Sabtu, 23 Februari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Ikan laga boleh dipos

Posted:

Ikan laga boleh dipos

Ikan laga boleh dipos

IKAN laga dikatakan mempunyai jangka hayat sehingga tujuh tahun.


TIDAK kiralah sama ada membesar di desa mahupun di kawasan kota, membela ikan laga mungkin menjadi antara memori zaman kanak-kanak paling unik buat sebahagian daripada kita.

Kalau berduit lebih, ikan kecil pelbagai warna berekor kembang itu boleh dibeli di kedai dengan harga antara RM2 hingga RM10 seekor.

Namun, bagi anak-anak desa pula, menangguk ikan laga di tali air merupakan aktiviti wajib setiap kali tiba cuti sekolah.

Setelah ditangkap, ikan yang agak culas itu akan dipamerkan kepada rakan-rakan di dalam botol kicap berwarna jernih. Penampilan ikan itu seolah-olah sang pahlawan yang hidup bersendirian menarik minat kanak-kanak untuk membelanya.

Tidak hanya untuk pameran, ikan sebesar kelingking itu akan turut diuji kejantanannya apabila dilagakan dengan ikan milik kawan-kawan.

Hal itu antara kenangan zaman kecil yang turut dilalui oleh seorang peniaga yang kini menetap di Kuala Lumpur, Yazir Ahmad Sapri, 44. Pada suatu ketika dahulu, dia bersama rakan-rakan sekampung di Beruas, Perak akan turun ke sawah semata-mata mahu menangkap ikan laga.


IKAN laga yang mencapai usia dua bulan setengah mula menunjukkan keunikan fizikal seperti warna dan ekor.


"Rupa ikan laga liar berbeza dengan yang komersial. Ia tidaklah secantik ikan laga yang banyak dijual di kedai kerana ekornya biasa sahaja. Cuma warnanya biru gelap dan merah gelap nampak cantik.

"Kalau ternampak buih-buih halus berdekatan daun-daun yang terapung di dalam air yang tidak mengalir, itu tandanya ikan tersebut sedang menyorok di bawahnya. Hanya perlu tangkap dengan menggunakan penangguk sahaja," cerita Yazir sambil ketawa kecil tatkala mengenangkan situasi yang berlaku lebih 30 tahun lalu itu.

Ketika ini dia masih membela ikan laga sebagai mengenang kembali nostalgia di zaman kanak-kanak. Bahkan, kata Yazir, melihat ikan-ikan tersebut berenang, mampu menenangkan fikirannya setelah penat bekerja.

Biarpun masa berlalu, namun minat memelihara ikan laga tetap menjadi pilihan kanak-kanak pada zaman sekarang. Pelbagai jenis ikan hiasan yang dijual sedikitpun tidak mengganggu pasaran ikan laga, bahkan peminat baharu semakin bertambah dek fizikalnya yang unik sementelah mudah dipelihara.

"Ikan laga bukan seperti ikan hiasan lain kerena ia memiliki sifat yang menonjol.

"Kalau ikan-ikan lain sekadar berenang-renang dalam akuarium seolah tiada perasaan, tetapi ikan laga nampak seakan bijak. Ekor dan siripnya akan berkembang apabila berdepan ikan lain. Ia nampak cerdik dan berketerampilan," kata seorang peminat cilik, Mohd. Razrin Razali, 12.

Jelas Mohd. Razrin, biarpun perlu peka terhadap kualiti airnya, namun untuk memelihara ikan itu tidaklah begitu leceh kerana ia mudah di jaga. Untuk membela ikan itu tidak memerlukan alat bantuan oksigen mahupun hiasan akuarium yang sarat.


SETIAP kali melihat ikan laga, Yazir (kanan) pasti terkenang momen zaman kanak-kanaknya.


Yazir dan Mohd. Razrin, antara peminat ikan laga daripada dua generasi berbeza yang sering berkunjung ke kediaman seorang pembiak ikan laga, Mohd. Radzy Abd. Aziz di Taman Setapak Jaya, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Mohd. Radzy bukan sekadar menjalankan perniagaan ikan tersebut sebagai punca pendapatan, bahkan melakukan kerja itu kerana minat yang mendalam.

Menurut lelaki yang berusia 37 tahun itu, dia mula membiakkan ikan tersebut secara besar-besaran sejak empat tahun lalu semata-mata untuk mendapatkan generasi ikan laga yang terbaik.

"Sejak itu saya melepaskan jawatan sebagai jurulatih renang skuad kebangsaan untuk memberi perhatian kepada usaha membiak ikan laga. Saya mahu mencari ikan laga yang terbaik yang boleh menjadi juara apabila menyertai pertandingan.

"Justeru pada setiap hari akan ada proses pembiakan kerana ia boleh membiak sepanjang tahun. Cuma kadangkala faktor cuaca seperti musim hujan memberi kesan kepada tahap kesuburan ikan," katanya yang memiliki kira-kira 7,000 ekor ikan laga dalam pelbagai peringkat usia.


MENANGKAP ikan laga di sawah padi dan lopak air merupakan antara aktiviti menyeronokkan buat kanak-kanak di desa. - Gambar hiasan


Tambah lelaki yang berpengalaman melatih perenang di Majlis Sukan Negara (MSN) selama 12 tahun itu, dia tidak menjual sewenang-wenangnya anak ikan laga, sebaliknya menunggu usia yang paling sesuai.

"Saya hanya menjual ikan yang sudah berusia lebih daripada 75 hari kerana kecantikannya hanya dapat dinilai ketika usia tersebut. Harganya pula berbeza iaitu antara RM5 hingga RM200 mengikut tahap kecantikannya.

"Kalau memiliki ciri-ciri istimewa, saya tidak akan menjualnya kerana ia bakal menjadi ikan kesayangan saya bagi menyertai pertandingan," katanya.

Jelas Mohd. Radzy, biarpun terdapat turun naik harga ikan tersebut di pasaran, namun populariti ikan tersebut tidak pernah jatuh terutamanya apabila muncul spesies baharu ikan hiasan.

"Ikan laga tetap popular hingga kini biarpun beberapa ketika dahulu pernah tenggelam seketika apabila spesies ikan flower horn mula menjadi bualan ramai.

"Tetapi selepas populariti ikan flower horn merudum sekitar tahun 2003, ikan laga kembali mendapat permintaan. Boleh dikatakan, popularitinya tidak pernah jatuh," kata Mohd Radzy.

Sekiranya stok ikan laganya di ibu kota tidak mencukupi, Mohd. Radzy akan memperoleh ikan tersebut daripada pembekal di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

"Selalunya 200 ekor ikan laga akan dipos dari pulau pinang menerusi khidmat kurier. Sebulan sekali pasti akan ada kiriman dari sana kerana bapa saudara saya sendiri turut mengusahakan pembiakan ikan laga," ujarnya sambil menjelaskan bahawa ikan tersebut akan dibungkus rapi di dalam kotak polisterin agar airnya tidak tertumpah.

Dia yang bercadang memiliki ladang pembiakan ikan hiasan sendiri itu menjelaskan bahawa ikan laga yang dibiakkannya dijual pada harga antara RM5 hingga RM150 seekor mengikut jenis, warna dan kecantikan keseluruhan.

Dalam pada itu, tinjauan Jurnal di laman membeli-belah dalam talian mendapati bahawa internet turut menjadi medium niaga buat peminat ikan laga.

Biarpun sukar didapati di kedai-kedai ikan hiasan biasa, peminat ikan laga boleh mendapatkan ikan tersebut dengan lebih mudah di laman sosial itu. Ia dijual antara harga RM5 hingga RM150. Selain itu terdapat pengusaha ikan laga yang menjualnya menerusi laman web dan laman sosial peribadi.

Kopi termahal di dunia

Posted:

Kopi termahal di dunia

Kopi termahal di dunia


MUSANG luwak yang menghasilkan kopi paling mahal di dunia menerusi proses pencernaan selepas ceri kopi dimakannya.


KOPI luwak yang hanya boleh didapati di Indonesia dianggap sebagai kopi paling pelik di dunia. Ia hanya boleh dihasilkan menerusi najis sejenis musang yang dikenali sebagai luwak oleh masyarakat tempatan. Secara semula jadi, musang tersebut akan terlebih dulu memakan biji kopi pada waktu malam sebelum penduduk kampung mengutip najis haiwan itu untuk diproses menjadi serbuk kopi.

Antara lokasi hangat penghasilan kopi yang mempunyai nilai komersial AS$700 (RM2,170) sekilogram itu ialah di sekitar Bali, Sumatera, Jawa dan Sulawesi.

Kopi itu pernah mencetuskan kontroversi apabila ada segelintir pihak yang mendakwa bahawa ia haram dimakan oleh orang Islam kerana dihasilkan menerusi proses pencernaan haiwan.


MONYET Formosan Rock akan meluah kembali biji kopi yang dimakan sebelum diproses menjadi minuman.


Namun Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Ke-98 yang bersidang selama tiga hari mulai 13 Februari 2012 lalu memutuskan bahawa kopi tersebut harus dimakan.

Menurut laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), biji kopi luwak adalah bersifat najis.

"Ia harus dijadikan bahan minuman dengan syarat biji kopi tersebut masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam.

"Biji kopi tersebut juga hendaklah disucikan terlebih dulu daripada najis," demikian kenyataan fatwa itu.

Muzakarah juga memutuskan bahawa kopi luwak yang dihasilkan hendaklah mendapatkan pengiktirafan halal daripada Jakim atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebelum dipasarkan kepada masyarakat Islam.

Bagaimanapun musang bukanlah satu-satunya haiwan yang boleh menghasilkan kopi bermutu tinggi.

Di Thailand, masyarakat setempat menggunakan gajah bagi mempercepatkan penghasilan biji kopi berbanding musang yang hanya mampu memakan buah kopi dalam kuantiti terhad.


GAJAH akan diberi makan kira-kira 33kg buah kopi bagi menghasilkan sekilogram biji kopi.


Menurut mereka yang pernah menghirup kopi itu, rasa kopi gajah jauh lebih enak berbanding kopi robusta atau arabika yang bermutu tinggi.

Tetapi untuk merasa kopi itu tidaklah begitu mudah kerana ia hanya boleh didapat di tempat tertentu sahaja iaitu di beberapa hotel mewah di Thailand, Maldives dan Abu Dhabi. Harganya pula mencecah sehingga AS$68 (RM211) secawan.

Harga bagi setiap kilogram biji kopi yang siap diproses didagangkan sebanyak AS$1,100 (RM3,409).

"Apabila gajah memakan biji kopi itu, asid perutnya akan memecahkan protein yang terkandung di dalam biji kopi. Sebab itulah rasanya begitu sedap. Kopi itu juga lebih lembut berbanding kopi biasa," kata pengasas kopi yang terhasil daripada gajah yang merupakan warga Kanada, Blake Dinkin, 43.

Perut gajah yang besar menjadi bonus dalam menghasilkan kopi yang berkualiti apabila ia mengambil masa kira-kira 15 hingga 30 jam untuk memproses biji kopi bersama-sama dengan pisang, tebu dan makanan lain. Justeru rasa kopi itu turut ditambah dengan aroma buah-buahan.

Antara lokasi penghasilan kopi tersebut di Thailand termasuklah di kawasan Segitiga Emas Anantar dan Phrao iaitu di utara Thailand.

Jumlah yang dihasilkannya juga terhad apabila hanya 20 ekor gajah yang diberi makan biji kopi untuk memprosesnya. Daripada jumlah 10,000 biji kopi, ia hanya mampu menghasilkan satu kilogram kopi.


DANKIN menunjukkan kopi yang dihasilkan oleh gajah siap dibersihkan sebelum dibakar.


"Daripada 33 kilogram (kg) kopi yang diberi makan kepada gajah, hanya sekilogram kopi Black Ivory yang dihasilkan. Ini adalah kerana sebahagian daripada kopi telah musnah kerana dikunyah. Hanya biji kopi yang tidak pecah sahaja yang akan diproses," kata Dinkin.

Di Taiwan, monyet Formosan Rock turut memainkan peranannya dalam menghasilkan kopi termahal. Ia berbeza berbanding kopi luwak dan kopi gajah kerana biji kopi akan diludah oleh monyet selepas dimamah.

"Monyet itu selalunya memilih biji kopi yang nampak ranum dan berwarna merah menyala untuk di makan. Tetapi ia akan meludahnya kembali kerana tidak boleh dicerna," kata seorang pengusaha kopi di Taiwan, Lio Ching Tung.

Jelas Ching Tung yang berpengalaman selama 30 tahun dalam perusahaan itu, kopi muntah monyet itu mempunyai rasa manis dan sedikit rasa vanila.

Kopi yang mengambil masa dua minggu untuk dihasilkan iaitu dengan melalui proses pengeringan di bawah matahari dan dibakar itu dijual pada harga AS$60 (RM186) bagi setiap setengah kilogram.

Kopi halau makhluk halus

Posted:

Kopi halau makhluk halus

Kopi halau makhluk halus


SHAMSURI memperkenalkan kaedah baharu dalam melawan masalah gangguan makhluk halus menerusi minuman.


PERCAYA atau tidak, amalan sihir masih lagi menjadi ancaman sebahagian daripada masyarakat Melayu moden pada hari ini. Sihir mempunyai pelbagai matlamat adalah untuk menundukkan musuh dengan cara mudah.

Maka tidak hairanlah pusat perubatan berasaskan Islam semakin banyak ditubuhkan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang terkena sihir.

Sebagai usaha inovatif mengekang gangguan makhluk halus malah pengasas Pusat Perubatan Islam At-Tobibi, Shamsuri Shafei memperkenalkan kaedah merawat gangguan tersebut menerusi kaedah pemakanan moden.

"Oleh kerana meminum kopi menjadi sebahagian daripada rutin kita, saya memperkenalkan kaedah mudah kepada mereka yang menderita akibat gangguan makhluk halus menerusi kopi penawar ruqyah.

"Sebenarnya kopi itu sesuai untuk sesiapa sahaja kerana syaitan dan jin yang berdampingan dengan manusia bukan sahaja hadir kerana 'dihantar' tetapi ada yang berdampingan secara semula jadi terutamanya mereka yang jauh kepada Allah," kata Shamsuri.

Kopi pracampur itu turut mengandungi campuran pemakanan sunah seperti habatussauda, buah zaitun, kismis dan koma-koma yang dibacakan dengan ayat-ayat ruqyah oleh Shamsuri sendiri. Ayat tersebut merupakan bacaan yang dipercayai berperanan dalam menghalau makhluk halus.

"Seperti yang kita sedia maklum makanan sunah merupakan antara makanan yang mudah dihadam dan baik untuk kesihatan. Justeru kopi ini mengandungi nilai-nilai mengikut cara Islam," katanya yang turut memperkenalkan kopi delima ruqyah yang mengandungi bahan ekstrak kurma, madu, delima dan buah tin.

Maklumat lanjut mengenai kopi tersebut hubungi 013-960 9268 atau 019-460 1205.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


45 individu ditahan reman

Posted:

45 individu ditahan reman

45 individu ditahan reman

SEKUMPULAN wanita dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam semalam bagi mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu kes pembelian bayi daripada sindiket yang menjual bayi.


BUKIT MERTAJAM - Polis semalam mendapat kebenaran daripada Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk mereman 45 individu bagi membantu siasatan terhadap sindiket pemerdagangan manusia yang beroperasi dengan menjual bayi dan kanak-kanak selama empat hari hingga Selasa ini.

Jumlah itu termasuk kes terbaharu membabitkan dua orang wanita yang ditahan dalam serbuan berasingan di Subang Jaya dan Cheras, Selangor kelmarin.

Hasil kejayaan itu, polis berjaya menemui seorang lagi bayi lelaki berusia dua bulan, menjadikan jumlah keseluruhan bayi yang diselamatkan ialah 22 orang.

Ketua Polis Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kesemua mereka berusia antara 27 hingga 57 tahun terdiri daripada pekerja biasa dan profesional termasuk jurutera dan pensyarah.

"Mereka ditahan bagi membantu siasatan menurut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 20 tahun serta denda," katanya.

Menurut Abdul Rahim, kejayaan menyelamatkan seorang bayi berusia dua bulan daripada menjadi mangsa sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak kelmarin selepas polis Pulau Pinang menyerbu sebuah rumah pada pukul 1 petang di USJ, Subang Jaya.

Katanya, dalam Ops Pintas Sayang II itu, pihaknya turut menahan seorang wanita berusia 32 tahun dipercayai merupakan pembeli bayi berkenaan.

Menurutnya, susulan penahanan wanita itu, polis menahan seorang lagi wanita di Cheras, Selangor pada hari sama bagi membantu siasatan.

"Sehingga semalam (hari ini), kita berjaya menyelamatkan 22 bayi dan kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa sindiket terbabit dan menahan 45 orang," katanya.

Kelmarin, akhbar melaporkan, 21 bayi dan kanak-kanak diselamatkan di Selangor, Johor, Perak, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Seramai 43 orang termasuk seorang wanita berusia lingkungan 50-an dipercayai dalang sindiket berkenaan ditahan.

Pada 24 Januari lalu, polis Pulau Pinang berjaya membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di negeri ini, Kedah dan Perak apabila menahan 33 individu dan menyelamatkan lapan bayi serta seorang kanak-kanak.

Siasatan awal polis mendapati, bayi dan kanak-kanak itu dijual antara RM18,000 dan RM30,000 berdasarkan fizikal, rupa paras dan jantina, lengkap dengan penyediaan pakej dokumen pendaftaran serta perubatan bayi dan kanak-kanak tersebut. - Bernama

Bakal Kapten MAS dipenjara enam tahun seludup dadah ke Australia

Posted:

Bakal Kapten MAS dipenjara enam tahun seludup dadah ke Australia

Bakal Kapten MAS dipenjara enam tahun seludup dadah ke Australia

MELBOURNE - Seorang rakyat Malaysia yang cuba menyeludup methamphetamine bernilai A$1 juta (RM3.1 juta) melalui Lapangan Terbang Sydney dijatuhi hukuman penjara enam tahun di sini Jumaat lalu.

Thiagu Supramaniam, 32, yang bakal dinaikkan pangkat Kapten pesawat Boeing 747, Malaysia Airlines (MAS) ditahan memiliki 4.49 kilogram dadah jenis itu untuk disampaikan kepada seorang lagi pembawa di Hotel Stamford di Sydney, demikian lapor Daily Telegraph.

Supramaniam ditahan apabila kastam melakukan pemeriksaan rambang di pesawatnya selepas tiba dari Kuala Lumpur pada 10 Januari tahun lalu dan menemui enam pakej dadah itu di dalam bagasinya.

Dia mengaku bersalah menyeludup dadah tersebut.

Dia mengaku kepada pihak penyiasat di negara berkenaan, dia mengimport empat kali pakej serupa ke Australia.

Mahkamah diberitahu, Supramaniam menjadi kaki judi dan membuat perjanjian dengan peminjam wang yang mempunyai kaitan dengan kartel dadah.

Dia mula membuat pertaruhan perlawanan bola sepak semasa Piala Euro 2008 dan berhutang lebih A$15,000 dengan faedah tinggi.

Pada Jumaat, Hakim Ian McClintock di Mahkamah Daerah menjatuhi hukuman penjara enam tahun ke atas Supramaniam. - Bernama

Tolak pembangkang hina rakyat

Posted:

Tolak pembangkang hina rakyat

Tolak pembangkang hina rakyat


NAJIB (tengah) dan Rosmah melambaikan tangan kepada orang ramai dan peniaga ketika menaiki beca semasa melawat Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat perlu sedar dan menolak parti pembangkang yang jelas menghina rakyat yang menerima pelbagai bantuan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri berkata, apa yang sedang dan telah dilakukan kerajaan adalah satu tanggungjawab dan amanah bagi membela rakyat.

"Kalau (pembangkang) tak buat (membantu rakyat), tak apa, (tapi) jangan hina rakyat. Ini nak kata rakyat dapat BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) macam ayam makan dedak, kalau tak tolong, tak apa, tak bela, tak apa, jangan hina rakyat," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan program Jelajah Janji Ditepati peringkat negeri Terengganu di sini semalam yang dihadiri lebih 20,000 rakyat pelbagai lapisan dan kaum.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Najib mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menyamakan usaha murni kerajaan memberi pelbagai bantuan kepada rakyat seolah-olah memberi hampas kelapa, padi dan jerami kepada ayam dan lembu.

Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan BN sedar pembelaan perlu diberikan kepada rakyat selaras dengan keperluan mereka.

"Menerusi BR1M, sebanyak RM500 (setiap isi rumah) itu, kita telah kira dalam sebulan (purata sebanyak) RM41.60, dapat beli sekampit beras 10 kilogram (kg), minyak masak 5kg dan lain-lain.

"Maknanya, nak beli makanan untuk sekeluarga, cukup untuk 12 bulan," katanya.

Kata Najib, kerajaan bukan sahaja memberikan BR1M yang memberi manfaat kepada 4.3 juta orang termasuk golongan muda, malahan bantuan awal persekolahan RM100 bagi pelajar sekolah rendah dan menengah serta baucar buku RM250 untuk setiap pelajar institusi pengajian tinggi.

Beliau berkata, kerajaan juga melaksanakan pelbagai program selaras dengan slogan Janji Ditepati bagi membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Wang Meiyin sapu bersih

Posted:

Wang Meiyin sapu bersih

Wang Meiyin sapu bersih

Oleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR
norzasrudin@kosmo.com.my

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (kiri) bersama pemenang perlumbaan peringkat ketiga, Wang Meiyin (dua dari kiri) selepas majlis penyampaian hadiah semalam.


PELUMBA bukan pilihan, Wang Meiyin dari China melakar kejutan pada peringkat ketiga kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 semalam.

Pada perlumbaan sejauh 140.7 kilometer (km) dari Sungai Siput ke Cameron Highlands, Perak itu, Wang Meiyin menjadi pelumba pertama melepasi garisan penamat.

Kejayaan berkenaan sudah cukup buat pelumba daripada pasukan benua, Heng- xiang Cycling Team (HEN) tersebut melakar sejarah baharu, sekali gus menjadi pelumba pertama menyapu bersih kesemua empat jersi yang dipertandingkan pada kejohanan paling berprestij di Asia itu.

Selain mempertahankan Jersi Putih selaku Pelumba Terbaik Asia yang dimenangi sejak peringkat pertama, dia turut merampas Jersi Kuning (Individu Keseluruhan), Jersi Biru (Raja Pecut) dan Jersi Merah (Raja Bukit).

Sepanjang 18 edisi LTdL sejak mula diperkenalkan pada 1996, belum ada pelumba yang berjaya meraih empat jersi dalam satu peringkat.

"Hari ini (semalam) merupakan hari yang baik buat saya. Strategi asal kami adalah menyerahkan kepada pelumba lain dalam pasukan untuk membuat pemecahan.

"Saya sudah berehat semalam (kelmarin). Apabila saya tengok tidak ada rakan sepasukan yang buat pemecahan, saya mengambil keputusan untuk mengambil peluang ini.

"Ketika perlumbaan berbaki 40km, saya buat pemecahan secara solo. Situasi itu menyebabkan saya kini berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi satu lagi peringkat pendakian di Genting Highlands.

"Saya mahu menang dan akan cuba yang terbaik. Mungkin pelumba daripada pasu- kan profesional lain tidak menjangkakan saya menang. Mereka tidak mengenali saya. Saya bernasib baik.

"Saya akan cuba untuk mempertahankan Jersi Kuning ini kerana saya yakin rakan sepasukan akan membantu saya melakukannya tetapi kami tidak tahu apa yang berlaku esok (hari ini).


PENDAKIAN ke Cameron Highlands semalam memerlukan setiap pelumba mengerah sepenuh tenaga bagi merancang strategi yang betul untuk meraih kemenangan.


"Ini adalah hari yang paling hebat dalam hidup saya," kata pelumba berusia 25 tahun itu.

Dia berjaya merampas Jersi Kuning daripada pelumba Blaco Pro Cycling Team, Theo Bos yang mengunggulinya pada dua peringkat sebelum ini dan menjadi pelumba pertama China memenangi peringkat pada perlumbaan LTdL.

Pada perlumbaan semalam, Wang Meiyin mengambil masa tiga jam 50 minit 01 saat untuk menawan puncak Cameron Highlands iaitu 2:27s meninggalkan pencabar terdekat, Julian Arredondo daripada Team Nippo-De Rosa.

Nathan Haas daripada Garmin Sharp yang ketinggalan 3:11s, menamatkan saingan di tempat ketiga diikuti pelumba Orica-GreenEDGE, Wesley Sulzberger.

Sementara itu, Wang Meiyin memiliki ke- lebihan masing-masing 2:43s dan 3:29s di depan Arredondo serta Nathan dalam perebutan Jersi Kuning.

Bagi Jersi Merah, Wang Meiyin yang mengumpul 44 mata turut meninggalkan Arre- dondo (20 mata) dan Nathan (16 mata).

Dia mengumpul 36 mata untuk mendahului Theo Bos dari Blanco Pro Cycling Team (30 mata) dan pelumba Astana Pro Team, Andrea Guardini (27 mata) dalam perebutan Jersi Biru.

Bagi Jersi Putih pula , Meiyin mencatat masa keseluruhan 10 jam 44:44s untuk menewaskan dua pelumba Astana Pro Team, Alexandr Dyachenko dan Andrey Ka- shechkin.

Para pelumba akan meneruskan perlumbaan peringkat keempat dari Tapah, Perak ke Kapar, Selangor sejauh 168.0km hari ini.

Perlumbaan dijangka laju dan menjadi kegemaran pelumba pecut kerana tidak ada zon pendakian.

Terdapat tiga zon pecut di sepanjang laluan beralun iaitu di Teluk Intan (40.2km), Sungai Besar (89.0km) dan Kuala Selangor (140.8km).

Kelantan ikat Pahang di Kuantan

Posted:

Kelantan ikat Pahang di Kuantan

Kelantan ikat Pahang di Kuantan


FAUZI (depan) menjaringkan gol penyamaan Pahang pada aksi menentang Kelantan di Kuantan malam tadi. Kedua-dua pasukan seri 2-2.


HASRAT Pahang untuk kembali menerajui Liga Super tidak kesampaian apabila sekadar seri 2-2 ketika menentang Kelantan pada aksi kelapan liga di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.

Beraksi pada separuh masa pertama, skuad Tok Gajah menepati ramalan dengan mempamerkan persembahan bertenaga dengan mengasak benteng pertahanan skuad kendalian Bojan Hodak, namun tetap buntu mencari gol pembukaan.

Bagaimanapun, The Red Warriors berjaya menghukum keghairahan pasukan bimbingan Dollah Salleh itu dalam usaha mencari jaringan pembukaan apabila penyerang Kelantan, Mohd. Norfar- han Muhammad meledak gol pertama perlawanan pada minit ke- 10.

Terserentak dengan jaringan tersebut, Pahang kembali menggandakan asakan dan hasilnya, pemain sayap lincah mereka, Mohd. Hafiz Kamal menyamakan kedudukan sebelum berakhir separuh masa pertama.

Bersambung pada babak kedua perlawanan, Pahang dikejutkan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penjaring gol penyamaan, Hafiz dilayang kad merah oleh pengadil.

Ia gara-gara penjaga garisan perlawanan dapat mengesan tindakan Hafiz yang memijak pemain Kelantan, Mohd. Zamri Ramli ketika insiden perebutan bola pada minit ke-63.

The Red Warriors mengambil kesempatan itu dan berjaya mendahului perlawanan selepas penyerang import mereka, Keita Mandjou meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-84.

Kelebihan The Red Warriors itu hanya bertahan seketika apabila Pahang dihadiahkan sepakan penalti pada minit-minit terakhir perlawanan dan peledak berbisa Tok Gajah, Mohd. Fauzi Roslan mudah menyempurnakannya untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, Terengganu mengejutkan pendahulu liga, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila meraih kemenangan 3-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.

Skuad kendalian E. Elavarasan yang beraksi tanpa empat tonggak utama, membuka tirai jaringan melalui rembatan kencang pemain sayap kiri, Mohd. Khairul Ram- dhan pada minit ke-28.

Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad kendalian B. Sathianathan terus mencari gol penyamaan pada minit ke-74 apabila penyerang berbisa ATM, Marlon Alex James berjaya menyamakan kedudukan.

Terengganu yang turun tanpa kelibat 'ayam tambatan' mereka, Jean-Emmanuel Effa Owona, menyerahkan tugas sebagai penyerang utama kepada Mohd. Ashaari Samsuddin dan dia ternyata tidak menghampakan penyokong setia mereka dengan menyumbat gol mudah pada minit ke-80 menewaskan penjaga gawang ATM, Mohd. Farizal Harun.

Bagaimanapun, jaringan tersebut tidak kekal lama apabila D. Christie Jayaselan menyamakan kedudukan pada minit ke-89 hasil keadaan kelam kabut di depan gawang Terengganu.

Namun, Mohd. Ashaari menjadi pemusnah dengan memastikan skuad Terengganu mengutip tiga mata penuh pada perlawanan di laman sendiri itu menerusi jaringan pada minit-minit terakhir.

Jangan terlalu ekstrem - Azzuddin

Posted:

Jangan terlalu ekstrem - Azzuddin

Jangan terlalu ekstrem - Azzuddin

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengingatkan penyokong-penyokong bola sepak tempatan supaya tidak bertindak mengikut perasaan ketika memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad () memberitahu, perasaan yang terlalu 'fanatik' dilihat mampu membunuh semangat kesukanan dalam dunia bola sepak tempatan.

Azzuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden penyokong-penyokong fanatik Johor Darul Takzim (Johor DT) yang mengejar seorang anggota polis bantuan selepas merampas kain rentang yang dipasang ketika aksi skuad kendalian Fandi Ahmad menentang Felda United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya petang kelmarin.

Ia berpunca daripada tindakan polis bantuan tersebut menurunkan kain rentang yang tertera 'Kami Mahu Pengadil Bijaksana' yang mana ia dikatakan menjadi punca kemarahan penyokong-penyokong setia Harimau Selatan sebelum bertindak sedemikian.

Tindakan itu dilihat sebagai tanda protes kepada FAM selain tanda sokongan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim yang sebelum ini mempertikaikan mutu pengadilan Liga M yang semakin lemah.

Mengulas lanjut, Azzuddin mengakui kesal dengan perbuatan penyokong-penyokong Johor DT yang bertindak sedemikian dengan memasang kain rentang yang berbentuk hasutan.

Jelasnya, FAM menerima laporan penuh daripada pegawai-pegawai pertandingan yang bertugas pada perlawanan tersebut.

"PBNJ tidak akan terlepas daripada tindakan tatatertib sekiranya didapati bersalah.

"Saya berharap mereka (penyokong-penyokong) jangan terlalu taksub dan ghairah atau ekstrem ketika memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan masing-masing.

"Tidak salah untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan kesayangan anda tetapi sikap negatif ini akan membunuh semangat kesukanan selain memberikan imej buruk dalam liga tempatan.

"Kini, perkara ini akan dirujuk kepada Ahli Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


83 terbunuh di Damsyik

Posted:

83 terbunuh di Damsyik

83 terbunuh di Damsyik

SEJUMLAH kenderaan musnah akibat letupan bom kereta di Damsyik kelmarin.


DAMSYIK – Satu siri letupan bom di seluruh Damsyik menyebabkan 83 orang terbunuh, kata Kumpulan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi semalam.

Angka kematian itu termasuk 61 orang yang terbunuh akibat letupan bom kereta dekat pejabat Parti Baath di sini kelmarin.

Letupan itu dilakukan oleh seorang pengebom berani mati.

Beberapa agensi berita Rusia menyatakan, letupan tersebut menyebabkan tingkap Kedutaan Rusia di sini berkecai tetapi tiada kakitangan yang cedera.

Tiada pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian itu.

Kementerian Luar Syria mendakwa letupan itu dilakukan oleh 'kumpulan pengganas' yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda yang menerima bantuan kewangan dan logistik dari luar negara.

Pihak penentang rejim Presiden Bashar Al-Assad turut mengutuk kejadian tersebut.

Kumpulan penentang itu, Majlis Kebangsaan Syria menyatakan, sebarang perbuatan yang menjadikan orang awam sebagai sasaran perlu dikutuk.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan, 70,000 orang terbunuh

dalam konflik yang berlaku sejak Mac 2011.

Pertempuran di negara ini bermula selepas rejim Bashar melancarkan operasi memerangi kumpulan penunjuk perasaan yang menentang pemerintahan Presiden Syria itu. – Agensi

Pemandu kereta Maserati mati

Posted:

Pemandu kereta Maserati mati

Pemandu kereta Maserati mati


KERETA sport Maserati remuk selepas terlibat dalam adegan
kejar-mengejar di Las Vegas kelmarin.


LOS ANGELES - Seramai tiga orang terbunuh dalam satu insiden pelanggaran kereta dan tembak-menembak di Las Vegas Strip kelmarin, kata polis.

Seorang pemandu kereta sport Maserati terbunuh selepas dia ditembak dalam kejadian tersebut.

Polis turut memberi amaran bahawa suspek penembak yang dikehendaki itu masih bebas dan bersenjata.

Insiden itu bermula dengan satu pertengkaran di sebuah kawasan tempat meletak kereta di Hotel dan Resort Aria.

Selepas pertemgkaran itu, dua buah kereta mewah, sebuah Range Rover dan Maserati kemudian dipecut laju melalui jalan raya yang menuju ke arah deretan kasino di sini.

Pada pukul 4.30 pagi waktu tempatan, kedua-dua kenderaan tersebut kemudian memecut ke arah utara Las Vegas.

Penumpang Range Rover itu turut melepaskan tembakan ke arah kereta Maserati menyebabkan pemandunya mati.

Kereta Maserati itu merempuh sebuah teksi yang kemudian terbakar.

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan beberapa buah kereta lain turut terkena tembakan.

Kereta Maserati itu tersadai di tepi jalan dalam keadaan remuk.

Dua orang di dalam teksi tersebut mati manakala empat orang lagi cedera.

Polis kini mencari kenderaan Range Rover itu.

Beberapa saksi menganggap kejadian tersebut seperti dalam filem Hollywood.

Jurucakap Polis Metropolitan Las Vegas, Jose, Hernandez berkata, motif kejadian masih belum diketahui. - Agensi

Bieber muncul dengan memakai sayap

Posted:

Bieber muncul dengan memakai sayap

Bieber muncul dengan memakai sayap


AKSI Bieber semasa dia menyanyi pada
konsertnya.


LONDON - Bintang pop remaja, Justin Bieber muncul dengan sepasang sayap gergasi semasa dia menjayakan konsert di sini, lapor akhbar dalam talian MailOnline semalam.

Bieber memakai sayap berwarna perak di bahagian belakang badannya.

Dia yang memakai pakaian berwarna putih dan berkaca mata hitam turun dari bumbung Arena Manchester, Manchester dan mendarat di pentas.

Penyanyi itu turun dengan beberapa tali diikat pada baju dan sayapnya.

Konsert jelajah Believe oleh penyanyi berusia 18 tahun itu berlangsung di Manchester di sini malam kelmarin.

Penyanyi kelahiran Kanada itu sebelum ini pernah memakai sayap tersebut dalam beberapa konsert jelajahnya di Amerika Syarikat.

Semasa berada di Britain, dia turut mencetuskan kontroversi apabila dilihat berparti dengan sejumlah gadis misteri.

Bekas kekasih penyanyi dan pelakon Selena Gomez, 20, itu pernah ditemani seorang penyanyi wanita, Ella Paige, 17, semasa menyaksikan persembahan penyanyi Justin Timberlake di sini. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Mohd Adiq Husainie pertama tiba di Cameron

Posted:

Mohd Adiq Husainie pertama tiba di Cameron

Mohd Adiq Husainie pertama tiba di Cameron

23/02/2013 8:02pm

CAMERON HIGHLANDS - Status sebagai pelumba domestik tidak menghalang Mohammed Adiq Husainie Othman menjadi pelumba pertama Malaysia tiba di Cameron Highlands pada perlumbaan peringkat ketiga jelajah Le Tour de Langkawi (LTDdL) 2013, di sini hari ini.

Pelumba berusia 22 tahun yang mewakili pasukan Champion System Pro Cycling itu menamatkan saingan pendakian dari Sungai Siput, Perak ke Cameron Highlands sejauh 140.7km itu dengan menduduki tempat ke-33.

"Pada 15km terakhir saya cuba sedaya upaya untuk mencari kedudukan terbaik sebab jurulatih memang mensasarkan untuk pasukan kami mendapat kedudukan yang baik dalam peringkat ini.

"Syukur kerana tiga pelumba pasukan kami berada dalam kelompok hadapan. Saya menjadi pelumba ketiga pasukan yang tiba," katanya. - BERNAMA

Tiga maut pacuan empat roda langgar pokok

Posted:

Tiga maut pacuan empat roda langgar pokok

Tiga maut pacuan empat roda langgar pokok

23/02/2013 7:45pm

JOHOR BAHARU - Tiga termasuk seorang wanita maut apabila kereta pacuan empat roda Mitsubishi Triton yang dinaiki mereka melanggar pokok di pembahagi jalan di Km24, Lebuhraya Pasir Gudang, dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, dalam kejadian 3 pagi itu, kesemua mangsa Veronica Fernendez, 22, K.Thanasegaran, 34, dan K. Dinesh Kumar, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

"Pemandu kenderaan itu dipercayai gagal mengawal kenderaan hingga terbabas dan melanggar pokok.

"Kejadian itu menyebabkan pemandu dan penumpang di tempat duduk depan tercampak keluar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Roslan, akibat pelanggaran itu Veronica yang berada di tempat duduk belakang tersepit di tempatnya dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan bomba.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) sebelum dituntut anggota keluarga masing-masing.

Orang ramai menyaksikan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Seorang lagi bayi diselamatkan

Posted:

Seorang lagi bayi diselamatkan

Seorang lagi bayi diselamatkan

23/02/2013 6:51pm

BUKIT MERTAJAM - Polis Pulau Pinang menyerbu sebuah rumah di USJ, Subang Jaya, Selangor semalam dan menyelamatkan seorang lagi bayi lelaki berusia dua bulan yang menjadi mangsa sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dalam Ops Pintas Sayang II itu, pihaknya turut menahan seorang wanita berusia 32 tahun yang dipercayai merupakan pembeli bayi berkenaan.

"Hasil maklumat awam dan risikan yang kita jalankan, sepasukan pegawai dan anggota kita telah memeriksa rumah berkenaan pada pukul 1 petang semalam dan berjaya menyelamatkan seorang lagi bayi serta menahan seorang wanita," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan penahanan wanita itu, polis menahan seorang lagi wanita di Cheras, Selangor pada hari yang sama, bagi membantu siasatan berhubung sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak.

"Sehingga semalam, kita berjaya menyelamatkan 22 orang bayi dan kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa sindiket terbabit dan menahan 45 orang dalam Ops Pintas Sayang II," katanya.

- BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


John McClane kembali!

Posted:

John McClane kembali!

John McClane kembali!

AKTOR yang dilihat masih segak pada usia 58 tahun, Bruce Willis sememangnya merupakan antara pelakon gred A terunggul di Hollywood.

Pengaruh dan aura Willis sebagai 'pelakon filem pecah panggung' mulai tercetus sudah tentu selepas dia muncul sebagai John McClane menerusi filem Die Hard pada tahun 1988.

Filem yang dihasilkan dengan kos cuma AS$28 juta (RM90 juta) itu kemudiannya meraih kutipan pecah panggung mencecah RM451 juta.

Selepas itu berturut-turut muncul sekuelnya iaitu Die Hard 2: Die Harder pada tahun 1990 yang mengumpul kutipan sebanyak RM768 juta sebelum diikuti Die Hard: With A Vengeance (1995/RM1.1 bilion), Live Free Or Die Hard (2007/RM1.2 bilion) dan terbaharu pada tahun ini, A Good Day To Die Hard yang sudah meraih kutipan mencecah RM80 juta pada minggu pertama tayangannya baru-baru ini.

Tidak pernah letih berulang kali membawakan watak John McClane, kata Willis, Die Hard cukup dekat di hatinya dan dia tidak kisah andai khidmatnya diperlukan untuk siri Die Hard yang keenam.

"Filem Die Hard yang menaikkan nama saya dan saya cukup sayangkan filem ini. Mungkin ada siri yang keenam, tunggu dan lihat sahaja," katanya.

Watak John McClane yang merupakan seorang suami dan bapa penyayang kepada anak-anaknya dilihat cukup hidup dilakonkan Willis. Bagaimanapun, Willis menegaskan dirinya bukan John McClane.

"Sebagai bapa dalam dunia realiti cukup senang untuk saya menghayati perasaan John McClane setiap kali keluarganya diancam bahaya.

"Namun, saya hanya aktor bukannya John McClane. Mustahil untuk saya menyelamatkan dunia sebagaimana aksi John McClane di layar perak yang menjadi hero kepada semua orang.

"Saya hanyalah seorang lelaki tua yang berusia 58 tahun dan cuba menghabiskan sisa-sisa kehidupan dengan melakukan perkara yang hebat serta bermakna buat semua orang yang menyayangi saya," balasnya.

Tambah Willis, sepanjang berlakon dalam filem Die Hard, sekuel filem kelima yang menggabungkannya dengan aktor muda, Jai Courtney sebagai anak lelakinya memecah rekod sebagai filem lakonannya paling banyak memusnahkan kereta.

"Memang cukup seronok berlakon kembali dalam siri Die Hard kerana filem ini membenarkan saya memandu di atas bumbung kereta lain dan memusnah kereta tanpa risau tentang kosnya," luah Willis sambil ketawa.

Lonjakan kerjaya

BUKAN sebarang tua. Willis membuktikan dirinya masih memiliki aura pelakon filem pecah panggung menerusi filem terbaharunya, A Good Day To Die Hard.


Sebelum meraih pendapatan jutaan ringgit, Willis terlebih dulu pernah bekerja di kilang sebagai pengawal keselamatan sebaik sahaja tamat persekolahan.

Bagaimanapun bidang lakonan yang mula diceburi sejak di sekolah tinggi menjadi minat utamanya sehingga dia mendaftar sebagai pelajar lakonan di Universiti Mont State di New Jersey.

"Sebenarnya pada zaman sekolah tinggi, saya telah mula aktif dalam bidang teater tetapi saya dapati belajar di universiti agak membosankan, jadi saya berhenti.

"Saya bawa diri ke kota New York dengan harapan untuk menjadi pelakon tetapi untuk berjaya dalam satu uji bakat bukan mudah. Selepas berlakon dalam teater Heaven and Earth pada tahun 1977, barulah kerjaya saya mula menampakkan hasilnya," katanya.

Tuah Willis bermula pada tahun 1980 apabila berjaya mendapatkan watak dalam filem, The First Deadly Sin, dan selepas itu dia mula terlibat dengan lebih banyak filem dan drama bersiri di televisyen.

Walaupun berjaya dengan tiga sekuel filem Die Hard, kerjaya Willis merosot pada tahun 1990-an kerana tidak ada filem lakonannya selepas itu yang berjaya mencecah kutipan pecah panggung.

Namun, kerjaya Willis diselamatkan oleh filem arahan Michael Bay, Armageddon (1998) yang mengumpul kutipan pecah pangggung sebanyak RM1.8 bilion.

"Saya rasa mempunyai kawalan terhadap perjalanan kerjaya saya tetapi kadangkala apa yang diharapkan tidak menjadi. Justeru, saya bersyukur dengan apa yang dikecapi hari ini.

"Seorang pelakon pernah bercakap kepada saya, pergi lakonkan watak yang paling sukar di layar lebar, kemudian barulah boleh berlakon watak yang lebih kecil hanya untuk berseronok. Sekarang saya sedang berseronok," ujarnya.

Aktor yang telah memenangi pelbagai anugerah termasuk Pelakon Lelaki Pilihan dalam anugerah People's Choice Awards ini mengakui akan tiba masanya dia meninggalkan dunia lakonan.

"Memang diakui, saya harus berhenti berlakon pada satu tahap kerana semua orang akan mati. Saya tidak terkecuali. Selagi saya sihat, saya akan memaksa diri ini untuk bekerja daripada fikir diri semakin tua.

"Sebelum sampai waktu itu, saya harus lakukan yang terbaik untuk peminat dan keluarga. Saya inginkan sesuatu yang lebih besar daripada apa yang kerjakan hari ini. Apa yang pasti saya tidak akan menceburi bidang politik kerana politik tidak pernah menjadi pilihan saya," tuturnya.

Suami dan bapa penyayang

Turun dan naik kerjayanya sama seperti kehidupan peribadinya. Selepas berkahwin selama 13 tahun dengan aktres Demi Moore dan dikurniakan tiga orang anak perempuan, Rumer, 25, Scout, 22, dan Tallulah. 20, mereka bercerai pada tahun 2000.

Biarpun sudah bercerai, Willis dan bekas isterinya masih berkawan baik demi anak-anak mereka. Bahkan, Willis turut menghadiri perkahwinan Moore bersama Ashton Kutcher.

KEHIDUPAN Willis kini banyak berubah selepas mengahwini Emma.


Tidak lama selepas itu Willis bercinta dengan aktres Brooke Burns pada tahun 2004, bagaimanapun hubungan mereka hanya bertahan selama 10 bulan sebelum berpisah.

Masih percaya kepada perkahwinan, Willis akhirnya berkahwin dengan model kelahiran Britain, Emma Heming yang 24 tahun lebih muda daripadanya pada 21 Mac, 2009.

Hanya tiga orang anak perempuannya, Moore dan Kutcher yang dijemput hadir pada majlis perkahwinannya itu. Pada April tahun lalu, isterinya telah melahirkan anak perempuan yang diberi nama Mabel Ray Willis.

Sejak kelahiran Mabel Ray, Willis dilihat banyak berubah. Sebelum ini dia agak baran dan tidak mengambil peduli sesi temu ramah bersama media tetapi kini, dia cukup berbeza.

"Dahulu saya akui berlagak pandai dan sukar untuk bersama keluarga walaupun saya cukup sayangkan anak-anak saya. Sekarang saya lebih banyak tersenyum apabila teringatkan Mabel, ya saya menjadi lelaki yang lebih sopan (ketawa).

"Salah satu perkara yang memudahkan saya sebagai bapa adalah saya kekalkan dengan bentuk tubuh dan cergas supaya saya boleh berlari serta melompat ketika bermain dengan anak kecil saya. Jika sibuk, saya akan bangun seawal mungkin untuk menatap wajahnya.

"Isteri saya Emma adalah seorang ibu dan isteri yang baik. Di rumah, dia bos dan dia lebih bijak daripada saya. Pendapatnya paling penting untuk saya dalam segala hal. Saya amat cintakan dia," luahnya.

Sibuk dengan keluarga baharunya tidak bermakna Willis melupakan tiga orang anak perempuannya ketika bersama dengan Moore.

"Ada suatu ketika, saya tidak tahu apa yang akan jadi pada anak saya apabila mereka dewasa. Kini, saya berbangga mereka menjadi wanita yang mempunyai nilai moral yang tinggi dan etika.

"Mereka baik, sopan dan bijak. Saya dan Moore besarkan mereka dengan baik sekali. Jika diberi pilihan, saya lebih suka menjadi seorang bapa daripada pelakon," ujarnya yang bersyukur berpeluang menimang anak lagi pada usia setengah abad.

Sasaran berbeza Zivilia

Posted:

Sasaran berbeza Zivilia

Sasaran berbeza Zivilia

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


MENERUSKAN kesinambungan lagu hit mereka, Ashiteru, Zivilia Band kini muncul dengan single terbaharu, Ashiteru 2.


MUNGKIN ramai lagi yang kurang mengenali nama Zivilia Band ini. Namun, jika disebut lagu Aishiteru, pasti ramai yang tahu mengenai lagu hit Indonesia itu.

Justeru, kemunculan Zivilia Band pada sidang akhbar di Hard Rock Café, Kuala Lumpur baru-baru ini merupakan suatu pendedahan yang lebih meluas buat tiga anak muda yang menganggotai kumpulan itu iaitu Zulkifli, Idham dan Obot.

Meneruskan kesinambungan Aishiteru, Zivilia Band kini muncul dengan single kedua mereka, Aishiteru 2.

Ujar vokalis dan pencipta kedua-dua lagu Aishiteru dan Aishiteru 2, Zulklifli atau Zul: "Jika Aishiteru mengisahkan tentang rindu kepada kekasih kerana berada jauh di negara lain, Aishiteru 2 pula berkisar tentang pertemuan namun cinta yang cuba dipertahankan terkandas akhirnya.

"Saya akui, ia ditulis berdasarkan pengalaman hidup saya sendiri. Sebenarnya lagu Aishiteru merupakan sebuah trilogi. Ini kerana akan ada satu lagu kesinambungannya iaitu Aishteru 3 dan rasanya itu merupakan yang terakhir," tutur Zul.

Apabila ditebak persoalan mengapa dia masih menggunakan judul yang sama untuk ketiga-tiga single tersebut, ujarnya, ia adalah kerana sememangnya sudah menjadi impian dirinya selama ini mahu menggunakan judul yang sama untuk banyak lagu.

Selain itu, bicara Zul, hakikatnya, menggunakan judul yang sama bagi beberapa lagu berlainan adalah lebih sukar berband menggunakan judul yang berbeza.

"Walaupun pernah dikritik, Zivilia Band tidak ada idea banyak untuk judul lagu, namun hakikatnya itulah yang menjadi cabaran buat band ini," kata Zul lagi.

Zul pernah ditipu

ZIVILIA BAND terdiri daripada Obot, Zul dan Idham.


Dalam pada itu dedah Zul, sebelum bersama Zivilia Band di bawah naungan Nagaswara Music Corp. pada tahun 2010, single Aishiteru sudah berkemandang menerusi corong-corong radio tempatan Indonesia.

"Saya pernah merakam single Aishiteru pada tahun 2008 sebelum wujudnya kumpulan Zivilia ini.

"Setelah merakamnya di studio, saya perdengarkan kepada teman-teman saya. Tidak dinafikan, ternyata lagu ini dapat diterima ramai.

"Justeru, mereka menyebarkannya sehinggalah ia diputarkan di corong-corong radio. Namun, ketika itu pendengar tidak mengenali kami dan memberikan pelbagai judul untuk lagu ini," ceritanya yang turut merakam lagu ini sebanyak dua kali sebelum ia meraih populariti bermula pada tahun 2009.

Katanya lagi, dia pernah ditipu oleh individu yang tidak bertanggungjawab kononnya ingin membantunya untuk bernaung di bawah label syarikat rakaman terkemuka.

"Mereka mahu peruntukan sejumlah wang kononnya untuk membuat perbelanjaan bagi mengenali orang kuat syarikat label serta penerbit terkenal.

"Namun, ternyata saya ditipu dan saya tidak mendapat apa-apa pulangan. Tetapi, setelah lagu ini melonjak dan dikenali, saya juga mula berasa optimis bahawa saya boleh menemui kejayaan dengan single tersebut," cerita Zul mengimbau kenangan ketika ingin memulakan karier sebagai sebuah band.

Mila tertekan album tiada sambutan

Posted:

Mila tertekan album tiada sambutan

Mila tertekan album tiada sambutan

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

MILA lega apabila lagu terbaharunya iaitu duet bersama Nubhan yang berjudul, Cinta Kasih kini semakin kerap diputarkan menerusi corong-corong radio.


DUA tahun berturut-turut Mila Jirin terlibat dalam penganjuran Karnival WOW!, Putrajaya, malah penyanyi kecil molek itu turut membuat persembahan pada kedua-dua konsert karnival tersebut. Namun pada tahun ini, Mila tidak lagi membuat persembahan dan hanya bertindak sebagai penganjur acara tahunan yang diadakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan itu.

Tidak kecewa, sebaliknya Mila faham pihak pengurusan juga mahukan kelainan dan ada senarai artis baharu untuk mengadakan persembahan pada konsert Karnival WOW! yang bakal berlangsung pada 28 Februari hingga 3 Mac ini.

"Dua tahun lalu syarikat Mila iaitu Luvmila Corporation Sdn. Bhd. (LCSB) berpeluang untuk membantu menjayakan Karnival WOW Putrajaya. Mila juga mengadakan persembahan pada konsert karnival tersebut. Tahun ini, bezanya, Mila tidak buat persembahan tetapi hanya terlibat dengan kerja-kerja di belakang tabir sahaja.

"Mila faham, mereka juga ada senarai artis lain untuk konsert itu nanti," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Karnival WOW Putrajaya yang berlangsung di sana, baru-baru ini.

Antara artis yang bakal mengadakan persembahan pada malam konsert itu nanti ialah Aizat, Azlan & The Typewriter, Najwa Latif, Mas Idayu, Datuk M. Daud Kilau, Datuk Jeffry Din dan Reshmonu.

Mengulas mengenai karnival anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) itu, kata Mila, tahun ini banyak penambahbaikan dari segi acara dan program untuk setiap lapisan masyarakat.

Menggunakan tema Undiscovered Jewel, ujar Mila, pelbagai acara menarik bakal disajikan kepada para pengunjung seperti pertunjukan bunga api, peluang menaiki helikopter, menyertai sukaneka, cabutan bertuah, pertunjukkan silap mata, tarian akrobatik Cina, konsert mini untuk Gaza dan bermacam-macam lagi.

Pengisian Karnival WOW Putrajaya mempunyai enam komponen utama iaitu pameran di Pavilion PPj, gerai pameran agensi kerajaan serta gerai jualan dan aktiviti syarikat korporat.

Album tak laku

Mengulas mengenai kerjaya nyanyiannya, akui Mila, dia sedar dirinya kurang berada di media-media cetak dan elektronik malah lagu-lagunya juga tidak diputarkan di corong-corong radio.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved