Rabu, 7 Mei 2014

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Hutan tumpuan warga kota

Posted:

Hutan tumpuan warga kota

Hutan tumpuan warga kota

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK

TERLETAK kira-kira 30 kilometer dari Kuala Lumpur, Sungai Tua di Hutan Simpan Hulu Gombak, Selangor sering menjadi tumpuan warga kota untuk bersantai sambil mandi-manda bersama keluarga pada setiap hujung minggu.

Di hutan simpan tersebut, terdapat tiga kawasan rekreasi awam yang dibangunkan di sepanjang aliran Sungai Tua iaitu Hutan Lipur Sungai Tua, Perkelahan Sungai Tua dan Air Terjun Sungai Tua.

Tiga destinasi rekreasi berkenaan berada dalam kawasan Taman Warisan Negeri Selangor meliputi Hutan Simpan Hulu Gombak yang mula dibangunkan sebagai destinasi santai kira-kira 10 tahun lalu.

Untuk sampai ke Sungai Tua, pengunjung boleh mengambil laluan dari Kuala Lumpur menuju Genting Highlands, Pahang melalui Empangan Batu dan Batang Kali di Jalan Kampung Sungai Tua.

Menurut pengunjung, Rahmat Sazali, 27, keadaan hulu Sungai Tua yang masih terpelihara daripada pencemaran menjadikan ia sebagai lokasi selesa untuk mengisi cuti hujung minggu bersama keluarga.

"Ramai orang suka tempat ini kerana air dan persekitarannya lebih bersih kalau hendak dibandingkan dengan hutan lipur lain yang ada di Lembah Klang.

"Penduduk Lembah Klang juga tidak perlu pergi ke tempat lebih jauh untuk mencari lokasi berehat segar dan nyaman seperti ini," kata penjawat awam tersebut semasa ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Kekayaan sumber tumbuhan liar yang kebanyakan terdiri daripada spesies balak menjadikan udara di sekitar hutan simpan tersebut sentiasa nyaman dan amat sesuai untuk pengunjung berkeluarga.

Selain persekitaran dan air yang bersih, kepelbagaian sumber hutan turut menjadi daya tarikan utama kepada pengunjung yang ingin lari daripada pencemaran di kawasan bandar.


KEMUDAHAN beribadah seperti surau juga tidak jauh dari tempat mandi.


Kepelbagaian sumber alam semula jadi seperti tumbuhan balak daripada jenis dipterokarpa bukit banyak didapati di sekitar hutan Sungai Tua.

Di samping kepelbagaian tumbuhan itu yang boleh mencapai saiz balak apabila matang, terdapat juga kepelbagaian sumber herba yang boleh dijadikan ubat-ubatan.

Sumber hutan

Dalam pada itu, Mohd. Hafiz Ali, 39, pula berkata, kekayaan tumbuhan semula jadi yang terdapat di hutan berkenaan memberi keselesaan kepada pengunjung.

"Sepanjang minggu kita hidup dalam keadaan udara bandar yang kurang bersih, terperangkap kesesakan jalan raya dan jarang sekali dapat menikmati alam sekitar.

"Apabila meluangkan masa hujung minggu di sungai dan hutan ini, ia memberi peluang untuk berehat dengan lebih baik bersama keluarga," kata beliau.

Mohd. Hafiz menambah, kawasan rekreasi tersebut juga dibangunkan secara sederhana tanpa merosakkan sumber alam semula jadi yang terdapat di hutan berkenaan.

Selain membina akses kemudahan untuk mandi seperti tangga menuju ke sungai dan bilik persalinan, hutan lipur di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia tersebut turut menyediakan kawasan perkhemahan.

Lebih menarik, tapak perkhemahan untuk pengunjung juga berada tidak jauh daripada tebing sungai serta kawasan menyalakan unggun api di hutan lipur tersebut.

Malah, kemudahan awam lain seperti surau, pondok rehat, gerai makan, tandas, kedai menjual pelampung serta pakaian mandi turut disediakan.

Tempat mandi berdekatan

"Orang ramai boleh mandi di sini dengan selesa kerana tempat ini tidak pernah sesak. Musim cuti sekolah pun tidak terlalu sesak.

"Kalau tempat ini sesak sekalipun, ada dua lagi tempat mandi yang tidak jauh dari sini," ujar atendan parkir kenderaan di Hutan Lipur Sungai Tua, Adi Warsono, 37.


GERAI menjual makanan serta pakaian mandi di Perkelahan Sungai Tua.


Lokasi Hutan Rekreasi Sungai Tua misalnya terletak kira-kira 18 kilometer dari Batu Caves, Selangor.

Diikuti Perkelahan Sungai Tua yang terletak kira-kira satu kilometer dari Hutan Rekreasi Sungai Tua di laluan menuju Batang Kali dan Genting Highlands.

Manakala Air Terjun Sungai Tua pula terletak kira-kira enam kilometer dari Perkelahan Sungai Tua di laluan yang sama.

Dalam pada itu, Adi menambah, hanya kira-kira 60 hingga 80 buah kereta milik pengunjung memenuhi ruang meletak kenderaan pada setiap minggu.

"Paling banyak pun hanya cecah maksimum 100 buah kereta pada musim cuti sekolah dan ia masih belum menjadikan tempat ini terlalu sesak," kata Adi.

Tambah Adi, hutan rekreasi tersebut bagaimanapun ditutup sepanjang Isnin hingga Jumaat bagi membolehkan kerja pembersihan dan pemuliharaan dijalankan.

Selain mandi dan berkelah, para pengunjung juga boleh memasuki hutan melalui laluan yang disediakan.

Bagaimanapun, mereka wajar mendapat nasihat daripada renjer Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia bagi mengelak tersesat.

Misi tawan Gunung Rinjani

Posted:

Misi tawan Gunung Rinjani

Misi tawan Gunung Rinjani

Oleh AZHARI SUHAIMI


KEPUASAN terserlah di wajah ahli-ahli Kura-Kura Hikers setelah berjaya menawan Gunung Rinjani yang juga puncak ketiga tertinggi di Indonesia.


MENDEPANI cabaran Gunung Rinjani, Pulau Lombok, Indonesia bukan sesuatu yang boleh dipandang enteng, apatah lagi mengetahui atmosfera kawasan pergunungan itu mempunyai tiga keadaan muka bumi yang berbeza.

Para pendaki akan melalui padang savanah yang terbentang luas dengan cuaca terik, mendaki tanah tinggi dengan kesejukan sehingga ke tulang dan mengharungi hutan tropika penuh dengan misteri alam sepanjang pendakian.

Justeru, kumpulan pendaki yang menggelar diri sebagai Kura-Kura Hikers telah mula membuat persiapan untuk mendaki gunung yang mencapai ketinggian 3,726 meter itu sejak setahun lalu bagi mencapai matlamat Misi Rinjani Dream itu.

Nama kura-kura menjadi pilihan kerana sifat haiwan tersebut yang berjalan perlahan tetapi berhati-hati. Kisah legenda perlumbaan kura-kura dengan arnab juga menjadi inspirasi kumpulan ini.

Dengan ahli seramai 10 orang, ia misi pertama Kura-Kura Hikers untuk pendakian di luar negara. Ekspedisi ini mendapat tajaan daripada GZ ONE Multibiztech, Chesterfield Ara Damansara dan Tropical Idea.

Kura-Kura Hikers tekad mahu membuktikan mereka mampu mencapai impian seperti pendaki yang lain untuk menawan puncak gunung ketiga tertinggi di Indonesia.

Penyelaras program, Azhari Suhami berkata, misi selama tiga hari itu amat menitikberatkan persiapan dan keperluan termasuk faktor keselamatan pendaki.

Katanya, faktor kepantasan bukan perkara utama kerana apa yang penting ialah semangat kerjasama sepasukan dan misi untuk menawan puncak.

"Kami kerap berlatih mendaki bukit sekitar Lembah Klang selain masing-masing pernah mendaki gunung-gunung di Semenanjung seperti Kinabalu, Tahan, Nuang, Korbu dan Angsi," ujarnya.

Tarikh 4 April yang lalu, misi mendaki bermula seawal pukul 7.30 pagi dengan memilih laluan Sembalun menerusi pintu masuk Taman Nasional Sembalun. Pendaki tiba sehari sebelumnya dan bermalam Homestay di Desa Sembalun.


PEMANDANGAN indah dari puncak Gunung Rinjani yang sukar digambarkan dengan kata-kata.


Hari pertama pendakian, ahli kumpulan menuju ke Pelawangan Sembalun untuk berkhemah di lokasi tersebut sebelum mendaki ke puncak gunung. Mereka melalui trek yang terkenal dalam kalangan pendaki dengan gelaran Bukit Penyesalan atau Tanjakan Penyesalan.

Difahamkan, melalui cerita yang dikongsi oleh pendaki lain, ada pendaki yang berputus asa dan mahu kembali semula ke tanah rendah kerana tidak tahan dengan laluan tersebut.

Angin kencang

Cabaran hari pertama tidak berakhir di situ. Ketika berkhemah, kumpulan tersebut dilanda angin kencang sehingga hampir menyebabkan khemah yang menjadi tempat berlindung diterbangkan angin.

Kebimbangan timbul sekiranya cuaca buruk berterusan kerana misi pendakian perlu dibatalkan.

Pendakian hari kedua pula melalui bentuk muka bumi yang terdiri daripada pasir dan batu kerikil. Ketika ini, fokus 100 peratus perlu diberikan dalam setiap pergerakan dan langkah yang diatur bagi mengelakkan sebarang kecederaan pada kaki.

Cuaca sejuk mencecah kurang dari 0 darjah celcius dan oksigen yang nipis tanpa sedar boleh mengundang padah kepada pendaki yang tidak biasa dengan situasi tersebut.

Sindrom tanah tinggi seperti mudah letih, sukar bernafas dan mengantuk menghantui pendaki yang tidak bersedia untuk berdepan dengan cabaran itu.

Bagaimanapun, kesemua ahli kumpulan Kura-Kura Hikers berjaya sampai ke puncak tanpa menghadapi sebarang masalah serius.

Hari ketiga diteruskan untuk menuruni gunung tersebut sebelum keluar mengikut Lingkaran Senaru dan tiba kira-kira pukul 8 malam.

Gunung ini juga terkenal dengan pemandangan saujana mata memandang. Bagi penggemar fotografi, pasti banyak landskap dengan sudut-sudut yang menarik boleh dirakam sepuas-puasnya.

Untuk penggila selfie juga seperti ahli kumpulan ini, masing-masing tidak melepaskan peluang keemasan untuk merakamkan momen indah dalam hidup mereka ketika misi pendakian berjalan.

Saat manis untuk kumpulan ini bukan sahaja ketika berjaya menawan puncak gunung, mereka turut berpeluang untuk menunaikan tuntutan solat waktu secara berjemaah selepas selesai hari pertama pendakian.

Kiblat menghadap Tasik Rinjani yang dihamparkan pemandangan hijau seluas saujana mata memandang membuatkan ahli-ahli kumpulan kami bersyukur diberi kesihatan yang baik serta kekuatan untuk menyempurnakan misi tersebut.


MELIHAT proses menghasilkan benang secara tradisional di Sasak Village, Lombok.


Selain aktiviti pendakian, Kura-Kura Hikers turut memanfaatkan eksplorasi dengan berkunjung ke destinasi pelancongan sekitar Lombok.

Kami berkunjung ke Sasak Village untuk melampiaskan nafsu membeli-belah dengan membeli kain songket hasil tenungan tangan.

Melancong

Masing-masing mengambil peluang untuk melihat sendiri kaedah pembuatan benang secara tradisional termasuk proses menenun.

Rumah adat di lokasi tersebut turut menjadi tumpuan memaparkan sejarah etnik Sasak yang merupakan penduduk terawal kawasan tersebut.

Kumpulan tersebut turut singgah ke Pulau Gili Trawangan untuk melakukan aktiviti menyelam bagi menghabiskan waktu yang ada sebelum berlepas pulang ke tanah air.

Gili mempunyai tiga pulau yang terletak berhampiran antara satu sama lain iaitu Gili Trawangan yang paling besar, Gili Meno dan Gili Air.

Ketiga-tiga pulau ini adalah pusat bagi mereka yang suka dengan aktiviti menyelam serta bersantai di pantai yang panjang.

Apa yang pasti, Misi Rinjani Dream ini akan menjadi titik tolak kepada Kura-Kura Hikers untuk menawan puncak yang lebih tinggi dan mencabar selepas ini.

Antara projek pendakian luar negara yang dirancang ialah Gunung Snow di Taipei, Taiwan dan juga Gunung Semeru yang juga merupakan sebuah gunung berapi di Indonesia.

Namun, kami menanam azam untuk menawan puncak Gunung Kilimanjaro di Tanzania yang merupakan antara tujuh puncak tertinggi di dunia.

Memori indah kota London

Posted:

Memori indah kota London

Memori indah kota London

Oleh AHMAD ISYAFIQ MAD DESA


MEMEGANG jawatan sebagai CEO membuatkan Ahmad Zaki (tiga dari kiri) jarang bersama keluarga.


MEMEGANG jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Felda D'Saji Sdn. Bhd. (Felda D'Saji) menuntut Ahmad Zaki Abdullah untuk komited dalam tugasannya.

Jadual kerja rasminya bermula pada hari Isnin hingga Jumaat tetapi sering bertugas Sabtu dan Ahad menyebabkan kualiti masa bersama keluarga dan isteri tercinta, Juriah Mohsin, 50, amat terhad.

Lawatan kerja ke kota London pada akhir tahun lalu menyebabkan Ahmad Zaki tekad membawa isteri menemaninya walaupun sibuk dengan tugasan sepanjang lima hari berada di negara itu.

Kosmo!: Apakah pendapat anda mengenai London?

AHMAD ZAKI: London merupakan sebuah kota yang amat sibuk tetapi romantik. Sekiranya pasangan mahu berbulan madu ke Eropah, London perlu berada dalam senarai lawatan mereka.

Saya sendiri gembira bersama isteri sepanjang berada di London. Maklum sahaja hanya berjalan berdua, umpama pasangan baru bercinta (selorohnya).

Di manakah lokasi menarik yang anda lawati?

Oleh kerana saya berada di sana atas lawatan kerja, maka kami tidak sempat untuk berjalan di kota raya itu.

Bagaimanapun, kami sempat meluangkan masa melihat pemandangan di sekitar Eye London dan perkhidmatan kapal persiaran merentas Sungai Thames.

Selain itu, suasana malam di London sudah cukup membuatkan kami terpesona walaupun ia tiada jauh bezanya dengan kerdipan cahaya di bandar raya Kuala Lumpur.

AHMAD ZAKI menganggap kunjungannya ke kota London umpama bulan madu kedua bersama isteri.


Sepanjang lima hari berada di London, di mana lokasi penginapan anda?

Kami menginap di Apartmen Berperkhidmatan Grand Plaza. Ia juga merupakan apartmen milik Felda Investment Corp. (FIC) UK Properties yang mula beroperasi secara rasmi pada 22 September tahun lalu.

Mudahnya berurusan dengan penginapan ini kerana 75 peratus urusan sewaan dilakukan dalam talian.

Isteri juga suka menginap di apartmen ini kerana dilengkapi dengan kemudahan memasak dan mencuci, sesuai untuk penginapan jangka panjang.

Sudah pasti anda dan isteri mempunyai hidangan istimewa yang menjadi kegemaran sepanjang berada di London.

Malu pula rasanya mahu bercerita mengenai juadah. Pasti terlintas di fiki- ran saudara, kami menjamu makanan ala Barat seperti spageti, bolognese hampir setiap hari (gelak sinis).

Jujurnya, saya dan isteri gagal membuang 'lidah Melayu' kerana tetap memilih restoran masakan Malaysia yang ada di London.

Tambahan pula, ketika itu cuaca di London hampir kepada musim sejuk. Jadi, makanan pedas lebih kena dengan tekak kami selain membantu penghasilan haba dalam tubuh badan.

Restoran yang saya kunjungi ialah Restoran Tukdin.

Kota London dikenali dunia sebagai lokasi membeli-belah label antarabangsa dan mewah. Adakah anda berkunjung ke tempat tersebut?

Berdasarkan maklumat daripada mereka yang berpengalaman, kami membeli barangan berjenama mewah pada harga murah di Bicester Village.

Bicester Village merupakan sebuah perkampungan beli-belah yang menempatkan butik-butik terkenal seperti Calvin Klein, Cerruti, Bally, Dunhill, Christian Dior dan seumpamanya. Menariknya, barangan di sini dijual pada harga yang lebih rendah kerana dibawa terus dari kilang.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved