Jumaat, 2 Mei 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Media asing teruja umpan sotong 'terkena'

Posted:

Media asing teruja umpan sotong 'terkena'

Media asing teruja umpan sotong 'terkena'

Perairan Pulau Chepu, Setiu dan Pulau Kapas, Marang, Terengganu menjadi lokasi Festival Mencandat Sotong Antarabangsa Terengganu.


WANITA ini menunjukkan hasil tangkapan yang diperolehnya.


ALUNAN ombak yang tidak putus membuai ratusan buah bot nelayan terkatung-katung di permukaan lautan.

Tatkala pemandu bot melabuhkan sauh ke dasar laut, bot dinaiki para pengamal media Festival Mencandat Sotong Antarabangsa Terengganu semakin berbuai.

Begitupun, keterujaan jelas terpancar pada riak wajah lebih 200 peserta yang ingin merasai pengalaman mencandat sotong.

Apatah lagi, festival yang bermula pada 11 hingga 17 April lalu di Terengganu itu disertai pengamal media antarabangsa dari pelosok dunia.

Dua perairan iaitu di Pulau Chepu, Setiu dan Pulau Kapas, Marang menjadi destinasi para pengamal media meneroka 'kandang' sotong pada festival ini dalam meraih hasil tangkapan menerusi aktiviti mencandat.

Perjalanan dari Hotel Riyad ke lokasi mencandat sotong tersebut ialah kira-kira 20 kilometer dengan menaiki bot nelayan.

YUAN YUAN bergambar bersama sotong terpanjang yang berjaya dicandatnya.


Keterujaan

Tanpa berselindung, pengamal media Txdiao.com dari China, Sun Yuan Yuan, 23, mengakui, sangat teruja apabila dapat mencandat sotong buat pertama kali dalam kamus hidupnya.

"Ini merupakan kali pertama saya mengunjungi Malaysia dan diberi peluang mencandat sotong di lautan luas.

"Pengalaman ini sangat bermakna apatah lagi saya dapat mencandat sotong sepanjang 41.2 sentimeter (sm)," katanya yang menggunakan umpan tiruan.

Wanita yang berasal dari Wilayah Su Zhou, Kunshan, China itu memberitahu, aktiviti memancing sudah sebati dalam dirinya.

Di China, Yuan Yuan menambah, dia akan menghabiskan masa lapang dengan memancing.

"Bagaimanapun, mencandat sotong memberi pengalaman baharu kerana perlu merentasi lautan sebelum mendapat hasil tangkapan.

"Di China, terdapat tempat khusus yang diwujudkan untuk pemancing. Justeru, saya sangat teruja apabila berkesempatan mencandat sotong," ujarnya.

Yuan Yuan memberitahu, dia mengambil masa selama 20 minit untuk mencandat sotong sepanjang 41.2 sm itu.

Dia yang menyimpan harapan menangkap sekurang-kurangnya seekor sotong berkata, tidak dapat menutur kata-kata apabila dapat mengumpan sotong sepanjang itu.

"Ini kerana, tidak semua peserta yang mencandat pada dua malam itu memperoleh hasil tangkapan. Saya bertuah kerana bukan sahaja menangkap sotong terpanjang tetapi mendapat lapan ekor.

"Semasa berada di lautan, saya juga tidak mabuk laut atau berasa takut kerana terlalu teruja," katanya sambil mengukir senyuman.

Seorang lagi peserta yang merupakan pengamal media pelancongan Iran, Simin Saghafi, 34, memberitahu, dia tertarik dengan festival berkenaan kerana dapat mendekati kehidupan laut terutamanya sotong.

"Pada mulanya, saya berasa janggal kerana tidak mengetahui cara mencandat mahupun mengenali sotong secara dekat.

"Sukar bagi saya untuk melihat kehidupan sotong secara dekat di negara asal, Iran," ujarnya.

Walaupun mabuk laut, Simin menambah, dia tetap bersemangat untuk merasai pengalaman mencandat sotong yang sukar dirasai di negara asalnya.

Katanya, dia juga tertarik dengan keadaan sotong yang berwarna lutsinar ketika ditangkap tetapi bertukar warna apabila berada di daratan.


WALAUPUN ada peserta yang mabuk akibat dilambung ombak, namun aktiviti mencandat sotong ini tetap memberikan pengalaman berharga.


Eksotik Terengganu

Bahkan, wanita yang cukup peramah itu memberitahu, dia sangat bertuah kerana dapat merasai kelazatan sotong masakan Melayu.

"Masakan agak berlainan tetapi ia cukup enak. Pelbagai hidangan dapat dirasai termasuk sotong bakar, ikan bakar dan kuih-muih tempatan.

"Kewujudan festival sebegini mampu menarik pelancong asing terutama negara-negara yang ingin mencuba mencandat atau mendekati hidupan laut ini," ujarnya.

Pengacara Bitacora de Viaje, Alfredo Ugarter Pena, 50, pula menambah, negeri Terengganu mempunyai pelbagai keistimewaan yang boleh ditawarkan kepada para pelancong.

"Festival mencandat sotong ini merupakan sesuatu yang jarang dapat dinikmati para pelancong.

"Para peserta bukan sahaja dapat merasai pengalaman seperti seorang nelayan tempatan tetapi perlu mempunyai kesabaran dalam meraih hasil tangkapan," katanya yang terpaksa menelan pil agar tidak mabuk laut.

Dia yang berasal dari Chile menyifatkan pengalaman itu sangat luar biasa.

Katanya, dia berharap dapat mencandat sotong lagi pada masa terdekat ini kerana ia cukup mencabar dan menguji kesabaran.

Spesies sotong

Sementara itu, Pengarah Pejabat Perikanan Negeri Terengganu Abdul Khalil Abdul Karim berkata, terdapat pelbagai spesies sotong yang terkenal di perairan Terengganu.

"Antara spesies sotong yang berjaya dicandat para peserta termasuk sotong Torak, Jarum, Mengabang dan Ketupat.

"Terdapat perbezaan ketara antara keempat-empat spesies sotong berkenaan, misalnya, sotong Torak lebih panjang berbanding sotong lain," katanya.

Abdul Khalil menambah, sotong Ketupat pula sedikit bulat manakala sotong Mengabang berkepala besar dengan tubuh lebih bulat.

Katanya, spesies Jarum merupakan sotong yang lebih kecil dan halus berbanding yang lain.

"Pada kebiasaannya, bulan April merupakan musim mencandat sotong di negeri Terengganu. Justeru, ia amat sesuai untuk mengadakan festival pada bulan ini.

"Bahkan, sekiranya tekong bot bijak mencari 'kandang' sotong tidak mustahil tangkapan boleh mencecah sehingga lebih 20 kilogram (kg)," katanya.


UGATER PENA (kiri) menyifatkan aktiviti mencandat sotong cukup mencabar.


Promosi Terengganu

Dalam pada itu, wartawan Bernama, Ahmad Fauzan Abdul Kadir, 29, menambah, kedatangan media antarabangsa ke bumi Terengganu dapat mempromosikan negara.

Menurut Ahmad Fauzan, dia dapat berkongsi pengalaman dan maklumat tentang Terengganu bersama para peserta berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafee berkata, festival berkenaan mendapat maklum balas positif daripada peserta. Selain itu, mereka turut dibawa melawat ke pelbagai destinasi pelancongan di negeri itu.

"Selain mencandat sotong, kita juga membawa para pengamal media ke destinasi pelancongan lain seperti Tasik Kenyir, Setiu Wetland, Kelah Sanctuary Sungai Petang, Pulau Redang dan banyak lagi.

"Ia bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mereka terhadap destinasi menarik di negeri ini," katanya.

Mohd. Jidin menambah, ia sekali gus dapat menjadi platform terbaik memperkenalkan negeri Terengganu ke serata dunia menerusi paparan melalui media cetak dan elektronik di negara mereka.

Kemeriahan hari Raja Belanda

Posted:

Kemeriahan hari Raja Belanda

Kemeriahan hari Raja Belanda


RAJA WILLEM dan Permaisuri Maxima kini menjadi ikon baharu dalam sistem beraja di Belanda.


SETIAP tahun pada hujung bulan April, rakyat Belanda akan berpakaian oren iaitu warna kebangsaan negara tersebut, bagi meraikan Hari Raja.

Sambutan yang lebih dikenali sebagai Koningsdag oleh masyarakat tempatan itu, bagi meraikan ulang tahun kelahiran Raja Belanda, Willem Alexander.

Menurut sejarah, sejak tahun 1885 sambutan itu lebih dikenali sebagai Hari Ratu. Ia bagi meraikan, ulang tahun kelahiran Puteri Wilhelmina.

Ketika itu, sambutan tersebut berlangsung pada 31 Ogos setiap tahun. Namun selepas kelahiran anakandanya, Ratu Juliana pada tahun 1948, tarikh sambutan itu telah diubah kepada 30 April.


HARI Raja pertama kali disambut di Belanda setelah 128 tahun menyambut Hari Ratu.


Tarikh tersebut terus kekal, sehinggalah pada tahun lalu apabila Raja Pertama Belanda, Raja Willem Alexander ditabalkan. Kali ini sambutan tersebut diraikan tiga hari lebih awal iaitu pada 27 April.

Dianggarkan hampir satu juta orang berkumpul di Amsterdam untuk sambutan tahun ini dengan pelbagai acara diatur antaranya konsert dan pasar terbuka.

Dalam ucapan Raja Willem Alexande di Amstelveen, bandar bersebelahan Amsterdam, beliau memaklumkan bahawa perubahan terpaksa dilakukan bagi memastikan ia menjadi lebih meriah.


LAUTAN warna oren membanjiri kawasan utama sambutan ini di kebanyakan bandar-bandar utama di Belanda.


Meriah

Pada sambutan kali ini, Raja Willem Alexander dan isterinya, Permaisuri Maxima telah melawat sebuah perkampung indah di De Rijp, 36 kilometer di utara Amsterdam, bersama-sama tiga orang anak perempuan mereka, Ariane, Alexia dan Amalia.

Dalam lawatan tersebut, mereka telah dipertontonkan dengan beberapa aktiviti popular dalam kalangan masyarakat Belanda, antaranya bola sepak, hoki, gimnastik dan menanam bunga.


KETIBAAN keluarga Diraja ini disambut gilang-gemilang oleh penduduk bandar Amstelveen.


Dalam pada itu, di Amsterdam, bot-bot di terusan dipenuhi dengan orang ramai yang ingin bersiar-siar sempena cuti umun, manakala penjual barang perhiasan kaca berniaga di sepanjang kaki lima.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved