Sabtu, 21 Disember 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Permainan interaktif lolos diri

Posted:

Permainan interaktif lolos diri

Permainan interaktif lolos diri


TANGAN pemain akan digari sebelum di bawa masuk ke dalam bilik tema Prison Break.


SEKUMPULAN kanak-kanak lelaki kelihatan cukup fokus ketika mendengar penerangan yang diberikan oleh salah seorang petugas di lobi Escape Room yang terletak di e@Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu.

Segala apa yang diberitahu perlu difahamkan dengan teliti bagi membolehkan mereka membebaskan diri dalam tempoh yang ditetapkan sebaik bilik dikunci.

"Anda semua perlu mendapatkan harta karun yang terdapat di dalam kapal lanun itu nanti.

"Terdapat beberapa petunjuk yang diperlukan bagi membolehkan anda menemui harta karun tersebut.

"Masa yang diberikan hanyalah selama 45 minit," ujar petugas tersebut, Mel Alex, 25.

Sebaik diberikan penerangan, kesemua mereka dibawa masuk ke dalam ruang bilik mengikut tema yang dipilih para pemain.

Ketika pintu ditutup, jam detik digital yang tergantung di bahagian atas penjuru dinding memulakan kiraannya.

Bermula dari saat itu jugalah, otak mereka ligat memikirkan cara bagi memastikan misi mencari harta karun itu berjaya dilaksanakan.

Berbekalkan sinaran lampu yang minima, kesemua mereka perlu mencari petunjuk satu demi satu bagi membolehkan mereka menjumpai kunci jalan keluar.

Setiap perincian peralatan yang terdapat di dalam bilik tersebut perlu diteliti dengan betul bagi mendapatkan petunjuk.

Dalam tempoh masa yang diberikan, mereka perlu membebaskan diri masing-masing. Jika tidak, mereka dianggap gagal.

"Kami tidak berjaya untuk meloloskan diri. Ia betul-betul menguji minda.

"Ketika berada di dalam, kami berasa keliru dengan petunjuk yang diberikan. Ia memerlukan kita berfikir secara kreatif," ujar pelajar Sekolah Antarabangsa Sri KDU, Ethan sebaik masa tamat.


PEMAIN akan diberikan penerangan sebelum memulakan permainan.


Ethan yang berumur 12 tahun itu datang bersama lima lagi rakannya untuk bermain di dalam ruang bilik bertemakan Pirate Ship.

"Ia sangat susah tetapi sangat menyeronokkan," keluh rakannya, Naveen, 11.

Tema bilik

Pirate Ship merupakan satu daripada enam bilik yang terdapat di Escape Room berkenaan.

Ia merupakan antara bilik tema permainan yang dianggap memiliki tahap kesukaran yang tinggi dan benar-benar menguji daya kreativiti dan gerak hati pemain.

Selain daripada itu, tema The Slaughter House diklasifikasikan sebagai permainan tahap lima kerana dianggap paling sukar.

Bagi tema The Mysterious dan Prison Break masing-masing mempunyai kesukaran tahap empat.

Bilik bertemakan The Mummy dan The Abandoned Factory pula dikategorikan memiliki kadar kesukaran yang paling rendah iaitu tahap tiga. Ia bersesuaian bagi peserta yang mahu mencubanya buat pertama kali.

"Permainan ini membuatkan pemain berasa seperti betul-betul berada di dalam dunia sebenar mengikut tema yang dipilih.

"Malah di sini jugalah ia dapat mengajar seseorang erti bekerjasama sebagai satu kumpulan bagi mencapai misi yang ditetapkan," ujar Pengarah Operasinya, Victor Lo yang memberitahu permainan itu diperkenalkan di negara ini pada pertengahan Julai lalu.

Kata Victor, jumlah maksimum pemain yang dibenarkan pada satu-satu masa ialah seramai enam orang.

Katanya, biarpun permainan ini membenarkan penyertaan secara seorang diri sahaja, namun, ia lebih seronok jika dimainkan secara berkumpulan selain mampu membantu daripada segi mencurahkan idea dalam menyelesaikan teka-teki yang diberikan.

Uji minda


PENGGUNAAN teknologi tinggi seperti laser digunakan dalam permainan ini.


Kekuatan fizikal bukanlah menjadi kayu ukur bagi peserta untuk menamatkan permainan ini.

Apa yang lebih penting ialah permainan ini menguji kekuatan daya pemikiran dan logik akal.

Cerita Victor, jika peserta menghadapi kesukaran untuk mendapatkan jawapan, mereka dibenarkan mendapatkan bantuan dari petugas kami sebanyak dua kali sahaja.

"Terdapat loceng disediakan di dalam bilik itu.

"Sebaik ia berbunyi, petugas kami akan datang ke dalam bilik untuk memberikan bantuan petunjuk yang lebih mudah," katanya yang memberitahu setiap bilik turut dikawal dengan kamera rakaman litar tertutup.

Sekiranya mereka tidak dapat melepaskan diri dalam tempoh yang ditetapkan, pemain dianggap sudah gagal dalam menyelesaikan misi permainan tersebut.

Bagaimanapun, kesemua pemain akan tetap didedahkan dengan jawapan dan kedudukan kunci yang disembunyikan di akhir permainan sekiranya mereka gagal meloloskan diri.

Atas faktor itulah, katanya, pemain yang pernah berkunjung sebelum ini tidak digalakkan untuk bermain tema yang sama jika berkunjung ke Escape Room pada masa akan datang.

Sungguhpun begitu, bagi mpeserta yang telah bermain kesemua enam tema yang ada di sini, mereka tetap berpeluang untuk merasai pengalaman tersebut selang enam bulan kemudian.

"Ini kerana, kami akan menukar tema sedia ada setiap enam bulan bagi memastikan ia dapat memberikan pengalaman yang berbeza-beza kepada setiap individu.

"Jadi, mereka berpeluang untuk merasai pengalaman baharu dengan tema yang berlainan," ujarnya yang memberitahu bayaran caj masuk ialah RM36 setiap seorang.

Rekaan bilik


SAMA ada berjaya meloloskan diri atau tidak selepas dikurung di dalam bilik, pemain akan bergambar untuk membuktikan kejayaan mereka.


Selain Victor, idea asal rekaan ruang bilik yang dibina di kawasan premis seluas 297 meter persegi ini datangnya dari Pengarah Urusannya, Jason Leung.

Menurut Jason, jalan cerita permainan yang cuba ditonjolkan ini banyak diadaptasi menerusi filem yang pernah ditayangkan kepada umum.

"Setiap permainan ada jalan ceritanya tersendiri. Sebagai contoh, tema Pirate Ship diadaptasi menerusi watak yang dilakonkan Johnny Deep dalam filem Pirates of the Carribean," katanya yang mengakui agak sukar untuk merangka petunjuk permainan.

Kongsinya, peralatan yang digunakan di dalam setiap bilik tersebut juga ditempah khas bagi membolehkan konsep asal yang ingin ditonjolkan dapat direalisasikan.

"Ada yang ditempah di dalam negara dan ada juga peralatan yang diperoleh dari luar negara," katanya yang memberitahu ia menelan kos kira-kira RM500,000 bagi tujuan tersebut.

Malah, katanya, setiap bilik juga dilengkapi dengan penggunaan teknologi tinggi seperti menggunakan alat pengesan tersembunyi.

"Sistem pengubah suai keterangan cahaya, sistem bunyi dan kesan khas seperti semburan asap diguna pakai bagi menjadikan ia nampak seperti berada di lokasi sebenar," ujarnya yang memberitahu setiap bilik dipasang dengan kamera rakaman litar tertutup bagi memantau pergerakan pemain.

Menangis, berpeluh keluar darah

Posted:

Menangis, berpeluh keluar darah

Menangis, berpeluh keluar darah


WANITA ini pernah cuba untuk membunuh diri dengan mengambil sedatif pada dos yang tinggi akibat tertekan.


SEORANG remaja wanita mengalami keadaan yang jarang berlaku menyebabkan dia menangis dan berpeluh secara tiba-tiba sehingga mengeluarkan darah.

Delfina Cedeno, 19, mula mengalami gangguan pelik sejak empat tahun lalu dan dia juga turut mengalami masalah keguguran rambut yang serius.

Cedeno yang berasal dari Veron, Republik Dominica, pernah menjalani proses pemindahan darah disebabkan darahnya keluar berterusan sehingga 15 hari lamanya.

Walaupun sudah menjalani pelbagai ujian, doktor yang merawatnya seperti kebingungan.

"Saya tidak tahu apa yang terjadi dan saya sebenarnya masih terkejut. Pada mulanya, tidak ada yang boleh membantu saya dan mereka memandang saya seperti orang gila apabila saya memberitahu apa yang berlaku," jelas Cedeno.

Katanya, dia berasa rendah diri kerana beranggapan keadaan dirinya pelik sehinggakan takut untuk meninggalkan rumah yang didiami bersama ibunya, Mariana, 36.

Ujarnya, dia terpaksa berhenti sekolah sehingga kebanyakan rakannya mula menjauhkan diri kerana takut dijangkiti.

Bunuh diri

"Orang ramai takut untuk berada berdekatan dengan saya kerana mereka fikir jika menyentuh saya, diri mereka akan dikotorkan dengan darah saya.

"Kanak-kanak pula mentertawakan kekurangan tetapi menjerit ketika bertemu saya. Disebabkan itu, saya hanya berkurung di dalam bilik tidur sahaja," katanya.

Cedeno menjadi begitu tertekan disebabkan pengalaman pahit yang dihadapinya sehingga dia berhasrat untuk menamatkan hidupnya dengan mengambil sedatif dalam dos yang tinggi.

"Saya tak sanggup nak teruskan hidup tetapi apabila keluarga ternampak saya di dalam keadaan mulut yang berbuih, mereka menghantar saya ke hospital dan ditempatkan di unit rawatan rapi selama seminggu.


TEMAN lelaki Cedeno, Avila banyak menyokongnya meneruskan hidup.


"Apabila saya tersedar, doktor memberitahu saya telah meninggal dunia secara teknikalnya sehinggakan terpaksa memberi saya kejutan elektrik.

"Tetapi menakjubkan saya dapat sedar semula dan kini, saya benar-benar gembira kerana hidup saya berubah menjadi lebih baik," ujarnya.

Beberapa bulan kemudian dia bertemu teman lelakinya, Recaris Avila, yang melawatnya di hospital selepas mendengar kisahnya.

"Dia memberitahu saya cantik dan saya akan ingat saat itu untuk sepanjang hidup saya," katanya.

Selepas empat tahun berlalu, akhirnya pakar-pakar perubatan telah membuat penemuan penting dan mendapati, Cedeno menderita dengan keadaan yang jarang berlaku dipanggil hematidrosis, bermakna dia mempunyai 20 kali ganda tahap adrenalin berbanding individu normal.

Keadaan itu menyebabkan peningkatan pada tekanan darahnya dan membuatkan dia berpeluh yang kemudiannya bertukar menjadi darah.

Menurut kajian yang dimuatkan dalam Jurnal Dermatologi India, hematidrosis ialah fenomena saluran darah yang mengelilingi kelenjar peluh menjadi sempit akibat peningkatan tekanan darah.

Saluran darah pecah

Disebabkan itu, saluran darah pecah dan menyebabkan darah masuk ke dalam kelenjar peluh sehingga mengeluarkan titisan darah bercampur peluh.

Cedeno diberikan ubat untuk mengawal kebimbangannya, sekali gus membantu untuk mengawal pendarahan.

"Kini, saya berasa bebas dan sudah tidak berasa hidup saya kosong lagi dengan adanya Avila. Saya masih mengalami pendarahan, tetapi saya tahu akan dapat mengawalnya kerana dia ada untuk membantu dan melindungi saya," tambahnya.

Sementara itu, seorang warga Turki, Michael Spann turut mengalami simptom sama seperti Cedeno tetapi lelaki itu mengeluarkan darah melalui mata, mulut dan hidungnya.

Malah dia juga sering menderita sakit kepala dan mengakui sukar untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan penyakitnya itu.

"Saya selalu kehilangan pekerjaan kerana mata saya sering mengalami pendarahan," ujar Spann.

Akibat tidak bekerja, Spann mendapatkan dana khas untuk mengubati penyakit tersebut.

Situasi ini juga pernah dialami oleh seorang individu berusia 15 tahun dari Tennessee, Amerika Syarikat yang mengeluarkan air mata darah hingga tiga kali dalam sehari dengan durasi 15 minit hingga satu jam.

Permainan memanggil roh

Posted:

Permainan memanggil roh

Permainan memanggil roh


RITUAL jelangkung kini hanya berfungsi sebagai persembahan kebudayaan dalam kalangan masyarakat Minangkabau di Indonesia.




PERMAINAN jelangkung juga dikenali 'Nini Thowong' atau 'Nini Thowok' bagi masyarakat Jawa bertujuan untuk menolak bala.


JELANGKUNG sudah terkenal secara meluas di Indonesia kerana ia merupakan sebuah cerita turun temurun sehingga ada filem seram yang menjadikan permainan misteri itu sebagai tajuk utamanya.

Asal-usul istilah jelangkung dipercayai mempunyai kaitan dengan kepercayaan tradisional Tionghua yang sudah tidak diamalkan lagi.

Ritual itu dikatakan berikutan terdapatnya kekuatan dewa 'poyang' dan 'moyang' iaitu Cay Lan Gong dan Cay Lan Tse yang dipercayai sebagai dewa pelindung anak-anak.

Permainan Cay Lan Gong juga bersifat ritual dan dimainkan oleh golongan remaja ketika festival bulan mengambang.

Dalam ritual Cay Lan Gong, dewa 'poyang' dan 'moyang' diseru untuk masuk ke dalam sebuah patung yang boleh bergerak di bahagian tangannya.

Di penghujung tangan patung tersebut pula diikatkan dengan sejenis alat tulis dan pada kebiasaannya ialah kapur.

Patung tersebut akan dikalungkan kunci dan dihadapkan ke sebuah papan hitam.

Petanda patung itu dirasuk dapat dilihat apabila ia tiba-tiba menjadi berat dan bergerak sambil mengangguk kepalanya sebagai tanda setuju untuk menjawab soalan-soalan yang bakal diajukan.

Jawapan pertanyaan yang diajukan kepada patung itu pula akan ditulis oleh dewa yang merasuk patung tersebut pada papan hitam yang disediakan.

Bagaimanapun, ritual Cay Lan Gong sudah tidak diamalkan lagi namun dipercayai ritual tersebut hampir sama dengan permainan jelangkung yang terkenal di Indonesia.

Seni pertunjukan

Pelbagai versi cerita berkenaan asal-usul jelangkung ini antaranya permainan jelangkung dikenali dengan sebutan 'Nini Thowong' atau 'Nini Thowok' bagi masyarakat Jawa.

Bagi mereka, permainan itu tidak hanya dikenali sebagai permainan tradisional kanak-kanak, tapi juga dilakukan sebagai usaha menjaga keselamatan sesebuah kampung dan menolak bala.

Permainan jelangkung bagi masyarakat Minangkabau pula dikenali sebagai 'Lukah Gilo'.

Permainan ini berkembang dalam bentuk seni pertunjukan di beberapa daerah dan dimainkan oleh seorang bomoh yang dikenali 'Dukun Lukah' manakala seorang hingga empat orang pemain ditugaskan memegang 'lukah' tersebut.

'Lukah' adalah alat untuk menangkap ikan air tawar yang diperbuat daripada anyaman buluh menyerupai pasu bunga.

Tangannya diperbuat daripada kayu atau buluh manakala kepalanya daripada labu atau tempurung kelapa.

'Lukah' itu juga dihias dengan kain, baju, selendang dan wajahnya dihiaskan seperti seorang wanita.

Pertunjukan 'Lukah Gilo' ini biasanya pada majlis perkahwinan atau majlis-majlis khusus untuk masyarakat Minangkabau.

Waktu pertunjukan biasanya dilakukan pada waktu malam kerana mereka yakin lebih mudah untuk memanggil makhluk halus ketika itu.

Di Indonesia, jelangkung biasanya dibuat menggunakan pencedok air daripada tempurung kelapa dan dihiasi pakaian sambil memegang sebatang kayu.

Tempurung kelapa

Setelah melakukan beberapa ritual, maka jelangkung tersebut akan bergerak dan itu menandakan patung itu sudah dirasuk.

Pada zaman dahulu, pencedok air diperbuat daripada tempurung kelapa berhulukan kayu, sehinggakan ada yang menggelar permainan jelangkung ini lebih kepada ritual pemanggilan dewa patung berkepala tempurung kelapa yang dihiasi pakaian.

Dikenali sebagai permainan kanak-kanak, patung ini akan dipegang oleh dua orang kanak-kanak sambil mantera dibacakan oleh seorang bomoh.

Ritual ini mula digunakan untuk hal-hal selain permainan seperti untuk mencari maklumat tentang sejenis penyakit dan kaedah perubatan secara tradisional.

Permainan ini pada kebiasaannya dilakukan di lokasi-lokasi yang diyakini berhantu dan biasanya pada waktu lewat petang.

Pertanyaan-pertanyaan yang diajukan juga meliputi nama makhluk halus yang merasuki patung tersebut, tahun bila meninggal dunia dan sebab tetapi ada juga yang bertanyakan soalan berhubung masa depan dan untuk tujuan perjudian.

Permainan ini menjadi cukup sederhana, dapat dilakukan hanya dengan menggunakan angka dan abjad yang ditulis di atas kertas sambil diiringi mantera.

Permainan ini juga memiliki pelbagai macam versi bahasa manteranya dan kata-kata tersebut diulang beberapa kali, dan setelah makhluk halus itu diyakini sudah masuk ke dalam patung berkenaan, maka pemain dapat bertanya apa sahaja soalan yang mereka mahukan.

Permainan ini kemudiannya berkembang sehingga mewujudkan mitos-mitos kesan daripada bermain permainan ini.

Mitos tersebut sering diperkatakan terutamanya apabila permainan ini diakhiri tanpa melepaskan makhluk halus yang masuk ke dalam patung tersebut sehinggakan ada yang menjadi marah dan menimbulkan masalah kepada pemainnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


MRR2 jadi pusat longgok sampah

Posted:

MRR2 jadi pusat longgok sampah

MRR2 jadi pusat longgok sampah

Oleh SYED AZLAN SAYID HIZAR
azlan.hizar@kosmo.com

SEBAHAGIAN daripada longgokan sampah yang dibuang di atas jalan di MRR2 dekat Kepong semalam.


KUALA LUMPUR - Gara-gara mesin pemampat Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Taman Beringin, Kepong di sini didakwa mengalami kerosakan, pemandu lori yang membawa muatan sampah berang dan bertindak melonggokan sampah di Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2).

Tindakan pemandu lori yang dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Alam Flora itu dikatakan dilakukan sejak tengah malam kelmarin sehingga pukul 8 pagi semalam. Keadaan itu menyebabkan satu lorong di jalan itu dipenuhi sampah yang dianggarkan seberat 2,500 tan pada pagi semalam.

Jalan dari Batu Caves menghala ke Damansara juga mengalami kesesakan sejauh tiga kilometer manakala puluhan ribu penduduk yang tinggal di sekitar Taman Beringin pula mengadu tidak tahan dengan bau busuk.

Antara kawasan penduduk yang terjejas ialah penduduk di Flat Aman Putra, Taman Beringin, Taman Aman Putra dan Taman Nanyang.

Difahamkan lori-lori membawa sampah itu melonggokan sampah di kawasan tersebut kerana tiada pilihan selepas tidak dimaklumkan mengenai masalah di stesen itu.

Tinjauan di situ petang semalam mendapati sebahagian besar sampah sudah dibersihkan oleh DBKL dan Alam Flora yang bekerja sejak pukul 8 pagi selepas menerima aduan daripada penduduk.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kontraktor berdepan tindakan kerana langgar peraturan, jejas imej Kuala Lumpur

Posted:

Kontraktor berdepan tindakan kerana langgar peraturan, jejas imej Kuala Lumpur

Kontraktor berdepan tindakan kerana langgar peraturan, jejas imej Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR - Kegagalan syarikat kontraktor yang dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menguruskan sampah di ibu negara menjadi punca utama sejumlah 2,500 tan sampah terpaksa dilonggokan di bahu Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) berhampiran Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Kepong semalam.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan (gambar) berkata, pihaknya memandang serius tindakan pemandu lori yang membuang sisa pepejal di sepanjang jalan berkenaan dan akan menyiasat dan mengambil tindakan ke atas mereka yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Menurut beliau, perbuatan mereka jelas telah melanggar Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) serta menjejaskan perjalanan kenderaan di MRR2 dan imej Kuala Lumpur.

"Saya ingin memaklumkan bahawa kementerian telah mengambil tindakan segera termasuk oleh semua pihak bertanggungjawab iaitu Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan meminta bantuan dari Alam Flora bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kadar baharu tol diteliti semula

Posted:

Kadar baharu tol diteliti semula

Kadar baharu tol diteliti semula



KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengkaji dan meneliti kadar baharu tol lebuh raya supaya tidak memberi keuntungan yang tidak munasabah kepada syarikat konsesi lebuh raya sehingga membebankan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) berkata, kerajaan juga sedang mencari jalan untuk mengurangkan beban rakyat termasuk memberi pas bermusim dengan diskaun kepada pengguna yang kerap menggunakan lebuh raya.

"Kita tidak mahu pemegang konsesi dapat pulangan yang terlalu tinggi, ini kerajaan sedang teliti, jangan kenaikan ini beri keuntungan yang tak munasabah kepada pengusaha tol.

"Kita sedang mencari jalan bagaimana kalau ada cara lain. Mungkin bagi pengguna yang kerap, kita boleh bagi pas bermusim dengan diskaun kepada mereka. Ini langkah-langkah yang kita sedang fikirkan," katanya dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Tahunan ke-60 MCA di Wisma MCA di sini semalam.

Beliau berkata, kutipan tol di lebuh raya adalah perlu dan tidak dapat dielak kerana syarikat konsesi perlu membayar balik pinjaman yang digunakan untuk membiayai pembinaan lebuh raya.

"Bila sektor swasta buat lebuh raya, mereka kena pinjam duit. Anda adalah peniaga, bolehkah anda keluarkan sendiri dana RM5 juta? Anda perlu meminjam, anda perlu ke pasaran bon dan perlu membayarnya.

"Duit dari mana, daripada tol. Kalau tak ada tol, kena naikkan cukai. Bagaimanapun, tol dikenakan kepada orang yang gunakan jalan lebuh raya sahaja," katanya. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Terjun sumbang emas ke-40 negara

Posted:

Terjun sumbang emas ke-40 negara

Terjun sumbang emas ke-40 negara

GANDINGAN penerjun negara, Nazreen Abdullah (kanan) dan Tze Liang menyumbang emas ke-40 kontinjen negara pada Sukan SEA 2013 semalam.


NAY PYI TAW, Myanmar - Terjun mendapat penghormatan menjadi acara yang berjaya meraih emas ke-40 untuk menyempurnakan sasaran kontinjen negara pada Sukan SEA 2013.

Gandingan Ooi Tze Liang-Muhammad Nazreen Abdullah muncul atlet paling bertuah kali ini selepas menjuarai acara 10 meter platform seirama beberapa minit selepas Mohd. Lokman Akimi Mat Roji meraih emas ke-39 menerusi acara Muay Thai dan sebelum hoki lelaki meraih emas ke-41.

Pada saingan hari terakhir acara terjun itu, Tze Liang-Nazreen mencatat 386.26 mata untuk menewaskan Andriyan-Adityo Resto Putra (327.51 mata) dari Indonesia kedua dan Timothy Lee-Mark Lee (300.24 mata) dari Singapura, ketiga.

"Saya rasa bangga bukan sahaja kerana ini emas ke-40 untuk kontinjen negara tetapi juga kerana ia merupakan emas peribadi ketiga saya pada temasya kali ini dan ketujuh buat skuad terjun negara.

"Walaupun kami ini hanya gandingan bidan terjun tetapi masih berjaya menyumbang emas untuk negara dan amat bertuah pula dapat raih emas ke-40," katanya yang mengaku hanya sempat berlatih selama seminggu bersama Nazreen sebelum datang ke Myanmar.

Sebelum ini, Tze Liang turut meraih emas dalam acara 3 meter papan anjal seirama lelaki dan 3 meter papan anjal individu lelaki.

Dia yang dijangka mampu membawa pulang 4 emas bagaimanapun dikejutkan Nazreen yang lebih muda dalam acara 10 meter platform individu lelaki.

Sementara itu, terjun turut menyumbang pingat emas ke-42 kepada kontinjen negara dan kelapan buat skuad terjun selepas gandingan Nur Dhabi Sabri-Leong Mun Yee menjuarai acara 10m platform seirama wanita.

Nur Dhabitah-Mun Yee mencatat 281.64 mata untuk menewaskan Nay Chi Su Su-Saw Hla Nandar (239.91 mata) dari Myanmar di tempat kedua dan Dewi Setyaningsih-Linadini Yasmin (239.46 mata) dari Indonesia, ketiga.

Dengan kejayaan itu, skuad terjun Sukan SEA negara menyapu bersih kesemua lapan emas yang dipertandingkan pada temasya kali ini.

Hasrat Kim Swee tidak kesampaian

Posted:

Hasrat Kim Swee tidak kesampaian

Hasrat Kim Swee tidak kesampaian

NAY PYI TAW, Myanmar - Impian pengendali Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee untuk menghadiahkan pingat gangsa kepada peminat-peminat bola sepak di Malaysia tidak kesampaian.

Selepas gagal memenangi pingat emas buat kali ketiga di Sukan SEA, Harimau muda sekali lagi ditimpa malang apabila tewas 1-2 kepada Singapura pada aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Zeyyer Thiri petang semalam.

Kegagalan itu pasti mengecewakan Kim Swee yang berhasrat untuk menjadikan pingat tersebut sebagai hadiah terbaik sempena ulang tahun kelahirannya ke-43 pada 11 Disember lalu.

Sebelum aksi menentang Singapura semalam, Kim Swee memberitahu, tidak ada hadiah yang paling bermakna selain memenangi pingat gangsa buat para penyokong bola sepak di tanah air.

"Ia adalah hadiah terbaik untuk peminat-peminat sebagai penutup tahun 2013.

"Selain itu, ia juga akan menjadi kenangan terindah buat A. Thamil Arasu, Izzaq Faris Ramlan, Mohd. Izham Tarmizi Roslan, Mohd. Irfan Fazail, Ahmad Hazwan Bakri dan Mohd. Fadhli Mohd Shas yang akan beraksi buat kali terakhir dengan harimau Muda," katanya.

Meskipun gagal merealisasikan impian tersebut, jurulatih kelahiran Melaka itu tetap berpandangan positif dan berjanji untuk mencari jalan penyelesaian sebaik kembali ke Malaysia.

Kekecewaan Kim Swee turut dikongsi pemain pertahanan kiri, Nazirul Naim Che Hashim.

Bagaimanapun, Nazirul Naim mengakui bahawa perjuangan Harimau Muda belum berakhir meskipun gagal memenangi pingat gangsa.

"Terima kasih kepada semua penyokong Harimau Muda. Kegagalan sekarang bukan berakhir satu perjuangan," katanya.

Pada aksi petang semalam, pemain tengah skuad Young Lions, Hariss Harun hanya mengambil masa dua minit untuk merobek gawang Harimau Muda masing-masing pada minit ke-12 dan 14.

Meskipun penyerang Harimau Muda, A Thamil Arasu berjaya merapatkan jurang pada minit ke-67, ia sudah terlambat untuk mengikat kedudukan, sekali gus memaksa kemenangan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Emas lebur, gangsa pun berkecai

Posted:

Emas lebur, gangsa pun berkecai

Emas lebur, gangsa pun berkecai


JARINGAN Thamil Arasu (dua dari kanan) tidak cukup untuk membantu Harimau Muda menewaskan Singapura pada aksi penentuan pingat gangsa acara bola sepak Sukan SEA 2013 semalam.


NAY PYI TAW, Myanmar - Dua gol pantas yang dijaringkan kapten Singapura, Hariss Harun memusnahkan impian skuad Harimau Muda untuk membawa pulang pingat gangsa pada Sukan SEA 2013.

Pada aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Zeyyer Thiri petang semalam, pemain tengah skuad Young Lions itu menyumbat dua gol untuk membantu Singapura menewaskan Harimau Muda 2-1

Hariss hanya mengambil masa dua minit untuk merobek gawang Harimau Muda masing-masing pada minit ke-12 dan 14.

Meskipun penyerang Harimau Muda, A Thamil Arasu berjaya merapatkan jurang pada minit ke-67, ia sudah terlambat buat anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee untuk mengikat kedudukan, sekali gus memaksa perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.

Kim Swee berkata, dua gol awal itu telah mematahkan semangat anak-anak buahnya.

"Sudah tentu, dua gol dalam tempoh dua minit memberi kesan kepada para pemain. Meskipun mereka cuba bangkit pada babak kedua, ia tidak memadai dan kami terpaksa menerima padah.

"Sebelum dua gol yang diperoleh Singapura itu, pemain-pemain beraksi dengan baik dan bersemangat untuk memburu gol. Namun, keadaan menjadi sebaliknya," kata Kim Swee.

Pada perlawanan tersebut, Hariss membuktikan keberkesanan penyudah yang dimilikinya apabila bijak menyambar bola yang jatuh di hadapannya hasil kesilapan penjaga gol Harimau Muda, Mohd. Izham Tarmizi Roslan.

Dua minit kemudian, Hariss sekali lagi menewaskan Izham Tarmizi hasil kesilapan yang dilakukan pemain pertahanan skuad negara.

Corak permainan anak-anak buah Kim Swee sedikit berubah sebaik Harimau Muda ketinggalan dua gol dan keadaan itu berlanjutan sehingga rehat babak pertama.

Harimau Muda cuba bangkit pada separuh masa kedua dan memperoleh suntikan semangat hasil jaringan Thamil.

Selepas itu, pemain-pemain menggandakan usaha untuk memburu gol penyamaan dan peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-86 tetapi lorongan penyerang, Rozaimi Abd. Rahman sekadar melepasi pintu gol Singapura.

Sebaik aksi memasuki masa tambahan, Harimau Muda sekali lagi berpeluang untuk menjaringkan gol tetapi rembatan Shahrul Mohd. Saad terus ke dakapan penjaga gol Singapura, Muhammad Izwan Mahbud, manakala rembatan D. Saarvindran tersasar.

Kim Swee berkata, meskipun tidak berjaya mencapai sasaran untuk memenangi emas hatrik, beliau perlu bersikap positif.

"Sudah pasti semua orang termasuk rakyat Malaysia kecewa dengan kegagalan ini tetapi kami perlu memandang ke hadapan dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut," katanya.

Kegagalan ini merupakan penamat yang mengecewakan buat Harimau Muda terutamanya selepas tewas 3-4 kepada Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir, Khamis lalu.

Harimau Muda menamatkan penantian selama 20 tahun untuk memenangi pingat emas dalam acara bola sepak lelaki selepas skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal menjuarai Sukan SEA 2009 di Vientiane, Laos.

Dua tahun kemudian, Kim Swee berjaya mempertahankan pingat emas itu selepas menewaskan Indonesia 3-4 menerusi penentuan sepakan penalti tetapi gagal mengulanginya pada edisi ke-27 temasya dwitahunan itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Lebih 75 cedera siling teater runtuh

Posted:

Lebih 75 cedera siling teater runtuh

Lebih 75 cedera siling teater runtuh

ANGGOTA bomba memeriksa bumbung Teater Apollo di pusat bandar raya London kelmarin.


LONDON - Serpihan plaster dan habuk menghempap penonton apabila sebahagian siling sebuah teater di sini runtuh malam kelmarin.

Pihak berkuasa menyatakan, lebih 75 orang cedera dalam kejadian itu dengan tujuh daripada mereka parah.

Kemalangan di dewan Apollo Teater itu berlaku sekitar pukul 8.15 malam semasa pementasan The Curious Incident Of The Dog In The Night-Time pada cuti musim Krismas.

Polis berkata, sebahagian balkoni teater turut runtuh menghempap penonton.

"Ketika kejadian, dewan itu sesak dengan lebih 700 penonton," menurut kenyataan Jabatan Bomba London.

Beberapa pegawai memberitahu, kebanyakan mangsa cedera ringan dengan kesemuanya berada dalam keadaan sedar dan bernafas.

Pihak polis dan bomba memberitahu, masih terlalu awal untuk mengenal pasti punca kejadian tetapi siasatan penuh kemalangan itu sedang dilakukan.

Seorang saksi kejadian, Dee Stephenson berkata, dia sedang duduk berdekatan pentas apabila pelakon utama pementasan berkenaan menjerit: "Awas!".

"Kemudian saya dapat merasakan serpihan-serpihan jatuh menimpa dengan sebuah ketulan besar menghempap belakang saya," katanya.

Mangsa-mangsa yang cedera dirawat oleh berpuluh-puluh petugas kecemasan di sebatang jalan di luar teater berkenaan dan di sebuah teater berdekatan di sini. - Agensi

Aktivis hanya berselubung semasa berkahwin

Posted:

Aktivis hanya berselubung semasa berkahwin

Aktivis hanya berselubung semasa berkahwin


GYPSY TAUB (kiri) menyarungkan cincin ke jari pasangannya Jaymz Smith di majlis perkahwinan mereka di San Francisco.


SAN FRANCISCO - Seorang aktivis hak wanita untuk berbogel melangsungkan perkahwinannya di sini dengan hanya memakai kain selubung.

Aktivis berkenaan, Gypsy Taub telah beberapa kali ditangkap kerana melanggar undang-undang yang melarang berbogel di tempat awam.

"Ia hebat. Saya melepasi keupayaan dan jangkaan sendiri," katanya.

Pada mulanya, Taub, 44, khuatir dia bakal berdepan hukuman lebih keras termasuk di penjara selama setahun kerana melanggar undang-undang yang sama untuk kali kelapan.

"Saya tidak mahu di penjara," ujarnya kepada agensi berita Associated Press (AP).

Majlis perkahwinan Taub dengan seorang pemuda berumur 20 tahun diadakan di pekarangan bangunan Dewan Bandar Raya ini sekitar tengah hari kelmarin.

Selepas disatukan, pasangan pengantin baharu itu menari di kaki lima dengan beberapa tetamu dalam keadaan bogel atau hampir tanpa seurat benang.

Tidak lama kemudian, mereka ditahan dan dibawa dengan sebuah van oleh beberapa anggota polis.

Pasangan itu kemudian dibebaskan selepas mereka bersetuju untuk kembali mengenakan pakaian. - Agensi

Lelaki bakar diri di kota Vatican

Posted:

Lelaki bakar diri di kota Vatican

Lelaki bakar diri di kota Vatican


SEORANG lelaki kelihatan terbakar terbaring di lantai dekat Dataran St. Peter di Bandar Vatican, Itali kelmarin.


KOTA VATICAN - Seorang lelaki Itali berusia 50-an nyaris maut selepas dia bertindak membakar dirinya di Dataran St. Peter di sini kelmarin, kata polis.

Pihak berkuasa memberitahu, kejadian membakar diri jarang berlaku di kota ini yang merupakan pusat pentadbiran mazhab Kristian Roman Katholik.

Lelaki berkenaan yang berusia 52 tahun dan bekerja sebagai tukang cuci kini dirawat di sebuah hospital akibat melecur teruk.

Sebelum kejadian, dia dilapor bertengkar dengan anggota keluarganya.

Dalam pada itu, rakaman kamera keselamatan menunjukkan dia membakar diri dengan menyalakan api pada pakaiannya. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Ismail Sabri minta petani segera lapor kerugian akibat banjir

Posted:

Ismail Sabri minta petani segera lapor kerugian akibat banjir

Ismail Sabri minta petani segera lapor kerugian akibat banjir

21/12/2013 10:00pm

BERA - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini meminta petani, peladang dan penternak yang kerugian akibat banjir segera membuat laporan di agensi di bawah kementeriannya.

Beliau berkata mereka yang membuat laporan akan menerima bantuan sewajarnya dalam tempoh dua minggu.

"Saya harap mereka yang terbabit dapat berhubung dengan pejabat berkenaan di kawasan masing-masing pada kadar segera dan selepas segala maklumat diterima kita akan fikirkan bentuk bantuan yang akan diberi," katanya kepada pemberita, di sini.

Katanya kerajaan sedar bencana banjir di beberapa negeri baru-baru ini memusnahkan banyak tanaman dan ternakan termasuk sangkar ikan yang dihanyutkan air.

Dalam masa sama Anggota Parlimen Bera itu membidas pembangkang yang katanya hanya muncul apabila ada isu yang menguntungkan mereka namun hilang apabila rakyat ditimpa musibah. - Bernama

Skuad Harimau Muda A pulang dengan tangan kosong

Posted:

Skuad Harimau Muda A pulang dengan tangan kosong

Skuad Harimau Muda A pulang dengan tangan kosong

21/12/2013 9:58pm

NAY PYI TAW - Skuad Harimau Muda A pulang dengan tangan kosong apabila gagal merebut pingat gangsa di temasya Sukan SEA ke-27 selepas mengalami kekalahan 1-2 kepada Singapura pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat yang berlangsung di Stadium Zayar Thiri petang ini.

Corak permainan skuad negara pada babak pertama hambar yang membuka beberapa ruang kepada Singapura melakukan beberapa serangan bagi menembusi benteng pertahanan negara yang dikawal oleh Mohd Zubir Mohd Azmi dan K.Reuben.

Kecelaruan di barisan pertahanan negara membuka ruang kepada kapten pasukan Singapura Hariss Harun menjaringan gol pertama pada minit ke-14 sebelum beliau menggandakan jaringan seminit kemudian.

Peluang keemasan Malaysia menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-33 gagal dimanafatkan oleh penyerang negara, A. Thamil Arasu apabila sepakan penalti yang dilakukanya dinafikan oleh penjaga gawang Singapura, Muhammad Izwan Mahbud.

Bersambung pada babak kedua perlawanan Malaysia yang tertekan dengan kedudukan 2-0 memperkemaskan jentera serangan dengan menggandakan serangan bagi menembusi pertahanan Singapura, namun gagal menjaringan gol.

Gawang gol Malaysia sekali lagi diuji apabila Muhammad Hafis Abu Sijad melakukan rembatan padu pada minit ke-62 namun penjaga gawang negara Mohd Izham Tarmizi Roslan bertindak pantas menyelamatkan maruah negara.

Kesilapan pada benteng pertahanan Singapura membuka peluang kepada penyerang berbisa negara, A. Thamil Arasu membuat rembatan kencang menjaringkan gol pertama negara pada minit ke-68.

Perlawanan berakhir dengan keputusan Malaysia tewas kepada Singapura 1-2.

Sementara itu jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee berkata beliau dan pasukan kecewa dan sedih dengan kegagalan mereka untuk membawa pulang pingat gangsa untuk negara.

"Sudah pasti kegagalan hari ini bukan hanya menghampakan harapan saya dan juga pemain tetapi turut sama rakyat Malaysia. Namun barisan pemain kita telah bermain dengan bersungguh-sungguh malam ini," katanya kepada pemberita pada majlis sidang akhbar hari ini. - Bernama

Kejayaan capai sasaran 40 emas hadiah sentimental

Posted:

Kejayaan capai sasaran 40 emas hadiah sentimental

Kejayaan capai sasaran 40 emas hadiah sentimental

21/12/2013 9:55pm

NAY PYI TAW - Tiada hadiah lebih berharga buat ketua kontinjen negara ke Sukan SEA Myanmar, Datuk Amiruddin Embi yang menyambut hari lahir ke-67 hari ini, selain kejayaan Malaysia mencapai sasaran 40 pingat emas.

Amiruddin berkata kejayaan atlet negara menepati sasaran itu cukup bermakna kepadanya dan menaikkan lagi semangat untuk memastikan sukan negara berada di tahap lebih tinggi.

"Ini hadiah ulang tahun kelahiran yang sentimental. Saya percaya kita mampu menambah beberapa pingat emas lagi," katanya kepada pemberita di Pusat Akuatik Wunna Theikdi di sini hari ini.

Malaysia berjaya mencapai sasaran 40 pingat emas apabila gandingan Ooi Tze Liang/Muhammad Nazreen Abdullah mengungguli acara 10m platform lelaki.

Lebih manis lagi, sambutan ulang tahun kelahiran Amiruddin yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, diraikan di pusat akuatik berkenaan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong.

Acara ragbi bagaimanapun tidak dipertandingkan dalam temasya di Myanmar ini. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Jackie Chan tiada tandingan

Posted:

Jackie Chan tiada tandingan

Jackie Chan tiada tandingan

PADA usianya yang bakal menjengah 60 tahun menjelang 2014 kelak, stamina yang dipaparkan dalam setiap filem aksi lakonannya sangat mengujakan. Itulah kehebatan Jackie Chan yang memang tidak dapat dinafikan lagi walaupun kini ramai pelakon baharu yang muncul.

Berpeluang bertemu aktor tersohor Hong Kong yang berjaya mencipta nama di Hollywood itu merupakan saat yang begitu bermakna.

Ini kerana bukan mudah untuk meraih peluang bertentang mata dengan Jackie. Bakal tampil dalam filem terbaharu Police Story 2013, baru-baru ini Jackie turun ke Malaysia bagi mempromosi filem tersebut di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur.

Berbicara terus mengenai watak yang dilakonkannya dalam filem itu iaitu sebagai seorang anggota polis yang bernama Zhong Weng, tutur Jackie, karakter lakonannya itu menuntut dirinya menghidupkan watak seorang ayah kepada anak yang sedang memberontak dari segi emosi.

"Perbezaan Police Story kali ini ialah ia kurang dengan aksi dan banyak drama. Ia memang lain daripada filem Police Story yang pertama kali dihasilkan pada tahun 1985. Kali ini, saya memegang watak ayah kepada seorang anak perempuan.

"Sejujurnya, jalan cerita filem ini memang sangat releven dengan kehidupan sebenar saya. Suatu ketika dahulu, saya seorang yang sangat sibuk sehingga mengabaikan keluarga. Walaupun begitu, saya amat menyayangi anak-anak saya," akuinya.

Lebih drama, kurang aksi

Bicara lanjut mengenai Police Story 2013, kali ini Jackie banyak bermain dengan emosi yang padat dengan elemen penuh drama.

Akui Jackie, kini dia mahu memberi tumpuan kepada filem yang mengandungi lebih banyak elemen drama berbanding aksi.


MESRA. Jackie menjawab soalan-soalan yang diajukan media Malaysia pada sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.


"Saya rasa, mulai sekarang tidak semestinya semua filem yang saya lakonkan seperti CZ12. Jadi, kali ini saya mahu lebih fokus terhadap watak saya dan bukan aksi.

"Apabila menonton Police Story 2013, anda pasti dapat lihat elemen aksinya juga tidak sarat sepertimana dalam CZ12," jelasnya yang bakal tampil dalam filem berjudul Dragon Blade pada tahun 2015.

Memberi pendapat peribadi, tutur Jackie, filem aksi kini sudah kurang unsur keseniannya apabila ia terlalu banyak menggunakan efek khas atau imej penjanaan komputer(CGI).

Tambahnya, jika mahu hasilkan filem penuh aksi seperti CZ12, maka filem tersebut harus digarap oleh dirinya sendiri.

"Masalahnya, jika berikan kerja ini kepada pengarah lain, maka mereka terpaksa mengikut bajet dan masa yang diberikan oleh penerbit.

"Untuk CZ12 , saya ambil masa selama setahun setengah dan bagi adegan aksi sahaja ambil masa tiga bulan. Tiada mana-mana produksi yang mahukan perkara tersebut.

"Jadi, saya perlu arahkan filem saya sendiri bagi memastikan semua perkara yang saya mahukan terlaksana," bicara Jackie.

Menari dan cinta

Walau apapun filem yang menampilkan Jackie Chan, penonton sudah pastinya menjangkakan penceritaan yang penuh aksi.

Cinta mahupun romantik memang satu genre yang sudah pasti tidak dijangka daripada filem lakonan lelaki ini.

Bagaimanapun, jawab Jackie ketika ditebak soalan tentang adakah dia teringin untuk bersara daripada berlakon dalam filem genre aksi, jawabnya: "Saya memang letih kerana asyik berlawan sahaja.

FILEM Police Story 2013 menampilkan Jackie Chan menerusi watak yang turut bergelut dengan emosi.


"Pernah juga saya terfikir mahu berubah angin untuk berlakon dalam filem cinta, romantik serta penuh dengan drama. Malangnya, tiada siapa mahu berikan tawaran seumpama itu kepada saya," tuturnya.

Tambah Jackie: "Saya rasa satu hari nanti, saya perlu belajar menari. Siapa tahu, satu hari kelak, saya akan diberi tawaran watak yang memerlukan saya menari.

"Mengambil contoh yang pernah saya alami ketika Steven Spielberg beri tawaran watak dalam filem The Tuxedo. Saya perlu menyanyi dan menari! Oleh itu, bagi saya, sebagai seorang pelakon, mereka perlu punya versatiliti dalam diri."

Bersara

Menyingkap kenyataan yang pernah dikeluarkannya pada tahun lepas ketika mempromosi filem CZ12, kata aktor ini, dia mahu bersara dari dunia filem aksi. Ketika diajukan tentang soalan tersebut, Jackie tersenyum sebelum memberi jawapan.

"Saya memang pernah berniat begitu, namun, keadaan memang tidak mengizinkan saya berbuat demikian.

"Bagaimanapun, apa yang saya ingin katakan, CZ12 merupakan filem yang penuh aksi terakhir saya.

"Mengapa saya keluarkan kenyataan seperti itu ialah kerana saya rasa serik dengan kecederaan yang saya alami selama ini. Tapi, sejurus saya pulih, saya lakukan lagi. Tapi mungkin selepas sebuah lagi filem yang ingin saya garap ini saya akan buat keputusan," jelasnya tentang persaraan tersebut.

Rossa kekok bergelar datuk

Posted:

Rossa kekok bergelar datuk

Rossa kekok bergelar datuk

FIGURA popular Indonesia ini mengakui pernah bercinta dengan lelaki Malaysia.


SELEPAS dianugerahkan darjat kebesaran yang membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun keputeraan ke-83 Sultan Pahang pada 24 Oktober lalu, Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani masih kekok menggalas tanggungjawab itu.

Ujar Rossa, gelaran yang dianugerahkan kepadanya membuktikan persaudaraan antara kerajaan Malaysia dan Indonesia masih utuh.

"Memang ada kontroversi selepas saya dianugerahkan gelaran ini, ada yang tidak berpuas hati kerana saya bukan warganegara Malaysia tapi saya tidak boleh menolak rezeki Allah dan Alhamdulillah saya bersyukur.

"Dengan amanah ini saya boleh memperkuatkan persaudaraan Malaysia dan Indonesia dan sejujurnya tanggungjawab ini sangat berat.

"Layak atau tidak saya tidak tahu kerana gelaran itu diberi bukan sebab saya yang minta dan saya menghargai anugerah yang diberikan. Mudah-mudahan suatu hari nanti pihak terbabit nampak siapa yang layak di mata mereka," ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta di Best Western Premier Dua Sentral, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Rossa, dia masih belum terbiasa untuk menerima panggilan Datuk apabila berada dalam khalayak ramai.

"Pertama kali dipanggil Datuk ketika berjalan saya buat tidak tahu kerana belum biasa lagi. Kemudiannya, saya mengadakan sidang akhbar di Indonesia untuk menjelaskan gelaran yang dianugerahkan untuk mengelakkan salah faham," tambahnya.

Menerangkan lebih lanjut ekoran anugerah itu yang diberikan memungkinkan ibu kepada seorang cahaya mata itu bakal lebih kerap bertandang ke Malaysia, Rossa mengakui akan perkembangan itu.

Dua tahun lalu, Rossa pernah dianugerahkan gelaran Kanjeng Mas Ayu Tumenggung (K.M.Ay.T) oleh kerajaan Solo yang terlebih dahulu melatihnya bersikap adil dan liberal.

Ditanya pula tentang khabar angin yang mengatakan Rossa sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang jejaka di Malaysia, penyanyi lagu Pudar itu enggan mengulas lanjut.

ROSSA dan Hafiz berkolaborasi menerusi single berjudul, Salahkah.


"Memang saya ada pacar (kekasih) tapi saya tidak mahu mendedahkan identitinya buat masa sekarang kerana takut menjadi fitnah.

"Saya ada ramai sahabat di Malaysia dan pernah bercinta dengan orang dari sini tapi sekarang saya lebih berhati-hati.

"Kami masih dalam proses mengenali satu sama lain dan sudah pasti dia lebih pintar daripada saya dan lebih berusia," katanya mengenai lelaki yang bergelar usahawan itu.

Sementara itu, Rossa berkongsi keterujaan merakamkan sebuah single terbaharu bersama juara Akademi Fantasia musim ke-7, Hafiz Suip berjudul, Salahkah.

Single yang dicipta oleh Moh Charly Van Houtten itu menjadi runut bunyi drama bersiri terbaharu, Bukan Kerana Aku Tak Cinta yang disiarkan di saluran 134 Mustika HD.

"Ini kali pertama saya mempunyai sebuah single khusus di Malaysia, tambah menarik single ini menjadi lagu tema untuk sebuah drama bersiri di sini.

"Sebelum ini saya pernah mendengar suara Hafiz berduet bersama Datuk Siti Nurhaliza, kebetulan saya mempunyai sebuah lagu yang telah lama saya simpan jadi apa salahnya untuk saya menjadikan lagu itu sebagai lagu duet bersama Hafiz.

"Hafiz seorang penyanyi yang lucu, merendah diri dan terbuka untuk menerima idea baharu serta boleh memberikan kerjasama dengan baik," puji Rossa. - KHAIRUL AMRI HASSAN

Pekin, Uqasha rahsia tarikh akad nikah atas permintaan keluarga

Posted:

Pekin, Uqasha rahsia tarikh akad nikah atas permintaan keluarga

Pekin, Uqasha rahsia tarikh akad nikah atas permintaan keluarga

Oleh IZWAN MOHD. ISA
izwan.mohdisa@kosmo.com.my


PEKIN dan Uqasha sudah sepakat memilih tarikh perkahwinan mereka.


GELORA cinta antara Pekin Ibrahim dan pasangannya, Uqasha Senrose boleh diibaratkan seperti pasang surutnya air laut. Lebih mudah jika disimpulkan hubungan kedua-dua pelakon ini seolah-olah tidak pernah berhenti dibadai kontroversi.

Bulan lalu, Pekin mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangannya dengan Uqasha kerana mendakwa kakak kepada pelakon Nelydia Senrose itu berlaku curang dengan pelakon popular, Sharnaaz Ahmad.

Tidak sampai beberapa hari, hubungan yang kononnya terputus itu kembali terjalin setelah dakwaan curang tersebut hanyalah pakatan Sharnaaz dan Uqasha untuk mengenakan Pekin sempena hari lahirnya yang ke-32.

Pekin atau nama sebenarnya Mohd. Iznan Ibrahim berkata, dia dan Uqasha bakal mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan. Bagaimanapun, tarikh hari bahagianya dengan Uqasha itu masih dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Pekin yang ditemui pada majlis pratonton filem Tokan yang diadakan di Cathay Cineplexes, e-Curve Damansara, Kuala Lumpur kelmarin.

Kosmo!: Benarkah Pekin dan Uqasha akan mendirikan rumah tangga pada masa terdekat ini?

PEKIN: Saya dan Uqasha akan berkahwin pada tahun hadapan. Kami telah pun memilih tarikh untuk melangsungkan majlis pernikahan. Tetapi, atas permintaan pihak keluarga terdekat, kami terpaksa merahsiakan tarikh tersebut daripada pengetahuan umum. Apabila telah tiba masa yang sesuai, kami pasti akan mengumumkannya kepada pihak media dan para peminat.


PEKIN (depan, kanan) bersama barisan karyawan filem Tokan pada majlis pratonton filem itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Adakah keputusan untuk mengahwini Uqasha diambil selepas kontroversi demi kontroversi melanda hubungan percintaan anda berdua?

Saya memutuskan untuk mengahwini Uqasha bukan sebab kontroversi yang terjadi beberapa bulan lalu. Saya memang begitu menyayanginya dan mahu dia menjadi teman hidup saya selamanya. Jika ikutkan hati, saya mahu mengahwininya pada hari pertama saya dan dia bertemu.

Bagaimana dengan persiapan perkahwinan?

Alhamdulillah, selepas mendapat tarikh untuk melangsungkan majlis, persiapan perkahwinan kini berjalan lancar.

Apakah perkembangan terbaharu Pekin?

Saya bakal muncul dengan sebuah filem aksi berjudul Tokan arahan Ghaz Abu Bakar pada 26 Disember ini. Filem ini sedikit lain berbanding filem-filem yang telah saya lakonkan. Dari segi arahan, ia merupakan kali pertama saya bekerja dengan Ghaz.

Bagaimana bekerja dengan Ghaz?

Seperti yang kita tahu, Ghaz begitu terkenal dengan penghasilan muzik videonya yang sangat unik. Jadi, pertama kali bekerja dengannya sedikit sebanyak memberikan pengalaman baharu buat saya.

Boleh ceritakan peranan anda dalam filem tersebut?

Dalam filem ini, saya memegang watak sebagai Yusof, seorang pengawal peribadi yang begitu setia kepada majikannya, tokan dadah terbesar di Malaysia. Konflik mula tercetus apabila kawan baik kepada majikan Yusof mati dibunuh dan tokan-tokan lain berasa terancam dengan tragedi itu.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved