Selasa, 1 Oktober 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Mohd. Fadly suka menghiburkan

Posted:

Mohd. Fadly suka menghiburkan

Mohd. Fadly suka menghiburkan

SEBAIK kelibat dua orang badut tiba di Kelab Komuniti Taman Tasik Cyberjaya, Selangor, mereka berdua terus diserbu kanak-kanak yang beratur panjang kerana mahu mendapatkan belon.

Dua orang badut tersebut hadir untuk menghiburkan orang ramai pada acara berbasikal anjuran Majlis Perbandaran Sepang pada 14 September lalu.

Kedua-duanya tampil dengan wajah yang disolek tebal berlatar warna putih, bergincu merah hati di bibir, pipi dan hidung serta mengenakan kostum berjalur warna-warni.

Telatah melucukan badut tersebut diselangi dengan pelbagai aksi nakal ketika mereka menyediakan belon bermacam-macam bentuk. Namun, sebaik salah seorang daripada badut berkenaan membersihkan solekan pada wajahnya dan berkemeja T, imejnya terus berubah.

Lelaki yang sama itu kelihatan garang dan berbadan tegap.

Ada yang menyangka beliau bergurau ketika memberitahu tentang pekerjaan sebenarnya. Tidak kurang juga ada yang mempersendakan dirinya kerana mencari rezeki sebagai badut bagi menyara keluarga. Namun, Mohd. Fadly Abu Hassan, 32, lali dengan situasi tersebut.

Beliau sanggup meninggalkan kerjaya sebagai seorang pengarah urusan bahagian jualan dan pemasaran di syarikat kejuruteraan elektrik milik orang tuanya.

Silap mata

Awang berasal dari Ayer Keroh, Melaka dan dibesarkan di Shah Alam, Selangor. Ketika di Ayer Keroh, ibu bapanya merupakan penjawat awam di Jabatan Kerja Raya.

Hobi anak kedua daripada empat beradik itu ialah menonton video silap mata dan membaca buku berkaitan politik serta motivasi.

Minat yang mendalam terhadap dunia silap mata dan perasaan ingin menghiburkan orang ramai membuatkan Mohd. Fadly atau lebih terkenal dengan nama Awang The Clown (Awang) untuk tidak mempedulikan cakap-cakap orang lain terhadap keputusannya menjadi badut sepenuh masa.

"Pernah ada pelanggan yang tanya, tidak ada kerja lainkah hendak dibuat selain menjadi badut? Saya jawab, asalkan pekerjaan ini halal dan baik itu sudah memadai," kata bapa kepada empat anak itu.


KEHADIRAN Awang sering mencuri tumpuan pengunjung ketika beliau menghiburkan orang ramai di gerai Kosmo! di tapak Karnival Jom Ke Felda di Felda Papan Timur Kota Tinggi, Johor.


Meskipun dipandang sinis, namun Mohd. Fadly cukup bertuah kerana ramai dalam kalangan rakan-rakannya yang memberi sokongan. Antaranya, membantu beliau dari segi kewangan dan membina laman web untuk memudahkan pelanggan menghubunginya.

Tegas Awang, beliau ingin mengubah persepsi skeptikal masyarakat terhadap badut dengan menampilkan imej badut yang berpelajaran. Baginya, badut mungkin kelihatan bodoh tetapi tidak mudah diperbodohkan.

"Pernah ada orang cuba mengenakan saya dengan bertanyakan soalan yang bukan-bukan.

"Kadang-kadang saya menggunakan helah untuk mengenakan semula penonton tersebut," katanya sambil tersenyum.

Kata Awang, orang tuanya mementingkan pelajaran anak-anak. Kakak sulungnya menyandang jawatan sebagai pengurus stesen minyak, adik ketiganya bergelar akauntan di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), manakala adik bongsunya sedang menuntut dalam bidang perubatan.

Menurut Awang, segala-galanya bermula dengan permainan silap mata. Ketika itu, beliau masih menuntut dalam jurusan Diploma Perakaunan di Universiti Teknologi Mara kampus Melaka pada tahun 2005.

Hilangkan kain

Helah silap mata pertama yang dipelajari Awang ialah teknik menghilangkan kain dalam genggaman. Awang belajar mengenai teknik tersebut daripada pemilik kedai menjual barangan silap mata di pusat beli-belah The Summit, Kuala Lumpur. Ekoran kerap ke kedai tersebut, minatnya terhadap dunia silap mata semakin mendalam.

Selain itu, Awang mendalami ilmu silap mata dengan bertukar-tukar pandangan dan cakera padat silap mata bersama kawan-kawan lain.

Pakar silap mata yang paling dikaguminya ialah Michael Ammar dari Amerika Syarikat kerana beliau kerap menghasilkan cakera padat teknik-teknik melakukan silap mata dengan penyampaian yang mudah difahami. Awang berasa bertuah apabila berpeluang bertemu dengan idolanya yang datang berkunjung ke Malaysia baru-baru ini.

INILAH kostum badut yang paling disayangi Awang kerana ia merupakan kostum pertamanya.


Menurut Awang, Ammar digelar guru terbaik dalam dunia silap mata.

Selain Ammar, Awang turut menggemari ahli silap mata bernama Bill Malone kerana beliau sering menerapkan unsur jenaka dalam video-videonya.

Jika pelajar lain menggunakan wang untuk membeli telefon bimbit baharu, berlainan pula dengan Awang yang banyak menghabiskan wang sakunya untuk berbelanja membeli peralatan silap mata.

Setelah tamat pengajian, Awang bekerja di syarikat bapanya yang banyak melibatkan kerja pemasaran dan jualan. Pada tahun 2008, Awang menjadi badut secara sambilan dengan purata jemputan persembahan sebanyak dua kali sebulan.

Sekitar tiga minggu lalu, Awang melepaskan kerjaya tetapnya. Kini beliau menyara hidup sebagai badut sepenuh masa.

Menurut isterinya, Rozimah Desa, 32, kesibukan Awang memenuhi jemputan persembahan secara tidak langsung menyebabkan dia juga terpaksa menunggu giliran mengajak suami pulang ke kampung halaman.

"Saya pun kena tempah tarikh untuk balik kampung sebab dia terlibat dengan jemputan persembahan hampir setiap hari.

"Kadang-kadang satu hari sehingga empat jemputan. Kami gembira dengan maklum balas orang ramai yang berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan," jelas wanita yang berasal dari Taiping, Perak itu.

Apakah cerita di sebalik nama Awang sehingga Mohd. Fadly lebih dikenali dengan panggilan tersebut?

Nama Awang dipilih kerana ia menggambarkan identiti kaum Melayu dan personaliti budak nakal yang suka mengusik. Begitulah Awang mahu dirinya dikenali.

"Ia menggambarkan seorang badut nakal yang suka mengusik tapi pada masa sama masih menyampaikan mesej yang berguna kepada orang awam.

"Mesej yang dimaksudkan ialah perbuatan yang menerapkan nilai-nilai murni seperti saling menghormati dan bergurau mengikut batasa," jelasnya.


AWANG juga gemar mengumpul koleksi daun terup kerana ia berkait dengan permainan silap mata.


Peramah

Awang turut berkongsi tentang pengalaman pahit yang tidak dapat dilupakannya apabila tertinggal peralatan solek dalam satu persembahan di Shah Alam, Selangor. Namun, nasib menyebelahinya apabila ada rakan lain yang tinggal berdekatan sudi meminjamkan peralatan soleknya kepada Awang.

Sikap Awang yang peramah dan berdisiplin ketika menjalankan tugasnya turut menarik minat kerabat diraja Terengganu untuk menghiburkan tetamu pada sebuah majlis hari jadi.

Meskipun sibuk memenuhi jemputan, Awang tidak lokek berkongsi ilmu.

"Saya mengajak adik jiran untuk belajar menjadi badut selepas mengetahui yang dia bekerja sambilan di restoran.

"Mujurlah dia berminat dan mudah belajar. Saya meminjamkan kostum dan peralatan yang dimiliki untuk dia membuat persembahan," katanya.

Jelas Awang, beliau akan memotong sebanyak RM50 daripada setiap bayaran yang diterima anak didiknya itu dan dikumpul untuk membelikannya peralatan sedikit demi sedikit.

Sementara itu, pelanggan Awang yang kali pertama menggunakan khidmat beliau untuk parti hari jadi anaknya, Azwalina Abd. Wahab, 33, melahirkan rasa puas hati terhadap kesungguhan Awang melayan kanak-kanak pada parti tersebut.

"Awang sangat berbeza dengan badut yang pernah membuat persembahan sebelum ini, beliau datang lebih awal dan pulang lewat.

"Bayaran yang dikenakan juga berbaloi dengan persembahan yang diberikan. Awang memastikan semua kanak-kanak dilayan termasuk menghiburkan tetamu dewasa dengan persembahan silap mata," katanya yang mengenali Awang melalui majlis anjuran teman rapatnya.

Tambahnya, Awang tidak berkira tentang hal bayaran biarpun terpaksa bekerja lebih sejam daripada masa yang dipersetujui. Kemesraan Awang membuatkan Azwalina bercadang untuk menggunakan khidmatnya pada masa akan datang.

Pulau Maldives tumpuan pelancong China

Posted:

Pulau Maldives tumpuan pelancong China

Pulau Maldives tumpuan pelancong China


RESORT atas air ini menjadi pilihan pasangan dari China untuk berbulan madu.


PARA pelancong dari China selamat tiba ke Lapangan Terbang Antarabangsa Maldives dengan memakai pakaian berjenama.

Menggunakan penerbangan terus LV199 dari Shanghai, mereka merupakan kumpulan terbesar berada dalam pulau yang terletak di Lautan Hindi itu.

Pengantin baharu lingkungan umur 20-an, Chen Hui dan Fang Ye merupakan antara pelancong dalam kumpulan penerbangan tersebut yang datang ke Pulau Maldives.

Ia merupakan kunjungan kali kedua mereka dan kali ini, pasangan itu menginap di sebuah resort atas air yang berharga AS$500 (RM1,613) untuk satu malam.

"Kebanyakan rakan-rakan kami datang ke sini untuk berbulan madu," ujar Fang, seorang eksekutif muda di Shanghai. Mereka bercadang untuk melakukan aktiviti memancing dan mengambil gambar di pesisir pantai yang mempunyai pengunjung hampir sejuta orang dalam setahun.

Sebaik sampai, kedua-dua pasangan pengantin itu disambut meriah dengan paluan drum tradisional. Para pekerja memberikan tuala muka sebagai satu perlambangan kepada permulaan percutian mereka.


KANAN: Seorang pemandu pelancong membawa sepasang pelancong China ke hotel yang ditempah mereka.


Salah seorang pekerja yang bakal melayani mereka bak golongan diraja ialah pembantu spa yang berasal dari China, Huang Jing Fang.

"Maldives merupakan tempat yang menjadi impian kepada masyarakat China seperti saya. Disebabkan itu, saya datang ke sini dan bekerja di pulau ini," ujar Jing Fang.

Tambahnya, Pulau Maldives diangkat sebagai destinasi yang mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Parti Komunis dan sering diberi liputan media yang baik.

Pelancong China meliputi satu per empat pengunjung di pulau itu, sehingga memaksa pengusaha-pengusaha tempatan di hotel-hotel lima bintang menyediakan pekerja yang berkebolehan berbahasa Mandarin.

Selain itu, di sekitar kawasan Sultan Park, tersergam muzium dua tingkat yang merupakan sumbangan dari negara China yang dibuka pada tahun 2010.

Hubungan diplomatik

Tidak lama selepas itu, Beijing membuka pusat kedutaan di sana bagi mengukuhkan lagi hubungan diplomatik antara mereka.

Ia dilihat sebagai satu kemudahan kepada pelancong China agar dapat bercuti dengan tenang tanpa gusar tentang bahaya di pulau itu.

"Kami akan melakukan yang terbaik dalam mengeratkan hubungan persahabatan dan kerjasama dalam sektor ekonomi. Secara beransur-ansur kami akan memberikan bantuan kepada Maldives," ujar duta China di Male, Yu Hongyao.


PESISIR pantai Pulau Meldives yang cantik menjadi pilihan pelancong untuk bergambar dan beristirehat.


Beliau berkata, nilai perdagangan dua hala kekal 'sangat kecil' tetapi perancangan tersebut memberi fokus kepada pembinaan jalan raya dan pendidikan.

Kepentingan China di Maldives sesuai dengan corak pelaburan di sekitar Lautan Hindi, yang disebut oleh sesetengah penganalisis sebagai strategi 'rantaian mutiara yang dikatakan membendung kepesatan India.

Maldives terdiri daripada lebih 1,100 pulau yang bertaburan di seluruh khatulistiwa dan menjadi laluan penting penghantaran barang-barang dari Timur ke pasaran Barat.

Kedudukan strategik itu dimajukan oleh bekas penjajah Britain yang membuka sebuah pangkalan tentera di sini sehingga tahun 1976.

Malah, China pernah dikhabarkan cuba membina pangkalan kapal selam di pulau itu.

India sebelum ini, mempunyai pengaruh asing terbesar di negara itu, tetapi sejak akhir-akhir ini kuasanya semakin berkurangan. Ia berikutan sejarah Maldives mempunyai kaitan dengan negara-negara pro-India seperti Sri Lanka, Bhutan dan Nepal. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved