Ahad, 10 Mac 2013

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Pengganas semakin tertekan

Posted:

Pengganas semakin tertekan

Pengganas semakin tertekan

PASUKAN keselamatan negara berjalan dengan penuh semangat untuk menggempur saki-baki pengganas di Lahad Datu semalam.


LAHAD DATU - Terus bersembunyi kerana tiada tempat mahu lari. Begitulah keadaan pengganas Sultan Sulu yang semakin tertekan apabila pasukan keselamatan mengetatkan lagi kawalan di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu di sini yang menjadi kubu kuat mereka sebelum ini.

Dengan misi untuk memusnahkan kesemua pengganas yang semakin lemah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mendapat sokongan moral dan penambahan kekuatan sejak wilayah Sabah diceroboh pada 12 Februari lalu.

Berdasarkan semangat kerjasama tersebut, penggeledahan dan pemburuan pengganas di kedua-dua kampung yang terletak tujuh kilometer antara satu sama lain terus dipertingkatkan.

Keluasan kawasan yang dikuasai pasukan keselamatan di Lahad Datu ialah kira-kira 10 kilometer persegi. Pasukan keselamatan juga telah meletakkan 20 buah kapal di perairan Sabah dan menghantar tujuh batalion tentera.

Selain Lahad Datu, pasukan keselamatan turut menguasai kawasan Semporna, Kunak, Tawau dan Sandakan.

Bermula dengan serangan udara secara besar-besaran pada 5 Mac lalu, pasukan keselamatan terlebih dahulu menggempur kubu pengganas di Kampung Tanduo. Ekoran serangan itu, sebahagian daripada puak pengganas dipercayai melarikan diri ke Kampung Tanjung Batu.

Panglima ATM, Tan Sri Jeneral Zulkifeli Mohd. Zin berkata, mengikut maklumat, saki-baki kumpulan pengganas yang dipercayai tinggal 100 orang itu sudah dikepung dan diyakini sukar melarikan diri.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Remaja maut ditembak dalam belukar

Posted:

Remaja maut ditembak dalam belukar

Remaja maut ditembak dalam belukar

LAHAD DATU - Seorang remaja mati manakala seorang lelaki cedera di kaki akibat terkena tembakan yang dilepaskan anggota keselamatan ke arah belukar di Kampung Sungai Bilis dekat sini semalam.

Kedua-dua mangsa yang berusia 12 tahun dan 30-an itu tiada dokumen pengenalan diri. Polis sedang menyiasat status latar belakang kedua-dua mangsa terbabit.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, tembakan pada pukul 9.45 pagi itu dilakukan ketika pasukan keselamatan sedang melakukan pemeriksaan ke atas lima orang penduduk kampung tersebut.

"Ketika kelima-lima penduduk di kampung itu sedang disoal siasat, pasukan keselamatan tiba-tiba mendengar pergerakan di kawasan belukar berhampiran menyebabkan anggota keselamatan terus melepaskan tembakan secara spontan ke arah belukar itu.

"Pemeriksaan selepas tembakan itu mendapati seorang remaja berusia lingkungan 12 tahun mati manakala seorang lelaki berusia 30-an cedera di kaki," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, ekoran kejadian itu, markas taktikal menghantar seorang doktor bersama pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menaiki kereta perisai masuk ke Kampung Sungai Bilis.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Rumah pengganas akan diroboh

Posted:

Rumah pengganas akan diroboh

Rumah pengganas akan diroboh


SALAH sebuah rumah di Kampung Simunul, Semporna yang tidak diketahui siapa pemiliknya akan diroboh.


SEMPORNA - Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Simunul akan merobohkan sembilan buah rumah termasuk tiga daripada rumah yang dijadikan tempat pengganas Sulu melakukan serangan hendap hingga menyebabkan enam anggota polis maut pada 2 Mac lalu.

Ketua Kampung Simunul, Ramlee Saraman berkata, tindakan merobohkan rumah itu bagaimanapun hanya akan dilakukan sebaik mendapat laporan daripada pihak polis mengenai maklumat yang mendakwa pemilik ketiga-tiga buah rumah tersebut dipercayai bersekongkol dengan pengganas.

"Saya, JKKK dan penduduk kampung telah membuat perbincangan serta bersepakat akan merobohkan tiga rumah yang menjadi lokasi pengganas bersembunyi.

"Enam buah rumah lagi yang tidak diketahui siapa penghuninya dan terletak berhampiran kawasan serangan hendap itu juga dalam rancangan untuk dirobohkan," kata Ramlee di sini semalam.

Difahamkan, sehingga semalam tiada penghuni di sembilan buah rumah tersebut dapat dihubungi oleh pihak berkuasa.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Gaya moden Kerinci Residensi

Posted:

Gaya moden Kerinci Residensi

Gaya moden Kerinci Residensi

MEMBANGUN. Kampung Kerinchi di Bangsar dahulunya merupakan kawasan setinggan kini membangun hasil usaha Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.


RUMAH pangsa empat tingkat Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur yang dibina pada 1970 adalah projek perumahan ikonik kepada penduduk berkenaan. Namun rumah pangsa yang telah memayungi penduduk Kampung Kerinchi itu semakin usang dan tidak sesuai didiami penduduk.

Malah keadaan rumah yang hanya mempunyai sebuah atau tiada bilik sudah tidak sesuai untuk keluarga yang ramai.

Tarikh 28 Mac 2010 menjadi detik keramat bagi penduduk perumahan itu apabila Kerajaan Persekutuan mengumumkan satu projek pembangunan semula, yang diberi nama Kerinchi Residensi dengan kos kira-kira RM600 juta. Projek pembangunan semula itu membawa seribu rahmat kepada penghuni flat berkenaan yang telah tinggal di unit masing-masing sejak tahun 1974.

Prasarana sempurna

Rumah yang bakal mereka miliki itu jauh lebih baik berbanding rumah sebelumnya. Setiap unit baharu mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air beserta prasarana yang lebih sempurna.

Pada bulan April tahun lalu, perumahan yang menempatkan kira-kira 500 keluarga itu tinggal kenangan apabila kerja-kerja merobohkan rumah pangsa itu akhirnya dapat dimulakan untuk memberi laluan bagi pembinaan Kerinchi Residensi.

Bagaimanapun, pembinaan rumah baharu itu tertangguh selama dua tahun. Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Empat Tingkat Kampung Kerinchi, Ahmad Rahman berkongsi cerita.

Menurut Ahmad, beliau terpaksa melalui pelbagai cabaran dan halangan sejak Kerajaan Persekutuan mengumumkan projek pembangunan semula itu hinggalah projek itu dimulakan. Bagi Ahmad, tempoh antara tahun 2010 ketika projek pembangunan semula itu diumumkan sehingga tahun lalu, satu fasa yang memeritkan.

"Ia merupakan satu detik sukar kerana pihak pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menabur pelbagai isu bagi menggagalkan projek dengan cuba pengaruhi penduduk kampung ini supaya tidak menandatangani perjanjian projek," katanya.

Ahmad berkata, ketika kerja-kerja merobohkan rumah pangsa itu pada April tahun lalu berlaku kekecohan dalam kalangan 35 keluarga yang termakan janji PKR supaya tidak berpindah dan tidak menerima perjanjian tersebut.

Menurut Ahmad, antara tuduhan palsu yang dilemparkan PKR ialah Kerajaan Persekutuan secara sengaja menutup Masjid Ar-Rahman di Lembah Pantai.

Sedangkan masjid itu ditutup bagi kerja-kerja pengubahsuaian. Isu lain yang dimainkan oleh PKR ialah isu peniaga pasar malam, namun isu itu diselesaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dengan memberi mereka tapak baharu di kawasan Lembah Pantai.

"Akhirnya 35 keluarga itu membawa perkara ini ke mahkamah dan mahkamah memutuskan mereka layak menerima RM73,000 sebagai pampasan, di samping itu Kerajaan Persekutuan yang prihatin turut memberi sebuah rumah (PPR) Projek Perumahan Rakyat," kata Ahmad.

Projek itu mempunyai keistimewaan tersendiri. Selain berpeluang memilih pemaju, penduduk turut diberi kuasa oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 2010.

Sebanyak empat pemaju membentangkan pelan pembangunan mereka. Majoriti penduduk memilih pemaju Suez Domain melalui satu referendum.

Skim pemaju

"Penggunaan referendum untuk memilih pemaju adalah julung-julung kali diadakan di Malaysia dan membuktikan Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin kepada keperluan rakyat.

"Pelan pembangunan Suez Domain mempunyai skim yang membantu kami sebelum berpindah ke rumah baharu. Antaranya, termasuklah elaun pindah keluar RM5,000 dan pindah masuk RM8,000," katanya.

Selain itu, Suez Domain turut memberi bantuan kepada penduduk yang mempunyai anak-anak yang bakal masuk ke alam persekolahan, mengangkut barang untuk berpindah hatta kenduri kendara.

Keberkesanan Suez Domain dalam 'mengurus' hubungan antara pemaju dan penduduk itu mendapat pujian Raja Nong Chik. Pada Disember tahun lalu, Suez Domain buat julung-julung kalinya menyiapkan rumah contoh untuk diteliti penduduk.

Kerinchi Residensi dibangunkan di kawasan lebih 2.8 hektar di atas tapak bekas kawasan rumah pangsa empat tingkat di Kampung Kerinchi. Projek ini menempatkan 472 unit rumah kediaman yang setiap satunya berkeluasan 83.61 meter persegi dengan nilai antara RM350,000 dan RM400,000 sebuah. Projek itu dijangka siap pada 2016. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Josiah hampakan Azizulhasni

Posted:

Josiah hampakan Azizulhasni

Josiah hampakan Azizulhasni

JOSIAH menewaskan rakan senegara, Azizulhasni untuk melangkah ke pusingan separuh akhir acara pecut 200 meter pada ACC 2013 semalam.


NEW DELHI – Josiah Ng membuktikan betapa dia masih perlu digeruni apabila menewaskan seteru senegara, Mohd. Azizulhasni Awang sekali gus menempah tiket ke pusingan separuh akhir acara pecut 200 meter individu pada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2013 (ACC) di velodrom Kompleks Sukan Indira Ghandi semalam.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2010 itu akan berdepan pelumba Korea Selatan, Choi Lae Seon yang mengejutkan jaguh China, Tang Qi pada pertemuan separuh akhir hari ini.

Ia sekali gus menghampiri impiannya untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada kejohanan yang sama di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras tahun lalu.

Keputusan tersebut pasti memberi lebih masa kepada Mohd. Azizulhasni untuk menumpukan perhatian kepada pusingan saringan pertama acara keirin yang bermula lewat semalam apabila dia diundi bersama Tang Qi dari China; Muhammad Parash (Iran), Lae Seon (Korea), Yeong Wai Mun (Singapura) dan Shin Hsiao Shih (Taiwan).

Josiah pula diletakkan dalam saringan keempat bersama Shiu Ka Ming (Hong Kong), Rajesh Chandrahekhar (India); Pavel Vorzev (Kazakahstan), Ahmad Elbourdainy (Qatar), Chien Liang Chen (Taiwan) dan Badr AlBaooshi (Emiriyah Arab Bersatu).

Dalam pada itu, Mohamad Edrus Mohd. Yunos gagal mempertahankan pingat emas acara 1km ujian masa yang dimenanginya di Kuala Lumpur tahun lalu apabila sekadar menduduki tempat kelima dengan catatan masa 1:05.174s.

Bagaimanapun, perjuangan pelumba Malaysia semalam lebih terarah kepada Fatehah Mustafa yang berjaya meraih pingat gangsa menerusi acara 500m ujian masa individu wanita dengan catatan masa 35.581 saat, dengan purata kelajuan 50.589kmj, dan ia rekod baharu kebangsaan.

Pingat emas acara tersebut dimenangi Lee Wai Sze, juara dunia dari Hong Kong yang merakam masa 34.310s.

Ketua jurulatih, John Beasley jelas bangga dengan kejayaan Fatehah yang berjaya memecahkan rekod baru kebangsaan dan percaya pelumba kelahiran Terengganu itu masih boleh memperbaiki catatan tersebut.

"Memang sudah boleh diagak, apa yang boleh anda fikirkan jika juara dunia turut mengambil bahagian. Dia (Wai Sze) adalah juara dunia. Jadi sudah tentu agak sukar untuk menewaskannya. Namun, apa yang membanggakan saya hari ini (semalam) ialah Fatehah mampu mencatat rekod baharu kebangsaan.

Fatetah turut mengakui gembira dengan catatan yang dilakukannya itu, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan.

"Selain dapat memperbaharui rekod kebangsaan, saya tetap berpuas hati kerana dapat mempertahankan pingat gangsa yang dimenang pada ACC tahun lalu di Kuala Lumpur.

"Saya akan cuba untuk terus memperbaiki catatan masa yang dilakukan pada masa akan datang," jelas Fatehah.

Malaysia kini turut berpeluang untuk meraih sebutir gangsa menerusi acara pecut berpasukan wanita remaja apabila gandingan Nurul Alissa Mohammad Azman dan Farihah Shahwati Mohd. Adnan berjaya merakam masa 38.848s pada pusingan kelayakan.

Penentuan pingat emas acara tersebut pula akan mempertemukan kombinasi pelumba Korea Selatan dan Taiwan.

DBKL kuasai futsal media

Posted:

DBKL kuasai futsal media

DBKL kuasai futsal media


TIGA pasukan teratas kategori wanita bergambar kenangan selepas berakhirnya Kejohanan Futsal Media-Agensi Kerajaan-DBKL di gelanggang futsal Pusat Komersial Sentul kelmarin.


PASUKAN Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menguasai Kejohanan Futsal Media-Agensi Kerajaan-DBKL 2013 yang berakhir di gelanggang futsal Pusat Komersial Sentul kelmarin.

DBKL muncul juara kategori lelaki dan wanita pada kejohanan yang dianjurkan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2013 itu.

Pada aksi final kategori lelaki, DBKL A tampil garang untuk menewaskan Kraftangan Malaysia 4-1.

Kemenangan itu membolehkan DBKL A meraih hadiah wang tunai RM1,000, piala, pingat serta hamper daripada penaja manakala Kraftangan Malaysia yang muncul naib juara, menerima RM600, pingat dan hamper.

DBKL B pula menamatkan saingan di tempat ketiga untuk membawa pulang wang tunai RM300, pingat dan hamper manakala pasukan JAWI sekadar berpuas hati di tempat keempat untuk meraih hadiah wang tunai RM200.

Bagi kategori wanita, DBKL menepati ramalan apabila muncul juara selepas menewaskan Harian Metro 4-0 pada perlawanan akhir.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad wanita DBK menerima hadiah wang tunai RM700, piala, pingat dan hamper manakala pasukan Harian Metro pula membawa pulang wang tunai RM400, pingat serta hamper.

Pasukan Kementerian Pelajaran pula menduduki tempat ketiga untuk menerima hadiah wang tunai RM200 manakala Jawi menamatkan saingan di tempat keempat dan meraih wang tunai RM100.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan DBKL, Idzawi Raja Ismail dan Pengurus Acara dan Tajaan F&N Beverages and Marketing Sdn. Bhd., Muhammad Fauzi Ahmad.

Dalam ucapan ringkasnya, Idzawi menjelaskan bahawa penganjuran kejohanan tersebut bertujuan untuk mendekatkan lagi hubungan antara DBKL dengan semua media dan agensi kerajaan yang sentiasa memerlukan antara satu dengan yang lain dalam menjalankan tugasan harian.

"Saya juga berasa bangga kerana kejohanan tahun ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakan media yang mewakili Utusan Malaysia, Kosmo!, Utusan Karya, Harian Metro, Sinar Harian, RTM, Astro Arena, STAR, TV3, 100Plus, Bernama dan TV Hijrah.

"Turut memeriahkan kejohanan ini ialah penyertaan daripada beberapa agensi antaranya pasukan JAWI, Kraftangan Malaysia, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Pelajaran Malaysia," katanya.

Selangor kembali garang

Posted:

Selangor kembali garang

Selangor kembali garang

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli,yadi@kosmo.com.my


FORKEY Doe (kanan) turut menjaringkan gol untuk membantu Selangor menewaskan Johor DT 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam kelmarin.


SELANGOR menamatkan kemarau jaringan dalam empat perlawanan dengan penuh bergaya selepas membelasah Johor Darul Takzim (Johor DT) 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

Pengendali Gergasi Merah, Irfan Bakti Abu Salim muncul sebagai individu paling ceria selepas menyaksikan barisan pemainnya bangkit daripada persembahan hambar sejurus tewas 0-2 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan East Bengal (0-1) dalam saingan Piala AFC selain seri tanpa jaringan ketika menentang Selangor PKNS dan T-Team dalam empat perlawanan sebelum ini.

Untuk rekod, kali terakhir Selangor berjaya merakamkan tiga mata berharga ialah ketika menewaskan juara bertahan Liga Super, Kelantan di gelanggang yang sama pada 15 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Irfan mendedahkan, keberkesanan pada jentera tengah Selangor dilihat sebagai salah satu faktor kejayaan Gergasi Merah memusnahkan cabaran Harimau Selatan pada perlawanan tersebut.

Bekas jurulatih Terengganu itu mengakui bahawa beliau kagum dengan semangat

perjuangan barisan pemain Selangor yang

terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas tonggak pertahanan import, Peter Charap- pan dilayangkan kad merah selepas mengasari penyerang Johor DT, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-56.

"Sejujurnya, saya sangat gembira dengan kejayaan malam ini (kelmarin) kerana (bahagian) tengah Selangor mempamerkan aksi cemerlang untuk menyekat kemaraan dua penggempur berbisa Johor DT iaitu Daniel Guiza dan Norshahrul yang sering melakukan ancaman kepada kami.

"Anak-anak buah saya kini sudah kembali bangkit dan telah menunjukkan peningkatan prestasi yang sangat memberangsangkan," tegas Irfan.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Jamalul Kiram III rela dipenjara

Posted:

Jamalul Kiram III rela dipenjara

Jamalul Kiram III rela dipenjara

LELAKI yang mendakwa dirinya Sultan Sulu, Jamalul Kiram III bercakap kepada media di bandar Taguig, timur Manila pada 1 Mac lalu.


MANILA, Filipina - Lelaki yang mendakwa dirinya pewaris Kesultanan Sulu, Jamalul Kiram III menegaskan, dia bersedia untuk dipenjarakan, menurut sebuah akhbar dalam talian semalam.

Kenyataan itu dibuat Kiram III semasa dia melahirkan kesediaan untuk hadir di pejabat Biro Siasatan Nasional (NBI) di sini selepas mendapat perintah berbuat demikian.

"Sebenarnya, saya telah menunggu untuk perintah ini ke atas saya. Jika mereka (pihak berkuasa) mahu saya masuk penjara, teruskan," kata Kiram III.

"Saya sedia menjalani hukuman penjara," tambahnya.

Menurutnya, dia bersedia untuk masuk penjara kerana mahu membuktikan bahawa tuntutan ke atas Sabah dibuat bukan kerana wang.

Warga emas berusia 74 tahun yang menjalani rawatan dialisis dua kali seminggu itu sebaliknya berkata, dia menuntut hak daripada aspek sejarah dan moral untuk mengetuai pengikut-pengikutnya kembali ke tanah air mereka.

"Tiada wang menjadi taruhan dalam isu ini. Apa yang penting ialah maruah dan kehormatan kami. Impian saya adalah untuk meninggalkan legasi untuk tanah air kami," jelas Kiram III.

"Kita akan menunjukkan kepada dunia bahawa kita memiliki bukti dan hak untuk tinggal di sana (Sabah)," tambahnya.

Malah, pemimpin tersebut percaya Sabah adalah sebahagian daripada tanah pusaka mereka selepas menerima kawasan di Borneo Utara itu sebagai tanda terima kasih kerana membantu Kesultanan Brunei menewaskan satu pemberontakan pada 1704.

Kelmarin, jurucakap Kiram III, Abraham Idrijani mengumumkan bahawa NBI memerintahkan pemimpin itu supaya hadir di pejabat agensi tersebut lusa. - Agensi

Pengebom berbasikal bunuh sembilan orang

Posted:

Pengebom berbasikal bunuh sembilan orang

Pengebom berbasikal bunuh sembilan orang


PASUKAN Tentera Nasional Afghanistan dan petugas keselamatan memeriksa lokasi serangan berani mati di hadapan pintu utama Kementerian Pertahanan di Kabul semalam.


KABUL - Seorang pengebom berani mati menaiki basikal membunuh sembilan orang di luar Kementerian Pertahanan semalam semasa lawatan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat yang baharu, Chuck Hagel ke ibu kota Afghanistan di sini.

Letupan tersebut berlaku dekat pintu masuk utama ke kementerian itu yang dikawal rapi manakala kumpulan Taliban mengaku serangan dilakukan sebagai tanda amaran kepada Hagel yang tiba di sini lewat kelmarin.

Seorang askar Afghanistan yang berlumuran darah di lokasi kejadian berkata, dia membantu memindahkan lima orang dari kawasan serangan yang turut menyebabkan beberapa buah kereta rosak.

Ketika kejadian, Hagel berada di fasiliti AS sekitar satu kilometer dari lokasi serangan tetapi beliau dipercayai bebas daripada sebarang ancaman.

"Hagel sedang menghadiri satu taklimat ketika serangan berlaku. Taklimat itu bagaimanapun berjalan seperti biasa tanpa gangguan," kata seorang jurucakapnya.

Menurut polis, serangan menyebabkan sembilan orang awam terbunuh manakala 13 yang lain termasuk dua anggota tentera cedera. -AFP

Seorang lagi dakwa dirinya Sultan Sulu

Posted:

Seorang lagi dakwa dirinya Sultan Sulu

Seorang lagi dakwa dirinya Sultan Sulu

MANILA, Filipina - Seorang lagi Sultan Sulu tampil dengan beberapa wakilnya menyatakan bahawa beliau merupakan pewaris takhta Kesultanan Sulu yang sebenar.

Beberapa wakil Datuk Abinasser Sultan Badaruddin D. Mohammad Bataraza kelmarin mendakwa beliau ialah Sultan Sulu sebenar kerana berasal daripada keturunan isteri pertama Sultan Sulu, Jamalul Alam.

Menurut dokumen yang ditunjukkan kepada laman berita Inquirer, wakil-wakil Badaruddin cuba menyakinkan Presiden Filipina, Benigno Aquino III supaya mengiktiraf dirinya sebagai Sultan Sulu sejak 25 Julai 2012.

Pada 24 Oktober 2012, mereka turut menulis surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon untuk meminta bantuannya bagi tujuan yang sama.

Seorang bekas koresponden Inquirer yang menjadi jurucakap lelaki berusia 74 tahun itu Arturo Sampana berkata, Badaruddin ialah anak keempat daripada lima orang anak Puteri Aishah Almarhum dan Datuk Mohammad Bataraza.

Ibunya, Aishah merupakan anak perempuan Puteri Sharifah Zainab atau Puteri Indok iaitu isteri Sultan Sulu, Badaruddin II yang memerintah dari 1881 hingga 1884.

Katanya, Badaruddin II ialah pengganti Sultan Jamalul Alam. Apabila beliau meninggal dunia dipercayai akibat diracun, keluarganya termasuk Aishah keluar dari istana untuk menyembunyikan diri.

Jamalul Kiram II yang ibunya merupakan isteri kedua Sultan Jamalul Alam pula menggantikan Badaruddin II sebagai pemerintah Sulu seterusnya.

Sampana memberitahu, Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya Sultan Sulu berasal daripada keturunan isteri kedua Jamalul Alam.

"Menurut adat keluarga diraja Sulu, hak sebagai pewaris takhta terlebih dalu diberikan kepada keturunan isteri pertama sultan yang memerintah," kata Sampana.

Pada 12 Februari lalu, adik Kiram III, Raja Muda Azzimudie Kiram membawa sejumlah pengikut bersenjata memasuki Sabah untuk menuntut negeri di Malaysia Timur itu sebagai milik Kesultanan Sulu. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Dua anggota PGA yang cedera, stabil

Posted:

Dua anggota PGA yang cedera, stabil

Dua anggota PGA yang cedera, stabil

10/03/2013 8:06pm

SANDAKAN — Dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang cedera dalam serangan berselang-seli di Kampung Tanjung Batu, dekat sini malam semalam dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol yang ditemui selepas melawat anggota terbabit berkata, kedua-dua mereka kelihatan sihat dan sedang menerima rawatan susulan.

"Kedua-dua anggota itu kelihatan sihat, keadaannya okay dan sedang menerima rawatan daripada doktor. Rakyat Sabah terhutang budi kepada pasukan keselamatan dan mendoakan mereka cepat sembuh," katanya.

Sementara itu ketika ditemui di luar Wad Ortopedik hospital itu, seorang anggota keluarga terdekat Koperal Affendi Rusli iaitu seorang daripada anggota PGA yang tercedera berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh ibunya sebelum bergegas ke hospital.

Beliau yang enggan identitinya dikenali bagaimanapun tidak dibenarkan melawat Affendi, namun difahamkan anggota dari Batalion PGA Miri itu dihantar ke hospital pada pukul 8.30 pagi dan menerima rawatan daripada doktor pakar.

"Saya dimaklumkan keadaannya stabil, boleh makan dan sedang dirawat oleh doktor pakar," katanya.

Tinjauan Bernama di hospital itu mendapati pasukan keselamatan membuat kawalan ketat dan tiada sesiapa dibenarkan melawat anggota berkenaan, kecuali individu tertentu.

Dalam kejadian berbalas tembakan antara pukul 8 malam semalam sehingga pukul 4 pagi ini, dua anggota PGA mengalami kecederaan di betis dan paha akibat terkena tembakan. — BERNAMA

Persatuan Suluk nafi pulang kerana takut tindakan

Posted:

Persatuan Suluk nafi pulang kerana takut tindakan

Persatuan Suluk nafi pulang kerana takut tindakan

10/03/2013 7:44pm

SANDAKAN — Persatuan Suluk Bersatu Sabah cawangan Sandakan hari ini menafikan dakwaan ribuan warga Filipina meninggalkan negeri itu kerana bimbang dikenakan tindakan ekoran insiden pencerobohan pengganas militan bersenjata Sulu di Lahad Datu.

Pengerusinya, Jamal Ali berkata, sebaliknya, pemantauan yang dilakukannya mendapati warga Filipina terbabit yang dikesan mula meninggalkan Sabah sejak semalam melakukannya secara sukarela.

"Saya sendiri turun untuk memantau pergerakan mereka dan mendapati mereka yang kebanyakannya tidak memiliki dokumen sah serta individu yang memiliki dokumen mengakui pulang bersama anak dan keluarga secara sukarela dalam keadaan baik," katanya ketika ditemui di jeti nelayan di pasar umum Sandakan, di sini hari ini.

Jamal yang menaungi persatuan dengan lebih 300 anggota berketurunan Suluk berkata, warga Filipina sepatutnya tidak terpengaruh dengan khabar angin berhubung kekerasan yang mungkin digunakan kerana yakin pihak keselamatan akan menangani isu itu dengan berhemah.

Beliau berkata demikian mengulas tulisan sebuah portal berita yang memetik laporan sebuah media Filipina yang mendakwa ribuan warga negara itu mula melarikan diri dari Sabah kerana bimbang akan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa Malaysia. — BERNAMA

126 pelarian Rohingya ditemui di Teluk Bahang

Posted:

126 pelarian Rohingya ditemui di Teluk Bahang

126 pelarian Rohingya ditemui di Teluk Bahang

10/03/2013 7:40pm

GEORGETOWN — Sebanyak 126 orang pelarian Rohingya yang dipercayai belayar selama 25 hari dari Myanmar ke negara ini, ditemui dalam keadaan tidak bermaya oleh nelayan pantai selepas bot kargo yang mereka naiki bocor dan hampir tenggelam di kedudukan 2.5 batu nautika dari Muka Head, Teluk Bahang, semalam.

Mereka yang terdiri daripada 51 lelaki, 35 wanita dan 40 kanak-kanak serta bayi diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia selepas menerima laporan pada pukul 2 petang.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim, Tan Kok Kwee berkata, penemuan pelarian Rohingya itu dimaklumkan krew Bot Kilat dan sepasukan anggota yang dikerah ke lokasi menjumpai mereka sedang berhimpit dalam bot itu.

"Kesemua mereka berumur antara dua bulan dan 50 tahun dan ketika ditemui, mereka dalam keadaan keletihan dan amat lapar kerana telah kehabisan bekalan makanan sejak tiga hari lepas dan hanya bergantung kepada air laut sahaja.

"APMM mendapati bot yang mereka naiki bocor dan telah menggerakkan kapal Maritim atau KM Nyireh untuk menyelamatkan semua pelarian, termasuk menunda bot mereka," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, mereka kemudian dibawa ke jeti Limbungan Batu Maung pada kira-kira pukul 10.30 pagi dan diberi makanan selain menjalani pemeriksaan kesihatan.

Katanya, pihaknya masih menyiasat dalang yang membawa masuk pelarian itu ke negara ini dan jumlah bayaran dikenakan kepada mereka.

Mereka ditahan di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Pulau Pinang untuk siasatan lanjut sementara menunggu perintah reman dikeluarkan. — BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Awie-Erra tiada sembilu

Posted:

Awie-Erra tiada sembilu

Awie-Erra tiada sembilu

TIADA sembilu antara mereka, pastinya selepas ini banyak mata yang mahu melihat kolaborasi serasi dan hebat dua bintang ini.


MENGURAI simpulan emosi yang berbaki dalam hati Awie dan Erra Fazira merupakan satu misi yang menggetarkan mata pena. Ibarat menyelak buku lama, terkasar sedikit pasti helaian usang terkoyak. Bersarang juga kebimbangan, mampukah akal menguasai pertimbangan perasaan.

Itu sekadar bayangan awal. Tatkala mendekati pasangan dua sejoli yang telah lama bercerai kasih itu, segala tanggapan yang liar tadi meleset tanpa sipi.

Apa yang terlihat jelas, ada bunga-bunga kemesraan berkuntum daripada patah bicara mereka.

"Siapa yang menyebabkan awak terjebak dengan dunia permotoran ini," tebak Awie dalam satu temu ramah bersama wanita yang digelar primadona filem Melayu itu.

Jawab Erra: "Ala, saya ada ramai kawan lelaki lagi pun bekas saya dahulu pun (bekas teman lelaki), mat motor"

Segmen dalam program Tunggu Sekejap kendalian Awie yang mengundang Erra sebagai salah seorang tetamu di studio itu memecahkan hilai semua penonton. Situasi itu cukup sebagai pengenalan kepada penyatuan semula 'AwieErra' dalam satu dimensi yang cukup manis. Bukan itu sahaja, mereka juga melakonkan semula sebuah adegan romantik yang dipetik daripada filem Sembilu.

"Mula-mula hendak melangkah masuk menjadi tetamu Awie, perasaan gemuruh dan berdebar itu memang terasa. Saya terfikir anggapan orang luar terhadap kami. Anggapan itu sebenarnya yang merosakkan keadaan. Sebelum ini, saya dan Awie sendiri pernah bekerjasama dalam filem Cuci. Akhirnya, ini satu kolaborasi yang menyeronokkan," lentur Erra sekali gus melerai sedikit gusar pada temuramah yang eksklusif itu.

Selepas Cuci ditayangkan pada tahun 2008, inilah buat pertama kali dalam lima tahun kebelakangan ini, pasangan yang pernah memutuskan pertunangan pada hujung tahun 1998 itu diganding semula dalam sebuah program hiburan.

"Tipulah kalau tiada perasaan gementar. Penonton yang datang juga beri impak yang berlainan sehingga mendatangkan rasa kurang selesa. Tapi bila sudah lebih 30 minit rakaman, barulah okey. Apa yang dijangkakan oleh penonton? Lain jadinya. Kami hanya bekerja dan harus bertindak secara profesional," Awie pula melenturkan perasaannya.

Vokalis grup Wings itu menjelaskan, ura-ura untuk membawa masuk Erra bertamu ke ruang kerjanya sudah lama dibincangkan pihak produksi.

"Hal ini tidak menjadi satu masalah buat saya, seperti kata Erra, kami memang sudah pernah bekerjasama dalam Cuci. Orang luar sahaja merasa pelik bagaimana kami boleh bekerjasama. Sedangkan tidak pelik pun," sambung hero filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Moon dan Jin Pakai Toncit itu selamba.


BUAT Erra, ini merupakan titik mula sebagai pemberitahuan kepada khalayak bahawa dia dan Awie tidak berseteru.


Erra, Awie saling memuji

Sudah adat menjadi anak seni yang berkongsi gelanggang, bersilat ke kiri atau ke kanan, mereka pasti mendengar sorak yang sama. Mata penonton juga sering mahu melihat apa yang sudah lama mereka tidak saksikan.

Mencari simpulan kepada kisah cinta tak kesampaian antara hero dan heroin bernama Erra dan Awie, terserlah sebuah pernyataan yang selama ini jarang ditanya.

Di sebalik takdir yang tidak mengizinkan mereka bersatu, rupa-rupanya tidak memutuskan Erra dan Awie untuk saling mengagumi antara satu sama lain.

"Selepas filem Sembilu, Erra buat Janji Diana dan macam-macam lagi. Jika tidak tonton pun, saya boleh tahu daripada surat khabar. Sejujurnya, saya bangga dengan kesinambungan kariernya yang tidak putus-putus.

"Saya juga mengembangkan karier dan syukurlah kami masih diberi peluang. Bagi saya, apa yang berlalu biarlah berlalu. Kita tutup buku lama dan buka buku baharu. Ini terbaik untuk kami. Masing-masing sudah berkeluarga, ada karier dan kehidupan sendiri. Benda sudah baik dan tak perlu lagi hendak keruhkan keadaan. Jika ada lagi peluang untuk bekerjasama, saya okey," jelas Awie yang harus membayar 'hutang' atas penglibatan Erra ke dalam programnya kali ini.

"Haruslah, kalau dia tak mahu terima undangan saya ke Primadona, kira kami bermusuh semula," sampuk Erra secara berseloroh.

Tambah Awie: "Saya kagum dengan keseriusan dan kejujuran dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan Erra selama ini sehingga dia berjaya dapat pengiktirafan sebagai pelakon terbaik."

Tunduk sambil pandangannya dilabuhkan ke lantai tanpa menunjukkan reaksi bagaimana yang harus diberikan atas pujian Awie, Erra kemudian diminta mengulas topik yang sama.

"Satu perkara yang tidak berubah tentang Awie, dia tetap rockstar dari dahulu sampai sekarang. Dahulu dia penyanyi dan pelakon tapi sekarang lakonannya sudah pelbagai. Dahulu kalau bukan filem romantik, mesti filem aksi tapi sekarang dia sudah boleh buat komedi dan jadi lebih versatil. Sekarang, kehidupan dan kekeluargaannya berjalan seiring. Sebagai kenalan lama Awie, saya bangga dengannya," ungkap Erra sarat kejujuran dan melihat Awie tidak luput ditelan zaman.

Kenangan Awie dan Erra sebagai hero dan heroin filem Melayu masih terpahat kemas di hati ramai. Tidak mustahil, jika ada peluang dan ketentuan dipertemukan semula secara profesional, mereka tidak menolak.

Ujar Erra tentang kemungkinan kolaborasi ini terjalin, primadona anak satu itu menjawab: "Ini merupakan titik mula untuk memberitahu khalayak bahawa kami tidak ada masalah."

Tambah Awie: "Ya, selama ini pandangan orang ramai yang membuatkan kami susah dekat. Benda sudah lepas, jangan jadikan tembok untuk tidak bertegur sapa. Perkara yang lepas itu, lepaslah."

Tidak mustahil peminat akan melihat kerjasama lebih hebat membabitkan dua nama besar ini dalam naskhah tempatan. Apa yang pasti, banyak mata yang mahu melihat kerana keserasian mereka sebagai anak seni tidak pernah ditolak zaman dan rasa.

Afdlin Shauki mahu jauhi politik

Posted:

Afdlin Shauki mahu jauhi politik

Afdlin Shauki mahu jauhi politik

AFDLIN SHAUKI mahu beralih arah dalam kerja seninya. Dia memilih untuk karya kemanusiaan dan keagamaan selepas mengakui mendapat hidayah sekembalinya daripada kunjungan ke Gaza.


POLITIK dan bahang pilihan raya tidak hanya dirasai oleh ahli-ahli parti, bahkan golongan artis yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam politik negara juga berdepan impak yang sama. Video Bangkang Dari Longkang menjadi contoh paling dekat dan artis yang paling teruk terkena impak akibat penyiaran video-video berkenaan ialah penyampai radio popular, Salih Yaacob.

Ketika Salih dilihat benar-benar dihimpit rasa kecewa dan mahu bersara daripada dunia seni gara-gara video lakonannya mendapat kecaman khalayak, khususnya daripada peminat yang terdiri daripada golongan pembangkang, Afdlin Shauki pula berbeza pendirian.

Penerbit, pengarah, pelakon dan pelawak berkenaan menyifatkan penerbitan beberapa video Bangkang Dari Longkang itu sebagai sekadar video balas kepada video-video parodi yang pernah dihasilkan pihak pembangkang sebelum ini.

"Video itu dihasilkan tahun lepas, ketika itu saya belum lagi pergi ke Gaza. Saya memang penyokong UMNO dan sudah tentu saya juga menyokong usaha kerajaan. Semasa ditawarkan untuk melibatkan diri dengan video berkenaan saya bersetuju asalkan ia berkaitan dengan isu dan fakta dan bukan satu serangan peribadi kepada mana-mana individu," lentur Afdlin yang turut didakwa menjadi orang yang bertanggungjawab atas penerbitan video-video berkenaan.

"Itu semua fitnah. Saya cuma terlibat sebagai pelakon. Selepas Bangkang Dari Longkang, ada juga yang mendakwa saya sebagai pengarah sebuah lagi video iaitu Tongong. Video itu tiada kaitan dengan saya," katanya.

Bagi Afdlin itu semua pendiriannya ketika belum mengunjungi Gaza pada hujung tahun 2012 dan awal Januari lalu. Umum semua tahu, Afdlin kini dalam proses penghijrahan dan sedang mendalami Islam untuk memperbaiki diri dan menjadi muslim yang dekat kepada Allah.

"Sekarang saya mahu ambil pendekatan untuk cuba menjauhkan diri daripada politik. Saya melihat politik lebih banyak membiakkan kebencian. Memang kita berhak menyuarakan apa yang kita setuju dan apa yang kita tidak setuju. Media sosial hari ini semakin agresif membuka ruang kebencian kebanyakan komen-komen itu datang daripada orang-orang yang beragama Islam.

"Sekarang saya cuba untuk tidak membangkitkan kebencian mana-mana pihak, di kalangan sesama Islam dan seluruh rakyat Malaysia. Saya mahu tumpukan pembelajaran saya untuk memperbaiki diri," katanya yang sedang muncul dengan filem Lawak Ke Der di pawagam ketika ini.

Tidak pernah sesal kerana terbabit dalam video Bangkang Dari Longkang, Afdlin percaya tindakannya berlakon dalam video yang disifatkan sebagai menghina pembangkang itu bukan sesuatu yang menyalahi etika.

"Kalau diminta buat video itu selepas saya kembali dari Gaza (ketika ini), mungkin saya tidak akan terlibat. Kalau boleh saya mahu menghindarkan budaya benci-membenci dalam kalangan rakyat Malaysia apatah lagi sesama Islam.

"Kita boleh bersetuju dan tidak bersetuju dengan satu-satu perkara tapi janganlah keterlaluan sampai menimbulkan kebencian. Kebencian boleh menghuru-harakan, kita harus ambil iktibar apa yang berlaku di Gaza. Sekarang pun macam-macam komen negatif di media sosial berhubung tragedi di Lahad Datu," katanya sedikit beremosi.

Membawakan karakter suara sebagai Sabuk dalam filem animasi Bola Kampung The Movie yang akan ditayangkan pada 21 Mac nanti, Afdlin juga tidak menjadikan penghijrahannya untuk menjadi muslim yang lebih baik menghalang dirinya untuk meneruskan kerja seni.

"Cadangan saya menghasilkan sebuah filem genre Islamik sudah diterima oleh sebuah syarikat produksi, saya harap karya itu akan bercerita secara jujur. Kerja-kerja saya sekarang isu kemanusiaan dan keagamaan dan saya juga masih akan buat komedi cuma dalam versi yang melanggar batas moral," katanya yang merasakan kekosongan dalam diri selama ini semakin terisi.

FFM25 maruah Bunohan

Posted:

FFM25 maruah Bunohan

FFM25 maruah Bunohan


REUNION. Para karyawan dan pelakon Bunohan berhimpun untuk meraikan pencapaian terbaik filem pada malam kemuncak FFM25 di Putrajaya, Sabtu lalu.


BUNOHAN secara sepenuh hati menjadi pujian dan pengiktirafan tertinggi pada penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) ke-25.

Menjulang megah lapan trofi termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik, anugerah-anugerah itu menyenaraikan filem karya Dain Said itu untuk masuk carta sebagai antara filem yang paling banyak memenangi anugerah dalam sejarah penganjuran sesebuah FFM selama ini.

Dalam FFM21, Kala Malam Bulan Mengambang karya Mamat Khalid pulang dengan tujuh trofi termasuk anugerah tertinggi iaitu Pengarah dan Filem Terbaik, Hikayat Merong Mahawangsa (FFM24) dengan lapan trofi. Pada FFM13, Layar Lara (Shuhaimi Baba) pernah pulang sembilan trofi termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik manakala pada FFM13, Jogho (U-Wei Saari) pula dengan lima trofi juga dengan dua anugerah tertinggi Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik. Sekadar menyebut beberapa filem dan tahun penganjuran FFM, FFM12 juga memberikan angka tujuh yang bermakna kepad filem Sayang Salmah (Mahadi J. Murat).

DAIN SAID bersama sebahagian daripada trofi kemenangan besar menerusi Bunohan.


Biarpun bermula dengan banyak krisis termasuklah perebutan soal siapa yang paling berhak menganjurkan festival sama ada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) atau Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim). Penglibatan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) atas jemputan juga menimbulkan kekeruhan antara Gafim dan PFM sendiri.

Masalah penganjuran FFM tidak terhenti dengan pertikaian siapa berhak atau siapa yang layak, ia kemudian disusuli dengan penangguhan demi penangguhan tarikh festival sehingga membuatkan ramai pihak tertanya-tanya. Sekali lagi kredibiliti FFM sebagai acara paling berprestij industri filem negara tercabar.

Walau bagaimanapun, keputusan penuh dan penganjuran tanpa episod persembahan yang meleret-leret pada edisi ke-25 yang baru berlabuh Sabtu lalu memperlihatkan aura positif. Festival yang memilih Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu juga dilihat tidak menjana banyak bunyi kurang senang, tidak berlaku situasi 'rumah siap pahat berbunyi' seperti sesetengah penganjuran pada tahun-tahun terdahulu.

Untuk kategori Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik, kemenangan Bunohan memang menepati jangkaan awal. Biarpun kategori Pelakon Lelaki Terbaik tidak berjaya dipertahankan oleh Shaheiy Sam (Songlap) yang sudah memenangi kategori itu menerusi Anugerah Skrin hujung tahun lalu, kemenangan hero Bunohan, Faizal Hussein harus diakui semua.

Watak Ilham, seorang pembunuh upahan yang akhirnya sanggup mengorbankan diri kerana tidak sanggup membunuh adik sendiri lakonan Faizal ialah kemuncak kepada survival Faizal yang selama ini tidak bernasib baik untuk menjulang sebarang trofi di FFM.


PERSEMBAHAN penutup FFM25 daripada para pelakon Rock Oo! Rimba Bara Kembali.


Syafie Naswid pula tidak mampu ditanding calon-calon lain apabila sekali menerima pengiktirafan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Songlap). Trofi FFM pertama dimenangi Syafie ialah pada FFM20 sebagai Pelakon Harapan Lelaki (Mukhsin) manakala trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pula pada FF22 (Talentime).

Ucapan penuh emosi oleh pelakon senior Normah Damanhuri saat diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Songlap dikira sebagai ucapan terbaik pada FFM25 lalu.

"Sudah lama dah, 30 tahun saya tunggu barulah kali ini saya diiktiraf. Anugerah ini adalah pembakar semangat untuk pelakon-pelakon baharu untuk jujur dalam kerja seni," ungkap Normah Damanhuri bercampur sebak dan gembira

Festival sekali setahun itu juga sebuah cerminan kepada pembangunan filem Malaysia. Tahun ini karyawan filem tempatan meraikan tahun jubli emas atas edisi ke-25 yang berjaya dianjurkan. Semoga untuk tahun-tahun akan datang, bukan emas sahaja yang menjadi dambaan para karyawan filem tetapi kualiti dan nilai estetika filem dana konteks yang lebih bermaruah.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Kesihatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Kesihatan


Suami mati pucuk jika isteri bergaji lebih

Posted:

Suami mati pucuk jika isteri bergaji lebih

Suami mati pucuk jika isteri bergaji lebih


SEBANYAK 10 peratus lelaki berpotensi mengambil ubat perangsang seks jika isteri bergaji tinggi. - Gambar hiasan


LELAKI yang memiliki isteri berpendapatan lebih tinggi berkemungkinan besar mengambil ubat perangsang seks kerana kurang bertenaga di bilik tidur, lapor satu kajian.

Penyelidik Denmark dan Amerika Syarikat bermula dengan mengkaji gaji membabitkan data lebih 200,000 pasangan suami isteri. Ia mendedahkan, pil dan ubat bagi mengatasi masalah mati pucuk lain lebih popular di kalangan pasangan yang isteri menerima gaji lebih tinggi.

Kesannya juga dapat dilihat pada keluarga yang isteri memiliki pendapatan cuma sedikit lebih tinggi daripada suami.

Kajian yang dijalankan oleh seorang profesor di Universiti Washington, Amerika Syarikat (AS), Lamar Pierce mendapati, perbezaan gaji antara suami dan isteri tidaklah terlalu ketara dan dilaporkan lelaki yang mempunyai isteri bergaji tinggi cenderung mengambil ubat perangsang seks sebanyak 10 peratus.

"Malah perbezaan kecil dalam pendapatan dikaitkan dengan risiko besar penggunaan ubat mati pucuk apabila wanita menjadi penyumbang utama dalam rumah tangga berbanding lelaki.

"Perbezaan gaji sebanyak £10,000 (RM47,095) yang memihak kepada wanita, menggandakan penggunaan ubat seks. Menariknya, fenomena itu tidak dilihat pada pasangan yang selalunya memiliki pendapatan lebih tinggi. Sebaliknya, ia terhad kepada perkahwinan yang isteri mengambil alih kedudukan itu daripada suami.

"Ia menunjukkan rasa hilang harga diri menjadi punca keadaan itu," lapor Pierce yang diterbitkan dalam Buletin Personality and Social Psychology baru-baru ini.

Wanita beri nafkah

Pierce memberitahu, peningkatan wanita menjadi penyumbang utama rezeki mencabar peranan tradisi lelaki sebagai pencari nafkah dan meletakkan mereka di bawah tekanan psikologi.

"Kehendak seksual lelaki dikaitkan dengan budaya dan faktor sosial seperti kuasa bapa, wang dan rangkaian sosial. Keadaan itu boleh menyebabkan lelaki sukar terangsang atau (alat kelamin) tidak berfungsi apabila mendapati peranan tradisi mereka dirampas.

"Kemarahan dan kekecewaan juga boleh membawa kepada masalah seksual serius seperti mati pucuk," ujarnya.

Dalam tempoh 20 tahun lalu, peratusan isteri di AS yang bergaji tinggi meningkat daripada empat peratus kepada 22 peratus berdasarkan kajian yang dijalankan.

Kajian terbaharu itu memfokuskan kepada dua kategori data iaitu maklumat demografi dan preskripsi ubatan untuk populasi berkenaan. Berdasarkan data yang diperoleh pada tahun 1997 hingga 2006, sebanyak 569,000 pasangan berumur lingkungan 25 hingga 49 tahun, kedua-duanya bekerja secara sepenuh masa.

Kata Pierce, lelaki yang bergaji rendah menerima kesan psikologi disebabkan perbezaan pendapatan. Sebagai contoh, Pierce mendapati bahawa lelaki yang mempunyai isteri bergaji tinggi lebih cenderung mengambil ubat-ubatan untuk insomnia dan kemurungan berbanding situasi di mana lelaki adalah sebagai pencari nafkah utama.

Kajian turut dijalankan oleh profesor pemasaran di Universiti Minnesota Carlson School of Management, Kathleen Vohs yang mendapati, terdapat dua penjelasan yang mungkin iaitu ia mengancam lelaki untuk menjadi lebih baik daripada isteri mereka dan ancaman yang dibawa sepanjang jalan ke bilik tidur.

"Satu lagi penjelasan ialah suami mungkin menggunakan ubat perangsang seks sebagai satu cara untuk menjamin bahawa dia tidak tertekan ketika di bilik tidur," jelasnya yang menjalankan penyelidikan terhadap kesan pendapatan pada psikologi manusia.

Ujar Pierce, ramai lelaki berbangga mempunyai pasangan yang berpendapatan lebih. Bagaimanapun, ia adalah penting bagi pasangan untuk berfikir tentang perkara itu sebelum mereka berkahwin, dan untuk berkahwin dengan seseorang yang mempunyai potensi pendapatan yang lebih pada masa sekarang dan hadapan.

Minum darah sendiri

Posted:

Minum darah sendiri

Minum darah sendiri

LEVITIN semasa mempunyai bentuk fizikal yang normal.


FFION JONES seperti juga gadis moden lain yang mendambakan tubuh badan menarik untuk dijadikan senjata memikat kaum Adam.

Namun, rejim dietnya agak pelik sehingga mempercayai dengan hanya meneguk air serta menghidu makanan boleh menyebabkan berat badannya naik.

Lebih menghairankan, wanita Britain ini percaya minum darahnya sudah cukup mengenyangkan berbanding menikmati makanan.

Sejak berumur 11 tahun, Jones menipu keluarganya tentang soal makanan.

Dia makan semasa bersama keluarga tetapi memuntahkannya semasa di bilik air.

Keadaannya cukup kritikal sehingga mengalami halusinasi dengan mendengar suara misteri melarangnya untuk makan.

Jones, 23, kini tidak dapat menyembunyikan dietnya yang keterlaluan itu selepas berat badannya hanya 30 kilogram manakala tahap kesihatannya terjejas teruk.

Dia dikesan menghidap anoreksia nervosa semasa di sekolah rendah lagi.

"Sejak itu, saya merasakan berat badan saya terlalu gemuk sehingga sukar untuk menggayakan pakaian.

"Sebenarnya saya tidak pernah khuatir dengan tubuh badan tetapi pemikiran negatif mula menjelma dengan bisikan misteri mengatakan saya lemah, selekeh dan hodoh," katanya.

Ujarnya, dia mula tidak mengambil makanan dan hanya bertahan dengan makan kiub ais dan gula-gula getah.

Keluarganya mula khuatir dengan perubahan mendadak berat anak gadis mereka itu.

"Ibu bapa menyangka saya menghidap kanser tetapi selepas diperiksa saya menghidap anoreksia nervosa.

"Saya terkejut bagaimana boleh menghidap penyakit ini," ujarnya.

Sembunyi makanan

Jones terus menipu keluarganya dengan mengatakan kepada ibunya, Mags, 56, bahawa dia telah makan di sekolah atau di rumah rakannya.

Dia terus menahan lapar untuk mengurangkan berat badan, senaman yang keterlaluan selain kerap makan julap.

"Suara misteri terus berlegar dalam fikiran saya mengatakan saya seorang yang jahat dan gemuk.

"Saya memaksa diri untuk bangun pada pukul 5 pagi dan berlari untuk beberapa jam walaupun semasa salji turun. Saya terlalu dahaga dan lapar selain selalu jatuh sakit namun tabiat ini masih tidak dapat dihentikan," katanya.

OBSES keterlaluan untuk menguruskan badan amat disesali Levitin.



Tabiat pelik Jones itu semakin serius sehingga dengan menyentuh atau menghidu makanan dan minuman sahaja dia percya itu boleh menyebabkan beratnya bertambah naik.

"Banyak peraturan demi peraturan harus diikuti, suara ghaib itu terus memberitahu apa yang harus dilakukan. Sekiranya tidak dipenuhi suara itu akan bertambah kuat.

Jones mengambil tindakan drastik mula minum darahnya sendiri.

Dia akan mengerat pergelangan tangan menggunakan pisau dan kemudian menghisap darahnya untuk menghilangkan dahaga.

"Setiap titis darah berperanan seperti ubat untuk mengembalikan kesihatan saya sehingga tabiat itu dilakukan setiap hari," ujarnya.

Bertambah baik

"Saya sedar perbuatan itu satu kesilapan tetapi tidak pernah ambil kisah," katanya.

Ibu bapanya yang khuatir dengan keadaannya akhirnya membawa anak mereka berjumpa pakar psikiatri.

"Saya bersyukur kerana saya mula boleh makan dan berat badan mula bertambah naik.

"Selama 12 tahun saya menjalankan terap serta berulang alik dari rumah ke hospital," ujarnya.

Dia rindu untuk menjadi remaja kembali namun perkara itu tidak akan terlaksana kerana kesakitan yang dialami.

Jones turut mengalami penyakit tulang kerana anoreksia.

"Saya hampir mati selama berkali-kali dan menyesal kerana tindakan tersebut," katanya.

Kini dia terus mendapatkan rawatan di sebuah hospital psikiatri di Marlborough, Britain.

Nasib serupa turut dihadapi Valeria Levitin, 39, yang berasal dari Rusia. Valeria disahkan menghidap penyakit fobia terhadap berat badan atau anoreksia nervosa yang kronik.

Berat badannya hanya 25 kilogram (kg) dengan ketinggian 1.72 meter.

"Saya sering diperli semasa di luar sehingga kanak-kanak takutkan saya kerana menyangka terserempak dengan hantu," katanya.

Menyesali akan perkara yang menimpa dirinya, Levitin kini bergiat aktif dalam kempen membendung masalah anoreksia.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved