Jumaat, 16 Mei 2014

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Macan teruskan survival Porsche

Posted:

Macan teruskan survival Porsche

Macan teruskan survival Porsche

Oleh SHAWKATH AZDE

PENGELUAR kereta sport terkemuka Jerman, Porsche mengejutkan industri automotif global pada bulan Jun 1998 dengan keputusan untuk membangunkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu. Keputusan luar biasa itu menjadi detik yang mencetuskan reaksi berbeza dalam kalangan peminat setia, kumpulan fanatik dan pengguna baharu jenama berkenaan.

Empat tahun kemudiannya, Porsche tampil dengan SUV itu yang dinamakan sebagai Cayenne. Model dalam kategori crossover SUV itu dihasilkan menerusi usaha sama dengan Volkswagen Group dengan tujuan untuk menjimatkan kos pembangunan jentera premium tersebut. Porsche Cayenne berkongsi casis denagn model Volkswagen Touareg dan Audi Q7.

Bagi peminat fanatik Porsche, mereka rasa kecewa dengan langkah itu kerana ia ibarat menurunkan darjat jenama yang mereka agung-agungkan selama ini. Ketidakpuasan hati itu melarat sehingga kepada forum-forum permotoran dalam talian seperti forum.reenlist.com.

Kekecohan itu berjaya menarik perhatian beberapa institusi pengajian tinggi untuk menjalankan kajian kes terhadap Porsche, Cayenne dan kelompok pengguna. Hasil kajian itu melaporkan bahawa ada segelintir peminat fanatik Porsche bertikam lidah dengan para pemilik Cayenne. Malah mereka juga tidak mahu mengiktiraf para pembeli Cayenne sebagai sebahagian daripada komuniti pemilik kereta Porsche.

Daripada sudut pengurusan Porsche pula, mereka merasakan langkah memperkenalkan model SUV adalah wajar kerana syarikat perlu mempelbagaikan sumber perolehan dan tidak boleh bergantung harap pendapatan dengan aktiviti menjual kereta sport semata-mata.


RUANG kokpit Macan sarat dengan pelbagai butang khususnya pada bahagian konsol tengah.


Pada masa sama, pasaran terbesar Porsche iaitu Amerika Syarikat sudah menunjukkan trend permintaan tinggi bagi model-model SUV. Keyakinan itu diperkukuhkan lagi apabila pelanggan di negara Uncle Sam itu mula menyokong pembelian beberapa model SUV pesaing lain seperti Mercedes-Benz M-Class dan BMW X5.

Malaysia bakal terima Macan

Keputusan Porsche sememangnya tepat dan membuahkan hasil apabila Cayenne berjaya meraih sambutan memberangsangkan daripada pasaran global. Saban tahun, jualan model Cayenne mula meningkat dan akhirnya menjadi produk paling laris dalam portfolio perniagaan Porsche. Mujur Porsche tidak melutut kepada kehendak peminat-peminat fanatiknya.

Ekoran respons positif itu, ia menjadi pemangkin kepada Porsche untuk merangka strategi baharu bagi mempelbagaikan segmen SUV. Kali ini, pengeluar yang beribu pejabat di Stuttgart, Jerman itu memutuskan untuk melancarkan sebuah SUV kompak dengan kod nama Cajun (bermaksud Cayenne Junior). Kod nama Cajun akhirnya bertukar kepada Macan.

Itulah SUV kompak yang dinanti-nantikan selama ini. Untuk makluman, nama Macan berasal daripada Bahasa Indonesia yang membawa maksud harimau. Debut antarabangsa model itu berlangsung sempena Pameran Auto Los Angeles tahun lalu.

Sama strategi seperti Cayenne dan Audi Q7, Macan juga berkongsi platform dan beberapa komponen dengan model Audi Q5. Bagaimanapun, Porsche bijak mengubah persepsi pengguna apabila mengaplikasi hampir 70 peratus komponen berlainan sebagai justifikasi bagi membezakannya dengan Audi Q5.

Untuk pasaran Malaysia, pengimport rasmi jenama Porsche iaitu Sime Darby Auto Performance (SDAP) sudah mengumumkan keputusan untuk membawa masuk empat varian SUV kompak premium iaitu Macan, Macan S, Macan Diesel dan Macan Turbo selewat-lewatnya Ogos ini. Harga yang disyorkan tidaklah begitu mahal iaitu RM450,000 sehingga RM780,000 sebuah.


JURUSOLEK memastikan setiap model yang dihasilkan diberi perhatian khusus bagi memelihara kepercayaan orang ramai terhadap produk premium Porsche.


Laluan semakin mencabar

Sungguhpun begitu, tag harga itu pasti membuatkan pembeli baharu berfikir seketika seandainya mereka ada meneliti produk SUV jenama antarabangsa lain seperti Range Rover Evoque, BMW X3 dan Audi Q5. Bagaimanapun, setiap model ada kelebihan masing-masing dan soal harga adakala tidak mendatang sebarang kesan kepada mereka yang mementingkan imej serta jenama sesuatu produk.

Porsche perlu bersiap sedia kerana segmen SUV premium bakal meriah dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Ada beberapa pengeluar kenderaan mewah sedang bersiap sedia untuk melancarkan SUV premium masing-masing.

Bentley sudah mengumumkan hasrat melancarkan model SUV paling berkuasa dalam tempoh dua tahun akan datang. Pengeluar kenderaan ikonik Britain, Rolls-Royce pula sedang meneliti rancangan untuk menghasilkan sebuah SUV.

Di Itali, Lamborghini masih menunggu lampu hijau daripada syarikat prinsipalnya, Volkswagen Group untuk menjayakan produksi model SUV. Pesaing senegaranya, Maserati pula sedang menghintung hari untuk melancarkan SUV crossover mewahnya iaitu Levante. Jaguar di bawah pemilikan Tata Motors pula sudah menayangkan model konsep SUV C-X17 sebelum ini.

Kemunculan produk-produk baharu membawa satu kesan positif kepada pengguna. Mereka ada pilihan lebih luas dan pengeluar-pengeluar perlu bersaing sesama sendiri untuk menonjolkan kehebatan masing-masing demi menambat hati pembeli. Akhir kata, hidup mati sesebuah produk itu bergantung kepada sambutan pengguna.

Jentera kembara jimat minyak

Posted:

Jentera kembara jimat minyak

Jentera kembara jimat minyak

Oleh SHAWKATH AZDE


BAGI penunggang baru yang ingin memiliki sebuah motosikal kembara, mungkin CB500X adalah jawapan yang dicari.


TREND pembelian motosikal kembara berkapasiti sederhana bagi kegunaan harian dan aktiviti tunggangan jarak jauh pada hujung minggu menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Senario itu dipacu oleh dua faktor utama yakni kemudahan pinjaman pembelian daripada pelbagai institusi kewangan tempatan dan pengeluar motosikal menawarkan produk yang lebih mampu milik.

Maka tidak hairanlah jika anda kerap terserempak dengan model-model kembara popular seperti Kawasaki Versys di merata tempat.

Perkembangan itu pasti dihidu pengeluar-pengeluar motosikal lain dan mereka sudah pasti mahu mengaut untung daripada segmen yang kian berkembang. Tidak terkecuali menyertai saingan ialah Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda) menerusi model CB500X.

Honda CB 500X ialah jentera kembara dalam siri CB500. Dua lagi varian siri berkenaan ialah CBR500R (sport) dan CB500F (naked). Sebenarnya, ketiga-tiga motosikal itu menggunakan casis dan unit enjin yang sama. Malah jurutera Honda tidak memberikan sebarang talaan berbeza untuk model-model berkenaan.

Mesra penunggang

Biarpun begitu, Honda CB500X tetap memiliki beberapa ciri yang menyesuaikannya bagi aktiviti kembara bermotosikal dan mempunyai personaliti mesra khas untuk mereka yang ingin menaik taraf jentera sedia ada.

Sejurus sahaja melabuhkan punggung atas pelana dan memegang hendal, ergonomik binaan CB500X membentuk postur kedudukan badan agar sedikit tegap dalam keadaan yang cukup selesa. Anda tidak perlu mengambil masa lama untuk serasi dengan motosikal ini.


INSTRUMEN meter mempamerkan informasi lengkap berserta maklumat semasa tunggang.


Kelembutan klac boleh dirasai apabila menarik tuil untuk menukar gear. Begitu juga dengan respons pendikit sewaktu perahan. Kombinasi tiga komponen itu memudahkan pengguna baharu mengendalikan tunggangan.

Sebagai penunggang amatur, penulis cukup berpuas hati dengan prestasi enjin CB500F kerana membekalkan kuasa dan tarikan tork lancar pada takat pusingan enjin rendah untuk tunggangan kasual dalam kawasan bandar mahupun di lebuh raya.

Pelana CB500X yang sedikit tinggi membantu penunggang mendapat pandangan yang lebih meluas manakala hendal motosikal yang lebar membolehkan kawalan yang lebih baik. Kelebihan itu memudahkan pengemudian motosikal dalam kesesakan lalu lintas.

Sistem ABS

Kadar kekerasan sistem fork hadapan dan suspensi menggalas tugas baik dalam mengekalkan keseimbangan dan menyerap permukaan jalan tidak rata sekali gus membolehkan penunggang merasai kombinasi tunggangan kembara dan sport.

Keyakinan tunggangan diperkukuhkan dengan adanya sistem brek antikunci yang diadun pada bahagian cakera hadapan hadapan dan belakang. Sistem itu membantu penunggang membrek dengan keadaan lebih selamat.

Sepanjang tunggangan kira-kira 1,500 kilometer di laluan lebuh raya dan kawasan dalam bandar, aspek penggunaan minyak petrol pada CB500X harus diberi pujian. Catatan terbaik dikecapi penulis ialah 29 kilometer bagi setiap liter petrol. Memang berbaloi dimiliki bagi anda yang kerap kembara dan ingin jimat belanja.

VGM perkenalkan Jetta CKD

Posted:

VGM perkenalkan Jetta CKD

VGM perkenalkan Jetta CKD

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR


VOLKSWAGEN Jetta merupakan sebuah sedan dengan rekaan yang unik dengan kombinasi moden dan klasik.


VOLKSWAGEN Group Malaysia (VGM) telah melancarkan Jetta yang merupakan model keempat yang dipasang di negara ini (CKD).

Sejak diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2011, Jetta telah menjadi salah satu model Volkswagen yang paling popular dan antara sedan pertengahan yang terbaik di pasaran Malaysia.

Volkswagen Jetta adalah tafsiran reka bentuk moden dan sporty pada gaya badan yang klasik. Model ini mula diperkenalkan pada tahun 1979, Jetta popular dengan watak yang sangat tersendiri serta gaya yang unik dengan reka bentuk yang tulen.

Model CKD ini menggunakan enjin suntikan terus 1.4 liter TSI dengan transmisi tujuh kelajuan automatik DSG mampu memberikan kuasa maksimum 160PS dan tork maksimum 240Nm.

Volkswagen mendakwa Jetta mampu memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 8.3 saat dan kelajuan maksimum yang dicatatkan ialah 221 km/j.

Penggunaan bahan apinya dicatatkan 6.0 liter untuk 100 kilometer menjadikan model ini dalam satu aras cekap bahan api.

Menurut Pengarah Urusan VGM, Christoph Aringer, Jetta menawarkan pemacu aspirasi dengan kobinasi sport, elegan dan keselamatan dengan tahap penggunaan bahan api yang efisien.


ANTARA aksesori yang dipertingkatkan daripada varian diimport sepenuhnya ialah sistem audio Jetta ini.


"Model CKD ini memberi petunjuk terbaru komitmen kami untuk menawarkan pilihan kenderaan yang lebih murah untuk rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan kualiti dan jaminan yang datang dengan kenderaan kejuruteraan Jerman," katanya.

Tambahnya, Jetta yang diimport sepenuhnya diperkenalkan pada tahun 2011 adalah penyumbang utama kepada kejayaan Volkswagen di negara ini.

"Kami amat yakin jualan Jetta akan lebih meningkat pada masa akan datang selepas model itu dipasang dalam negara serta lebih kompetitif berbanding sebelum ini," tambahnya.

Jetta ini dipasang dengan radio RCD320 baru dengan pilihan sambungan pelbagai seperti Bluetooth, SD- kad slot, USB, iPod dan AUX -In. Ia juga hadir dengan enam speaker.

Antara ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada model ini seperti enam beg udara keselamatan, Kestabilan Kawalan Elektronik (ESC) dengan Sistem Anti-lock Braking (ABS) dan Brake Assist (BA) dan hill-hold control serta sensor hujan.

Model ini ditawarkan dalam empat pilihan warna seperti putih, kelabu, perak dan hitam dengan tanda harga RM130,888 di Semenanjung Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai Volkswagen Jetta, sila layari laman web www.volkswagen.com.my.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved