Sabtu, 24 Ogos 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


OKU anak Tumpat ke Jepun

Posted:

OKU anak Tumpat ke Jepun

OKU anak Tumpat ke Jepun

SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) tampak ralit membuat ukiran bermotifkan flora di atas sebuah bingkai kayu cengal.

Jari-jemarinya tangkas mencapai pisau ukir bagi membentuk lubang dan lekuk agar ukiran itu kelihatan timbul.

Sambil mengetuk-ngetuk dengan menggunakan tukul khas, lelaki bernama Mazri Mohammad itu turut membayangkan hasil yang bakal disiapkannya kelak iaitu sebuah bingkai cermin.

Sebenarnya tukul tersebut sudah sekian lama digunakan oleh lelaki yang mesra disapa Mat itu.

Ketika mencongak usia penglibatannya dalam bidang ukiran kayu sejak berusia 17 tahun, Mat berasa kagum kerana peralatan tukul dan pisau itu masih berbakti kepadanya sehingga sekarang.

Mat kini sudah berusia 42 tahun.

"Ia (peralatan itu) masih setia membantu menyara kehidupan saya. Kebanyakannya merupakan koleksi yang saya miliki ketika mula-mula mengikuti pembelajaran di sebuah bengkel khas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Jalan Bayam (Kota Bharu, Kelantan) sejak tahun 1988," katanya sambil mengeluarkan beberapa alat pengukir daripada sebuah kotak khas.

Mat terpaksa bertongkat untuk bergerak kerana kaki kirinya lumpuh. Dia yang menjalani kehidupan normal sehingga berusia enam tahun mendapat masalah itu setelah menghidap demam panas yang teruk semasa kecil.

Kesan akibat demam itu menyebabkan pertuturan Mat juga terganggu apabila suaranya kedengaran seperti sengau dan sukar untuk difahami maksud yang hendak disampaikannya.

Enggan mengalah dengan kekurangan diri, Mat sebaliknya membuktikan bahawa golongan sepertinya juga mampu menonjolkan kebolehan yang dimiliki mereka. Hasil daripada pengetahuan yang ditimba ketika menjalani latihan pada suatu ketika dahulu, Mat menyara keluarganya dengan membuat ukiran kayu.

KERUSI yang dipenuhi dengan ukiran untuk sebuah masjid di Kelantan ini mampu disiapkan oleh Mat dalam tempoh sebulan.


Kereta manual

Mat seorang OKU kental. Dia bukan sahaja menggunakan kudrat tangan untuk berkarya, bahkan menggunakan segenap anggotanya yang normal untuk terus bekerja.

Biarpun memerlukan tongkat untuk bergerak, Mat tetap mampu mengendalikan mesin pemotong kayu secara bersendirian. Bahkan, Mat juga boleh membuat perabot dan membina rumah.

"Ukiran kayu merupakan sebahagian daripada minat saya. Hasil daripada pengetahuan yang ada, saya menerima tempahan untuk membuat perabot, biarpun terdapat kekangan peralatan mesin memproses.

"Saya juga menerima tempahan membuat set kabinet dapur dan boleh memasangnya. Ramai yang menjangkakan bahawa saya tidak boleh melakukannya apatah lagi sebelah tangan saya perlu memegang tongkat manakala sebelah kaki lagi tidak berfungsi. Tetapi, saya membuktikannya dengan hasil kerja saya," katanya dengan jujur.

Mat memberitahu, dia kini mula menjinakkan diri di dalam dunia pembinaan apabila para pelanggannya memberi kepercayaan kepadanya untuk melakukan kerja-kerja membina rumah.

"Saya tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang pembinaan. Namun, mempelajarinya (kerja-kerja membina rumah) menerusi pengalaman dan pemerhatian saya sebelum ini.

"Mungkin ramai yang sukar membayangkan bagaimana saya boleh memunggah bongkah simen atau memasang siling rumah. Namun, saya memang benar-benar boleh melakukannya," ujar Mat bersungguh-sungguh ketika ditemui Jurnal di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Mat telah berkahwin dengan Munira Mat Yusoff pada tahun 1999. Dia yang sudah 14 tahun mendirikan rumah tangga dikurniakan empat orang cahaya mata.

Bagi memastikan anak-anaknya membesar seperti keluarga lain, Mat berusaha memperlengkapkan mereka dengan pelbagai kemudahan.

Selain memiliki motosikal sendiri, Mat juga boleh memandu kereta seperti orang biasa. Biarpun kenderaan transmisi automatik lebih sesuai buat dirinya, Mat lebih selesa memandu kereta dengan gear manual.

Kereta Proton Wira terpakai yang dibelinya beberapa tahun lalu diubah suai agar disesuaikan dengan dirinya yang hanya memiliki kaki normal di sebelah kanan.

"Tiada masalah untuk memandu kereta bertransmisi automatik. Namun, menggunakan kereta manual lebih menjimatkan minyak. Saya melakukan pengubahsuaian pada bahagian pedal klac supaya dapat digunakan dengan menggunakan tangan," katanya yang memiliki lesen memandu sejak 20 tahun lalu.


UKIRAN bermotifkan daun sirih merupakan sebahagian daripada hasil seni ukiran tangan Mat.


Pingat perak di Jepun

Mat yang merupakan anak kelahiran Kampung Masjid, Tumpat, Kelantan itu bukan sahaja pernah menyumbang bakat ukirannya di dalam negara sahaja, bahkan dia mempamerkan bakatnya itu ke peringkat antarabangsa.

"Sehingga kini, banyak lokasi yang pernah saya kunjungi di seluruh dunia bagi mempamerkan produk dan melakukan demonstrasi ukiran tradisi Melayu ke seluruh dunia. Tapi, yang paling diingatinya adalah ketika berkunjung ke Jepun dalam kejohanan Abilympics Antarabangsa pada 2007.

"Saya memperoleh pingat perak. Pastinya, saya rasa bangga kerana dapat membawa nama Malaysia di pentas kejayaan biarpun saya hanya insan OKU," ujar Mat yang pernah menyertai pertandingan yang sama di India dan Korea Selatan pada tahun 2003 dan 2011.

Khidmat insan kerdil itu begitu besar dalam bidang pendidikan apabila pengetahuan dan pengalamannya dikongsi dengan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi dalam bidang berkaitan.

"Apabila ada jemputan, saya akan mengajar penuntut yang mengikuti kursus ukiran kayu di ILP (Institut Latihan Perindustrian) di Bachok (Kelantan) selain dijemput melakukan demonstrasi di Lembaga Perkayuan di Jalan Bayam (Kota Bharu)," kata anak keempat daripada lapan beradik itu.

Menceritakan pengalaman paling manisnya, menurut Mat, dia pernah diberi kepercayaan untuk membuat ukiran kayu di sebuah rumah banglo di Bukit Marak, Bachok, Kelantan.

"Masa selama enam bulan diperlukan untuk menyiapkan ukiran termasuklah pada tiang, tangga, pintu dan tingkap.

"Saya difahamkan oleh pemiliknya bahawa banglo itu disiapkan pada tahun 1997 setelah sebelas tahun ia dibina. Ia bagaikan sebuah mahligai yang indah," ujar Mat.

Biarpun enggan bersuara merayu simpati, jauh di sudut hati Mat untuk melihat golongan sepertinya dibantu terutamanya OKU yang tidak tahu hala tuju mereka.

"Sebenarnya, kita yang harus membantu diri sendiri, tidak kiralah sesukar mana pun hidup kerana kehidupan adalah amanah Allah. Jika ada kekurangan diri, kita kena kreatif untuk mencari kelebihannya.

"Tidak perlulah merayu untuk mendapat pertolongan tanpa berusaha. Namun, pihak berkaitan juga harus membuka mata dengan menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan seperti saya," ujar Mat.

Lipas, anai-anai lali racun

Posted:

Lipas, anai-anai lali racun

Lipas, anai-anai lali racun

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


SERANGAN anai-anai jika tidak dikawal boleh menyebabkan pintu dan perabot mengalami kerosakan yang teruk.


MENGGUNAKAN motosikaljenis Modenas dan kereta Proton Iswara, Shahril Abdul Rahman dengan sabar menunaikan tugasan sehariannya.

Cuma, pekerjaannya agak pelik iaitu pemburu serangga dan haiwan perosak seperti semut, lipas, anai-anai, tikus dan tupai untuk dimusnahkan.

Sebenarnya, sebelum ini, pemuda berusia lewat 30-an itu telah menceburi pelbagai bidang pekerjaan.

"Saya pernah belajar dalam bidang kejuruteraan di Jepun sebelum kembali bekerja di sebuah kilang di Shah Alam, Selangor. Malangnya, ekoran kegawatan ekonomi pada tahun 1998, kilang itu ditutup," katanya.

Sejak itu, jelas Shahril, dia pernah menjadi pemandu teksi, penebar roti canai dan jurukamera.

Namun, pengalamannya bekerja di sebuah syarikat kawalan serangga di Kuala Lumpur telah membuatkan dia bertekad untuk menceburi perniagaan tersebut.

"Saya teruja melihat kejayaan bekas majikan saya. Hanya bermula dengan sebuah motosikal sebelum dia memiliki sebuah van. Perniagaannya itu kemudian berkembang ke seluruh negara," ujarnya.

Shahril telah mengusahakan perniagaan kawalan serangga, Bug Ezz Pest Control sejak tahun 1999.

"Bugg itu ibarat serangan lebah manakala ezz itu sakit. Senang cerita, banyak nama yang saya pilih tetapi ia telah digunakan oleh syarikat lain," terang Shahril.

Lelaki yang agak pendiam ini secara tiba-tiba teruja bercerita mengenai serangga kepada kru Jurnal.

Cerita Shahril, semut api boleh mengakibatkan perabot berasaskan kayu mengalami kerosakan kerana serangga itu menjadikannya sebagai tempat kediamannya.

"Semut api mempunyai gigi yang tajam dan kayu ibarat makanan yang mudah dikunyah.

"Semut boleh menyebabkan keracunan makanan sekiranya makanan dan minuman tidak ditutup dengan sempurna," katanya.

Lipas pula lebih tertarik kepada persekitaran yang panas dan lembap.

Dalam pada itu, seorang juruteknik Servis Bug Ezz, Suhaimi Nappiah, turut menceritakan pengetahuannya tentang serangga perosak.

Dia berkata, lipas tertarik dengan kulit bawang.

"Ia adalah kerana kulit bawang sesuai untuk serangga itu untuk membiak kerana faktor haba serta kelembapan," katanya.

RACUN serangga perlu dikendalikan dengan teliti serta sempurna.


Penyembur racun

Suhaimi turut berkongsi cara-cara untuk membunuh lipas dan anai-anai.

"Jangan menggunakan penyembur racun serangga yang sama.

"Ia akan menyebabkan serangga itu lali terhadap racun itu," katanya.

Jelasnya, kedua-dua serangga itu akan membiak lebih cepat.

Suhaimi berpendapat, sebanyak 45 peratus kediaman, lot perniagaan, restoran termasuk hotel terutamanya di bandar-bandar besar memerlukan pemeriksaan kawalan serangga.

Tambahnya, keadaan persekitaran bangunan tersebut selain faktor bawaan dan semula jadi menyebabkan kawalan serangan itu perlu dilakukan.

Ratu

"Kebanyakan jiran rumah teres ketika kami melakukan perkhidmatan untuk membunuh tikus, lipas dan anai-anai, turut menghadapi masalah yang sama. Ia ibarat seperti penyakit berjangkit.

"Malah, ada jiran yang tinggal sejauh 100 meter dari rumah yang mengalami masalah serangga perosak turut menghadapi masalah yang sama," ujarnya.

Seorang lagi juruteknik Servis Bug Ezz, Shahrul Hisham Abdul Rahman berkata, pengalamannya yang tidak hampir dilupakan adalah apabila dia hampir terkena kipas siling.

Menurutnya, kipas tersebut jatuh kerana serangan anai-anai .

"Kejadian itu berlaku di sebuah rumah pelanggan di Shah Alam dua tahun yang lepas.

"Sebenarnya, anai-anai seperti musuh yang kita tidak nampak kerana serangga itu merosakkan kayu di bahagian dalamannya.

"Binaan kayu itu sudah pun rosak dan musnah. Mujurlah kipas meja itu tidak kena pada tubuh saya jika tidak lain ceritanya," katanya sambil tersenyum.

LIPAS dan tikus boleh menyebabkan keracunan makanan.


Tambahnya, terdapat juga kabinet dapur rumah pelanggannya musnah akibat serangan anai-anai.

"Lebih tragis, ada pelanggan yang terpaksa menjual rumah mereka atau menyewa di rumah lain kerana hampir keseluruhan rumah mereka terjejas teruk kerana anai-anai tanpa mereka sedari.

"Malah, mereka menjualnya dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran," katanya.

Terangnya, ratu anai-anai didakwa mempunyai khasiat seks kepada kaum Adam kerana kandungan proteinnya yang tinggi.

"Tapi, setakat ini saya tidak pernah menjumpainya jika tidak, mungkin anak saya ramai,' kata Shahrul Hisham bergurau.

Dia turut berkongsi kisah lucu tentang pintu bilik utama pasangan suami isteri yang terpaksa di buang kerana serangan anai-anai.

"Pintu bilik mereka tidak digantikan selama dua bulan untuk kami periksa sekiranya terdapat koloni anai-anai lain berhampiran dengannya," kata lelaki itu.

Dia juga pernah digoda oleh seorang janda untuk memeriksa serangan lipas dan tikus yang berlaku di rumahnya di Serdang, Selangor.

"Wanita itu pada mulanya berpakaian sopan termasuk bertudung. Pada pemeriksaan kali kedua, dia meminta saya datang pada waktu malam. Pada malam itu, dia berpakaian seksi termasuk bersolek.

"Malah, dia memanggil saya dengan panggilan abang. Nasib baik saya ingat isteri dan anak menyebabkan saya tidak pergi ke rumah itu lagi," katanya sambil ketawa.

Terang Shahrul Hisham, keistimewaan Bug Ezz memberi perkhidmatan pemeriksaan percuma untuk setiap premis di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

"Selain itu, kami turut menawarkan proses pembayaran ansuran sebanyak tiga kali," katanya.

Nuraizah mahu tulis buku

Posted:

Nuraizah mahu tulis buku

Nuraizah mahu tulis buku

Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR


NURAIZAH mengamalkan perbincangan secara terbuka bersama kakitangannya dan menganggap mereka seperti keluarganya.


PELUANG bertemu dengan Pengarah Urusan Madcat World Sdn. Bhd., Nuraizah Shamsul Baharin, 42, sememangnya dinanti-nantikan kerana beliau boleh menjadi sumber inspirasi kepada wanita untuk berjaya dalam kehidupan.

Hanya berpakaian santai, siapa sangka wanita ini pernah menjadi lima calon teratas di dalam kategori perniagaan bagi menggondol Anugerah Bella yang julung-julung kali dianjurkan ntv7.

"Saya sememangnya mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang perniagaan. Namun, sebelum memiliki perniagaan sendiri, saya terlebih dahulu mendapat pengalaman dengan bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang elektronik.

"Saya mempunyai sekumpulan rakan ketika bekerja di kilang itu yang mempunyai azam untuk memiliki perniagaan sendiri apabila kami menginjak usia 30 tahun.

"Alhamdulillah, saya berjaya mencapai sasaran itu pada umur 32 tahun dengan menguruskan perniagaan perisian telefon bimbit pintar dan empat daripada enam orang rakan saya juga sudah berjaya merealisasikan impian mereka," ujar graduan dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat ini.

Tambahnya, melibatkan diri di dalam bidang perisian telefon bimbit pintar sememangnya menjanjikan cabaran apatah lagi produk yang diketengahkan itu pula berunsurkan islamik. Menurut Nuraizah, sebanyak tiga produk utama diperkenalkannya.

Produk itu ialah Beam, Nur Muslim dan Madcat.

"Produk Beam lebih kepada bentuk perniagaan seperti terjemahan laman web untuk mencari kerja," jelasnya.

Menurut wanita itu, produk Nur Muslim membolehkan surah-surah dan doa-doa harian dimuat turun menerusi telefon pintar.

"Setakat ini, kami merupakan pembekal terbesar di Malaysia dan trend memuat turun aplikasi seperti itu tidak terhad pada bulan Ramadan sahaja. Malah, jumlah muat turun meningkat pada setiap tahun," katanya.

Produk islamik

Nuraizah berkata, produk Madcat pula merupakan aplikasi pelancongan yang juga mencatatkan jumlah muat turun yang paling tinggi setakat ini.

"Saya berazam untuk mewujudkan produk yang berguna kepada masyarakat berdasarkan isi kandungannya. Cabang perniagaan ini dipilih kerana ia tiada sempadan, bergerak pantas dan teknologinya sentiasa berubah.

"Justeru, saya perlu memastikan aplikasi yang dibangunkan seiring dengan teknologi pada masa kini.

"Selain itu, para pengguna juga tidak kisah tentang latar belakang syarikat yang mencipta aplikasi itu. Bagi mereka (para penguna), apa yang penting adalah sama ada aplikasi itu bagus atau tidak," jelasnya.

Dia memberitahu, tempoh masa selama satu hingga dua bulan diperlukan untuk membangunkan setiap aplikasi.

Nuraizah memberitahu, ada kalanya dia mengalami kesukaran untuk memperkenalkan aplikasinya ketika berurusan di peringkat antarabangsa.

"Saya pernah berdepan kesukaran ketika mewakili Malaysia pada Anugerah Utama Mobile 2010 di Barcelona, Sepanyol sehinggakan saya terpaksa menukar nama aplikasi yang diketengahkan ketika itu.


APLIKASI pelancongan yang diperkenalkannya mencatat jumlah muat turun yang memberangsangkan.


"Jika tidak, mereka (pihak penganjur) tidak mahu menerbitkan sebarang artikel mengenai perisian kami hanya kerana namanya yang berunsur keislaman iaitu Diary Muslim. Justeru, kami menukarnya menjadi My Diary," kata anak sulung kepada tiga adik-beradik ini.

Wanita itu juga pernah memenangi beberapa anugerah termasuk pada Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2010, Anugerah Inovasi dan Reka Cipta ke-9 pada tahun 2010. Dia juga pemenang pertandingan Isi Kandungan Telefon Bimbit Interaktif MSC 2007 selain Anugerah Perikatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik pada tahun 2007.

Jelas Nuraizah, dia mula menumpukan terhadap kandungan produk berunsur keislaman pada tahun 2008 selepas melakukan penyelidikan dan pembangunan.

"Tidak sangka pula permintaan terhadap kandungan produk islamik berterusan sepanjang tahun kerana pada kebiasaannya, produk itu hanya akan laku pada bulan Ramadan sahaja.

"Melihat permintaan yang memberangsangkan itu, ia menjadi penyebab kepada kami mengekalkan kandungan berunsur islamik kerana ia sememangnya boleh diketengahkan," ujarnya yang juga merupakan Presiden Persatuan Rangkaian Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (WENA).

Ketika ditanya tentang keputusan paling mencabar di dalam kehidupannya, Nuraizah memberitahu, tindakan menubuhkan sebuah syarikat yang hanya mempunyai lapan orang kakitangan ketika itu merupakan cabaran terbesar yang pernah dibuatnya.

"Buat permulaan, agak mencabar juga kerana tanggungjawab yang dipikul sangat besar dan ia bukan untuk diri saya sahaja tetapi saya juga perlu memikirkan periuk nasi orang lain.

"Namun, saya percaya rezeki itu datang daripada Allah SWT dan kita perlu berusaha untuk mencapainya," tambah wanita tersebut yang mempunyai pengalaman selama 17 tahun di dalam bidang perniagaan.

Nuraizah berkata, dia sangat gembira dengan pencapaiannya sekarang kerana kini dia sudah menjalani kehidupan yang seimbang selain dapat menabur bakti kepada masyarakat melalui penglibatannya di dalam WENA.

"Saya berkongsi pengalaman di dalam bidang perniagaan dengan menabur bakti melalui WENA yang memfokuskan kepada lima jenis cabang perniagaan iaitu perkhidmatan, pendidikan, teknologi maklumat, makanan, minuman, kecantikan dan kesihatan.

"Setakat ini, kami sudah mempunyai 300 orang ahli di sekitar Lembah Klang dan setiap dua minggu sekali, kami menganjurkan sesi ceramah bagi membantu usahawan-usahawan wanita," ceritanya sambil memberitahu syarikatnya sudah mencapai status Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC).


NURAIZAH menganggap setiap individu perlu mempunyai misi yang ingin dicapai di dalam hidup mereka.


Tulis buku

Mengulas lanjut, Nuraizah memberitahu, pada permulaan menubuhkan syarikatnya itu, dia amat kuat bekerja sehinggakan susah untuk meninggalkan pejabat dan tidak pernah bercuti.

"Namun, selepas melihat satu kemalangan maut di depan mata, ia memberikan persepsi yang berbeza kepada saya kerana sejurus selepas itu, saya terus pergi bercuti untuk merehatkan minda.

"Saya juga tidak gemar menonton televisyen atau melayari internet ketika waktu cuti atau masa lapang. Malah, di rumah juga, saya tidak mempunyai talian internet.

"Sebaliknya, saya akan meluangkan masa untuk membaca buku motivasi dan perniagaan yang lebih merangsang minda. Ekoran itu, saya tidak mahu membawa kerja ke rumah," ujarnya yang pernah bekerja selama 20 jam sehari untuk berada pada kedudukan sekarang.

Jelasnya, dia menjadikan aktiviti membeli-belah dan mengunjungi gimnasium sebagai salah satu usaha untuk melepaskan tekanan selepas penat bekerja.

Mengenai cita-cita yang masih belum dicapai, Nuraizah berkata, dia sememangnya menyimpan impian untuk menulis sebuah buku berkaitan perniagaan.

"Saya sudah mula mencari bahan untuk buku yang bakal diterbitkan itu sejak tahun 2012. Tapi, disebabkan sibuk menguruskan perniagaan, tergendalalah juga perancangan untuk menerbitkan buku itu.

"Namun, saya tetap akan cuba menyiapkan buku tersebut untuk diterbitkan pada penghujung tahun ini bagi memberi inspirasi kepada wanita," tambahnya sambil memberitahu ibunya, Rohani Abdul Rahman, 63, merupakan individu yang banyak mempengaruhinya dalam membuat keputusan.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Deejay Era FM diarah minta maaf

Posted:

Deejay Era FM diarah minta maaf

Deejay Era FM diarah minta maaf

Kiri: Ray, Johan, Hanif


MIRI - Deejay radio Era FM iaitu Johan, Ray dan Hanif akan memohon maaf kepada juara Liga Premier Sarawak berhubung komen 'cap ayam' dalam rancangan Johara Pagi Era minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro Radio Sdn. Bhd. (Astro Radio), Dr. Jake Abdullah berkata, beliau sudah memanggil deejay berkenaan semalam dan memberi amaran kepada mereka agar tidak lagi mengeluarkan komen negatif berkaitan mana-mana pasukan bola sepak di negara ini.

"Minggu depan, anda akan mendengar permohonan maaf berhubung perkara itu," katanya kepada pemberita selepas perasmian majlis peluasan Era FM, hitz FM dan My FM ke Bandar Miri semalam.

Beliau mengaku benar-benar kecewa selepas mengetahui insiden itu yang menimbulkan kemarahan peminat Sarawak sehingga terdapat ancaman bunuh terhadap Johara.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Anggota Malbatt maut di Lebanon

Posted:

Anggota Malbatt maut di Lebanon

Anggota Malbatt maut di Lebanon

ROSDI


KUALA LUMPUR - Seorang anggota pasukan pengaman Batalion Malaysia 5 (Malbatt 5) berpangkat sarjan maut, manakala dua lagi rakannya yang berpangkat Lans Koperal cedera dalam satu kemalangan semasa bertugas bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) pukul 10.40 malam kelmarin waktu Malaysia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kemalangan berlaku ketika trak tunda yang mereka naiki terhumban ke dalam gaung sedalam 15 meter berhampiran bandar Houla.

"Kemalangan berlaku di kawasan operasi berhampiran bandar Houla melibatkan sebuah trak Kembalik yang dipandu oleh Nur Syahied yang hilang kawalan sewaktu melalui satu selekoh dan jatuh ke dalam gaung," katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Lapan mangsa cedera nahas bas kini stabil

Posted:

Lapan mangsa cedera nahas bas kini stabil

Lapan mangsa cedera nahas bas kini stabil


KEADAAN salah seorang mangsa yang cedera dalam kemalangan bas Rabu lalu, Nur Fathiah Jaafar kini semakin stabil.


KUALA LUMPUR - Lapan mangsa yang dirawat di Hospital Selayang selepas terlibat dalam kemalangan bas di Genting Highlands pada Rabu lepas dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pengarah Hospital Selayang, Dr. Siti Zaleha Mohd. Salleh berkata, semua mereka iaitu tiga rakyat tempatan, tiga warga Bangladesh dan dua warga Indonesia kini beransur pulih dan ada dalam kalangan mereka dijangka dibenarkan pulang dalam masa terdekat.

"Ada yang ditempatkan di wad ortopedik dan wad surgikal mengikut kecederaan dan keperluan rawatan masing-masing.

"Setakat malam tadi, kesemua mangsa masih dirawat di hospital ini walaupun kita diberitahu ada antara warga asing berkenaan mahu dipindahkan ke hospital swasta," katanya ketika dihubungi semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


ATM dapat semula rentak sebenar

Posted:

ATM dapat semula rentak sebenar

ATM dapat semula rentak sebenar

AMRI (kiri) cuba melepasi kawalan pemain ATM ketika Selangor tewas 2-3 pada aksi kedua Kumpulan A Piala Malaysia 2013 di Stadium Shah Alam malam tadi.


PEMAIN tengah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bruno Martelotto yakin skuadnya kembali bangkit mempamerkan prestasi sebenar selepas menundukkan Selangor 3-2 dalam satu perlawanan penuh dramatik pada aksi kedua Kumpulan A Piala Malaysia 2013 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Selepas dikejutkan dengan kekalahan 3-4 di tangan Sime Darby pada aksi pembukaan Piala Malaysia, Selasa lalu, Bruno percaya skuad The Gladiators kembali menemui rentak dengan menampilkan corak persembahan penuh bertenaga.

Perancang Argentina itu berharap kemenangan ke atas skuad Gergasi Merah akan menjadi suntikan moral terbaik bagi pemain ATM dalam usaha memburu kemenangan pada perlawanan akan datang.

"Satu perlawanan yang sukar ketika menentang Selangor. Kami bermain dengan sepenuh hati dan hasilnya, berjaya merakamkan kemenangan pertama di sini.

"Pada fikiran saya, kami mahu melupakan kekalahan kepada Sime Darby. Jadi, misi kami adalah berusaha mencipta kemenangan terhadap Selangor.

"Hasilnya, ATM berjaya mempamerkan satu persembahan begitu menarik dan paling mustahak adalah kami telah berjaya mendapatkan tiga mata penuh," katanya yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan pada aksi menentang Selangor.

Pada aksi tersebut, skuad The Gladiators terlebih dahulu membuka jaringan menerusi kapten, Hairuddin Omar seawal minit ke-15.

Penyerang veteran Selangor, Mohd. Amri Yahyah menyamakan kedudukan menerusi jaringan menarik dengan menewaskan penjaga gol ATM, Mohd. Farizal Harun pada minit ke-30.

Begitupun, skuad The Gladiators terus menghukum kerapuhan benteng pertahanan Selangor dengan meledak dua gol dalam tempoh empat sebaik Fitri Omar meledak gol ketiga buat skuad kendalian B. Sathianathan pada minit ke-43 dan Christie Jayaseelan pada minit ke-47.

Selangor kembali merapatkan jurang menerusi jaringan lewat dari pemain sayap, S. Kunanlan pada masa kecederaan, namun gagal mempamerkan kebangkitan pada saat-saat akhir selepas menyaksikan keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Johor menduduki tangga teratas Kumpulan A dengan kelebihan empat mata diikuti ATM (kedua) dan Sime Darby (ketiga) selepas masing-masing berkongsi tiga mata berdasarkan perbezaan jaringan, manakala Selangor di tangga tercorot selepas sekadar memungut satu mata.

Malaysia belasah Taiwan

Posted:

Malaysia belasah Taiwan

Malaysia belasah Taiwan


FAIZAL (empat dari kiri) menjaringkan gol buat skuad negara ketika membelasah Taiwan 10-2 pada aksi pembukaan Kumpulan A kempen Kejohanan Hoki Piala Asia 2013 di Stadium Sultan Azlan Shah di Ipoh malam tadi.


SKUAD negara berpesta gol apabila membelasah Taiwan 10-2 pada aksi pembukaan Kumpulan A kempen Kejohanan Hoki Piala Asia 2013 di Stadium Sultan Azlan Shah di Ipoh malam tadi.

Bagaimanapun, Taiwan terlebih dahulu mengejutkan anak-anak buah Paul Revington apabila Liu Ching Kun meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit keempat.

Namun, jaringan itu seolah-olah mengejutkan para pemain Malaysia daripada tidur sebelum mula menyusun permainan bagi mendapatkan gol penyamaan.

Malaysia berjaya menyamakan kedudukan melalui Faizal Shaari hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-11.

Keyakinan pemain Malaysia untuk mencatat kemenangan besar terserlah apabila mereka berjaya menjaringkan empat gol berturut-turut menerusi Faizal pada minit ke-13, Muhammad Firhan Ashaari (m-18 dan 21) dan Muhammad Marhan Mohd Jalil (m-32).

Meskipun, Malaysia sudah mendahului lawannya dengan lima gol, persembahan anak-anak buah Paul Revington pada separuh masa kedua tetap bertenaga dan mantap.

Kegembiraan hampir 3,000 penyokong Malaysia di Stadium Azlan Shah semakin memuncak apabila pemain negara menjaringkan lima gol lagi pada separuh masa kedua menerusi Firdaus Izwan Ahmad Tajuddin pada minit ke-39, Fiqri Nabil Mohd Noor (m-46) Mohd. Fitri Shaari (m-62), Firhan (m-67) dan Faizal (m-69).

Taiwan berjaya menambah satu kedua hasil jaringan Tseng Hsien-Yi pada minit ke-47.

Sementara itu, juara 1982, 1985 dan 1989, Pakistan mencatat kemenangan besar ke atas Jepun 7-0.

Pakistan memperoleh enam gol pada separuh masa pertama hasil jaringan Muhammad Waqas (ke-12 dan 20), Abdul Haseem Khan (m-22), Muhammad Tousiq (m-25 dan 35) dan Muhammad Imran (m-33).

Separuh masa kedua, Jepun bangkit untuk merapatkan jurang gol tetapi gagal dan Pakistan menambah satu gol lagi melalui Muhammad Imran (m-70).

Sebelum itu, juara 2003 dan 2007, India membelasah pasukan kurang ternama, Oman 8-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan B.

India memperoleh empat gol pada separuh masa pertama menerusi jaringan Mandeep Singh (m-4), Ramandeep Singh (m-17), Vokkaliga Ramachandra Raghunath (m-28) dan Rupinder Pal Singh (m-34).

Pada babak kedua, bekas juara 2003 dan 2007 itu terus mengganas dengan menyumbat empat gol lagi melalui Mandeep Singh (m-40 dan 44), Malak Singh (m-47) dan Sannuvanda Kushalappa Uthappa (m-69).

Harrif persoal strategi PKBM

Posted:

Harrif persoal strategi PKBM

Harrif persoal strategi PKBM

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my


HARRIF (kiri) berharap PKBM lebih 'membuka mata' dalam pemilihan skuad lebuh raya negara ke Sukan SEA 2013.


PELUMBA pecut, Mohd. Harrif Salleh berharap Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) lebih 'membuka mata' dalam pemilihan skuad lebuh raya negara ke Sukan SEA 2013 di Myanmar, 11 hingga 22 Disember depan.

Meskipun menerima dengan hati terbuka selepas namanya tidak disenaraikan dalam enam pelumba bagi acara lepas beramai-ramai di Naypyidaw itu, Harrif meluahkan kehairannya mengenai sistem pemilihan yang dilakukan oleh PKBM.

Bukan mahu menidakkan kemampuan rakan seperjuangannya yang lain, sebaliknya pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) berusia 25 tahun itu hanya mempersoalkan strategi empat pelumba pendaki dan dua domestik yang direncanakan jurulatih Aminuddin Sulaiman.

Menurutnya, percaturan Aminuddin yang enggan mempertaruhkan pelumba pecut seperti Anuar Manan (Synergy Baku Cycling) dalam skuad tersebut adalah tidak masuk akal dan akan menjejaskan misi PKBM memenangi pingat emas pertama acara tersebut sejak temasya 2007.

"Bagi saya, keputusan menurunkan pelumba pendaki itu memang tepat kerana kami memerlukan mereka bagi membantu pelumba lain ketika di laluan berbukit," jelas Harrif semalam.

"Namun, ketiadaan pelumba pecut yang agak menghairankan saya kerana baki 120 kilometer selepas pendakian itu adalah laluan landai dan di sinilah pentingnya negara mempunyai pelumba yang boleh memecut.

"Namun, saya lihat dalam senarai ini hanya ada pelumba pendaki, domestik atau all-rounder sahaja. Mungkin ia penting tetapi saya bimbang kalau pelumba negara tidak dapat memberi saingan apabila menuju ke garisan penamat nanti," tambah pelumba dari Ladang Titian, Terengganu itu lagi.

Harrif yang memenangi Jersi Hijau selaku Raja Pecut di Jelajah 1Malaysia 2013 (J1M2013) Jun lalu, mempamer prestasi yang agak konsisten tahun ini dengan memenangi beberapa peringkat perlumbaan termasuk Jelajah Iran, Jelajah Singkarak dan terbaharu peringkat ketiga Jelajah Borneo 2013 minggu lepas.

Selain pelumba yang berada di ranking No. 2 negara di belakang Loh Sea Keong (OCBC Singapura) itu, seorang lagi pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu, Anuar Manan turut cemerlang dengan memenangi Jersi Hijau (Raja Pecut) pada jelajah yang sama.

"Saya tidak kisah sama ada saya atau Anuar yang terpilih nanti kerana bagi saya pelumba pecut perlu ada dalam skuad ke Sukan SEA ini jika mahu memberi saingan kepada pelumba lain.

"Saya tidak tahu sama pemilihan ini dibuat berdasarkan prestasi semasa pelumba atau hanya berdasarkan strategi jurulatih semata-mata.

"Kalau dilihat kepada prestasi, memang pemilihan beberapa pelumba amat tepat seperti Shahrul (Mat Amin, TSG) menjuarai GP Kebangsaan, Adiq (Hussainie Othman, Champion System) memiliki pengalaman luas dan Sea Keong pemenang Jersi Kuning JM2013.

"Perasaan kecewa itu memang ada kerana siapa yang tidak mahu mewakili Malaysia, tetapi saya sudah biasa dengan perkara ini seperti yang berlaku ketika Sukan Olimpik dahulu.

"Cuma apa yang saya harapkan kali ini ialah PKBM harus lebih 'membuka mata' dalam segi pemilihan pelumba dengan menilai pencapaian dan prestasi pelumba dalam sesuatu kejohanan," ujarnya lagi.

Selain Shahrul, Adiq dan Sea Keong, tiga pelumba lagi yang disenaraikan PKBM ialah Amir Mustafa Rusli (Drapac Professional), Mohammad Saufi Mat Senan dan Mohd. Zamri Salleh (TSG).

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Kongsi mata ganjaran melalui kad Starbucks

Posted:

Kongsi mata ganjaran melalui kad Starbucks

Kongsi mata ganjaran melalui kad Starbucks

SYDNEY (dua dari kiri) melancarkan program My Starbucks Gift To You sebagai menghargai pelanggan-pelanggan setia rangkaian kafe terkemuka itu.


PENGGEMAR jenama kopi terkemuka di Malaysia, Starbucks kini berpeluang berkongsi mata ganjaran mereka bersama keluarga atau orang tersayang melalui program My Starbuck Gift To You yang dilancarkan baru-baru ini.

Pengarah Urusan Starbucks Malaysia, Sydney Quays berkata, pemegang-pemegang kad Starbucks sebelum ini diberikan mata ganjaran tertentu melalui pembelian produk-produk Starbucks.

Katanya, melalui program terbaharu yang dilancarkan itu pemegang-pemegang kad kini boleh berkongsi mata ganjaran itu bersama keluarga atau orang tersayang menerusi sistem dalam talian.

"Caranya mudah, mereka hanya perlu mengakses laman web Starbucks dan masuk ke akaun masing-masing sebelum memindahkan mata ganjaran yang diperoleh kepada sesiapa yang dikehendaki.

"Si penerima kemudiannya akan diberitahu menerusi sistem e-mel. Mereka hanya perlu mencetak e-mel itu sebelum berkunjung ke premis Starbucks di seluruh negara bagi mendapatkan mata ganjaran yang ditawarkan seperti minuman percuma," katanya ketika ditemui selepas melancarkan program tersebut di Taman Tema Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


ACARA jualan produk-produk Starbucks turut memeriahkan fiesta ini.


Tambah Sydney, sejak dilancarkan pada 11 November 2011, terdapat hampir sejuta pemegang kad Starbucks di seluruh negara.

"Ia merupakan satu inovasi bagi memudahkan pelanggan-pelanggan kami mendapatkan produk Starbucks dan pada masa yang sama menikmati mata ganjaran yang ditawarkan.

"Di samping itu, pemegang kad ini juga berpeluang mendapat pelbagai informasi terkini mengenai produk-produk terbaharu Starbucks di samping terlibat dalam program-program yang dianjurkan," jelasnya.

Pada perkembangan berkaitan, Sydney berkata, serentak dengan pelancaran program itu, pihaknya turut menganjurkan Starbuck Frappucino Fiesta yang dihadiri kira-kira 400 pelanggan setia Starbucks di seluruh negara.

"Kehadiran mereka di sini adalah untuk berhibur dengan pelbagai permainan yang ditawarkan di taman tema ini.

"Pada masa yang sama, kami juga menjemput kira-kira 50 anak-anak yatim dari dua rumah kebajikan di sekitar ibu negara untuk memeriahkan sambutan," ujarnya.

Jelas Sydney, fiesta itu meriah dengan pelbagai aktiviti menarik seperti gerai jualan, pertandingan mewarna, cabutan bertuah dan sesi bergambar.

"Ia merupakan tanda penghargaan kepada pelanggan-pelanggan setia Starbucks yang menyokong kami selama ini di samping beramal kepada golongan yang tidak bernasib baik di negara ini," katanya. - AMMAR JAZLAN MAD LELA

48 jam hubungi stesen radio berfrekuensi tinggi

Posted:

48 jam hubungi stesen radio berfrekuensi tinggi

48 jam hubungi stesen radio berfrekuensi tinggi

Oleh SITI HAJAR ABD. AZIZ


MUHAMMAD AIMIL sedang menghubungi stesen-stesen radio di luar negara.


BERSENGKANG mata selama dua malam dan kurang rehat semata-mata untuk memburu kejuaraan berkomunikasi di ruang udara menggunakan peralatan radio amatur berfrekuensi tinggi.

Bunyinya agak pelik tapi itulah yang dilalui 10 anak muda kelahiran Melaka yang menyertai cabaran 48 jam Pertandingan WPX Sedunia CQ 2013 anjuran CQ Magazine, sebuah majalah radio amatur dunia dari New York, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Atas dasar ingin tahu penulis telah berkunjung ke sebuah rumah inap di Kampung Parit Penghulu Sungai Rambai, Melaka yang dipilih kumpulan Melaka DX Club (MDXC) dengan kod panggilan khas 9M4SG (disebut Nine Mike Four Sierra Golf).

Difahamkan pemilihan lokasi, contohnya dekat dengan laut memainkan peranan penting dalam penentuan sesebuah kumpulan tersebut berjaya menghubungi beribu-ribu stesen radio yang aktif dari seluruh pelosok muka bumi ini yang dibahagikan mengikut entiti geografi tertentu oleh badan telekomunikasi antarabangsa.

Isyarat radio

Walaupun dipisahkan jarak dan waktu, isyarat radio yang sedang dipantulkan itu seolah-olah sebuah jaring labah-labah gergasi yang tidak kelihatan di mata manusia.


KEKUATAN antena turut mempengaruhi kemampuan untuk peserta radio amatur berkomunikasi dengan stesen lain.


Kalah atau menang tidak penting kerana peluang menyertai 'kegilaan' dan keseronokan bersama kira-kira 30,000 peserta secara individu ataupun berkumpulan itu lebih utama. Ia membabitkan lebih 100 buah negara dan lebih 50 kategori.

Pemenang setiap kategori akan menerima sijil khas dan anugerah yang 'diterbangkan' kepada mereka yang disumbangkan majalah terbabit dan organisasi radio amatur antarabangsa lain.

Pengasas MDXC, Syamsul Bahri Mohamad, 32, dengan kod panggilan antarabangsa 9M2ESM (disebut Nine-Mike-Two-Echo-Sierra-Mike) berkata, kumpulan mereka ditubuhkan hasil idea bersama rakan-rakan yang bosan bergerak sendirian dalam cabaran hubungan radio jarak jauh atau lebih dikenali sebagai DXpedition atau DXing.

Dia yang menceburi dunia radio amatur sejak tahun 2010 dan menerima pelbagai anugerah daripada persatuan radio amatur luar negara berkata, aktiviti DXing merupakan aktiviti utama penggiat radio amatur dari luar negara.

"Sebagai contoh, walaupun YDXC Yokohama DX Club di Jepun mempunyai kira-kira 20 orang ahli, kumpulan itu menjadi idola kepada ahli-ahli baharu kerana kehebatan mereka dalam aktiviti DXpedition.

"Kami mahu menggalakkan lebih ramai operator radio amatur yang aktif di frekuensi sangat tinggit (VHF) untuk berjinak-jinak dengan komunikasi radio amatur berfrekuensi tinggi ( HF).


KOMPUTER digunakan untuk memasukkan data-data stesen yang berjaya dihubungi.


"Aktiviti ini juga membolehkan penggiat radio amatur mempraktikkan amalan tradisi turun-temurun radio amatur seperti Kad QSL (kad yang ditukar sesama operator sebagai bukti perhubungan radio telah dicapai) dan komunikasi Kod Morse, selain memahami budaya dan sejarah dunia," jelasnya.

Uji kemampuan

Muhammad Aimil Abdul Rahim, 25, dari Jasin, Melaka (9M2AUR) berkata, walaupun set peralatan peralatan HF ini lebih mahal tetapi keseronokan dan kepuasannya lebih hebat berbanding komunikasi jarak dekat kerana kita berpeluang berhubung dengan operator radio dari seluruh dunia.

Selain untuk mengumpul mata, Muhammad Aimil berkata, pertandingan tersebut juga dapat menguji kemampuan peralatan komunikasi dan kemahiran peserta sebagai aktiviti sosial yang berfaedah.

"Ia merupakan suatu kebanggaan apabila dapat bersaing bersama pelbagai bangsa dan negara seluruh dunia, walaupun tidak kelihatan di mata namun aktiviti ini seumpama mengibarkan bendera Malaysia dan Melaka di persada dunia," ujarnya.

Muhammad Aimil memberitahu, antara stesen istimewa yang berjaya dihubunginyaialah stesen HD2A, kod panggilan khas dari negara Ecuador di Amerika Selatan yang jaraknya ialah 20,200 kilometer dari Melaka.

Bercerita mengenai cabaran yang dihadapi, Aimil berkata, komunikasi radio di ruang udara bergantung kepada kekuatan antena, kuasa pancaran radio serta keadaan propogasi udara iaitu pancaran radio dioptimumkan kerana pengaruh semula jadi.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Jenazah anggota Malbatt dijangka dibawa pulang Isnin depan

Posted:

Jenazah anggota Malbatt dijangka dibawa pulang Isnin depan

Jenazah anggota Malbatt dijangka dibawa pulang Isnin depan

24/08/2013 10:20pm

KUALA LUMPUR - Jenazah anggota pengaman Malaysia Allahyarham Sarjan Rosdi Mohamad Zan, yang terlibat dalam satu nahas jalan raya

ketika bertugas di Beirut, Lubnan dijangka dibawa pulang ke tanah air Isnin ini.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan hari ini berkata, Kedutaan Besar Malaysia akan bekerjasama dengan Batalion Malaysia (Malbatt), Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) dan Kementerian Pertahanan untuk proses membawa pulang jenazah.

Jenazah Rosdi kini ditempatkan di Hospital Tinbin, Selatan Lubnan.

Anifah mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Rosdi dan melahirkan rasa simpati kepada dua lagi rakan mangsa, Lans Koperal Norsyahied Taib dan Lans Koperal Mohamad Aizuwan Atan, yang turut terlibat dalam nahas itu.

Norsyaheid, yang mengalami kecederaan serius, kini dirawat di Hospital St

George, Beirut manakala Aizuwan, yang cedera ringan, dirawat di Hospital Tibnin dan dijangka dipindahkan ke Hospital Unifil di Naquora, selatan Lubnan.

Semalam, ketiga-tiga anggota pengaman itu terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 5.30 petang waktu tempatan semasa bertugas di Houla selepas kenderaan kembalik dipandu Rosdi terbabas ketika menunda kenderaan berperisai kondor milik Malbatt yang rosak. - Bernama

Wartawan Sinar Harian diragut dalam stesen minyak

Posted:

Wartawan Sinar Harian diragut dalam stesen minyak

Wartawan Sinar Harian diragut dalam stesen minyak

24/08/2013 10:00pm

BUKIT MERTAJAM - Seorang wartawan akhbar Sinar Harian edisi Utara disamun seorang lelaki ketika berada dalam sebuah stesen minyak di

Jalan Tenggiri, di sini hari ini.

Siti Nur Mas Erah Amran, 29, berkata, kejadian samun itu berlaku pada 4.50

petang ketika beliau sedang menggunakan perkhidmatan wi-fi percuma di dalam stesen minyak tersebut.

"Saya baru selesai membeli barang di kedai serbaneka tersebut dan duduk di meja yang disediakan untuk menyiapkan tugasan yang perlu dihantar.

"Tiba-tiba, seorang lelaki bertopi keledar datang dari bahagian rak roti di

belakang saya dan terus mengambil dompet yang diletakkan di atas meja sebelum melarikan diri dengan motosikal," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis ini Balai Polis Seberang Jaya, di sini hari ini.

Katanya, kejadian itu berlaku dengan pantas dan beberapa pelanggan di dalam kedai serbaneka tidak sempat berbuat apa-apa serta gagal menghalang lelaki berkenaan. - Bernama

KAFA kunci mulut

Posted:

KAFA kunci mulut

KAFA kunci mulut

24/08/2013 8:35pm

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil keputusan untuk 'mengunci mulut' daripada mengulas isu membabitkan seorang tonggak pertahanan The Red Wa rriors yang disyaki gagal ujian doping selepas perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil, 29 Jun lalu.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui hari ini berkata, KAFA menggunakan pendekatan tersebut yang merupakan sebahagian daripada peraturan bagi mengelakkan 'subjudis' kerana Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum membuat keputusan berhubung isu berkenaan. - KOSMO!

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Bashar dalang serangan kimia

Posted:

Bashar dalang serangan kimia

Bashar dalang serangan kimia

SEJUMLAH bangkai haiwan dilihat di Zamalka, dekat Damsyik yang didakwa menjadi lokasi serangan kimia oleh tentera rejim Bashar Al-Assad kelmarin.


LONDON - Kerajaan Britain percaya rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad bertanggungjawab berhubung dakwaan penggunaan senjata kimia pada minggu ini, kata Setiausaha Luar William Hague semalam.

Pada masa yang sama Hague meminta pasukan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu diberikan akses serta-merta untuk mengunjungi lokasi berkenaan.

Serangan senjata kimia itu didakwa berlaku di sebuah lokasi berhampiran ibu negara Syria, Damsyik pada Rabu lalu.

"Bukti serangan kimia itu berlaku akan hilang jika tindakan lambat diambil," kata Hague.

"Kami percaya serangan kimia berskala besar ini dilakukan oleh rejim Bashar tetapi kami mahu PBB diberi akses untuk membuktikannya," tambahnya.

Beliau menolak dakwaan bahawa serangan itu sengaja diada-adakan oleh pihak penentang yang memerangi rejim Bashar.

"Peluang untuk itu berlaku adalah amat tipis," ujarnya.

"Satu-satunya penjelasan yang munasabah adalah ia serangan kimia. Sudah jelas beratus-ratus orang terbunuh. Beberapa anggaran lain mendapati lebih 1,300 orang maut dalam serangan ini," jelas Hague.

Damsyik sebelum ini menafikan dakwaan bertanggungjawab melancarkan serangan kejam tersebut.

Namun, kata Hague, tiada penjelasan lain selain penggunaan senjata kimia yang dapat menjelaskan punca sebegitu banyak kematian berlaku di kawasan yang kecil.

Sementara itu, seorang penyerang berani mati meletupkan diri di sebuah restoran di bandar Aleppo, utara Syria yang mengakibatkan enam orang terbunuh.

Kumpulan Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia menyatakan, letupan berlaku ketika sekumpulan belia mengadakan majlis tamat pengajian seorang penuntut di sebuah restoran kelmarin.

"Serangan juga mencederakan 19 orang termasuk sebahagian mengalami cedera parah," kata kumpulan pemerhati yang berpangkalan di Britain itu.

Kebangkitan rakyat Syria menentang Bashar bertukar menjadi perang saudara yang meragut lebih 100,000 nyawa sejak konflik berlanjutan lebih dua tahun. - Agensi

Lelaki tinggal di gua selama 20 tahun

Posted:

Lelaki tinggal di gua selama 20 tahun

Lelaki tinggal di gua selama 20 tahun


FENG MINGSHAN memanjat lereng sebuah bukit untuk memasuki gua pada ketinggian 50 meter dari tanah Xi'an, dalam wilayah Shaanxi di barat laut China.


XI'AN - Seorang lelaki China yang mahu mencari ketenangan bertindak memencil diri dengan tinggal di dalam sebuah gua di sini, dalam wilayah Shaanxi sejak 20 tahun lalu, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Feng Mingshan, 54, menjadikan sebuah gua setinggi 50 meter sebagai tempat tinggalnya sejak 1993.

Dia juga terpaksa memanjat tebing sebuah bukit setiap kali mahu memasuki rumah unik yang dibinanya.

Media tempatan melaporkan bahawa Mingshan menemui gua tersebut ketika dia masih remaja.

Dia sebelum ini membawa diri meninggalkan Bandar Gaoba, di barat laut wilayah Shaanxi, China pada 1993 kerana tidak tahan dengan kerenah orang ramai.

Abangnya, Feng Xueming berkata, Mingshan memiliki perangai pelik.

"Perangai abang saya pelik. Dia tidak suka berkomunikasi dengan orang lain," katanya.

Sejak 20 tahun lalu Mingshan telah berusaha membesarkan ruang di dalam gua yang didudukinya. Dia juga memahat tempat berpegang pada dinding batu di luar gua itu untuk membantunya bergerak di tebing yang curam. - Agensi

Lelaki tidur di rumah Jennifer Lopez ditahan

Posted:

Lelaki tidur di rumah Jennifer Lopez ditahan

Lelaki tidur di rumah Jennifer Lopez ditahan


GAMBAR fail bertarikh 23 Februari 2011 menunjukkan Jennifer Lopez tiba di majlis Anugerah Grammy Ke-53 di Los Angeles, California.


NEW YORK - Polis menahan seorang lelaki yang menceroboh rumah agam penyanyi terkenal, Jennifer Lopez dan menetap di sebuah pondok di kediaman berkenaan selama enam hari, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.

Menurut polis di bandar Southampton, di sini, suspek yang berusia 49 tahun, John M. Dubis dipercayai tinggal di kediaman bernilai AS$10 juta (RM33.1 juta) antara 3 hingga 9 Ogos lalu.

Suspek yang merupakan seorang pesara jabatan bomba dilaporkan bergerak bebas di sekitar kawasan rumah tersebut.

Kehadirannya juga dilihat dan disedari oleh jiran-jiran Lopez.

Dubis turut memuat naik sejumlah gambar yang dirakam di persekitaran rumah Lopez ke akaun laman sosial Facebooknya.

Namun, pihak berkuasa berjaya memberkasnya pada 9 Ogos lalu.

Lopez, 44, membeli rumah tersebut pada tahun 2006 - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Metallica, bukan sekadar muzik

Posted:

Metallica, bukan sekadar muzik

Metallica, bukan sekadar muzik

'MASA muda, masa yang berapi-api' - itu pepatah yang cukup popular daripada penyanyi dangdut Rhoma Irama.

Ironi, genre dangdut mahu dikahwinkan dengan metal dan rock. Ia terlalu jauh tersasar dari landasannya. Dan lagi, siapa Rhoma Irama mahu disuai padan dengan sebuah band tersohor dunia, Metallica. Keji, barangkali itu antara getusan hati fanatik band tersebut.

Namun, tunggu dulu. Perumpamaan itu adalah satu gambaran tentang atmosfera pada malam berlangsungnya konsert Metallica Live In Malaysia 2013 di Stadium Merdeka, pada 21 Ogos lalu.

Di padang luas, yang hampir tidak terlihat hijaunya rumput, sebaliknya dipenuhi gerombolan besar manusia dengan hampir semuanya memakai pakaian rasmi warna hitam telah 'memaksa' saya menggunakan perumpamaan tersebut.

Ini kerana, lebih 50,000 penonton yang hadir, rata-rata bukan lagi anak muda. Kebanyakannya merupakan golongan pakcik makcik, yang kembali menjadi muda serta penuh antusias menyambut kedatangan empat penggerak band legenda dunia itu.

Saya, di celahan fanatik mereka, harus mengaku bahawa malam itu adalah malam terhebat yang pernah dinikmati semua peminat Metallica.

Saya, yang hanya muda setahun daripada usia penubuhan band tersebut berasa sangat kerdil hanya kerana mengetahui empat atau lima lagu hit mereka, berbanding pakcik-pakcik di belakang saya yang turun ke stadium masih lengkap pakaian pejabat dan kutu-kutu rock yang macam mahu tercabut anak tekak meniru gaya vokal James Hetfield serentak mengangguk kepala sepanjang konsert berlangsung.

Ya, 31 tahun bukan tempoh yang pendek, tetapi cukup panjang bagi peminat menantikan Metallica datang ke Malaysia dan mempersembahkan secara langsung karya mereka seperti yang sebelum ini hanya didengar menerusi kaset dan cakera padat atau hanya dapat menyaksikan persembahan band tersebut menerusi Youtube.

Momen pada malam itu cukup luar biasa. Langit cerah tanpa bintang, tetapi sinar rembulan betul-betul tegak, selari dengan pentas empat segi tanpa perhiasan extravaganza kecuali hanya dua skrin besar bagi membantu pemegang tiket paling murah di hujung padang mampu melihat mereka dengan jelas.

Empat manusia, yang telah menjadi luar biasa menerusi label Metallica - James Hetfield, Robert Trujillo, Lars Ulrich dan Kirk Hammett berdiri pada posisi masing-masing.


DARI kiri: James Hetfield, Lars Ulrich, Kirk Hammett dan Robert Trujillo telah berjaya menuai sukses yang luar biasa bersama Metallica di seluruh dunia.


Tanpa perlu berbuat apa-apa, satu stadium sudah bergema sorakan. Pada saat konsert bermula, semua menjadi histeria.

Hetfield, sekali vokalnya dilontarkan, luar biasa riuh sambutan yang diperoleh. Hammett dengan gitarnya tanpa bicara, disambut menggila pencinta yang menanti menonton petikan magisnya.

Begitu juga saat Lars, si pembentuk band tersebut menabuk dramnya, bergemuruh satu stadium sebelum Hammett yang juga baru menyentuh tali bassnya dalam satu dua notasi sudah menerima jeritan yang menggila.

Maka, bayangkan apabila konsert yang dibawa oleh Galaxy Group Sdn. Bhd. dengan kerjasama LAMC Productions dan Rockstar Touring bermula dan Metallica memuntahkan satu persatu lagu mereka seperti Fuel, Fade To Black, Ride the Lightning, Hit The Lights, Master of Puppets dan One yang dimainkan hampir tanpa cacat cela seperti yang didengar dalam bentuk rakaman, ia adalah satu kepuasan yang tiada tandingan.

Tidak sekadar itu, hit wajib main yang telah membuat mereka begitu tersohor seantero dunia, Nothing Else Matters dan Enter Sandman dialunkan, ia seperti melengkapkan penantian 31 tahun pemuja band yang ditubuhkan pada tahun 1981 ini.

Dalam selang seli untaian lagunya, Hetfield menyapa peminatnya.

"Saya minta maaf kerana anda semua perlu menunggu sehingga 31 tahun untuk menyaksikan kami di sini, Malaysia," dan ucapan maaf itu disambut sorakan tanda terima kasih peminat kerana band tersebut merealisasikan impian mereka untuk menyaksikan Metallica bermain di Malaysia.

Beliau turut melahirkan rasa teruja kerana dapat merealisasikan impian peminat fanatiknya di Malaysia selain mengaku mahu kembali ke negara ini pada masa akan datang.

Dan sejujurnya, lebih daripada ini, saya tidak punya ulasan yang panjang untuk menggambarkan kehebatan konsert tersebut. Ini kerana ia sempurna.

Ia bukan sebuah persembahan sambil lewa daripada empat sekawan ini. Sistem bunyinya juga terlalu bagus untuk dipertikaikan. Begitu juga dengan sistem pencahayaan dan pentas yang dibikin teliti.

Paling mengagumkan, Hetfield yang memang dalam semua siri konsertnya banyak mencarut di atas pentas, langsung tidak menyebut sebarang perkataan kesat sepanjang lebih satu jam 45 minit konsert berlangsung.

Ia satu perkara yang mengagumkan bagaimana vokalis berusia 50 tahun ini boleh menghormati garis panduan di Malaysia.

Falsafah

Metallica, mengapa band yang ditubuhkan pada tahun 1981 ini begitu digilai? Bagi peminat setia band yang belum mempunyai 10 album studio sepanjang lebih dua dekad penubuhan mereka, Metallica bukan sekadar medium muzik.


HETFIELD (kiri) dan Trujillo dalam salah satu aksi mereka sewaktu menghiburkan para peminat menerusi Konsert Metallica Live in Malaysia 2013, baru-baru ini.


Metallica sarat falsafah. Mereka bukan sekadar membawa aliran muzik keras dalam label metal, namun lirik yang dihasilkan begitu retorik dan tinggi falsafah.

"Mereka bukan sekadar bermain muzik, tetapi membawa berat falsafah dan seni. Lihat seperti album Master of Puppets atau lagu-lagu lain misalnya, penuh dengan falsafah," ujar Saniboey Mohd. Ismail, salah seorang peminat tegar Metallica yang ditanya mengapa dia begitu taksub dengan band tersebut.

Dia yang mengaku terlewat mengenali band tersebut pada usia 13 tahun turut memberitahu biar aliran muzik yang diperdagang diletak dalam klasifikasi metal, namun lirik yang dipilih tidak berbaur kemarahan seperti lirik yang dihasilkan kebanyakan band aliran grunge seperti Nirvana.

Ujarnya: "Jika kita menilai ia daripada segi muzik, ya, ia memang cukup keras, namun lihat ia daripada segi penulisan lirik yang begitu berseni dan tidak berunsur kemarahan. Itu yang membuat Metallica tersendiri."

Metallica yang ditubuhkan pada tahun 1981 di Los Angeles, Amerika Syarikat sebenarnya telah 'mencuri' nama tersebut daripada salah seorang wartawan senior yang mahu menamakan sebuah majalah dengan nama Metallica.

Band tersebut telah bertukar anggota sebanyak tiga kali kecuali yang kekal iaitu Ulrich dan Hetfield (Cliff Burton meninggal dunia dalam satu kemalangan dan Dave Mustaine menjadi pengasas band Megadeth).

Mereka pertama kali terbabit dengan projek album kompilasi Metal Massacre menerusi lagu Hit The Light pada tahun 1981 dan kali terakhir muncul bersama album studio pada tahun 2008 berjudul Death Magnetic.

Hetfield dalam satu temu bual sekitar dua bulan lalu mengaku bahawa Metallica belum mempunyai perancangan untuk muncul dengan album studio mereka yang ke-10.

"Kami memang mempunyai lebih 800 buah lagu yang sedang diberi perhatian, tetapi kami belum lagi memulakan sebarang produksi untuk album baharu," ujarnya.

Bengkel ICOM disokong RIM

Posted:

Bengkel ICOM disokong RIM

Bengkel ICOM disokong RIM

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
ashreen.ismail@kosmo.com.my


IRENE (kanan) dan Jeanine (tengah) pada sidang akhbar di ICOM, Jalan Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.


BARU-BARU ini, sebuah bengkel muzik telah dianjurkan oleh International College of Music (ICOM) tentang pembangunan muzik, yang mana bengkel tersebut telah disokong sepenuhnya oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

Bengkel yang menjelaskan tentang pembangunan muzik secara profesional itu telah diadakan pada 22 Ogos dengan dihadiri oleh lebih 50 orang pelajar termasuk ahli RIM.

Menurut Presiden kolej tersebut, Irene Savaree, tujuan bengkel tersebut diadakan adalah untuk memberi pendedahan tentang produksi muzik masa kini serta pemahaman menggunakan peralatan muzik moden yang sering digunakan oleh produksi di Amerika Syarikat.

Antara tenaga pengajar yang terlibat dalam bengkel tersebut ialah ialah Prince Charles Alexander.

Dia merupakan seorang penerbit yang pernah bekerjasama dengan artis antarabangsa berkelas A seperti Usher, Puff Daddy, Sting dan ramai lagi.

Selain itu, tenaga pengajar dalam bengkel ini ialah Naib Presiden Kokurikulum dan Inovasi Program, Kolej Muzik Berklee, Jeanine Cowen, Dr. Cecil Adderly dan Susan Lindsay.

Mengulas tentang kerjasama RIM dengan ICOM, ujar Norman Abdul Halim selaku Presiden RIM, bengkel sedemikian rupa merupakan sebuah program yang sangat bagus.

"Ia merupakan sebuah program yang akan memberikan pengamal muzik di Malaysia mendapat pendedahan tentang kaedah muzik yang terbaharu dan trend muzik zaman kini terutamanya di Amerika Syarikat," ujarnya pada sidang akhbar di ICOM, Jalan Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya: "Saya yakin, informasi yang diterima melalui bengkel ini pasti memberi kesedaran kepada pemuzik tentang kenapa mereka perlu mengemaskini dan menghubungkan diri mereka dengan teknik terkini yang digunakan."

Zarina dipukul penjual sayur

Posted:

Zarina dipukul penjual sayur

Zarina dipukul penjual sayur

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my

ZARINA ada petua sendiri untuk kekal cantik.


BIARPUN usia pelakon Zarina Zainuddin sudah mencecah 43 tahun, ibu kepada empat orang anak itu masih kekal cantik dan langsing.

Bertemu dengan Zarina pada majlis rumah terbuka program Wanita Hari Ini di Restoran 10Binjai di PNB Darby Park, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia yang mengenakan baju kurung berwarna merah jambu mendedahkan tentang kontroversi yang dialaminya ekoran kegemarannya memuat naik gambar-gambarnya di laman Instagram.

Berikut sedutan temu bual Kosmo! bersama Zarina.

Kosmo!: Lama tidak muncul dalam media, apakah perkembangan Zarina sekarang?

ZARINA: Saya baru habis penggambaran drama Teduhan Kasih. Terkini, saya bakal berlakon dalam drama Janji Adam untuk siaran TV3. Dalam drama itu, saya bawa watak sebagai ibu kepada pelakon Elfaeza Ul Haq.

Ramai memuji lakonan karakter antagonis anda sebagai kakak tiri Iffa (lakonan Sherry Ibrahim) dalam drama Teduhan Kasih? Bolehkah Zarina komen?

Pada mulanya saya bimbang mahu bawa watak antagonis, gusar orang benci. Tetapi bila tonton lakonan sendiri, rasa kelakar pula.

Zarina ada mengalami implikasi selepas membawa watak tersebut?

Ada yang suka dan ada yang tidak suka. Tetapi paling teruk, saya kena pukul dengan seorang peniaga sayur di pasar. Dia pukul bahu saya bertubi-tubi dan kata saya jahat. Tetapi saya tidak marahkan peniaga itu dan menganggap ia reaksi spontannya impak menonton lakonan saya dalam drama Teduhan Kasih.

Adakah anda serik membawakan watak antagonis?

Tidak! Saya rasa watak antagonis bagus sebab kita kena main dalaman. Dapat lontarkan perasaan tanpa ada sekatan.

Anda dilihat gemar memuat naik gambar di laman Instagram milik anda iaitu @zarinazainuddin2008? Ada atau tidak sebarang kritikan daripada peminat?

Instagram saya boleh diibaratkan seperti diari yang saya kongsikan kepada peminat. Instagram saya mulai aktif sejak bulan Mei lalu. Anak saudara yang tolong buatkan. Selepas gunakannya, jadi seronok pula nak kongsikan gambar. Saya memang jenis orang yang jujur berkongsi apa sahaja dengan peminat. Saya tidak suka hipokrit. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak terima komen yang terlalu teruk. Cuma, ada seorang peminat yang mengkritik saya memakai telekung tetapi wajah masih tercalit solekan. Bagi saya, kalau solekan itu halal tiada salahnya walaupun ketika melakukan solat.

Apakah reaksi anda terhadap komen peminat itu?

Selepas dia komen, saya terus lihat gambar-gambar dia di Instagram. Saya turut komen terhadap salah satu gambarnya mengatakan 'adik, kalau mahu komen lihat diri sendiri dulu. Kita manusia biasa kadangkala ada melakukan kesalahan'. Selepas saya komen dia terus block (sekat) saya daripada akses Instagram dia.

Kebanyakan artis yang memasuki umur 40 tahun ke atas mula mengambil suntikan kecantikan bagi mengekalkan kejelitaan wajah? Bagaimana dengan Zarina?

Saya tidak pernah ambil suntikan kecantikan. Saya lebih percaya pada jamu dan juga pengambilan air buah peria setiap hari.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved