Sabtu, 10 Ogos 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Songket tenunan tangan siap sebulan

Posted:

Songket tenunan tangan siap sebulan

Songket tenunan tangan siap sebulan



APABILA bercakap mengenai songket, pasti kita akan membayangkan negeri-negeri di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Negeri-negeri itu memang terkenal dengan pembuatan songket dalam kalangan penduduk tempatan mahupun pelancong asing sejak sekian lama.

Namun, Mahkota Songket iaitu anak syarikat Lunas Atur Sdn. Bhd. membawa kelainan apabila menghasilkan kain songket yang dibuat sepenuhnya di Selangor.

Menurut pengurusnya, Leena Hassan, 33, idea menghasilkan sendiri tenunan songket ini bermula apabila bapanya, Hassan Mohd. Jamil, 66, menerima tempahan untuk membuat kain samping daripada songket untuk kakitangan tentera.

"Pada mulanya ayah saya hanya menjalankan perniagaan menjual aksesori untuk kakitangan tentera pada tahun 1993 dan melebarkan cabang perniagaannya kepada songket selepas menerima tempahan dengan mengupah pekerja-pekerja yang mahir untuk membuatnya.

"Melihatkan permintaan yang semakin memberangsangkan, kami bertindak membeli mesin tenunan songket sendiri termasuklah yang tradisional dengan dibantu oleh kakitangan lulusan Institut Kraf Negara," ujarnya yang mempunyai bangunan sendiri dikenali Latur setinggi empat tingkat di Alam Avenue, Shah Alam.

Tambahnya, harga bagi songket tenunan tangan ditentukan melalui penggunaan jenis benang dan rekaan eksklusif yang mampu mencecah harga ribuan ringgit.

"Rekaan eksklusif songket buatan tangan selalunya sering menjadi pilihan ahli-ahli perniagaan kerana satu rekaan sahaja yang dihasilkan dengan menggabungkan corak moden dan tradisional.

LEENA turut menghasilkan bermacam-macam produk songket yang lain seperti kotak hadiah, hamper, beg, selendang meja dan alas kusyen.


Gabung idea

"Penggunaan warna yang betul mampu menaikkan seri songket itu. Warna dan benang yang bersesuaian perlu dicuba terlebih dahulu sebelum mula menenunnya. Ini bagi memudahkan kami bermain dengan benang serta warna yang menarik. Ia tidak sama sekiranya kita hanya menghasilkan warna dengan menggunakan komputer.

"Pada peringkat awal dahulu, kami memilih warna berdasarkan logik sendiri tetapi ia tidak menjadi kerana warna dan pemilihan benang yang sesuai untuk songket memainkan peranan yang penting.

"Kami membuat rekaan sendiri hasil garapan idea bersama tiga orang kakitangan yang mahir dalam bidang pembuatan songket.

"Selalunya, kami akan menggabungkan idea rekaan yang diketengahkan oleh pekerja bagi menjaga kualiti dan tahap eksklusif songket itu," jelasnya sambil memberitahu, proses penghasilan songket tenunan tangan mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan.

Leena berkata, cabaran untuk mengendalikan perniagaan songket itu adalah memperoleh kepercayaan pelanggan kerana ramai orang yang tidak menyangka songket keluaran syarikatnya itu dihasilkan di Shah Alam.

"Mentaliti masyarakat sudah sinonim dengan songket yang terkenal di negeri-negeri Pantai Timur dan itu menjadi cabaran kepada kami untuk memperoleh kepercayaan mereka. Tetapi, apabila melihat kualiti songket kami, alhamdulillah pelanggan menyukainya.

"Sebenarnya, membuat kain songket tidaklah serumit mana tetapi ia tidak boleh disiapkan dalam keadaan tergesa-gesa kerana hasilnya akan menjadi kurang menarik. Seseorang yang menghasilkannya juga tidak boleh berada dalam keadaan tertekan kerana ia memberi kesan ke atas kualiti produk yang dihasilkan.

"Saya sendiri pernah cuba untuk membuatnya tetapi hasilnya tidak begitu menarik dan kurang kemas. Justeru, saya hanya menyerahkan proses pembuatannya kepada mereka yang lebih mahir," ujarnya yang dibantu oleh suaminya, Mohamad Firdaus Mohd. Ramzi, 33.


SERAMAI tiga orang pekerja lulusan Institut Kraf Negara membantu Leena (dua dari kanan) untuk menghasilkan songket tenunan tangan.


Warna pudar

Katanya, lingkungan harga untuk songket keluaran syarikatnya bermula dari RM70 hingga RM8,000 bergantung pada rekaan dan jenis benang yang digunakan.

"Kami terpaksa bersaing dengan songket dari Pakistan dan India yang mempunyai harga yang jauh lebih murah tetapi berkualiti sehinggakan ada yang berharga hanya RM20. Namun, kebanyakan individu tidak mengetahui jenis songket yang mereka beli.

"Songket boleh diketahui berasal dari negara mana berdasarkan penggunaan benang kerana benang dari negara asing lebih leper dan ia berbeza dengan benang yang dikeluarkan di negara kita yang berbentuk bulat," katanya yang pernah menghasilkan songket untuk Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Jelas Leena, songket tidak boleh dibasuh, dilipat dan dijemur di bawah sinaran matahari kerana tindakan itu boleh menyebabkan warnanya pudar.

"Saya pernah dimarahi oleh pelanggan kononnya kain songket yang dibeli pada harga ribuan ringgit daripada kami tidak berkualiti kerana warnanya cepat pudar. Sebenarnya produk yang paling berkualiti pun jika terdedah terlalu lama pada cahaya matahari tidak akan tahan lama khususnya dari segi warna.

"Selain kain songket, kami juga ada menampilkan produk songket yang lain seperti kotak hadiah, kotak hamper, beg, selendang meja dan kusyen dengan lingkungan harga bermula dari RM7 hingga RM200.

"Sebagai perancangan, kami ingin jenama Mahkota Songket dikenali ramai dan berdiri megah setanding dengan jenama songket keluaran syarikat lain," ujarnya.

Juruterbang wanita pertama Afghanistan

Posted:

Juruterbang wanita pertama Afghanistan

Juruterbang wanita pertama Afghanistan

Niloofar Rhmani memenuhi cita-cita dan hasrat bapanya yang mahu dia menjadi juruterbang.


NILOOFAR memecah tradisi dengan menjadi juruterbang wanita pertama Afghanistan.


PADA 14 Mei lalu, Leftenan Niloofar Rhmani, 21, melakar sejarah apabila dia menjadi wanita pertama Afghanistan yang berjaya menamatkan latihan juruterbang.

Dia yang berasal dari Kabul itu merupakan salah seorang daripada lima graduan yang akan meneruskan ke tahap seterusnya untuk mengendalikan pesawat Cessna 208.

"Saya amat bangga kerana berjaya melakukannya. Saya juga sangat gembira kerana menjadi wanita pertama yang berjaya melakukannya. Saya terpaksa bekerja keras tetapi saya mahu membuktikan kepada wanita di negara ini bahawa kita boleh melakukannya," katanya.

Dia lulus kursus itu di Pangkalan Tentera Udara Shindand di wilayah Herat.

Dia diajar oleh pengajar daripada Tentera Udara Amerika Syarikat (AS).

Niloofar berkata, membesar di Afghanistan sebagai seorang wanita dan mempunyai impian untuk menjadi seorang juruterbang perlu berhadapan dengan banyak cabaran.

Namun, katanya, pengorbanannya itu sangat berbaloi.

"Untuk menjadi yang pertama dalam apa jua perkara memang mencabar," ungkapnya.

Wanita itu memberitahu, apa yang dapat diingatinya adalah dia teruja dengan langit dan menyedari bahawa juruterbang merupakan kerjaya yang diidam-idamkannya.

"Bapa mahu saya menjadi juruterbang. Ia merupakan cita-citanya. Tetapi, 40 tahun lalu, dia tidak dapat melakukannya (menjadi juruterbang). Saya mahu memenuhi impiannya itu dengan menjadi seorang juruterbang," katanya.


NILOOFAR menjadi antara lima graduan yang berjaya menamatkan latihan.


Permulaan hidup

Kata Niloofar, keluarganya turut menjadi pendorong dalam usahanya untuk menggapai cita-cita itu.

"Mereka sentiasa percaya dan menyokong saya. Saya tidak dapat melakukannya (menjadi juruterbang) tanpa keluarga dan tenaga pengajar," tambahnya.

Antara syarat untuk layak menjadi juruterbang adalah mengikuti kursus bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Kursus itu melibatkan tempoh antara enam bulan hingga satu tahun setengah.

Setelah mengikuti kursus itu, seseorang calon dikehendaki mengikuti program yang mengandungi tiga fasa yang berakhir dalam tempoh setahun.

Walaupun Niloofar dan rakan-rakannya mengambil masa untuk menjadi juruterbang, dia memahami bahawa ia hanya permulaan dalam kehidupan yang panjang dan mencabar.

"Ia akan menjadi sukar, tetapi saya tidak takut," katanya

"Ia aman di atas sana (udara). Saya hanya menumpukan perhatian semasa mengendalikan kapal terbang. Matlamat saya kini adalah untuk membantu negara saya mempunyai masa depan yang baik dan mempertahankan hak wanita.

"Saya sudah memecahkan tradisi untuk kaum wanita di negara saya," katanya kepada pemberita baru-baru.

Kejayaan wanita itu turut mendapat liputan meluas media di negaranya.

Pada 18 Julai lalu, dia ditemani seorang pegawai tentera udara AS, Kapten Aaron Marx mengendalikan sebuah pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul ke Kandahar.

Pesawat itu membawa beberapa pegawai Kementerian Pertahanan Afghanistan.

Dia kini bertugas sebagai juruterbang di Pangkalan Udara Kabul dengan berkhidmat untuk Batalion C208 dan C27.

Shims ingin ikut jejak abang

Posted:

Shims ingin ikut jejak abang

Shims ingin ikut jejak abang

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


PENGALAMAN semasa menuntut di Akademi Amerika Paris memberi kelebihan kepada gadis ini.


MEMEGANG status adik kandung kepada pereka fesyen ternama negara, Jovian Mandagie tidak memberi kelebihan kepada pemilik nama Shims Hashim.

Gadis berusia 21 tahun ini mengakui aura Jovian yang banyak menghasilkan busana untuk artis tempatan, membuatkan perasaan tertekan menjalar dalam dirinya.

"Namun, saya yakin dapat membina reputasi sendiri dengan kebolehan yang ada," mukadimah Shims yang berasal dari Kuala Lumpur ketika ditemu bual kru Jurnal di Bangsar baru-baru ini.

Teruja menceritakan proses bertatihnya dalam industri rekaan pakaian negara, Shims menceduk pengalaman dengan merantau ke Paris, Perancis untuk menimba ilmu.

"Saya mengambil Diploma Rekaan Fesyen di Akademi Amerika Paris, Paris selama dua tahun.

Bekal makanan

"Sememangnya ia penuh dengan cabaran tetapi ada sisi kebaikan kerana kebanyakan tenaga pengajarnya terdiri daripada pereka fesyen terkenal dunia.

"Selain itu, saya banyak terlibat di belakang tabir untuk setiap pertunjukan fesyen di Paris," terang anak gadis kepada usahawan wanita, Silvana Salim ini.

Cerita Shims, kehidupan di Paris banyak menguji kesabarannya.

Katanya, kebanyakan rakyat Perancis lebih gemar menggunakan bahasa ibunda mereka untuk berkomunikasi sesama mereka dan dengan pelancong asing.

Tambahnya, situasi itu sedikit sebanyak mengundang masalah baginya yang tidak begitu mahir dengan bahasa negara yang terkenal dengan Menara Eiffel itu.

"Sukar juga ya... tetapi saya tetap kuatkan semangat dan bersyukur kerana dapat bertutur bahasa Perancis dengan mudah.

"Walaupun tidak mahir sepenuhnya, sekurang-kurangnya saya dapat bertutur dalam empat bahasa iaitu Melayu, Indonesia, Inggeris dan Perancis," katanya.

Peliknya, semasa menuntut di akademi itu, gadis ini membawa bekalan makanan yang dimasak dari rumah sewanya semata-mata untuk menjimatkan perbelanjaan.

"Biasanya, saya akan memasak ayam masak lemak cili api, rendang ayam dan sayur goreng.

"Sebenarnya, ramai pelajar akademi yang membawa bekalan makanan kerana harga makanan yang mahal di sana," ujarnya.

Shims merupakan satu-satunya pelajar dari Malaysia di akademi itu pada masa itu.

Jumlah perbelanjaan bulanannya di Paris mencecah puluhan ribu ringgit.

"Saya hanya berjalan kaki sejauh 10 kilometer untuk pergi ke akademi itu.

"Justeru, badan saya kurus tidak seperti sekarang yang agak berisi," katanya sambil ketawa.

Kurang tidur

Tambahnya, ada masanya dia ingin pulang belajar di Malaysia sahaja tetapi lama-kelamaan hasrat itu dipendamkan begitu sahaja.

Sebaik sahaja tamat belajar, dia mengusahakan sebuah butik pakaian di Setapak, Kuala Lumpur kira-kira setahun lalu.

"Syukur kerana tempahan yang diterima agak menggalakkan. Tempahan pertama saya terima daripada seorang wanita yang menetap di Ipoh, Perak.

"Dia memesan pakaian berbentuk peplum sebanyak dua pasang dengan harga RM500. Sebenarnya, kos menghasilkannya lebih daripada itu tetapi kerana teruja, tempahan pertama saya itu disiapkan dengan sebaik-baiknya.

"Cuma dalam setiap corak pakaian yang dihasilkan saya akan memasukkan elemen tempatan serta tradisional supaya setiap busana tampak berbeza," ujarnya.

Peplum ialah pakaian mirip skirt pada blaus.

Dia memberitahu, tempahan pakaian yang diterima untuk Hari Raya Aidilfitri juga memberangsangkan.

"Jenuh juga untuk menyiapkannya dalam tempoh kurang sebulan sehingga jari-jari tangan luka kecil selain kurang tidur.

Lupakan cerita mengenai dunia fesyen, Shims juga ada cerita lucu semasa menyambut Aidilfitri bersama keluarganya di Gold Coast, Australia pada tahun lepas.

Katanya, keputusan itu diambil empat hari sebelum Aidilfitri.

"Keluarga saya ada yang menetap di Malaysia, Indonesia dan Dubai. Jadi, kami ingin membuat kelainan dengan beraya di negara lain.

"Sememangnya itu merupakan keputusan yang mengejutkan kerana pada kebiasaannya, kami akan berhari raya di Kuala Lumpur," ujarnya.

Namun, suasana pada masa itu sedikit terjejas kerana lemang, rendang ayam dan serunding yang dibawa untuk bekalan semasa pagi raya tidak dibenarkan dibawa masuk oleh pihak imigresen di lapangan terbang.

"Kami terpaksa membuang kesemuanya dan hanya menikmati makanan Barat semasa hari raya pertama," katanya yang pernah menerima duit raya sebanyak RM2,000 semasa kecil yang diberikan oleh ibunya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Pembantu rumah Indonesia didera setiap hari

Posted:

Pembantu rumah Indonesia didera setiap hari

Pembantu rumah Indonesia didera setiap hari

10/08/2013 2:19pm

KUALA LUMPUR - Pembantu rumah Indonesia di Subang Bestari yang didera majikannya dipukul dengan tangan, kaki dan objek seperti penyapu hampir setiap hari kerana dikatakan lembap melakukan kerja rumah.

Ketua Daerah Polis Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang berkata, siasatan awal menunjukkan mangsa yang mempunyai permit kerja itu juga tidak dijaga makan minumnya dengan baik berdasarkan kepada keadaan fizikalnya.

Mangsa yang dikenali sebagai Maria Roberta Sain, 30, ditemui dalam keadaan kurus dengan muka lebam, berparut dan luka di seluruh badan.

"Sekarang ini kita cuba untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya mangsa dera itu ditempatkan sementara di rumah perlindungan wanita kerana dia tidak berani balik ke rumah majikan," katanya yang dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Majikannya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Sungai Buloh petang semalam dan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Maria berjaya melarikan diri dari rumah majikannya semalam dan membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya. - Bernama

Trafik di lebuh raya dijangka meningkat tengah hari ini

Posted:

Trafik di lebuh raya dijangka meningkat tengah hari ini

Trafik di lebuh raya dijangka meningkat tengah hari ini

10/08/2013 2:19pm

KUALA LUMPUR - Bilangan kenderaan di lebuh raya menuju ke ibu negara, terutama dari arah utara dan selatan dijangka meningkat menjelang tengah hari ini berikutan ramai kembali semula ke ibu kota selepas pulang berhari raya di kampung masing-masing.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressway Berhad ketika dihubungi,

berkata keadaan itu bagaimanapun dijangka tidak menyebabkan kesesakan melampau di Lebuh Raya Utara-Selatan.

"Setakat 9.45 pagi tadi, keadaan trafik dari arah yang sama juga masih

terkawal biarpun sebelum itu terdapat kemalangan di beberapa tempat

misalnya di KM 189.7 utara dari Jawi ke Bukit Beruntung, Rawang," katanya.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di seluruh Lembah Klang, Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Kesas dan Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) lancar setakat 9.30 pagi.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama

Tentera cedera parah ditembak di sempadan

Posted:

Tentera cedera parah ditembak di sempadan

Tentera cedera parah ditembak di sempadan

10/08/2013 12:22pm

BUKIT KAYU HITAM - Seorang anggota tentera cedera parah akibat ditembak ketika sedang membuat rondaan di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand di sini awal pagi ini.

Mangsa yang berusia 26 tahun ditembak suspek dari arah Thailand.

Kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu berlaku semasa mangsa sedang membetulkan pagar sempadan yang berlubang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya mengesahkan kejadian. - KOSMO!

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


9 mati selepas sembahyang raya

Posted:

9 mati selepas sembahyang raya

9 mati selepas sembahyang raya

SEORANG budak lelaki yang cedera dibantu untuk dibawa ke hospital di Quetta, Pakistan semalam selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah jemaah yang baru selesai menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri.


QUETTA - Empat lelaki bersenjata membunuh sembilan orang semalam apabila mereka melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang meninggalkan sebuah masjid selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di barat daya Pakistan, kata polis.

Serangan di luar masjid pengikut Sunnah di pinggir bandar Quetta, wilayah Baluchistan berlaku sehari selepas seorang pengebom berani mati membunuh 38 orang ketika pengebumian seorang anggota polis di sini.

Ini merupakan kes pertumpahan darah pertama pada bulan Syawal sejak berakhir Ramadan yang menyaksikan sekurang-kurangnya 11 serangan dilancarkan.

Serangan pada Ramadan mengorbankan 120 orang di Pakistan pada tahun ini.

"Empat orang melepaskan tembakan, membunuh sembilan orang dan mencederakan sepuluh yang lain," kata pegawai kanan polis Quetta, Bashir Ahmad Brohi kepada agensi berita AFP.

Empat mangsa mati di tempat kejadian manakala lima yang lain meninggal dunia di hospital.

Bashir berkata, bekas menteri wilayah daripada Parti Rakyat Pakistan (PPP), Ali Madad Jatak turut berada di dalam masjid itu dan mungkin menjadi sasaran penembak.

"Tetapi, kami tidak pasti buat masa sekarang dan masih melakukan siasatan," katanya yang menambah Ali tidak cedera walaupun peluru mengenai keretanya.

Belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu.

Quetta menjadi tumpuan peningkatan keganasan mazhab, kebanyakannya mensasarkan minoriti pengikut Syiah yang membentuk kira-kira satu per lima daripada penduduk Pakistan yang rata-rata pengikut Sunnah. - AFP

12 anggota Al-Qaeda maut akibat serangan dron

Posted:

12 anggota Al-Qaeda maut akibat serangan dron

12 anggota Al-Qaeda maut akibat serangan dron


GAMBAR fail menunjukkan sebuah dron yang dikenali sebagai Predator B buatan Amerika Syarikat (AS). Dron banyak digunakan oleh tentera AS untuk melancarkan serangan ke atas anggota kumpulan pengganas.


SANAA - Tiga serangan pesawat dron di Yemen telah membunuh 12 anggota pengganas Al-Qaeda dalam tempoh satu hari pada Khamis lalu.

Serangan pertama dijalankan pada waktu subuh menyasarkan dua buah kereta yang membawa anggota Al-Qaeda di Shabwan, wilayah Maarib. Enam terbunuh dalam serangan tersebut.

Dua anggota Al-Qaeda terbunuh dalam serangan kedua di wilayah selatan, Ghayl Bawazeer. Baki empat lagi maut apabila dron menyerang lokasi sama pada lewat malam.

Amerika Syarikat dan beberapa buah negara barat kini berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas maklumat perisikan menyatakan bahawa pihak Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) merancang untuk melakukan serangan besar-besaran.

Ancaman tersebut membuatkan AS menutup 19 buah pejabat konsulat serta kedutaannya di negara Asia Barat dan Afrika sepanjang minggu ini.

Pada Rabu lalu, pihak berkuasa Yemen mendakwa telah berjaya mematahkan cubaan AQAP untuk menyerang satu pusat kemudahan minyak milik sebuah syarikat Kanada di Mina al-Dhaba.

Sejak 28 Julai lalu, sebanyak lapan serangan dron dilancarkan di Sanaa yang membunuh seramai 36 orang pengganas.

Washington menyifatkan AQAP yang berpangkalan di Yemen sebagai cawangan pengganas paling berbahaya dalam rangkaian ekstremis global. - AFP

Pesawat bawa senjata api terhempas

Posted:

Pesawat bawa senjata api terhempas

Pesawat bawa senjata api terhempas


ANGGOTA bomba cuba memadamkan api yang memusnahkan sebuah pesawat tentera selepas ia terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Mogadishu di Somalia semalam.


MOGADISHU, Somalia - Sebuah pesawat tentera Ethiopia yang membawa bekalan peluru senjata api terhempas selepas membuat pendaratan cemas di lapangan terbang antarabangsa di sini semalam.

Nahas itu mencetuskan kebakaran dan mengorbankan sekurang-kurangnya seorang kru kapal terbang.

Kejadian tersebut juga mengakibatkan asap berwarna hitam menjulang tinggi ke udara.

Pesawat mengalami kesulitan semasa di udara, sebelum terbabas dari landasan lalu terhempas di kawasan berdekatan.

Tentera Ethiopia membantu Somalia menentang kumpulan militan yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda, walaupun negara itu tidak menjadi anggota Kesatuan Afrika (AU).

"Kami boleh mendengar bunyi letupan selepas pesawat terbakar," kata satu sumber keselamatan di lapangan terbang tersebut sejurus insiden.

Seorang kakitangan lapangan terbang itu, Yusuf Nur berkata, sejumlah peluru meletup dalam kebakaran berkenaan.

Api berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba kira-kira dua jam selepas pesawat terhempas.

Pihak berkuasa menutup sementara operasi lapangan terbang itu yang kini menerima tambahan pesawat penumpang sejak dua tahun lalu.

Insiden itu berlaku selepas tentera AU dan tentera Somalia menyingkirkan kumpulan Al-Shabaab dari kubu mereka di Mogadishu. - Reuters

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Aidilfitri Alyah bersalut kontroversi

Posted:

Aidilfitri Alyah bersalut kontroversi

Aidilfitri Alyah bersalut kontroversi

ALYAH tidak pernah sepi dengan kontroversi, namun sepanjang Ramadan lalu, dia banyak bermuhasabah diri dan Syawal ini, dia lebih bersikap menelan semuanya dengan baik.


ANGIN panas menggebu lalu menghempas kerjaya seni Alyah, awan hitam berarak laju mengelilingi setiap ruang peribadi pelantun lagu Kisah Hati itu.

Bulan Ramadan tahun ini benar-benar menguji pemilik nama Noor Hasliah Abu Hasan dan dia tidak pantas berserah pada keadaan untuk membetulkan kesilapan.

Benar, bukan mudah untuk Alyah berdepan dengan permainan tanda tanya soal jodoh dan status diri ditokok isu cuba memboikot media dan terbaharu menguruskan ibunya yang kurang sihat.

"Ramadan tahun ini paling mencabar dalam hidup saya, selain sibuk menjaga ibu saya sakit dan kerja berlari ke sana sini, saya jadi takut dan terasa berada di tengah-tengah.

"Tambahan pula dengan pelbagai cerita kurang enak mengenai saya berkahwin senyap-senyap dan cuba memboikot media, membuatkan saya hampir berputus asa," luahnya menghela nafas panjang.

Malah, sempena penghujung Ramadan yang ditinggalkan beberapa hari lalu, Alyah melihat ujian yang diledaninya berisi hikmah yang mendalam - rupa-rupanya masih ada yang sayang.

"Sudah banyak kalau hendak dikira kontroversi yang terjadi dalam kerjaya seni, tapi sudut pandangan saya perlu sentiasa berfikiran positif.

"Orang ramai masih ambil berat akan diri saya dan masih ada yang menyayangi saya. Berhubung perkara berkahwin, saya tidak pernah menyatakan ya atau tidak kerana saya tidak akan bercakap selagi sesuatu perkara itu belum pasti.

"Saya tidak mahu telan balik perkataan yang sudah saya cakap, saya bukan jenis orang yang takbur, jadi lebih baik saya menunggu perkara yang sudah terjadi ke depan, maka baru saya cakap.

"Dari dulu lagi saya takut apabila orang terlalu mahu ambil tahu akan peribadi saya, perkara akan jadi lain tapi kalau sudah sampai masa, saya tiada masalah untuk berkongsi dengan sesiapa cuma sekarang saya harap setiap orang faham situasi saya," jelasnya yang enggan membebankan fikiran ibunya berhubung teka-teki perkahwinannya.

ALYAH pulang ke Gelang Patah, Johor Bahru untuk meraikan kemeriahan Aidilfitri bersama keluarga tercinta.


Teka-teki

Adakalanya Alyah mengakui dia malu apabila sering disogok gosip berkaitan jodoh. Hal itu secara tidak langsung menampakkan dia seperti tidak laku walau kini sudah popular.

Tipu kata Alyah apabila perkara tersebut tidak membuatkan dia penat atau rimas. Cuma bagi penyanyi kelahiran Gelang Patah, Johor itu, kecintaannya cuma pada sahabat karib dan kerjaya seni.

"Saya jenis orang yang habis kerja balik ke rumah, malah individu yang saya jumpa setiap hari adalah kawan-kawan yang menguruskan kerjaya saya.

"Tiada apa yang boleh saya buat. Itu harga yang perlu saya bayar. Selagi boleh jawab, saya akan jawab. Bukannya mahu bermain teka-teki," tambahnya yang bakal mengadakan sebuah sidang akhbar menjelaskan situasi genting itu selepas sambutan Aidilfitri.

Nostalgia

Beraya tanpa arwah bapanya sejak lebih 13 tahun lalu mengimbau kenangan luar biasa bagi Alyah. Kongsinya, kenangan terakhir beraya bersama dan mendengar nasihat daripada individu yang digeruninya masih melekat sehingga sekarang.

"Saya seorang anak yang tidak sebulu dengan arwah bapa. Kebetulan, pada hari raya emak keluar bersama adik-beradik saya yang lain dan meninggalkan kami berdua di rumah.

"Bapa nasihatkan saya. Katanya saya sendiri yang akan mencorakkan kehidupan dan saya perlu menjaga emak saya.

"Seminggu kemudian saya ke Kuala Lumpur untuk uji bakat Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) dan sejurus kemudian saya mendapat berita bapa meninggal.

"Lebih pilu apabila saya pulang ke kampung, saya tidak sempat melihat wajahnya kali terakhir, cuma pesanannya yang terakhir itu yang dapat saya ingat sampai sekarang," ceritanya sayu.

Alyah memberitahu, dia mengambil kesempatan cuti Hari Raya Aidilfitri untuk menziarahi rumah saudara-mara di sekitar Johor dan Pahang.

Kesempatan itu juga diluangkan Alyah untuk berjumpa kembali dengan 11 orang adik-beradiknya lain. Itu juga nikmat raya tidak terhingga bagi Alyah.

"Apabila meningkat usia, hadiah paling bernilai pada Aidilfitri adalah berkumpul dengan adik-beradik. Kenangan ketika kecil duduk bersama menonton televisyen boleh dibawa kembali ketika beraya.

"Sekarang semua sudah berkahwin dan masing-masing sibuk bekerja, pastinya ini juga hadiah paling berharga bagi setiap insan bergelar ibu," simpul Alyah yang terlibat dengan program Dikir Raya TV3, Stailista TV9, Meriahnya Raya (TV2) dan Raya Sama Sama (TV1) .

Ritual raya Hattan

Posted:

Ritual raya Hattan

Ritual raya Hattan

Oleh MALIAH SURIP


ADAM IMAN, 15, teruja kerana keluarganya kini sudah lengkap dan dia tidak perlu bergilir tahun lagi menyambut raya dengan salah seorang daripada ibu dan bapanya.


SETELAH sembilan tahun hanya menyambut lebaran dua beranak tanpa seorang isteri, Aidilfitri tahun ini membuka pintu bahagia buat Datuk Hattan.

Tahun ini, keluarga kecilnya lengkap. Beliau kini mempunyai 'kembali' seorang isteri yang baru dinikahi pada 15 Ramadan lalu.

Bersama isterinya itu, Arianie, dan anak tunggal mereka, Adam Iman, 15, Hattan menyifatkan inilah raya paling bahagia buatnya.

Lebih bererti, kediaman miliknya yang dibina di atas tanah yang sama dengan kediaman ibunya di kampungnya, Sri Menanti, Negeri Sembilan sejak lima tahun lalu kini bakal berpenghuni pada pagi raya.

"Raya tahun ini adalah raya paling bahagia dan bermakna buat saya. Kini, keluarga saya telah lengkap.

"Jika sebelum ini saya pulang ke kampung menyambut raya bersama Adam dan keluarga, kini saya telah mempunyai keluarga sendiri.

"Jadi, kediaman yang saya bina sejak lima tahun lalu dan tidak pernah dikunjungi pada hari raya bakal meriah pada tahun ini. Saya akan menyambut raya di rumah itu bersama isteri dan anak saya," ujarnya penuh teruja.

Arianie yang kini kembali memikul tugas sebagai seorang isteri memberitahu, beliau juga teruja menyambut Aidilfitri. Perasaan teruja tersebut pernah padam sebelum ini sewaktu beliau menjadi ibu tunggal.

"Saya seronok kerana tahun ini saya punya sebuah keluarga yang lengkap. Terus terang saya katakan, sebelum ini, saya tidak begitu teruja menyambut raya.

"Justeru, ada dalam beberapa tahun sebelum ini, saya menyambut raya di luar negara kerana bekerja. Berbeza tahun ini, saya bercuti agak lama untuk menyambut lebaran," ujar Arianie yang akan 'terbang' ke Paris pada raya kelima untuk kembali bertugas sebagai Ketua Pramugari Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

KEMBALI hidup sebagai pasangan suami isteri, Hattan menyifatkan Arianie kini lebih manja, sementara Arianie melihat suaminya itu lebih cool.


Berbicara tentang raya, Hattan seronok bercerita tentang keghairahannya pulang berhari raya di kampung.

Bagi penyanyi berusia 46 tahun itu, hari raya tidak lengkap jika seseorang tidak pulang menyambut Aidilfitri di kampung bersama keluarga.

Malah, ritual beliau sendiri mesti pulang ke kampung sekurang-kurangnya seminggu sebelum raya.

"Seminggu malam terakhir Ramadan adalah malam yang bermakna dan seronok buat saya. Sehingga sekarang, saya masih mengekalkan tradisi memasang lampu pelita tujuh likur.

"Saya juga ialah orang yang akan sibuk membeli daging untuk dimasak rendang dan sebagainya. Suasana berhari raya dengan keluarga di kampung terlalu tinggi nilainya.

"Dan saya adalah manusia yang tidak akan bertoleransi tentang raya. Raya bagi saya mesti balik kampung dan berkumpul dengan keluarga," ujarnya.

Justeru, kata Hattan, beliau terkadang tidak boleh bertoleransi dengan segelintir orang Melayu yang memilih keluar bercuti pada hari raya.

Katanya: "Saya sedar bahawa setiap orang mempunyai hak dan pemikiran sendiri tentang kehendak mereka pada hari raya.

"Tapi bagi saya yang mementingkan hari raya mesti pulang ke rumah orang tua dan sambut di kampung, saya tak boleh terima orang yang berhari raya pergi bercuti dan tidur di hotel."

Sementara itu, mengajak pasangan tersebut berbicara tentang kebersamaan mereka semula, baik Hattan mahupun Arianie mengakui mereka tidak mengamalkan sebarang protokol dalam kehidupan berkeluarga.

Sebaliknya, ia cukup dengan sikap toleransi dan memahami antara satu sama lain.

Ditanya bagaimana sikap Hattan kini berbanding dahulu, pantas Arianie memberitahu: "Dia kini lebih cool." Sementara Hattan pula menyifatkan Arianie lebih sensitif dan semakin manja.

Hattan yang masih ligat menerima undangan menyanyi dalam majlis korporat kemudian menyatakan: "Perkahwinan kami semula bukan untuk meraih populariti atau membuktikan sesuatu.

"Sebab itu sewaktu majlis pernikahan tempoh hari kami buat kecil-kecilan dan menjemput rakan-rakan rapat sahaja.

"Bagi saya, ini adalah satu amal buat saya dan alhamdulillah, saya dapat kembali berkahwin dengan bekas isteri saya."

Khir rindu pelukan ibu

Posted:

Khir rindu pelukan ibu

Khir rindu pelukan ibu

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


KHIR RAHMAN pertama kali menyambut Aidilfitri tanpa ibunda tercinta, Azizah Mohamad dan dia mengaku raya tahun ini cukup berbeza dan sunyi buatnya sekeluarga.


WALAUPUN cuba untuk menahan perasaan sayu namun, bicara Khir Rahman, dalam hatinya masih terasa sebak setelah kehilangan ibu tercinta, Datin Azizah Mohamad April lalu.

Ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Grand Brilliance bersama anak-anak yatim Darul Kifayah baru-baru ini, Khir terus terang menceritakan pengalaman pertamanya menyambut Ramadan serta Aidilfitri tanpa ibunya.

Kesedihan jelas kelihatan kerana ketika ditemu ramah, air mata anak kepada penyanyi, Datuk A. Rahman Hassan ini mula bergenang sewaktu menjawab soalan yang diajukan kepadanya.

"Jujur saya akui, walaupun di hadapan abah dan adik-beradik saya cuba berlagak tenang, hakikatnya, setiap hari saya menangis. Saya pasti bukan saya sahaja yang berbuat demikian, begitu juga dengan adik-beradik yang lain.

"Mungkin pada luaran, saya kelihatan tenang, tapi sebenarnya saya menangis teruk apabila terkenangkan mak. Tiada siapa tahu perkara ini.

"Kami cuba untuk buat-buat lupa, namun hakikatnya, kami semua sangat terasa dengan kehilangan mak terutamanya abah. Ini kerana abah sangat rapat dengan mak dan mereka tidak pernah berenggang. Ke mana jua abah pergi, pasti dibawa mak bersama," cerita Khir menahan sebak.

Pastinya Ramadan dan hari raya kali ini sangat berbeza kerana bicara Khir, kebiasaannya mereka akan bersahur dan berbuka bersama pada hari pertama Ramadan bersama arwah. Namun, kali ini, mereka perlu melakukan ritual setiap tahun itu tanpa ibu tercinta.

Bicara Khir lagi, kerana tidak mahu bapanya terlalu sedih dengan kehilangan ibu, mereka adik-beradik mengambil inisiatif untuk kerap bersama ayah mereka.

"Kami adik-beradik mengambil keputusan untuk pulang berjumpa abah sekerap yang mungkin atau setiap kali punya masa terluang. Apa pun, saya harap saya akan dapat lalui kehidupan ini dengan sebaik mungkin walaupun tanpa mak," katanya yang terbabit dalam filem Lemak Kampung Santan.

Akui Khir lagi, antara dua perkara yang dirindui setelah kehilangan ibunya ialah pelukan ibu dan tempat merujuk.

"Paling saya rindukan ialah pelukan mak. Apabila dapat pelukan daripada dia, saya terasa seperti di syurga yang dapat menenangkan saya. Selain itu, saya sering merujuk mak apabila ingin melakukan sesuatu.

"Apa yang mak cakap pastinya betul, seperti dia mengetahui apa yang bakal terjadi. Jadi, saya sering berbincang bersamanya. Sebagai contoh tentang filem … Dalam Botol. Dia sangat menyokong saya untuk menggarap filem tersebut, walaupun ramai yang menganggap ia satu kontroversi," kongsi Khir tentang ibunya.

Bercerita mengenai perkembangan terbaharu Khir, katanya, dia kini sedang dalam proses untuk menyiapkan sebuah filem yang berjudul Garang.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved