peluh’

Posted:

Sabah bikin PDRM 'mandi peluh'

Sabah bikin PDRM 'mandi peluh'

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa.lakawa@kosmo.com.my

SOUZA (kanan) bersaing dengan pemain Sabah, Marwan Sayedeh pada aksi Liga Premier di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam tadi.


SABAH mensia-siakan peluang untuk meleburkan rekod tanpa kalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kempen Liga Premier musim ini selepas kedua-dua pasukan sekadar seri 2-2 pada aksi di Stadium Likas malam tadi.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, Sabah ternyata gagal mengekang asakan lawan yang bangkit daripada ketinggalan untuk meledak dua gol termasuk gol penyamaan pada lewat permainan hasil jaringan Rafael Souza.

Dengan keputusan seri itu, PDRM terus melebarkan rekod bersih dalam 15 perlawanan musim ini, sekali gus mengukuhkan cengkaman untuk bergelar juara Liga Premier musim ini.

Skuad kendalian Dollah Salleh itu kekal selaku pendahulu dengan 39 mata hasil 12 kemenangan dan tiga keputusan seri manakala Sabah yang dibimbing Milomir Seslija terus berada dalam kelompok pertengahan liga dengan 17 mata.

Pada aksi malam tadi, Sabahawks bermula garang apabila mengejutkan pasukan pelawat menerusi jaringan pertama penyerang berpengalaman, Zainizam Marjan pada minit ke-28.

Bersambung babak kedua, rentak cemerlang terus dipamerkan Sabah sekalipun beraksi di padang becak apabila giliran bintang import dari Syria, Marwan Sayedeh meledak gol kedua menerusi satu serangan balas.

Tersentak dengan jaringan itu, PDRM bangkit memperkemaskan serangan dan hasilnya, penyerang kebangsaan, Bobby Gonzales tidak mensia-siakan peluang untuk menanduk masuk gol pertama PDRM hasil sepakan percuma.

Jaringan itu ternyata menyemarakkan semangat Sang Saka Biru yang terus melancarkan serangan bagi menambah jaringan.

Ketika perlawanan hanya berbaki satu minit, Rafael Souza muncul penyelamat apabila bintang import PDRM itu bijak memperdayakan penjaga gol Sabah menerusi satu sepakan percuma.

Gergasi Merah pantau Rangel

Posted:

Gergasi Merah pantau Rangel

Gergasi Merah pantau Rangel

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


RANGEL mendapat perhatian Johor DT selepas memperagakan aksi cemerlang musim ini.


PEMINAT serta penyokong setia Selangor mula resah apabila penggempur berbisa Gergasi Merah, Paulo Rangel menyatakan minat menyertai Johor Darul Takzim (Johor DT).

Kenyataan terbuka Rangel itu dilihat seperti tidak menghormati majikannya kerana dia masih mempunyai baki kontrak enam bulan dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Melihatkan situasi tersebut, Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad berkata, pihaknya akan berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terlebih dahulu sebelum memutuskan apa-apa tindakan susulan terhadap pemain kelahiran Brazil itu.

"Pertama, FAS mahu menentukan sama ada dia (Rangel) telah melanggar Kod Tatatertib yang ditetapkan oleh persatuan negeri ini.

"Kami mahu menyiasat terlebih dahulu... saya tidak mahu tergesa-gesa. Mungkin Rangel membuat kenyataan itu dalam bentuk gurauan.

"Kami akan merujuk perkara ini dengan FAM. Kami mahu meminta khidmat nasihat daripada FAM sebelum membuat sebarang tindakan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Terdahulu, Rangel mengakui berminat untuk menyarung jersi Harimau Selatan selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilapor berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Bagaimanapun, Mokhtar mendedahkan, masih tiada tawaran rasmi daripada PBNJ untuk melamar Rangel yang mengikat kontrak setahun dengan FAS pada awal musim ini.

"Sejujurnya, Rangel sangat gembira bersama Selangor. Lagipun, terlalu awal untuk mengatakan mengenai laporan ini yang mana saya percaya, Rangel akan fokus bersama pasukannya," katanya.

Sementara itu, Rangel berkata, dia kini lebih memberi fokus untuk membantu Selangor meraih trofi kejuaraan musim ini.

"Saya masih mempunyai kontrak dengan Selangor sehingga November depan. Jadi saya perlu menghormati kontrak itu.

"Bagi saya, apa yang saya perkatakan ketika ini tidak menjejaskan fokus saya," jelas bekas penyerang Perak itu.

Dua ikon sukan calon tumpuan

Posted:

Dua ikon sukan calon tumpuan

Dua ikon sukan calon tumpuan


IMBAS KEMBALI... Chong Wei (kanan) serta Pandelela masing-masing dinobatkan selaku Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2012.


IKON sukan tersohor negara - Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David menghiasi senarai calon untuk Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2013.

Biarpun memenangi anugerah tersebut beberapa kali sebelum ini, namun pemain No. 1 dunia dalam sukan badminton dan skuasy itu masih memahat nama di persada sukan antarabangsa sepanjang tahun lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh berkata, sebanyak 10 atlet dicalonkan untuk merebut gelaran Olahragawan manakala lapan untuk anugerah Olahragawati Negara.

"Pemilihan calon Olahragawan dan Olahragawati adalah mencabar memandangkan setiap calon telah membuktikan kejayaan masing-masing sepanjang tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2013 di Kuala Lumpur semalam.

Antara calon yang bakal mencabar Chong Wei ialah jaguh bina badan negara, Sazali Samad, Lim Chee Wei (karate), Benjamin Khor (menembak) dan Mohd. Jironi Riduan (olahraga).

Nicol yang memenangi anugerah itu sebanyak lapan kali dalam tempoh 11 tahun, akan dicabar oleh penyandang Pandelela Rinong (terjun), Diana Bong (wusyu), Kelly Tan (golf) dan Casier Renee Kelly Lee (olahraga).

Selain anugerah Olahragawan dan Olahragawati Negara, sembilan lagi anugerah dipertandingkan termasuk pasukan kebangsaan lelaki dan wanita, olahragawan dan olahragawati paralimpik, jurulatih lelaki dan wanita kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.

Jawatankuasa itu dianggotai 20 individu terdiri daripada wakil Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) serta wakil media.

Mengulas mengenai penyertaan persatuan-persatuan sukan kebangsaan dalam anugerah berkenaan, Jamil berkata, hanya 19 daripada 47 buah persatuan dan Majlis Paralimpik Malaysia mengemukakan pencalonan atlet masing-masing.

Beliau berkata, Anugerah TM Team yang dipilih oleh peminat sukan tanah air melalui undian laman sosial, bakal memberikan kelainan kepada anugerah sukan terbesar di negara ini.

Antara kriteria penyertaan anugerah TM Team ialah kesemua atlet adalah calon melainkan mereka (atlet) yang telah tercalon dalam 11 kategori yang dipertandingkan pada anugerah sukan tahunan berkenaan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved