Selasa, 1 Oktober 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Jamsbell pertaruh fesyen high street

Posted:

Jamsbell pertaruh fesyen high street

Jamsbell pertaruh fesyen high street

Oleh ALIF ABU BAKAR

KAKAK sulung berusia 21 tahun bernama Sharifah Farah Liyana Syed Kamil, sementara dua adik kembarnya, Sharifah Sarah Amirah Syed Kamil dan Syed Harith Aiman Syed Kamil masing-masing berusia 20 tahun. Ketiga-tiganya masih muda, penuh tenaga namun serius membina profesion secara berdikari.

Paduan tiga beradik yang membentuk jenama Jamsbell barangkali melahirkan pandangan sinis orang ramai, merendahkan kemampuan anak-anak muda yang cuba mendirikan empayar fesyen ketika negara dihujani kewujudan pelbagai jenis butik dalam talian.

Jamsbell memerlukan pengenalan, ruang dan sokongan remaja tempatan untuk berdiri teguh. Percayalah, secara tuntas, usaha jenama itu tidak hanya berkisar kepada keuntungan jualan, namun mengimbangi faktor pendidikan penggayaan yang amat diperlukan kelompok audiens mereka.

Sharifah Farah Liyana, Sharifah Sarah Amirah dan Syed Harith Aiman mahu mempromosikan gaya high street di Malaysia dengan menjadikan Jamsbell sebagai medium pengaruh yang efektif. Benar, high street bukan gaya baharu di negara ini tetapi pengetahuan terhadap adaptasi pakaian berkonsep sebegitu masih belum difahami sepenuhnya orang kita.

"Jika kita bandingkan Malaysia dengan negara Asia lain, kita agak ketinggalan dari segi perkembangan trend, termasuklah fesyen high street," Sharifah Farah Liyana memulakan bicara ketika trio bersaudara itu ditemui.

Elemen mewah

Fesyen high street merujuk kepada gaya yang ditawarkan jenama-jenama pakaian arus perdana. Ia boleh dikelaskan sebagai gaya yang menggabungkan elemen fesyen mewah (high fashion) dan fesyen jalanan (street fashion).

"Tujuan Jamsbell adalah mendidik orang ramai menjadikan fesyen high street sebagai gaya harian untuk ke tempat kerja, kelas atau bersantai. Kami banyak mendapat inspirasi daripada perkembangan trend di United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).

Kolaborasi Jamsbell dan Bits of Random berjaya membentuk panduan gaya yang menakjubkan.


"Di luar negara, fesyen high street bukan lagi gaya untuk acara tertentu malah sudah diterima sebagai penampilan biasa. Orang kita kena mengubah mentaliti terhadap fesyen yang selalunya dikaitkan dengan majlis glamor dan formal ini. Ia sebenarnya sudah diterima masyarakat sebagai gaya harian," tambah gadis yang juga memiliki ijazah Diploma Lanjutan Fesyen dan Pemasaran dari Raffles College of Higher Education (Raffles), Kuala Lumpur.

Dilancarkan pada awal bulan Januari lalu, item-item dalam katalog Jamsbell memang mudah menangkap perhatian. Jumpsuit dengan cetakan unik bersama jalinan rona kontra menghidupkan tata gaya high street secara bersahaja. Tambahkan aksesori seperti kalung dengan perincian besar dan anda sedia untuk mencuri tumpuan umum.

Mahu gaya sedikit nakal dan seksi, sesekali anda patut mencuba seleksi playsuit Jamsbell. Persalinan yang mencantumkan baju dan seluar pendek itu sesuai untuk gadis yang sedang meniti alam remaja dan sukakan gaya ringkas, pantas tetapi berani.

"Agak mengejutkan kerana kebanyakan item yang kami tidak jangka akan mendapat sambutan sering habis dijual. Jumpsuit contohnya, jarang kita melihat wanita di sini menggayakannya tetapi ia menjadi antara pakaian kami yang paling laris.

"Seluar pendek dengan perincian besi juga sering menjadi permintaan ramai. Di bawah koleksi seluar pendek, kami sediakan variasi item dengan potongan menarik seperti blaze peplum, layered spring, midnight quilted dan blooming.

"Mereka yang gemarkan dres boleh memilih sama ada mahukan block maxi klasik, denim skater atau retro crush. Apa jua pilihan anda, ia tidak akan lari daripada konsep gaya high street yang kami terapkan dalam Jamsbell," saran Sharifah Sarah Amirah yang memberitahu kemasukan stok baharu jenama itu adalah pada setiap minggu.

Semangat Asia

Tidak lengkap gaya high street jika tanpa menggayakan seluar panjang barok bercetak yang tinggi sentimen seninya. Tonjolkan semangat Asia anda menerusi seluar harem bermotifkan batik atau cipta penampilan matang bersama seluar jenis palazo dengan kombinasi motif tradisional.

"Kami banyak menggunakan material sifon untuk baju. Selain itu ada juga item yang dihasilkan dengan fabrik poliester campuran dan kapas," tambah Sharifah Sarah Amirah yang memberitahu Jamsbell juga kini berkolaborasi bersama label aksesori baharu, Bits of Random.

Selain berfungsi sebagai butik dalam talian, Jamsbell juga menyediakan khidmat nasihat tentang suai padan dan cara-cara membentuk gaya high fashion menerusi item-item yang ditawarkan.


KOLEKSI baharu Jamsbell dikemaskini setiap minggu bagi memberikan pilihan terkini kepada pengikut mereka.


Satu-satunya pengemudi lelaki dalam Jamsbell, Syed Harith Aiman berpendapat, majoriti blog fesyen dan butik dalam talian di Malaysia tidak memfokuskan kepada pendidikan penggayaan untuk pelanggan-pelanggan mereka.

Ujar Syed Harith Aiman yang juga salah seorang wajah rasmi jenama fesyen The Garment: "Kami banyak melakukan penyelidikan dan mengikuti perkembangan semasa trend-trend di Eropah dan AS.

"Di sana, perubahan trend berlaku dengan pantas dan cepat diterima masyarakat sekeliling. Mungkin medium mempromosikan sesuatu trend itu datangnya daripada pelbagai pihak sekali gus memudahkan ia berkembang dalam tempoh yang singkat.

"Jamsbell mahu mendekati orang di sini dengan formula yang sama, menjadi sebahagian kelompok fesyen yang tidak hanya berdiri atas nama keuntungan tetapi menjadi penggerak kepada transformasi trend di negara ini."

Idea yang disemaikan Jamsbell melalui paduan item-item pada laman web mereka banyak memberi ilham kepada para pelanggan mereka untuk bergaya.

"Kadang-kadang ada pelanggan yang sanggup membeli satu set persalinan yang kami cipta menerusi suai padan kerana begitu menggemari gaya tersebut," cerita Sharifah Farah Liyana menutup sesi temu bual.

Koleksi inspirasi bendera

Posted:

Koleksi inspirasi bendera

Koleksi inspirasi bendera

GAYA klasik AS dihidupkan semula melalui koleksi terbaharu ini.


TAHUN ini, Hush Puppies menyambut ulang tahun yang ke-55 sebagai pakaian ikonik kasual Amerika Syarikat (AS) sejak tahun 1958.

Gaya klasik AS dihidupkan semula apabila para pereka fesyen jenama itu menterjemah keanggunan fesyen santai konvensional pertengahan abad negara tersebut.

Majlis Pereka-Pereka Fesyen Amerika Syarikat turut menyenaraikan jenama Hush Puppies sebagai Produk Aksesori Tahunan 1995, di samping disenaraikan sebagai Syarikat dan Jenama Tahunan di Amerika Syarikat dan United Kingdom oleh majalah-majalah terkemuka.

"Koleksi Stars & Stripes memberi penghormatan kepada gaya hidup rakyat Amerika yang mengambil inspirasi daripada bendera negara itu," kata Pengurus Pemasaran Hush Puppies Apparel, Celeste Tee.

Koleksi terkini itu menawarkan pakaian kasual yang menerapkan penggunaan tiga warna asas bendera AS iaitu merah tomato, putih salji dan biru dakwat.

Koleksi yang merangkumi rangkaian baju polo, baju-T, gaun dan jaket ini tampil dengan pengaruh pasukan sukan dan pelajar universiti.

"Gabungan reka bentuk ringkas yang disulami dengan jalur-jalur terperinci dan corak bintang pada lipatan pergelangan tangan menyerlahkan penampilan klasik dan santai.

"Baju polo ikonik Hush Puppies yang disulami dengan ikon anjing baka Basset Hound itu telah menjadi rekaan popular di Malaysia," tambahnya.

Sambil memberi tip untuk memadankan baju polo pilihan ramai itu, Tee memberitahu, penampilan seseorang itu akan nampak lebih segak namun tetap kasual apabila ia dipadankan dengan seluar pendek dan sehelai jaket atau blazer.

Bagi penampilan gaya masa kini, butangkan baju itu sepenuhnya.

BAJU polo, baju-T, dan jaket disuntik pengaruh pasukan sukan dan pelajar universiti.


"Golongan wanita di luar sana amat menyukai gaun, kami menyediakan pelbagai rekaan menarik yang terdiri daripada gaun santai sehinggalah gaun pendek tanpa lengan yang boleh dipadankan dengan kardigan ataupun jaket.

"Bagi kanak-kanak, baju-T kecil yang kemas dan kemeja berlengan pendek ataupun panjang adalah sama popularnya seperti rangkaian baju-T, seluar bermuda dan baju polo dewasa kami," jelasnya sambil memaklumkan jenama Hush Puppies menjanjikan pakaian kasual, menarik dan menyeronokkan untuk seisi keluarga.

Mementingkan gabungan keselesaan dan gaya dalam setiap koleksinya, produk-produk Hush Puppies dihasilkan daripada fabrik kapas, poplin atau linen semula jadi yang berkualiti tinggi.

Sempena sambutan ulang tahun Hush Puppies, bagi setiap pembelian bernilai RM200, para pembeli akan menerima rebat sebanyak RM55, ditambah dengan cenderamata edisi terhad iaitu koleksi lencana butang ulang tahun Hush Puppies.

Pelanggan juga akan dihadiahkan kad VIP yang melayakkan mereka menikmati diskaun 15 peratus ke atas bagi setiap pembelian barangan berharga tetap sepanjang tahun. Selain itu, patung anjing Basset Hound Hush Puppies diberi percuma bersama rebat sebanyak RM110 bagi pembelian bernilai RM400 dan ke atas.

"Ia sememangnya barangan edisi khas kerana kami hanya menawarkan 3,000 unit lencana butang dan patung Basset Hound untuk pelanggan yang memenuhi syarat pembelian. Kami pasti lencana butang itu akan menjadi satu koleksi istimewa untuk para peminat jenama ini," ujar Tee.

Koleksi terkini ulang tahun Stars & Stripes 2013 kini boleh didapati di semua butik Hush Puppies dan gedung membeli-belah utama termasuk AEON, Isetan, Metrojaya, Pacific dan Parkson.

Teman peribadi musim luruh

Posted:

Teman peribadi musim luruh

Teman peribadi musim luruh

Oleh ALIF ABU BAKAR


DARI kiri: Nazim Othman, Elfira Loy, Soo Wincci, Lisa Surihani, Debbie Goh dan Lawrence Wong antara selebriti jemputan yang hadir pada majlis previu koleksi musim luruh Coach 2013.


CIRI fungsional harian yang disatukan dalam rekaan mewah klasik, moden dan bergaya bersama fabrik kulit bermutu tinggi serta perincian penuh teliti merangkumi sempurna koleksi musim luruh Coach pada tahun ini.

Tiga koleksi utama untuk wanita kali ini memaparkan item menawan daripada Legacy, Saffiano dan Madison. Diinspirasikan daripada rekaan ikonik Coach, termasuk beg tangan Duffle yang masih menjadi pilihan ramai, koleksi Legacy kembali untuk musim luruh kali ini.

Penambahan fabrik kulit baharu dan mewah serta penggunaan rona-rona musim luruh seperti hitam keunguan, ungu terung dan biru gelap (midnight) menghidupkan ciri-ciri moden dan ranggi item-item Legacy.

Ketinggian karakter sebagai wanita yang mengutamakan stail eksklusif akan terserlah apabila anda mendampingi beg-beg elegan daripada koleksi Legacy. Sama ada Mirror Metallic Turnlock Tote atau Liquid Metallic Croc Clutches, anda pasti tampak glamor dengan inspirasi vintaj yang menggunakan material kulit dengan perincian besi (studded).

Anda juga boleh memilih aksesori menarik di bawah koleksi Saffiano. Direka menggunakan material kulit Itali yang berkualiti tinggi bersama tekstur jejaring silang, koleksi ringkas dan bergaya Saffiano menjadikan musim luruh anda lebih praktikal.

Beg Tote Saffiano Leather Medium East-West City yang diberi penegasan baharu menerusi penggunaan blok-blok warna pula menjadikan ia aksesori mudah untuk digayakan secara harian.

Aksesori lelaki

Untuk kaum Adam pula, rangkaian aksesori daripada koleksi Bleecker dan Crosby pasti menyuntik gaya maskulin klasik yang ideal. Musim luruh kali ini, Coach menghamparkan siluet baharu, warna-warna terang, material segar, corak grafik dan ekstra fungsional dalam barangan lelaki berbanding keluaran dulu.

BEG kepit dengan perincian besi menjadi antara item tarikan dalam koleksi baharu ini.


Sesuai untuk musim luruh, koleksi Bleecker ditambah beberapa rona menarik, reka corak dan tekstur bagi mengangkat sentimen mewah seorang jejaka. Material kulit dengan permukaan kasar (pebbled) pada beg Metropolitan, merupakan antara kombinasi sempurna beg Tote Business dan Slim Brief yang dilengkapi beberapa ruang bagi mengisi keperluan harian si jejaka.

Elemen bermusim daripada material sued kembali menerusi Tote Bleecker Suede Traveler. Penggunaan siluet yang bertentangan menawarkan penampilan maskulin yang optimum terutama pada rekaan luarannya yang stailo.

Bleecker Suede Courier juga satu lagi kunci gaya yang mengalami pembaharuan material bermusim, sama pentingnya dengan Bleecker Leather Duffle. Penggunaan rona mahogani dan maskulin menjadikannya sempurna digayakan pada acara hujung minggu.

Koleksi Crosby turut membuat kemunculan semula sempena koleksi musim luruh Coach tahun ini. Aksesori buatan tangan yang tidak terlalu formal dalam koleksi tersebut memperkenalkan elemen unik dari segi fungsi dan perinciannya.

Beg-beg eksklusif seperti Crosby Box Grain Slim Brief, Flap Brief dan Business Tote menampilkan sepenuhnya material premium dengan perincian halus. Paling penting, tekstur yang diterapkan pada setiap item koleksi tersebut mengimbangi ciri fungsi dan gaya.

Sepatu

Selain beg, kaca mata dan aksesori untuk gajet elektronik anda, koleksi musim luruh Coach juga memaparkan barisan sepatu mewah buat wanita moden. Kasut but menjadi signatur untuk musim ini memandangkan cuaca yang agak sejuk terutamanya di negara-negara empat musim.

Ciri feminin masih dapat diserlahkan apabila anda menyarungkan but Udell yang direka dengan tapak tumit tinggi. Namun untuk keselesaan berpanjangan, pilih but Lilac yang klasik dan bertapak rata atau Laurinda yang merupakan item wajib untuk dimiliki pada musim luruh kali ini.

Untuk maklumat lebih jelas berkenaan koleksi musim luruh 2013 Coach, layari laman web www.coach.com atau kunjungi sendiri butik-butik Coach di seluruh negara.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved