Selasa, 29 Januari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Keinsafan pesakit kepuasan pekerja

Posted:

Keinsafan pesakit kepuasan pekerja

Keinsafan pesakit kepuasan pekerja

HAFIZ FARHAN menyuapkan makanan kepada seorang penghuni yang sudah hilang upaya.


TUGAS untuk mengurus dan menjaga pesakit HIV (Human Immunodeficiency Virus) mungkin membawa konotasi negatif bagi sesetengah pihak, namun tidak buat Mohamad Hafiz Aizad Mohd. Khairom, yang sanggup menghulur bakti kepada mereka.

Pada mulanya, Hafiz sekadar mengikut rakan yang bekerja di Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah dengan niat untuk membantu. Lama-kelamaan dia seronok melakukan tugas tersebut kerana dapat menolong insan yang memerlukan.

Akhirnya, dia terus melahirkan hasrat untuk berkhidmat secara tetap di rumah perlindungan tersebut dan kini sudah setahun Hafiz bergelar kakitangan di sana.

Menurut pemuda berusia 25 tahun itu, ketika minggu pertama bekerja, hatinya asyik memikirkan tentang risiko jangkitan virus HIV yang dihidapi pesakit. Justeru, dia mengakui kebimbangan terhadap perkara itu menjejaskan sedikit tumpuan ketika bekerja.

"Untuk menyedapkan hati, saya mengambil inisiatif membuat penyelidikan di internet. Selain itu, saya juga rajin bertanya pada doktor dan jururawat serta mereka yang pernah terlibat dalam penjagaan pesakit HIV.

"Hasilnya, stigma buruk saya terhadap jangkitan virus HIV terus hilang. Cuma, pada awalnya keluarga tidak memberi galakan untuk bekerja di sini kerana risau dengan keselamatan diri. Selepas diterangkan secara terperinci, mereka dapat menerimanya namun meminta saya lebih berhati-hati dengan tugas yang dilakukan," ujar Hafiz yang sebelum ini pernah bekerja dalam bidang katering dan pertanian fertigasi.

Antara tanggungjawab Hafiz termasuklah memandikan pesakit yang uzur, membersihkan luka-luka dan membawa pesakit ke hospital untuk mendapatkan rawatan mengikut tarikh temujanji.

Hilang semangat

Tambahnya, berdepan dengan pesakit yang sudah hilang semangat untuk hidup merupakan antara cabaran besar yang dihadapi. Ini kerana, mereka seolah-olah enggan meneruskan kehidupan dan berputus asa dengan nasib diri.

"Apabila keadaan ini berlaku, kebanyakan pesakit akan bersikap sambil lewa terhadap kesihatan diri seperti tidak mahu makan ubat, enggan mengikuti program motivasi yang diadakan dan bertindak mengasingkan diri.

"Jadi, kami perlu mencari jalan supaya mereka berfikiran positif meskipun sudah dijangkiti virus berbahaya itu termasuk menggunakan pendekatan psikologi," terang Hafiz yang berasal dari Raub, Pahang.


HAFIZ turut membantu memandikan penghuni yang sudah uzur dan berkerusi roda.


Perkara itu diakui oleh Rohaya Mad Dan, 53, yang sudah tiga tahun bekerja di Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah. Katanya, pelbagai kerenah pesakit boleh dilihat terutama mereka yang sudah hilang arah hidup.

"Lantaran itu, mereka perlu dilayan baik dan dipujuk seperti anak atau saudara sendiri. Memang adakalanya perangai pesakit HIV ini boleh membuatkan kita geram, tetapi hakikatnya apabila berpeluang menjaga mereka ia mendatangkan keinsafan dalam diri.

"Ia juga membentuk kita agar sentiasa bermuhasabah untuk menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara," tutur Rohaya yang sering menyertai badan bukan kerajaan (NGO) dalam kerja-kerja kebajikan seperti Rumah Perlindungan Wanita, Baitul Fiqh.

Bersara awal pada usia 30-an ketika bertugas di Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Rohaya boleh dijadikan contoh buat ramai wanita.

Kesanggupan menguruskan kehidupan pesakit HIV di rumah tersebut tidak harus dipandang remeh. Sebaliknya, wanita itu sudah dianggap seperti ibu oleh kebanyakan pesakit muda yang ditempatkan di rumah berkenaan.

Jelas Rohaya, setiap hari dia akan membuat air, menyediakan sarapan, mengemas katil dan peralatan serta menyiapkan dos pengambilan ubat untuk pesakit HIV.

"Sebelum ini, saya memang tiada ilmu langsung tentang HIV, malah saya juga menganggap pesakit HIV sebagai berbahaya untuk didekati kerana takut berjangkit. Namun, apabila mengikuti kursus di hospital tentang kaedah penjagaan pesakit secara khusus, barulah saya celik mengenainya," kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Menyelusuri sejarah penubuhannya, Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah mula beroperasi pada bulan Mac 2009 di Puchong. Ia diasaskan oleh pendakwah muda, Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin dalam usaha menyelamatkan pesakit HIV Muslim yang ditempatkan di sebuah gereja di Batu Arang, Rawang, Selangor.

Pada awalnya, rumah ini hanya menjaga lapan hingga 10 pesakit namun jumlahnya semakin bertambah dari semasa ke semasa. Hingga kini sepanjang tiga tahun beroperasi, lebih 150 pesakit HIV telah mendapat perlindungan di Darul Ukhwah.

Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah bernaung di bawah Yayasan Al-Ijabah, sebuah badan yang memberi tumpuan terhadap aktiviti kebajikan dalam masyarakat terutama anak-anak yatim.

Bagi Hafiz Farhan Mohd. Nor Izam, 18, yang baru menyertai keluarga Darul Ukhwah awal Januari lalu, niatnya adalah untuk mencari pengalaman di samping berbakti kepada mereka.


SETIAP hari Rohaya perlu memastikan pesakit HIV mengambil ubat mengikut waktu yang ditetapkan.


"Sebelum ini saya sering mengikuti kuliah Ustaz Amin, jadi saya mahu menyelami kehidupan pesakit HIV dari dekat. Diharap dengan cara ini, ia mampu memberi kegembiraan kepada penghuni kerana masih ada insan yang sanggup membantu di saat mereka disisihkan masyarakat," ungkap Hafiz Farhan penuh makna.

Dalam pada itu, sebaik selesai membentangkan sejadah, Ruslizam Md. Harun terus mengumandangkan azan menandakan masuknya waktu solat fardu Asar. Gemersik suara lelaki berusia 41 tahun itu pantas mengusik tangkai hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Alunan suara yang mendayu-dayu itu ternyata membangkitkan rasa insaf dalam diri sekali gus hampir terlupa bahawa dia merupakan salah seorang pesakit HIV.

Di satu sudut lain, kelihatan beberapa pesakit yang mendiami Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah telah bersedia untuk menunaikan solat Asar secara berjemaah. Masing-masing lengkap memakai baju Melayu, berkain sarung dan kopiah di kepala. Namun, ada juga yang sekadar menyarung baju pagoda.

Ujian Allah

Usai mengerjakan solat, segelintir daripada mereka meneruskan aktiviti membaca al-Quran atau buku-buku bercorak keagamaan yang memenuhi rak di dalam rumah tersebut.

Situasi tenang dan mendamaikan itu ternyata memberi satu kepuasan yang sukar diungkap dengan kata-kata bagi Azman Khalid, 24, salah seorang kakitangan merangkap imam di rumah perlindungan tersebut.

Menurut Azman yang mula bekerja di Darul Ukhwah sejak Mac 2012, sewaktu kali pertama melihat penghuni rumah tersebut, perkara yang difikirkan ialah takut kenikmatan yang dimilikinya akan ditarik oleh Allah.

"Perasaan itulah yang memberi kekuatan kepada saya untuk membantu mereka yang diuji Allah dengan dugaan sedemikian. Bagi saya, pesakit HIV juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan.

"Sehubungan itu, dengan menjaga kebajikan mereka di rumah ini mungkin dapat membawa mereka kembali bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah," luah Azman yang sanggup berhenti kerja sebagai juruteknik semata-mata untuk menguruskan pesakit HIV di Darul Ukhwah.

Tambah Azman, selain menjadi imam, dia turut mengajar pesakit mengaji mengikut kepandaian masing-masing. Apa yang membuatkan dia terharu adalah kesungguhan pesakit yang buta al-Quran. Ada yang sanggup belajar membaca Iqra' seperti anak-anak kecil.

"Apabila melihat mereka benar-benar mahu mendalami agama yang selama ini ditinggalkan, hati terasa sebak. Mudah-mudahan Allah mengampuni segala dosa dan taubat mereka diterima," tutur Azman.

Nekad Ustaz Amin bantu saudara seagama

Posted:

Nekad Ustaz Amin bantu saudara seagama

Nekad Ustaz Amin bantu saudara seagama


USAHA murni Muhammad dalam menyelamatkan akidah pesakit HIV yang berlindung di gereja perlu dicontohi masyarakat yang sering meminggirkan golongan ini.


PENUBUHAN Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah terbina hasil daripada niat murni seorang pendakwah muda untuk menyelamatkan akidah saudara seagama yang disisihkan oleh masyarakat.

Semuanya bermula apabila Muhammad Abdullah, 36, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin diundang untuk memberi ceramah agama kepada kira-kira 30 pesakit HIV beragama Islam yang menumpang teduh di sebuah gereja di Batu Arang, Rawang, Selangor.

Merenung sayu setiap wajah yang berada di hadapannya, Muhammad mengakui lidahnya kelu kerana sebak memikirkan nasib mereka.

Menurut Muhammad, dalam tempoh dua minit bercakap beliau merasakan seperti 20 jam. Sebagai pendakwah yang mengajak manusia ke arah kebaikan, saya rasa gagal kerana membiarkan golongan tersebut dalam keadaan sedemikian rupa.

"Bayangkan mereka yang berada dalam kesakitan, apabila pandang ke depan nampak Jesus, toleh ke kiri nampak salib, pusing ke kanan, nampak Virgin Mary. Kesimpulannya, semua yang dilihat menjauhkan mereka daripada mengingati Allah.

"Dari situ saya bertekad untuk mengeluarkan pesakit HIV beragama Islam yang berlindung di sana. Walaupun banyak cabaran yang dihadapi termasuk diancam bunuh, saya tetap percaya dengan bantuan Allah," terang Muhammad mengenai sejarah awal penubuhan rumah perlindungan tersebut.


KOMPLEKS Yayasan Ijabah yang menempatkan Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah yang terletak di Puchong, Selangor masih memerlukan dana untuk disiapkan.


Menurut Muhammad, pesakit-pesakit HIV termasuk dalam golongan riqob iaitu hamba yang perlu dibantu. Malah, bersandarkan pada hadis Nabi SAW iaitu: 'Barang siapa bertindak membebaskan seorang hamba, maka Allah memberi jaminan akan membebaskan seluruh sendi-sendinya daripada api neraka', ia memberi kekuatan kepada beliau untuk menggalas tanggungjawab itu.

Kini, selepas hampir empat tahun beroperasi, Muhammad bersyukur kerana kebanyakan pesakit yang menghuni rumah tersebut menunjukkan perubahan yang lebih baik. Selain itu, daripada 150 pesakit yang dijaga lebih kurang 40 orang telah meninggal dunia.

"Alhamdulillah, rata-rata meninggal dunia dalam keadaan khusnul khatimah. Itu sangka baik saya kepada Allah kerana ramai yang meninggal pada malam dan hari Jumaat. Di samping itu, segala hal berkaitan pengurusan jenazah berlangsung dengan sempurna," jelasnya.

Rahmat Allah

Menurut Mohammad, wajah jenazah berseri-seri sewaktu dikafankan dan ada juga yang meninggal dalam keadaan dahi mereka berpeluh iaitu salah satu tanda kematian yang baik.

"Sebagai umat Islam, kita harus yakin bahawa Allah tidak memandang kepada permulaan seseorang, tetapi bagaimana pengakhiran hidup mereka di muka bumi.


DIDIKAN agama dan kerohanian menjadi aspek utama di Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah.


Justeru, saya sentiasa berpesan kepada semua pesakit agar jangan sesekali berputus asa dengan rahmat Allah kerana ia terlalu luas. Apa yang penting, niat untuk memperbaiki diri," jelas Muhammad penuh makna.

Dalam pada itu, Muhammad turut bertuah kerana dikurniakan seorang isteri yang sentiasa memberi sokongan penuh kepadanya dalam melaksanakan tugas-tugas dakwah.

Bagi Anis Harnisah Harun, 33, kesibukan suami dalam menyebarkan dakwah merupakan tuntutan agama dan sebagai isteri dia reda dengan perjuangan yang dipilih suaminya.

"Di sebalik urusan dakwah suami, saya pula memainkan peranan menjaga serta mendidik anak-anak di samping membantu perjalanan syarikat dalam mencari dana dan sebagainya," ujar Anis.

Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Abdullah Fateh, 12, Anis Zakiah, 9, Abdullah Faqeh, 5, dan Abdullah Faiz Farhan, 2. – KHADIJAH MOHAMAD NOR

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Infiniti

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


ICON lahirkan pembangun berbakat

Posted:

ICON lahirkan pembangun berbakat

ICON lahirkan pembangun berbakat

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

PENGALAMAN bekerja sebagai jurutera perisian membuatkan Nurul Hana Abdul Aziz, 34, tidak mahu ketinggalan untuk menyertai program MSC Malaysia Pembangunan Kandungan Bersepadu (Integrated Content Development - ICON) ketika ia mula diperkenalkan pada tahun 2010.

Atas pelawaan seorang rakan pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Nurul Hana mencuba nasib dengan menghantar idea berkaitan kandungan aplikasi yang mungkin boleh dibangunkan.

Tanpa disangka, penyertaannya diterima sekali gus terpilih sebagai peserta perintis ICON musim pertama pada tahun tersebut. Ia memberi peluang kepada Nurul Hana untuk mengikuti kursus khas selama seminggu bagi mempelajari kaedah dan cara-cara membangunkan aplikasi mobil melalui peralatan yang disediakan pihak Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Akhirnya, dia berjaya mencipta satu aplikasi Islamik bertajuk My Jawi Word Builder dalam usaha menggalakkan kanak-kanak seronok mempelajari tulisan tersebut.

"Alhamdulillah, aplikasi My Jawi Word Builder berjaya dipasarkan di laman Google Play Store dan telah menarik perhatian golongan sasaran. Ia merupakan cara mudah untuk mengenali, mengeja dan belajar huruf Jawi bukan sahaja untuk kanak-kanak malah orang dewasa.

"Saya berpuas hati dan gembira kerana dapat menyertai program ICON yang membolehkan para peserta mengembangkan rangkaian kenalan di samping menjana pendapatan sendiri," ujar Nurul Hana yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Artificial Intellegence (AI) atau kepintaran buatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Nurul Hana merupakan salah seorang daripada lebih 1,100 peserta ICON Fasa I yang diadakan bermula tahun 2009 hingga 2010.

Ketua Bahagian Pembolehan Digital MDeC, Wan Murdani Mohamad berkata, ICON ialah satu program mengenai pembangunan kapasiti serta pembinaan ekosistem untuk pembangun-pembangun tempatan memasuki pasaran aplikasi di peringkat rantau dan global.

"Melalui program ini, MDeC memberi penekanan kepada keupayaan dan idea yang dimiliki oleh peserta ICON untuk dikembangkan melalui penyediaan tenaga pengajar dan peralatan bagi kegunaan mencipta aplikasi mudah alih tempatan.


WAN PENG (kiri) dan Wan Murdani (tengah) menunjukkan telefon pintar Nokia Lumia 620 yang turut dilancarkan ketika perasmian program ICON Fasa III bagi musim 2013 di Plaza Low Yatt, Kuala Lumpur baru-baru ini.


"Untuk itu, MDeC juga menjalin kerjasama rapat dengan rakan-rakan kongsi industri dan pihak berkepentingan untuk melengkapkan pembangun-pembangun dengan pelbagai aspek merangkumi kemahiran teknikal, komunikasi, pendedahan pasaran, latihan perniagaan dan integrasi peranti sepanjang tempoh pembangunan aplikasi," jelas Wan Murdani kepada Kosmo!.

ICON III bersama Nokia

Terbaharu, program ICON III diteruskan MDeC melalui kerjasama dengan Nokia bagi memupuk pembangunan kandungan aplikasi mudah alih tempatan pada platform Windows Phone 8.

Kerjasama itu akan menawarkan latihan khas dan sokongan komuniti kepada kira-kira 100 pembangun ICON untuk membantu mereka mempelajari platform Windows Phone 8 dan membina asas pengetahuan berdasarkan kepakaran teknikal.

Selain itu, Nokia akan menyediakan Program Pembangun Premium Nokia (NPDP), satu program permulaan yang menawarkan pembangun ICON dengan perkhidmatan dan peralatan terbaik bagi membantu mereka mencipta aplikasi mudah alih bertaraf dunia.

"Kami rasa amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan ICON untuk membina sebuah ekosistem bertenaga yang mengintegrasi pengedaran, kesedaran dan penjanaan wang dari satu tempat.

"Kerjasama ini juga memastikan pembangun di Malaysia menerima peluang maksimum untuk idea-idea yang hebat sambil mengurangkan penglibatan risiko kewangan," kata Ketua Pemasaran Nokia Pan Asia, Gary Chan.


PERMINTAAN aplikasi telefon pintar daripada pelbagai platform termasuk iOS, Android mahupun BlackBerry semakin tinggi dalam kalangan pengguna.


Tambah beliau, janji Windows 8, Windows RT (untuk ARM-based tablet) dan Windows Phone 8 adalah untuk berkongsi sistem operasi teras merentasi semua platform.

Bahkan, aplikasi tersebut boleh dibangunkan dengan perkongsian komponen yang menggunakan komputer peribadi (PC), tablet dan telefon pintar sekali gus membolehkan pembangun untuk mencapai lebih daripada 400 juta peranti pada 2013.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MDeC, Ng Wan Peng melahirkan rasa teruja kerana dapat bekerjasama dengan jenama besar seperti Nokia yang merupakan antara pemain utama industri berkenaan.

"Perkongsian bersama Nokia akan lebih melengkapkan pembangun aplikasi dengan kemahiran teknikal yang tepat di samping turut memberi pendedahan pasaran dan keupayaan integrasi peranti sepanjang kitaran hidup pembangunan aplikasi," tuturnya.

Tidak ketinggalan katanya, melalui ICON, pembangun aplikasi tempatan berpeluang meneroka pasaran antarabangsa melalui medium global seperti Windows Phone Marketplace.

"Kami yakin platform mudah alih terkini seperti Windows 8 akan membawa piawaian pembangunan aplikasi ke tahap yang lebih tinggi dan meluaskan pilihan untuk pasaran baharu," jelasnya.

Air pasang besar di Tanjung Pia

Posted:

Air pasang besar di Tanjung Pia

Air pasang besar di Tanjung Pia

Oleh FAHAMI AHMAD
fahami.ahmad@kosmo.com.my


AIR laut akan melimpah ke kawasan daratan dan tadahan sehingga membolehkan kawasan sekitar bak taman air mini.


SIKAP segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab membuang sampah sarap secara sesuka hati ke kawasan pantai, menyebabkan bahan buangan berkenaan tersangkut pada akar pokok bakau yang tumbuh di pesisir pantai.

Botol minuman, plastik, selipar dan banyak lagi yang tersangkut di perangkap semula jadi itu sedikit sebanyak menjejaskan keindahan kawasan Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian, Johor.

Bagi mengembalikan keindahan dan mengekalkan keseimbangan ekosistem Taman Negara Johor Tanjung Piai, DRB-HICOM Bhd. bersama-sama sekumpulan wakil media dan pelajar Universiti Teknologi Malaysia bekerjasama mengutip sampah sarap berkenaan.

Aktiviti yang bermula seawal pukul 9.30 pagi itu dilakukan dengan penuh semangat selepas beberapa kumpulan kecil dibuat untuk memudahkan operasi pembersihan kawasan seluas 926 hektar itu.

Salah seorang peserta, Nurul Shuhada Karim, 24, mengakui masalah pembuangan sampah di taman negara tersebut harus dipandang serius kerana ia bukan sahaja akan mengganggu ekosistem, bahkan memusnahkan lokasi yang turut dikenali sebagai penghujung benua Asia tersebut sedikit demi sedikit.

"Pemandangan kawasan tumpuan pelancong ini akan terjejas kerana jumlah sampah sarap yang tersangkut di akar pokok selepas dihanyutkan air.

"Jika kita mengharapkan kakitangan taman negara sahaja yang menguruskan hal ini memang sukar kerana kawasannya yang luas," kata Nurul Shuhada ketika ditemui semasa program mengutip sampah berkenaan.


SEORANG pengunjung, Mohd. Zaidi Juwahir sedang berjalan di atas jambatan yang tenggelam ketika beliau sedang memancing ketika fenomena air pasang besar di Tanjung Piai.


Fenomena air pasang besar

Walau bagaimanapun, selain membersihkan kawasan Taman Negara Johor Tanjung Piai, ada satu lagi sebab mengapa tarikh tersebut dipilih untuk mengumpulkan sukarelawan dan media.

Berlaku hanya dua kali setahun di taman tersebut, fenomena yang dipanggil sebagai air pasang besar sangat mengujakan.

Dalam fenomena tersebut air laut mula naik secara mendadak menutupi permukaan tanah selut kira-kira pukul 11.30 pagi.

"Renjer yang bertugas di kawasan kami segera meminta peserta yang berada di bahagian bawah jambatan taman negara naik ke atas sebelum air menjadi lebih dalam," cerita Nurul Shuhada lagi.

Difahamkan, air di kawasan berkenaan naik sehingga ketinggian 3.5 meter dari paras tanah.

Fenomena air pasang besar berkenaan dikatakan biasanya berlaku dua kali setahun iaitu pada awal dan penghujung tahun.

Kelihatan beberapa kelibat haiwan seperti ular, ketam, monyet dan sebagainya yang menjadikan kawasan itu sebagai habitat mula riuh-rendah menyelamatkan diri.

Monyet contohnya mula memanjat ke bahagian pokok yang lebih tinggi bagi mengelak daripada dihanyut air laut, manakala beberapa spesies burung mula berterbangan.


SPESIES ular kapak boleh ditemui di hutan paya bakau Tanjung Piai.


Suasana di kawasan pintu masuk Taman Negara Johor Tanjung Piai pula bertambah meriah dengan kehadiran penduduk setempat.

Mereka yang telah dimaklumkan mengenai kejadian fenomena itu berkumpul bagi melihat sendiri proses perubahan alam itu.

Kawasan berkenaan dengan sekelip mata berubah menjadi seperti taman tema air mini apabila kanak-kanak berpesta bermain air yang mula melimpah keluar dari taman negara itu. Kanak-kanak begitu riang bermain air setinggi paras buku lali sambil diperhatikan oleh ibu bapa mereka.

Pesta yang ditunggu-tunggu

Menurut penduduk setempat, Che Halim Che Ismail, 52, air laut yang melimpah keluar dari taman itu akan mengalir ke arah anak sungai kecil yang terletak tidak jauh dari situ.

"Hampir setiap tahun kami sekeluarga akan datang melihat fenomena air pasang besar, tambahan pula taman negara ini terletak berhampiran dengan rumah kami," katanya.

Fenomena air pasar besar itu berlangsung selama beberapa jam dan mula surut secara perlahan-lahan pada waktu tengah hari.

Dalam pada itu, Pengurus Taman Negara Johor Tanjung Piai, Khalid Zahrom berkata, fenomena itu memberi kesan terhadap kawasan Tanjung Piai kerana hakisan akan menyebabkan kehilangan keluasan tanah di situ.

Bagaimanapun, Khalid memberitahu, pelbagai usaha dijalankan pihaknya terutamanya menerusi program penanaman pokok bakau sebagai penahan semula jadi.

Teknologi masa depan di CES 2013

Posted:

Teknologi masa depan di CES 2013

Teknologi masa depan di CES 2013

Oleh KHAIRUL ANUAR RAHMAN
anuarrahman@gmail.com


PENGESAN Bagasi Trakdot membantu menyelesaikan masalah bagasi hilang di lapangan terbang.


PAMERAN Elektronik Pengguna (CES) merupakan pameran yang menghimpunkan pelbagai produk elektronik terkini yang bakal dipasarkan selain prototaip gajet digital yang masih berada dalam fasa penyelidikan.

Saban tahun, pengeluar produk elektronik dan ahli kepada Persatuan Konsumer Elektronik (CEA) dari segenap pelosok dunia berkumpul di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) bagi memperkenalkan produk terkini mereka.

Berikut merupakan antara inovasi unik yang diperkenalkan dalam pameran berprestij yang berlangsung pada 8 hingga 11 Januari lalu.

Pengesan Bagasi Trakdot

Kehilangan bagasi atau kesilapan manusia dalam menguruskan bagasi sehingga menyebabkan bagasi tiba di destinasi yang salah merupakan satu risiko yang dihadapi oleh penumpang mana-mana penerbangan.

Berdasarkan rekod, hampir 26 juta bagasi dilaporkan hilang setiap tahun di lapangan terbang di seluruh dunia, lazimnya akibat kecuaian kakitangan ketika melabel atau ketika memunggah bagasi keluar dan masuk dari perut kapal terbang.

Namun para penumpang kini boleh menarik nafas lega kerana mereka boleh mengesan lokasi semasa bagasi mereka dengan menggunakan Trakdot Luggage Tracker. Peranti itu hanya perlu diaktifkan dan kemudiannya disimpan di dalam beg penumpang.

Kedudukan beg akan ditentukan menggunakan cip GSM dan bukannya GPS bagi menjimatkan penggunaan bateri. Ia juga mampu mengesan kelajuan dan akan dimatikan secara automatik sebaik mengesan kelajuan melebihi 100 knots selaras dengan peraturan penerbangan antarabangsa.

Peranti itu dijangka mula memasuki pasaran bermula Mac tahun ini di AS pada harga sekitar AS$49.95 (RM150), yuran pengaktifan sekitar AS$8.99 (RM27) dan yuran perkhidmatan tahunan sekitar AS$12.99 (RM40).


REVOLUSI TV hari ini semakin menakjubkan menerusi TV 4D.


Tenaga hijau Goal Zero

Memang mudah untuk menyebut tenaga hijau iaitu tenaga yang boleh diperbaharui, tetapi berapa peratus manusia di dunia yang benar-benar mempraktikkan penggunaan tenaga itu?

Goal Zero menawarkan rangkaian produk solar bagi membekalkan pelbagai jenis perkakasan elektrik di rumah dari sekecil telefon pintar sehinggalah sebesar set televisyen.

Sebagai perbandingan, ia boleh mengecas telefon pintar anda sebanyak tujuh kali, menghidupkan lampu selama 16 jam, mengecas tablet sebanyak dua hingga tiga kali dan komputer sekali sebelum pengguna perlu mengumpulkan semula tenaga solar.

Kit Goal Zero terdiri daripada satu unit panel solar bagi mengumpulkan tenaga dan satu unit pek kuasa bagi menyimpan tenaga yang telah dikumpulkan, seterusnya menyalurkan tenaga kepada perkakasan elektrik yang hendak digunakan.

Bukan itu sahaja, Goal Zero juga menawarkan model Guardian yang mampu mengecas bateri 12v kenderaan seperti motosikal, traktor dan juga kereta. Maklumat lanjut boleh didapati dalam laman web www.goalzero.com.

Samsung Youm

Ketika mula mengorak langkah dalam industri telefon pintar, ramai penganalisis teknologi khususnya dari negara Barat tidak yakin dengan kemampuannya. Hari ini, setelah lebih daripada tiga tahun berada dalam arena telekomunikasi bergerak, Samsung merupakan antara syarikat elektronik yang disegani oleh pengeluar lain yang jauh lebih lama berada dalam industri yang sama.


GOAL Zero membekalkan tenaga melalui kuasa solar.


Youm melambangkan pencapaian syarikat pengeluar produk digital berpengkalan di Korea itu. Ia merupakan teknologi paparan terkini yang menggunakan skrin OLED fleksibel yang boleh dilentur, dilipat dan dikhabarkan bakal menjadi paparan telefon pintar dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi.

Teknologi paparan itu menggunakan plastik dan bukannya material separa kaca bagi membolehkan ia boleh dilentur tanpa merosakkan skrin. Terdapat juga spekulasi yang mengatakan Galaxy S4 bakal menjadi telefon pintar pertama keluaran Samsung yang bakal menggunakan skrin jenis itu.

Tetapi penulis berpendapat ia mungkin dapat dilihat pada model selepas versi Galaxy S4. Apa yang pasti, paparan fleksibel itu bakal menjadi titik tolak kepada revolusi paparan telefon pintar dan memungkinkan telefon yang jauh lebih nipis.

TV OLED 4K Panasonic

PADA pameran CES tahun lalu, para pengeluar TV sibuk memperkenalkan kepada dunia TV 3D OLED. Tahun ini, pengeluar seperti Panasonic membuka tirai teknologi TV terkini 4K atau juga dikenali sebagai Ultra HD. Selain Panasonic, Sony juga telah memperkenalkan prototaip TV 56 inci dengan paparan 4K itu.

Dikuasakan dengan resolusi 3840 x 2160 piksel, TV itu mampu memberikan pengguna imej yang jauh lebih jelas berbanding paparan berdefinisi tinggi. Pada pendapat penulis sudah cukup jelas hingga mampu mendedahkan kesan jerawat pada wajah pelakon di paparan TV.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Latihan medan uji kadet Palapes UPM

Posted:

Latihan medan uji kadet Palapes UPM

Latihan medan uji kadet Palapes UPM


OTHMAN (tengah) bersama bersama pegawai kadet pada Kem Tahunan Palapes UPM di Slim River baru-baru ini.


GEMPUR. Seramai 181 pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Darat Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang menyertai latihan tahunan di sekitar Felda Besout, Slim River, Perak baru-baru ini.

Latihan Ex-Wirajaya 2013 itu bagi menguji kemahiran pegawai kadet peringkat dua dan tiga dalam fasa peperangan konvensional manakala kadet peringkat satu pula diuji dalam melaksanakan operasi melawan pemberontakan.

Timbalan Komander Palapes UPM, Leftenan Kolonel Othman Jalani berkata, latihan tersebut turut melibatkan kira-kira 60 pegawai Wataniah yang merupakan pelajar dan pensyarah universiti itu.

BN Pulau Pinang anjurkan karnival kesihatan

Posted:

BN Pulau Pinang anjurkan karnival kesihatan

BN Pulau Pinang anjurkan karnival kesihatan


CHANG YEOW (duduk, dua dari kiri) menjalani pemeriksaan darah pada Karnival Kesihatan 1Malaysia di George Town baru-baru ini.


PERIKSA KESIHATAN. Barisan Nasional (BN) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang menganjurkan Karnival Kesihatan 1Malaysia peringkat negeri di pusat beli-belah Times Square, George Town baru-baru ini.

Bertemakan 1Malaysia: Rakyat Sihat Negara Maju, karnival sehari itu telah dilancarkan oleh Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow.

Pelbagai aktiviti diadakan antaranya pameran kesihatan, pemeriksaan gigi, saringan minda, derma darah, kuiz kesihatan, jualan produk kesihatan, senamrobik dan program berbasikal mengelilingi sekitar George Town.

Jamuan tahunan kumpulan Yassin Ummu Waheeda

Posted:

Jamuan tahunan kumpulan Yassin Ummu Waheeda

Jamuan tahunan kumpulan Yassin Ummu Waheeda


KUMPULAN Yassin Ummu Waheeda bergambar kenangan di Subang Jaya baru-baru ini.


ERAT HUBUNGAN. Seramai 25 ahli kumpulan Yassin Ummu Waheeda Persatuan Penduduk Taman Alam Megah Seksyen 28, Shah Alam telah mengadakan Jamuan Tahunan 2013 di Restoran Serambi Melayu, Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini.

Majlis ringkas dan santai itu bertujuan mengeratkan perpaduan antara penduduk yang terlibat selama ini dalam pelbagai aktiviti antaranya membaca surah Yassin, khatam al-Quran, cukur jambul dan marhaban dari rumah ke rumah.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Sekeluarga gajah mati diracun

Posted:

Sekeluarga gajah mati diracun

Sekeluarga gajah mati diracun

Oleh MUSTAPA LAKAWA
dan ROSMAWATI SALIHIN
berita@kosmo.com.my

SEORANG kakitangan Jabatan Hidupan Liar Sabah berada di lokasi penemuan bangkai gajah pigmy yang dipercayai mati diracun di Hutan Simpan Gunung Rara, dekat Tawau, baru-baru ini.


TAWAU – Kawasan Hutan Simpan Gunung Rara yang terletak kira-kira 130 kilometer dari sini bukan lagi menjadi tempat perlindungan yang selamat bagi gajah pigmy atau Gajah Kerdil Borneo apabila 10 ekor haiwan spesies yang dilindungi itu ditemui mati dipercayai diracun dalam tempoh dua minggu lalu.

Kesemua gajah yang ditemui mati itu dipercayai daripada satu keluarga membabitkan tujuh betina dan tiga jantan berusia dari empat hingga 20 tahun.

Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan kesemua gajah tersebut menjadi mangsa kekejaman manusia termasuk siasatan terhadap penggunaan racun tikus.

Teori racun tikus itu timbul selepas kes tujuh ekor gajah pigmy ditemui mati akibat termakan bahan berbahaya itu di Rizah Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu kira-kira 10 tahun lalu.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Datuk Dr. Laurentius Ambu ketika dihubungi semalam menceritakan, misteri kematian haiwan itu dilaporkan pada 23 Januari lalu selepas empat bangkai gajah ditemui di sepanjang jalan pembalakan Telupid di kawasan hutan simpan berkenaan.

Kawasan penemuan bangkai itu pula terletak kira-kira lima kilometer dari kem pembalakan Empayar Kejora Sdn. Bhd, sebuah anak syarikat Yayasan Sabah.

"Sepasukan anggota dari Jabatan Hidupan Liar telah menyiasat di lokasi tersebut sebelum menemui empat lagi bangkai gajah dua hari kemudian," katanya.

Awal bulan ini, kakitangan jabatan itu menemui dua bangkai gajah di kawasan berkenaan dan menjadikan keseluruhan bangkai yang ditemui ialah 10 ekor.

Beliau juga mengesahkan siasatan awal mendapati kesemua gajah tersebut mati akibat termakan racun.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Projek IPTS baharu dibeku dua tahun

Posted:

Projek IPTS baharu dibeku dua tahun

Projek IPTS baharu dibeku dua tahun

PUTRAJAYA – Kerajaan akan membekukan projek penubuhan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) baharu bagi tempoh dua tahun mulai 1 Februari ini berikutan jumlah yang ada di seluruh negara pada masa ini cukup untuk menampung pengambilan pelajar.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun berkata, pengecualian diberi kepada permohonan IPTS yang sedang diproses, yang telah memohon dinaik taraf, kampus cawangan luar negara yang mempunyai ranking terbaik dunia dan dibina dalam hab pendidikan.

"Kementerian berpandangan jumlah IPTS di negara telah mencukupi untuk menampung permintaan pengajian tinggi sama ada dari dalam dan luar negara.

"Walaupun permohonan ke IPTS masih tinggi, terdapat tanda-tanda menunjukkan bahawa IPTS mengeluarkan graduan melebihi kehendak pasaran," katanya ketika berucap sempena majlis Amanat Tahun Baharu 2013 kementerian itu, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Dakwaan dera: Keterangan nenek, bapa saudara William akan diambil

Posted:

Dakwaan dera: Keterangan nenek, bapa saudara William akan diambil

Dakwaan dera: Keterangan nenek, bapa saudara William akan diambil


CHOU MOI tidak dapat menahan sebak selepas gagal melihat wajah William buat kali terakhir di Melaka kelmarin.


PETALING JAYA – Polis akan mengambil keterangan bapa saudara dan nenek William Yau Zhen Zhong berhubung dakwaan mereka bahawa kanak-kanak lelaki itu pernah didera ibu bapanya sebelum dia hilang dan ditemui mati Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, keterangan itu akan diambil daripada kedua-dua individu itu, yang kini berada di Melaka, dalam masa terdekat.

Katanya, polis juga akan mengambil kenyataan lanjut daripada ibu bapa dan abang William yang berumur tujuh tahun, bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

"Siasatan akan merangkumi aspek kecuaian dan penderaan. Kita sedang berbincang dengan pakar psikologi kanak-kanak Bukit Aman untuk mengambil sekali lagi keterangan abang William," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Kelmarin, polis mengesahkan mayat kanak-kanak lengkap berpakaian ditemui di Jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang oleh seorang nelayan pada 24 Januari lepas adalah William, 6, anak pasangan Goh Ying Ying, 28, dan Yau Kok Kang, 32.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Jubah graduasi sentuhan tempatan

Posted:

Jubah graduasi sentuhan tempatan

Jubah graduasi sentuhan tempatan

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periaswamy@kosmo.com.my

SHAH Lalchand menjadi tulang belakang di sebalik Ede & Ravenscroft Malaysia.


MENYARUNG jubah graduasi lengkap dengan papan mortar seterusnya berjalan dengan bangga menuju ke dewan penyerahan sijil, merupakan antara detik paling manis dalam hidup seseorang penuntut.

Ia secara simbolik menandakan segala usaha dan semangat meniti kejayaan dalam pengajian telah dicapai dengan jayanya. Kejayaan itu bukan hanya dirasai graduan yang menerima segulung ijazah daripada tetamu kehormat, malah ibu bapa atau penjaga yang menonton acara itu.

Bagaimana pula perasaan mereka yang berada di sebalik pembuatan jubah graduasi itu tatkala melihat pemimpin-pemimpin masa depan negara menyarung jubah tersebut?

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Ede & Ravenscroft (Malaysia) Sdn. Bhd., Datuk Shah Lalchand Ranai, mengakui beliau turut berbangga apabila melihat anak-anak muda mengenakan jubah jahitan syarikatnya saat tamat pengajian di universiti dan kolej.

Kongsi Shah Lalchand, beliau membekalkan berpuluh ribu jubah kepada para graduan di seluruh negara dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta terpilih.

"Saya tidak sangka akan menjadi pembekal utama jubah graduan kerana perniagaan yang dilakukan sejak 30 tahun lalu itu sebenarnya terhasil daripada sebuah kedai jahit biasa di Kompleks Campbell di Dang Wangi, Kuala Lumpur," ujar beliau.

Dapat perhatian antarabangsa

Masih berurusan di bangunan yang sama, tetapi pendekatan dan penjenamaan yang berbeza, Shah Lalchand mengimbas kisah tahun 1996 apabila beliau dijemput oleh syarikat jubah bertaraf antarabangsa, Ede & Ravenscroft untuk menjadi rakan kongsi di Asia.

Ini berikutan sumbangan Shah Lalchand dalam industri pembikinan jubah graduan dan telah berurusan dengan hampir kebanyakan universiti tempatan selain menjaga beberapa pelanggan di Britain.

"Apabila mereka mendapat tahu mengenai operasi dan pengaruh jubah graduan kami, termasuk banyak berurusan dengan universiti-universiti Britain, Ede & Ravenscroft mendekati kami. Syarikat yang berusia 300 tahun itu mahu saya menjadi rakan kongsi dan memutuskan menamakannya waran Queen Elizabeth II, waran Duke of Edinburgh dan waran Prince of Wales," kata beliau.


Syarikat Ede & Ravenscroft menyediakan jubah untuk hampir kebanyakan universiti dan kolej di negara ini.


Shah Lalchand dengan bangga menunjukkan kad nama beliau bersama ketiga-tiga logo waran yang bercetak timbul dan berwarna keemasan serta nama Ede & Ravenscroft.

Beliau mengakui kebijaksanaan memonopoli perniagaan yang suatu masa dahulu hampir tiada persaingan, komitmen mengedar jubah yang berkualiti dan menjaga perhubungan baik dengan pelanggan serta ketabahan berniaga telah membawa beliau kepada kedudukan sekarang.

Berbicara sedikit mengenai latar belakang, iaitu pada awal tahun 1970-an Shah Lalchand berkata, perniagaan menjahit bersama ahli keluarga bermula dengan jenama Oxford Tailors 'N' Outfitters. Mereka banyak memenuhi permintaan menjahit kot peguam atau jubah undang-undang.

Kemudian beliau mengambil keputusan untuk memberi perhatian kepada jubah akademik, memandangkan tiada pasaran tempatan untuk jubah.

"Ini disokong oleh kebanyakan kolej dan universiti yang sedang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur. Sebelum itu, saya diberitahu, jubah-jubah lazimnya ditempah dari Australia. Ia akan dibawa sempena musim graduasi dan menelan kos tinggi," jelasnya.

Tokoh ternama

Kini, berdiri megah di sebalik nama Ede & Ravenscroft, lelaki yang sudah menjangkau usia separuh abad itu menyediakan jubah ke beberapa institusi termasuk pakaian perundangan kepada institusi pengajian berasaskan undang-undang.

"Kami juga membekalkan jubah kepada institusi pengajian tinggi di luar negara yang mengadakan program berkembar mereka di sini seperti Universiti Monash, Universiti Adelaide dan beberapa universiti di New Zealand," ujarnya.


JUBAH menjadi pakaian wajib dikenakan oleh mahasiswa pada hari konvokesyen mereka.


Duduk berlatar beberapa gambar foto tokoh-tokoh terkenal negara antaranya, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak, mendiang Tan Sri Dr. Lim Goh Tong dan ramai lagi, Shah memberitahu, jubah-jubah yang dipakai oleh figura-figura terkenal tersebut juga daripada syarikatnya itu.

Bernaung di bawah Ede & Ravenscroft, sebuah syarikat yang ditubuhkan pada 1689 untuk memenuhi keperluan kira-kira 90 peratus jubah graduan dari institusi pendidikan di United Kingdom dan di Malaysia, Shah Lalchand memberitahu, syarikatnya mempunyai sekumpulan pereka termasuk beliau sendiri untuk mereka fesyen jubah.

Bercerita lanjut mengenai kerja-kerja rekaan beliau menambah, ia juga termasuk dengan papan mortar, hud (warna mengikut fakulti atau institusi), rope serta jubah diploma, ijazah, ijazah lanjutan dan doktor falsafah.

Selain mengendalikan segala tugas-tugas logistik iaitu penghantaran dan penerimaan jubah, Shah Lalchand juga memberitahu, Ede & Ravenscroft Malaysia turut menawar khidmat fotografi graduan.

Gastronomi Tahun Baru Cina di Holiday Villa

Posted:

Gastronomi Tahun Baru Cina di Holiday Villa

Gastronomi Tahun Baru Cina di Holiday Villa


DAGING itik lembut dan berjus menjadi taruhan fatt choy duck.


BERSEMPENA Tahun Baru Cina yang bakal menjengah tidak lama lagi, Hotel Holiday Villa & Suite Subang, Selangor mempromosikan pelbagai hidangan menyelerakan. Menyediakan tiga restoran sebagai pilihan, pengunjung boleh menikmati malam istimewa bagi meraikan Tahun Baru Cina.

Berkonsepkan hidangan Timur dan Barat, Palm Terrace Coffeehouse menawarkan promosi bufet khas dari 9, 10 dan 11 Februari ini. Promosi Chinese New Year Reunion Buffet Dinner yang bermula pada 9 dan 10 Februari ditawarkan pada harga RM88++ seorang. Ia merangkumi pembuka selera, menu utama, pencuci mulut dan pelbagai variasi yang menyelerakan.

Sementara itu, promosi Buffet Brunch pula ditawarkan pada harga RM65++ seorang pada 10 dan 11 Februari.

Jika mahu sesuatu yang eksklusif, bolehlah mencuba promosi Prosperty Buffet with Yee Sang pada 11 Februari. Harga yang ditawarkan ialah RM88++ seorang. Ia menawarkan set makanan Timur terbaik seperti aneka salad, salmon salai, nasi goreng Cina makanan laut, daging panggang dengan sos lada hitam dan halia serta udang ketak dengan daun bawang.


HIDANGAN nasi pulut pasti membuka selera pada malam Tahun Baru Cina.


Jika ia masih belum memenuhi selera anda, terdapat beberapa gerai yang menawarkan hidangan seperti yee sang, mi kung fu, loh bak (isi daging dalam gulungan tauhu) goreng, rojak nyonya dan popiah itik panggang rangup.

Sementara itu, The Inn Four Seasons Chinese Restaurant juga menawarkan promosi khas bermula 9 hingga 24 Februari ini.

Pada harga RM888++ untuk lapan hingga 10 orang, nikmati hidangan aneka yee sang dan sup. Nikmati menu udang segar yang digoreng bersama mayonis dan oat dan udang goreng bersama timun laut.

Seleksi pencuci mulut seperti kelapa laut madu bersama lemon yang cukup memberi kesan penyejukan dalaman selepas menikmati pelbagai juadah.

Hotel Holiday Villa & Suite Subang juga menawarkan aneka yee sang. Yee Sang Jepun yang menggabungkan hirisan ikan tuna, salmon, sotong kurita tampak bersama jeruk timun, limau Mandarin, stik ketam dan sebagainya mungkin sesuatu yang menarik untuk dicuba sempena perayaan kali ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Rajagobal perlekeh Badri

Posted:

Rajagobal perlekeh Badri

Rajagobal perlekeh Badri

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

PRESTASI cemerlang yang dipamerkan oleh Badri (kanan) ketika beraksi dengan Kelantan tetap gagal untuk menambat hati Rajagobal.


"KENAPA tanya saya, beliau jurulatih, seharusnya beliau tahu pemain macam mana yang beliau mahu. Saya tak faham kenapa dia suruh tanya saya. Jawapan macam mana yang anda jangka boleh saya berikan?"

Itu komen ketua pasukan Kelantan, yang berjaya menjulang tiga piala musim lalu, Badri Radzi selepas namanya terus tersisih daripada kem skuad kebangsaan biarpun ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal kini dalam situasi terdesak selepas kehilangan 11 pemain akibat kecederaan.

Menurutnya, selepas berjaya membawa Kelantan ke tahap yang begitu tinggi termasuk memenangi tiga kejuaraan musim lalu, kelibatnya di padang masih tetap gagal memikat hati Rajagobal yang terus meragui keupayaannya.

"Saya tidak tahu apa masalahnya, komen beliau (Rajagobal) dalam akhbar hari ini (semalam) seolah-olah memberi gambaran bahawa corak permainan saya tidak sesuai dengan corak latihan beliau.

"Beliau tidak perlu mengajukan soalan berkenaan kepada saya atau bekas jurulatih saya, Datuk M. Karathu atau B. Sathianathan. Kami semua tidak ada jawapan kerana jawapan itu ada pada beliau sendiri," kata Badri ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, jika Rajagobal menganggap dia bukan seorang pemain yang bagus dan tidak menepati kriteria yang diperlukan, dia sedia menerima kritikan berkenaan kerana jurulatih skuad kebangsaan itu lebih berpengalaman.

Katanya, impiannya untuk bermain dan menabur bakti dalam skuad kebangsaan tidak pernah padam dan akan berusaha untuk terus memikat hati pengendali skuad kebangsaan itu.

"Sebagai pemain bola sepak, sudah tentu beraksi dengan pasukan kebangsaan adalah kemuncak dalam karier anda. Semua pemain mengidamkan untuk menyarung jersi kebangsaan, begitu juga saya. Kalau tidak baik tak payah main bola.

"Kali terakhir saya dipanggil pada tahun 2010, ketika itu dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu selepas Kelantan muncul juara Piala Malaysia. Pembantunya (Tan Cheng Hoe) telefon saya minta nombor pasport.

"Dia beri tempoh dua jam untuk saya dapatkan nombor pasport, saya beritahu pasport ada di rumah, macam mana saya hendak beri. Sukar untuk saya dapatkan nombor pasport ketika itu kerana kami terpaksa singgah di Gua Musang dulu untuk menemui peminat. Selepas itu senyap begitu saja," ujarnya.

Jelas Badri, sebelum ini ada yang berpendapat pemain sepertinya, Hairuddin Omar dan Indra Putra Mahayuddin hanya mampu bermain dalam tempoh 30 minit sahaja ekoran faktor usia, dan keputusan Rajagobal memilih pemain muda mungkin satu pilihan yang tepat.

Kali pertama dan terakhir 'jeneral padang' berusia 30 tahun itu menyarung jersi skuad kebangsaan adalah ketika membantu skuad Pilihan Malaysia di bawah bimbingan Ong Kim Swee berdepan Chelsea dalam aksi persahabatan di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

'Kami tidak gentar'

Posted:

'Kami tidak gentar'

'Kami tidak gentar'


NORFARHAN mengakui tidak gentar berdepan pasukan hebat seperti Qatar.


PENYERANG skuad Harimau Malaya, Norfarhan Muhammad berkata, mereka tidak gentar menghadapi Qatar pada aksi pertama kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Doha pada 6 Februari ini.

"Sungguhpun pasukan dihambat dengan isu kecederaan besar-besaran, namun itu tidak menjadi masalah untuk membentuk kombinasi mantap menjelang perlawanan itu nanti," kata Norfarhan yang merupakan tonggak baharu yang bakal ditampilkan ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal pada kempen kelayakan Piala Asia kali ini.

Pemain tengah Kelantan itu yang kali terakhir menyarung jersi skuad kebangsaan pada Piala Suzuki AFF 2008 mengakui, barisan pemain baharu termasuk dirinya tidak menghadapi kesukaran untuk mencipta keserasian pada perlawanan tersebut nanti.

"Walaupun belum cergas sepenuhnya, saya akan membalas kepercayaan jurulatih jika terpilih untuk beraksi (menentang Qatar)," katanya sebelum berlepas ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) semalam.

Skuad Harimau Malaya akan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Iraq di Dubai esok sebelum berlepas ke Doha untuk aksi kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar.

Dalam pada itu, pemain pertahanan, Mahali Jasuli turut senada dengan Nor- farhan dan menurutnya, persiapan pasukan negara tidak terjejas sekalipun ramai pemain baharu mengisi senarai skuad kebangsaan bagi menggantikan pemain yang cedera.

Berikutan kepincangan dalam skuad negara akibat masalah kecederaan ke atas pemain utama, Rajagobal hanya menyenarai 24 pemain daripada perancangan asal 26 orang.

Antara tonggak yang disisihkan ialah penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Safee Sali selain pemain tengah, S. Kunanlan, Wan Zack Haikal Wan Nor, Gary Steven Robbat dan K. Gurusamy.

Rajagobal pasrah

Posted:

Rajagobal pasrah

Rajagobal pasrah

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


PEMAIN-PEMAIN skuad Harimau Muda meninggalkan pusat penginapan mereka di Kelana Jaya untuk berlepas ke Dubai petang semalam.


'BAGAIKAN telur di hujung tanduk'. Mungkin pepatah itu tidak keterlaluan untuk menggambarkan situasi terkini skuad Harimau Malaya menjelang aksi pembukaan kempen kelayakan Piala Asia 2015.

Ini kerana, usaha untuk menyaksikan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia itu dilihat sukar selepas menyaksikan beberapa tonggak utama terus dihantui kecederaan.

Ketiadaan pemain skuad utama, antaranya Mohd. Safee Sali, S. Kunanlan dan Mohd. Bunyamin Umar, jelas memberikan tamparan hebat kepada pengendali berusia 57 tahun itu dalam usaha memberikan keputusan lebih positif ketika menentang Qatar pada aksi pembukaan kelayakan Piala Asia, 6 Februari nanti.

Selepas Rajagobal 'mengintip' kekuatan lawan pada kejohanan Piala Teluk 2013 yang berlangsung di Bahrain baru-baru ini, beliau menyedari skuad negara bakal berdepan dengan tugas sukar.

Walaupun menyedari jurang besar di antara Harimau Malaya dengan Qatar, Rajagobal tetap tidak gentar malah menuntut barisan pemainnya untuk memberi tentangan sebaik mungkin.

"Tidak dapat dinafikan bahawa Qatar adalah antara pasukan terbaik Asia, malah mereka hampir berjaya mara ke pusingan akhir Piala Dunia 1998 Perancis.

"Kini, Qatar tampil dengan pasukan berbeza apabila mereka memiliki lapan pemain dari Brazil, Uruguay, Eropah, Ghana dan Senegal.

"Biarpun kita dihantui dengan krisis kecederaan, saya lebih suka berfikiran positif dan mahukan semua pemain beraksi dengan sebaik mungkin untuk memberi tentangan.

"Bukan selalu kita dapat beraksi menentang pasukan hebat seperti ini. Jadi, saya berharap mereka akan lebih bersemangat dan berkeyakinan dalam usaha meraih keputusan yang positif," katanya kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Sementara itu, Rajagobal mengakui beliau masih belum pasti siapa yang bakal diturunkan dalam skuad utama ketika berkunjung ke Qatar kelak.

Apa yang pasti, beliau mahu menguji kesemua 24 pemain Harimau Malaya dalam satu perlawanan pemanas badan menentang Iraq esok sebelum bertemu Qatar pada 6 Februari ini.

"Saya akan menilai semula prestasi semua pemain sebelum membuat keputusan menurunkan kesebelasan utama pada aksi menentang Qatar kelak.

"Apa yang bermain di fikiran saya kini ialah mahu melihat dahulu prestasi anak-anak buah saya ketika menentang Iraq sebelum bertemu Qatar," katanya.

Harimau Malaya akan memulakan kempen Piala Asia 2015 menentang Qatar (6 Februari) sebelum bertemu Yemen dan Bahrain pada 22 Mac dan 15 Oktober depan.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Rangka wanita ditemui berhampiran KLIA

Posted:

Rangka wanita ditemui berhampiran KLIA

Rangka wanita ditemui berhampiran KLIA

29/01/2013 7:23pm

SEPANG — Rangka seorang wanita tanpa kepala ditemui pada rimbunan pokok mengkuang berdekatan Pusat Pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Rangka itu ditemui seorang pekerja pembersihan, Sukirno Sukar, 53, pada pukul 11.30 pagi.

"Saya merasa pelik kerana mayat reput itu tidak mempunyai kepala. Saya memeriksa kawasan sekeliling dan jumpa kepala wanita itu tergantung pada pokok serta diikat dengan tali,"katanya kepada pemberita.

Turut ditemui bersama ialah pasport dipercayai milik wanita itu, kad kredit dan sejumlah wang kertas China.

Ketua Polis Daerah Sepang, Supt. Imran Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati tiada tanda hentakan atau kecederaan pada bahagian kepala mangsa.

"Peringkat awal polis klasifikasikan sebagai kematian mengejut, mayat dah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, kemudian akan lihat hasil bedah siasat sama ada kematian mengejut atau sebaliknya," katanya.— BERNAMA

Kanak-kanak mangsa sindiket diselamatkan

Posted:

Kanak-kanak mangsa sindiket diselamatkan

Kanak-kanak mangsa sindiket diselamatkan

29/01/2013 7:20pm

GEORGE TOWN — Polis Pulau Pinang berjaya menyelamatkan seorang lagi kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun dan menahan sepasang suami isteri dalam satu serbuan di Bukit Mertajam malam tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pasangan berusia 50-an itu dipercayai pembeli kanak-kanak itu.

Tangkapan terbaru itu menjadikan keseluruhan 36 orang yang ditahan, termasuk seorang doktor dan seorang penjawat awam dari Jabatan Pendaftaran Negara, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ops Pintas Sayang membabitkan 25 pegawai dan anggota polis yang dilancarkan untuk menjejaki individu terlibat dalam sindiket terbabit, menahan 33 orang minggu lepas, diikuti penahanan seorang lagi suspek Ahad lepas.

Pada 24 Januari lepas, polis Pulau Pinang berjaya membongkar kegiatan menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di negeri ini, Kedah dan Perak serta menyelamatkan lapan bayi serta seorang kanak-kanak berusia dua bulan hingga lapan tahun.— BERNAMA

Jakim, NGO lancar kempen ‘Jerat Valentine’s Day’

Posted:

Jakim, NGO lancar kempen 'Jerat Valentine's Day'

Jakim, NGO lancar kempen 'Jerat Valentine's Day'

29/01/2013 7:01pm

PUTRAJAYA — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan turun padang bersama kira-kira 250 sukarelawan dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bagi menjayakan Kempen Jerat Valentine Day di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Bukit Bintang dan Masjid India, Sabtu ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, program itu bertujuan mendedahkan sukarelawan kepada aktiviti bersemuka dengan masyarakat dalam membina kesedaran bagi membanteras gejala sosial.

Menurutnya, cara ini dapat membina keyakinan, keberanian, daya bertindak serta kesepaduan gerak kerja kalangan sukarelawan, membanteras gejala sosial di samping membina kemahiran berkomunikasi dan interaksi mereka dengan kumpulan sasar.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau berkata, muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 2005 memutuskan bahawa roh perayaan Valentine's Day dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Katanya, menjelang hari yang disebut Velentine's Day pastinya gejala maksiat dan zina menjadi-jadi terutama di kalangan remaja dan belia sekitar pusat bandar raya.— BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved