Rabu, 25 September 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pilih belajar atau bekerja

Posted:

Pilih belajar atau bekerja

Pilih belajar atau bekerja

BEKERJA sambil belajar bukanlah sesuatu yang cukup asing dilakukan oleh masyarakat. Ironinya, ia kini menjadi pilihan sebahagian golongan muda pada hari ini.

Tidak dinafikan sudah banyak institut pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan pengajian secara separuh masa, khusus kepada mereka yang sedang bekerja.

Ada yang berbuat demikian kerana inginkan peningkatan dalam kerjaya atau sekadar mengisi masa lapang, semuanya terpulang kepada tujuan dan matlamat masing-masing.

Dalam industri hiburan pula, perkara sebegini turut menjadi pilihan segelintir artis yang kini menuntut di institut pengajian tinggi dan pada masa sama masih meneruskan karier dalam bidang seni.

Salah seorang artis yang berbuat demikian ialah pelakon Rashidi Ishak yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mula menuntut di universiti berkenaan pada tahun 2004, suami kepada pelakon Vanida Imran itu mengakui ia bukanlah satu langkah yang mudah buat dirinya.

Matlamat utamanya untuk menjadi antara artis yang berpelajaran tinggi, Rashidi menyatakan pelbagai cabaran terpaksa dilalui semata-mata ingin menggenggam segulung ijazah.

"Sudah tentu saya berhadapan dengan pelbagai kesukaran sepanjang pengajian, meskipun saya cuma mengambil pengajian secara separuh masa dan kelas pula dilangsungkan pada hujung minggu.

"Kalau rakan-rakan yang lain menamatkan pengajian mereka selama empat tahun, saya pula berbeza kerana memerlukan masa sehingga tujuh tahun dan sudah tentu ia satu tempoh yang cukup lama," ujarnya yang akhirnya berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2011.

Ketika ditanya faktor yang menyebabkan dia tidak mampu menamatkan pengajiannya lebih awal, pelakon itu memberitahu jadual kerjaya sebagai pelakon yang tidak tentu masa menjadi penghalang utama.

NELYDIA SENROSE kini sedang berusaha keras untuk menyeimbangi antara pelajaran dan kariernya yang semakin meningkat naik.


Jelasnya, dengan lakonan sebagai punca rezeki utama, biasanya ada tawaran berlakon yang diterima memerlukan dia berada di lokasi dalam tempoh lama sehingga dia tidak dapat hadir ke kelas.

"Selalunya jadual lakonan pasti akan bertembung dengan waktu kelas pengajian. Memandangkan berlakon itu periuk nasi saya, pastinya ia lebih menjadi keutamaan.

"Akibatnya, saya beberapa kali terpaksa menangguhkan semester pengajian. Selain itu, saya pernah gagal dalam beberapa mata pelajaran sehingga terpaksa mendudukinya semula," ujarnya.

Akuinya, dia juga pernah berasa sangat tertekan sehingga tidak mahu menamatkan pengajian, namun sokongan daripada ahli keluarga menjadi kekuatan buat dirinya.

"Untuk melakukan perkara sebegini bukanlah mudah kerana ia memerlukan komitmen yang tinggi. Paling penting, seseorang itu perlu bijak dalam pembahagian masa supaya tidak tercicir dalam pelajaran dan kerjaya," ujarnya.

Ternyata kejayaan yang diraih olehnya itu telah menjadi pemangkin buat isterinya untuk mengikut jejak langkahnya. Ketika ini, Vanida juga sedang menyambung pelajaran, namun Rashidi enggan memberitahu tentang universti dan bidang pengajian yang dipilih oleh isterinya itu.

Kata dua

Pada saat karier lakonan yang semakin berkembang dengan pelbagai tawaran yang mencurah-curah, ternyata ia memberi tekanan kepada pelakon Nelydia Senrose yang kini sedang mengikuti pengajian Diploma Psikologi di Kolej SeGi.

Menurut Nelydia, melakukan dua perkara dalam satu masa yang serentak dirasakan sebagai satu bebanan yang agak besar sehingga dia berbelah bahagi sama ada mahu mengutamakan pelajaran atau lakonan.

"Sudah tentu pelajaran itu amat penting buat saya, tetapi tidak sangka pula rezeki saya semakin murah dengan tawaran yang mencurah-curah. Apa yang sedang dilakukan ini iaitu belajar dan berlakon adalah minat saya.

"Begitu juga dengan jadual kehidupan harian saya yang selalu tidak menentu. Adakalanya penggambaran tamat pukul 6 pagi, kemudian saya cuma dapat berehat selama dua jam sebelum pergi ke kelas pula," jelasnya.

RASHIDI ISHAK mengambil masa selama tujuh tahun untuk menamatkan pengajiannya, sekali gus menjadi pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).


Menyedari ia merupakan satu tugas yang berat dan sukar demi mengecap kejayaan dalam kedua-dua bidang, Nelydia akui dia masih lagi mampu untuk berhadapan dengan segala cabaran.

Ungkapnya, dia bersyukur kerana meskipun sibuk dengan lakonan sekarang ini, pelajaran tetap tidak dilupakan serta keputusan peperiksaan yang diterima agak memuaskan setiap semester.

"Dalam perkara ini, pensyarah begitu memahami keadaan saya dan memberikan sedikit kelonggaran, malah rakan-rakan turut memainkan peranan penting membantu saya.

"Biasanya kalau ada kelapangan kami akan mengulangkaji bersama-sama dan mereka membantu menerangkan lebih lanjut tentang topik-topik pelajaran yang saya ketinggalan," ujarnya yang kini sudah berada di tahun kedua.

Hujung minggu

Berbanding pelakon, ternyata kerjaya sebagai penyanyi dilihat lebih mudah kerana biasanya sesuatu persembahan akan berlangsung pada waktu malam atau hujung minggu.

Penyanyi Najwa Latif yang sudah aktif dalam nyanyian sejak di bangku sekolah lagi berkata, ketika mula-mula bergelar penyanyi dahulu dia sudah meletakkan beberapa syarat agar sesi persekolahannya tidak terganggu.

"Saya memberitahu kepada pihak pengurusan yang saya akan menyanyi pada hujung minggu sahaja. Selain itu, mereka turut mengatur segala jadual saya dengan baik.

"Kalau ada persembahan saya akan datang ke Kuala Lumpur pada hari Jumaat dan pulang ke Batu Pahat, Johor pada hari Ahad. Itulah rutin saya setiap minggu sewaktu bergelar penyanyi dahulu," ujarnya.

Menurut Najwa, semasa mula menyanyi ketika berada di tingkatan empat, dia mengakui pembelajarannya sedikit terganggu dan kerap tidak dapat hadir ke sekolah.

NAJWA LATIF kini merupakan penuntut dalam jurusan Asasi Pengurusan di Universiti Antarabangsa Unitar (Unitar), Kelana Jaya, Selangor.


Ternyata ia merupakan cabaran besar yang ditempuhi kerana ia boleh mengakibat dirinya ketinggalan dalam pelajaran.

Namun begitu, lama-kelamaan permasalahan tersebut telah dapat diatasi dengan susunan jadual yang fleksibel dilakukan oleh pihak pengurusannya.

"Kalau menceritakan pengalaman menarik ketika aktif menyanyi zaman sekolah, saya pernah menyiapkan kerja sekolah di dalam bas ketika perjalanan ke Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan kerana selalunya saya akan membuat kerja sekolah apabila mempunyai masa terluang sebelum persembahan atau ketika berada di rumah kakak," jelasnya yang kini merupakan penuntut Asasi Pengurusan di Universiti Antarabangsa Unitar (Unitar), Kelana Jaya sejak Jun lalu.

Biarpun meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, penyanyi berkenaan menyatakan, karier nyanyian masih lagi tetap diteruskan seperti biasa.

Ujar Najwa, pihak universiti telah memberi kelonggaran kepada dirinya jika tidak dapat hadir ke kelas, asalkan memberi surat kepada pensyarah.

"Sistem pembelajarannya sekarang ini lebih mudah, sekiranya saya tidak dapat hadir ke kelas, pensyarah akan memasukkan semua nota dalam portal pelajar. Ternyata cara tersebut memudahkan saya membuat ulang kaji pelajaran," ujarnya yang akan menuntut selama setahun sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah pula

Artis Hollywood berpelajaran tinggi

Posted:

Artis Hollywood berpelajaran tinggi

Artis Hollywood berpelajaran tinggi

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

ROWAN ATKINSON


DALAM lambakan pelakon popular Hollywood, ternyata ada beberapa antaranya yang berpelajaran tinggi dan mempunyai kelulusan yang boleh digunakan untuk mendapat pekerjaan sesuai dengan kelayakan yang dimiliki.

Ironinya, mereka lebih berminat berkecimpung dalam dunia lakonan dan kini sudah terkenal di seluruh dunia. Berikut merupakan senarai pelakon yang boleh dijadikan sebagai idola berikutan kejayaan mereka dalam pelajaran.

1.Rowan Atkinson

Selama ini penonton sudah melihat aksinya sebagai seorang lelaki 'bodoh' dalam sitkom yang cukup digemari ramai iaitu Mr. Bean. Namun begitu, di sebalik kebodohan yang ditampilkannya itu, mungkin ramai yang tidak tahu tentang tahap pendidikan yang dimiliki Rowan Atkinson.

Dilahirkan di Durham, England, Rowan Sebastian Atkinson mendapat pendidikan awal di Chorister School dan St. Bees School, Durham. Kemudian dia menyambung pengajiannya di Universiti Newcastle dalam bidang Kejuruteraan Elektrik.

Selepas tamat pengajian, pelawak tersebut menyambung pengajiannya dalam peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang sama di Universiti Oxford. Semasa di universiti berkenaan, Rowan turut aktif dalam pementasan teater bersama The Experimental Theatre Club.

2. Lucy Liu

Nama pelakon Lucy Alexis Liu mula dikenali ramai setelah membintangi filem Charlie's Angels bersama-sama Drew Barrymore dan Cameron Diaz pada tahun 2002. Ironinya, karier lakonan Lucy sudah bermula lapan tahun sebelum itu.

Sebelum berkecimpung dalam bidang lakonan, Lucy pernah menuntut di Universiti New York selama setahun dan kemudian berpindah ke Universiti Michigan dengan mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Dan Kebudayaan Asia.

Sepanjang pengajiannya di universiti berkenaan, pelakon kelahiran New York, Amerika Syarikat itu aktif dalam bidang seni dan pernah menyertai pementasan teater Alice In Wonderland semasa berada di tahun akhir.

Selain mempunyai kelulusan yang tinggi, Liu juga berkebolehan bertutur dalam lima bahasa iaitu Mandarin, Sepanyol, Itali, Jepun dan Perancis.

3. Arnold Schwarzenegger

Bermula sebagai ahli bina badan, lalu berkecimpung dalam dunia lakonan dan akhirnya terpilih sebagai Gabenor California, Arnold Schwarzenegger cukup popular dengan lakonannya dalam filem The Terminator.

Dilahirkan di Styria, Austria pada 30 Julai 1947, dia kemudiannya berhijrah ke Amerika Syarikat, meskipun tidak fasih berbahasa Inggeris, dia akhirnya berjaya menjadi ahli bina badan berjaya dan pernah bergelar Mr. Olympia sebanyak tujuh kali.

Kemudian pada tahun 1977, Arnold mengambil kelas Bahasa Inggeris di Kolej Santa Monica dan menyambung pelajarannya di Universiti Wisconsin. Dia berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Dan Ekonomi Antarabangsa.

HUGH JACKMAN


4. Hugh Jackman

Sebelum popular sebagai pelakon, Hugh Jackman menuntut di Universiti Teknologi Sydney dan mengambil Ijazah Sarjana Muda Komunikasi. Menariknya, cita-cita awalnya dahulu adalah mahu menjadi seorang wartawan.

Pada tahun terakhirnya di universiti tersebut, hasratnya tiba-tiba berubah dan mahu bergelar seorang pelakon. Setelah tamat pengajian, dia lantas mengikuti kursus lakonan selama setahun di Actors' Centre di Sydney.

Selepas itu, dia meneruskan usahanya untuk bergelar pelakon dengan menuntut di Western Australian Academy Of Performing Arts (WAAPA) pada 1994 dan banyak diberi peluang berlakon sepanjang berada di akademi tersebut.

5. Natalie Portman

Melihat kepada latar belakang pendidikan yang dimiliki oleh pelakon Natalie Portman, pastinya ia sesuatu yang cukup mengagumkan.

Selain cantik dan berbakat besar, bintang filem Black Swan itu boleh dikategorikan sebagai antara pelakon yang bijak dan sering mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.

Ketika menuntut di Sekolah Tinggi Syosset, Long Island, Amerika Syarikat, Natalie berhasil mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 sehingga melayakkannya menyambung pelajaran dalam jurusan Psikologi di Universiti Harvard.

Setelah menamatkan pengajian pelakon berkenaan meneruskan karier lakonannya, tetapi pernah dipilih menjadi pensyarah jemputan di Universiti Columbia. Selain itu, sejak kecil lagi dia sudah menguasai beberapa bahasa asing seperti Hebrew, Perancis, Jerman, Arab dan Jepun.

6. Hugh Grant

Selama ini peminat lebih mengenali wajah tampan pelakon Hugh Grant serta sikap mata keranjang kerana selalu menjalinkan hubungan dengan beberapa wanita cantik.

Namun begitu, pelakon yang memulakan karier seni pada tahun 1982 menerusi filem Privileged itu merupakan lulusan Universiti Oxford dalam jurusan Kesusasteraan Inggeris serta aktif dalam beberapa jenis sukan seperti ragbi, kriket dan bola sepak.

Menariknya, dia juga pernah mendapat tawaran untuk melakukan kajian dalam pengkhususan sejarah seni dari Universiti London yang melayakkannya mendapat ijazah Doktor Falsafah (PhD), tetapi terpaksa menolaknya kerana gagal mendapat geran penyelidikan.

7. David Duchovny

Drama bersiri lakonan David Duchovny yang paling diingati ramai sudah tentu The X-Files sekitar tahun 90-an dahulu bersama gandingannya, Gillian Anderson.

Menceritakan tentang tahap pendidikannya, pelakon kelahiran New York, Amerika Syarikat itu merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Inggeris dari Universiti Princeton kemudian menyambung pengajian dalam bidang yang sama di Universiti Yale.

Selepas itu, David melakukan tesis dengan memilih tajuk Magic And Technology In Contemporary Poetry And Prose di universiti berkenaan, namun dia tidak dapat meneruskannya dan gagal mendapat PhD.

Nasib kain Pashmina

Posted:

Nasib kain Pashmina

Nasib kain Pashmina


SEORANG wanita menenun sebai di SKUAST.


DI dalam sebuah rumah kayu dua bilik di Lembah Grace, Kashmir, Pakistan, Hidayat Ullah tekun menenun menggunakan alat tenun manual yang digerakkan dengan pedal.

Saat ditanya cara dia mendapat kemahiran tersebut, Hidayat Ullah menunjukkan ke arah seorang lelaki tua yang lemah fizikalnya dan terbatuk-batuk di atas katil di tepi penjuru rumah.

"Saya mendapat kemahiran ini daripada bapa, tetapi anak saya kini tidak mahu mengambil alih pekerjaan ini. Dia lebih gemar bekerja di ladang dan kadang-kadang sebagai buruh, bayaran lebih lumayan berbanding menenun," kata Hidayat Ullah.

Tukang-tukang tenun menghasilkan sebai-sebai (shawl) yang indah di Kashmir selama berabad-abad, namun seni kraf itu diancam kepupusan kerana bersaing dengan barang dari luar negara yang murah selain generasi muda kurang berminat dengan kemahiran tersebut.

Bandar Kashmir memberi nama kain bulu Kashmir yang lembut dan mempunyai nilai yang begitu tinggi di Barat. Kini hanya tinggal 10 buah alat tenun berpedal di kampung Hidayat Ullah yang sebelum ini lebih 100 buah.

Skaf dan baju panas Kashmir dijual pada harga yang mencecah beratus-ratus dolar di dunia membangun tetapi Hidayat Ullah hanya mendapat 3,000 rupee (RM154.68) untuk kerja keras selama 15 hari bagi menyiap sehelai sebai.

Berabad lamanya, penduduk di Lembah Grace (di bawah pemerintahan Pakistan) hidup dengan hasil ternakan. Mereka membawa haiwan ternakan ke padang pada musim panas dan membawa ke tanah rata pada bulan September untuk mengetam dan memintal bulu.

Semasa salji menyeliputi lembah selama berbulan-bulan pada musim sejuk, para penduduk berkurung menenun sebai-sebai, menyulam corak-corak berwarna-warni dengan tangan sebelum menjualnya.


ARTISAN tempatan menenun dengan menggunakan alat tenun tradisional di Srinagar.


Pelajari kemahiran

Tenunan-tenunan itu dijual ketika musim bunga semasa daerah itu kembali hidup semula. Bagaimanapun, permintaan daripada penduduk tempatan semakin merudum.

"Sebai tenunan tangan berharga 10,000 rupee (RM514.82) sementara sebai yang sama boleh didapati di pasar-pasar berharga antara 2,000 hingga 3,000 rupee (RM102.97 hingga RM154.46)," kata seorang tukang tenun, Zeenat Bibi, 32.

Bibi membuat sebai dengan bapa mertuanya, tetapi tiada seorang pun dalam keluarganya yang berminat mempelajari kemahiran itu.

"Saya mempunyai seorang anak perempuan berusia 10 tahun yang bertanya sebab saya membuang masa melakukan kerja tua dan pelik ini," ceritanya.

"Baju-baju terpakai dengan rekaan terbaharu, bahan yang baik dan harga yang murah mudah didapati, mereka mahu membeli pakaian seperti itu dan tradisi lama semakin kurang hari demi hari," kata pensyarah Seni dan Budaya di Universiti Azad Kashmir, Fatima Yaqoob.

Bantuan kerajaan diperlukan bagi memodenkan industri tersebut terutamanya menukar alat tenun manual kepada yang berkuasa selain menggalakkan lebih ramai menyertainya, katanya.

Di India, pihak pemerintah telah campur tangan dalam minimumkan impak yang memberi kesan kepada para pembuat sebai bulu Pashmina.

Ia telah mempertahan penanda GI (Petunjuk Geografi bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bagi fabrik dan proses pembuatan sebai selain menubuhkan makmal uji kaji di Srinagar, ibu negara wilayah Kashmir bawah pemerintahan India.

Kambing-kambing Pashmina hidup secara nomad di kawasan Changthang, Ladakh, India di altitud 4,267 meter. Pada ketinggian tersebut suhu boleh jatuh menjunam sehingga negatif 50 darjah Celsius.

Kain bulu Pashmina terbaik dipintal dengan tangan, selalunya dihasilkan oleh golongan wanita. Para artisan pula menyulam kain itu dengan rekaan yang rumit.

Bagi produk siap, ia boleh menelan kos beribu-ribu dolar di Barat.

Pada masa lalu, kawasan terpencil itu membantu tukang kraf tempatan yang sukar membawanya keluar. Para artisan pula menyulam kain itu dengan rekaan yang rumit.

Bagi produk siap, ia boleh menelan kos beribu-ribu dolar di Barat.

Beribu-ribu penduduk Kashmir warganegara India terlibat dalam perdagangan Pashmina, tetapi kesusahan mencari bahan mentah dan ledakan keraguan tidak munasabah dalam kalangan artisan dan pedagang, ramai yang meninggalkan profesion itu.

"Terma Kashmir Pashmina disalah guna oleh ramai orang di seluruh dunia. Kraf Pashmina menjadi sebuah konteks sejarah, keindahan dan keunikan yang didambakan oleh produk-produk lain seluruh dunia.

"GI akan membantu ia kembali kepada masyarakat dan wilayah miliknya. Kashmir Pashmina akan dijenama sebegitu dan dipulihkan kepada pencipta asal kraf itu," kata Ketua Pembangunan Kraf, Institut Srinagar, M. S. Farooqi.

Namun, generasi muda mengabaikan Pashmina untuk bekerja dengan kerajaan atau industri pembinaan di Ladakh.


KETAHANAN kambing Pashmina pada musim sejuk dipercayai faktor sebai kashmir bermutu tinggi.


Terkorban

Pada musim sejuk lalu, hampir 25,000 kambing Pashmina terkorban di Changthang dalam cuaca sejuk luar biasa apabila makanannya membeku di bawah lapisan ais tebal salji, manakala laluan darat ke kawasan tersebut terputus selama berminggu-minggu.

Para saintis di Universiti Sains dan Teknologi Pertanian Sher-i-Kashmir (SKUAST), Kashmir berjaya mencipta klon kambing Pashmina yang dikenali sebagai Noori pada tahun lalu.

Sasaran projek tersebut bagi meningkatkan produktiviti kambing-kambing Pashmina dengan menghantar klon-klon jantan ke persekitarannya untuk membiak secara semula jadi.

Beberapa eksperimen menunjukkan bahawa kambing Pashmina boleh bertahan pada altitud rendah di Kashmir, namun ia tidak menghasilkan kualiti yang sama dengan kain bulu Pashmina biasa.

"Kain bulu Pashmina dihasilkan daripada kambing yang berasal daripada habitat semula jadi, ia sebenarnya tindak balas biologi terhadap cuaca sejuk melampau di altitud tinggi," kata penyelidik SKUAST, Sarfaraz Ahmed.

Namun, tiada sebarang perkara yang jelas jika sains boleh menghentikan trend-trend pasaran.

"Kebanyakan pembeli mendapati amat sukar membezakan antara sebai Pashmina yang palsu dan tulen," kata pedagang dan pengeksport kraftangan Kashmir di Srinagar, Mohammad Sadiq Wani. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Horizon

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Kuala Kangsar bak bandar kolonial British

Posted:

Kuala Kangsar bak bandar kolonial British

Kuala Kangsar bak bandar kolonial British

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

MULA berkecimpung dalam bidang seni tekat sejak 35 tahun lalu, Azizah Adam cukup mahir menyulam benang emas di atas kain baldu.

Wanita berusia 53 tahun itu menyulam benang yang diimport dari Jepun dan Jerman mengikut mempulur atau acuan kertas untuk membentuk bunga kerawang pada kain baldu di atas pemidang bersaiz sederhana di hadapannya.

Hasil tekatan tangan Azizah bersama 10 pekerja syarikat miliknya iaitu Azydar Enterprise amat teliti dan halus.

Setiap hari, kerja-kerja tekatan itu dilakukan di bengkel yang terletak bersebelahan kediamannya di Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak.

Menurut beliau, pada zaman dulu tekat merupakan aksesori mewah dan eksklusif bagi golongan kerabat diraja.

Tekat popular dalam kalangan masyarakat Melayu terutama pada majlis-majlis rasmi. Azizah merupakan individu penting dalam pembuatan pelamin perkahwinan tiga orang cucu Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

"Tekat biasanya digunakan dalam istiadat dan upacara simbolik adat Melayu seperti kelengkapan perkahwinan, upacara peminangan, kelahiran, berkhatan dan majlis khatam al-Quran," jelas beliau.

Seni tekat terbahagi kepada dua iaitu tekat timbul bunga emas dan tekat gubah. Tekat timbul bunga emas menggunakan benang berwarna emas dan acuan kertas untuk membentuk rekaan bunga di atas kain baldu manakala tekat gubah pula menggunakan benang pelbagai warna serta tanpa acuan.

Rekaan tekat timbul bunga emas hanya menggunakan corak tradisional turun-temurun iaitu bunga kekwa, bunga padi, bunga raya dan bunga kerawang. Benang emas ditekat di atas kain baldu berwarna merah, biru dan hitam untuk dijadikan set tempat tidur, pelamin, tepak sirih dan cenderamata.

"Harga bagi set perkahwinan seperti tilam, bantal, cadar, kusyen dan kipas tangan antara RM3,000 hingga RM6,000. Ia juga boleh mencecah hingga ratusan ribu ringgit bergantung kepada rekaan," katanya yang pernah mengadakan demonstrasi kraf tangan dan pelancongan di India, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Perancis.


ISTANA Kenangan atau Muzium Diraja Perak kini dalam proses penyelenggaraan dan dijadualkan dibuka dalam masa terdekat.


Bandar kolonial

Bekas syiling, tepak sirih kecil dan perhiasan kereta merupakan produk pelancongan tekat popular di Kuala Kangsar. Ia dijual pada harga RM18 hingga RM20 setiap satu.

Tekat merupakan antara produk pelancongan yang sinonim dengan daerah Kuala Kangsar selain industri labu di Kampung Sayong, pembuatan parang dan keris di Kampung Padang Changkat.

Berkunjung ke Kuala Kangsar seperti berada di sebuah bandar kolonial British. Seni bina British masih jelas kelihatan di sekitar bandar Kuala Kangsar terutama pada bangunan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford.

Keluasan kawasan pentadbiran daerah Kuala Kangsar meliputi 204.94 kilometer (km) persegi. Bagi yang ingin berkunjung ke daerah bersejarah di negeri Perak itu, pastikan anda membuat sedikit kajian mengenai destinasi-destinasi yang ingin dilawati.

Dengan hanya berjalan kaki, pelancong dapat menerokai tempat-tempat menarik di sekitar bandar Kuala Kangsar. Jeti penambang yang terletak di Dataran Sungai Perak atau Lembah merupakan antara kawasan yang menjadi tumpuan pelzancong di bandar itu.

Dengan bayaran RM1, anda boleh menaiki bot menyeberangi Sungai Perak ke Persisiran Sayong. Bagi yang ingin merasai pengalaman berbeza, anda perlu menyediakan tambang sebanyak RM6 untuk menikmati pemandangan Istana Iskandariah di Bukit Chandan dan jambatan Sultan Abdul Jalil dengan menaiki bot.

MOHD. RIZMAN masih mengekalkan ramuan asli dalam laksa di restorannya.


Pondok telefon

Sekiranya berkunjung ke Dataran Sungai Perak pada hari Ahad, anda berpeluang ke Pasar Minggu Lembah untuk membeli barangan runcit, buah-buahan dan makanan tempatan yang dijual oleh masyarakat setempat.

Selain itu, kawasan Dataran Putra yang terletak di tengah-tengah bandar Kuala Kangsar menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong. Replika jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia dan pondok telefon merah seperti di ibu kota London pasti mencuri perhatian anda.

Tidak lengkap kunjungan anda ke Kuala Kangsar tanpa mencuba laksa Kuala Kangsar di restoran Laksa Pak Ngah di Jalan Dato Sagor. Restoran yang menghidangkan hidangan tradisi daerah itu menjadi tumpuan pelancong terutamanya pada hari minggu.

Jenama Laksa Pak Ngah bermula sejak tahun 1950-an oleh Md. Rashid Uda Jaafar yang menjual laksa dengan menaiki basikal di sekitar Kuala Kangsar.

Mohd. Rizman, 37, merupakan generasi keempat menguruskan restoran tersebut sejak mengambil alih daripada bapanya, Mohd. Tajidi Abd. Rashid pada tahun 2000.

"Kuah laksa Kuala Kangsar lebih cair berbanding laksa negeri lain. Ikan sardin, cili kering, garam dan asam gelugur merupakan ramuan penting kuah laksa ini.

"Laksa yang dihidangkan juga lebih tebal dan lembut kerana ia diproses sendiri menggunakan tepung gandum, air panas dan garam sebagai bahan utama," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Setelah puas menikmati laksa, luangkan masa seketika untuk melawat Jambatan Victoria di Karai yang dibina pada tahun 1897. Ia terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar Kuala Kangsar dan merupakan antara landasan kereta api tertua di Malaysia.


REKAAN bangunan MCKK berasaskan seni bina Greece dan Rom merupakan tempat yang wajib dikunjungi pelancong.


Terdapat sebuah kubu Perang Dunia yang masih kukuh yang dibina berhampiran jambatan itu.

Menurut seorang penduduk yang tinggal di Kampung Seberang Karai, Mohd. Fuad Nordin, 50, jambatan itu menjadi laluan utama penduduk kampungnya ke pekan Karai sama ada dengan menaiki motosikal ataupun berjalan kaki.

"Seminggu sekali, saya akan memancing di Sungai Perak menggunakan koyan di atas jambatan ini. Sungai Perak terkenal sebagai lubuk ikan lampam, jelawat, lawang dan kelah.

"Walaupun jambatan ini berusia lebih 100 tahun, ia masih utuh dan menjadi tumpuan para pelancong malah pengarah filem terkenal, Mamat Khalid juga pernah mengadakan penggambaran di sini," ujarnya yang bekerja sebagai penoreh getah dan membuat labu di kampungnya.

Budaya unik Istanbul menggamit memori

Posted:

Budaya unik Istanbul menggamit memori

Budaya unik Istanbul menggamit memori


KAPAL persiaran di Selat Bosphorus memberi peluang kepada pelancong yang ingin menikmati keindahan selat yang memisahkan benua Eropah dan Asia.


NAPOLEON BONAPARTE, pencetus revolusi Perancis, pernah berkata, jika dunia ini ialah sebuah negara, maka Istanbul ibu kotanya.

Keagungan kota Istanbul bukan hanya terletak pada nama semata-mata, namun pada sejarahnya yang melewati hampir 16 abad.

Hakikatnya, kota itu yang dahulunya dikenali sebagai Constantinople pernah menjadi pusat pemerintahan bagi Empayar Roman, Byzantine, Latin dan Uthmaniah, selain menjadi punca pertumpahan darah kerana kedudukannya yang strategik.

Sejarah pendudukan pelbagai empayar menjadikannya sebuah kota yang kaya dengan budaya tersendiri dan hasil seni bina klasik yang masih utuh sehingga ke hari ini.

Ini sekali gus menjadi daya tarikan bagi mereka yang ingin ke bandar raya itu. Penulis yang baru-baru ini ke Istanbul atas tujuan kerja turut terpegun dengan keindahan yang disajikan Bandar Dua Benua ini.

Keletihan berada dalam pesawat selama 11 jam dari Kuala Lumpur seakan-akan hilang tatkala melihat panorama malam Istanbul yang disirami dengan rangkaian cahaya berwarna-warni dari tingkap pesawat sejurus sebelum mendarat di Lapangan Terbang Ataturk.

Penulis tiba pada pertengahan bulan Ogos lalu, ketika Istanbul masih lagi mengalami musim panas. Dengan suhu antara 23 hingga 30 darjah Celsius, ia merupakan waktu paling sesuai untuk meneroka kota raya itu.

Mercu tanda

Lawatan pertama penulis di sini adalah ke Masjid Sultan Ahmet atau lebih dikenali dengan nama Masjid Biru. Dibina antara tahun 1609 hingga 1616, gelaran Masjid Biru diberikan kerana jubin biru menghiasi dinding di bahagian dalam masjid.

Menurut penduduk tempatan, masjid itu dibina oleh Sultan Ahmed I kerana dipercayai untuk menandingi kompleks Hagia Sophia yang dibina oleh penakluk Kristian pada 537 Masihi.

Masjid yang berkapasiti hampir 10,000 orang itu juga merupakan salah satu daripada tarikan utama pelancong ke Istanbul. Ia pernah menerima kunjungan hormat dari Paus Benedict XVI pada tahun 2006.


PEMANDANGAN pada waktu petang di Taman Gezi dan Dataran Taksim.


Lebih kurang 500 meter berhadapan Masjid Sultan Ahmet tersergam indah bangunan Hagia Sophia. Berdiri teguh sejak 1,500 tahun yang lalu, bangunan itu merupakan simbol keagungan Empayar Byzantine sebelum Istanbul ditawan tentera Uthmaniyah pimpinan Sultan Mehmet II, satu figura kebanggaan rakyat Turki.

Bermula sebagai sebuah gereja, Hagia Sophia kemudian ditukar menjadi masjid oleh Sultan Mehmet II sebelum menjadi sebuah muzium oleh pengasas Republik Turki, Mustafa Kamal Ataturk.

Dengan tiket masuk berharga TRY25 (RM40), para pengunjung pasti akan terpegun melihat pertembungan senibina Islam, Roman Katolik dan Kristian Ortodoks pada sebuah bangunan yang sama.

Bagi mereka yang gemar membeli-belah, Grand Bazaar ialah destinasi yang wajib dikunjungi. Salah satu daripada pasar tertutup yang terbesar dan tertua di dunia, Grand Bazaar menyajikan pelbagai barangan, daripada pakaian hingga perhiasan perak pada harga yang berpatutan.

Dengan lebih 3,000 buah kedai di 60 lorong untuk diterokai, pengunjung pasti rambang mata melihat aneka pilihan barangan untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Menerima kunjungan antara 250,000 hingga 400,000 pelawat sehari, kesesakannya memerlukan pelancong asing sentiasa berwaspada daripada menjadi mangsa penyeluk saku.

Perjalanan kaki selama 10 minit dari Grand Bazaar membawa penulis ke sebuah lagi pasar terkenal di Istanbul iaitu Spice Bazaar di Fatih.

Dahulunya terkenal sebagai pusat perdagangan rempah di Istanbul, Spice Bazaar merupakan destinasi terbaik untuk mendapatkan buah-buahan kering dan kekacang, rempah, buah zaitun dan minyak pati terbaik.

Sekiranya anda ke sini, jangan lupa untuk membeli manisan terkenal Turki, Turkish Delight dan makanan lain yang sukar didapati di Malaysia.

Pengangkutan awam

Perjalanan dari satu tempat ke tempat lain dipermudahkan dengan rangkaian pengangkutan awam yang baik di Istanbul. Pelancong boleh bergerak dengan menggunakan tren, bas metro dengan laluan khas dan trem yang telah diintegrasikan pada satu sistem yang sama.

Pelancong juga boleh menaiki teksi, namun jangan terkejut dengan cara pemanduan penduduk di sini kerana mereka lebih 'mahir' memandu berbanding pelakon filem aksi.

Selain itu, pelancong yang ingin ke sini dinasihatkan untuk mempelajari bahasa Turki asas kerana rata-rata masyarakat di sini tidak fasih berbahasa Inggeris.

Menaiki bas menyeberangi Golden Horn melalui Jambatan Galata, penulis menuju ke utara Istanbul dan tiba ke Dataran Taksim, pusat tercetusnya demonstrasi berdarah pada bulan Mei lalu.

Kunjungan penulis 'disambut' dengan kehadiran trak polis dan pasukan anti-rusuhan yang berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang insiden yang tidak diingini.

Walaubagaimanapun, keadaan selamat dan tidak menghalang pelancong asing untuk bersiar-siar di situ.

Kawasan Taksim dipenuhi dengan deretan restoran dan pusat beli-belah. Bagi mereka yang ingin merasai suasana malam Istanbul, Taksim dan kawasan sekitarnya adalah satu lokasi yang sempurna.

PENJUAL ais krim ini menarik perhatian pelanggan dengan gayanya yang unik.


Bandar dua benua

Umum mengetahui mengenai keunikan Istanbul yang merupakan sebuah negara yang terletak di dua benua iaitu Eropah dan Asia.

Bosan berjalan di benua Eropah, pelancong boleh menaiki feri menyeberangi Selat Bosphorus ke bahagian Asia dengan bayaran semurah TRY2 (RM3.22).

Dari dek feri, penulis digamit dengan keindahan Selat Bosphorus dan Laut Marmara saujana mata memandang. Kicauan burung camar dan hembusan bayu laut sepanjang perjalanan mewujudkan suasana romantik yang pasti menaikkan keterujaan terutamanya kepada pasangan yang datang untuk berbulan madu.

Tidak banyak tempat untuk dilawati di bahagian Asia kerana kebanyakan kawasan tumpuan terletak di sebelah Eropah.

Ketika berada di benua Asia, penulis sempat mengunjungi Bukit Camlica untuk menikmati pemandangan bandar raya Istanbul dari ketinggian 268 meter dari aras laut.

Terdapat restoran di puncak bukit itu bagi pelancong yang ingin menghayati pemandangan indah sambil menghirup secawan coklat panas.

Sebelum menaiki feri pulang ke benua Eropah, penulis sempat singgah di kafe di pinggiran Laut Marmara untuk menikmati secawan teh Turki, minuman popular bagi penduduk di situ.

Menikmati teh panas sambil melihat matahari terbenam di ufuk barat seolah-olah memisahkan jiwa penulis dengan hiruk-pikuk suasana bandar raya tersebut.

Dalam ketenangan itu, penulis teringat kata-kata Sultan Mehmet II sebelum beliau menakluk kota Istanbul: "Sama ada aku yang menawan Istanbul, atau Istanbul yang akan menawanku."

Tidak mampu menyaingi keteguhan Sultan Mehmet II, penulis terpaksa mengalah kerana hati penulis benar-benar tertawan dengan keajaiban yang disajikan di bumi Uthmaniah ini.

Platform penerjun BASE di Malaysia

Posted:

Platform penerjun BASE di Malaysia

Platform penerjun BASE di Malaysia

KEKUATAN angin berupaya mempengaruhi arah pergerakan payung terjun peserta.


PERTAMA kali Kat Donahue, 32, melakukan terjunan BASE di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves, Selangor, hatinya berdebar-debar. Namun, perasaan itu bertukar teruja dan gembira selepas mendarat dengan sempurna di kawasan padang di hadapan gua tersebut.

Kat bukanlah seorang pendatang baharu dalam arena sukan ekstrem itu. Dia telah berjaya melakukan lebih 150 terjunan BASE di negara asalnya iaitu Amerika Syarikat (AS) sebelum melakukan terjunan pada acara Terjunan BASE Sibu 2013 pada 19 hingga 22 September lalu.

Taman Ekstrem Gua Damai merupakan destinasi persinggahan Kat dan seorang rakannya sebelum melakukan terjunan pada acara Terjunan BASE Menara Kuala Lumpur 2013 yang berlangsung pada hari Jumaat hingga Ahad ini.

Menurut penerjun yang berasal dari Brooklyn, New York itu, perancangan rapi perlu dilakukan oleh penerjun terutamanya dari aspek keselamatan, kelengkapan dan mental.

"Setiap kali melakukan terjunan, saya perlu fokus untuk membuka payung terjun dan mengetahui kadar tiupan angin agar tidak tersasar dari kawasan mendarat. Pada sesi pagi hari pertama terjunan di sini, saya melakukan dua kali terjunan dan berjaya mendarat dengan sempurna.

"Taman Ekstrem Gua Damai merupakan destinasi terbaik untuk persiapan mental dan fizikal saya sebelum ke acara Terjunan BASE Menara Kuala Lumpur 2013," jelas pengurus lokasi produksi filem Hollywood, Columbia Pictures itu.

BASE merupakan nama singkatan bagi lokasi peserta untuk melompat atau terjun bangunan (building), antena (antenna), rentangan seperti jambatan (span) dan tebing bumi (earth).


MELIPAT payung terjun dengan betul merupakan langkah keselamatan penting sebelum terjunan dibuat.


Dengan yuran sebanyak RM50, penerjun dapat membuat terjunan sebanyak mungkin sepanjang sesi pagi dan malam dalam acara Terjunan BASE 2013 di taman tersebut.

Aktiviti terjunan BASE di Gua Damai itu bermula kira-kira enam tahun lalu yang dikelolakan oleh syarikat yang menguruskan gua yang terletak di Pinggiran Batu Caves iaitu Wira Adventure Consultant.

Acara terjunan BASE Taman Ekstrem Gua Damai dianjurkan setiap tahun sejak ia dibuka kepada orang ramai. Taman itu merupakan platform kepada penerjun melakukan terjunan BASE di Malaysia.

Pemilik tunggal Wira Adventure Consultant, Mustapha Albakri Omar, 53, memberitahu, penganjuran acara terjunan BASE pada tahun ini berjaya menarik seramai 40 penerjun tempatan dan luar negara.

"Pada tahun lalu, seramai 27 peserta dari tujuh negara telah menyertai acara ini. Jika dibandingkan dengan tahun lalu, bilangan peserta semakin bertambah.

"Selain daripada melakukan terjunan, penerjun BASE di Gua Damai berpeluang mendaki gua setinggi 96 meter sebelum melakukan terjunan. Ia merupakan satu pengalaman yang menarik untuk para peserta terutama apabila melakukan terjunan pada waktu malam," ujarnya yang bercadang untuk mengadakan pertandingan terjunan BASE di taman tersebut pada tahun hadapan.

Selain daripada aktiviti terjunan BASE, Taman Ekstrem Gua Damai juga menyediakan sukan lasak lain seperti memanjat batu, abseiling dan merentas gua.

Sementara itu, seorang penerjun tempatan yang mewakili pasukan Damai BASE, Haziq Azlan, 25, memberitahu, acara tahunan yang dianjurkan oleh Wira Adventure Consultant itu merupakan lapangan untuk dia bertemu dengan penerjun berpengalaman dari luar negara.

"Saya berpeluang bertemu dengan penerjun dari AS iaitu Sean Chuma. Penerjun-penerjun dari luar negara mempunyai pengalaman yang luas terutama dalam kemahiran pengendalian payung terjun dan teknik terjunan mereka. Secara tidak langsung, banyak perkara yang dapat dipelajari daripada mereka," ujar graduan jurusan Perundangan Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu.- MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


70 ahli Program Kepolisan Masyarakat sokong PDRM

Posted:

70 ahli Program Kepolisan Masyarakat sokong PDRM

70 ahli Program Kepolisan Masyarakat sokong PDRM

KIRA-KIRA 70 ahli Program Kepolisan Masyarakat Taman Bukit Indah berkumpul di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya, Johor Bahru baru-baru ini bagi menyatakan sokongan terhadap usaha PDRM membanteras kegiatan geng kongsi gelap.


SOKONG. Lebih 70 orang ahli Program Kepolisan Masyarakat Taman Bukit Indah, Johor Bahru, Johor berhimpun secara aman di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya bagi menyatakan sokongan kepada usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras geng kongsi gelap baru-baru ini.

Pengerusinya, CP Yap, 54, berkata, meskipun terdapat sesetengah pihak yang memperlekeh usaha PDRM membanteras jenayah menerusi Ops Cantas Khas, namun ia perlu diteruskan demi menjamin keselamatan orang awam dan keamanan negara.

"Kami seru agar PDRM meneruskan Ops Cantas ini dan memburu penjenayah sehingga ke lubang cacing. Kami harap PDRM tidak gentar untuk meneruskan usaha ini dan kami sendiri akan terus menyokong PDRM," katanya.

Gotong-royong penduduk Taman Impian Putra

Posted:

Gotong-royong penduduk Taman Impian Putra

Gotong-royong penduduk Taman Impian Putra


SEBAHAGIAN penduduk Taman Impian Putra, Bangi yang bergotong-royong membersihkan kawasan perumahan mereka baru-baru ini.


GOTONG-ROYONG. Lebih 200 penduduk Taman Impian Putra mengambil bahagian dalam aktiviti kempen cegah denggi di kawasan perumahan Taman Impian Putra, Bangi, Selangor baru-baru ini.

Program itu dianjurkan bagi menangani penularan wabak denggi di kawasan perumahan Taman Impian Putra.

Wakil penganjur, Hasbullah Hassan berkata, aktiviti gotong-royong yang melibatkan semua penduduk memberi fokus kepada usaha membersih sampah sarap dan longkang-longkang di belakang rumah yang merupakan kawasan potensi pembiakan nyamuk aedes.

Gotong-royong inisiatif Persatuan Penduduk Taman Impian Putra itu turut mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, Jabatan Kerja Raya Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang dan Syarikat Bekalan Air Selangor.

PPSPM kibar 50,000 Jalur Gemilang di Sungai Melaka

Posted:

PPSPM kibar 50,000 Jalur Gemilang di Sungai Melaka

PPSPM kibar 50,000 Jalur Gemilang di Sungai Melaka


IDRIS (tengah) memegang sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records bersama para peserta Larian Merdeka Sungai Melaka di Banda Hilir baru-baru ini.


REKOD. Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) melakar nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) apabila berjaya mengibarkan 50,000 Jalur Gemilang di sepanjang Sungai Melaka sempena Larian Merdeka Sungai Melaka baru-baru ini.

Jalur Gemilang yang dipasang di sepanjang sungai sejauh 10.5 kilometer itu diiktiraf MBR sebagai Jalur Gemilang paling banyak dipamerkan di sepanjang sungai berkenaan yang disertai 1,500 peserta.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, usaha PPSPM untuk menyemarakkan bulan kemerdekaan itu membuahkan hasil apabila diiktiraf oleh MBR, sekali gus mengangkat imej negeri itu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk Baharom Majid, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-pulau negeri, Datuk Ghazale Mohamad.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Majikan pertahan Azman

Posted:

Majikan pertahan Azman

Majikan pertahan Azman

Oleh NASRUL FAIZ ABU AZAL
faiz.abu@kosmo.com.my

AZMAN


KUALA LUMPUR – Majikan kepada pengawal keselamatan, Azman Mohd. Nayan yang dikatakan dimaki hamun dan ditendang oleh isteri kepada pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim, Nor Shahrul Idlan Talaha atau Mat Yo bertegas akan mempertahankan tindakan pekerjanya itu yang disifatkan betul dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) syarikat.

Pengurus syarikat keselamatan Valiant Force Sdn. Bhd., Mukhveer Singh Gill berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti kesemua aspek termasuk mendengar keterangan saksi dan melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian di Lapangan Terbang Subang Skypark di Subang dekat sini.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

65 waran tangkap untuk pemandu bas

Posted:

65 waran tangkap untuk pemandu bas

65 waran tangkap untuk pemandu bas

KUALA LUMPUR - Polis mengeluarkan sebanyak 65 waran tangkap terhadap pemandu bas ekspres atas pelbagai kesalahan jalan raya pada hari pertama Operasi Khas Warta Bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Cheras di sini semalam.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, waran tangkap itu turut dikeluarkan kepada pemandu bas yang mempunyai rekod saman tertunggak.

"Mereka perlu hadir di mahkamah dan menjelaskan bayaran saman di mana-mana balai polis trafik terdekat dalam tempoh seminggu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Koperal maut, Kawasaki Z800 rempuh kereta

Posted:

Koperal maut, Kawasaki Z800 rempuh kereta

Koperal maut, Kawasaki Z800 rempuh kereta

HULU SELANGOR - Seorang anggota polis maut selepas motosikal berkuasa tinggi Kawasaki Z800 yang ditunggang terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Slim Lama dekat simpang Taman Malim di sini semalam.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian pukul 2 pagi itu, Koperal Ramlan Ludin (gambar), 37, yang bertugas di Balai Polis Hulu Bernam meninggal dunia akibat parah.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


12 pemain Perak hadir beri keterangan

Posted:

12 pemain Perak hadir beri keterangan

12 pemain Perak hadir beri keterangan

SERAMAI 12 pemain Perak tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah bola sepak di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak di Bandar Meru Raya, Ipoh semalam, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Mereka ialah Khairul Amri Salahuddin, Farizal Marlias, Mohd. Nasir Baharuddin, Mohd. Syazwan Mohd. Roslan, Ahmad Shukri Ahmad Hamid, Khairul Asyraf Sahizah, Nurhakim Isa, Mohd. Nazri Mohd. Kamal, Mohd. Failee Mohd. Ghazali dan Mohd Haizal Faquan Sadarudin.

Turut hadir dua pemain import skuad Seladang iaitu Paulo Rangel dan Rafael Souza serta penolong jurulatih, Chong Yee Fatt dan jurulatih kecergasan, M. Pubalan.

Haizal dilihat pemain pertama muncul di pekarangan pejabat SPRM Perak pada pukul 2 petang diikuti pemain-pemain lain secara berperingkat-peringkat sehingga 2.40 petang.

Yee Fatt pula dilihat melangkah tenang memasuki pejabat agensi pencegahan rasuah itu bagi memberi keterangan pada pukul 3 petang.

Sementara itu, Nurhakim berkata, mereka hadir untuk membantu siasatan kes dakwaan menjual perlawanan pada aksi terakhir Kumpulan D Piala Malaysia yang berakhir Perak tewas 1-6 kepada Sarawak di Stadium Negeri, Kuching.


RANGEL (kiri) dan Souza turut hadir ke pejabat SPRM Perak di Ipoh semalam bagi memberi keterangan masing-masing.


"Proses keterangan bagi setiap pemain memakan masa antara sejam setengah sehingga tiga jam. Kami ditemu bual di dalam bilik yang berasingan," katanya ketika ditemui selepas memberi keterangan.

Difahamkan, baki 12 lagi pemain termasuk kapten, Shahrulnizam Mustapha dan pegawai pasukan serta ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah akan tampil memberi keterangan kepada SPRM hari ini dan esok.

Kosmo! semalam melaporkan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengambil tindakan drastik dengan menggantung tugas Azraai dan semua pegawai skuad Seladang selama dua minggu berkuat kuasa kelmarin.

Timbalan Presiden PAFA, Khairul Azwan Harun berkata, langkah itu terpaksa diambil setelah pihaknya mengesyaki wujudnya unsur sabotaj dan rasuah membabitkan skuad Kejor Yob Kejor berikutan kekalahan besar kepada Sarawak.

Semangat Azraai tidak luntur

Posted:

Semangat Azraai tidak luntur

Semangat Azraai tidak luntur

Oleh AZIZUL FAHMI
azizulfahmi@kosmo.com.my


AZRAAI (tengah) mahu memperkemas skuad bimbingannya menjelang saingan Liga M musim depan.


TINDAKAN Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menggantung tugas Mohd. Azraai Khor Abdullah selama dua minggu berkuat kuasa kelmarin ternyata tidak melunturkan semangat ketua jurulatih Perak itu.

Sebaliknya, Azraai seakan-akan mendapat semangat baharu untuk memperkasakan lagi skuad Kejor Yob Kejor bagi menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurut Azraai, beliau masih mempunyai tanggungjawab yang harus digalas bersama Perak biarpun terpaksa 'berehat' buat seketika.

"Dalam tempoh dua minggu ini, saya sudah ada perancangan tersendiri bagi memperkemaskan kembali pasukan untuk saingan musim depan.

"Selepas Perak gagal layak ke suku akhir Piala Malaysia, saya berpeluang untuk membentuk pasukan lebih awal dan saya tidak harus membuang masa begitu sahaja.

"Jadi dalam tempoh ini, mungkin agenda saya lebih terarah kepada risik-merisik (pemain baharu yang akan menyertai Perak musim depan)," kata Azraai kepada Kosmo! kelmarin.

Kenyataan Azraai itu juga seolah-olah memberi petanda awal bahawa pengendali berusia 60 tahun itu akan terus membimbing Perak musim depan.

Terdahulu, timbul khabar angin yang mengatakan Azraai yang sebelum ini membimbing Negeri Sembilan selama dua musim akan kembali menabur bakti bersama Kedah.

Ditanya sama ada kesahihan spekulasi tersebut, Azraai pantas menjawab: "Saya berpegang kepada kontrak sedia ada dengan PAFA. Saya ada hala tuju saya sendiri.

"Saya seorang yang profesional dan tidak akan melanggar kontrak yang telah ditandatangani sebelum ini dengan PAFA. Buktinya, saya menghormati kontrak saya ketika dua musim bersama Negeri Sembilan.

"Jadi buat masa ini, tumpuan dan fokus saya hanyalah untuk memperkemaskan semula pasukan Perak sebelum menghadapi kempen musim depan," tambah Azraai.

Ketika diminta mengulas lanjut pemilihan pemain yang akan menyarung jersi Perak musim depan, Azraai berkata, beliau sudah mempunyai beberapa nama dalam perancangannya.

"Minta maaf, saya tidak boleh dedahkan siapa pemain terbabit. Masih terlalu awal untuk saya maklumkan.

"Cuma apa yang boleh saya katakan, ramai pemain muda dari skuad Piala Presiden Perak akan diserap masuk menyertai skuad senior," jelasnya yang menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Perak.

Azraai mempunyai magis tersendiri ketika membimbing Kedah apabila membantu skuad Kenari itu muncul juara trebel dua musim berturut-turut iaitu pada 2007 dan 2008.

Ketika membimbing Negeri Sembilan, Azraai meneruskan sentuhan luar biasanya apabila menjulang skuad Rusa itu menjuarai Piala Malaysia 2011.

Hodak sangkal spekulasi bakal bimbing Pulau Pinang

Posted:

Hodak sangkal spekulasi bakal bimbing Pulau Pinang

Hodak sangkal spekulasi bakal bimbing Pulau Pinang


HODAK (kanan) kini memberi fokus bagi menghadapi aksi suku akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim.


PENGENDALI Kelantan, Bojan Hodak menyangkal sekeras-kerasnya khabar angin yang mengatakan beliau bakal membimbing Pulau Pinang musim depan, lapor YATIMIN ABDULLAH.

Hodak berkata, beliau tidak mempunyai masa untuk memikirkan isu tersebut, sebaliknya mahu memberikan tumpuan sepenuhnya menghadapi saingan suku akhir Piala Malaysia bertemu Johor Darul Takzim.

Menurut Hodak, beliau sama sekali tidak mengetahui isu tersebut dan menganggap spekulasi tersebut sama sekali tidak benar.

"Beberapa hari lalu saya ada pulang ke Pulau Pinang untuk bercuti. Mungkin ada orang ternampak saya sedang bercakap dengan seseorang, lalu membuat andaian sendiri, padahal itu tidak benar sama sekali.

"Andai kata saya bercuti ke Kuala Lumpur, mungkin orang akan ingat saya nak jadi jurulatih Selangor, begitu juga sekiranya ke Terengganu mahupun luar negara.

"Fokus saya hanya untuk kempen Piala Malaysia yang berbaki beberapa perlawanan dan penyokong boleh bercakap apa sahaja berhubung isu ini," katanya kelmarin.

Terdahulu, timbul 'cakap-cakap' dalam laman sosial Facebook yang mengatakan Hodak sah meninggalkan The Red Warriors musim depan.

Bukan itu sahaja, Hodak turut dikhabarkan bakal membawa beberapa bintang The Red Warriors bersamanya untuk beraksi bersama skuad Harimau Kumbang musim depan.

"Saya tidak pernah menandatangani perjanjian mahupun memorandum persefahaman (MoU) dengan mana-mana pasukan lain.

"Saya masih lagi jurulatih Kelantan dan semua dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali termasuklah membawa keluar pemain The Red Warriors untuk bersama saya musim depan," tegasnya.

Menurut Hodak, beliau tidak pernah menerima tawaran daripada mana-mana pasukan kecuali Kelantan untuk menyambung kontrak.

"Saya sudah membalas surat tawaran kontraknya itu kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tetapi saya tidak boleh dedahkan isinya, ini antara saya dengan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Motif alam tema Mass Yusof

Posted:

Motif alam tema Mass Yusof

Motif alam tema Mass Yusof

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI
nadia.bahari@kosmo.com.my


TERATAK Mass Yusof di Ampang dipenuhi dengan lukisannya yang bertema alam semulajadi.


DINDING rumahnya dihiasi penuh dengan lukisan bermotifkan tumbuh-tumbuhan dalam belukar, ayam, burung dan pemandangan di jeti sungai.

Sekali imbas, semua lukisan tersebut persis gambar yang dirakam menggunakan kamera digital. Terbit rasa ingin mengetahui makna di sebalik lukisan-lukisan yang bercirikan alam tersebut.

Pemilik lukisan yang dimaksudkan ialah Mohd. Yusof Abdul Wahid, 57, atau lebih dikenali dengan nama Mass Yusof dalam kalangan penggiat seni lukisan tanah air.

Suasana desa

Rupa-rupanya, setiap lukisan yang dihasilkannya merupakan imbasan nostalgia kepada corat-coret yang dilalui pada zaman kanak-kanaknya.

Beliau dibesarkan di Kampung Mentaram, Klang, Selangor dan tinggal jauh dari bandar telah membuatkan persekitaran hutan menjadi medan permainannya dengan kawan-kawan sekampung.

"Semasa kecil, saya terjun dalam kawasan paya dan menyorok di sebalik daun keladi ketika bermain dengan kawan-kawan. Kadang-kadang teringat juga zaman nakal melastik burung bersama mereka.

"Semua itu membuatkan saya rindu dengan kenangan manis yang ditempuhi semasa alam kanak-kanak," katanya ketika ditemui di rumah beliau di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Ternyata perasaan yang membuai kenangan terhadap nostalgia lama itu tidak dialami Mass Yusof seorang. Beliau memberitahu, ramai rakan-rakannya di laman sosial Facebook turut gembira melihat gambar-gambar lukisan yang dimuat naik olehnya.

Lukisan-lukisan tersebut turut membuatkan mereka mengimbau kenangan lama. Barangkali, rakan-rakannya juga merindukan suasana hidup di desa.


MASS YUSOF menjadikan ruang anjung yang kecil di tingkat dua rumahnya sebagai studio mini lukisan.


Muzik keroncong

Lain orang lain caranya. Bagi Mass Yusof untuk mendapatkan mood sewaktu hendak mula memegang berus lukisan cukup unik.

Dengan elemen kampung dan tradisi yang sentiasa dekat di hatinya, pelukis itu sering memainkan alunan muzik keroncong tatkala menyiapkan naskhah lukisannya.

Kata Mass Yusof, muzik keroncong boleh membuatkan beliau masuk ke alam khayalan bagi mengimbas memori silam yang penuh dengan pemandangan indah alam semulajadi.

Figura tersebut mendapat pendidikan formal dalam bidang seni halus di Universiti Teknologi Mara pada lewat tahun 1970-an. Bagaimanapun, Mass Yusof terpaksa menamatkan pengajian sebelum tiba masanya atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

Biarpun begitu, bakat yang ada tidak pernah disia-siakan. Beliau diterima bekerja di Utusan pada tahun 1980 sebagai pembantu pelukis grafik.

"Saya melukis pada masa lapang selepas tamat waktu bekerja. Lama-kelamaan, ada orang yang berminat membeli lukisan saya.

"Selepas bersara, saya banyak menghabiskan masa melukis di studio mini di rumah ini," ujarnya yang gemar menggunakan teknik pengadunan bahan akrilik dalam lukisan.

Melancong lebih mudah dengan Google Street View

Posted:

Melancong lebih mudah dengan Google Street View

Melancong lebih mudah dengan Google Street View


SETAKAT ini sebanyak 18 lokasi pelancongan di negara ini telah dimuat naik ke peta Google sejak dilancarkan di ibu negara baru-baru ini.


SELEPAS melakukan pemetaan dan merakamkan ratusan imej ikonik di lebih 50 buah negara di seluruh dunia, syarikat enjin carian internet terkemuka, Google Inc. (Google) akhirnya membawa aplikasi Street View ke Malaysia.

Bermula dengan 18 lokasi pelancongan utama di seluruh negara, aplikasi itu dijangka memberi dimensi baharu kepada pelancong untuk melihat kepelbagaian dan keunikan Malaysia dengan lebih dekat.

Pengurus Negara Google Malaysia, Sajith Sivanandan berkata, Street View merupakan aplikasi popular di peta Google yang membolehkan orang ramai meneroka secara maya bahagian peta melalui imej panorama 360 darjah pada paras jalanan.

Bagi tujuan itu, katanya, Google turut memperkenalkan Street View Trekker, sistem kamera terbaharu dalam barisan Street View dan Street View Trolley, sistem kamera kenderaan beroda tiga ke Malaysia.

"Buat permulaan terdapat 18 lokasi pelancongan utama di negara ini yang telah dimuat naik ke peta Google dan jumlahnya akan ditambah dari semasa ke semasa.

"Aplikasi ini bukan sahaja mampu mempromosikan lokasi-lokasi pelancongan di negara ini tetapi juga memberi impak ekonomi untuk jangka masa yang panjang," katanya ketika pelancaran aplikasi itu di ibu negara baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Mirza Mohamad Taiyab.

Tambah Sajith, Google berusaha sedaya upaya melindungi privasi pengguna dalam peta Google melalui ciri-ciri khas Street View.

Antaranya, teknologi canggih yang dapat mengaburkan wajah manusia dan plat lesen kenderaan pada imej yang dirakam agar ia tidak dapat dikenal pasti.

"Google juga sangat responsif terhadap sebarang aduan yang diterima daripada orang ramai pada masa hadapan demi memastikan privasi mereka sentiasa terpelihara," jelasnya.

Sementara itu, Mirza berkata, aplikasi terbaharu itu memberi nilai tambah kepada pelancong yang mahu melancong ke negara ini pada masa hadapan.

"Melalui imej panorama 360 darjah mereka berupaya gambaran lebih jelas mengenai sesebuah lokasi pelancongan.

"Misalnya, mungkin di sekitar imej itu terdapat restoran, kedai runcit dan perhentian teksi dan sebagainya yang memudahkan pelancong merancang perjalanan mereka," katanya. - AMMAR JAZLAN MAD LELA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Ketua Polis Pulau Pinang cabar pengirim SMS ugutan untuk bersemuka

Posted:

Ketua Polis Pulau Pinang cabar pengirim SMS ugutan untuk bersemuka

Ketua Polis Pulau Pinang cabar pengirim SMS ugutan untuk bersemuka

25/09/2013 10:35pm

GEORGE TOWN - Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi mencabar individu yang menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan kepadanya pada Isnin lepas untuk bersemuka.

Abdul Rahim berkata, beliau tidak gentar dengan SMS yang diterima dan perkara itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus memerangi jenayah di negeri ini sekali gus menjalankan tugas dengan lebih tegas.

"Saya nasihatkan kepada penghantar mesej (ugutan) itu, jangan ingat dia terlepas daripada tindakan pihak polis.

"Tak payahlah ugut-ugut hantar SMS, beritahu saja... telefon mana mahu jumpa, saya akan pergi. Kalau dah berani sangat, beritahu tempat, tunggu saya...

saya akan pergi," katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam sempena Kejohanan Bola Jaring Piala Ketua Polis Negara 2013 di sini malam ini.

Beliau menerima lebih tiga SMS ugutan pada Isnin dan sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini pukul 9 malam semalam.

Antara kandungan SMS berkenaan ialah "Hello kepala Penang mau kasi ingat U sudah ambil saya punya kawan lima orang, U jangan ingat U The Best".

Selain itu, pengirim SMS turut mengugut untuk "mengambil" Abdul Rahim atau rakannya, jika tidak berjaya "mengambil" Abdul Rahim.

Kesemua SMS diterima daripada nombor yang sama bermula pukul 9 pagi ketika Abdul Rahim berada di pejabatnya. - Bernama

9 rumah terbakar, penghuni tinggal sehelai sepinggang

Posted:

9 rumah terbakar, penghuni tinggal sehelai sepinggang

9 rumah terbakar, penghuni tinggal sehelai sepinggang

25/09/2013 10:32pm

SANDAKAN - Penghuni sembilan buah rumah di Lorong Selamat, Kampung Gum-Gum, Batu 16 di sini, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran hari ini.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Sandakan, Anduring Habib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.53 petang dan tiba di lokasi kira-kira setengah jam kemudian.

Operasi memadam kebakaran dijalankan oleh 10 anggota dengan dua jentera serta dibantu oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, anggota polis dan penduduk, katanya kepada Bernama.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan sementara punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan, katanya.

Bernama difahamkan mangsa ditempatkan di Dewan Sri Gum-Gum selain ada yang menumpang di rumah saudara-mara. - Bernama

Enam warga Indonesia menyorok dalam terowong penyaman udara

Posted:

Enam warga Indonesia menyorok dalam terowong penyaman udara

Enam warga Indonesia menyorok dalam terowong penyaman udara

25/09/2013 10:30pm

MELAKA - Jabatan Imigresen Melaka menahan enam lelaki warga Indonesia yang menyorok di dalam lubang terowong penyaman udara di sebuah tapak pembinaan di Klebang dalam operasi 6P hari ini.

Timbalan Pengarah Imigresen (Kawalan) Melaka, Abu Bakar Sidek Hasan berkata, anggota yang terlibat dalam operasi itu mengambil masa hampir setengah jam untuk mengeluarkan kesemua lelaki berusia lingkungan 27 dan 30 tahun itu.

"Mereka berani menyorok dalam terowong bersaiz satu setengah kaki itu sebab mereka tidak mempunyai dokumen langsung," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Keselamatan Dalam Negeri, Ayer Keroh hari ini.

Beliau berkata, 273 orang diperiksa dalam operasi bersepadu yang membabitkan 153 anggota jabatan itu, Jabatan Pendaftaran, Jabatan Pertahanan Awam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Rela.

Katanya, sejumlah 203 orang berusia dua hingga 50 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang bermula pukul 10 pagi dan berakhir pada 2 petang itu. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved