Jumaat, 6 September 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Senyum Malaysia sasar si cilik

Posted:

Senyum Malaysia sasar si cilik

Senyum Malaysia sasar si cilik

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA


NOR Aziah (belakang enam dari kiri) dan Amiruddin (belakang enam dari kanan) bergambar bersama sekumpulan kanak-kanak Tabika Kemas Taman Wilayah ketika pelancaran kempen 'Senyum Malaysia' yang dilancarkan baru-baru ini.


TIDAK ramai yang menyedari kesihatan mulut dan gigi adalah kunci kepada kesihatan anggota tubuh secara keseluruhan.

Oleh itu, penjagaannya perlu dimulakan di peringkat awal iaitu sejak bayi mulai tumbuh gigi.

Ia diikuti usaha mendisiplinkan mereka untuk menggosok gigi sebanyak tiga kali sehari menggunakan kaedah yang betul.

Menyedari hakikat itu, jenama penjagaan gigi terkemuka, Colgate-Palmolive Marketing Sdn. Bhd. (Colgate) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) baru-baru ini telah melancarkan kempen Senyum Malaysia.

Pengarah Kanan Pemasaran Ubat Gigi Colgate, Nor Aziah Mohd. Said, kempen selama sebulan itu bertujuan mendidik ibu bapa dan kanak-kanak prasekolah mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mulut dan gigi.

Katanya, ia sejajar dengan usaha syarikat itu untuk menyokong Pelan Kesihatan Pergigian Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia yang menyasarkan pengurangan pelbagai penyakit gigi dalam kalangan kanak-kanak yang berumur enam tahun dan ke bawah sehingga 50 peratus menjelang tahun 2020.

"Kempen ini menekankan kepentingan amalan penjagaan kesihatan gigi susu dalam kalangan kanak-kanak prasekolah di seluruh negara.

"Ini kerana penjagaan gigi susu penting bagi membantu golongan ini mempelajari kepentingan pemakanan dan pengambilan nutrisi yang betul,"katanya pada pelancaran kempen itu di Tabika Kemas, Taman Wilayah, Selayang baru-baru ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kemas, Amiruddin Ariffin.

Nor Aziah menambah, pada masa yang sama, penganjuran kempen juga dilihat dapat membantu pembentukan gigi kekal yang cantik dan teratur pada masa hadapan.

Pada majlis pelancaran itu, seramai 70 kanak-kanak prasekolah tersebut telah mengikuti aktiviti-aktiviti yang dianjurkan seperti bengkel penjagaan mulut dan demonstrasi memberus gigi oleh kakitangan Klinik Pergigian Selayang Baru.

Sokongan umum

Dalam menjayakan kempen itu, Nor Aziah berkata, pihaknya turut menggesa orang ramai untuk menyatakan sokongan terhadap kempen itu dengan menonton dan berkongsi video Senyum Malaysia yang disiarkan di laman sosial Facebook Colgate (www.facebook.com/ColgateMy).

Katanya, orang ramai boleh menyatakan sokongan mereka melalui tiga kaedah iaitu dengan menekan butang 'suka' yang diterjemah sebagai satu sokongan; menekan butang 'suka' dan 'kongsi' (dua sokongan); memuat naik gambar senyuman (lima sokongan) atau membeli produk ubat gigi Colgate Total (satu sokongan) di kedai-kedai di seluruh negara.

"Kita menyasarkan sebanyak 500,000 sokongan akan dikumpul sepanjang kempen ini.

"Sebaik sahaja sasaran ini dicapai, kami akan menukarnya kepada sumbangan berupa set ubat gigi dan berus gigi kepada 14,700 kanak-kanak di 545 buah Tabika Kemas di seluruh negara,"ujarnya.

Sejajar dengan kempen itu, Nor Aziah berkata, pihaknya turut melancarkan Skuad Senyum Malaysia, sebuah skuad yang terdiri daripada para sukarelawan Colgate.

"Skuad ini akan melakukan kunjungan ke 20 buah Tabika Kemas terpilih di sekitar Lembah Klang mulai minggu hadapan dan menunjukkan kaedah penjagaan dan memberus gigi yang betul.

"Ini merupakan antara tanggungjawab sosial korporat Colgate bersama Kemas dalam mengutamakan keperluan penjagaan kesihatan mulut dan gigi melalui pendidikan kepada kanak-kanak," jelasnya.

Manfaat

Sementara itu, seorang penjaga, Norlizawati Nordin, 31, berkata, kempen terbaharu Colgate itu mampu membendung masalah penyakit atau kerosakan gigi yang sering dialami dalam kalangan kanak-kanak prasekolah.

"Kanak-kanak dan makanan manis sukar dipisahkan, justeru adalah penting mereka didedahkan dengan kaedah penjagaan gigi yang betul di peringkat awal," katanya.

Bagi Mohd. Fairus Yahya, 30, kempen itu mampu menanam tabiat menggosok gigi sebagai satu amalan harian dalam kalangan kanak-kanak prasekolah.

"Mungkin amalan memberus gigi sebanyak tiga kali sehari sukar dilaksanakan kanak-kanak, tetapi ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dalam mengalakkan tabiat ini," katanya.

Bahana permainan video tanpa kawalan

Posted:

Bahana permainan video tanpa kawalan

Bahana permainan video tanpa kawalan

PEMAIN-PEMAIN tegar sentiasa berfikir untuk bermain tanpa mengira waktu.


PADA masa lalu, sebagai kanak-kanak, setiap kali bangun daripada tidur, kita akan berasa teruja untuk bermain kerana ia membolehkan kita bertemu dengan rakan-rakan sepermainan.

Kita boleh berkongsi pelbagai pengalaman baharu setiap kali bermain, di samping bersama-sama merasai kegembiraan dan kekecewaan di atas kejayaan mahupun kegagalan kita. Selain itu, bermain bersama mengajar kita bagaimana untuk menghormati perasaan orang lain.

Sebaliknya pada hari ini, permainan video telah menjadi rakan baharu kanak-kanak. Ia telah menjadi sahabat yang boleh disimpan di dalam poket baju. Alat kecil ini mengurangkan keperluan mereka menjaga perasaan 'rakan' permainan mereka.

Mereka boleh berbuat apa sahaja yang disukai. Sekiranya mereka dikalahkan dalam permainan, permainan boleh dimulakan sekali lagi dengan hanya menekan pada butang tertentu pada peranti mereka.

Anak-anak kita juga mungkin tidak lagi mengetahui apakah permainan batu seremban, congkak atau gasing. Sebaliknya, mereka pasti akan lebih tahu Angry Birds atau beberapa lagi permainan video popular yang ada di komputer atau telefon pintar.

Pembentukan personaliti

Sebenarnya, ini adalah cabaran baharu untuk kita sebagai ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Walaupun tidak semua bentuk permainan komputer ini memberikan kesan negatif, bagaimanapun ahli-ahli psikologi percaya bahawa ia telah menyebabkan kanak-kanak ini cenderung untuk kurang bersikap empati, antisosial, kurang menguasai kemahiran sosial, malah yang lebih menakutkan, menjadikan mereka semakin ganas.

Selain itu, tumpuan melampau terhadap permainan-permainan video ini juga boleh menjejaskan pelajaran mereka.

Apa yang lebih menakutkan ada permainan-permainan tertentu yang menyebabkan kesan yang negatif terhadap personaliti anak-anak seperti mudah mencetuskan perasaan marah, langsang (agresif) dan berdendam.

Tragedi pembunuhan 12 orang pelajar dan seorang guru di Sekolah Tinggi Columbine, Colorado di Amerika Syarikat pada April 1999 yang dilakukan oleh pemain tegar permainan video Doom, David Harris dan Bennet Klebold, adalah antara bukti bagaimana permainan video mampu mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku manusia.

Walaupun ia adalah satu kes terpencil, bagaimanapun kajian-kajian psikologi yang telah dilaksanakan sentiasa menunjukkan bahawa permainan elektronik yang bersifat ganas boleh membentuk perilaku ganas manusia.

Sungguhpun pasaran masa kini menawarkan pelbagai bentuk permainan video yang bersifat mendidik, bagaimanapun permainan ganas lebih menjadi pilihan. Ia menjadikan pemain seolah-olah seorang wira yang boleh menyelamat dunia.


PERMAINAN-permainan tradisional dapat memupuk sikap interaksi, kerjasama dan perkongsian emosi di antara pemain.


Kesan permainan

Sebab itu, sebagai ibu bapa kita harus berhati-hati dengan pelbagai bentuk permainan video yang ada di pasaran. Tidak seperti permainan tradisional yang biasanya memerlukan kanak-kanak berinteraksi dan berkongsi emosi dengan rakan-rakan sebaya yang lain, permainan video hanya memberikan mereka cabaran dan persaingan.

Mereka berasa teruja untuk memenangi permainan tanpa perlu mengetahui rasional dalam memenangi permainan tersebut. Malah, dalam sesetengah permainan, mereka boleh membunuh, walaupun secara realitinya ia bukan hal yang betul.

Setiap kali mencapai kemenangan, mereka akan berasa gembira. Sebaliknya, apabila mengalami kekalahan, mereka akan berasa kecewa. Bagaimanapun, cara untuk mereka menghadapi kekecewaan tadi adalah dengan cara yang tidak rasional. Mereka hanya perlu mematikan permainan tadi dan memulakannya kembali.

Pemain-pemain tegar sentiasa berfikir untuk bermain tanpa mengira waktu, sehingga banyak aktiviti lain khususnya pelajaran diabaikan.

Secara psikologikalnya, walaupun mereka mungkin menghadiri sesi persekolahan seperti biasa atau melibatkan diri dengan aktiviti pembelajaran, hakikat yang berlaku ialah fikiran mereka sebenarnya berada pada tempat yang lain. Keadaan ini dikenali sebagai presenteeism.

Selain kajian psikologi, kajian-kajian terkini dalam disiplin perubatan juga menunjukkan bahawa adalah lebih baik untuk tidak mendedahkan anak-anak kita secara keterlaluan dengan permainan video.

Terdapat kajian yang menunjukkan berlaku perubahan aktiviti otak bagi mereka yang ketagih permainan dalam talian. Ia merupakan simptom yang sama dihadapi oleh pesakit yang mengalami ketagihan dadah.

Bayangkan, kalau perkara ini berterusan, apa yang bakal berlaku terhadap anak-anak kita. Mereka patut membesar untuk menjadi manusia yang mampu menghadapi dunia realiti dan bukan dunia khayalan yang diciptakan oleh permainan moden ini.

Berhati-hatilah.

Buds bebas toksik

Posted:

Buds bebas toksik

Buds bebas toksik

RANGKAIAN Buds Household Eco tidak mengandungi wangian atau pewarna, selamat, efektif dan mesra alam.


SETIAP ibu bapa amat prihatin dalam memastikan anak-anak mereka membesar dalam persekitaran yang sihat. Namun, persekitaran kita kurang meyakinkan.

Daripada dinding rumah yang dicat, pintu kaca yang dibersihkan menggunakan penggilap kaca, permaidani yang dibasuh menggunakan serbuk pencuci, alat permainan, udara yang tercemar dan banyak lagi membawa seribu satu ugutan kepada ibu bapa.

"Semua ini boleh menyebabkan anak-anak, khususnya bayi mengalami masalah alahan pada kulit, sistem respiratori dan mata," kata Pakar Pediatrik dan Kardiologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Azam Mohd. Nor.

Sehubungan itu, ibu bapa yang membeli produk penjagaan rumah atau pembersihan harus memeriksa kandungan yang tertera. Menyenaraikan senarai produk yang boleh membahayakan seperti sabun pencuci, serbuk pencuci, pembersih rumah hingga krim muka, Azam berkata, keraguan terhadap produk bertoksik ini boleh diatasi dengan mengamalkan penggunaan barangan organik.

Dr. Azam ditemui pada program pelancaran produk Bud Organics, rangkaian produk organik penjagaan diri dan kulit untuk bayi, kanak-kanak dan ibu yang diiktiraf. Buds memperkenalkan rangkaian produk pembersihan, Buds Household Eco.

Produk tersebut memastikan setiap titik sentuhan kehidupan bayi selamat dan bebas daripada bahan-bahan kimia melelas pada pakaian, alat permainan, perkakasan makan dan lantai.

Rangkaian produk tersebut termasuklah pencuci kain, pelembut fabrik bayi, pembersih botol, perkakasan bayi, permainan antibakteria, pembersih permukaan dan pembersih lantai Baby Safe.

"Prinsip Bud's adalah untuk membantu ibu bapa memastikan bayi mereka selamat daripada bahaya persekitaran dan pendedahan bahan kimia selain menjaga alam sekitar. Sebab itulah wujud slogan kami, Kuasa alam semula jadi, tanpa gangguan," kata Pengarah Urusan I-Green (M) Sdn. Bhd., Soo Siew Peng.

Diiktiraf Ecocert

Rangkaian pembersihan tersebut diiktiraf Ecocert mengikut piawaian detergen semula jadi yang merupakan salah satu badan pensijilan terkemuka dunia dengan piawaian yang ditetapkan.

Rangkaian Buds Household Eco tidak mengandungi wangian atau pewarna, selamat, efektif dan mesra alam. Minyak pati organik digunakan untuk memberikan bau harum. Kesemua formulasi adalah mudah terbiodegradasikan.

Pada majlis yang sama, Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan I-Green (M) Sdn. Bhd., Soo Kian Kheng, berkongsi falsafah di sebalik penawaran rangkaian Buds Household Eco dan menunjukkan cara-cara produk-produk itu terlibat menentang kuman secara efektif.

Rangkaian Buds Household Eco boleh didapati di Mother Care, Mom's Care, cawangan Marmours terpilih, laman web Babydash dan kedai-kedai bayi terkemuka lain.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 03-5518 9166 atau melayari laman web www.budsbaby.com atau www.bioharvest.net. - NIZHA PERIASWAMY

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved