Isnin, 22 April 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Jasa klinik 24 jam sehari

Posted:

Jasa klinik 24 jam sehari

Jasa klinik 24 jam sehari

WALAUPUN sudah berusia 67 tahun, Idzham masih gigih bekerja di kliniknya.


"ANAK-ANAK kalau sakit tidak kira masa. Klinik 24 jam memudahkan saya mendapatkan rawatan pada bila-bila masa, siang ataupun malam."

Begitulah kata Farina Jamaluddin, 45, yang merupakan salah seorang pelanggan Klinik Idzham ketika ditemui Kosmo! di Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ibu kepada lima anak itu bukan sekadar mendapatkan rawatan untuk penyakit seperti demam, batuk atau selesema, malah servis berkhatan untuk anak lelakinya.

Melihat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, timbul persoalan siapakah gerangan pemilik Klinik Idzham yang kini mempunyai 10 buah klinik sekitar Lembah Klang, kesemuanya beroperasi 24 jam sehari.

Suka duka

Kosmo! berjaya menjejak pengasas Klinik Idzham iaitu Dr. Md. Idzham Ibrahim, 67, lantas berkongsi cerita suka duka di sebalik kejayaan yang diraih pada hari ini.

Kejayaan tersebut bermula apabila beliau mengambil keputusan 'bersara' setelah berkhidmat lebih 10 tahun di hospital kerajaan.

Pada November 1983, ketika berusia 38 tahun, Idzham berjaya membuka klinik pertama di Taman Melawati. Usia tersebut baginya agak lewat untuk menceburi bidang perniagaan, namun bak kata pepatah hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Dengan bantuan tiga jururawat, beliau mengerah segala kudrat dan masa di klinik yang merupakan klinik pertama beroperasi selama 24 jam di Taman Melawati.

"Pada tiga tahun terawal hanya saya seorang doktor yang bertugas. Setiap masa saya berada di klinik dan hanya berehat atau tidur apabila tiada pelanggan.

"Ketika itu pada waktu siang, saya dibantu pekerja, manakala pada waktu malam saya dibantu oleh isteri. Waktu malam juga masih ada pelanggan terutamanya warga emas yang menghadapi masalah asma. Memberi rawatan kepada pesakit asma merupakan salah satu sebab saya membuka klinik 24 jam di Taman Melawati.

"Kesungguhan bekerja dahulu, jika dikenangkan pada hari ini saya tidak tahu di mana datangnya semua kudrat itu. Apa yang pasti, semangat saya kuat untuk memberi khidmat dan bantuan kepada para pesakit," kata bapa kepada empat anak tersebut.

Bercerita mengenai modal membuka klinik tersebut, beliau cukup terhutang budi kepada SME Bank (dahulu dikenali sebagai Bank Pembangunan) kerana memberikan pinjaman sekali gus impiannya memiliki klinik sendiri menjadi nyata.

Untuk membuka klinik kosnya sangat besar dan beliau memerlukan kira-kira RM200,000 pada waktu tersebut.

Bagaimanapun, selain faktor wang, Idzham cukup bertuah apabila isterinya, Che An Nik Omar, 65, banyak membantu dan memberi dorongan.

Pada masa yang sama, saudaranya Datuk Syed Manshor Syed Mahmood, pengasas Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. banyak menghulurkan bantuan terutamanya pada awal pembukaan Klinik Idzham.


BEROPERASI 24 jam sehari memudahkan orang ramai mendapatkan rawatan di Klinik Idzham.


"Saya bersyukur kerana Syed Manshor membantu saya menemuduga jururawat, malah membelikan perabot klinik. Beliau juga menasihatkan saya jika hendak berjaya, perlu membuka lebih banyak klinik kerana sebuah klinik tidak mencukupi," katanya yang sehingga kini masih menawarkan khidmat selama empat jam lima hari seminggu di klinik.

Gimnastik dan teater

Menyingkap kembali kisah pada zaman kanak-kanaknya, Idzham merupakan seorang yang aktif dalam sukan dan juga banyak menghabiskan masa dengan membaca buku. Antara buku-buku kegemarannya ialah Perry Mason karya Erle Stanley Gardner.

Bola sepak merupakan sukan yang digemarinya, malah ketika di tingkatan empat, beliau terpilih mewakili sekolah untuk bertanding di peringkat negeri, Ketika itu beliau bermain di posisi penyerang.

Bukan itu sahaja, siapa menyangka beliau turut menyertai pasukan gimnastik sekolah serta berlakon drama ketika di tingkatan enam.

Akibat terlalu aktif dalam aktiviti sukan, guru-guru telah menegur dan menasihatinya agar menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Nasihat tersebut nyata berbekas di hatinya menyebabkan beliau mula tekun menelaah buku.

"Pada zaman sekolah, cita-cita saya hendak menjadi juruterbang atau peguam, namun hasrat tersebut dihalang oleh bapa yang mahu saya menjadi seorang doktor. Bapa saya merupakan seorang guru manakala ibu seorang surirumah.

"Selepas tamat tingkatan enam saya mulai berminat meneruskan pengajian dalam bidang perubatan lantas India menjadi pilihan.

"Ini kerana yuran dan kos pengajian di negara tersebut murah apatah lagi kesemua perbelanjaan di sana atas biaya keluarga tanpa sebarang penajaan," katanya.

Cabaran di India

Pada tahun 1966, untuk melanjutkan pengajian di India, Idzham terpaksa menaiki kapal laut seorang diri dari Pulau Pinang ke Madras, India. Perjalanan tersebut memakan masa selama seminggu. Pada peringkat awal menaiki kapal laut memang menyeronokkan namun hari kedua beliau mabuk laut dan tidak lalu makan sehingga badan menjadi terlalu lemah.

"Pengalaman tersebut masih segar dalam ingatan saya sehingga hari ini. Dari Madras saya menaiki kereta api menuju universiti yang terletak di Bombay.

"Tiga tahun awal pengajian, saya terpaksa mengikat perut dan makanan harian saya merupakan capati dan kuah dal. Itulah menu untuk sarapan, makan tengah hari dan malam.

"Pada tahun 1969, saya mendapat biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) berjumlah RM200 sebulan. Sejak itu merasa jugalah makan ayam tandoori," kata bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Iskandar dan Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah itu.


IDZHAM memeriksa seorang pesakit yang datang ke kliniknya.


Nama timangan

Sewaktu dalam kandungan, ibunya berhasrat memberikan nama Yusuf kerana wajah Nabi Yusuf yang kacak tetapi bapa saudaranya mendaftarkan nama Md. Idzham Ibrahim.

Ketika berusia setahun setengah, badan Idzham diserang kudis. Ibunya merasakan nama tersebut kurang sesuai dan memanggilnya dengan gelaran Yusuf.

"Sehingga kini nama saya dalam keluarga melekat sebagai Abang Cop," ujarnya tersenyum.

Dalam kesibukan kerjaya, Idzham tetap meluangkan masa untuk bersantai. Beliau merupakan peminat kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Antara lagu yang diminatinya termasuk Jerat Percintaan, malah beliau mempunyai semua koleksi album penyanyi tersebut.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga sering menonton persembahan penyanyi kelahiran Temerloh, Pahang itu, malah sanggup membelanjakan sejumlah wang menyaksikan persembahan Siti Nurhaliza di Albert Hall, London.

"Ketika itu, salah seorang anak saya belajar di London dan saya pergi melawatnya. Pada masa sama, saya dan ahli keluarga mengambil kesempatan menyaksikan persembahan Siti Nurhaliza di Albert Hall," katanya yang juga merupakan penyokong pasukan bola sepak, Liverpool.

Dalam pada itu, seorang pelanggannya, Maliki Mat Din, 37, yang tinggal di Wangsa Maju turut berpuas hati dengan perkhidmatan doktor-doktor di Klinik Idzham.

Dia yang telah menjadi pelanggan tetap sejak tahun 2004 menyukai sikap para doktor bertugas yang berterus-terang tentang penyakit dihidapnya.

"Perkhidmatan doktor di sini cukup memuaskan, mereka akan berterus terang tentang penyakit termasuk pernah meminta saya melakukan x-ray di hospital terlebih dulu sebelum rawatan lanjut dijalankan olehnya.

"Selain itu, klinik yang beroperasi 24 jam memudahkan saya untuk mendapatkan rawatan pada bila-bila masa," katanya yang bekerja di Indah Water Konsertium. Klinik Idzham merupakan panel syarikat tempatnya bekerja.

Kesan sukan ganas terhadap otak

Posted:

Kesan sukan ganas terhadap otak

Kesan sukan ganas terhadap otak


OBJEKTIF sukan tinju yang memfokuskan tumbukan padu di kepala meningkatkan risiko kecederaan otak.


KETIKA peninju Ireland, Katie Taylor beraksi buat pertama kali di Olimpik yang berlangsung di timur London pada tahun lalu, John Hardy langsung tidak mahu menontonnya.

Sebagai seorang neurosaintis dan ahli biologi molekul, John berpendapat, perlawanan tinju seumpama satu sesi merosakkan otak.

"Kita tidak sepatutnya berasa gembira apabila menonton aksi tinju yang boleh merosakkan otak mereka," kata John yang merupakan Pengerusi Penyakit Neurologikal Molekul Biologi, Institut Neurologi di Universiti College London.

Penyelidikan John memberi fokus kepada penyakit alzheimer dan lain-lain jenis demensia.

Kemodenan neurosains bermakna para saintis mampu mengesan kerosakan otak dan trauma jangka panjang hasil daripada tumbukan yang banyak pada kepala.

Berdasarkan kejayaan sains itu, ketika ini merupakan masa yang sesuai untuk meneliti kerosakan otak dalam sukan termasuklah pemain Liga Bola Sepak Kebangsaan Amerika (NFL).

Sesetengah pihak percaya, bekas pemain San Diego Charger, Junior Seau membunuh diri tahun lalu selepas beberapa tahun menderita akibat konsusi berganda.

Penyelidikan neurologi

Minggu lalu, NFL dan General Electric Co. mengumumkan usaha sama dengan pakar-pakar neurologi. Mereka mengumumkan peruntukan sebanyak AS$60 juta (RM182.67 juta) bagi mempercepatkan kajian terhadap kecederaan otak.

Kajian bertujuan meningkatkan diagnosis dan rawatan selepas keprihatinan masyarakat meningkat mengenai konkusi berkaitan dengan sukan.

Debat mengenai otak telah dibawa ke Rumah Putih. Pada Januari lalu, Presiden Barack Obama mencadangkan perubahan dibuat pada undang-undang NFL bagi mengurangkan tahap impak keganasan.

Dalam sukan bola sepak juga, kebimbangan mengenai kecederaan terhadap pemain meningkat, kebarangkalian berlaku semasa mereka menanduk bola.

Satu kajian ringkas terhadap pemain bola sepak wanita bulan lalu menemui bukti pengurangan mental disebabkan perbuatan menanduk bola dengan banyak kali.

Para penyelidik Amerika Syarikat (AS) yang menjalankan kajian tersebut menyatakan menanduk bola menyebabkan kecederaan traumatik otak lemah pada lobus frontal.

Dalam sukan tinju, pakar kesihatan dan saintis, malah sesetengah atlet sendiri mempunyai kerisauan mengenai keadaan otak selama berdekad-dekad.

Bekas juara tinju dunia kelas featherweight berbangsa Ireland, Barry McGuigan pernah menyuarakan perasaan takutnya yang sukan tersebut boleh merosakkan otaknya.

Peninju kelas lightweight, Terry Marsh yang didiagnosis menghidap epilepsi turut mengakui tumbukan di kepala boleh memberikan kesan negatif.


BOLA sepak Amerika juga dilihat sebagai antara sukan yang menyumbang kepada kecederaan otak.


Tumbukan mabuk

Pada tahun 1928, ahli patologi AS, Stanford Martland menulis sebuah kertas kerja bertajuk Punch drunk (Tumbukan mabuk) yang menceritakan penderitaan seorang peninju yang mengalami kecederaan otak akibat saluran darah pecah.

Kondisi punch drunk dikenali sebagai ensefalopati traumatik kronik (CTE) atau demensia pulilistika. Ia juga dikenali sebagai demensia peninju.

Ia merupakan penyakit neurodegeneratif yang boleh memberi kesan kepada para peninju akibat hentakan di kepala seperti kemurungan, impulsiviti dan kehilangan memori.

"Ramai peninju dan pemain bola sepak Amerika pada usia 30-an dan 40-an mengalami kemurungan," kata John.

Juara heavyweight AS dan idola dunia tinju, Muhammad Ali mula bergelut dengan percakapan tergagap-gagap dan tangan terketar-ketar.

Keadaannya kesihatannya semakin merosot apabila mendapat gangguan neurogeneratif sindrom Parkinson.

Bekas juara heavyweight dunia British, Frank Bruno didiagnosis mempunyai keadaan sama dengan teman senegara, Michael Watson.

Dia memerlukan enam pembedahan otak dan menderita kerosakan kekal selepas ditumbangkan dalam perlawanan pada tahun 1991.

Dalam bahasa sains otak, ia dipanggil hilang kawalan eksekutif.

"Ia tidak wujud dalam personaliti sebagai peninju, ia merosakkan korteks frontal. Mereka sudah pun mengalami pengalaman kecederaan otak. - Reuters

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Bapa maut, anak cedera nahas

Posted:

Bapa maut, anak cedera nahas

Bapa maut, anak cedera nahas

Oleh ROSMAWATI SALIHIN
berita@kosmo.com.my

ANGGOTA bomba mengangkat Prichard yang parah sebelum disahkan maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kelombong, Kota Kinabalu semalam.


KOTA KINABALU - Seorang bapa maut manakala anaknya yang berusia tiga tahun cedera ringan selepas kenderaan yang mereka naiki merempuh belakang sebuah lori seberat 10 tan yang sedang membuat pusingan U di Jalan Kelombong dekat sini semalam.

Kemalangan pukul 11.30 pagi itu mengakibatkan Prichard Wong, 38, dari Kampung Kepayan Suok Vatu mati sebaik tiba di Hospital Queen Elizabeth akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, sebelum kejadian, kereta jenis Proton Saga yang dipandu Wong dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Inanam dari Luyang.

"Mangsa yang tidak sempat menekan brek merempuh sebuah lori yang secara tiba-tiba membuat pusingan U di Jalan Kelombong.

"Pasukan keselamatan mengambil masa kira-kira 20 minit bagi mengeluarkan Prichard yang tersepit," katanya di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kena tetak angkara kes dadah

Posted:

Kena tetak angkara kes dadah

Kena tetak angkara kes dadah


JALALUDDIN menunjukkan parang yang dirampas daripada dua lelaki pada sidang akhbar di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Seorang lelaki yang mengadu ditetak di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Jumaat lalu didapati bukan kerana dia menghalang premis perniagaannya dipasang bendera parti politik tetapi berpunca daripada kes pengedaran dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, maklumat tersebut diperolehi daripada dua suspek yang diberkas selepas didakwa menetak mangsa.

"Pihak polis telah menangkap dua suspek tersebut dan merampas pil berwarna merah disyaki dadah, tiub straw berjalur kuning, wang RM7,848 dan sebilah parang," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata, pengadu juga disyaki terlibat dalam kes pengedaran dadah hasil daripada maklumat yang diberikan suspek.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Lelaki Singapura diberkas edar ekstasi

Posted:

Lelaki Singapura diberkas edar ekstasi

Lelaki Singapura diberkas edar ekstasi

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki Singapura ditahan minggu lalu kerana dipercayai mengedar dadah ke republik itu.

Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di sebuah hotel di sini dan polis menemui 770 gram disyaki ekstasi bernilai RM210,000 dan 400 gram disyaki ketamin bernilai RM40,000.

"Dadah ini dianggar boleh dibekalkan kepada 5,850 orang penagih," kata Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff pada sidang akhbar di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Zolkples naik angin

Posted:

Zolkples naik angin

Zolkples naik angin

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

ZOLKPLES EMBONG


MAJLIS Sukan negara (MSN) pening.Selepas menerima berita pemain No.1 dunia, Datuk Nicol David enggan menyertai Kejohanan Skuasy Asia di Pakistan, terbaharu, jurulatih skuasy negara, Peter Genever pula membuat keputusan tidak akan menyertai skuad negara ke kejohanan tersebut.

Untuk menambahkan lagi kekecewaan MSN, keputusan tersebut tidak dimaklumkan kepada mereka.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong naik angin apabila dia tidak mengetahui keputusan yang diambil oleh jurulatih dari England itu.

"Saya tidak tahu dia (Genever) tidak akan menyertai skuad negara ke kejohanan tersebut. Seharusnya kami dimaklumkan terlebih dulu.

"Saya akan mendapatkan penjelasan daripada Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM) mengenai hal ini," ujar Zolkples ketika dihubungi Kosmo! semalam.

"Kita tahu Nicol tidak ke sana (Pakistan) kerana isu keselamatan, tetapi tidak menjangka pula jurulatih mereka turut mengambil keputusan yang sama," tambah Zolkples.

Genever mula berkhidmat dengan skuad negara sejak Januari 2012.

Untuk rekod, jurulatih berusia 29 tahun itu pernah membimbing bekas pemain No. 1 negara, Mohd. Azlan Iskandar selama lima tahun di London.

Bukan itu sahaja, Genever turut membimbing Mohd. Nafiizwan Adnan secara persendirian sehingga pemain itu berjaya memperbaiki kedudukan untuk berada di ranking ke-36 dunia pada ketika itu.

Genever yang membuat keputusan itu kelmarin menyatakan, dia tidak mahu menyertai kejohanan di Pakistan itu yang berlangsung pada 1 hingga 4 Mei nanti atas alasan keselamatan selain tidak mahu menjadi tumpuan di Pakistan memandangkan dia seorang berketurunan Caucasian yang sememangnya dibenci oleh masyarakat Pakistan.

Biarpun sebelum ini membuat keputusan mahu mengiringi skuad negara, Genever akhirnya menarik diri selepas dipujuk oleh ahli exco SRAM untuk tidak menyertainya.

Bagaimanapun, alasan Genever itu menimbulkan tanda tanya kerana pegawai Institut Sukan Negara (ISN), Ronald Fauvel yang juga berketurunan Caucasian turut menyertai rombongan skuad negara ke Islamabad.

Malah gempa bumi dengan 7.8 skala Ritcher yang melanda Iran baru-baru ini, yang meragut lebih 30 nyawa di sempadan Pakistan, turut dijadikan alasan oleh Genever untuk tidak 'menemani' skuad negara ke kejohanan tersebut.

Pada aksi tersebut, bintang skuasy negara, Low Wee Wern akan beraksi selaku pemain pilihan pertama manakala Delia Arnold dan Zulhijjah Azan akan melengkapkan saingan pemain dalam kategori wanita.

"Saya akan teruskan saingan walaupun sedar ancaman yang ada. Untuk itu, saya akan lebih berhati-hati. Memang agak risau, tetapi jurulatih (Aaron Soyaz) ada mengiringi kami di Islamabad. Saya percaya dia tidak akan membiarkan perkara buruk berlaku pada atletnya," ujar Wee Wern.

Dalam aksi lelaki, Mohd. Nafiizwan akan tetap terbang ke Islamabad untuk mempertahankan gelaran juara bersama juara empat kali, Ong Beng Hee dan Muhammad Asyraf Azan.

'Jangan mudah rasa selesa'

Posted:

'Jangan mudah rasa selesa'

'Jangan mudah rasa selesa'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


IRFAN (tiga dari kanan) bersama rakan sejawatnya, Morgan pada sidang akhbar menjelang aksi Kumpulan H kempen Piala AFC 2013 di Stadium Shah Alam semalam.


ADA mesej positif yang mahu disampaikan pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim kepada anak-anak buahnya ketika melayan kunjungan kelab India, East Bengal dalam aksi Kumpulan H kempen Piala AFC 2013 di Stadium Shah Alam malam ini.

Berdepan 'misi hidup dan mati' memandangkan hanya kemenangan yang mampu menghidupkan sisa-sisa peluang pasukannya mara ke pusingan kedua, Irfan menuntut anak-anak buahnya supaya mengikis sikap sambil lewa terutama ketika mendahului lawan dalam mana- mana perlawanan.

Menurut beliau, 'penyakit lama' itu dilihat menyelubungi segelintir pemain Gergasi Merah terutama ketika ditunjukkan jalan keluar oleh Johor Darul Takzim pada suku akhir Piala FA baru-baru ini.

"Saya perhatikan ada pemain yang tidak memberikan sepenuh komitmen terutama ketika mendahului lawan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

"Tuhan marah jika kita riak, justeru ia tidak sepatutnya berlaku terutama ketika berdepan pasukan yang kuat seperti East Bengal," katanya pada sidang akhbar di Stadium Shah Alam semalam.

Irfan memberitahu, beliau optimis moral anak-anak buahnya berada pada tahap terbaik dan telah pun melupakan kekecewaan tersingkir dalam saingan Piala FA sebelum ini.

Pada masa yang sama katanya, beliau kekal mempercayai polisi penggiliran pemain memandangkan memiliki tugas getir melayan kunjungan peneraju Liga Super, Lions XII di stadium yang sama Sabtu ini.

"Pemain tampak keletihan ekoran jadual perlawanan yang cukup padat, segala-galanya dilihat serba tidak menjadi dalam beberapa perlawa- nan sebelum ini. Justeru, saya perlu melakukan penggiliran pemain bagi mengelak sebarang kesulitan.

"Esok (malam ini), saya hanya boleh menurunkan seorang pemain import iaitu Michel Kubala ketika berdepan East Bengal memandangkan Peter Chrappan digantung perlawanan manakala Francis Forkey Doe pula masih di- belenggu kecederaan.

"Selain itu, Nasriq Baharom, Mohd. Afiq Azmi serta penjaga gol, Norazlan Razali juga kurang cergas dan belum pasti dapat diturunkan (malam ini)," katanya.

Dengan ketiadaan Forkey Doe, Irfan juga tidak menolak kemungkinan menggandingkan Amri Yahyah dan Mohd. Ramzul Zahini Adnan bagi merobek gawang East Bengal malam ini.

"Saya juga berharap beberapa pemain yang baru pulih daripada kecederaan seperti Mohd. Raimi Mohd. Nor dan Mohd. Fitri Shazwan Radu- wan mampu membantu kami membawa pulang tiga mata," katanya.

Untuk rekod, Selangor yang tumpas 0-1 kepada East Bengal dalam aksi pembuka tirai kumpulan pada 27 Februari lalu kini mengutip empat mata selepas empat perlawanan.

Mereka bakal menutup tirai kumpulan berdepan pasukan tercorot, Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 30 April ini.

Griffiths milik Selangor

Posted:

Griffiths milik Selangor

Griffiths milik Selangor

BEKAS pemain Newcastle Jets, Adam Griffiths sah menjadi pemain import baharu Selangor sejurus sebelum jendela pendaftaran pemain Liga Malaysia (Liga M) ditutup semalam, lapor NAN HIDAYAT NAN AZMIE.

Adam, 33, yang pernah beraksi dengan kelab England, Brentford itu bakal menggantikan Peter Chrappan dari Slovakia.

Namun, Adam tidak akan beraksi bersama Selangor ketika berdepan East Bengal dalam aksi Kumpulan H kempen Piala AFC 2013 di Stadium Shah Alam malam ini.

Sebaliknya, pemain tinggi lampai dari Sydney, Australia itu hanya akan membuat penampilan sulungnya bersama Selangor ketika melayan kunjungan peneraju Liga Super, Lions XII di stadium sama, Sabtu ini.

"Kami telah memperoleh sijil perpindahan antarabangsa (ITC) hari ini (semalam) dan jika tiada aral, Adam akan diturunkan ketika berdepan Lions XII nanti," kata pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim.

Semalam Kosmo! melaporkan, khidmat Adam hanya boleh digunakan Selangor dalam saingan Liga M memandangkan status dua pemain import dalam kempen Piala AFC kekal menjadi milik Chrappan bersama rakan senegaranya, Michel Kubala.

Mengulas lanjut, Irfan memberitahu, Adam tidak didaftarkan dalam saingan Piala AFC kerana ia termaktub dalam syarat pendaftaran pemain yang ditetapkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini.

"Berdasarkan pengalamannya yang pernah mengawal penyerang prolifik seperti Emile Heskey sebelum ini, saya percaya Adam mampu membantu benteng pertahanan Selangor mengharu- ngi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia," kata Irfan.

Untuk rekod, Chrappan sebelum ini diserap masuk bagi menggantikan Ramez Dayoub yang digugurkan selepas didapati bersalah oleh Persatuan Bola Sepak Lebanon (LFA) gara-gara mengatur keputu- san perlawanan, Februari lalu.

Namun, Chrappan gagal memberikan impak yang memuaskan apabila sering membuat kesilapan mudah selain dikata- kan dibelenggu masalah kecederaan.

Ketika ini, seorang lagi pemain import Selangor ialah pemenang kasut emas Liga Super musim lalu, Francis Forkey Doe dari Liberia.

Selepas berdepan Lions XII, Gergasi Merah bakal menyambung perjuangan dalam kempen Piala AFC berdepan Tampines Rovers di tempat lawan pada 30 April ini.

Dalam pada itu, Irfan dilihat seolah-olah kekal mempercayai kredibiliti skuad Merah Kuning sedia ada apabila tidak mendapatkan khidmat tiga pemain tempatan baharu meskipun ia dibenarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) buat julung-julung kalinya pada musim perpindahan kali ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


13 akan didakwa atas kesalahan berkaitan PRU13 esok

Posted:

13 akan didakwa atas kesalahan berkaitan PRU13 esok

13 akan didakwa atas kesalahan berkaitan PRU13 esok

22/04/2013 10:26pm

PUTRAJAYA - Seramai 13 lelaki akan dihadapkan ke mahkamah esok atas pelbagai pertuduhan membabitkan lima kes yang berkaitan dengan pilihan raya umum ke-13.

Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara Abdul Wahab Mohamed berkata tujuh daripada lelaki itu akan didakwa berkaitan satu kes gaduh di tempat awam sehingga mengganggu ketenteraman awam di Mantin, Negeri Sembilan, pada 7 April lepas, mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

Beliau menambah, dua lagi akan didakwa kerana melakukan kesalahan yang sama dengan membaling kerusi dan memegang besi dalam satu kes di Pasir Puteh, Kelantan, pada 20 April lepas.

Jelas beliau, dua yang lain, masing-masing didakwa bagi kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menumbuk serta menyepak mengikut Seksyen 323 kanun Keseksaan; dan menakutkan secara jenayah dengan menunjukkan parang ke arah pengadu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan; dalam satu kes di Gemas, Negeri Sembilan pada 19 April lepas.

Pada sidang media di lobi pejabat Peguam Negara di sini, Abdul Wahab berkata, seorang lagi didakwa kerana melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah dengan menghayun parang ke arah pengadu dalam satu kes di Kuala Kangsar, Perak pada 18 April lepas.

Kes akan dibicara mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, manakala satu lagi kerana melakukan khianat dengan mencabut bendera parti politik di Padang Serai, Kedah, pada 8 April lepas mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Abdul Wahab berkata dalam tempoh dari 19 April sehingga pukul 2 petang ini, jumlah kes yang diarah untuk siasatan lanjut ialah 135, manakala kes yang diputuskan supaya tidak diteruskan berjumlah 113. — BERNAMA

PBSNT hilang khidmat Owona

Posted:

PBSNT hilang khidmat Owona

PBSNT hilang khidmat Owona

22/04/2013 8:44pm

KUALA TERENGGANU - Terengganu menerima tamparan hebat apabila pemain importnya Jean-Emmanuel Effa Owona terkeluar daripada baki saingan Liga Super dan Piala FA ekoran kecederaan pergelangan tangan kanan.

Penyerang berbisa kelahiran Cameroon itu disahkan memerlukan rehat selama tiga bulan untuk pulih sepenuhnya dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sedang mencari pengantinya.

Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh berkata pihaknya telah menghubungi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk merisik sama ada mereka boleh menggantikan Owona berikutan jendela pendaftaran pemain pertengahan musim berakhir hari ini.

"Saya memohon pihak FAM agar dapat mengkaji isu ini di bawah pendaftaran khas pemain import bagi membolehkan skuad Peteh mendaftar pemain lain," katanya selepas melawat Owona di Hospital Pakar Kuala Terengganu, Terengganu, di sini hari ini.

Menurutnya kehilangan khidmat Owona sedikit merencatkan percaturan yang telah dilakukan oleh skuad bagi meneruskan cabaran dalam Liga Super dan separuh akhir Piala FA. - Bernama

PNB sasar pelaburan bernilai RM500 bilion menjelang tahun 2020

Posted:

PNB sasar pelaburan bernilai RM500 bilion menjelang tahun 2020

PNB sasar pelaburan bernilai RM500 bilion menjelang tahun 2020

22/04/2013 8:41pm

KANGAR - Permodalan Nasional Bhd (PNB) menyasar untuk mencapai nilai pelaburan sebanyak RM500 bilion menjelang tahun 2020, kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Menurutnya, setakat ini, nilai pelaburan PNB ialah RM239 bilion.

"PNB telah menyusun beberapa langkah untuk memastikan sasaran itu dicapai," kata beliau kepada media pada hari ketiga Minggu Saham Amanah Malaysia 2013 (MSAM) di sini hari ini.

"Sehingga kini, sasaran kami berjaya dicapai. Ini dapat dilihat dengan kepercayaan yang diberi masyarakat melalui program MSAM ini," kata beliau sambil menambah yang PNB menganggarkan seramai 150,000 pengunjung MSAM tahun ini.

"Kami akan terus mengadakan aktiviti kepada semua peringkat umur dengan harapan setiap pendekatan yang diambil akan melahirkan masyarakat yang bijak membuat keputusan dan melabur demi masa depan," katanya.

Setakat ini, PNB telah mengagihkan sebanyak RM103 bilion kepada pelaburnya. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Arab Saudi bina pusat pemulihan mewah

Posted:

Arab Saudi bina pusat pemulihan mewah

Arab Saudi bina pusat pemulihan mewah

BEBERAPA wartawan dibawa memasuki tempat makan banduan militan Al-Qaeda di sebuah pusat pemulihan mewah di Riyadh pada 9 April lalu.


RIYADH - Pihak berkuasa Arab Saudi merancang melenyapkan fahaman ekstrem dalam kalangan banduan militan Al-Qaeda melalui kaedah kaunseling, rawatan spa dan senaman di sebuah pusat pemulihan mewah di sini.

Banduan-banduan itu boleh menggunakan fasiliti pusat pemulihan berkenaan termasuk kolam renang saiz Olimpik, sauna, gimnasium dan dewan televisyen semasa mereka menghadiri sesi kaunseling dan ceramah agama.

Pusat pemulihan mewah baharu itu dibina oleh Pusat Kaunseling dan Penjagaan Putera Mohammed Bin Nayef.

Badan itu yang ditubuhkan tujuh tahun lalu bertujuan untuk memulihkan ekstremis-ekstremis Islam yang ditahan semasa operasi membanteras Al-Qaeda di Arab Saudi antara 2003 hingga 2006.

"Kurang 3,000 orang banduan Islam akan menjalani sesi pemulihan di pusat-pusat itu sebelum mereka dibebaskan," kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Jeneral Mansur Al-Turki.

Sebuah pusat pemulihan tersebut telah dibuka di bandar raya Jeddah manakala tiga lagi akan dibina di utara, timur dan selatan negara ini.

Namun, hanya pusat pemulihan di sini yang memiliki kelengkapan serba mewah sebagai insentif untuk banduan-banduan tersebut yang melupakan fahaman ekstremis Al-Qaeda.

Fasiliti pemulihan di sini mempunyai keluasan bersamaan 10 padang bola sepak dan dibina untuk menempatkan seramai 228 banduan Al-Qaeda.

Setiap daripada 12 bangunan di pusat pemulihan itu akan menempatkan 19 banduan.

Setiap banduan berkenaan diberikan suite mewah bagi membolehkan mereka meluangkan masa bersama keluarga masing-masing pada waktu melawat.

Banduan yang berkelakuan baik boleh meluangkan masa dua hari bersama isteri mereka di suite tersebut.

Pada waktu siang, para banduan itu akan menghadiri seminar agama bertujuan untuk melenyapkan fahaman jihad dalam diri mereka.

"Dalam usaha memerangi pengganas, kita perlu memberi keseimbangan dalam aspek intelektual dan psikologi kepada mereka menerusi dialog dan pujukan," kata pengarah pusat pemulihan tersebut, Said Al-Bishi. - AFP

Angka kematian meningkat di China

Posted:

Angka kematian meningkat di China

Angka kematian meningkat di China


SEORANG lelaki berjalan melintasi runtuhan sebuah bangunan semalam selepas gempa bumi kuat melanda daerah Lushan, wilayah Sichuan kelmarin.


LUSHAN - Anggota-anggota penyelamat berusaha untuk tiba di kawasan terpencil di barat daya China semalam semasa angka kematian akibat gempa bumi kuat meningkat kepada 203 orang dengan lebih 11,000 lagi cedera.

Pusat gempa bumi yang sekuat 6.6 pada skala Richter itu melanda daerah Lushan dekat bandar Ya'an di wilayah Sichuan kelmarin.

Kebanyakan mangsa yang mati adalah di Lushan.

Bagaimanapun, usaha-usaha menyelamat dihalang oleh jalan yang sempit dan tanah runtuh.

"Daerah Lushan kini hampir kembali normal tetapi perlindungan dan pelbagai barang masih diperlukan," kata seorang kakitangan Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Persatuan Bulan Sabit Merah.

Pada 12 Mei 2008, seramai 70,000 orang terbunuh dalam gempa bumi sekuat 7.9 pada skala Richter di wilayah Sichuan.

Banyak bangunan kediaman runtuh dalam kejadian gempa bumi yang terbaharu itu.

Di bandar Ya'an, beberapa pekerja penyelamat di serata China menyuarakan kekecewaan berhubung kesukaran untuk memasuki kawasan bencana.

"Kita perlu segera tiba. Terdapat penduduk yang memerlukan bantuan dan kami mempunyai bekalan di dalam kereta," kata seorang lelaki dari Pasukan Tindak Balas Kecemasan Gempa Bumi Wilayah Shandong.

Kementerian Luar China mengucapkan terima kasih kepada kerajaan asing kerana menawarkan bantuan.

Bagaimanapun, kementerian itu menyatakan, China tidak memerlukan bantuan asing.

"Buat masa ini, kemampuan pasukan penyelamat dan perubatan dan sumber-sumber bantuan kemanusiaan adalah mencukupi," kata kementerian tersebut. - Agensi

Pesawat berkuasa suria jalani ujian

Posted:

Pesawat berkuasa suria jalani ujian

Pesawat berkuasa suria jalani ujian


PESAWAT Solar Impulse berada di Moffett Field di Mountain View, California pada Jumaat lalu.


MOUNTAIN VIEW, California - Sebuah pesawat berkuasa suria menjalani ujian pada Jumaat lalu di Teluk San Francisco selepas berlepas dari Moffett Field di sini.

Pesawat itu yang bernama Solar Impulse menjalani ujian penerbangan selama dua jam.

Menurut salah seorang pencipta dan juruterbang pesawat itu, André Borschberg, Solar Impulse akan terbang mengelilingi dunia dalam tempoh dua tahun lagi.

Pesawat satu tempat duduk itu boleh bergerak selaju 64.37 kilometer sejam dan menembusi awan.

Seorang lagi pencipta pesawat itu, Bertrand Piccard berkata, pesawat berkenaan bersedia untuk melakukan penerbangan merentasi negeri-negeri di Amerika Syarikat pada 1 Mei depan. - AP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tahun cipta nama

Posted:

Tahun cipta nama

Tahun cipta nama

RAJA ILYA melihat tahun 2013 sebagai tahun dia memberi fokus terhadap kariernya.


NAMA Raja Ilya mula mencuri perhatian peminat tatkala kisah kontroversinya mula hangat di media cetak dan blog-blog hiburan sekitar dua tahun lalu.

Kisah dikatakan mahu membunuh diri akibat tertekan kerana putus tunang selepas gambar kontroversinya bersama seorang lelaki tersebar merupakan episod paling buruk buat Raja Ilya.

Akui pemilik nama sebenar Raja Ramilah Raja Muhammad, 28, itu, mungkin kerana sikapnya yang suka berterus terang menjadikannya makanan kepada dunia gosip hiburan tempatan.

"Saya jenis gadis yang lurus bendul. Apabila disoal media, semua perkara ingin dikongsikan. Ini termasuklah mengaku saya hampir membunuh diri dahulu," ujarnya yang bagaimanapun tidak menyalahkan pihak media atas kenyataan yang keluar sendiri daripada bibirnya itu.

Belajar daripada kesilapan lalu, ungkap Raja Ilya, kini dia lebih berhati-hati dalam memberi kenyataan dan berharap tahun ini merupakan tahun untuknya menyinarkan bakat lakonan sekali gus menutup segala kisah kontroversinya selama ini.

Disoal adakah kontroversi yang melanda dirinya selama ini hanya mendatangkan keburukan kepada dirinya sahaja, dedah Raja Ilya, kontroversi yang melanda seseorang artis itu juga ada kebaikannya kerana ia merupakan salah satu daripada caranya artis itu dikenali.

"Mana ada artis yang tidak pernah dilanda kontroversi. Bagi saya, kontroversi ini juga salah satu daripada caranya orang ramai mengenali artis tersebut. Mungkin juga ada peminat yang suka artis disebabkan kontroversi yang melanda diri artis tersebut," ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.

KERAP diberi watak antagonis, Raja Ilya tidak menolak, sebaliknya beranggapan ia sebagai rezekinya sebagai pelakon.


Nafi akan berkahwin

Jika sebelum ini Raja Ilya mengakui kecewa teruk selepas putus tunang, terbaharu, pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu dikhabarkan bakal berkahwin pada penghujung tahun ini.

Saat diajukan pertanyaan mengenai perkara itu (berkahwin), Raja Ilya lantas menepis dakwaan mengatakan dia bakal berkahwin.

Katanya: "Mana ada saya akan berkahwin. Saya masih solo dan tidak mempunyai kekasih sejak putus tunang dua tahun lalu.

"Tipu jika saya kata tiada yang cuba mendekati saya, tetapi pintu hati saya masih belum terbuka. Saya lebih senang hidup bersendirian buat masa ini", ujarnya.

Mengakui pengalaman lalu membuatkannya serik dan fobia menerima cinta daripada lelaki, ujar Raja Ilya, fokus utamanya kini adalah aktif dalam karier lakonan.

Raja Ilya juga menolak kenyataan mengatakan dia antilelaki. Ujarnya, pengalaman lalu hanya membuatkannya bimbang masalah yang sama akan berulang.

Begitupun, jelas Raja Ilya, jika ditakdirkan bertemu dengan seorang lelaki yang berjaya membuka pintu hatinya, dia tidak dapat menolak takdir tersebut.

"Mungkin saya tidak sesuai berada dalam perhubungan. Jadi buat masa sekarang, pendirian saya adalah masih ingin terus kekal solo. Tetapi jika ditakdirkan bertemu dengan seseorang saya terima," katanya.

Ditebak tidakkah dia berasa sunyi hidup bersendirian, ulas Raja Ilya, masanya banyak diisi dengan penggambaran drama dan filem. Ujarnya lagi, jika tiada penggambaran dia lebih senang menghabiskan masa di rumah melayan kerenah kucing-kucingnya yang kini melebihi 10 ekor.

Berwajah sombong

Mengulas lanjut, kata Raja Ilya, dia juga tidak mahu melepaskan peluang dan kepercayaan yang diberikan penerbit-penerbit yang menawarkannya berlakon.

Biarpun dilanda kontroversi, Raja Ilya bersyukur kerana tawaran berlakon tidak pernah putus.

"Saya tidak mahu mensia-siakan peluang dan kepercayaan yang diberikan. Saya juga ingin menebus kembali apa yang telah saya lepaskan sebelum ini.

"Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Pilot Cafe bersama pelakon Fahrin Ahmad dan Neelofa. Dalam filem itu saya memegang watak salah seorang daripada kekasih Fahrin.

"Kini, saya sedang menjalani dua penggambaran drama untuk slot Samarinda iaitu Episod Cinta Kirana dan juga drama Dahlia untuk tayangan saluran Astro Mustika HD (saluran 134). Dalam kedua-dua drama tersebut saya memegang watak antagonis," jelasnya.

Mengulas mengenai kedua-dua watak antagonis yang dipegangnya, ujar Raja Ilya, dia tiada masalah untuk membezakan kedua-dua watak tersebut kerana jalan cerita kedua-dua drama itu adalah berlainan.


RAJA ILYA (dua dari kiri), bersama Hans Isaac (kiri), Dira Abu Zahar dab Faizal Hussein. Mereka membintangi drama berjudul Dahlia.


Menurut Raja Ilya, dalam drama Dahlia, watak antagonis yang dibawa memaparkan dirinya dari sudut yang elegan dan bergaya manakala dalam drama Episod Cinta Kirana pula dia membawa peranan sebagai model yang seksi.

Kerap menerima peranan antagonis, Raja Ilya mengakui berasa tidak selesa, tetapi akhirnya sedar sebagai seorang pelakon dia harus menerima apa jua tawaran yang diberikan.

Disoal kenapa dia sering ditawarkan watak antagonis, kata Raja Ilya, mungkin kerana raut wajahnya yang kelihatan sombong dan garang.

"Memang pada asalnya saya tidak selesa kerana kerap ditawarkan watak antagonis, tetapi bila sudah kerap dapat ia sudah sebati pula pada diri. Bidang lakonan juga merupakan periuk nasi saya, jadi kenapa saya harus menolak tawaran yang datang," ungkapnya.

Hipokrit

Mengenali sedikit sisi sebenar Raja Ilya, dia memberitahu, tidak suka berpakaian seksi dan lebih selesa mengenakan baju T ke mana sahaja.

"Saya tidak suka pakai kasut tinggi sebaliknya suka pakai selipar. Saya juga tidak suka pakai skirt atau pakaian seksi dan lebih selesa memakai baju T.

"Sebagai pelakon saya tidak perlu hipokrit mengenakan pakaian yang cantik-cantik sahaja ke mana sahaja. Saya cuma jadi diri sendiri," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Raja Ilya akan berangkat ke India untuk penggambaran filem berbahasa Tamil pertamanya berjudul Briyani.

Jelasnya, walaupun tidak mendapat watak utama tetapi ia adalah peluang terbaik untuk kerjayanya terus berkembang di Bollywood.

Suami tak halang Amy aktif

Posted:

Suami tak halang Amy aktif

Suami tak halang Amy aktif

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

BARU muncul dengan single, Tapi Itu Dulu, Amy bakal muncul di pentas teater, Nyonya & The Gang di Istana Budaya.


PADA usia yang sudah mencecah 40-an, pembabitan penyanyi dan pelakon Amy Mastura masih lagi diterima ramai. Status sebagai ibu kepada dua cahaya mata langsung bukan penghalang buat dirinya meneruskan karier seninya.

Amy yang ditemui semasa majlis pelancaran teater Nyonya & The Gang pada minggu lalu menyatakan, dia tidak menyangka bahawa masih banyak lagi pihak yang memberi kepercayaan kepadanya untuk berlakon dan mengadakan persembahan nyanyian.

Menurutnya, sebagai ibu juga ia sepatutnya tidak menjadi penghalang untuk meneruskan bidang yang diminati, asalkan perlu bijak membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya.

Selain itu, Amy yang pernah popular menerusi lagu Meniti Hari menyatakan apa yang lebih penting adalah pembabitannya dalam bidang seni masih lagi mendapat restu suami tercinta, Alvin Tham Suffian.

Kosmo!: Boleh ceritakan tentang perkembangan terbaharu kerjaya Amy sekarang?

AMY: Saya sangat gembira kerana pada usia yang bakal mencecah 42 tahun bulan depan (Mei), saya masih lagi diberi peluang untuk terus berlakon dan menyanyi.

Yang terbaharu, saya bakal tampil dengan sebuah teater Nyonya & The Gang yang akan dipentaskan pada 14 hingga 20 Jun ini. Ia merupakan teater dewasa saya yang pertama setelah beberapa kali muncul dalam teater kanak-kanak sebelum ini.

Memandangkan Amy mempunyai dua orang anak yang sedang membesar, adakah suami tidak kisah apabila Amy terus aktif dalam bidang seni?

Setakat ini suami langsung tidak menghalang sebarang kegiatan seni saya. Lagipun dia cukup memahami bahawa nyanyian dan lakonan merupakan bidang yang cukup saya minati, asalkan saya tidak mengabaikan keluarga.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna saya perlu terlalu fokus kepada kerjaya kerana saya ada tanggungjawab yang lebih besar iaitu memberi sepenuh perhatian terhadap kedua-dua anak saya iaitu Adriana, 12, dan Adilia yang kini sudah berusia lapan tahun.

Adakah Amy memberikan galakan sekiranya anak-anak berminat mengikut jejak langkah Amy?

Antara kedua-dua anak saya itu, rasanya Adilia lebih menunjukkan minat untuk menjadi seorang pelakon berbanding kakaknya. Namun begitu, saya tidak menghalang sekiranya mereka mahu terbabit dalam bidang seni dan sebagai ibu saya akan menyokong apa sahaja yang mereka minat.

Pada masa ini Amy dilihat lebih menyerlah dalam bidang lakonan, sedangkan Amy terlebih dulu mencipta nama sebagai penyanyi. Adakah Amy mahu memberi lebih fokus kepada lakonan sahaja?

Biarpun orang melihat kerjaya seni lebih terarah kepada lakonan, kerjaya nyanyian masih lagi diteruskan. Saya baru sahaja tampil dengan single terbaharu berjudul Tapi Itu Dulu.

Berkenaan dengan pembikinan album baharu pula rasanya masih lagi belum sesuai berdasarkan kepada keadaan sekarang. Mungkin saya akan keluarkan album kompilasi dulu dan akan diselitkan dengan single saya itu.

Apakah yang membuatkan Amy mahu terus aktif dalam dunia seni, sedangkan semakin ramai artis baru yang muncul sekarang?

Pembabitan saya dalam dunia seni ini bukanlah mahu bersaing dengan sesiapa, sebaliknya apa yang saya lakukan ini semuanya berdasarkan kepada minat dan keseronokan.

Misalnya, sebelum menerima sesuatu tawaran lakonan itu saya akan menilai terlebih dulu seperti skrip dan jalan cerita. Mengenai watak pula saya tidak kisah bawa apa sahaja watak, asalkan saya berasa seronok untuk melakonkannya.

Eksklusif Wings Rockestra

Posted:

Eksklusif Wings Rockestra

Eksklusif Wings Rockestra


BERGABUNG. Dari kiri: Joe, Ian Antono, Awie, Hillary Ang, Eddie dan Black.


KURANG tempoh seminggu, Wings akan kembali menghangatkan pentas Istana Budaya yang pernah mereka tawan sebelum ini. Bermula 26 hingga 30 April ini, memakai label Wings Rockestra, Wings sekali lagi bakal memuntahkan segala kepakaran dan untaian lagu terbaik mereka.

Wings Rockestra masih lagi akan diiringi oleh 43 orang pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan yang dipimpin oleh Mustafa Fuzer.

Hanya pada kali ini, ujar si pemain gitar yang juga merupakan penggerak utama konsert tersebut, Joe, mewakili grup legenda itu memberitahu bahawa Wings tidak akan mengulang main lagu-lagu yang telah dipersembahkan dalam konsert sulung mereka dahulu.

Kali ini, Wings akan memainkan beberapa lagu yang cukup dekat dalam kalangan peminat tegar mereka, tetapi tidak pernah dimainkan dalam konsert-konsert sebelum ini.

"Boleh dikatakan, kami merombak hampir semua pemilihan lagu yang akan dimainkan pada kali ini. Ini kerana kami mempunyai banyak lagi katalog lagu yang peminat suka, tapi belum sempat dimainkan dalam konsert-konsert sebelum ini.

"Antara lagu yang akan kami mainkan seperti Harapan, Pengabdian Kekasih dan Amuk. Bagaimanapun kami tetap akan mengekalkan lagu seperti Taman Rashidah Utama kerana ia sudah menjadi satu kebiasaan untuk dimainkan Wings," ujar Joe dalam sidang media kedua Wings Rockestra di Istana Budaya, baru-baru ini.

Selain menukar pemilihan lagu, Wings turut mengubah sedikit haluan konsert pada kali ini. Mempunyai tiga segmen, salah satu daripadanya akan menyaksikan Wings berkolaborasi dengan dua pemain gitar legenda.

Pemain gitar Search, Hillary Ang dan Ian Antono, pemain gitar God Bless yang diterbangkan khas dari Indonesia akan menjadi 'pemercik api' konsert pada malam itu nanti.

Bercakap tentang kesudian menerima lamaran Wings untuk bermain tiga buah lagu bersama grup tersebut, Ian memberitahu, sebagai seorang pemuzik, dia menyokong semua jenis muzik biar berbeza budaya dan agama.

Malah, dia yang akan bermain dalam satu segmen dengan durasi 20 minit memberitahu: "Secara jujurnya, saya baru kenal muzik Wings, namun berasa muzik mereka bagus. Kini, saya giat menjalani latihan agar dapat memainkan muzik mereka dengan baik."

Sementara itu, bercakap mengenai pilihan alternatif untuk peminat Wings yang barangkali tidak dapat menyaksikan konsert mereka seperti boleh memiliki video yang dirakam pada konsert tersebut kelak, Joe menegaskan, Wings Rockestra tidak akan dirakamkan dan dijual.

"Kami tidak akan merakamkan sebarang video pada konsert ini untuk dijual. Ini kerana kami mahu menyimpan nilai eksklusif konsert ini hanya untuk peminat yang datang ke Istana Budaya.

"Ia juga sebagai tanda Wings menghargai peminat yang sudi membeli tiket menyaksikan persembahan ini," ujar Joe.

Sementara itu, berita baik buat peminat Wings apabila tiket-tiket yang dijual pada harga bermula RM69 hingga RM499 kini boleh dibeli dengan potongan harga sebanyak 20 peratus. Tiket boleh didapati di http://www.ticket2u.biz.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved