Sabtu, 31 Mei 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


The Red Warriors kempunan

Posted:

The Red Warriors kempunan

The Red Warriors kempunan

PEMAIN Kelantan, Hussien Alaa Salma (dua dari kanan) merembat bola ke pintu gol Felda ketika seri 2-2 pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam malam tadi. Felda United layak ke final Piala FA 2014 menentang Pahang di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 7 Jun depan.


IMPIAN Kelantan untuk melakarkan sejarah baharu menjadi pasukan pertama menjuarai kempen Piala FA buat kali ketiga berturut-turut tidak kesampaian selepas terikat 2-2 dengan Felda United pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam malam tadi.

Keputusan seri itu sudah memadai buat skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim untuk melangkah ke pentas final berdasarkan jaringan di tempat lawan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 5-5.

Dalam aksi malam tadi, Kelantan terlebih dahulu melancarkan beberapa percubaan tepat ke gawang pintu gol Felda.

Namun, dua percubaan tepat yang dilancarkan Khairul Izuan Rosli dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria gagal membolosi gawang Felda yang dikawal Farizal Harun pada minit pertama dan ketiga.

Bagaimanapun, serangan bertali arus itu tidak menjejaskan semangat skuad The Settlers apabila bekas tonggak skuad The Red Warriors, Indra Putra Mahayuddin memberikan kelebihan kepada pasukan tuan rumah apabila meledakkan gol pertama pada minit ke-20.

Kelebihan anak-anak Irfan Bakti hanya bertahan selama lapan minit apabila Khairul Izuan menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang yang gagal didakap kemas Farizal.

Kerancakan perlawanan semakin dirasai apabila penyerang import Kelantan, Francis Forkey Doe meletakkan skuad bimbingan George Boateng di depan pada minit ke-34.

Tersentak dengan jaringan itu, Felda kembali mengatur gerak dan hasilnya, Edward Junior Wilson meletakkan skuad The Settlers di landasan tepat ke pentas final.

Penyerang kelahiran Liberia itu melepaskan satu rembatan yang cukup menarik, sekali gus menewaskan penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat pada masa kecederaan babak pertama.

Pada separuh masa kedua, skuad The Red Warriors menggandakan usaha untuk merobek gawang skuad The Settlers tetapi Farizal berjaya menyelamatkan beberapa percubaan tepat yang dilancarkan Kelantan, sekali gus keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kejayaan itu menyaksikan Felda United muncul sebagai pasukan berstatus kelab kedua yang layak ke pentas final selepas Sime Darby layak ke final sebelum tewas 0-1 kepada Kelantan pada tahun 2011.

Skuad The Settlers membuat penampilan sulung dalam Liga Malaysia (Liga M) dengan menyertai Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun 2007.

Mereka menduduki tempat ketiga dan berjaya menjuarai Liga Premier 2010.

Felda United bakal berentap dengan Pahang yang menewaskan Johor Darul Takzim (Johor DT) 2-1 secara agregat pada aksi final Piala FA 2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Perlis merendah diri

Posted:

Perlis merendah diri

Perlis merendah diri


PEMAIN-PEMAIN Perlis mengawal rapi pemain Sarawak ketika beraksi dalam acara bola sepak pada Sukma 2014 baru-baru ini.


PERLIS mahu dilabel sebagai pasukan underdog apabila membuat perhitungan dengan Perak pada aksi separuh akhir acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) 2014 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis malam ini.

Ketua jurulatih Perlis, Yusri Che Lah berkata, Perak sudah pasti dianggap pasukan pilihan berdasarkan reputasi lawan mereka itu yang juga finalis Sukma 2012 di Pahang.

Bagaimanapun, Yusri tetap mengingatkan anak-anak buahnya tidak terlalu memandang tinggi keupayaan Perak sehingga mampu mengundang padah buat mereka yang dijangka mendapat sokongan padu daripada ribuan penyokong sendiri.

"Kami harus terima hakikat bahawa Perak sebagai pasukan pilihan. Namun, saya tetap yakin kami mampu mencipta kejutan jika para pemain mengikut setiap arahan dan taktikal yang diberikan.

"Jika semuanya berjalan seperti yang dirancang... insya Allah saya percaya Perlis mampu menundukkan Perak seterusnya melangkah ke pentas final. Harapnya doa daripada seluruh rakyat Perlis, kami mampu mengatasi Perak," jelas Yusri kelmarin.

Mengulas persiapan menentang Perak, Yusri mengakui, anak-anak buahnya tidak mendapat rehat yang secukupnya dan situasi tersebut ternyata menjadi kerisauan utama buat bekas pemain kebangsaan itu.

"Secara jujur, memang tidak cukup masa. Tempoh yang ada sekarang agak terhad dan para pemain tidak mendapat rehat yang cukup bagi menghadapi Perak.

"Macam hari ini (kelmarin) para pemain saya terpaksa beraksi hingga masa tambahan (ketika menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada aksi suku akhir). Saya difahamkan, Perak pula menang 2-1 ke atas Wilayah Persekutuan dalam tempoh 90 minit perlawanan.

"Jadi situasi itu yang sedikit membimbangkan saya kerana masalah keletihan para pemain. Namun, saya tetap berharap para pemain dapat beraksi dengan baik ketika menentang Perak nanti," katanya.

Perlis dijangka sekali lagi menyandarkan harapan kepada beberapa pemain utama bagi meranapkan impian Perak mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut.

Antara pemain yang dijangka mendapat kepercayaan Yusri ialah kapten, Wan Zulhilmi Wan Mustaffa, Mohd. Ikmal Ibrahim serta Mohd. Shukor Azmi.

Sementara itu, Kedah sudah mempunyai strategi terbaik bagi menghadapi Johor dalam satu lagi aksi separuh akhir di Stadium Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh petang ini.

"Kami tahu apa kekuatan pasukan lawan dan kami telah mengkaji segala-galanya dengan mendalam kerana mahu memenangi perlawanan separuh akhir.

"Kali terakhir kami mara ke final ialah pada Sukma 2006, jadi pada temasya kali ini kami akan berusaha untuk mengulanginya semula," kata jurulatih Kedah, Mohammad Ramli.

Kedah mara ke saingan separuh akhir selepas membelasah Pulau Pinang 7-1 manakala Johor berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik selepas menyingkirkan penyandang juara, Sabah dengan kemenangan tipis 1-0.

Irfan lebur rekod kebangsaan

Posted:

Irfan lebur rekod kebangsaan

Irfan lebur rekod kebangsaan


IRFAN menjerit kegembiraan selepas memenangi pingat emas dalam acara lempar cakera pada Sukma 2014 semalam.


JAGUH lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin berjaya meleburkan rekod kebangsaan miliknya pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2014 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis semalam.

Lemparan sejauh 54.26 meter yang dilakukan Irfan itu berjaya memadan rekod terdahulu, 53.16m yang dicipta ketika memenangi pingat emas pada temasya Sukan SEA 2013 di Nay Pyi Taw, Myanmar.

Atlet berusia 19 tahun itu ternyata tidak ditandingi apabila Muhammad Ikbal Kamarudin dari Terengganu hanya mampu membuat lemparan sejauh 39.76m dan rakan sepasukan Irfan dari Negeri Sembilan, Muhammad Afifi Najiy Ali dengan 39.71m.

Irfan mengakui tidak menduga kejayaan itu, sebaliknya bertekad untuk cuba memecahkan rekod temasya, 45.89m yang dilakarkan oleh atlet Selangor, Mohd. Hasrolnizam Yaakob pada Sukma 2006 di Kedah.

"Saya memang tidak jangka hendak pecahkan rekod kebangsaan. Sebenarnya saya hendak buat rekod temasya sahaja kerana saya belum bersedia sepenuhnya lagi.

"Tiada apa-apa rahsia (kejayaan perbaharui rekod kebangsaan). Saya cuma berikan tumpuan sepenuhnya semasa sesi latihan dan kekalkan tahap kecergasan saya," katanya kepada pemberita semalam.

Lebih menarik, Irfan menganggap penyertaan dalam bidang olahraga berbanding ragbi diceburinya sebelum ini amat berbaloi.

Biarpun anak didik jurulatih dari Slovakia, Fero Petrovic itu pernah menempa nama dalam sukan ragbi, acara individu lebih menarik minatnya.

"Empat tahun saya dalam sukan ragbi. Saya pernah menjadi pemain terbaik dan bermain dengan pasukan Cobra dan NS Wanderers.

"Bagi saya, memang sangat berbaloi beralih ke bidang olahraga. Bermain secara berpasukan susah sikit berbanding dengan individu," jelasnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved