Selasa, 29 April 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Syurga makanan hidupan marin

Posted:

Syurga makanan hidupan marin

Syurga makanan hidupan marin

KAPAL yang dikemudi terumbang-ambing. Sesekali perasaan bagai disentak tatkala ombak bak setinggi langit menembusi ruangan dek.

Jelas kedengaran deruman ngauman angin yang disulami gumpalan ombak ganas tanpa henti menunjukkan ekstremnya sebuah lautan yang ketiga terbesar di dunia itu.

Pandangan yang ada pada ketika itu hanyalah warna kebiruan langit dan ombak yang menjadi pemisah antara kapal.

Demikian keadaan sebuah kapal ketika merentasi Lautan Hindi berdasarkan sebuah klip video berdurasi kira-kira lima minit di laman perkongsian video YouTube.

Diketahui sebagai lautan tanpa daratan, Lautan Hindi merupakan lautan ketiga terbesar dengan keluasan kira-kira 73.5 juta kilometer (km) persegi meliputi sekitar 20 peratus permukaan air di muka bumi.

Pada bahagian utara ia disempadani selatan Asia; di barat oleh Semenanjung Arab dan Afrika; di timur oleh Semenanjung Malaysia, Indonesia, dan Australia serta Antartika di sebelah selatan.

Kedalaman pula mencecah sehingga 3,000 meter tidak termasuk jurang yang terdapat di Lautan Hindi digelar sebagai trench yang mempunyai kedalaman sehingga 8,000 meter.

Pengarah Pusat Penyelidikan Sains Maklumat Geospatial, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr. Shattri Mansor berkata, bukan sahaja permukaan lautannya yang ganas, topografi dasar selatan Lautan Hindi juga tiada bezanya.

"Dasar selatan Lautan Hindi mempunyai jurang kedalaman yang tinggi. Keadaan geografi di selatan Lautan Hindi sangat terpencil dan jauh dari daratan menyebabkan lokasi itu jarang sama sekali menjadi laluan kapal.

"Jika kita lihat dalam peta, pelabuhan yang paling dekat dengan kedudukan 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi ialah Perth, Australia," katanya.


KENDERAAN dalam air autonomi (AUV), Bluefin-21 yang digunakan dalam misi mencari kotak hitam pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi.


Bagaimanapun jarak antara Perth, Australia ke selatan Lautan Hindi mencecah hampir 2,000km dan memakan masa selama beberapa hari bagi kapal dengan kelajuan yang terhad.

Shattri memberitahu, terdapat lebih 10 satelit yang digunakan untuk mencerap sebarang jenis objek di selatan Lautan Hindi.

Ujarnya, berhadapan dengan lautan yang sentiasa mengganas, satelit adalah langkah awal untuk mengumpulkan data dan maklumat mengenai Lautan Hindi.

"Satelit mempunyai kemampuan untuk mencerap objek pada permukaan laut dan mengenalpasti objek di dasarnya melalui analisis spektra signal yang diterima.

"Kita boleh menggunakan dua jenis satelit untuk mengenalpasti keadaan laut dan mengesan objek yang terdapat di permukaan laut.

"Dua jenis satelit tersebut ialah satelit komunikasi (Inmarsat) dan satelit penderiaan jauh (Worldview-2, Pleaides, TerraSar-X)," katanya.

Katanya, setiap satelit tersebut dilengkapi kamera dan sensor beresolusi tinggi yang berkemampuan mengesan objek sehalus 50 sentimeter di permukaan laut.

Jika satelit dapat mengesan sebarang objek di permukaan laut, langkah seterusnya adalah untuk menganalisis maklumat yang diterima dan membahagikannya kepada udara, air dan metal

"Bagaimanapun analisis melalui satelit ini tidak mudah kerana cuaca di Lautan Hindi yang tidak menentu.

"Jika satelit gagal mengenal pasti imej pada permukaan laut, kaedah cerapan menggunakan kapal terbang yang mempunyai sensor khusus boleh digunakan.

"Satelit yang menggunakan sensor radar akan memancarkan signal dan menembusi udara dan awan. Ketika tiba di permukaan air, ia akan memantulkan semula signal untuk dianalisis," katanya.

Namun Shattri menjelaskan, keupayaan analisis tersebut agak rumit berikutan keadaan cuaca di Lautan Hindi yang ekstrem selain ketinggian ombak mampu mencecah lebih tiga meter.

"Kemampuan sensor satelit hanya dapat mengesan objek di dalam air sedalam 40 meter hingga 50 meter dengan syarat permukaan air tenang.

"Jika keadaan permukaan air tidak tenang dan sentiasa berombak, analisis signal yang dicerap semakin rumit," katanya.


KEADAAN laut yang ganas dan angin yang kencang membuatkan kapal tidak melalui selatan Lautan Hindi.


Di sebalik keganasan selatan Lautan Hindi ia menyimpan nutrien yang tinggi untuk hidupan laut di dasar lautan yang mencecah kira-kira 8,000 meter itu.

Pensyarah Program Sains Laut, Prof. Dr. Che Abd Rahim Mohamed berkata, selatan Lautan Hindi adalah syurga makanan bagi hidupan laut kerana kadar produktiviti primer marin adalah tinggi dan bersempadan dengan laut selatan dengan kadar produktiviti lebih 250 gC/m2/yr.

"Unsur nutrien yang tinggi ini juga dibawa dari Lautan dalam Atlantik Utara ke Lautan Atlantik Lautan Hindi dan Lautan Pasifik. Ia menyebabkan kadar produktiviti primer marin akan tinggi dan secara tidak langsung kehidupan marin atau organisma biologi di kawasan berkenaan menjadi kaya," kata pensyarah Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Menurut beliau organisma marin di selatan Lautan Hindi terbahagi kepada dua kumpulan utama iaitu hidupan marin normal seperti plankton, ikan, penyu, paus, jerung di kawasan zon cahaya dan organisma marin adaptasi seperti humpback anglerfish atau black devil (Melanocetus johnsoni), Sloane's viperfish atau dragonfish (hauliodus sloani), di kawasan zon tanpa cahaya dengan kedalaman lebih 250 meter.

"Lazimnya organisma marin normal akan hidup pada kedalaman sehingga 250 meter kerana organisma ini bergantung kepada cahaya matahari untuk meneruskan hidup.

"Organisma marin adaptasi juga berada pada kedalaman melebihi 3,000 meter," jelasnya yang turut memberitahu Lautan India merupakan laluan migrasi hidupan laut.

Topografi dan kedalaman selatan Lautan Hindi juga berbeza. Sebuah jurang iaitu Diamantina Trench sedalam 8, 000 meter merupakan jurang maut di lautan itu.

Beliau berkata, jurang tersebut terhasil mengikut permatang lautan.


SHATTRI sedang menunjukkan lokasi cerapan satelit di Lautan Hindi.


Che Abd. Rahim juga memberitahu, terdapat aktiviti perikanan di laut tersebut berikutan kemampuan satelit memaparkan imej sampah dan peralatan menangkap ikan di kawasan Lautan Hindi.

"Jika tiada aktiviti menangkap ikan, sudah tentu satelit tidak mampu merakam sebarang imej sampah atau peralatan menangkap ikan. Tetapi mereka mungkin menggunakan pancing long-lining.

"Ia bermakna aktiviti memancing menggunakan tali yang panjang sebagai tali utama dengan puluhan bahkan ratusan mata pancing yang lebih pendek," ujarnya.

Setiap tahun, selatan Lautan Hindi akan menjadi laluan empat arus iaitu arus South Equatorial yang bergerak sepanjang tahun, arus North Equatorial, West Australia, Antartic Circumpolar yang bergerak sepanjang bulan November hingga Mac selain Indian Ocean gyres.

Che Abd Rahim berkata, arus Antartic Circumpolar adalah arus terbesar di dunia. Arus yang kuat ini berada di permukaan lautan sehinggalah ke dasar 4000 meter.

"Setiap arus ini akan menyebabkan topografi pada dasar laut berubah setiap masa. Arus pada dasar pula membawa selut dan menolak apa sahaja yang berada pada laluannya.

"Keadaan dasar Laut India mempunyai jurang antara dasar dengan kedalaman yang berbeza-beza, " ujarnya.

Tambahnya, topografi di selatan Lautan Hindi mempunyai kedalaman yang berbeza-beza dan tidak sekata berbanding laut yang berdekatan Semenanjung Malaysia.

Buruh kanak-kanak Mumbai

Posted:

Buruh kanak-kanak Mumbai

Buruh kanak-kanak Mumbai


AKSI Barsati semasa melakukan persembahan di khalayak ramai di kota raya Mumbai.


MEMEGANG sebatang buluh panjang yang diwarnakan dan bekas gangsa diletakkan atas kepala sebagai pengimbang, Barsati, 9, meniti tali tegang sepanjang 1.83 meter merentangi jalan raya di Mumbai, India.

Persembahannya kadangkala berbeza, ada ketika dia meniti tanpa memakai kasut dan sesekali berjengket. Namun, ibu saudaranya sentiasa mengetuk gendang bagi menarik perhatian orang ramai setiap kali Barsati melakukan aksi itu.

Orang awam dan pelancong pula mengambil kesempatan untuk merakam aksi kanak-kanak itu menggunakan kamera telefon bimbit serta memasukkan wang ke dalam bekas yang diletakkan di kaki lima.

Walaupun ramai kagum dengan aksinya yang sangat terlatih, Barsati sebenarnya semakin jarang ke sekolah sejak mula melakukan aksi itu seawal umur lima tahun.

"Saya suka melakukan pekerjaan ini. Kami dapat duit daripada orang ramai," kata Barsati semasa berhenti berehat selepas melakukan aksi di jalan raya Mumbai.

Bapa saudara Barsati, Chotu Nath, 20-an, memberitahu, ibu dan neneknya juga melakukan pekerjaan yang sama sewaktu muda.

"Berjalan di atas tali tegang sudah menjadi pekerjaan tradisi keluarga kami. Anak-anak kami juga tidak pernah terjatuh semasa melakukan aksi itu kerana sudah mempelajarinya sejak kecil," kata Chotu.

Tidak ke sekolah

Semasa beraksi, Barsati diberi sokongan oleh saudara-mara yang menemaninya. Adiknya pula, Rajababu mengenakan misai palsu dan kadangkala berjalan mengutip wang daripada penonton.

Ketika itu juga kelihatan sepupu Barsati yang masih bayi sedang tidur di atas riba ibu saudaranya di kaki lima.

"Saya dan isteri mahu bayi lelaki kami pergi ke sekolah apabila besar nanti," kata Chotu.

Sepanjang melakukan pekerjaan itu, Barsati bagaimanapun hanya hadir ke sekolah selama beberapa minggu dalam tempoh setahun terutama apabila tidak boleh meneruskan aksi tersebut ketika musim hujan.


GENDANG dipalu bagi menarik perhatian orang ramai di kaki lima menghulurkan wang dalam setiap persembahan yang dilakukan Barsati.


Ketika cuaca baik, Barsati lebih suka melakukan pekerjaan itu seperti biasa bagi mendapatkan wang untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Kemahiran yang dimiliki Barsati membolehkan dia memperoleh RM81.50 hingga RM100 sehari untuk perbelanjaan keluarganya.

Namun, pendapatan yang dianggap lumayan menerusi pekerjaan di kaki lima itu menyebabkan dia tiada masa untuk hadir ke sekolah.

Selepas selesai melakukan aksi, Barsati menghabiskan masa selama dua setengah jam menaiki kereta api pulang ke rumah ibu bapanya yang bekerja sebagai buruh kasar di kawasan setinggan di pinggir bandar Mumbai.

Barsati merupakan salah seorang daripada 28 juta kanak-kanak di India yang menjadi buruh bawah umur mengikut perangkaan oleh Tabung Pendidikan Kanak-kanak Sedunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF).

Akta Hak Pendidikan 2009 hanya mewajibkan kanak-kanak mengikuti sesi persekolahan di India antara umur enam hingga 14 tahun.

"Undang-undang sedia ada turut melarang pengambilan buruh bawah umur melibatkan jenis pekerjaan berbahaya, tetapi ia tidak dikuat kuasa dengan berkesan.

"Punca asas yang menyebabkan semua ini berlaku ialah kejahilan terhadap kepentingan pendidikan dan tanggapan anak bawah umur perlu bekerja untuk membantu keluarga yang miskin," kata Ketua Suruhanjaya Perlindungan Hak Asasi Kanak-kanak Kebangsaan India, Kushal Singh.

Disebabkan kejahilan itu, ramai kanak-kanak diminta bekerja oleh keluarga mereka. Menurut UNICEF, seramai lapan juta kanak-kanak tidak hadir ke sekolah dan lebih 80 juta lagi tercicir sebelum menamatkan persekolahan.

Kushal menambah, sikap golongan miskin di India yang menyuruh anak-anak bawah umur bekerja semakin berubah, namun masih terdapat banyak perubahan wajar dilakukan terhadap minda ibu bapa serta agensi penguatkuasaan.

SALAH satu aksi Barsati meletakkan bekas air di atas kepala dan bergerak menggunakan rim besi.


Hidup merempat

"Mereka (penguat kuasa) melihat kanak-kanak sebagai tanggungjawab ibu bapa. Kita masih belum dapat menentukan hak-hak dan tanggungjawab masyarakat terhadap kanak-kanak," kata Kushal yang melancarkan kempen Dari Jalanan Kembali Ke Sekolah bermula awal Mac lalu.

Kesedaran untuk membawa buruh kanak-kanak kembali ke sekolah mula tercetus selepas tragedi serangan ganas kumpulan bersenjata di selatan Mumbai pada 2008.

Kaji selidik dijalankan Action Aid India (AAI) bersama Institut Sains Sosial Tata pada tahun lalu mendapati, 37,059 buruh kanak-kanak hidup merempat di pinggir jalan.

Pengurus AAI di Mumbai, Nirja Bhatnagar berkata, masalah buruh kanak-kanak akan kekal selagi sistem saluran kebajikan terhadap golongan miskin di negara itu tidak dinaik taraf meliputi bantuan perumahan, kesihatan dan khidmat kebersihan.

"Ketika ini, kita tidak mempunyai cukup persediaan untuk membantu keluarga yang mengalami kesempitan. Jika apa-apa berlaku, mereka (golongan miskin) perlu menyelamatkan diri mereka sendiri," kata Nirja.

"Bilangan kanak-kanak merempat di jalanan tidak pernah berkurangan," ujar Pengerusi Amanah Salaam Baalak Mumbai, Zarin Gupta yang ditubuhkan untuk memperjuangkan kebajikan kanak-kanak jalanan.

Wanita itu percaya, ibu bapa daripada golongan miskin di negara berkenaan akan terus menyuruh anak-anak mereka yang masih bawah umur bekerja akibat desakan perbelanjaan. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved