Khamis, 26 Disember 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Krisis antara agama calar imej

Posted:

Krisis antara agama calar imej

Krisis antara agama calar imej

POHON palma yang tumbuh melata di pesisir pantai Zanzibar kelihatan cukup indah dan mendamaikan. Namun, di sebalik ketenangan, Zanzibar sebenarnya berdepan krisis keagamaan yang semakin serius.

Pembunuhan kejam dan serangan asid yang berlaku akibat ketegangan antara penganut agama sekali gus mengancam industri pelancongan yang menjadi sumber pergantungan kepulauan yang terletak di timur Afrika itu.

Selepas bertahun-tahun masyarakatnya hidup aman di pulau yang majoriti penduduknya beragama Islam, pada bulan Ogos lalu, dua remaja perempuan Britain yang mengajar di sebuah sekolah telah disimbah asid dan terbakar teruk.

Dilaporkan penyerang tersebut menunggang motosikal sebelum menyimbah asid ke wajah mereka. Pihak berkuasa Zanzibar menyifatkan serangan berkenaan sebagai satu perkara yang memalukan rakyat negara berkenaan.

Justeru, pihaknya menawarkan ganjaran yang besar kepada mereka yang dapat memberi maklumat yang membawa kepada penangkapan suspek.

Tetapi, terlalu sedikit perkembangan mengenai kes tersebut dan keluarga kedua-dua gadis berkenaan telah mengadu berhubung kelemahan pihak berkuasa wilayah itu dalam menangani kes itu.

Simbah asid

Insiden itu bukan kes terpencil. Hakikatnya, di laluan sempit dan berliku di sekitar jalan lama bandar Stone yang disenarai sebagai pusat sejarah Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di ibu negara kepulauan Tanzania itu, penyerang turut bertindak menyimbah asid ke muka pemimpin agama kedua-dua belah pihak iaitu Kristian dan Islam.

Sewaktu keluar berjoging pada waktu pagi tahun lalu, Sheikh Fadhil Soraga telah disimbah asid oleh penyerang yang tidak dikenali.

Ketika itu, Soraga yang merupakan ulama terkenal telah menjadi suara toleransi dan kesederhanaan pada saat unsur-unsur radikal komuniti Islam telah menjadi kebimbangan ramai.

"Dia menyimbah asid ke muka saya, sasarannya di bahagian mata. Cecair asid tersebut mengalir terus dari mata hingga ke leher dan membakar bahagian dada. Ia satu serangan yang sangat serius," ujar beliau kepada AFP.

Sejak serangan tersebut, terdapat sekurang-kurangnya empat lagi serangan serupa di pulau itu. Pada bulan Februari, seorang paderi Khatolik juga ditembak mati dan beberapa buah gereja telah dibakar ekoran bantahan berhubung serangan kepada orang-orang Islam.


SORAGA mengalami kecacatan kekal akibat disimbah asid ketika keluar berjoging tahun lalu.


Sejak serangan itu, terdapat sekurang-kurangnya empat yang lain di pulau itu. Pada bulan Februari seorang paderi Katolik ditembak mati, dan beberapa gereja telah dibakar ekoran protes keganasan.

Soraga berkata, pemuda Islam dilihat muncul untuk mengikut laluan pelampau.

"Kita semua penduduk Zanzibar, kita juga rakyat Tanzania, kita perlu saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira pegangan agama atau ideologi.

"Inilah yang diajar oleh Islam, namun kebanyakan anak muda Islam tidak tahu mengenai perkara ini. Mereka menjadikan orang Kristian atau sesiapa yang bukan Islam sebagai musuh," tegasnya.

Pengaruh jihad global

Selepas gereja Assemblies of God dibakar tahun lalu, bendera kumpulan pelampau Islam yang dikenali sebagai Uamsho, Swahili for The Awakening telah dikibarkan di sebalik sisa runtuhan.

"Semangat jihad global yang berlaku di seluruh dunia turut memberi kesan kepada beberapa tempat di Afrika termasuk di sini.

"Malah, terdapat segelintir manusia yang berfikir bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang berhak wujud di sini," kata Dickson Kaganga, bishop di Assemblies of God di Zanzibar.

Uamsho baru-baru ini telah berkembang daripada sebuah badan amal agama ke gerakan politik Islam dan ketika masih kumpulan minoriti, mereka dilihat semakin berpengaruh terutama dalam kalangan generasi muda dan penganggur.

Meskipun mereka menafikan terlibat dalam mana-mana serangan, mereka berjaya menyalurkan ketegangan budaya dan politik secara meluas kepada sokongan untuk Islam radikal.

Ketika Zanzibar menghampiri sambutan ulang tahun ke-50 penyatuannya dengan tanah besar Tanzania tahun depan, terdapat parti politik pembangkang juga mahu memutuskan hubungan dan kembali bebas, kumpulan radikal penyokong pemisahan seperti Uamsho turut mengeksploitasi situasi itu untuk mendapatkan sokongan.

"Para pemuda di sini digunakan sebagai alat untuk Uamsho mendapatkan kedudukan dan kuasa," kata Pesuruhjaya Polis Zanzibar, Mussa Ally Musa.

"Kadangkala mereka digunakan oleh parti pembangkang, jadi untuk Uamsho kini, objektif mereka adalah untuk memutuskan penyatuan."

Bagaimanapun, pemimpin kedua Uamsho, Azaan Khalid Hamdan, menafikan dakwaan mereka di sebalik keganasan dan menolak sebarang tuduhan mempunyai hubungan dengan gerakan Islam di Somalia yang merupakan pusat kepada pemberontak Shebab rangkaian Al-Qaeda.


PENDUDUK Zanzibar dipengaruhi oleh budaya Afrika, Arab dan India.


"Uamsho tidak membuat serangan terhadap gereja dan Kristian. Kami tidak menyimpan sebarang kebencian dan bermusuhan dengan mereka.

"Siapa di belakang serangan? Saya tidak tahu. Polisi Uamsho bukan sebegitu. Kami terus membantu kerajaan dengan penyiasatan mereka terhadap insiden tersebut dan dalang di sebaliknya," tegas Hamdan.

Kadar pengangguran rasmi di kepulauan tersebut ialah 34 peratus, namun statistik sebenarnya dipercayai lebih tinggi seiring dengan penurunan dalam industri pelancongan akibat krisis ini boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk.

"Apabila pelancong diserang dan ketegangan agama semakin serius, ia akan memberi nama buruk kepada Zanzibar sekali gus menyebabkan ekonomi merudum," tambahnya.

Ironinya, di tengah-tengah kesukaran ekonomi, kumpulan radikal Islam mungkin kekal menjadi objek untuk menarik mereka yang menganggur dan tidak puas hati.

Situasi itu juga boleh terus menjadi punca kekacauan terus melanda Zanzibar pada masa hadapan.

Mengulas mengenai isu puak pelampau Islam yang bertindak ganas terhadap penganut agama lain, ulama yang berasal dari England, Sheikh Abdul Aziz Fredericks menegaskan, ketidakfahaman terhadap sirah Rasulullah SAW menyebabkan mereka bertindak sedemikian rupa.

"Jika umat Islam hari ini menjadikan Nabi Muhammad SAW yang diutus Allah sebagai pembawa rahmat ke sekalian alam sebagai idola mereka dan mencontohi Baginda dalam setiap aspek kehidupan, sudah pasti dunia akan aman.

"Lantaran tidak memahami al-Quran dan sunnah Nabi SAW, maka umat Islam jadi berpecah belah dan bercanggah walaupun dalam perkara-perkara cabang," ujarnya sewaktu menyampaikan syarahan bertajuk Prophet Muhammad SAW: Mercy to Mankind di Institut Kefahaman Islam Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Horizon

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Keenakan durian 'pukau' pelancong

Posted:

Keenakan durian 'pukau' pelancong

Keenakan durian 'pukau' pelancong

BIARPUN sesetengah individu tidak menggemari durian terutamanya daripada segi bau, namun musim buah pastinya suatu yang tidak akan dilepaskan bagi para peminat raja buah itu.

Tidak terhad di gerai-gerai buah, dusun durian turut menjadi tumpuan. Sekali pulang, pasti penuh satu but kereta berisi durian.

Bersesuaian dengan statusnya sebagai raja buah, durian merupakan buah tempatan yang yang mendominasi carta buah-buahan tempatan kegemaran, sekali gus menjadi tarikan pelancong di negara ini.

Pelbagai reaksi dapat dilihat bagi mereka yang baru pertama kali ingin merasai buah tersebut, terutamanya dalam kalangan pelancong asing. Salah satu reaksi segera pastinya berkaitan bau buah itu yang dikatakan menusuk hidung.

Namun, apabila merasainya sendiri, rata-rata yang mengakui terpikat dengan keenakan isi buah itu sama ada berasa lemak, pahit atau manis.

Berpeluang mengunjungi pesta tahunan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Jom Makan Buah@Putrajaya, di Persint 2, Putrajaya baru-baru ini, penulis dapat menyaksikan ribuan pengunjung menikmati keenakan durian yang dibawa khas dari seluruh Semenanjung Malaysia di pesta itu.

Malah, peniaga-peniaga yang terlibat merupakan usahawan durian di bawah FAMA Lembah Klang.


SELAIN durian, pelbagai buah-buahan tempatan lain turut ditawarkan.


Walaupun terdapat beberapa jenis buah tempatan lain seperti manggis, rambutan dan mangga, namun buah durian tetap menjadi pilihan utama pengunjung.

Riuh-rendah suara penjual durian jelas kedengaran mempromosikan durian masing-masing. Pengunjung berpusu-pusu ke gerai yang menjadi pilihan mereka. Pelbagai gelagat yang dapat disaksikan.

Reaksi

Terdapat dalam kalangan mereka menghidu dulu kemudian mengetuk permukaan durian, tidak kurang juga yang mengambil peluang merasai sendiri isi buah durian tersebut.

Pemilik gerai durian, Miskon @ Yem Markadan, 60, berkata, perniagaan buah durian sentiasa menguntungkan kerana rakyat Malaysia tidak pernah jemu menikmatinya.

"Siapa yang tidak tahu makan buah durian akan rugi sebab tidak dapat merasakan keenakannya. Saya yakin durian adalah antara buah kebanggaan kita.

"Pelancong kalau datang ke Malaysia mesti bertanya tentang buah ini kerana orang mengenali negara kita melalui buah durian," katanya yang menjual durian dari pengusaha kebun durian di Perak.

Berniaga durian sejak sekitar tahun 1995, Miskon memberitahu, durian jenis D24, IOI dan Udang Merah antara yang dicari peminat buah itu.

Menurutnya, peminat-peminat buah itu biasanya tidak memilih jenis durian yang dibeli kerana mereka merasakan setiap jenis durian memberikan rasa enak yang berbeza.

BUBUR kacang durian turut menjadi juadah pilihan di program Jom Makan Buah@Putrajaya.


Pengikat hubungan

Umpama satu pesta perayaan yang mengumpulkan sanak saudara, siapa sangka buah durian mampu mengikat hubungan antara ahli keluarga dan rakan-rakan.

Kelihatan daripada jauh dua sahabat bergurau senda sambil mengopek sebiji buah durian. Ada juga seorang bapa yang leka melayan kerenah isteri dan anak-anaknya yang sedang menjamah durian yang dipilih.

Kelihatan seorang kanak-kanak asyik menghidu sebiji buah durian sambil wajahnya melihat tepat pada bapanya. Rupa-rupanya Muhammad Aqil Danish Zulkefli, 12, sedang memilih buah durian yang elok untuk dinikmati mereka sekeluarga.

"Saya selalu tengok ayah pilih durian. Sebelum membayar, dia akan menghidu buah tersebut. Kalau sedap baunya, isi mesti manis dan lazat," katanya.

Muhammad Aqil Danish, mengakui amat menggemari buah durian.

Katanya, apabila berhadapan dengan durian, perutnya tidak mengenal erti kenyang sehingga kadangkala ibu bapanya terpaksa memberi peringatan supaya berhenti makan.

"Ibu bapa selalu cakap makan durian banyak nanti badan jadi panas. Tetapi sehingga ke hari ini Alhamdulillah saya masih sihat dan tidak pernah berasa panas. Rugi kalau tidak makan durian," katanya.

Muhammad Aqil Danish berkata, dia sering terasa pelik apabila berjumpa dengan mana-mana individu yang tidak meminati raja buah itu atau mereka yang sanggup mengelak daripada merasanya.


PEMINAT durian juga merentasi batasan kaum dan budaya.


"Dalam kalangan rakan-rakan saya ada yang tidak meminati durian. Alasan mereka ialah tidak tahan dengan bau buah berkenaan.

"Saya selalu menasihatkan mereka supaya rasa dulu baru membuat sebarang penilaian," ujarnya.

Variasi juadah

Sementara itu, Ridzuan Ahmad, 32, berkata, keistimewaan buah durian terletak pada isi buah itu yang boleh diadun menjadi pelbagai juadah sama ada tradisional hingga moden.

Beliau menambah, hidangan pencuci mulut durian crepe yang menjadi kegemaran ramai terutamanya warga kota sejak kebelakangan ini merupakan satu contoh terbaik.

"Isi durian bukan sahaja sedap dimakan segar tetapi boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai juadah lain.

"Campur sahaja buah ini dalam mana-mana makanan atau minuman yang sesuai, rasanya pasti sedap," katanya yang menggemari bubur kacang hijau durian.

Penjelajahan Universal Studio Singapura

Posted:

Penjelajahan Universal Studio Singapura

Penjelajahan Universal Studio Singapura


ISTANA Far Far Away yang diinspirasikan daripada filem kartun terkenal iaitu Shrek yang menampilkan kehidupan dongeng karakter itu.


RANCANGAN untuk bercuti ke Korea Selatan bersama rakan-rakan pada bulan Oktober lalu terpaksa dibatalkan memandangkan pada tempoh itu bukan musim sejuk.

Ini disebabkan misi utama mengunjungi negara tersebut adalah untuk merasai pengalaman bermain salji sekali gus ingin melawat Pulau Jeju iaitu salah satu pulau yang popular di sana.

Memandangkan mood percutian sangat menebal apatah lagi ingin merakam memori manis bersama sahabat baik sebelum menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah alam, Selangor maka hasrat percutian tetap diteruskan. Hasil perbicangan bersama, akhirnya kami mengunjungi Taman Tema Universal Studio Singapura (USS) yang terletak di Pulau Sentosa, Singapura.

Penulis bersama Addul Rahman Latip, Mohd Bashah Basroh dan Mohd Amir Aliff masing-masing berusia 24 tahun, memilih Singapura sebagai lokasi percutian dengan satu tujuan iaitu bertemu karakter kartun dan animasi impian kami di USS.

Oleh kerana mahu berjimat-cermat kami memilih untuk menetap di sebuah hotel bajet di Johor Bahru, Johor dan menaiki bas awam ke lokasi yang dituju.

Perjalanan melintasi Tambak Johor melalui Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) mengambil masa lima minit untuk ke imigresen, sementara dari Woodlands menuju ke Pulau Sentosa mengambil masa kira-kira 30 minit dengan jarak perjalanan 30 kilometer.

Seawal pukul 9 pagi kami sudah berada di hadapan pintu masuk USS. Memperuntukkan bajet kira-kira RM300 untuk dihabiskan di USS, penulis terus menuju ke mercu tanda replika glob bumi di situ.

Selepas puas merakamkan gambar, kami bergerak ke bangunan yang menyediakan permainan roller-coaster dan visual seakan-akan siri kartun robotik popular Transformers enam dimensi.


DARI KIRI: Karakter-karakter Sesame Street iaitu Ernie, Cookie Monster, Big Bird, Elmo dan Abby Cadabby sentiasa bersedia menghiburkan pengunjung.


Roller-coaster

Selama 30 minit kami menaiki roller-coaster itu kami menjadi kecut perut. Malah babak yang selama ini ditonton dalam siri Transformers seperti hidup. Jantung yang berdegup laju membuatkan kami kepenatan.

Keluar sahaja daripada bangunan berkenaan, dari jauh sudah kedengaran pelbagai bunyi alatan muzik. Melodi yang rancak menyaksikan setiap maskot seperti animasi adiwira Marvel iaitu Spiderman, Superman dan banyak lagi menari riang. Malah maskot comel seperti Madagascar turut melakukan persembahan dan menceriakan pengunjung yang hadir.

Akhirnya, maskot siri televisyen kesukaan saya iaitu Sesame Street muncul. Kelibat Bert yang comel melambai kepada peminat membuatkan saya hilang akal seketika.

Lucu memikirkan, saya lebih teruja berbanding kanak-kanak yang berada di situ. Selesai sahaja mereka berarak, penulis terus menerkam maskot Bert dan memeluknya sekuat hati sebelum merakamkan foto.

Bangunan Revenge of The Mummy turut menjadi tarikan di USS. Kelihatan dua mumia yang sedang berdiri menyambut kedatangan kami sekali gus menggambarkan misi yang perlu kami jelajahi.

Saat roller-coaster mula bergerak, semua penumpang menjerit ketakutan. Golongan lelaki juga tidak kurang hebatnya menjerit sepuas hati lebih daripada wanita.

Puas melontarkan vokal, tekak mula terasa dahaga dan perut berkeroncong minta diisi. Kami difahamkan, makanan di USS sangat mahal, namun apa yang penting bagi penulis yang kelaparan ialah makanan itu halal.

Lokasi yang kami pilih ialah restoran makanan segera Mel's Drive-In. Melangkah masuk ke restoran itu mata kami dipukau pelbagai alatan muzik lama seperti piring hitam, mesin pemutar lagu dan persembahan muzikal ketika enak menjamu selera.

Kami bersetuju makan tengah hari di restoran segera tersebut untuk menjimatkan masa dalam meneruskan jelajahan kami di kota mini, USS itu. Kami mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM30 dan makanan itu sangat berbaloi dengan saiz set hidangan yang dipilih. Kami menyambung penjelajahan ke Hollywood Street. Antara yang menarik ialah replika set penggambaran Marilyn Monroe.


LAMBANG USS yang berupa sebuah glob berputar menjadi lokasi wajib bagi pengunjung bergambar .


Walk Of Fame

Ketika menghayunkan kaki menyusuri replika Walk Of Fame saya terasa seperti di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Menyelami seketika karakter bergelar bintang ternama Hollywood, kami mula merakam foto masing-masing di situ.

Hampir 10 jam berada di taman hiburan USS, ternyata berbaloi untuk menghabiskan ratusan ringgit sepanjang berada di taman hiburan itu.

Benarlah kata mereka yang berkunjung di sini, sesiapa sahaja yang melawat USS pada kali pertama pasti jatuh cinta dan akan kembali untuk percutian seterusnya.

Namun penulis sedikit terkilan kerana tidak sempat menghabiskan masa melawat beberapa lagi tempat menarik di Kota Singa itu.

Walaupun membatalkan percutian ke Korea Selatan, penulis pasti akan memenuhi impian bermain dalam salji selain menyaksikan sendiri kecantikan negara itu seperti dalam filem dan drama bersiri Korea.

Dalam masa yang terdekat, penulis bercadang untuk melawat Indonesia dan Thailand. Tidak sabar rasanya menantikan saat itu.

Menerokai alam secara interaktif

Posted:

Menerokai alam secara interaktif

Menerokai alam secara interaktif


SEBAHAGIAN 155 murid SK Kampung Kuala Pajam, Beranang yang mengikuti rombongan lawatan sambil belajar di NIC pada musim cuti sekolah baru-baru ini.


KUNJUNGAN 155 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kuala Pajam, Beranang, Selangor ke Pusat Penghayatan Alam (NIC), Taman Wetland, Putrajaya ternyata memberi dimensi berbeza buat mereka.

Mereka begitu asyik melihat maklumat hidupan flora dan fauna yang dipaparkan dalam bentuk hologram dan tiga dimensi yang diletakkan di dinding bangunan. Tidak kurang pula, murid-murid seronok bermain di lantai yang memaparkan hidupan akuatik di dalam laut pada ruangan Hidden Depth.

"Murid-murid memberi tumpuan sepenuhnya sewaktu wakil NIC memberi penerangan. Lawatan ini merupakan cara terbaik untuk murid-murid belajar secara interaktif. Mereka dapat menimba ilmu mengenai alam semula jadi dalam persekitaran yang menyeronokkan," kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampung Kuala Pajam, Mazinun Zam Zam, 53, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Mazinun, tayangan dokumentari mengenai isu alam sekitar menerusi Pawagam Skrin 240 Darjah umpama mata seekor burung yang memberi gambaran luas mengenai kepentingan menjaga flora dan fauna dalam rantaian kehidupan manusia.

NIC yang merupakan tarikan baharu di Putrajaya itu dibuka kepada umum sejak Februari lalu. Sehingga kini, pusat maklumat lengkap mengenai Taman Wetland, Presint 13, Putrajaya itu telah menerima lebih 20,000 pengunjung.

Melalui lapan segmen pameran, pengunjung berpeluang mengenali flora, fauna dan mendalami fungsi ekosistem di Taman Wetland, Putrajaya.


NIC merupakan salah satu tarikan pelancong di Putrajaya sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.


Ejen penapis semula jadii

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Taman, Jabatan Landskap dan Taman Perbadanan Putrajaya (PPj), Haslinda Khalid memberitahu, Taman Wetland merupakan ajen penapis semula jadi bagi bahan cemar dari Sungai Bisa dan Sungai Chuah, Kuala Langat, Selangor sebelum mengalir terus ke Tasik Putrajaya.

"Pengunjung boleh mendapatkan maklumat mengenai 24 sel yang merupakan tumbuhan semula jadi seperti pokok bakung yang menjadi ejen penapis air sungai. Pusat ini juga merupakan satu langkah terbaik bagi memupuk kesedaran mengenai kepentingan alam sekitar dalam kehidupan manusia.

"Putrajaya merupakan sebuah destinasi ekopelancongan dunia sempena Tahun Melawat Malaysia 2014. NIC merupakan antara tarikan utama sepanjang tahun depan. Setiap ruang pameran mempunyai penyampaian interaktif tersendiri," ujarnya.

Pameran grafik dan hologram tiga dimensi yang memaparkan titisan air bergerak apabila disentuh menjadi ruangan tumpuan pengunjung.

Selain pameran interaktif, pengunjung pasti tertarik melihat ukiran bumi tiga dimensi yang digantung di tengah-tengah ruangan di tingkat tiga NIC.

Tidak hanya tertumpu kepada ruang pameran di tingkat tiga, Pusat Sumber dan Maklumat NIC juga menyediakan pelbagai buku mengenai flora dan fauna.

Seorang pengunjung, Amin Farhan Amin Mahir, 26, memberitahu, dia bersama sembilan rakannya menjadikan Pusat Sumber dan Maklumat NIC sebagai destinasi pilihan setiap kali mengadakan sesi diskusi pelajaran.

"Buku-buku mengenai flora dan fauna menjadi bahan bacaan selingan kami ketika dalam sesi diskusi. Melalui pembacaan sebuah buku, saya dapat mengetahui maklumat mengenai efek rumah kaca terhadap kehidupan manusia," ujar pelajar Universiti Utara Malaysia, kampus Institut Profesional Baitulmal, Kampung Pandan, Kuala Lumpur itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


700 wanita sertai seminar banteras jenayah

Posted:

700 wanita sertai seminar banteras jenayah

700 wanita sertai seminar banteras jenayah


AHMAD (dua dari kiri) beramah mesra dengan sebahagian peserta seminar Kesedaran Membanteras Jenayah Terhadap Wanita di Dewan Utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Alor Setar baru-baru ini.


TAMBAH ILMU. Lebih 700 peserta wanita dari seluruh Kedah tidak melepaskan peluang menghadiri Seminar Kesedaran Membanteras Jenayah Terhadap Wanita yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar, baru-baru ini.

Seminar itu merupakan anjuran Polis Diraja Malaysia menerusi Aman Wanita (Amanita) bersama beberapa institusi pengajian tinggi awam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, program itu memberikan pendedahan dan ilmu kepada golongan wanita tentang trend jenayah masa kini dan cara untuk mencegahnya.

400 sukarelawan tanam 1,400 pokok di Shah Alam

Posted:

400 sukarelawan tanam 1,400 pokok di Shah Alam

400 sukarelawan tanam 1,400 pokok di Shah Alam


MOHD. JAAFAR (tengah) turut serta dalam program menanam pokok Shah Alam Trees For Life di Laman Kemerdekaan Shah Alam, Selangor baru-baru ini.


SUKARELAWAN. Seramai 400 sukarelawan berganding bahu bagi menjayakan program menanam pokok, Shah Alam Trees For Life yang diadakan di Laman Kemerdekaan Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Program dihadiri oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Jaafar Mohd. Atan itu disertai para sukarelawan dari pelbagai agensi termasuk badan bukan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi dan murid sekolah melibatkan penanaman pokok sebanyak 1,400 batang.

Antara pokok yang ditanam termasuk mangga, belimbing, rambutan, cermai, kelapa dan mata kucing.

Perlawanan sukan eratkan silaturahim Utusan-UDA Holdings

Posted:

Perlawanan sukan eratkan silaturahim Utusan-UDA Holdings

Perlawanan sukan eratkan silaturahim Utusan-UDA Holdings


PASUKAN bola sepak Utusan Media Sales (UMES) yang mewakili Kumpulan Utusan, Sofian Jamaludin (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada kapten pasukan UDA Holdings, Johar Jamaluddin (dua dari kanan) sebelum perlawanan bola sepak di Kompleks Sukan PLUS NKVE, Subang, Selangor baru-baru ini.


RAPAT. Kira-kira 100 kakitangan UDA Holdings Berhad (UDA Holdings) dan Kumpulan Utusan menyertai perlawanan sukan persahabatan antara dua organisasi tersebut di Kompleks Sukan PLUS, Subang, Selangor.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan UDA Holdings, Mohd. Azmil Abd. Shukor berkata, program itu diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan yang terjalin antara kedua-dua syarikat sejak dahulu lagi.

"Kumpulan Utusan banyak membantu dan menyokong kami sejak dahulu terutama dalam memberitahu masyarakat mengenai aktiviti-aktiviti yang kami lakukan melalui siaran akhbar terbitan mereka.

"Perlawanan ini juga merupakan aktiviti kemuncak yang kami adakan bersama media sepanjang tahun ini selain bertujuan untuk menzahirkan penghargaan kami kepada Kumpulan Utusan," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Seluk saku pelakon popular

Posted:

Seluk saku pelakon popular

Seluk saku pelakon popular

JADI TUMPUAN PENJENAYAH... Emma Maembong berjanji akan lebih berhati-hati selepas menjadi mangsa penyeluk saku.


KUALA LUMPUR – Hajat pelakon popular, Emma Maembong untuk membeli- belah pada malam Krismas lalu terbantut apabila dia kerugian RM5,000 selepas beg duit dan telefon bimbit miliknya dilarikan penyeluk saku dalam kejadian di aras bawah pusat beli-belah Lot 10 di Jalan Bukit Bintang di sini kelmarin.

Kosmo! difahamkan, pelakon drama Kau Yang Terindah berusia 21 tahun tersebut dipercayai menjadi mangsa sindiket seluk saku didalangi warga asing yang sering melakukan aktiviti jahat di premis beli-belah di kawasan segitiga emas itu.

Berdasarkan kes-kes terdahulu, modus operandi sindiket tersebut terbahagi kepada tiga iaitu menyeluk saku ketika keadaan sesak, menoreh beg mangsa dan berpura-pura pengsan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Pegawai polis bergelar Datuk terlibat kes gubah wang RM6 juta

Posted:

Pegawai polis bergelar Datuk terlibat kes gubah wang RM6 juta

Pegawai polis bergelar Datuk terlibat kes gubah wang RM6 juta

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mengesahkan seorang pegawai tinggi polis bergelar Datuk telah memberi keterangan dipercayai berhubung kes pengubahan wang haram RM6 juta.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafa Ali berkata, pegawai polis berkenaan memberi keterangan di Putrajaya Selasa lalu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kastam hampir capai kutipan hasil RM33 bilion

Posted:

Kastam hampir capai kutipan hasil RM33 bilion

Kastam hampir capai kutipan hasil RM33 bilion

ROMPIN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia mencatatkan prestasi kutipan hasil memberangsangkan pada tahun ini dengan jumlah RM32.39 bilion dipungut setakat 24 Disember lalu iaitu meningkat sebanyak 3.18 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, angka itu menghampiri sasaran jabatan itu untuk kutipan pada tahun ini iaitu sebanyak RM33 bilion.

"Penyumbang terbesar kepada hasil negara itu ialah sektor kenderaan, rokok di tempat kedua sebelum diikuti minuman keras selain hasil pungutan cukai perkhidmatan.

"Fasilitasi kepada industri automotif dalam negara seperti di Pekan, Pahang juga telah meningkatkan industri pengeluaran kenderaan di samping pungutan hasil yang positif," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Kastam Kuala Rompin di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Bahana ketagihan laman sosial

Posted:

Bahana ketagihan laman sosial

Bahana ketagihan laman sosial

MASYARAKAT perlu berhati-hati dalam berkongsi gambar-gambar peribadi di laman sosial agar tidak disalah guna oleh pihak tidak tertentu.


SETIAP kali berada di restoran, kita dapati manusia kini begitu sibuk menuliskan sesuatu di telefon pintar mereka berbanding dengan berbual dengan teman yang berada di depan mereka.

Kelihatan trend ini berlaku di mana-mana sahaja, malah ketika memandu sekalipun pengguna jalan raya tetap mengirim dan menerima mesej. Ia berlaku kepada semua orang, tanpa mengenal umur, jantina dan bangsa.

Mutakhir ini, simptom tersebut diklasifikasikan sebagai satu bentuk penyakit ketagihan baharu yang dinamakan sebagai Social Networking Sites Addiction atau Ketagihan Laman Rangkaian Sosial. Seperti penyakit ketagihan yang lain, ketagihan ini juga memberi implikasi yang teruk kepada psikologi dan emosi manusia.

Sehingga tahun 2012, pengguna Facebook di seluruh dunia dikatakan telah mencecah 900 juta orang dan 500 juta daripadanya mengakses laman sosial berkenaan melalui telefon pintar.

Di Malaysia sahaja, kita dikatakan salah satu pengguna terbesar Facebook dengan anggaran 13 juta pengguna.

Perubahan teknologi dan fungsi telefon mudah alih pada hari ini telah memberi kesan terhadap kegilaan manusia mengakses pelbagai aplikasi jaringan sosial.

Punca penceraian

Ironinya, telefon bimbit kini tidak lagi kerap digunakan sebagai alat untuk manusia berbual, sebaliknya telah berubah menjadi 'mesin taip' untuk manusia berkongsi emosi dengan sahabat mereka di serata dunia.

Walaupun ada kebaikannya, tetapi adakalanya berkongsi emosi dengan sahabat maya ini juga boleh menyebabkan hal buruk berlaku. Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa satu perlima daripada kes penceraian yang direkodkan adalah disebabkan oleh penggunaan Facebook.

Kajian-kajian juga menunjukkan bahawa masa yang banyak diluangkan untuk melayari Facebook boleh menyebabkan pasangan berasa cemburu. Semua ini adalah permulaan buruk kepada keharmonian rumah tangga.

Bayangkan, manusia kini berkongsi segala cerita kehidupan, daripada aktiviti memasak, membeli-belah hingga masalah rumah tangga di laman-laman sosial. Perbuatan ini seolah-olah menggambarkan semua perkara itu bukan lagi privasi buat mereka.

KEKERAPAN melayari laman sosial di peranti pintar boleh menyebabkan seseorang itu ketagih. - Gambar hiasan


Hal ini, hakikatnya membuka kepada pintu bahaya. Ini kerana, tidak semua rakan maya ini mempunyai watak atau personaliti yang sama dalam dunia realiti.

Kajian-kajian menunjukkan bahawa pengguna media sosial biasanya 'melakonkan' watak-watak yang diinginkan. Ia diistilah sebagai selective self-presentation atau peragaan diri terpilih.

Ia boleh dilakukan dengan meletakkan gambar yang menunjukkan kemewahan atau menulis status seperti mereka manusia terpelajar.

Semua ini tidak bermakna bahawa mereka cuba untuk melakukan penipuan. Bagaimanapun, secara psikologiknya, manusia cenderung untuk menampilkan imej manusia budiman demi menjaga status mereka.

Berbeza dengan perbualan melalui telefon atau interaksi bersemuka, manusia juga biasanya membaca mesej yang ditulis berpandukan penilaian imaginasi.

Ayat seperti Saya suka awak mungkin ditafsirkan dengan pelbagai makna. Pembaca mungkin membacanya sebagai Saya cintakan awak walaupun mungkin itu bukanlah seperti yang dimaksudkan dalam mesej tadi. Ia bergantung kepada siapa yang menulisnya dan siapa pula yang membacanya.

Kewujudan pelbagai ikon emosi yang disertakan dalam aplikasi dalam talian ini juga memberikan kesan psikologi kepada manusia. Walaupun ia dalam bentuk yang ringkas, namun manusia cenderung menafsirkan ikon-ikon ini berdasarkan persepsi yang mereka harapkan.

Permainan emosi

Sekiranya kenalan mereka ialah seseorang yang akrab dan kerap berkomunikasi secara maya, ikon love mungkin akan ditafsirkan secara berlainan jika dibandingkan sekiranya ikon yang sama dikirimkan oleh ahli keluarga atau oleh kenalan sesama jantina.

Permainan emosi inilah yang kemudiannya menyebabkan hubungan yang pada mulanya hanya bersifat teman biasa bertukar menjadi semakin erat. Permainan emosi ini melibatkan semua manusia tanpa mengira darjat, status atau pangkat.

Ia mungkin tidak menjadi masalah sekiranya hubungan ini berlaku dalam kalangan anak muda yang masih bujang. Tetapi, ia akan mencetuskan musibah yang besar apabila ia melibatkan mereka yang sudah berumahtangga.

Sebab itulah, pengguna media rangkaian sosial perlu berhati-hati. Ia perlu dibataskan dengan perkongsian maklumat yang mustahak sahaja dan jangan sampai penggunaan medium ini menjadi beban baharu kepada kehidupan mereka.

Jangan juga dibiarkan penggunaan medium ini secara keterlaluan menjejaskan tanggungjawab rumah tangga dan masyarakat.

Dalam satu kajian di Amerika Syarikat, apabila ditanya kepada seorang ibu muda mengapa beliau tidak memberikan perhatian terhadap kerja sekolah anak-anaknya, wanita itu menjawab : "Saya seorang penagih. Saya akan 'hilang' dalam dunia Facebook."

Walaupun kajian tersebut dilakukan di Amerika Syarikat, tetapi kita mungkin menemui hal yang sama di Malaysia.

Justeru, berpada-padalah apabila menggunakan media sosial ini. Ia mungkin menjadi sahabat yang berguna jika kita bijak memanfaatkannya, tetapi juga sahabat durjana sekiranya kita tidak tahu mengendalikannya.

Patung karakter terbesar di dunia

Posted:

Patung karakter terbesar di dunia

Patung karakter terbesar di dunia

DARI kiri: Nazim, Ke Qing, Koh dan Sung Ai bergambar bersama-sama karakter patung Moon terbesar di dunia yang terletak di hadapan pintu masuk Pavilion.


BARU-BARU ini, aplikasi sosial terkenal, LINE Malaysia telah membuka kedai sementara pertamanya di Asia Tenggara iaitu di Tokyo Street di dalam pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur.

Kedai sementara itu menjual barangan LINE edisi terhad selama sebulan sahaja iaitu sehingga 2 Januari tahun depan.

Aplikasi sosial yang terkenal dengan karakter Brown dan Cony tersebut turut menjadikan patung karakter Moon setinggi 4.6 meter sebagai hiasan di hadapan pintu masuk pusat beli-belah terkemuka itu.

Struktur tersebut turut diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai patung karakter Moon terbesar di dunia.

Menurut Ketua LINE Malaysia, Wind Koh, pihaknya menerima maklum balas positif daripada orang ramai berkenaan pembukaan kedai yang dilihat melengkapkan aktiviti promosi dan hiasan Hari Krismas yang terdapat di pusat beli-belah itu.

"Kami percaya hiasan kami yang unik ini akan dapat menaikkan lagi semangat pengunjung untuk menyambut Hari Krismas yang akan menjelang tidak lama lagi," katanya dalam satu kenyataan sempena pembukaan kedai itu baru-baru ini.

Pelancaran tersebut turut diserikan dengan kehadiran artis terkenal tanah air iaitu Nazim Othman dan Ke Qing yang juga merupakan duta LINE Malaysia.

Justeru itu, Koh berharap pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan edisi terhad aplikasi sosial itu dan sama-sama meraikan perayaan tersebut dalam suasana yang menggembirakan.


NAZIM OTHMAN teruja melihat sebahagian daripada barang yang dijual di kedai LINE Malaysia.


Sementara itu menurut Ketua Pemasaran Pavilion Kuala Lumpur, Kuang Suang Ai, kerjasama dengan LINE Malaysia merupakan yang pertama antara pusat beli-belah yang terletak di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur itu dengan satu aplikasi komunikasi sosial.

Kedai yang mula dibuka pada 2 Disember lalu sehingga 2 Januari 2014 turut melakukan beberapa promosi khusus kepada pengunjung Pavilion.

Antara usaha yang dilakukan adalah pemberian secara percuma anak patung kepada 300 pelanggan yang membeli barangan melebihi nilai RM200 dan putaran roda bertuah kepada pengunjung yang membuat pembelian bernilai RM120 dan ke atas.

Pada pelancaran kedai tersebut, pihak LINE Malaysia juga melancarkan projek amal LINE Santa Claus yang turut terbuka kepada pengguna aplikasi tersebut di seluruh dunia.

Pengguna LINE Malaysia yang berminat boleh menyertai program amal tersebut dengan menghantar impian mereka di akaun rasmi LINE Santa Claus yang dibuka sehingga 25 Disember ini.

Impian yang berjaya menambat hati pihak LINE Malaysia akan diumumkan pada Hari Krismas melalui laman rasmi dan laman sosial Twitter dan Facebook perkhidmatan aplikasi tersebut.

Pihak LINE Malaysia akan mula menjadikan hasrat tersebut sebagai realiti pada tahun hadapan.

Selain itu, LINE Malaysia telah bekerjasama dengan jenama konfeksi terkenal, Julie's, untuk mengeluarkan biskut karakter Brown yang boleh didapati di pasar raya AEON, The Store, Mydin dan MaxVelu di seluruh negara sehingga 31 Disember ini.

Ludia penjahit pakaian Bidayuh

Posted:

Ludia penjahit pakaian Bidayuh

Ludia penjahit pakaian Bidayuh

SEBAHAGIAN daripada pakaian tradisional masyarakat Bidayuh yang sudah siap dijahit yang dijual di Pekan Bau, Sarawak.


DI satu sudut sebuah kedai kayu kecil yang menjual pakaian terpakai di Pekan Bau, kira-kira 40 kilometer dari bandar raya Kuching, Sarawak kelihatan seorang wanita berkulit cerah dengan ketinggian sederhana sibuk menjahit.

Bunyi mesin jahit jelas kedengaran dari kedainya yang menjual pakaian tradisi masyarakat Bidayuh itu. Ludia Apoi, wanita Kenyah yang berasal dari Long Banga, Baram mencari rezeki dengan mengambil tempahan menjahit pakaian tradisional Bidayuh.

"Saya sebenarnya bukan berketurunan Bidayuh, tetapi Kenyah iaitu antara etnik yang termasuk dalam kelompok Orang Ulu di Sarawak, " katanya memulakan perbualan.

Wanita yang meminati ilmu jahitan itu hanya berpeluang mendalami kemahiran tersebut selepas menyertai kursus jahitan yang diadakan di Dewan Suarah Bau tiga tahun lalu.

Sumber pendapatan

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, kursus selama enam bulan itu ternyata memberinya kemahiran menjahit yang cukup baik. Selepas tamat kursus beliau tekad menjadikan jahitan sebagai sumber pendapatannya.

Memulakan perniagaannya di kediaman di Kampung Belimbing, Ludia menerima tempahan menjahit pakaian tradisional Bidayuh, baju kurung dan baju kebaya daripada penduduk sekitar.

Suaminya Libek Jonny, 48, seorang guru berketurunan Bidayuh memberitahu, kemahiran Ludia agak mengagumkan kerana isterinya bukan berketurunan Bidayuh.

Libek sentiasa memberi sokongan terhadap minat isterinya itu dengan membantu membeli barang-barang seperti kain, manik dan benang untuk menghasilkan pakaian tradisional itu.

Sejak kecil, anak perempuan tunggal Ludia, Mariam Urai, 18, diajar menjahit pakaian tradisional.

Mariam juga mahir membuat aksesori seperti rantai manik yang dipakai untuk melengkapi pakaian tradisional Bidayuh.

Pakaian tradisi wanita Bidayuh terdiri daripada baju berlengan pendek atau separuh lengan, kain sarung paras lutut dan tudung kecil atau penutup kepala.

Pakaian lelaki Bidayuh pula terdiri daripada baju hitam separa lengan atau berlengan pendek, kain lilit kepala dan seluar atau cawat.

LUDIA mendapat sokongan suami dalam mengusahakan perniagaannya.


Apakah yang menyebabkan Ludia memilih pakaian tradisional Bidayuh berbanding pakaian tradisi Orang Ulu?

"Masa yang lebih panjang diperlukan untuk menghasilkan pakaian tradisional Orang Ulu berbanding pakaian tradisional Bidayuh, selain itu saya tinggal di kawasan majoriti masyarakat Bidayuh yang menyebabkan pasaran pakaian Orang Ulu sangat terhad," katanya yang mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 18 pasang pakaian dalam masa sebulan.

Masyarakat Bidayuh mendiami sekitar Kuching, Bau, Padawan dan Serian, Sarawak masing-masing mempunyai baju tradisional yang berbeza antara satu dengan lain terutama daripada segi warna.

"Walaupun ketika ini saya menghasilkan baju tradisional masyarakat Bidayuh di Bau, pada masa yang sama saya juga mengambil tempahan dari kawasan lain. Yang penting mereka sertakan contoh pakaian," katanya sambil tersenyum.

Rantai manik

Selain baju, kain, topi dan selendang, Ludia turut menghasilkan aksesori tambahan seperti rantai manik untuk melengkapkan persalinan tradisional.

Selain Ludia, terdapat beberapa penjahit pakaian tradisional Bidayuh di sekitar Bau tetapi mereka tidak menghasilkan persalinan lengkap.

Sesuai dengan perkembangan telnologi masa kini dan bagi mengembangkan perniagaannya, Ludia menggunakan laman sosial Facebook Ludia Craft Collections.

Sejak menggunakan laman sosial enam bulan lalu, Ludia menerima banyak tempahan di sekitar Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Permintaan yang tinggi secara talian dan langsung menyebabkan adakalanya Ludia tidak menang tangan.

Dia juga merancang untuk membesarkan perniagaannya seperti menambah bilangan mesin jahit dan menggaji lebih ramai pekerja. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


'Mereka tiada prinsip'

Posted:

'Mereka tiada prinsip'

'Mereka tiada prinsip'

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

HAIRUDDIN (kanan) antara pemain yang didakwa terlibat dengan 'pusingan U'.


SENARIO 'pusingan U' dalam kalangan pemain bola sepak negara dilihat menjejaskan reputasi yang ada pada pemain itu sendiri.

Sebaik Pahang menutup tirai bola sepak tempatan dengan menjuarai Piala Malaysia 2013, cerita mengenai penghijrahan pemain-pemain dalam Liga Bola Sepak Malaysia (Liga M) mula menjadi tumpuan.

Bermula dengan insiden 'pusingan U' pertama musim ini, kapten Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar dan tonggak pertahanan, Nor Fadzly Alias dikatakan telah menandatangani borang C-03/2 bersama Felda United.

Pengendali The Settlers, Irfan Bakti Abu Salim naik berang apabila kedua-dua pemain tersebut mengambil keputusan untuk kekal bersama The Gladiators musim depan meskipun sudah menandatangani surat persetujuan.

Begitupun, tiada tindakan susulan daripada pihak Irfan selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan Felda tidak mengemukakan kes tersebut kepada pihaknya.

Terbaharu, pemain tengah Tok Gajah, Amirulhadi Zainal didakwa melakukan perbuatan sama apabila bekas pemain Selangor itu dikatakan sudah menjadi milik Johor Darul Takzim (Johor DT) untuk aksi Liga Super 2014.

Apa yang pasti, peminat-peminat setia Tok Gajah jelas kecewa dengan tindakan Amirulhadi yang dikatakan telah disenaraikan dalam skuad Pahang musim depan, mengambil keputusan meninggalkan Pantai Timur menerusi perjanjian 'pintu belakang'.

Rasa kecewa itu juga tidak terkecuali buat Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menyifatkan pemain yang melakukan 'pusingan U' adalah satu perbuatan yang tidak berprinsip.

Tengku Abdullah bertitah, FAM telah menetapkan garis panduan bagi perpindahan pemain tetapi pemain-pemain terbabit masih gagal mematuhi perjanjian tanpa merujuk dengan majikan lama.

"('Pusingan U') melambangkan perbuatan tidak profesional bagi pemain. Kamu tidak boleh salahkan FAM atau persatuan-persatuan bola sepak (negeri atau kelab).

"Ini kerana pemain yang berprinsip tidak akan melakukan sebegini dan perkara ini bukanlah baharu dalam bola sepak negara kita.

"Biarpun tidak ramai pemain bersikap sebegini tetapi perbuatan segelintir pemain (yang membuat 'pusingan U') jelas memburukkan senario bola sepak negara)," titah baginda kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan sumbangan Yayasan Istana Abdul Aziz kepada 300 anak-anak mangsa banjir di kawasan Kuantan, semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, status Amirulhadi menjadi tanda tanya selepas menyertai pasukan Harimau Selatan untuk musim depan.

Difahamkan, Amirulhadi telah mengikat kontrak selama dua tahun bersama Tok Gajah sebelum berhijrah ke Johor DT.

Tambah Tengku Abdullah, baginda berharap kemelut Amirulhadi dapat diselesaikan dengan cara lebih berhemah.

"Saya berharap ketiadaan pemain itu dapat digantikan dengan individu yang memahami konsep perjanjian," titah baginda.

Dalam perkembangan sama, legenda Kelantan, Dali Omar turut senada dengan Tengku Abdullah dengan memberitahu, 'kuasa wang' tidak dapat memberikan manfaat untuk membangunkan bola sepak negara.

Jelasnya, beliau berharap FAM akan tampil lebih tegas dalam isu 'pusingan U' dengan memperkenalkan satu undang-undang yang lebih ketat.

"FAM dan persatuan negeri atau kelab tidak salah. Persatuan hanya mahu mendapatkan khidmat pemain-pemain terbaik.

"Namun, jika pasaran pemain tidak dijaga dengan elok, berlakulah satu isu baharu iaitu 'pemain melebihi harga sebenar (overprice).

"Jika boleh biarlah sepadan dengan harga. Pemain-pemain kita harus tahu standard dan harus bersikap lebih jujur serta tidak boleh mengejar duit sahaja.

"FAM perlu buat satu garis panduan lebih ketat berhubung pemain yang didapati melanggar kontrak," katanya.

'Jangan lepaskan Kim Swee'

Posted:

'Jangan lepaskan Kim Swee'

'Jangan lepaskan Kim Swee'


KIM SWEE dinasihatkan agar meneruskan tanggungjawabnya menerajui skuad bola sepak negara.


BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Shukor Salleh menyokong tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tidak mahu melepaskan khidmat jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee.

Shukor memberitahu, FAM pasti kerugian jika membenarkan Kim Swee meninggalkan badan induk bola sepak negara itu memandangkan dia memiliki kualiti tersendiri dalam mengendalikan skuad bola sepak remaja negara.

Jelas bekas pemain Pulau Pinang tersebut, beliau berharap Kim Swee dapat mengharungi detik-detik sukar sejurus kegagalan mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2013 yang melabuhkan tirainya di Myanmar, Ahad lalu.

Katanya, beliau berharap Kim Swee bakal menjadi individu lebih matang dan tabah jika diberikan peluang untuk memperkemaskan skuad kebangsaan.

"Saya sangat menyokong FAM. Jangan sesekali melepaskan Kim Swee. Kita tiada jurulatih berwibawa, cuma kita ada Kim Swee.

"Mungkin pada Kim Swee, kegagalan di pentas Sukan SEA 2013 memberikan impak kepadanya.

"Mungkin sebab itu beliau terasa (untuk melepaskan jawatan sebagai pengendali kebangsaan).

"Banyak perubahan yang dilakukan oleh beliau. Kim Swee adalah pengendali yang merendah diri dan pada pendapat saya, jangan benarkan dia meninggalkan skuad negara," katanya.

Kosmo! semalam melaporkan, FAM masih menaruh kepercayaan penuh terhadap bekas pemain Sarawak dan Melaka itu untuk menerajui skuad kebangsaan.

Sebelum ini, Kim Swee memberikan bayangan untuk melepaskan 'kerusi panas' dengan Harimau Muda A itu.

Mengulas lanjut, Shukor menggesa Kim Swee mengambil pendekatan lebih realistik kerana FAM serta peminat-peminat bola sepak negara masih menagih sentuhan magisnya.

"Skuad Harimau Muda A beraksi tanpa lapan tonggak utama pada Sukan SEA lalu antaranya Wan Zack Haikal Wan Nor. Jadi, kita tidak boleh menyalahkan kegagalan itu kepada Kim Swee sahaja.

"Beliau telah banyak membuat perubahan dalam bola sepak negara. Saya berharap kita jangan menggangu tugasan terbaharu Kim Swee iaitu sebagai jurulatih sementara Harimau Malaya.

"Biarpun skuad Harimau Malaya memiliki peluang tipis untuk layak ke pentas Piala Asia 2015, sama-sama kita memberikan sokongan padu kepada Kim Swee," katanya.

Masalah ditanggung sendirian

Posted:

Masalah ditanggung sendirian

Masalah ditanggung sendirian

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my


SKUAD pelayaran negara tetap berjaya membawa pulang kejayaan walaupun berdepan pelbagai masalah ketika mengharungi Sukan SEA 2013.


TERKILAN. Mungkin itu ayat terbaik dalam menterjemahkan perasaan skuad kapal layar negara sepanjang tempoh mengharungi cabaran Sukan SEA Myanmar yang melabuhkan tirai pada 22 Disember lalu.

Bukan saja kejayaan membawa pulang dua emas, tiga perak dan tiga gangsa tidak diraikan oleh pegawai tertinggi kontinjen Malaysia di sana, semangat pelayar negara hampir terpadam selepas berdepan pelbagai masalah melibatkan bot dan kelengkapan pelayaran sejak hari pertama tiba sana.

Selepas berdepan kontena yang membawa peralatan serta bot baharu yang dibawa khas dari New Zealand enggan dilepaskan oleh pihak imigresen Myanmar, pasukan negara sekali lagi diuji apabila beberapa peralatan `hilang' daripada senarai penerimaan.

"Saya tidak pasti bagaimana ia boleh berlaku tetapi selepas kontena yang membawa peralatan itu diterima, kami dapati beberapa kelengkapan bot tiada.

"Memang keadaan pada waktu itu cukup sukar memandangkan kita telah kehilangan masa yang cukup banyak kerana melayan kerenah imigresen Myanmar tetapi kehilangan kabel gear yang mengawal kelajuan bot, betul-betul membuatkan kami tertekan," jelas pengurus pasukan, Mohd. Afendy Abdullah.

Afendy juga menjelaskan, tanpa beberapa peralatan penting termasuk kabel tersebut, skuad kapal layar negara terpaksa melakukan penyesuaian sendiri bagi membolehkan mereka bersaing.

"Secara jujur, dengan apa yang terjadi termasuk peluang meraih emas lebih banyak yang terlepas begitu saja, saya dan pelayar sangat kecewa.

"Banyak perkara yang sepatutnya boleh dielakkan tetapi nasib tidak begitu baik. Malah, ia akan menjadi pengajaran terbaik buat kami pada masa depan," katanya yang turut menjelaskan rata-rata pelayar agak berpuas hati dengan kualiti lapan bot baharu yang diterima mereka ketika di Myanmar tempoh hari.

Ditanya mengenai persiapan menghadapi saingan musim 2014, Afendy memberitahu mereka akan membuka tirai tahun depan dengan menghadapi kejohanan kapal layar di Auckland, New Zealand pada Januari nanti.

"Kita tidak berehat panjang selepas Sukan SEA kerana perlu bersedia menghadapi beberapa kejohanan sebelum beraksi di Sukan Asia pada September nanti.

"Dalam pada waktu itu, Jelajah Eropah juga akan menjadi medan pemanas badan di mana ia akan menjadi persiapan untuk menghadapi Piala Dunia," ujar Afendy.

Lebih menarik, skuad kapal layar juga bercadang untuk membeli bot di Eropah bagi memudahkan pelayar negara berlatih di benua tersebut.

"Bot yang dibeli tersebut, kami akan simpan di Greece atau Croatia kerana di sana terdapat pusat penyimpanan bot. Ia memudahkan pelayar kita berlatih apabila berada di sana memandangkan Eropah adalah tempat utama acara pelayaran."

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Sudan Selatan diambang perang

Posted:

Sudan Selatan diambang perang

Sudan Selatan diambang perang

GAMBAR yang disiarkan oleh misi pengaman UNMISS menunjukkan orang awam mencari perlindungan di luar pangkalan UNMISS di Bor pada 18 Disember lalu.


JUBA - Beribu-ribu orang terbunuh dalam keganasan selama lebih seminggu di Sudan Selatan ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyiasat laporan berhubung sejumlah mayat yang ditemui di dalam beberapa buah kubur besar.

Sebahagian besar kawasan di Sudan Selatan berada di luar kawalan kerajaan dengan negara baharu itu dibimbangi akan terjerumus ke dalam kancah perang saudara.

Kelmarin, pihak kerajaan menyatakan tenteranya telah menawan semula bandar strategik Bor daripada pemberontak.

"Tidak dapat dinafikan, kita berdepan dengan angka kematian beribu-ribu orang," kata ketua misi kemanusiaan PBB di Sudan Selatan, Tony Lanzer.

Kenyataan beliau dilihat sebagai petanda jelas bahawa konflik di negara Afrika itu semakin merebak.

Terdahulu, ketua hak asasi manusia PBB, Navi Pillay pula memberitahu, sebuah kubur besar ditemui di bandar Bentiu yang dikuasai pemberontak di samping sekurang-kurangnya dua lagi kubur serupa di sini.

Penemuan mengerikan itu menyusul ketika pertempuran antara tentera yang setia kepada Presiden Salva Kiir dan penyokong bekas Naib Presiden Riek Machar bertambah sengit.

Machar dipecat pada Julai lalu. Setakat ini, angka rasmi kematian di Sudan Selatan kekal 500 orang tetapi beberapa pekerja bantuan berkata, bilangan kematian sebenar adalah jauh lebih besar.

Dalam pada itu, beberapa saksi memberitahu, pelbagai kekejaman termasuk pembunuhan beramai-ramai dan jenayah rogol berlaku di negara baharu tersebut.

"Kini terdapat kumpulan yang menyerang orang lain semata-mata kerana perbezaan puak. Ia akan menyebabkan situasi bertambah buruk dan menjadikan negara ini huru-hara," kata Kiir.

Beliau merujuk kepada perbalahan antara etnik Dinka yang menyokongnya dan puak Nuer yang memihak kepada Machar.

Pada minggu lalu, sekumpulan militia bersenjata menyerbu sebuah pangkalan PBB di Akobo dan membunuh dua askar India serta kira-kira 20 etnik Dinka yang berlindung di pos berkenaan.

Pertempuran di Sudan Selatan kini merebak ke separuh daripada 10 buah negerinya dengan beratus-ratus ribu penduduk melarikan diri ke pedalaman manakala sebahagian lagi berlindung di beberapa pangkalan PBB.

Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Pillay memberitahu agensi berita AFP bahawa seorang pegawai PBB telah melawat sebuah lokasi pembunuhan beramai-ramai di ibu negeri Unity yang kaya dengan minyak, Bentiu.

"Beliau memberitahu bahawa terdapat sekurang-kurangnya 34 mayat di dalam kubur berkenaan," katanya.

Pejuang-pejuang pemberontak juga dilapor melakukan kekejaman di kawasan yang dikuasai mereka.

Lewat kelmarin, Majlis Keselamatan memutuskan untuk menghantar hampir 6,000 askar dan polis tambahan ke Sudan Selatan sekali gus meningkatkan bilangan tentera Misi PBB di Sudan Selatan (UNMISS) kepada sekali ganda iaitu 12,500 askar dan 1,323 anggota polis.

Sudan Selatan yang memperoleh kemerdekaan daripada Sudan pada Julai 2011 kekal negara paling baharu di dunia. - AFP

Britain banjir pada Hari Krismas

Posted:

Britain banjir pada Hari Krismas

Britain banjir pada Hari Krismas


OMBAK besar melanda pantai Portstewart di Ireland Utara kelmarin.


LONDON - Beribu-ribu penduduk Britain mengalami banjir dan gangguan bekalan elektrik pada pagi Hari Krismas selepas hujan lebat dan angin kencang melanda negara itu .

Agensi alam sekitar Britain menyatakan semalam bahawa tiga amaran banjir besar dikeluarkan bersama 350 amaran dan nasihat cuaca lain di selatan dan tengah England.

Puluhan ribu orang dengan sebahagian besarnya di selatan England terpaksa bergelap menjelang malam sebelum Krismas dengan pasukan jurutera masih bekerja keras untuk memulihkan bekalan semalam.

Angin kencang selaju 145 kilometer sejam melanda Britain dan Perancis pada Isnin dan kelmarin manakala hujan lebat menyebabkan perkhidmatan feri, penerbangan dan tren terpaksa dibatalkan.

Bencana angin kencang dan hujan lebat itu menyebabkan lima orang terbunuh di Britain sejak tiga hari lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, polis di Dorset, barat daya England telah memindahkan lebih 100 penduduk di dua lokasi berasingan kelmarin ekoran peningkatan paras air di sebuah sungai berdekatan. - Reuters

Penyeludup China gali terowong

Posted:

Penyeludup China gali terowong

Penyeludup China gali terowong


DUA anggota pasukan keselamatan Hong Kong mengangkat keluar barang yang ditemui di dalam sebuah terowong haram di negara itu kelmarin.


BEIJING - Kumpulan penyeludup dari China menggali sebuah terowong konkrit menuju ke Hong Kong yang dilengkapi lampu, sistem pengudaraan dan landasan untuk mengangkut barang, lapor media tempatan semalam.

Menurut laporan laman web China.com.cn laluan tersembunyi dan sepanjang 40 meter itu bermula di dalam sebuah gudang di Shenzhen dan berakhir di sebuah kawasan semak di Hong Kong.

"Ia dibina secara profesional," menurut laporan berkenaan.

Hong Kong yang merupakan wilayah separa autonomi dan Shenzhen merupakan antara hab perdagangan utama di China tetapi mempunyai sistem cukai yang berbeza.

Kumpulan penyeludup yang masih tidak dikenal pasti itu membina turut memasang landasan kereta api bersama sebuah gerabak yang digunakan untuk menyeludup pelbagai barangan seperti telefon pintar dan komputer tablet.

Pembinaan terowong haram itu dianggarkan menelan belanja tiga juta yuan (490,000) dan mengambil masa selama empat bulan.

Beberapa anggota kawalan sempadan menemui terowong itu seminggu lalu.

Terowong itu berukuran 40 meter panjang dan satu meter tinggi masih dalam pembinaan. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved