Selasa, 13 Mei 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Peninju tempatan tunjuk taring

Posted:

Peninju tempatan tunjuk taring

Peninju tempatan tunjuk taring

BERAT hati Ayung Jumat Lias untuk meninggalkan kerjaya sebagai seorang guru. Selama empat tahun bergelar pendidik di Sekolah Kebangsaan Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah, dia ternyata amat mencintai profesion itu.

Berpeluang menabur bakti kepada anak bangsa di pulau itu merupakan antara pengalaman dan kejayaan yang paling diingati jejaka berketurunan Bajau Samah itu.

Ayung Jumat atau lebih dikenali dengan panggilan AJ dalam kalangan rakan-rakannya mengambil jurusan Bahasa Melayu di Maktab Perguruan Keningau, Sabah. Di sekolah itu, dia mengajar subjek Matematik dan Sejarah.

Namun, setelah berfikir panjang, dia membuat keputusan untuk meninggalkan kerjayanya itu untuk menggapai impian sebagai peninju profesional sukan seni tempur campuran (MMA).

Dia tidak pernah menyesal dengan pilihannya itu. Sebaliknya, lelaki yang kini berusia 39 tahun lebih gembira dengan haluan hidupnya sebagai seorang peninju dan jurulatih sukan MMA di Kota Kinabalu.

"Ia merupakan pilihan saya. Saya ingin berkongsi minat dan pengetahuan kepada masyarakat di Sabah mengenai arena seni mempertahankan diri terutamanya MMA," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Gabungan

Seiring dengan gelaran sukan itu, MMA menggabungkan pelbagai jenis seni mempertahankan diri dalam satu perlawanan. Gusti, tinju, Muay Thai dan jiu jitsu Brazil merupakan antara seni mempertahankan diri yang digunakan dalam sukan itu.

Kemahiran menguasai pelbagai jenis seni bela diri juga memberi kelebihan kepada peninju sewaktu berentap dengan pihak lawan.

Bagaimanapun, peninju tidak dibenarkan memukul bahagian belakang kepala, alat sulit, memijak dan menggigit pihak lawan.

Ayung Jumat bukan satu nama baharu dalam seni mempertahankan diri. Seawal usia tujuh tahun, dia telah melibatkan diri dalam silat olahraga.

Malah, sejak di bangku sekolah, dia telah mewakili sekolah, negeri dan kebangsaan.

Dia mulai serius dengan MMA sejak lima tahun lalu. Sehingga kini, dia telah menyertai lima kejohanan MMA di peringkat antarabangsa.

"MMA merupakan antara seni bela diri yang versatil. Peninju boleh beraksi dengan pelbagai cara sewaktu berlawan asalkan tidak melanggar peraturan.


PERGELUTAN dalam seni bela diri gusti merupakan antara teknik yang digunakan peninju MMA untuk menewaskan lawan di gelanggang.


"Sebelum menyertai perlawanan MMA bersama ONE Fighthing Championship (ONE FC) pada tahun 2010, saya juga aktif menyertai kejohanan jiu jitsu Brazil dan gusti di Filipina, Thailand dan Singapura. Pengalaman itu merupakan bekalan terbaik untuk saya ketika beraksi dalam perlawanan MMA," ujarnya yang merupakan Pengasas Kelab dan Jurulatih Gimnasium Borneo Tribal Squad MMA di Kota Kinabalu.

Ayung Jumat juga merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Sukan dari Universiti Malaya (UM). Ketika di UM, dia mewakili negara dalam sukan ragbi.

Tamat pengajian, Ayung Jumat merantau ke negara asing untuk belajar seni mempertahankan diri. Antaranya, Thailand untuk mempelajari Muay Thai, Kanada (MMA dan gusti), Australia (jiu jitsu Brazil) dan Filipina (tinju).

"Walaupun saya mempelajari pelbagai seni mempertahankan diri, ia bukanlah satu tiket penentu kejayaan seseorang peninju MMA. Sebaliknya, teknik, kekuatan dan latihan yang berterusan amat diperlukan," ujarnya.

Ayung Jumat juga merupakan watak penting yang melatih peninju MMA wanita dari Sabah iaitu Ann Osman, 27, sejak dua tahun lalu.

Latihan itu merupakan persediaan awal kepada pahlawan wanita MMA negara untuk menyertai kejohanan yang dianjurkan ONE FC.

MMA dikategorikan sebagai sukan yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal.

Latihan intensif amat dituntut terutama ketika hendak menyertai perlawanan.

Walaupun peninju itu mempunyai pelbagai kemahiran seni bela diri, sekurang-kurangnya mereka akan menggunakan tiga teknik berbeza dalam setiap perlawanan.

"Setiap kali latihan, saya sering menitikberatkan tiga faktor utama iaitu serangan, pergelutan dan kekuatan fizikal. Teknik dalam seni mempertahankan diri Muay Thai, jiu jitsu Brazil dan gusti menjadi kegemaran saya ketika berdepan pihak lawan kerana ia meliputi tiga faktor utama itu.

"Setiap rutin dalam MMA merangkumi variasi seni mempertahankan diri. Setiap perlawanan MMA juga memerlukan strategi untuk menumpaskan lawan. Dengan fizikal yang besar, saya lebih selesa berlawan menggunakan teknik gusti iaitu pergelutan di kawasan lantai gelanggang," ujarnya ketika ditemui.


LATIHAN intensif mengikut jadual yang ditetapkan merupakan rutin yang dijalankan oleh Khairul Anuar dua bulan sebelum menyertai kejohanan.


Tewas

Pernah beberapa kali tewas dalam kejohanan MMA anjuran ONE FC, Ayung Jumat yang lebih dikenali dengan gelaran AJ Pyro Lias Mansor sebagai nama pentasnya tidak pernah patah semangat dan ia merupakan proses pembelajaran terbaik buatnya.

Paling manis, dia berjaya memenangi kategori Juara Featherweight Kebangsaan anjuran ONE FC November tahun lalu apabila menumpaskan Melvin Yeoh yang juga dari Malaysia.

Kejayaan itu merupakan antara pencapaian terbaiknya dalam arena sukan MMA. Ekoran itu, Ayung Jumat telah mengumumkan di atas gelanggang untuk menghadiahkan wang kemenangan kepada mangsa Taufan Haiyan di Filipina.

"Tanpa berfikir panjang, saya ingin berbakti kepada mereka. Ketika itu, Filipina sedang dilanda Taufan Haiyan. Pengumuman tersebut telah menarik minat stesen televisyen ABS-CBN News dari negara itu untuk membawa saya melihat keadaan mangsa taufan di Filipina.

"Saya tiba di Filipina pada hari ke-10 selepas tragedi itu berlaku. Saya dapat melihat mayat-mayat bergelimpangan di jalanan. Namun, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menghulurkan bantuan secara terus kepada mangsa yang selamat," jelasnya menganggap pengalaman tersebut sebagai paling bermakna sepanjang bergelar peninju MMA.

Ayung Jumat bakal beraksi dalam kejohanan MMA ONE FC yang bertemakan Rise Of Heroes di Manila, Filipina pada bulan ini.

Dalam setiap kejohanan MMA, sebanyak tiga set pertarungan akan dipertandingkan dalam setiap perlawanan. Peninju akan bertarung selama lima minit dalam setiap set.

Kiraan mata dan kemenangan sesebuah perlawanan pula bergantung kepada undian daripada tiga orang juri profesional yang dilantik ketika perlawanan.

Seorang lagi jaguh MMA negara, Khairul Anuar Rusli, 27, merupakan antara peserta yang menggalas cabaran di peringkat antarabangsa.

Dia yang dikenali dengan panggilan Saiful Merican terlibat dalam sukan Muay Thai sejak berumur 11 tahun. Bekalan dalam Muay Thai yang ada pada anak jati Setiu, Terengganu itu dipertajamkan lagi setelah serius dalam MMA.

Menurut pemilik gimnasium Merican Muay Thai Gym itu, kariernya sebagai seorang peninju MMA bermula apabila dia mendapat tawaran bernaung di bawah pengurusan ONE FC pada Januari tahun lalu.

Bimbingan

Walaupun mempunyai pengalaman selama 15 tahun dalam Muay Thai, Khairul Anuar kurang memahami rentak perlawanan MMA ketika masih berada di peringkat awal.

"Pada perlawanan pertama saya bersama ONE FC, saya kurang memahami teknik untuk berlawan dan hanya bergantung kepada Muay Thai. Saya mendapatkan bimbingan daripada jurulatih yang sesuai ketika persediaan untuk menghadapi perlawanan kedua pada Jun tahun lalu," jelasnya yang kini telah empat kali menyertai kejohanan MMA ONE FC.

AYUNG JUMAT (kanan) dan Khairul Anuar sentiasa bersedia berdepan dengan lawan dalam setiap kejohanan.


Dia yang menduduki ranking pertama dalam kategori Flyweight ONE FC memberitahu, faktor utama dia mencuba arena sukan MMA ialah mencabar kemampuan diri dalam melakukan sesuatu yang baharu.

Khairul Anuar sering menanamkan sifat hormat kepada pihak lawan dan tidak sesekali melanggar peraturan kejohanan.

Sesi latihan baginya amat penting untuk kecergasan stamina terutama dalam persediaan untuk menyertai kejohanan ONE FC.

"Kebiasaannya, saya membahagikan tiga waktu sesi latihan. Pada waktu pagi, saya akan menumpukan seni mempertahankan diri Muay Thai. Sebelah petang pula, saya akan berlawan dengan teknik Muay Thai dalam MMA manakala pada malamnya, sesi latihan jiu jitsu Brazil.

"Sebelum menyertai kejohanan, pelbagai aspek perlu dititikberatkan selain sesi latihan. Berat badan yang ideal juga menentukan kategori perlawanan yang bakal disertai. Kebiasaannya saya akan mengamalkan diet ideal untuk mencecah berat badan 57 kilogram untuk kategori Flyweight," ujarnya ketika ditemui Kosmo! di gimnasium miliknya baru-baru ini.

Selain ONE FC, kerjaya Khairul Anuar diuruskan oleh isterinya, Dzianti Merican.

Aksi MMA bertaraf dunia

Posted:

Aksi MMA bertaraf dunia

Aksi MMA bertaraf dunia


KHAIRUL ANUAR mengibarkan Jalur Gemilang sebaik sahaja diumumkan sebagai pemenang kategori Flyweight.


SENI tempur campuran (MMA) bukanlah satu cabang baharu dalam arena sukan tempatan. Penganjuran pertandingan dan kejohanan bertaraf antarabangsa giat dianjurkan untuk memberi gambaran jelas mengenai aspek teknikal dan perlawanan dalam sukan tersebut.

Sehubungan itu, ONE Fighting Championship (ONE FC) sekali lagi menganjurkan perlawanan MMA yang melibatkan 18 peninju ternama antarabangsa termasuk dari Malaysia di ibu negara baru-baru ini.

Tampil dengan tema War Of Nation, kejohanan yang berlangsung di Stadium Negara membabitkan sembilan perlawanan MMA dalam lima kategori berbeza itu padat dengan aksi hebat buat tatapan para peminat.

Paling manis, dua wakil negara iaitu Saiful Merican (kategori Flyweight) dan Peter Davis (Lightweight) berjaya menumpaskan lawan masing-masing dalam perlawanan tiga set.

Musuh ketat

Walaupun menerima enam jahitan di dahi akibat terkena siku lawan, Saiful ternyata berpuas hati kerana berjaya menewaskan musuh ketatnya dari Kemboja itu.

"Saya pernah tewas di tangan Khim Dima dalam kejohanan ONE FC sebelum ini. Persiapan selama dua bulan untuk menyertai kejohanan di tanah air ini amat berbaloi kerana saya berjaya menumpaskan jaguh Muay Thai itu.

"Saya dan Khim Dima mempunyai latar belakang seni bela diri yang sama. Sepanjang tiga set perlawanan, saya lebih banyak menggunakan taktik dan teknik jiu jitsu Brazil dan gusti untuk mengajak dia bergelut di lantai. Ternyata percaturan saya berhasil," ujarnya ketika ditemui Kosmo! selepas tamat perlawanan.

Perlawanan tumpuan dalam kejohanan ONE FC-War Of Nation ialah pertarungan peninju dari Amerika Syarikat (AS) iaitu Brock Larson dengan Nobutatsu Suzuki (Jepun) menerusi kategori Welterweight.

Larson merupakan antara yang disebut-sebut akan memenangi kategori tersebut. Namun, kesungguhan peninju Jepun itu berjaya meleburkan penguasaan peserta Barat itu menerusi undian sebulat suara daripada pihak juri.

Dahi yang berdarah tidak menghalang Khairul Anuar (kiri) untuk menewaskan Khim.


Perlawanan kategori Featherweight yang menemukan dua jaguh, Harris Sarmeino (AS) menentang Herbert Burns (Brazil) juga mendapat sokongan padu daripada penonton.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut hadir menyaksikan kejohanan itu dan menyokong peninju tempatan yang bertanding.

Hasrat dan harapan penonton untuk menyaksikan satu-satunya peninju MMA wanita negara, Ann Osman dalam kategori Strawweight berkecai apabila lawannya Sherilyn Lim dari Singapura terpaksa disingkirkan sebelum perlawanan.

Menurut laporan, berat badan Sherilyn melebihi had yang ditetapkan dalam kategori tersebut iaitu 47 hingga 52 kilogram (kg). Ketika sesi penimbangan berat sehari sebelum perlawanan, berat badan Sherilyn melebihi 3kg sekali gus menyebabkan dia tersingkir daripada kejohanan tersebut.

Kekecewaan jelas kelihatan pada raut wajah Ann sewaktu ditemui pihak media.

"Saya telah membuat persediaan 200 peratus untuk perlawanan ini. Namun, pembatalan perlawanan ini amat mengecewakan saya dan tenaga pelatih. Buat masa sekarang, saya membuat latihan seperti biasa untuk persediaan kejohanan MMA ONE FC seterusnya," ujarnya ringkas.

Teknik

Sementara itu, Peter yang berjaya menumpaskan lawannya Waqar Umar (Pakistan) juga membuktikan peninju MMA tempatan mampu bersaing dan memberi cabaran di peringkat antarabangsa.

Ciri-ciri fizikal Peter yang jauh lebih tinggi daripada pihak lawan juga merupakan kelebihan jejaka kacukan Cina-Inggeris itu.

"Muay Thai merupakan teknik utama saya guna ketika dalam perlawanan. Saya juga menghayunkan kaki dan tangan tanpa henti ke arah lawan untuk menjatuhkannya ke lantai. Namun, teknik pergelutan juga menjadi kunci utama untuk menewaskan Waqar.

"Sokongan penonton di Stadium Negara juga memberi semangat untuk saya menewaskan lawan. Saya berharap dapat berlawan dengan Waqar dalam kejohanan MMA ONE FC seterusnya," ujar Peter. - MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved