Sabtu, 5 Oktober 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Rawat pesakit tanpa bantuan ubat

Posted:

Rawat pesakit tanpa bantuan ubat

Rawat pesakit tanpa bantuan ubat


AHMAD KHAIRIL (kiri) akan memberitahu pelanggannya bahawa pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh akan dilakukan terlebih dahulu di klinik gimnasiumnya.


JIKA dilihat dari luar, Klinik Ideal di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur ini seakan-akan sama sahaja seperti klinik-klinik lain.

Namun, sangkaan tersebut mulai meleset apabila kru Jurnal mendapat tahu klinik tersebut turut menyediakan perkhidmatan klinik gimnasium perubatan selain beroperasi seperti klinik sedia ada.

Pemiliknya, Dr. Ahmad Khairil Faizi Rosli memberitahu, klinik yang dibuka pada penghujung bulan Oktober tahun lalu itu menggabungkan konsep klinik dan gimnasium seperti yang sudah dipraktikkan di negara-negara Eropah serta Amerika Syarikat.

"Sebenarnya, konsep itu sudah lama dipraktikkan di negara-negara Barat yang menggabungkan klinik dan gimnasium. Namun, ia bukan sahaja digunakan untuk melakukan fisioterapi tetapi juga sebagai preskripsi tambahan dalam rawatan penyakit-penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, lemah jantung, obesiti dan strok.

"Semua program di gimnasium perubatan yang terdapat di klinik itu adalah berdasarkan garis panduan daripada pertubuhan Kolej Perubatan Sukan Amerika," ujar graduan dari Universiti Edinburgh, Scotland itu.

Pertubuhan itu mengandungi 45,000 anggota dan ditubuhkan pada tahun 1954.

Ahmad Khairil berkata, idea untuk mempraktikkan konsep tersebut diperoleh berdasarkan pengalaman ketika dia bekerja di London selain melalui pembacaan sebelum mengambil keputusan untuk membawa konsep yang sama ke Malaysia.

"Penubuhan klinik dan gimnasium kesihatan ini bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan pesakit pada ubat-ubatan seterutamanya untuk penyakit-penyakit yang kronik selain memberi alternatif ke atas rawatan kesihatan serta pengambilan ubat-ubatan.

"Jika mereka benar-benar memerlukan bantuan ubat-ubatan sebagai sokongan, kita akan memastikan ia diambil pada dos yang rendah.

"Buku-buku perubatan sendiri amat menekankan gaya hidup yang sihat diamalkan selain dibantu oleh diet sihat dan ubat-ubatan tetapi senario ini berbeza di Malaysia kerana ubat-ubatan dijadikan pilihan pertama," katanya.

Sesi konsultasi

Menurutnya, pada permulaan perniagaan, ada juga individu yang ragu-ragu dengan konsep yang dibawanya kerana ia masih baharu di Malaysia.

"Alhamdulillah, sambutan yang menggalakkan diterima pada tiga bulan pertama klinik gimnasium perubatan ini beroperasi," ujarnya.

Ahmad Khairil berkata, dia akan melakukan penyelidikan mengenai pesakitnya terlebih dulu sebelum sebarang program kesihatan dilakukan.

Katanya, sebelum para pesakit menjalani program di klinik gimnasium perubatan itu, mereka terlebih dulu akan menjalani rawatan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti penyakit, tahap penyakit dan ubat-ubatan yang perlu diambil.

"Saya pernah berdepan dengan situasi apabila seorang pesakit yang mempunyai penyakit kencing manis, kolesterol dan buah pinggang yang menjalani ujian darah bagi mengetahui tahap penyakit yang dialaminya.

"Saya dapati tahap bacaan buah pinggangnya tidak normal dan pada keesokan harinya saya turut melakukan ujian darah.

"Tetapi, keputusan yang diperoleh menjadi semakin teruk berbanding sebelumnya.

"Justeru, saya mengambil langkah dengan menghentikan pemberian ubat-ubatan yang diambilnya dan memulakan program di klinik gimnasium perubatan. Alhamdulillah, selepas dua bulan dia menjalani program, tahap bacaan buah pinggangnya menjadi normal," katanya yang mempunyai seramai 87 orang pesakit yang menerima rawatan di klinik gimnasium perubatan itu.


SETIAP sesi akan disertai oleh doktor dan jurulatih yang berpengalaman di klinik gimnasium milik Ahmad Khairil.


Menurutnya, ada antara pesakitnya yang tidak dibenarkan mengambil insurans hanya kerana mereka mempunyai tekanan darah tinggi yang kronik tetapi selepas menjalani program yang diketengahkannya itu, tekanan darah tinggi mereka menjadi normal.

Dia menjelaskan, cara pengendalian setiap pesakit bagi program klinik gimnasium perubatan itu berbeza berdasarkan kepada penyakit yang dialami, tahap penyakit serta kemampuan pesakit untuk melakukan latihan fizikal yang sudah diatur untuk mereka.

"Setiap pesakit akan menjalani sesi konsultasi selama satu jam yang melibatkan panduan kesihatan, rawatan senaman fizikal dan konsultasi diet yang betul.

"Kita tidak menjalankan sesi konsultasi dalam kaedah berkumpulan sebaliknya memfokuskan kepada seorang pesakit sahaja pada satu-satu masa kerana setiap pesakit mempunyai matlamat yang berbeza.

"Pada sesi konsultasi itu, pesakit akan ditunjukkan dengan graf mengenai keadaan diri mereka selain menjalani sesi senaman dan kaunseling pemakanan," tambahnya.

Dia memberitahu, para pesakit bakal memperoleh keputusan yang bagus sekiranya mereka mengikuti apa yang telah disarankannya.

Konsisten

Ujarnya, kos sebanyak RM60 hingga RM75 dikenakan kepada pesakit bagi setiap sesi.

Klinik itu menawarkan program tersebut berdasarkan pakej iaitu untuk 12 sesi, bayaran yang dikenakan ialah RM900.

Bayaran untuk program yang mengandungi 18 sesi ialah RM1,300 dan para pesakit yang mengikuti 24 sesi dikenakan bayaran sebanyak RM1,680.

"Klinik gimnasium perubatan ini terbuka kepada semua peringkat umur dan terpulang kepada para pesakit untuk mengambil sesi-sesi itu berdasarkan nasihat doktor mengikut tahap penyakit yang dialami mereka.

"Selain itu, kita meletakkan harga yang jauh lebih murah berbanding gimnasium yang sedia ada bagi memberi pilihan kepada para pelanggan.

"Peralatan yang digunakan di gimnasium perubatan ini juga di import dari luar negara seperti Itali," ujarnya.

Sudah menjadi adat perniagaan, pasti terdapat cabaran dan kliniknya juga tidak terkecuali kerana ia terpaksa bersaing dengan gimnasium-gimnasium yang sudah terkenal.

"Selain cabaran dari segi persaingan, kita juga turut mempunyai cabaran untuk melatih para pesakit supaya hidup secara sihat dan berdisiplin.

"Saya sering tekankan tentang perkara itu perlu dilakukan secara konsisten supaya para pesakit mencapai tahap kesihatan yang bagus. Tetapi, ada antara pesakit yang tidak mahu meneruskan sesi selepas mereka memperoleh keputusan yang diinginkan.

"Ada juga yang sudah membayar pakej penuh untuk menyertai program gimnasium perubatan tetapi dia hanya menyertai sekali sesi sahaja.

"Malah, pesakit itu juga lebih selesa bergantung kepada ubat-ubatan berbanding melakukan senaman walaupun mempunyai penyakit tekanan darah tinggi yang kronik ketika berumur 33 tahun," jelasnya.

Firdaus memberitahu, pihaknya turut menawarkan program menaikkan berat badan untuk pesakit yang mempunyai berat badan rendah yang tidak normal.

Tambahnya, pesakit tidak perlu bimbang tentang keselamatan mereka ketika melakukan senaman kerana setiap sesi konsultasi akan disertai oleh doktor dan jurulatih yang berpengalaman selama lima tahun dalam bidang kecergasan iaitu Mohd. Rakin Abdul Rahim, 28.

"Sekiranya berlaku kecemasan, para pesakit tidak perlu khuatir kerana doktor akan ada bersama mereka sepanjang sesi berlangsung.

Sementara itu, bagi pasangan suami isteri, Faidzi Abdul Aziz, 34, dan Marlia Othman, 33, klinik gimnasium perubatan itu menawarkan konsep yang unik yang tidak pernah ditawarkan di klinik lain.

"Saya mula menyertai klinik gimnasium perubatan ini kira-kira tiga bulan yang lalu untuk program kecergasan dan penurunan berat badan.

"Sebelum ini, saya pernah juga mendaftar sebagai ahli di sebuah pusat gimnasium tetapi saya tidak mendisiplinkan diri bagi memperoleh berat badan yang diingini.

"Selain lokasinya yang berdekatan dengan rumah, jadual waktu program yang fleksibel juga menjadi punca saya memilih klinik gimnasium perubatan ini sebelum mencadangkannya kepada suami untuk mengikut program menaikkan berat badan dan merawat masalah kolesterol kronik yang dialaminya selama enam tahun," ujar ibu kepada empat orang anak ini.

Seorang ahli perniagaan, Azlin Othman, 43, berkata, sejak menyertai klinik gimnasium perubatan itu, dia merasakan terdapat perubahan di dalam dirinya yang sebelum ini kerap letih apabila melakukan kerja.

"Saya tiada masa untuk ke gimnasium kerana sibuk menguruskan perniagaan tetapi apabila mendapati badan kerap letih, saya merasakan perlu melakukan sesuatu sebelum terlewat apatah lagi di peringkat umur seperti ini selain jadual programnya sangat fleksibel," jelasnya.

Misteri cahaya berbentuk bulat

Posted:

Misteri cahaya berbentuk bulat

Misteri cahaya berbentuk bulat


CAHAYA ganjil yang berbentuk bulat dapat dilihat oleh sejumlah orang di beberapa tempat di Zimbabwe.


SEJAK lebih satu abad lalu, satu cahaya misteri yang berbentuk bulat kelihatan di banjaran gunung Ozark di tengah Amerika Syarikat (AS).

Kawasan pergunungan itu terletak di selatan negeri Missouri dan timur laut negeri Oklahoma di AS.

Fenomena itu dikenali sebagai lampu hantu telah menyebabkan ramai penduduk tempatan bingung kerana mereka tidak tahu punca yang menyebabkan kemunculan cahaya tersebut pada waktu malam.

Cahaya tersebut kelihatan terapung-apung di kawasan hutan di kawasan pergunungan itu yang dikenali sebagai Devils's Promenade yang terlepas di sempadan barat daya Missouri dengan timur laut Oklahoma.

Kawasan itu terletak tidak jauh dari bandar Hornet, Missouri.

Cahaya lampu ganjil itu dikenali dengan pelbagai nama seperti Ozark Spook Light, Hollis Light, Hornet Spook Light, Hornet Ghost Light, Joplin Ghost Light, Devil's Jack-O'Lantern dan Tri-State Spook Light.

Menurut portal berita Examiner.com kelmarin, pada tahun 1948, Kor Jurutera Tentera AS telah menyiasat tentang cahaya misteri itu.

Bagaimanapun, pihak tentera itu gagal menemui punca yang menyebabkan cahaya tersebut muncul.

Pihak kerajaan AS memutuskan punca kemunculan cahaya itu masih tidak diketahui.

Baru-baru ini, kumpulan Pemburu Hantu Missouri berjaya merakamkan gambar cahaya misteri itu bagi membuktikan tentang kewujudannya.

Berdasarkan rakaman itu yang turut disiarkan di laman YouTube, terdapat dua cahaya ganjil di atas kawasan pergunungan tersebut.

Satu cahaya bulat itu kelihatan berkelip-kelip.

Terdapat satu lagi cahaya kecil yang berbentuk hampir bulat bersinar-sinar di langit.

Namun, bentuk cahaya itu tidak dapat dilihat dengan sepenuhnya kerana ia dihalang dengan ketinggian banjaran gunung tersebut.

Cahaya yang kecil itu kadangkala membesar dengan tiba-tiba.

Klip video yang menunjukkan cahaya itu dimuat naik sejak 29 September lalu.

Antara teori lain yang mengaitkan kewujudan cahaya itu adalah ia disebabkan pembiasan lampu kereta dan papan tanda iklan.

Namun, teori itu tidak boleh digunakan kerana cahaya lampu itu wujud sejak sebelum adanya papan tanda iklan.

Cahaya itu juga telah muncul sebelum kereta dicipta.

Ia telah wujud sejak tahun 1866 yang dapat dilihat dari sebatang jalan raya di kawasan luar bandar di kawasan berdekatan cahaya misteri itu muncul.

Terdapat cerita legenda yang menyatakan dua cahaya itu adalah roh dua Orang Asli Quapaw yang meninggal dunia di kawasan tersebut.

Ada juga cerita legenda yang menyatakan bahawa lampu itu merupakan roh seorang ketua Orang Asli Osage yang kepalanya dipenggal di kawasan tersebut.

Roh tersebut dikatakan mencari kepalanya yang hilang menyebabkan cahaya itu muncul.

Cahaya itu muncul pada pukul 10 malam waktu tempatan walaupun terdapat angin kuat dan hujan.

Cahaya misteri yang berbentuk seperti bulan juga dapat dilihat oleh sejumlah penduduk di Zimbabwe pada 29 September lalu.

Ia kelihatan bergerak di langit di antara pukul 7 dan 7.15 malam waktu tempatan.

Sejumlah penduduk di Karoi, Mashonaland Barat, Gunung Darwin di Mashonaland dan Mutoko dan Mashonaland Timur mendakwa mereka melihat cahaya tersebut.

Cahaya tersebut berjaya dirakamkan oleh penduduk dan disiarkan di YouTube.

Sebahagian penduduk juga menyaksikan cahaya ganjil itu di Botswana, Afrika Selatan dan Malawi di Afrika.

Ada beberapa penduduk mendakwa ia merupakan objek terbang tidak dikenali (UFO).

Cahaya itu muncul selama dua minit.

Menurut portal berita New Zimbabwe.com pada 1 Oktober lalu, seorang pensyarah sains dan pemerhatian bumi di Universiti Zimbabwe, Prof. Amon Murwira berkata, cahaya itu mungkin berasal daripada serpihan satelit yang sedang mereput atau daripada sebuah peralatan untuk melonjakkan ketinggian roket ke angkasa lepas.

Suara misteri sapa kehadiran

Posted:

Suara misteri sapa kehadiran

Suara misteri sapa kehadiran

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

SEORANG lelaki di Kampung Jabda Baik, Bentong, Pahang, Rozi Sarip memiliki pengalaman selama 13 tahun menjadi pemandu arah pendaki-pendaki yang ingin mendaki Gunung Nuang melalui kampung kelahirannya.

Lelaki yang gemar tersenyum ini pernah melakukan pelbagai pekerjaan seperti pekerja kontrak, juruukur jalan dan pemetaan hutan.

Namun, selepas lebih 10 tahun merantau sekitar Semenanjung Malaysia mencari rezeki, lelaki yang mempunyai lima orang zuriat ini kembali ke kampung asalnya.

Hidupnya agak sederhana. Selain mengusahakan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan, pendapatan utamanya ialah sebagai pemandu arah.

"Jika ada tetamu yang datang ke rumah, saya minta mereka bawa sahaja buah-buahan milik saya pulang kerana kuantitinya terlalu banyak setiap kali tiba musim buah," cerita Rozi.

Namun, lelaki ini ada kisahnya yang tersendiri. Jika mendaki gunung, pasti dia akan memakai baju sejuk dan seluar jean.

Selain itu, Rozi hanya menggunakan selipar sebagai alas kakinya.

Orang bunian

Namun, Rozi juga teruja berkongsi kisah misteri yang pernah dialaminya di Gunung Nuang.

Pada tahun lepas, dia membawa sekumpulan pelajar universiti tempatan mendaki Gunung Nuang.

"Pendakian itu berlaku seperti biasa dan para peserta dapat bermesra dengan Orang Asli yang menetap di kaki bukit yang terletak 5,000 meter dari aras laut.

"Sebelum sampai ke puncak, mereka sempat bermandi-manda di kawasan air terjun selain berkhemah pada waktu malam," ujarnya.

Namun, semasa dalam perjalanan pulang, dia terdengar suara wanita memberikan salam selain bertanya tujuan mereka mendaki gunung itu.

"Suara itu memberikan salam sebanyak tiga kali dan dia bertanyakan tujuan kami ke hutan itu. Pada mulanya, saya hanya mendiamkan diri sebelum menjawabnya.

"Saya berkata dalam hati bahawa rombongan saya sekadar ingin menumpang lalu dan tidak mempunyai niat lain," kata Rozi.

Tambahnya, di hutan belantara itu bukan sahaja dipenuhi dengan flora dan fauna tetapi ia turut didiami makhluk halus dan jin.

"Justeru, adalah sebaik-baiknya kita meminta izin selain membaca doa tertentu (ketika berada di dalam hutan). Bukan menyekutukan Allah SWT tetapi berdoa supaya aktiviti yang dilakukan itu menjadi mudah tanpa sebarang gangguan," katanya.

Orang bunian

Rozi juga tidak dapat melupakan pengalamannya semasa dia menjala ikan di sebuah sungai di Janda Baik.

"Semasa itu, saya pergi menjala ikan bersama sepupu tetapi selepas dua jam, saya masih belum mendapat hasilnya.

"Saya dan sepupu berasa pelik kerana sebelum ini kami mendapat banyak tangkapan ikan kerana sungai itu sememangnya kawasan lubuk ikan," katanya.

Namun, secara tiba-tiba, mereka ternampak kelibat seorang wanita berpakaian warna putih yang sedang membasuh baju.

"Wanita itu memakai baju berwarna putih sambil membasuh baju. Tetapi, saya tidak dapat melihat wajahnya kerana cuaca yang gelap.

"Paling mengejutkan, sepanjang wanita itu membasuh baju, tiada terdapat buih serbuk pencuci sedangkan berdasarkan fikiran logik, jika seseorang itu membasuh pakaian pastinya dia akan menggunakan serbuk pencuci," katanya.

Rozi menganggap wanita itu ialah orang bunian.

"Saya kemudian berkata dalam hati meminta kebenaran untuk menjala ikan di kawasannya untuk menyara keluarga. Secara tiba-tiba wanita itu ghaib.

"Saya kemudian menjala ikan di kawasan wanita tadi dan agak mengejutkan saya dan sepupu memperolehi ikan sebanyak tiga guni beras selain bersaiz besar.

"Tetapi, ada juga syaratnya iaitu tidak boleh ditebar melebihi tiga kali kerana mungkin orang bunian itu juga memakan ikan di kawasan terbabit

"Sebenarnya hutan belantara ini memang banyak misteri yang tersembunyi," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Tidak serik walaupun 3 kali diserbu

Posted:

Tidak serik walaupun 3 kali diserbu

Tidak serik walaupun 3 kali diserbu

Oleh NASRUL FAIZ ABU AZAL
faiz.abu@kosmo.com.my


SEBAHAGIAN daripada wanita warga asing yang ditahan di sebuah pusat hiburan di Kelana Jaya, Selangor kelmarin.


PETALING JAYA - Sebuah pusat hiburan di Kelana Business Centre di sini bukan sahaja menawarkan pegawai perhubungan pelanggan (GRO) kepada lelaki-lelaki hidung belang malah mengadakan cabutan bertuah televisyen plasma 32 inci kepada para pelanggan yang antaranya terdiri daripada golongan kenamaan.

Bagaimanapun, kerancakan GRO terbabit melayan pelanggan yang diadakan sempena ulang tahun ke-10 pusat hiburan tersebut terhenti separuh jalan apabila premis itu diserbu pihak berkuasa malam kelmarin.

Dalam serbuan pada kira-kira pukul 11.30 malam itu, 19 GRO warga asing yang terdiri daripada 13 warga Filipina dan lima dari Thailand ditahan.

Seorang pondan warga Filipina turut diberkas dalam operasi itu. Kesemua mereka berumur 21 tahun hingga 32 tahun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, ia merupakan serbuan ketiga ke atas pusat hiburan tersebut pada tahun ini. Kali ini ia membabitkan risikan selama dua hari.

"Sewaktu serbuan dijalankan, kesemua GRO terbabit sedang leka menari dan melayan pelanggan masing-masing yang kita percaya terdiri daripada orang kenamaan.

"Hasil siasatan kami mendapati sempena sambutan ulang tahun ke-10, premis itu telah menawarkan sebuah TV LCD bersaiz 32 inci untuk pelanggan yang bertuah.

"Pelanggan-pelanggan lain yang hadir turut menerima kalungan bunga sebagai tanda penghargaan daripada premis itu," katanya kepada pemberita.

Dalam serbuan yang sama, 68 pelanggan telah diperiksa manakala seorang wanita tempatan berusia 30-an dipercayai penjaga premis ditahan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Anak penjaga gol JDT meninggal

Posted:

Anak penjaga gol JDT meninggal

Anak penjaga gol JDT meninggal


Muhammad Al-Hafiz memangku jenazah anaknya, Muhammad Adam Farish di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Anak lelaki penjaga gol utama pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (Johor DT), Muhammad Adam Farish Muhammad Al-Hafiz Hamzah meninggal dunia di sini semalam akibat komplikasi penyakit jantung, paru-paru dan pernafasan.

Muhammad Adam Farish yang akan mencecah umur dua tahun bulan depan meninggal dunia kira-kira pukul 4.16 pagi di Hospital Sultanah Aminah.

Muhammad Al-Hafiz yang ditemui pemberita berkata, dia berasa sedih dan terkilan kerana tidak berada di sisi anaknya ketika ia menghembuskan nafas terakhir.

Beliau berada di Kota Bharu bersama skuad Harimau Selatan sebagai persiapan menentang pasukan Kelantan pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia malam tadi.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Mayat dua lelaki dalam but mangsa culik

Posted:

Mayat dua lelaki dalam but mangsa culik

Mayat dua lelaki dalam but mangsa culik

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


PASUKAN forensik melakukan siasatan ke atas kereta Proton Waja yang disumbat mayat dua lelaki di Hentian Alor Pongsu dekat Bagan Serai, Perak kelmarin.


IPOH - Dua lelaki yang mati dibunuh sebelum mayat mereka ditinggalkan di dalam but sebuah kereta Proton Waja di Hentian Rehat dan Rawat Alor Pongsu, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala selatan dekat Bagan Serai kelmarin disyaki mangsa culik.

Ting Liong Chin, 28, dan Seu Hong Chee, 19, dilaporkan hilang pada Rabu lalu selepas rakan Hong Chee membuat laporan polis di Pulau Pinang apabila remaja itu gagal dihubungi.

Hong Chee yang bekerja sebagai pemungut hutang di sebuah syarikat membekal alat gantian kenderaan di Pulau Pinang dan Liong Chin dari Sabah disyaki diculik di kawasan Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, susulan penemuan mayat itu, pihaknya menahan tiga lelaki berusia 20 dan 30-an bagi membantu siasatan.

"Tiga lelaki terbabit ditahan di Pulau Pinang semalam (kelmarin) dan pagi tadi (semalam). Polis percaya dua lelaki yang dibunuh itu adalah mangsa culik," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan, mayat dua lelaki ditemui dalam keadaan tangan dan kaki terikat di dalam but sebuah Proton Waja yang ditinggalkan di tempat letak kenderaan Hentian Alor Pongsu.

Perkara itu terbongkar apabila seorang pekerja pembersihan terhidu bau busuk berhampiran kereta tersebut yang dalam keadaan berkunci lalu menghubungi polis pada pukul 4.05 petang untuk tindakan lanjut.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


USM ambil inisiatif sediakan program sediakan pelajar rancang kerjaya

Posted:

USM ambil inisiatif sediakan program sediakan pelajar rancang kerjaya

USM ambil inisiatif sediakan program sediakan pelajar rancang kerjaya

05/10/2013 9:38pm

GEORGE TOWN - Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif untuk menggalakkan penuntutnya merancang kerjaya mereka bagi menghadapi saingan dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar), Prof Dr. Adnan Hussein berkata, walaupun perkara itu bukan agenda USM, usaha berkenaan dilihat penting bagi memastikan pelajarnya bersedia.

"Kita mesti pastikan penuntut kita dilengkapi maklumat yang tepat selain

membuka peluang lebih baik untuk mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 'Sector Focused Career Fair' (SFCF) 2013, di sini hari ini.

Adnan berkata, USM berharap menerusi SFCF yang merupakan inisiatif bersama Talent Corp dan universiti tempatan, akan membantu penuntut universiti itu bersedia menghadapi alam pekerjaan sebenar.

"Industri berkembang dengan pantas sekarang dan pelajar perlu mengikuti

perkembangan ini," katanya. - Bernama

Dua mayat dalam but kereta dipercayai mangsa culik

Posted:

Dua mayat dalam but kereta dipercayai mangsa culik

Dua mayat dalam but kereta dipercayai mangsa culik

05/10/2013 7:57pm

IPOH - Dua lelaki yang ditemui mati di dalam but sebuah kereta di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Alor Pongsu, Lebuh Raya Utara-Selatan semalam, mungkin mangsa culik di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, ini susulan penangkapan tiga lelaki berumur antara 20 dan 30-an di Pulau Pinang yang disyaki terbabit dengan kes penculikan itu.

"Seorang suspek ditangkap semalam, manakala dua lagi ditangkap hari ini.

Polis sedang siasat sama ada ketiga-tiga suspek ini mempunyai kaitan dengan dengan kes culik dan bunuh mangsa ini dan adakah kedua-dua mangsa ialah mangsa sebenar penculikan itu," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, kehilangan kedua-dua mangsa itu dilapor oleh rakan

mereka pada Rabu lepas.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan motif sebenar pembunuhan masih dalam siasatan. - Bernama

Kes denggi di Melaka meningkat lebih 82 peratus

Posted:

Kes denggi di Melaka meningkat lebih 82 peratus

Kes denggi di Melaka meningkat lebih 82 peratus

05/10/2013 7:45pm

MELAKA - Kes denggi di negeri ini mencatatkan pe ningkatan sebanyak 82.1 peratus antara Januari hingga 3 Oktober lalu berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah Kanan (Vektor) Penyakit Bawaan Vektor) negeri, Dr. Nur Aishah Buang berkata,sejumlah 692 kes denggi dilaporkan di negeri ini sepanjang tempoh tersebut berbanding hanya 312 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

"Kes kematian disebabkan denggi di negeri ini turut meningkat kepada enam kematian tahun ini melibatkan mangsa berusia antara lapan bulan hingga 54 tahun berbanding sifar sejak dua tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Seminar Pencegahan Denggi Menerusi Jawatankuasa Ko munikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) peringkat negeri di Wisma Perkeso, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini. - KOSMO!

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Kematian ulama cetus keganasan

Posted:

Kematian ulama cetus keganasan

Kematian ulama cetus keganasan


ORANG ramai berkumpul di sekeliling sebuah kenderaan yang dinaiki oleh imam Sheik Ibrahim Ismael yang ditembak mati oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Mombasa, Kenya kelmarin.


NAIROBI - Sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati seorang pemimpin agama dan tiga yang lain di bandar Mombasa, setahun selepas seorang imam dibunuh dengan cara dan di lokasi yang hampir sama.

Insiden itu menyebabkan golongan remaja mencetuskan keganasan jalanan dan menyalahkan polis atas pembunuhan tersebut.

Kematian Sheik Ibrahim Ismael dilihat sebagai tindakan balas oleh pasukan keselamatan atas kejadian serangan kumpulan pengganas di pusat beli-belah mewah Westgate yang membunuh lebih 60 orang mangsa.

Kumpulan ekstremis, al-Shabab mengaku bertanggungjawab atas serangan terbabit.

Imam masjid Musa yang diganti oleh Ismael sebelum ini didakwa membantu al-Shabab dan merekrut remaja untuk melancarkan serangan.

Jurucakap polis, Gatiria Mboroki menafikan bahawa polis terlibat dalam pembunuhan itu. "Kami sedang menyiasat siapa yang bertanggungjawab dan apakah motif mereka," kata Mboroki.

Sekumpulan anak muda bertindak membakar sebahagaian sebuah gereja dan tayar di atas jalan. Tindak balas daripada pihak polis mengakibatkan empat orang perusuh maut dan sekurang-kurangnya seorang cedera akibat terkena tembakan.

Kematian tersebut dibimbangi akan memburukkan lagi hubungan di antara penganut minoriti Islam dengan penganut Kristian yang menjadi majoriti di negara ini. - AP

Obama batalkan lawat rantau ASEAN, APEC di Bali

Posted:

Obama batalkan lawat rantau ASEAN, APEC di Bali

Obama batalkan lawat rantau ASEAN, APEC di Bali

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (gambar) membatalkan kehadiran ke Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2013 yang bakal berlangsung di Nusa Dua, Bali, Indonesia pada minggu depan.

Perkara itu disahkan White House lewat kelmarin selepas AS mengalami krisis penutupan operasi kerajaan sejak beberapa hari lalu.

Penutupan itu berpunca daripada Kongres AS yang gagal mencapai kata sepakat untuk meluluskan bajet bagi membiayai perbelanjaan dan hutang negara.

Satu kenyataan White House menyatakan bahawa Obama telah membatalkan kunjungan ke Bali dan sebuah lagi negara rantau Asia Tenggara, Brunei.

"Lawatan Obama ke Indonesia dan Brunei dibatalkan.

"Presiden membuat keputusan ini berdasarkan kesukaran meneruskan agenda lawatan ke luar negara ekoran penutupan operasi kerajaan AS," kata kenyataan itu.

Pada awal minggu lalu, Obama turut membatalkan lawatan ke dua lagi negara di rantau itu, Malaysia dan Filipina.

Berikutan pembatalan tersebut, Setiausaha Negara AS, John Kerry dilapor akan mengetuai delegasi negara itu mewakili Obama ke Indonesia dan Brunei.

Dalam perkembangan berkaitan, Obama terus menggesa Parti Republikan yang mendominasi Dewan Perwakilan agar membenarkan satu undian bagi menamatkan penutupan operasi kerajaan.

Setakat ini, krisis di Washington memaksa ratusan ribu penjawat awam bercuti tanpa gaji, sejumlah muzium, monumen dan taman negara ditutup, manakala penyelidikan saintifik turut terbantut. - Agensi

Polis tembak mati pemandu cuba rempuh sekatan di White House

Posted:

Polis tembak mati pemandu cuba rempuh sekatan di White House

Polis tembak mati pemandu cuba rempuh sekatan di White House


AP
DUA anggota polis melihat kereta suspek selepas drama tembakan di Capitol Hill, Washington kelmarin.


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Seorang wanita yang cuba merempuh sekatan polis dengan sebuah kereta dekat White House di sini kelmarin ditembak mati berhampiran bangunan Capitol Hill.

Suspek yang dikenali sebagai Miriam Carey, 34, memandu sebuah kereta Nissan Infiniti berwarna hitam secara berbahaya dan membawa seorang anak perempuan berusia satu tahun.

Ketua Polis Washington, Cathy Lanier berkata, pihak berkuasa kemudian mengejar suspek dari White House hingga ke bangunan Capitol Hill.

Suspek dari Stamford, Connecticut meninggal dunia berhampiran bangunan Capitol Hill selepas polis melepaskan dua tembakan ke arahnya.

Bagaimanapun, anak wanita terbabit berada dalam keadaan baik dan diberi perlindungan.

Sementara itu, Ketua Polis Capitol, Kim Dine berkata, insiden berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan keganasan.

Drama tersebut turut disaksikan oleh sebahagian pelancong di luar bangunan Capitol Hill. Malah ketika kejadian, sejumlah wakil rakyat sedang berdebat bagi menamatkan penutupan operasi kerajaan AS.

Dalam perkembangan berkaitan, ibu suspek, Idella Carey mendedahkan bahawa anaknya mengalami kemurungan selepas melahirkan anak pada Ogos tahun lalu. - AP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Transformasi gila Miley Cyrus

Posted:

Transformasi gila Miley Cyrus

Transformasi gila Miley Cyrus

MILEY melabelkan dirinya sebagai Rapunzel dengan potongan rambut mohawk.


MILEY CYRUS sedar bahawa banyak orang sedang memperkatakan tentang dirinya yang dilabelkan semakin nakal dan liar.

Saban hari dia menjadi bahan tatapan umum dengan pelbagai tajuk yang berapi-api kontroversinya.

Namun, satu pun tak meninggalkan kudis baginya. Dia langsung tidak peduli tentang tanggapan yang sedang menjalar liar kepada dirinya.

Lebih daripada itu, bintang muda berusia 20 tahun tersebut gembira dengan perhatian yang mula memusat kepada dirinya.

Sebagai seorang bintang, perhatian amat penting buat dia melonjak naik dalam lambakan anak seni yang ada. Miley sendiri mengaku, sejak tahun lalu, dia berusaha untuk menggegar dunia, dan nampaknya gadis muda itu hampir merealisasikan misinya.

Masakan tidak orang melempar persepsi negatif terhadap dirinya. Gadis dengan nama sebenar Destiny Hope Cyrus itu, pada saat menceburkan diri dalam bidang seni pada tahun 2001 dilihat begitu naif.

Sifat keanak-anakkannya dan aura manis yang dibawa menerusi drama bersiri yang cukup hangat di saluran Disney Channel, Hannah Montana, selalu membuatkan para ibu bapa tidak peduli jika anak-anak mereka menjadikan Miley sebagai bintang pujaan mereka.

Pada waktu itu, sikapnya masih boleh diterima akal. Karier seninya juga berjalan mulus dan membanggakan, malah pada kelahiran album debutnya sekitar tahun 2006, album tersebut telah terjual sebanyak tiga juta unit di Amerika Syarikat, sekali gus membuktikan pengaruh dirinya.

Namun, seiring masa berputar dan menginjak dewasa dengan pengaruh yang datang dari pelbagai sudut, ia telah memperlihatkan sisi baharu Miley.

Miley tiba-tiba seperti baru keluar daripada kepompong, umpama seekor beluncas yang mengepakkan sayap rama-ramanya dengan warna-warni yang nakal.

Kenakalan tersebut mula terserlah pada tahun lalu apabila dia membuat keputusan memotong rambut panjangnya kepada stail punk rock, memasang imej gadis nakal kepada penampilannya serta mengubah paksi muziknya.

Paling ketara, pada usia hanya 19 tahun, dia menjadi tunangan kepada Liam Hemsworth, yang akhirnya hubungan tersebut putus selepas setahun mereka bersama.

Kenakalan mula memecah tembok 'kewarasan' apabila dia muncul menyanyi di pentas Video Music Awards pada bulan lalu dengan hanya bercoli dan seluar dalam mempersembahkan sebuah tarian yang cukup erotik!

Menaikkan radar kontroversi, single terkininya, Wrecking Ball menyaksikan dia beraksi separuh bogel dan klip video tersebut umpama cermin tentang kecamuk hatinya pada waktu ini.

Bercakap mengenai transformasi dirinya, Miley menyifatkan dirinya bukan terlalu naif seperti banyak yang dilabel khalayak.

"Saya kira, selama ini banyak orang salah anggap tentang diri saya. Mereka melihat saya sebagai gadis naif, yang sebenarnya itu bukan saya," begitu Miley menyelar terjahan pendapat tentang transformasi dirinya yang dilihat berubah dengan drastik.

Miley juga menambah, dia mahu bergembira dengan transformasi dirinya pada usia muda. Dia tidak mahu ketinggalan melakukan hal-hal yang gila pada saat dia sedar ia tidak patut dilepaskan.

Ujarnya: "Sebab itu saya fikir banyak orang yang menyesal pada usia tua kerana mereka terlepas melakukan hal-hal yang gila pada usia muda."

Katanya lagi, sebagai seorang yang tidak mempedulikan pandangan orang terhadap dirinya, dia memilih untuk menjadi 'gila' pada usia 20 tahun yang dianggap amat ideal.

"Saya kira usia 20 tahun amat sesuai untuk saya mencuba sesuatu yang gila dan menimbulkan banyak 'kerosakan' sebab sebelum ini saya tidak pernah melakukannya dan pada 10 tahun akan datang, saya telah pernah melalui semua perkara (yang baik dan buruk) dalam hidup," jelasnya.

Dia kemudian menyimpulkan dirinya tidak ubah seperti watak animasi Rapunzel.

"Tapi saya versi Rapunzel dengan potongan rambut mohawk yang berdiri di tepi tingkap dan melihat paparazi rakus memerhatikan gerak geri saya," katanya penuh sinikal.

Bangerz

Berbicara mengenai transformasi, Miley turut mengubah haluan muziknya. Pada saat francais Hannah Montana ingin berpenghujung sekitar dua tahun lalu, dia sendiri memilih untuk menonjolkan kemampuan yang ada dalam diri.

Dia memecat pengurus lamanya, keluar meninggalkan syarikat rakaman Hollywood Records untuk terbang lebih liar bersama RCA Records dan membuat semua perkara serba baharu.

Lantas Bangerz yang mendapat sentuhan magis seperti Pharell Williams dan Will.iam yang digarap pada tahun lalu, sudah menjengah pasaran awal bulan ini.

Menariknya, sebelum Bangerz dipasarkan, dua single yang diperkenalkan iaitu We Can't Stop dan Wrecking Ball terlebih dahulu menggoncang dunia seni hiburan dunia.

Lagu yang dihasilkan bersama klip video dengan sisi berbeza Miley cukup menarik perhatian.

"Syarikat rakaman saya sendiri terkejut dengan apa yang saya mahukan dalam single tersebut (We Can't Stop). Saya kata kepada mereka, mereka perlu percayakan saya kerana ini pertama kali saya benar-benar merasakan diri sebagai artis.

"Jika percaturan ini salah, maka jangan percayakan saya lagi. Saya akan menjadi patung mereka dan mengikut semua kehendak mereka. Tapi jika saya betul, anda akan rasakan impaknya," ujar Miley yang memang benar telah meninggalkan impak terhadap klip video tersebut apabila ia ditonton sebanyak 11 juta khalayak pada hari pertama ia disiarkan menerusi Vevo.com.

Mengulas tentang kontroversi dalam klip video Wrecking Ball pula, terutama pada bahagian dia menangis bersungguh-sungguh, Miley menjawab: "Saya memang benar-benar menangis kerana mengenangkan kematian anjing saya."

Terkenal

Melihat kepada kelakuannya yang membuat namanya kembali mendadak menjadi sebutan, akui Miley, sejujurnya dia tidak pernah terlintas mahu terjangkit penyakit obses menjadi terkenal.

Katanya, sebagai seorang yang dilahirkan dalam kalangan keluarga mewah dan telah lama berada dalam industri, dia tidak terdesak untuk menjadi terkenal.

"Sewaktu usia belasan tahun, saya tak sedar saya sedang membuat dunia memerhatikan saya dan saya akan menjadi sangat terkenal kerana saya sudah terbiasa dengan kehidupan yang baik. Jadi sekarang, saya hanya meneruskan apa yang ada tanpa perlu menjadi orang yang obses untuk terkenal," jelasnya.

Kini, ditanya tentang arah tuju kariernya, sama ada akan kembali berlakon, Miley lebih senang memilih untuk memberi fokus terhadap bidang nyanyian. Bakat lakonannya pula akan diasah menerusi klip video - klip video yang bakal dihasilkan.

Ujarnya: "Saya tidak memikirkan untuk kembali berlakon, tetapi cukup dengan melahirkan banyak klip video dengan lakonan saya yang epik."

Pakaian pesertaAF 2013 dikritik

Posted:

Pakaian pesertaAF 2013 dikritik

Pakaian pesertaAF 2013 dikritik

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

PAKAIAN para pelajar AF 2013 menjadi pertikaian kerana dianggap seperti tidak bersedia untuk sebuah pertandingan.


SUDAH memasuki minggu yang ketiga, program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) berlangsung semakin sengit dengan menampilkan 10 peserta yang masih meneruskan saingan.

Dalam konsert yang bertemakan Inspirasi 15 Ikon Malaysia, secara keseluruhannya terdapat sedikit peningkatan yang ditunjukkan oleh para peserta.

Paling ketara, pastinya persembahan oleh peserta duet Azhael yang menampilkan Hal Husaini Razmi dan Azhar Osman dengan aksi yang begitu mantap menerusi lagu Khayalan yang dipopularkan oleh kumpulan Ruffedge.

Bagaimanapun konsert tersebut sedikit mengecewakan apabila dinilai dari segi penampilan beberapa peserta yang langsung tidak menunjukkan ciri-ciri seorang bintang yang bakal menyinar.

Rata-rata penampilan kesemua peserta kurang memuaskan, tetapi antara peserta yang mendapat kritikan hebat daripada juri ialah Faizul, Indah dan Nabila.

Salah seorang juri yang paling lantang mengkritik tentang penampilan peserta ialah Roslan Aziz yang menganggap ia merupakan kriteria paling utama untuk menjadi seorang penghibur.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli ketika sidang akhbar berkata, pihaknya turut menerima beberapa maklum balas daripada penonton berkenaan penampilan peserta.

"Perkara ini memang diambil perhatian serius oleh Astro dan perbincangan lanjut akan dilakukan dengan pihak penata busana. Kami akan memastikan para peserta akan tampil dengan lebih menarik lagi," jelasnya.

Sementara itu, berkenaan dengan penukaran waktu konsert ke hari Ahad pula, Raqim memberitahu, ia disebabkan mahu memberi laluan kepada saingan bola sepak Piala Malaysia yang sedang rancak sekarang.

Menurutnya, memandangkan ketika ini perlawanan Piala Malaysia selalu berlangsung pada hari Sabtu, maka keputusan dibuat supaya konsert AF 2013 diubah kepada hari Ahad.

"Bermula pada saingan minggu ketiga AF 2013 akan berlangsung pada setiap hari Ahad, tetapi ia buat sementara waktu sahaja iaitu sehingga minggu ketujuh setelah saingan Piala Malaysia berakhir.

"Pada minggu kelapan sehinggalah konsert akhir, ia akan disiarkan semula pada hari Sabtu. Keputusan ini terpaksa dilakukan kerana Astro merupakan rakan penyiar kepada aksi Piala Malaysia," ujarnya yang menafikan perubahan dibuat kerana rating yang menurun.

Sementara itu, Faizal Tahir yang menjalankan tugas terakhirnya selaku Inspirer menyatakan tempoh selama tiga minggu memang tidak mencukupi buat dirinya untuk mencurahkan segala ilmu kepada para peserta.

Ujar Faizal, ia bukanlah satu tugas yang mudah untuk membimbing peserta yang baru berjinak-jinak sebagai penghibur, namun dia berpuas hati kerana mereka semakin menunjukkan peningkatan setiap minggu.

"Tugas saya sudah berakhir dan selepas ini akan diambil alih oleh Melly Goeslow pula. Saya percaya peserta akan mendapat lebih banyak ilmu kerana Melly merupakan seorang individu yang lebih berpengalaman luas," ujarnya.

Sudah jangka

Saingan pada minggu ketiga menyaksikan peserta dari Kedah iaitu Muhammad Ikhtiman Che Ismail atau Iman menjadi mangsa seterusnya apabila mendapat undian terendah sebanyak 6.6 peratus, sekali gus tersingkir daripada persaingan.

Iman berkata, beberapa hari sebelum konsert berlangsung, dia sudah dapat menjangka bakal tersingkir disebabkan kesilapan yang telah dilakukannya pada minggu sebelumnya.

"Apabila selesai menunaikan solat saya selalu berdoa. Sekiranya tiada lagi rezeki untuk meneruskan saingan dalam AF 2013, saya rela dan menerima dengan hati terbuka.

"Lagipun sepanjang berada di akademi perasaan rindu terhadap keluarga semakin menebal. Mungkin ia menjadi punca saya gagal menampilkan persembahan yang baik dan konsisten," ungkapnya yang menyanyikan lagi Nokhtah Cinta.

Menurutnya, biarpun tidak lagi meneruskan saingan dalam AF 2013, perjuangannya dalam bidang nyanyian tidak akan berakhir dan akan berusaha untuk menggapai impiannya sebagai penyanyi.

Tam tolak watak budak sekolah

Posted:

Tam tolak watak budak sekolah

Tam tolak watak budak sekolah

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

TAM menegaskan, dia tidak pernah terfikir untuk menamatkan karier lakonannya.


SINONIM dengan filem Pak Tam Duda serta drama bersiri Cili Padi yang pernah dibintanginya sewaktu kecil dahulu, pelakon Tam Suhaimi yang memulakan karier sejak zaman kanak-kanak masih mampu bertahan sebagai pelakon sehingga sekarang.

Sudah berkecimpung dalam dunia lakonan selama 27 tahun, pemilik nama sebenar Nor Azemi Suhaimi itu masih lagi berlakon, meskipun memiliki kelulusan dalam bidang Seni Reka dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bagaimanapun, pelakon berusia 34 tahun itu mengakui kini dia agak jarang tampil di kaca televisyen, sebaliknya lebih menumpukan kepada kerja-kerja belakang tabir.

Bukan disebabkan kecenderungannya untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang pelakon semakin berkurangan, tetapi ia lebih kepada faktor tentang tawaran yang diterimanya.

Ikuti luahan Tam sewaktu ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Kosmo!: Sekarang ini Tam kelihatan sudah agak jarang berlakon. Adakah anda sudah memperlahankan karier sebagai pelakon?

TAM SUHAIMI: Saya masih lagi meneruskan kerjaya dalam bidang seni dan kali terakhir saya muncul dalam drama bersiri Rumah Kedai yang ditayangkan pada bulan puasa lalu.

Tawaran berlakon masih lagi banyak yang diperolehi, cuma saya terlalu kerap mendapat watak budak sekolah. Tidak dinafikan fizikal saya bersesuaian dengan watak sebegitu, namun saya sudah tidak mampu lagi pada usia sekarang.

Sebagai seorang pelakon yang sudah lama berkecimpung dalam dunia lakonan, adakah anda bersikap selektif?

Pada peringkat sekarang ini saya perlu selektif kerana adakalanya bosan apabila ditawarkan watak yang hampir sama sahaja. Kalau boleh, saya inginkan kelainan supaya dapat mempelbagaikan lagi setiap karakter yang dilakonkan.

Tidak dinafikan pembabitan saya dalam bidang lakonan sudah cukup lama, tetapi saya merasakan diri ini masih lagi dalam proses pembelajaran untuk menjadi seorang pelakon yang baik.

Kalau tiada sebarang aktiviti lakonan, apakah aktiviti yang anda lakukan?

Sebenarnya saya banyak terbabit dengan kerja-kerja belakang tabir seperti menulis skrip dan menjadi penolong pengarah.

Setakat ini, saya pernah bekerja dengan beberapa pengarah hebat seperti Erma Fatima, Bade Haji Azmi dan Melissa Saila.

Buat peringkat awal ini saya memberi tumpuan kepada drama bersiri dan telemovie. Lagipun saya mempunyai sasaran sendiri iaitu mahu bergelar seorang pengarah.

Sekiranya anda sudah bergelar pengarah nanti, adakah anda mahu meneruskan aktiviti lakonan?

Saya berlakon sejak kanak-kanak lagi dan lakonan itu sudah sebati dalam jiwa saya. Jadi, tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk berhenti berlakon.

Baru-baru ini anda bersama tiga rakan pelakon lain iaitu Sari Yanti, Intan Ladyana dan Farish Aziz bertindak sebagai penerbit untuk menghasilkan telemovie Pengancam Perkahwinan. Bagaimanakah idea berkenaan boleh timbul?

Hubungan kami berempat sudah mula akrab sejak tiga tahun lalu setelah terbabit dalam sebuah program televisyen. Kemudian masing-masing memasang impian untuk bergelar penerbit dan akhirnya ia direalisasikan menerusi telemovie ini.

Selain itu, kami telah menghantar tujuh kertas cadangan kepada sebuah stesen TV untuk penerbitan drama dan telemovie.

Sudah tentu kami berharap kesemua kertas cadangan tersebut akan mendapat kelulusan.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved