Jumaat, 2 Mei 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Malaysia harungi detik cemas

Posted:

Malaysia harungi detik cemas

Malaysia harungi detik cemas

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


BEBERAPA pemain Malaysia meraikan kejayaan menewaskan New Zealand pada aksi suku akhir Cabaran Juara-Juara 1 di Stadium Hoki Indera Mahkota, Kuantan, Pahang semalam.


PENGENDALI Malaysia, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mampu menghela nafas panjang sejurus kejayaan anak-anak buahnya membenam New Zealand pada aksi suku akhir Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 di Stadium Hoki Indera Mahkota, Kuantan semalam.

Kemenangan 3-2 menerusi penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4 dalam pertembungan penuh mendebarkan itu sudah pasti memberikan kelegaan buat Dhaarma Raj.

Apa tidaknya, tatkala kejayaan sudah hampir berada dalam genggaman, anak-anak buah Dhaarma Raj terpaksa bertarung pula pada penentuan pukulan penalti.

Malaysia awalnya selesa mendahului 4-1 sebelum pakar pukulan sudut penalti New Zealand, Andy Hayward meledak hatrik pada babak kedua bagi mengikat kedudukan 4-4 selepas tamat masa sebenar.

Kem Malaysia sekali lagi tertekan apabila New Zealand mendahului 2-0 pada awal penentuan pukulan penalti.

Mujur ketangkasan penjaga gol, S. Kumar serta keupayaan tiga pemain muda - Mohd. Firhan Ashaari, Muhammad Shahril Saabah dan Mohd. Fitri Saari menyudahkan pukulan penalti mengesahkan kemenangan Malaysia.

"Bayangkan perasaan kami yang menduduki ranking ke-13 dunia dan masih lagi bergelut untuk mencapai kedudukan lebih baik sehingga kini, berjaya menewaskan pasukan No. 6 dunia (New Zealand).

"Sudah tentu saya gembira. Ini kerana New Zealand adalah muka-muka biasa yang beraksi dalam Piala Dunia, Sukan Komanwel mahupun Sukan Olimpik. Bagi saya, kejayaan ini adalah satu kejutan besar.

"Sejak mula kejohanan ini, kami memang mahu mengelak bertemu New Zealand sehingga aksi final tetapi saya menganggap tuah memihak kepada kami apabila berjaya menewaskan mereka hari ini (semalam).

"Dengan ketiadaan New Zealand, saya percaya pasukan lain gembira dengan keputusan ini yang mana mereka akan berusaha untuk menjuarai kejohanan kali ini," kata Dhaarma Raj ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dhaarma Raj turut menghamburkan pujian kepada barisan pemainnya yang telah memberikan persembahan cukup bertenaga untuk mengejutkan New Zealand.

"Jika kami melakukan kesilapan, mereka (New Zealand) boleh melakukan tiga atau empat jaringan dalam tempoh 10 minit.

"Walaupun kami mendahului 4-1 tetapi mereka masih boleh mengikat kedudukan 4-4. Namun, saya gembira kerana akhirnya kami berjaya menewaskan mereka menerusi pukulan penalti," katanya.

Tengku Abdullah anggap pertembungan penuh dramatik

Posted:

Tengku Abdullah anggap pertembungan penuh dramatik

Tengku Abdullah anggap pertembungan penuh dramatik


TENGKU ABDULLAH (kanan) mengucapkan tahniah kepada barisan pemain negara selepas tamat perlawanan semalam.


KEJAYAAN membenam New Zealand pada aksi suku akhir Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 semalam membuktikan betapa Malaysia mampu menandingi reputasi pasukan gergasi dunia.

Bagi Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, baginda menyifatkan pertemuan menentang skuad The Black Sticks itu sebagai cukup dramatik dan mendebarkan.

"Kita lihat sendiri bagaimana setelah mendahului 4-1, mereka (New Zealand) kembali semula (bangkit) pada saat-saat akhir dan alhamdulillah... pukulan penalti memihak kepada kita.

"Para pemain kita telah membuktikan mereka seiring dengan pasukan-pasukan lain yang lebih tinggi (kedudukan ranking dunia) daripada kita sekarang.

"Saya rasa (kejayaan) ini telah membuktikan apa-apa kritikan sebelum ini, bagaimanapun ia belum berakhir," kata Tengku Abdullah kepada pemberita sejurus tamat perlawanan semalam.

Tengku Abdullah turut berbangga kerana dapat melihat dengan lebih dekat barisan pemain tempatan berjaya menunjukkan kemampuan mereka menundukkan New Zealand yang tampil selaku pasukan No. 6 dunia.

"Terima kasih juga kepada penyokong-penyokong yang hadir hari ini (semalam) dan ini amat mengagumkan saya.

"Mungkin ada kuasa yang lebih besar membantu kita, itu kuasa Allah," ujar Tengku Abdullah.

Malaysia yang kini menghuni ranking ke-13 dunia, menempah tiket ke separuh akhir setelah menyingkirkan New Zealand 3-2 menerusi penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4.

Pada aksi separuh akhir esok, Malaysia akan membuat perhitungan dengan Kanada yang menewaskan Poland 3-2 dalam satu lagi pertemuan suku akhir semalam.

Tengku Abdullah paling layak

Posted:

Tengku Abdullah paling layak

Tengku Abdullah paling layak

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

TENGKU Abdullah dianggap calon paling layak untuk menerajui barisan kepimpinan FAM.


TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah dilihat lebih berkaliber untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Demikian pandangan ikhlas daripada legenda bola sepak negara, Khalid Ali semalam yang berpendapat FAM akan lebih berdaya saing jika ia diterajui Tengku Abdullah yang kini memegang jawatan Timbalan Presiden badan bola sepak negara itu.

Jelas Khalid, beliau percaya dengan pengalaman yang ada pada Tengku Abdullah bagi membawa FAM ke satu tahap yang lebih tinggi sekali gus membawa kesan positif ke arah pembangunan semula sukan bola sepak negara.

"Andai Tengku Abdullah dilantik sebagai Presiden FAM, saya percaya kekuatan badan induk bola sepak negara itu akan semakin mantap dan lebih berwibawa.

"Seperti yang kita maklum, Tengku Abdullah cukup kaya dengan pengalaman untuk memimpin FAM dan baginda sebenarnya pemimpin yang boleh kita harapkan.

"Mungkin akan berlaku kekurangan sekiranya baginda dilantik untuk menerajui FAM pada penggal pertama ini nanti, tetapi saya yakin keadaan akan berubah pada penggal berikutnya," kata Khalid ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin telah mengesahkan Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdullah serta Tunku Ismail bakal bertanding untuk jawatan Presiden FAM pada Kongres ke-50 FAM, 25 Mei depan.

Pada Kongres sebelum ini, Sultan Ahmad Shah menang tanpa bertanding manakala Tengku Abdullah dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dipilih sebagai Timbalan Presiden.

Bagaimanapun, Annuar digantung selama dua setengah tahun daripada menjawat sebarang jawatan dalam sukan bola sepak selepas didapati melanggar Artikel 88 Statut FAM ekoran kelantangannya mengkritik skuad kebangsaan pada April 2012.

Tengku Abdullah disebut-sebut bakal memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding selepas Sultan Ahmad Shah dikatakan bersedia mengundur diri bagi memberi laluan kepada anakandanya itu.

Pada masa sama, Tunku Ismail pula dilaporkan menarik diri daripada mencabar jawatan No. 1 dalam badan induk bola sepak negara itu kerana mahu memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak di Johor.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved