Selasa, 27 Mei 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Elyas tak terkejut Malaysia kalah

Posted:

Elyas tak terkejut Malaysia kalah

Elyas tak terkejut Malaysia kalah

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

TAN BOON HEONG (depan) dan Hoon Thien How yang digandingkan buat pertama kali pada kempen Piala Thomas baru-baru ini, telah menunjukkan rentak permainan yang terpuji walaupun gagal membantu skuad negara muncul juara kejohanan berprestij itu.


"SEGELINTIR pemain kita tidak dapat mengawal tekanan, akibatnya mereka mudah melakukan kesilapan yang mengundang kepada kekalahan." Demikian pandangan bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Elyas Omar (gambar) semalam.

Menurutnya, kekalahan Malaysia kepada Jepun pada aksi final kejohanan badminton Piala Thomas 2014 Ahad lalu disebabkan kelemahan segelintir pemain yang tidak dapat mengawal tekanan dengan baik.

"Mereka telah mempamerkan aksi yang menakjubkan ketika menumbangkan juara 13 kali, Indonesia pada separuh akhir, namun kecundang 2-3 kepada Jepun yang mencipta sejarah tersendiri menjulang trofi Piala Thomas untuk pertama kali," kata Elyas.

Elyas, 77, yang menjadi Presiden BAM pada tahun 1985 hingga 1993 menjelaskan, Jepun harus dilihat sebagai kuasa baharu terutama selepas kejayaan mereka melahirkan pemain-pemain yang konsisten pada kejohanan edisi ke-28 itu.

"Saya tidak terkejut Malaysia kalah dengan Jepun tetapi saya terkejut apabila Jepun menewaskan China kerana ini bermakna secara senyap-senyap mereka (Jepun) telah berjaya membentuk skuad Piala Thomas yang mantap.

"Pasukan kita juga bagus kerana memiliki semangat berjuang yang tinggi untuk beraksi, cuma mereka lemah mengawal diri, tidak bermain dengan tenang sehingga terlalu mudah hilang konsentrasi yang mengakibatkan mereka melakukan kesilapan mudah.

"Ketika beraksi pada pusingan separuh akhir, mereka bermain tanpa ada rasa risau, tidak kisah menang atau kalah tetapi apabila masuk final mereka macam tidak bersedia untuk melawan Jepun," ujar Elyas yang menerajui BAM ketika skuad negara menjulang Piala Thomas pada tahun 1992.

Jepun ternyata mempunyai persiapan yang lebih rapi untuk muncul juara, malah pemain perseorangan kedua mereka, Kento Momota mengakui kemenangan mereka ke atas China bukan satu perkara yang istimewa.

Sebaik sahaja menewaskan China 3-0, pemain yang berada di ranking ke-14 dunia itu pernah berkata bahawa Jepun mempunyai sasaran yang lebih tinggi iaitu untuk muncul juara pada kejohanan tersebut.

Dalam pada itu, Elyas yang juga merupakan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur yakin bahawa Malaysia masih mampu memberi persembahan baik pada Piala Thomas 2016 sekiranya pemain-pemain yang ada sekarang terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi mereka.

"Saya percaya, kalau mereka (BAM) asuh lagi pemain-pemain ini, mereka pasti boleh bertahan lagi tetapi kemahiran mereka harus terus diperkemaskan.

"Untuk membentuk pasukan baharu dalam tempoh dua tahun mungkin sukar tetapi buat pertukaran beberapa pemain memang boleh dengan syarat memperkemaskan skil dan cara mengawal tekanan.

"Kalau lihat pada aksi final itu, (perseorangan negara) Chong Wei Feng dan Liew Daren terlalu mudah hilang konsentrasi. Mereka juga tidak mempunyai banyak idea ketika beraksi.

"Mereka membuka ruang kepada lawan untuk menyerang dan sukar untuk mengubah corak permainan daripada bertahan kepada menyerang," jelas Elyas lagi.

Pada aksi final itu, Malaysia meraih dua mata menerusi perseorangan pertama, Datuk Lee Chong Wei yang menewaskan Kenichi Tago 21-12, 21-16 dan kemenangan Goh V Shem-Tan Wee Kiong ke atas beregu kedua Jepun, Keigo Sonoda-Takeshi Kamura 19-21, 21-17, 21-12.

Jepun meraih mata menerusi Kenichi Hayakawa-Hiroyuki Endo yang menewaskan Tan Boon Heong-Hoon Thien How 12-21, 21-17, 21-19, Momota mengalahkan Wei Feng 21-15, 21-17 serta kemenangan mata penentuan menerusi Takuma Ueda yang menumpaskan Daren 21-12, 18-21, 21-17.

Kali terakhir Malaysia muncul juara pada kempen Piala Thomas 1992 selepas menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi final di Kuala Lumpur.

Agenda akar umbi jadi keutamaan

Posted:

Agenda akar umbi jadi keutamaan

Agenda akar umbi jadi keutamaan

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my


ADENAN menendang bola sebagai simbolik perasmian padang sintetik Yayasan Sarawak pada majlis perasmiannya di Kuching semalam.


KETIKA agenda pembangunan di peringkat akar umbi dalam sukan bola sepak menjadi agenda nasional, kerajaan Negeri Sarawak menerusi Yayasan Sarawak turut tidak mahu ketinggalan dalam usaha merealisasikan hasrat murni itu.

Menurut Pengarah Yayasan Sarawak, Datuk Mohamad Abu Bakar Marzuki, dalam usaha melahirkan pemain-pemain berkualiti di peringkat akar umbi, mereka harus menyediakan satu fasiliti terbaik bagi kegunaan para pemain berlatih.

Justeru katanya, pembinaan padang sintetik oleh Yayasan Sarawak yang pertama seumpamanya di negeri tersebut adalah bertepatan dengan hasrat melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat pada masa hadapan.

"Saya berharap dengan adanya padang sintetik di padang Yayasan Sarawak ini yang juga padang sintetik pertama di negeri ini, ia mampu memberi 'angin perubahan' dalam sukan bola sepak di negeri Sarawak ini.

"Seperti diketahui umum, padang sintetik ini tahan lasak dan boleh digunakan dalam pelbagai keadaan cuaca.

"Diharapkan padang sintetik ini mampu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh anak-anak muda dengan bermain di atas satu padang berkualiti," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Padang Sintetik Yayasan Sarawak oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem di Jalan Sultan Tengah di Kuching semalam.

Tambah Mohamad Abu Bakar, padang sintetik yang menelan belanja RM900,000 itu siap sepenuhnya pada April lepas dan ia mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

Katanya, kini ia sudah boleh digunakan dan mana-mana pihak yang mahu menggunakannya boleh menghubungi Pejabat Yayasan Sarawak di talian 082-441686 untuk membuat tempahan.

"Setakat ini, pihak kami masih dalam perbincangan berhubung harga yang dikenakan bagi penggunaan padang tersebut namun saya berjanji harganya tidak akan membebankan pengguna dan sangat berpatutan," katanya.

'Seri mengundang padah'

Posted:

'Seri mengundang padah'

'Seri mengundang padah'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


EDWARD Junior Wilson (kiri) akan menjadi sandaran Felda United untuk merobek gawang Kelantan pada aksi separuh akhir kedua, Sabtu ini.


ATAS kertas, keputusan seri tanpa jaringan dilihat sudah memadai buat Felda United mengecewakan juara bertahan, Kelantan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Biarpun kedua-dua pasukan terikat menerusi agregat 3-3, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim kini memiliki kelebihan melakar sejarah mara ke final buat kali pertama berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.

Namun, bukan itu yang menjadi misi utama Irfan setelah berada dalam landasan terbaik mendakap trofi musim ini.

Sebaliknya, beliau menggesa anak-anak buahnya kekal mempamerkan corak permainan menyerang seperti mana aksi pertama di Kota Bharu awal bulan ini.

Ini kerana menurut Irfan, malapetaka bakal menanti skuad kendaliannya jika sekadar mengharapkan keputusan seri tanpa jaringan semata-mata dalam perlawanan kedua itu nanti.

"Kami tidak boleh terlalu bergantung kepada peraturan gol di tempat lawan.

"Ia cukup bahaya terutamanya jika Kelantan berjaya menjaringkan gol awal dalam perlawanan itu kelak.

"Jadi, kami harus memburu gol awal bagi mengelak sebarang tekanan dan tidak boleh semata-mata mengharapkan keputusan seri tanpa jaringan untuk ke final," katanya kepada Kosmo! kelmarin.

Bagaimanapun jelas Irfan, keghairahan menyerang bertali-arus boleh mengundang padah sekiranya benteng pertahanan beliau alpa seperti mana ketika pertemuan pertama di Kota Bharu tempoh hari.

"Kesilapan seperti itu tidak boleh berulang. Kami selesa mendahului tiga gol sebelum membenarkan lawan menyamakan kedudukan.

"Kali ini, pemain harus menebus semula kesilapan itu kerana memilih laluan sukar untuk mara ke final.

"Ini peluang terbaik kami memburu trofi musim ini, jadi saya harap pemain kekal fokus berdepan Kelantan terlebih dahulu sebelum kembali memikirkan saingan Liga Premier selepas ini," katanya.

Pada aksi pertama di Kota Bharu, Edward Junior Wilson, Indra Putra Mahyuddin dan Mohd. Khairul Ismail meletakkan Felda United selesa mendahului tiga gol di depan.

Namun, The Red Warriors kembali bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan Francis Forkey Doe, Ahmad Fakri Saarani dan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria.

Keputusan seri itu sekali gus menghidupkan semula peluang Kelantan mempertahankan trofi Piala FA yang dimenangi mereka musim lalu apabila mengecewakan Johor Darul Takzim di pentas final.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved