Isnin, 28 April 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Fizz - Almy bersatu akhirnya

Posted:

Fizz - Almy bersatu akhirnya

Fizz - Almy bersatu akhirnya

HANYA air mata yang dapat merungkai epilog cinta pasangan pelakon Almy Nadia, 28, dan Fizz Fairuz, 34, selepas kedua-dua mereka sah bergelar suami isteri pada Sabtu lalu.

Masjid Balik Pulau, Pulau Pinang menjadi lokasi penyatuan cinta bagi pemilik nama sebenar Almy Nadia Aminuddin Shah dengan Mohd. Firuz Zainol setelah mereka selamat diijab kabul dengan sekali lafaz.

Kira-kira 100 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua mempelai dan sahabat handal turut menyerikan majlis akad nikah yang berlangsung di masjid berkenaan kira-kira pukul 5 petang.

Dengan ucapan taklik yang dilafazkan kedua-dua mempelai itu menandakan telah berakhirnya bibit-bibit hitam yang pernah melanda pasangan ini suatu masa dahulu. Ia sekali gus mencipta fasa baharu dalam perjalanan hidup Almy dan Fizz di samping mencari kebahagiaan dalam menyatukan hubungan sebagai pasangan suami isteri.

Pasangan pengantin yang mengenakan busana berwarna biru tirus telah dinikahkan oleh Pendaftar Kanan Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Negeri Pulau Pinang, Norzli Mat sambil disaksikan keluarga kedua-dua mempelai.

Biarpun kelihatan serba ringkas, namun dengan kehadiran sekumpulan pengiring yang membawa masuk dulang hantaran kedua-dua mempelai ternyata membangkitkan suasana meriah majlis.

PASANGAN ini sebenarnya sudah sembilan tahun menjalinkan hubungan cinta.


Air mata

Pada majlis pernikahan itu juga, Almy menerima wang hantaran sebanyak RM20,000 berserta mas kahwin RM1,001 dan sembilan dulang barangan hantaran dan membalas 11 dulang barangan hantaran.

Antara hantaran yang diterima pengantin lelaki termasuklah komputer tablet i-pad, jam tangan, senaskhah al-Quran, set pewangi badan, kasut dan kek fondant.

Barangan hantaran yang diterima mempelai perempuan pula termasuklah seutas gelang tangan emas dan rantai mutiara, beg tangan, alat solek, kek, al-Quran dan sejadah.

Sejurus majlis selesai, Almy yang merupakan anak kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang itu dilihat tidak dapat menahan kesedihan tatkala menerima kucupan pertama Fizz di dahinya.

Ketika ditemui, pelakon filem Dunia Baru The Movie itu memberitahu, perkahwinannya dan Fizz akhirnya menjadi realiti adalah hasil berkat doa dan kesabarannya sepanjang menempuh alam percintaan selama lapan tahun.

"Saya berasa lega sebab segala susah payah dan dugaan yang ditempuh selama ini berakhir dengan penyatuan perkahwinan.

"Syukur Alhamdulillah, sabar adalah paling kuat dalam diri saya sepanjang mengharungi pelbagai kontroversi, naik dan turun, sebelum dan selepas akhirnya kami berdua sampai ke jinjang pelamin.

"Sudah lapan tahun kami menjalinkan hubungan percintaan dan tahun ini masuk tahun ke-sembilan.

"Doa kami ke alam baharu akhirnya membawa kenyataan," kata Almy dalam sebak sambil ditenteramkan Fizz.


MERIAH... Pengiring kedua-dua pasangan mempelai bersama barangan hantaran masing-masing.


Bulan madu

Dalam meniti kehidupan baharu bersama Fizz, Almy hanya mampu memanjatkan doa semoga segala urusan rumah tangga dan hubungan yang dibina mereka berdua mendapat restu Yang Maha Esa.

Wanita bertubuh genit itu turut meminta agar kebahagiaan yang dikecapi dapat dikekalkan sepanjang hayat, sekali gus berpeluang merasai kenikmatan hidup bersama.

"Saya juga meminta semua orang terus berdoa agar perhubungan kami berjalan dengan lancar. Selepas ini, saya dan Fizz berada di alam baharu, doa yang terbaik untuk kami berdua," jelasnya.

Mengenai aktiviti seni, kedua-dua mereka akan terus bergiat aktif dalam lakonan drama biarpun masing-masing sudah mempunyai komitmen.

Ujar Almy lagi, dia dan Fizz akan menjalankan penggambaran bagi slot Samarinda menerusi drama Cerita Cinta Kita yang bakal ditayangkan di saluran TV3.

"Kami tetap tidak akan meninggalkan aktiviti seni. Dua tiga hari selepas majlis akad nikah ini kami akan mengikuti penggambaran drama tersebut.

"Saya yakin, kami dapat membahagikan masa kerja dengan rumah tangga dengan sebaik-baiknya," jelasnya yang mengikat tali pertunangan dengan Fizz pada 22 Oktober lalu.

Sementara itu, mengenai percutian bulan madu, Fizz mencelah, kedua-dua mereka merancang untuk bercuti ke satu lokasi yang belum ditetapkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, Julai nanti.

Ujar Fizz, ini kerana mereka berdua sibuk dengan penggambaran drama lakonan masing-masing.

"Tentang perancangan cahaya mata, kalau boleh saya hendak seramai mungkin dan jumlah tidak terhad, selagi mampu," selorohnya dalam nada gembira.

Aksi terakhir Paul Walker

Posted:

Aksi terakhir Paul Walker

Aksi terakhir Paul Walker


GAMBAR komersial terakhir Paul Walker beberapa bulan sebelum kematiannya ini dirakamkan pada bulan Mac tahun lalu dalam satu kempen pakaian terkini keluaran jenama Colcci di Brazil.


WALAUPUN takdir telah menentukan ajalnya tiba secara mengejut dalam sebuah kecelakaan tragis, namun peminat setia Paul Walker masih berkesempatan untuk menonton aksi pelakon itu menerusi beberapa buah filem lakonannya di layar perak yang masih belum ditayangkan.

Ironi, Paul yang lebih terkenal dengan francais filem Fast & Furious ini tidak berkesempatan menghabiskan francais ketujuh filem tersebut setelah terkorban dalam satu nahas jalan raya yang berlaku pada 30 November 2013.

Paul, 40, yang menumpang kereta rakannya, Roger Rodas terkorban selepas pulang daripada majlis amal Reach Out Worldwide untuk mangsa-mangsa Taufan Haiyan di Santa Clarita, California. Akibat dipandu laju, kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiga batang pokok serta sebatang tiang konkrit.

Sebaliknya, dia telah menyudahkan sebuah penggambaran filem berjudul Brick Mansions pada tahun lalu.

Filem yang memulakan penggambaran pada 30 April 2013 itu menjadi satu-satunya filem terakhir yang siap sepenuhnya untuk ditayangkan. Ia merupakan sebuah naskhah yang diangkat daripada filem berbahasa Perancis berjudul District 13.

Filem arahan Camille Delamarre itu menyaksikan momen-momen terakhir Paul sebagai seorang pelakon aksi.

Menerusi temu bual yang dijalankan di lokasi penggambaran filem tersebut di Montreal, Kanada pada tahun lalu itu, Paul begitu teruja kerana berpeluang memainkan watak Damien Collier, seorang anggota polis yang ditugaskan untuk melakukan tugas-tugas penyamaran.

"Watak Damien yang diketengahkan oleh Camille agak sama dengan karakter saya yang sebenar.

"Damien merupakan seorang polis yang lasak, gemar bermain dengan senjata api serta sering dilihat memandu kereta secara berbahaya.

"Ia suatu pengalaman yang sangat menyeronokkan. Lebih-lebih lagi apabila saya berpeluang berlakon bersama David Belle dan melakukan aksi yang begitu mencabar," ujar Paul sambil menyifatkan perkara-perkara yang dilakukan bersama David adalah perkara normal yang menjadi kegemaran golongan lelaki.


WATAK Damien Collier yang dimainkan olehPaul dalam filemini disifatkan mempunyai banyak persamaan dengan karakternya yang sebenar.


Ketika ditanya mengapa dia bersetuju untuk membawakan watak tersebut, Paul berkata, dia tertarik untuk turut serta dalam filem itu kerana teruja dengan ketangkasan watak asal Damien yang ditonjolkan dalam District 13.

"Selepas menonton lakonan Cyril Raffaelli dalam District 13, saya berasa begitu teruja dengan kelincahan dan aksi yang dipersembahkan olehnya. Babak-babak yang melibatkan aksi turut dijayakan oleh Cyril dengan baik sekali.

"Tanpa berfikir panjang, saya terus bersetuju untuk memegang watak Damien dan menjadikan aksi-aksi yang telah ditampilkan oleh Cyril sebagai inspirasi untuk filem Brick Mansions," ujar Paul.

Manja

Ternyata, figura kelahiran California, Amerika Syarikat ini tidak mensia-siakan pengalaman yang dikutip sepanjang menerajui filem tersebut.

Kongsi Paul, sepanjang berlakon bersama David, dia sungguh tertarik dengan kebolehan serta kepelbagaian aksi yang ditampilkan oleh pelakon berketurunan Perancis itu.

"David merupakan seorang pelakon yang bersahaja. Walaupun dia nampak sungguh tenang, sifat acuh tidak acuhnya itu tidak terbawa-bawa hingga ke hadapan lensa kamera.

"Apabila tiba masanya untuk beraksi, dia akan memberikan tumpuan sepenuhnya sehingga kru-kru yang terlibat pelik dengan sikap ketekunannya. Saya juga tidak terkecuali," ujar Paul yang mengikut sahaja setiap langkah yang diatur oleh David untuk setiap babak.

Bercerita mengenai produksi filem itu secara keseluruhan, Paul yang terkenal dengan filem-filem berbajet besar berkata, keselesaan yang dikecapinya sebelum ini perlu dilupakan untuk seketika kerana peruntukan yang diberikan untuk Brick Mansions tidak besar.

"Sebelum ini, saya sering dimanjakan dengan kemewahan pihak produksi. Namun, untuk filem Brick Mansions yang berbajet sederhana, saya dan pelakon lain perlu mencabar diri dalam menonjolkan kemahiran berlakon secara dinamik bagi menampakkan ia seperti sebuah filem yang mahal," ujar Paul lagi.

Filem yang diterbitkan oleh Luc Besson, Ryan Kavanaugh, Tucker Tooley dan Christophe Lambert ini telah mula ditayangkan di seluruh pawagam sejak Khamis lalu.

Fara sedia berhijab

Posted:

Fara sedia berhijab

Fara sedia berhijab

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

FIGURA ini tidak menolak sekiranya bertemu jodoh dalam masa terdekat.


KETIKA bertemu dengan penyampai radio Hot FM, Fara Fauzana pada majlis kemuncak Kunci AM Krew di Berjaya Times Squre, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia tampil dengan berselendang.

Ternyata, penampilan Fara sudah pasti menarik perhatian sehingga menimbulkan pertanyaan segelintir pihak. Malah, peminat sudah mula menyedari tentang perubahan penampilannya itu ketika muncul dalam rancangan Nona pada minggu lalu.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Fara pada mulanya seperti keberatan untuk bercerita dan lebih gemar mengambil pendekatan berdiam diri kerana bimbang dengan persepsi orang ramai yang berbeza.

Mengakui dirinya masih belum lagi berhijab sepenuhnya sekarang ini, namun Fara tidak menafikan bahawa dia memang sudah ke arah untuk tampil dengan gaya seorang Muslimah.

Kosmo!: Boleh ceritakan tentang penampilan Fara sekarang ini?

FARA: Sebenarnya agak sukar dan tidak tahu untuk memberikan komen berhubung perkara ini. Tidak dinafikan saya sudah mula memakai selendang sejak bulan lalu tetapi belum berhijab sepenuhnya lagi.

Cuma, niat untuk berhijab itu sudah lama tertanam dalam diri dan memandangkan pada usia yang sudah mencecah 34 tahun, mungkin sudah tiba masanya untuk saya melakukan perubahan.

Bilakah anda bersedia untuk berhijab sepenuhnya?

Saya sendiri tidak tahu bila ia akan berlaku dan kini memang saya berasa selesa dengan berselendang tetapi kalau ada yang bertanya saya cuma cakap doakanlah yang terbaik untuk diri saya.

Kalau ada mana-mana pihak yang mahu mengkritik terhadap penampilan saya sekarang ini, saya memang tidak kisah kerana diri ini sudah lali dengan sebarang kritikan.

Adakah sebarang perubahan berlaku sejak anda mula berselendang?

Tidak dinafikan yang ia serba sedikit dapat mengubah karakter saya seperti percakapan dan perasaan. Misalnya, kini saya dapat mengawal kesabaran dan kemarahan saya. Selain itu, bos di tempat saya bekerja dan rakan-rakan penyampai juga banyak memberikan sokongan kepada saya terhadap perubahan ini.

Apakah komen anda sekiranya ada yang mengatakan perubahan ini disebabkan anda bakal mendirikan rumah tangga?

Sudah tentu ia merupakan perkara yang tidak benar kerana seperti yang saya katakan, memang sudah lama saya berniat untuk berhijab. Lagipun buat masa ini saya belum ada calon yang sesuai lagi, tidak menolak sekiranya jodoh itu datang dalam masa terdekat ini.

Adakah anda akan terus tampil berselendang ketika hadir atau menjayakan sesebuah sesebuah majlis?

Secara jujurnya saya akan terus kekal dengan penampilan sebegini, contohnya ketika muncul dalam rancangan Nona. Namun begitu, saya tidaklah mempunyai banyak koleksi selendang sekarang ini.

Bagaimanakah dengan pandangan anda setelah Fizie menyertai anda dan AG dalam segmen Hot FM AM Krew sejak Februari lalu?

Saya sudah melihat banyak peningkatan yang berlaku terhadap dirinya dan beranggapan bahawa pemilihannya untuk bergandingan dengan saya dan AG merupakan satu langkah yang tepat. Kalau diikutkan bukan mudah untuk mengendalikan segmen ini dan pada peringkat awal memang sukar mencari keserasian tetapi Fizie seorang yang cepat belajar. Namun begitu, saya ada berpesan kepadanya supaya bersedia dan bersikap lebih terbuka menerima sebarang teguran dan kritikan daripada pendengar.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved